Berita Harian, Khamis Feb 14, 2002
Bunga bisikkan cinta
Oleh Nor Affizar Ibrahim
BUNGA lambang seribu makna. Namun, paling ketara, bunga tanda luahan hati dan perasaan seseorang. Jika tidak, ungkapan Say it with flower, (Luahkan dengan bunga) tidak mungkin terkenal dan menjadi sebutan.
Sejak beratus-ratus tahun hingga kini, pemberian bunga tetap pengucapan yang simbolik, biarpun dunia semakin canggih. Bunga tidak pernah membosankan. Variasinya yang tidak terbatas dan daya tariknya yang unik menyebabkan bunga tidak pernah kehilangan keistimewaannya.
Justeru, bunga masih terus digunakan untuk mengungkapkan hati dan perasaan.
"Kuasa bunga" mampu mencetuskan perasaan dan fikiran yang mungkin tidak dapat diluahkan dengan kata-kata, biar apa pun perasaannya: sedih dan duka, gembira, dan rasa syukur. Juga rasa cinta dan hormat sanjungan.
Begitulah hikmatnya bahasa bunga, sehingga biarpun ia mahal harganya.
Bunga tetap tidak menjadi halangan sebagai penyampai rasa. Setiap rangkaian bunga adalah pernyataan peribadi seseorang.
Bunga diberikan kepada keluarga, teman, orang yang dihormati, yang dikasihi sedang berduka, dengan maksud menghibur, mendoakan keselamatan dan sebagainya. Bunga juga sering diberikan sebagai pernyataan minta maaf kerana sesuatu kesalahan atau kelukaan, khusus di antara sepasang kekasih.
Ubatkan hati
Cerita seorang suami membeli bunga mawar putih dua tangkai dan diletakkan di dalam pasu kristal di sebuah kedai bunga, adalah antara episod indah mengenai bunga yang harus dikongsi bersama.
Bunga itu dibeli khusus untuk isteri di rumah dan dikirimkan oleh suami, tanpa pesan dan kata-kata. Keesokan hari, si suami datang semula ke kedai dengan wajah berseri-seri. Sambil tersenyum lebar, si suami memberitahu tuan kedai bunga, "Isteriku tidak merajuk dan marah-marah lagi."
Ternyata, kiriman bunga telah mengubati hati si isteri. Namun, bunga bukan saja menyatukan dua hati; bunga juga menghiasi pesta bagi menimbulkan suasana ceria sesuatu perayaan.
Mengikut satu kajian di universiti di Barat pula, hadiah kejutan bunga akan membuatkan seseorang mengingati pengirimnya sepanjang hari. Kajian terhadap 147 wanita, bagi melihat reaksi mereka apabila menerima satu daripada tiga hadiah yang setiapnya berharga kira-kira RM100: Sejambak gubahan bunga, bakul berisi buah-buahan dan bekas kaca kristal.
Seratus peratus wanita yang menerima bunga ternyata berasa bangga dan tersenyum gembira. Sementara lapan peratus yang menerima buah-buahan dan 13 peratus yang menerima bekas kaca kristal masing-masing menunjukkan reaksi biasa.
Seorang ahli psikologi dari Barat, Jeanette M Haviland-Jones, menemubual beberapa orang wanita sebelum dan selepas mereka menerima hadiah. Hasil temubualnya mendapati bahawa kumpulan wanita yang menerima bunga berasa lebih gembira berbanding kumpulan wanita yang menerima hadiah lain.
Dikaitkan dengan keindahan
Selain itu, bunga juga sering dikaitkan dengan sesuatu yang indah, sesuatu yang baik, dan mewakili wanita. Tidak hairanlah jika keindahan nama-nama bunga dipilih untuk nama wanita: Lily, Ros, Melati, Kenanga dan Cempaka, contohnya. Bahkan, banyak negara menggunakan bunga sebagai maskot negaranya.
Seperti warna yang memiliki erti yang berbeza-beza, begitulah juga jenis bunga yang mempunyai makna tersendiri dan menunjukkan perasaan yang berbeza. Lili putih misalnya, melambangkan keperawanan, kemurnian dan kemuliaan. Sementara lili kuning pula melambangkan rasa senang dan syukur.
Bunga mawar merah pula bermakna cinta, penghargaan dan keberanian. Mawar kuning mentafsirkan kegembiraan, kebahagiaan dan kebebasan.
Jika anda memilih mawar merah jambu atau kuning kemerah-merahan (pic), ia melambangkan ucapan terima kasih, syukur, penghargaan, kekaguman atau simpati. Sementara, mawar putih meluahkan kesucian hati, kerahsiaan dan penghormatan.
Andai dua bunga mawar dicantumkan bersama, ia melambangkan pertunangan. Lebih simbolik jika mawar merah dan putih dijadikan pilihan kerana dua warna bunga itu menandakan sehati dan sejiwa.
Bau bunga menenangkan
Keistimewaan lain pada bunga ialah bau harumannya. Wangi bunga didapati, cepat mengubah mood dan perasaan seseorang. Ramai pakar mengakuinya dan bersetuju dengan pendapat itu. Antaranya, Dr Alan R Hirsch daripada Smell and Taste Treatment and Research Foundation, Chicago, yang mengatakan, cara mudah untuk mengubah mood lebih cepat daripada bantuan indera lain adalah dengan aroma.
Selepas 15 tahun mengkaji, Hirsch menyimpulkan wangian tertentu akan mengubah mood dan perilaku seseorang.
Hubungan antara aroma dan mood juga diakui oleh Dr Charles J Wysocki daripada Monell Chemical Sense Centre, Philadelphia. Perubahan psikologi lain yang dapat diukur termasuklah tekanan darah, degup jantung dan suhu badan. Semua itu saling berkait dengan perubahan mood dan emosi.
Penemuan daripada Monell itu juga menunjukkan, wangian bunga sering dianggap sebagai pembawa ingatan terbaik. Bau sesuatu haruman adalah memori yang tidak dipengaruhi oleh sentuhan, penglihatan atau pendengaran.
Sari bunga lain juga dapat mempengaruhi emosi. Misalnya, sari bunga Dandelion, berguna untuk bertindak balas pada tubuh supaya berasa relaks dan menyegarkan emosi sedang lesu. Sementara sari bunga Chamomile pula dapat meringankan dan melegakan tekanan emosional kerana kebingungan, gugup dan sensitif. Ia juga turut menolong mereka yang mengalami sukar tidur (insomnia).
Apa yang dapat disimpulkan, bunga memang banyak keistimewaannya. Dan yang pasti, sempena Hari Memperingati Kekasih atau Valentine yang disambut pada 14 Februari setiap tahun, bunga akan terus menjadi hadiah pilihan.
* baby breath - cinta berkekalan
* bird of paradise (bunga sepit ketam) - kecemerlangan
* camelia - selamat berjaya dan hadiah untuk lelaki chamomile - kesabaran
* daisi - kemurniaan
* freesia - percaya
* melur - pikat kekayaan
* kaktus - kecekalan
* kemeling/keladi bunting kuning - cemburu
* kemeling/keladi bunting ungu - maafkan saya
* kemeling/keladi bunting putih - saya mendoakan kamu
* kaca piring - cinta rahsia mawar - lambang cinta
* mawar kuning - cemburu/cuba untuk mengambil tahu
* mawar merah - cinta tulus marigold - dekat di hati magnolia - kasih sayang semula jadi
* orkid - matang
* popi kuning - berjaya
* popi merah - kebanggaan
* rosmari - kenangan/ingatan
* rumput - bersatu
* teluki (carnation) merah jambu - saya tidak akan lupakan anda
* teluki ungu - perubahan teluki merah - hatiku tertarik padamu
* teluki putih - cinta sejati violet biru - saya akan selalu jujur padamu
* violet putih - jom ambil kesempatan bergembira
No comments:
Post a Comment