Wednesday, February 7, 2018

TRAUMA EKZEMA



Berita Harian, Khamis, Mei 24, 2012

Trauma ekzema

Oleh Nor Affizar Ibrahim




IA menyebabkan kulit berasa amat gatal, bintik-bintik atau gelembung kecil kemerah-merahan ketara pada muka, jari tangan kaki di celah-celah paha serta alat kelamin.
Malangnya, biarpun menyebabkan kegatalan dan rasa tidak selesa, tidak ramai yang menyedari masalah dikenali sebagai ekzema ini.

Pakar Perunding Dermatologi dari Jabatan Dermatologi Kuala Lumpur Hospital, Dr Suganthi Thevarajah, berkata berita baik mengenai ekzema ialah ia tidak boleh membawa kematian tetapi yang pasti, boleh menjejaskan kualiti kehidupan.
Dr Suganthi berkata, ekzema juga tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal. Namun, individu yang mengalami ekzema sering mengadu tidak dapat menahan kegatalan.  Apabila ini berlaku, individu terbabit mula menggaru dan akhirnya menyebabkan kulit luka.
Katanya, penyakit ini boleh terjadi disebabkan oleh faktor dalaman seperti genetik, di samping kesan daripada keadaan luaran seperti persekitaran yang tercemar dan tidak bersih.
"Penyakit ini bukan disebabkan makanan tetapi terjadi di antara pesakit itu dengan faktor dalaman dan persekitaran. Malah, ada pesakit ekzema tidak boleh bertoleransi atau ada alahan dengan banyak benda seperti sabun, wangi, tekanan dan cuaca sama ada sejuk atau pun panas.
"Akibatnya, kulit berasa gatal dan dia mungkin berterusan menggaru dan menyebabkan ada virus atau kulat serta boleh membuatkan kulit luka. Selain itu seseorang yang ada asma juga berpotensi mendapat penyakit ini," katanya.

Tidak pernah dengar

Dr Suganthi turut memberitahu, ada perbezaan penyakit ekzema iaitu atopic ekzema, contact dermatitis, scalp dermatitis dan ekzema kaki dan tangan. Di Malaysia risiko penghidap penyakit ekzema kepada kanak-kanak adalah paling ketara.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, mendapati lebih 12 peratus kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas menghidap penyakit berkenaan.
"Satu kajian dilakukan oleh LEO Pharma kepada pesakit ekzema dan penjaga mereka di Malaysia mendapati 75 peratus pesakit pernah mendengar mengenai ekzema tetapi tidak pernah mengetahui dan hanya tahu sedikit maklumat penyakit itu sebelum mereka berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan.
"Sebanyak 15 peratus tidak pernah mendengar penyakit ini dan berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan rawatan manakala 80 peratus penjaga pesakit ekzema pula mempunyai sedikit maklumat dan tidak pernah mengetahui langsung mengenai penyakit itu," katanya.

Berdepan tekanan

Dr Suganhthi berkata, hanya separuh daripada pesakit ini berjaya disembuhkan, tetapi sebahagiannya tidak dapat diubati tetapi hanya boleh mengurangkan melalui pengambilan ubat dan penjagaan kesihatan dengan cara yang betul.
"Kebanyakan penghidap ekzema daripada kalangan orang dewasa dan kanak-kanak menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian mereka dari aspek emosi, psikologi dan sosial. Tompokan merah pada kulit muka dan tangan menyebabkan mereka tidak yakin apabila berhadapan dengan orang ramai.
"Selain itu, kanak-kanak yang menghidap penyakit ini juga selalu dibuli dan diejek oleh rakan mereka menyebabkan berlaku trauma selain produktiviti kehidupan seharian turut menurun. Kajian menunjukkan tahap produktiviti di tempat kerja atau sekolah turun 26 peratus ketika berdepan tekanan ekzema," katanya.
  Tambahnya lagi, malah ada yang berputus asa menangani masalah ekzema dihadapi dan menganggap mustahil untuk mengawalnya, di samping berasa dirinya berbeza dengan orang lain.

Cara penjagaan betul

Dr Suganthi berkata, bagi menangani ekzema pesakit perlu dididik dan diberikan kaunseling mengenai cara menjaga dan merawatnya. Antara langkah boleh diambil ialah mengenalpasti dan mengelakkan faktor yang boleh menyebabkan radang atau kegatalan.



Paling  penting, mesti pastikan penjagaan kulit yang betul dan gunakan minyak pelembut (emolien) sekerap mungkin bagi mengelakkan kulit kering. Selain pelembap, penggunaan minyak pelembut juga boleh membantu melicin dan melegakan kulit kering, iritasi dan bengkak. Ini kerana ia menyediakan satu lapisan pada permukaan kulit yang akan mengurangkan kehilangan air dan menghentikan kulit daripada menjadi kering.
"Terapi antiradang yang sesuai perlu digunakan dan jika berlaku jangkitan, cepat buat rawatan menggunakan antibiotik. Rawatan dan penjagaan memerlukan kombinasi streoid topikal dan antibiotik. Bagi jangkitan serius mungkin memerlukan individu itu mengambil oral antibiotik," jelasnya.



Penyakit negara membangun



MUNGKIN ramai beranggapan, penyakit kulit ekzema yang memperlihatkan tanda seperti radang, berasa gatal, kering, ruam merah dan kulit luka adalah masalah lazim dialami masyarakat yang tinggal di negara miskin dan mundur.
Persepsi itu ternyata silap, sebaliknya ekzema adalah masalah utama di negara maju dan membangun. Penyakit kulit ini paling biasa dikaitkan dengan alahan dan disebabkan faktor dalaman seperti diwarisi dari gen serta kombinasi dengan faktor luaran, termasuk alam sekitar sebagai pencetus.

Kajian menunjukkan, kelaziman ekzema kini semakin meningkat di Malaysia terutama kanak-kanak. Kelaziman ekzema dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh tahun di Malaysia adalah 12 peratus.





Kurang kesedaran

Pakar Kulit, Dr Mohd Noh Idris berkata, walaupun ekzema adalah penyakit kulit yang biasa, namun kesedaran umum mengenainya masih kurang.
Beliau berkata, ada beranggapan penyakit itu berpunca daripada masalah penjagaan kebersihan yang buruk dan ada yang membuat beberapa andaian tidak betul mengenai punca penyakit itu.
"Ekzema adalah keadaan penyakit kulit biasa tetapi menyukarkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus dewasa di seluruh dunia iaitu dua dalam setiap 10 orang di Malaysia," katanya.
Dr Mohd Nor yang juga dari Persatuan Dermatologi Malaysia, berkata selain Malaysia, masalah ekzema juga menjadi masalah di Filipina, iaitu tujuh peratus kalangan remaja berumur 13 hingga 14 tahun pernah mempunyai ekzema manakala di Thailand, tiga peratus membabitkan kanak-kanak tujuh tahun.

Tiada penawar

Statistik turut menunjukkan, ekzema di Singapura lazim dialami 22 peratus kanak-kanak berusia tujuh, berbanding 17 peratus yang berusia 12 tahun. Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam kalangan semua empat negara Asean.
"Seramai 50 peratus daripada manifestasi ekzema biasanya hadir sebelum usia satu tahun dan pada usia lima tahun, lebih 80 peratus mengalami masalah penyakit kulit itu," katanya.
Dr Mohd Nor berkata, walaupun tiada penawar untuk ekzema ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan dan pengurusan gaya hidup yang betul bagi menjadikan kehidupan lebih baik.
Katanya, ekzema penyakit yang boleh dilihat dengan jelas, sekali gus boleh memberikan kesan emosi dan mental.
"Rawatan dengan penggunaan ubat-ubatan, bertujuan mencapai pengawalan ekzema dan mengurangkan kegatalan sehingga individu menggaru, kemudian luka dan ada jangkitan. Ia juga memberi kulit peluang untuk sembuh," katanya.



FAKTA


Siapa boleh mendapat ekzema?

* Satu daripada 10 orang mempunyai ekzema pada sesuatu peringkat hidup mereka.
* Anda tidak boleh mendapat ekzema hanya dengan menyentuh seseorang yang mempunyai ekzema kerana ia bukan penyakit berjangkit.
* Penyakit ekzema tidak berjangkit daripada seseorang kepada seseorang.
* Semua peringkat umur boleh terkena ekzema walaupun beberapa jenis ekzema sangat biasan dalam pelbagai jenis peringkat hidup.


INFO


Apakah yang perlu dibuat bagi mengurang atau mengelakkan keradangan?

* Anda seharusnya memakai baju kain kapas atau pakaian yang tinggi kandungan benang kapas. Benang bulu biri-biri dan fabrik sintetik mungkin mencetuskan ekzema. Sebaiknya basuh pakaian menggunakan cecair ataupun serbuk bukan biologi. Elakkan pelembut fabrik.

* Hama rumah adalah alergen dan mungkin penyebab ekzema. Ia hidup atas selimut, perabot lembut, permaidani dan juga langsir. Hama rumah ini boleh dikurangkan dengan sedutan hampa gas setiap hari, menyapu habuk menggunakan kain lembap, menjemur tilam secara kerap dan membasuh cadar dan permainan lembut menggunakan sekurang-kurangnya air suam 60 darjah celsius.

* Kepanasan berlebihan boleh memburukkan ekzema dan patut dielakkan. Elakkan daripada mengguna pemanasan berpusat dan sebaliknya, pastikan bilik anda sesejuk mungkin. Jangan berpakaian berlebihan dengan tidak berasa terlalu sejuk ataupun terlalu panas.

* Hadkan haiwan peliharaan memasuki hanya satu atau dua bilik saja. Haiwan itu harus dilarang daripada tidur di atas katil dan tidak memasuki bilik tidur atau pun bilik air. Gunakan kain kapas bagi haiwan peliharaan ini untuk baring bukan atas permaidani untuk mengelakkan air liurnya meratarata.

* Kerjaya yang mungkin bermasalah bagi penghidap ekzema ialah pendandan rambut, penyediaan makanan, jururawat, pembinaan dan pembersihan.










No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...