Sunday, January 27, 2013

PACU POTENSI WANITA


Berita Harian, Jumaat, 25 Januari 2013
                                                                                         
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Pacu potensi wanita



Kerja fleksibel perlu  bagi seimbangkan antara kerjaya dan rumah tangga


Usaha untuk meningkatkan pencapaian dan bilangan wanita pada kedudukan tinggi, tidak akan berlaku dalam satu malam, bahkan akan memerlukan pengorbanan serta perubahan budaya yang besar. Begitu juga cabaran dan halangan, akan sentiasa ada serta sedia menanti pada setiap masa.
     
Hakikat itulah yang harus diterima semua, bagi mendepani cabaran tahun baru 2013, mahupun tahun-tahun akan datang. Bagaimanapun, wanita di negara ini harus berbangga kerana pencapaian dan kemajuan dicapai, semakin memberangsangkan dengan pembabitan pelbagai bidang yang membuktikan, taraf kehidupan sosiologi golongan wanita sudah banyak berubah.
     
Pembabitan wanita di dalam sektor korporat dan perniagaan contohnya, jelas membuktikan bahawa dasar kerajaan sedia ada hari ini berjaya mengangkat martabat wanita selari dengan arus pembangunan negara. Bahkan, Malaysia turut menduduki tangga ke-12 terbaik di kalangan 54 negara anggota Komanwel dari segi memberi layanan kepada wanita.

Peningkatan satu proses 

Ketua Eksekutif, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, berkata sepanjang tahun 2012 saja dilihat, wanita mencapai banyak kejayaan dalam pelbagai bidang dan apa yang golongan itu hendak dari kerajaan sudah pun ditunaikan.

Mahani berkata, ini berikutan sudah banyak peningkatan kesedaran masyarakat mengenai peranan dan sumbangan wanita. Begitu juga dari segi keselamatan wanita, turut dipertingkatkan dan diberi pembelaan.

“Peningkatan semua itu disebabkan ada kesedaran yang lebih pada hari ini. Apa pun, pencapaian wanita adalah proses yang bertambah dari semasa ke semasa. Dari dulu, banyak sudah dibuat dan apa yang dilihat hari ini, ia adalah penambahan. Begitu juga tahun berikutnya, akan terus bertambah kerana kita sudah membina banyak infrastruktur meningkatkan pembangunan wanita.

“Ditambah lagi, ada kesedaran meluas bahawa perlu adanya pengiktirafan yang diberikan kepada wanita. Sebab ini adalah pengiktirafan global. Bahkan, Bank Dunia juga ada membuat laporan tahun khusus mengenai pencapaian wanita dan banyak negara di dunia ingin melihat penyertaan lebih ramai wanita dalam sektor korporat, menjadi ahli lembaga dan sebagainya. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini,” katanya ketika ditemui di ISIS di ibu negara, baru-baru ini.


Cabaran 2013

Mahani berkata, cabaran dan saingan hebat yang bakal wanita Malaysia hadapi pada tahun 2013, umumnya hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya terutama, cabaran asas yang diharungi setiap tahun. Cabaran berkenaan, termasuklah mendapatkan pendidikan, peluang pekerjaan yang sama dengan lelaki dan mengimbangkan peranan sebagai ibu serta wanita kerjaya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan, selain itu ada juga cabaran baru yang perlu dihadapi dan ditangani wanita. Misalnya, kemahiran menggunakan teknologi yang sentiasa ada peningkatan dan berubah serta kemahiran baru lain perlu dipelajari dan juga cabaran berdepan dengan masyarakat lebih kompleks pada masa kini.

“Wanita hari ini bukan bekerja saja tetapi mencakupi hal lain, selain keluarga hendak juga pencapaian kepuasan peribadi. Berbanding, dulu peranannya hanya sebagai ibu dan anak tetapi sekarang, wanita juga dilihat sebagai individu, sekali gus cabaran turut bercambah.

“Tetapi saya yakin, wanita boleh harungi kerana mereka terlatih dan memang bersifat multi tasking sejak dari dulu. Dengan adanya cabaran baru, wanita perlu lebih pandai membahagi masa. Realitinya, mereka boleh buat tetapi keutamaan diberikan perhatian ialah membahagikan masa. Dan ini, wanita yang perlu tentukan sendiri.         

“Untuk menangani cabaran, wanita perlu menentukan sendiri dan tingkatkan kepandaian serta jangan terlalu emosi. Apatah lagi, cara menangani juga adalah objektif dan ini perlu diberikan perhatian,” jelasnya.

Mahani berkata, bukan tidak boleh emosi tetapi harus tengok keadaan. Justeru, jika ada yang mengkritik caranya bekerja, jangan sesekali melihat ia sebagai ‘serangan’ peribadi, sebaliknya hendaklah berfikiran terbuka kerana mungkin ada kebenaran kritikan itu.

Tumpuan sektor korporat

Mengulas, Laporan Forum Ekonomi Dunia "Jurang Gender Global" 2012, yang  menyatakan Malaysia telah jatuh dari kedudukan ke-72 kepada kedudukan ke-100 daripada keseluruhan 135 buah negara, Mahani menegaskan, indeks itu sebenarnya bukan saja melihat negara ini tetapi juga negara lain. Justeru, penurunan ada kala berlaku kerana negara lain ada penambah baik atau peningkatan.

“Kita harus ingat, kerajaan telah buat banyak program untuk mengurangkan jurang. Jadi, penurunan itu tidak boleh dibuat kesimpulan kerana ada aspek lain perlu diambilkira. Namun, saya juga percaya program yang sedia ada memang perlu diteruskan dan dipertingkatkan. Pada masa kini, peningkatan sektor awam memang banyak tetapi bagi swasta atau korporat dilihat masih banyak penumpuan harus diberi jika kita ingin melihat penyertaan dan tahap penyertaan wanita lebih ramai dalam sektor itu,” katanya turut tidak menafikan masih ada ramai wanita yang tidak boleh akses dengan bantuan disediakan oleh kerajaan.

Tambah Mahani, mana-mana langkah atau perancangan dibuat akan ada masalah. Namun, itu bukan alasan utama untuk membantu pembabitan atau penyertaan wanita dalam apa saja bidang, sebaliknya penilaian dan penyesuaian wajar dilihat semula supaya sesuai dengan senario keadaan masa kini.

Contoh ketara, dalam sektor swasta atau korporat, kebanyakannya masih lagi tiada cara bekerja yang fleksibel. Akibatnya, ada wanita bekerjaya yang sudah berkeluarga walaupun ada keupayaan dalam bidang tugasnya, terpaksa berhenti bekerja.  

“Berbanding dengan sistem kerajaan, kita dapati lebih mesra dan memberi lebih keselesaan untuk wanita berkerjaya. Oleh itu sistem kerja dan penilaian prestasi di sektor swasta perlu diubah supaya ia sesuai untuk wanita yang ada tanggungjawab pada keluarga serta dianggap sama penting dengan kerjayanya.

“Contohnya, wanita itu ada peluang naik pangkat tetapi apabila terpaksa kena pindah ke tempat lain, terpaksa menolaknya sebab keutamaannya ialah keluarga. 
Peluang memang ada dan diberi tetapi kita harus ingat, sokongan lain juga perlu ada manakala wanita juga mestilah bersedia.

”Apa pun, jika wanita itu menolak kita tidak boleh menyalahkannya kerana itu adalah keutamaan dan pilihannya. Memang kadangkala kita tidak boleh dapatkan segala-galanya, cuma kita tidak mahu kehilangan modal insan yang berterusan atau lebih ramai lagi selepas banyak pelaburan kerajaan sudah buat,” katanya turut mengharapkan tahun 2013 membawa banyak lagi kejayaan untuk wanita di negara ini.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...