Sunday, January 13, 2013

KALIS KUASA WANITA


Berita Harian, 2 April 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Kalis kuasa wanita

Bolos 'siling kaca' tapi masih banyak halangan jadi pemimpin

ISTILAH 'siling kaca' dulunya cukup sinonim dan dijadikan metafora bagi menerangkan masalah menghalang kemajuan dan peningkatan wanita daripada mencapai jawatan kepimpinan atau di peringkat pembuat dasar.

Seiring dengan perubahan masa, ‘siling kaca’ sudah tidak relevan dan sesuai bagi menterjemahkan halangan, rintangan diharungi golongan itu. Ini berikutan, ‘siling kaca’ sudah berjaya dibolosi ramai wanita tetapi realitinya perjalanan mereka ke arah berkenaan masih dibelenggu ranjau.

Oleh itu, pada 2007, dua sarjana yang banyak mengkaji mengenai gender dan kepimpinan, Eagly, A.H dan Carli, L.L dalam buku mereka; Through The Labyrinth: The Truth About How Women Become Leaders, yang diterbitkan oleh Harvard Business School Press menyatakan metafora labyrinth atau ‘jalan berselirat’ lebih sesuai bagi menggambarkan betapa sukar dan cabaran harus dilalui wanita sebelum dapat membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin wibawa.

Jalan berselirat

Pensyarah Kepimpinan dan Kemahiran Interpersonal Pusat Pengajian Umum (PPUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zaharah Hassan, berkata metafora itu pada masa kini sememangnya sesuai bagi menggambarkan kepayahan wanita untuk sampai ke tahap pemimpin atau pembuat keputusan.

Zaharah berkata, sejak dulu hinggalah ke sekarang, wanita masih berdepan halangan berliku untuk menjawat jawatan penting dalam pelbagai bidang. Siling kaca tebal sudah lama dipecahkan wanita tetapi apabila melangkah lagi ke hadapan, rupa-rupanya ada banyak lagi cabang jalan berliku perlu dilalui.

Katanya, keupayaan wanita walaupun tidak disangsikan tetapi hakikatnya harus menempuh pelbagai lagi ujian dan rintangan sebelum sampai ke titik penghujungnya dan berada dalam keadaan selesa.

“Halangan atau sekatan termasuk jangkaan peranan yang berasaskan gender, malah untuk menjadi pemimpin atau pembuat keputusan inilah dilema masih terus dihadapi wanita dari dulu hingga ke hari ini,” ketika membicarakan kepimpinan wanita masa kini ketika di temui di PPU di UKM, baru-baru ini.

Zaharah berkata, lazimnya apabila disebut pemimpin, bayangan lelaki terus muncul. Kayu ukur digunakan bagi menentukan keberkesanan pemimpin adalah berasaskan sifat dan tingkah laku lelaki.

Apabila tingkah laku pemimpin wanita seperti lelaki yang sering menggunakan gaya command and control, maka ia dianggap tidak berkesan kerana ini bertentangan dengan peranan berasaskan gender dan jangkaan masyarakat.

Dilema dan fenomena

“Sebaliknya, apabila lebih feminin mereka juga dianggap tidak menunjukkan ciri-ciri pemimpin berkesan. Dilema dan fenomena ini bersifat universal tidak saja di Malaysia.” ujarnya.

Tambahnya lagi, lelaki sukar menerima hakikat wanita sebagai peneraju atau pemimpin, walaupun penolakan tidaklah sehebat dulu.

Untuk mengelak perkara ini berlarutan, katanya, wanita perlu bekerja keras membuktikan kemampuan mereka manakala lelaki perlu diberi pendedahan mengenai kesedaran gender. Perkembangan positif yang dapat dilihat masa kini adalah generasi muda lebih bersikap terbuka dan toleransi dalam menerima wanita sebagai pemimpin.

Halangan lain ialah institusi atau lebih kepada budaya organisasi tempat wanita itu berada. Secara amnya boleh dikatakan kebanyakan budaya organisasi dimulakan atau di struktur oleh lelaki dan banyak penyelidikan menunjukkan pengasas mempunyai pengaruh besar ke atas budaya organisasi. Nilai dan norma yang mendasari budaya organisasi memberi kesan kepada proses pemulihan, perlantikan pangkat dan sebagainya. Kecualilah, jika organisasi itu dimulakan wanita contohnya seperti syarikat kosmetik Mary Kay dan Estee Lauder, maka budayanya lebih mesra wanita,” katanya.

Tambahnya, tanggungjawab menyeimbangkan antara keluarga dan kerjaya turut menjadi halangan wanita menjadi pemimpin. Dari dulu hingga hari ini, wanita perlu membuktikan dirinya mampu mengintegrasikan kerjaya dan keluarga. Hakikinya sukar wanita bergelar ibu dan isteri memberikan tumpuan pada kerja terutama yang ada masalah keluarga.

Zaharah berkata, walaupun ada lagi halangan dan cabaran dalam bidang tertentu wanita Malaysia berjaya menunjukkan keupayaan menjadi pemimpin dan sebagai pembuat dasar.

”Bidang berkenaan termasuk pendidikan, sektor awam, perubatan dan usahawan. Bidang pendidikan, misalnya menyaksikan sudah ada wanita yang memegang jawatan Naib Canselor, bahkan jumlah wanita bergelar profesor sekarang terus meningkat. Begitu juga bidang perubatan semakin ramai doktor pakar wanita dan ada yang diberikan kepercayaan menerajui jabatan penting dalam bidang berkenaan.

Bina perniagaan sendiri

“Kita juga harus berbangga, ramai wanita yang bergelar usahawan dan menjadi peneraju utama dalam syarikatnya sendiri. Sebenarnya, membuka syarikat atau perniagaan sendiri memberi lebih peluang kepada wanita menjadi pemimpin. Jika kita lihat, senario ini juga berlaku di Jepun dan Korea. Kecewa dan tidak diberi peluang menjawat jawatan penting, ramai wanita di negara itu mencari modal memulakan perniagaan dan ternyata mereka berjaya menyerlahkan kredibiliti tanpa penggantungan pada orang lain.

Wanita Malaysia boleh dikatakan beruntung kerana kerajaan memperkenalkan pelbagai program menggalakkan menjadi usahawan. Sekurang-kurangnya ini memberi peluang mereka menerajui syarikat sendiri dan menunjukkan keupayaan,” jelasnya.

Untuk melahirkan pemimpin wanita cemerlang, Zaharah berkata ada beberapa faktor yang boleh membantu. Pertama, wanita perlu menggunakan gaya kepimpinan bersesuaian mengikut keadaan. Kebanyakan kajian mendapati, gaya kepimpinan transformasi yang menggabungkan sikap dan tingkah laku positif pemimpin lelaki dan wanita adalah gaya kepimpinan yang paling berkesan.

Wanita perlu mengadaptasi sikap positif lelaki seperti tegas dan berani. Konsep mentor- mentee perlu diperkenalkan dalam semua organisasi. Wanita yang ada potensi perlu dikenal pasti dan digilap dari awal. Semua orang mungkin ada potensi tetapi jika hanya harapkan karisma saja, tidak dilatih, dibimbing dan diberi peluang dan sokongan, ia tidak akan menjadi. Kepimpinan adalah sesuatu yang boleh dipelajari tetapi untuk menjadi pemimpin yang berjaya dan berkesan, mesti ada gabungan ciri-ciri kepimpinan serta pengurusan yang baik,” katanya.

Kuota 30 peratus bukan pro wanita

MENETAPKAN kuota 30 peratus wanita menduduki jawatan tertinggi atau sebagai pembuat dasar wajar tidak seharusnya dijadikan kontroversi, sebaliknya disambut positif bagi menyumbang tenaga kepada pembangunan negara.

Prof Madya Dr Zaharah Hassan, berkata kuota berkenaan perlu ada tempoh masa tertentu sehingga golongan itu menerima hak sama rasa dan tiada diskriminasi.
Wanita pula, tidak seharusnya melihat penetapan kuota sebagai peluang untuk mendapatkan jawatan penting dan kedudukan selesa dengan cara mudah.

Namun, tegasnya, wanita dilantik perlu yang benar-benar berwibawa bukan sekadar tokenism atau amalan melantik hanya untuk memenuhi kuota.

Di negara Scandinavia seperti Denmark, Norway dan Sweden sudah terkenal dengan berbagai polisi menjaga kepentingan wanita. Mereka masih berasakan penetapan kuota untuk wanita perlu dilaksanakan. Tindakan kerajaan berkaitan isu ini amat wajar demi menjamin potensi wanita dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Mengulas masa depan wanita sebagai pemimpin dalam tempoh lima tahun akan datang, Zaharah menjangka matlamat mencapai ke tahap itu lebih mudah berikutan peranan aktif advokasi dimainkan pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan serta pertubuhan wanita dalam pelbagai bidang.

“Pada masa depan, lebih ramai wanita berpendidikan tinggi dan mereka ini bukan saja cukup ilmu tetapi lebih berfikiran terbuka dan matang. Namun, pada masa sama kita harus ingat, pemimpin hari ini perlu menggunakan pendekatan sesuai dan berpandangan jauh supaya generasi muda lebih bersedia memikul tugas dan mengekalkan nilai sewajarnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...