Tuesday, July 9, 2013

GANGGUAN SEKSUAL CALAR IMEJ SUKAN

Berita Harian, Selasa Ogos 10, 2010
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Gangguan seksual calar imej sukan

  
USAH terkejut, jika dikatakan kebanyakan kes gangguan seksual yang membabitkan atlit sukan di negara ini tidak dilaporkan, berikutan beberapa alasan tertentu.

Ini termasuklah, mangsa diselubungi perasaan malu, trauma, serba salah, takut, tidak tahu saluran untuk mengadu dan sebagainya.
 

  
  Bagaimanapun, jangan juga berasa hairan apabila ada individu berani dan mengaku menjadi mangsa gangguan seksual, maka semakin ramai lagi mengalami kejadian atau peristiwa sama, tampil ke hadapan serta turut membongkarkan apa yang pernah berlaku serta terjadi kepadanya sebelum itu.
  
  Sesuatu yang pasti, walaupun gangguan seksual sering membabitkan mangsa di kalangan atlit junior wanita, bukanlah mustahil jika ada atlit lelaki turut berdepan dengan masalah seumpama itu. Sama ada atlit wanita mahupun lelaki, masalah gangguan seksual meninggalkan kesan cukup hebat kepada mangsa dan boleh menyebabkan gangguan emosi sehingga mengakibatkan, prestasi individu terbabit menurun.
  
  Malah, dalam dunia sukan didapati bukan atlit saja yang terdedah kepada masalah gangguan seksual tetapi individu lain seperti pegawai pengiring (Liason Officer, LO), pegawai sukan dan sebagainya juga tidak terkecuali berdepan dengan isu sosial yang sering dipandang sebelah mata itu.
  
  Hakikatnya, gangguan seksual khususnya dalam bidang sukan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dan juga bukan bahan gurauan untuk ditertawakan.
 
Apatah lagi, masalah itu berleluasa dan berlaku di mana-mana serta pada bila-bila masa saja termasuklah ketika sesi latihan mahupun selepas habis waktu latihan. Lebih malang, ia turut membabitkan atlit muda yang mempunyai masa depan cerah untuk menyerlahkan bakat dalam bidang sukan.
  
  Tempat kejadian pula merangkumi sama ada di pusat latihan, bilik persalinan mahupun rawatan dan sebagainya. Masalah gangguan seksual juga didapati, bukan saja berlaku ketika warga sukan berada di dalam negara tetapi juga ketika berada di luar negara.
  
  Apabila isu itu dipaparkan di dalam media, sudah tentulah impak lebih besar lagi, bukan kepada mangsa semata-mata dan persatuan sukan berkaitan tetapi juga maruah serta imej bidang sukan di negara ini.
  
  Itulah antara beberapa fakta dan pandangan yang dilontarkan pada seminar Gangguan dan Penindasan Seksual Dalam Sukan anjuran Institut Sukan Negara (ISN) di Dewan Perdana ISN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
  
  Seminar dua hari yang dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Paduka Dr Mumtaz Begum Abdul Jaffar, dihadiri lebih 100 kakitangan ISN, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri, wakil persatuan sukan kebangsaan, atlit, jurulatih dan pelajar institusi pengajian tinggi. Turut hadir pada majlis pelancarannya ialah Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.
  
  Antara yang memberi pandangan dan pendapat pada seminar itu ialah psikologi sukan dan juga bekas atlit kebangsaan, Zaiton Othman. Beliau yang juga Pengarah Bahagian Hal Ehwal Atlit MSN membincangkan, topik bertajuk Kajian Kes dan Isu Semasa dengan memberikan beberapa contoh kes gangguan seksual pernah ditangani.
  
  Zaiton, berkata antara kes gangguan seksual dilaporkan ialah membabitkan aduan atlit perempuan junior yang cuba dicabul oleh seorang pengurus pasukan apabila ditempatkan di sebuah apartmen sama ketika berlangsung satu kejohanan di luar negara. Mujur, atlit terbabit berjaya melepaskan diri dan mengadu kepada urus setia yang kemudian tindakan diambil, diasingkan tempat tinggalnya.
  
  "Dalam satu kes lain yang juga berlaku di luar negara, seorang pegawai pengiring mengadu, cuba dicabul oleh seorang pegawai pasukan dari Malaysia. Kes itu diceritakan kepada atlit negara dan satu aduan rasmi dikemukakan. Kes yang berlaku di dalam negara pula membabitkan, seorang atlit wanita yang dipujuk untuk menanggalkan pakaian semasa sesi mengurut berulang kali tetapi perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak atasan atas kehendak atlit itu sendiri.
  
  "Satu lagi kes ialah membabitkan seorang atlit mengambil gambar rakan sebilik yang sedang mandi dan menyebarkan gambar itu kepada rakan-rakan lain termasuk atlit lelaki," katanya berkongsi beberapa kes gangguan seksual membabitkan warga sukan di negara ini, sekali gus membuktikan masalah itu sememangnya wujud dan bukan omongan kosong.
  
  Zaiton berkata, dalam kebanyakan kes mangsa terkejut tetapi ada juga yang mengambil sikap berhati-hati dengan menolak cara baik. Ada juga berasa amat takut untuk bertindak atau melaporkan kejadian itu dan akhirnya, terus berdiam diri. Namun, tindakan seperti itu tidak membantu menyelesaikan masalah kerana pelaku tidak mustahil, terus mencari mangsa lain dan jika tidak dibendung ia boleh memalukan negara.
  
  Bagaimanapun, Zaiton turut menegaskan, masalah gangguan seksual di kalangan atlit bukan saja berlaku dalam negara ini. Contohnya, dalam satu kajian gangguan seksual di Turki terhadap atlit elit wanita mendedahkan, 200 atau 56 peratus daripada 356 responden terbabit dalam kajian itu mengakui, pernah mengalami gangguan seksual.

  
  Katanya, kajian itu mendapati, jenis gangguan seksual paling lazim berlaku ialah sentuhan iaitu 26 peratus manakala jenaka, soalan dan kata-kata berunsur seksual, 25 peratus dan panggilan telefon serta surat (24 peratus).
  
  Kajian berkenaan turut mendapati, gangguan seksual paling kerap berlaku ialah selepas perlawanan atau latihan manakala lokasi kejadian sering membabitkan pusat sukan. Secara keseluruhan, kajian berkenaan mendapati, atlit elit wanita dari pelbagai bidang sukan adalah terdedah dengan gangguan seksual.
  
  "Saya tidak fikir pakaian adalah punca utama berlakunya gangguan seksual di kalangan warga atlit. Jika sudah ada `perangai syaitan' dan kejahatan dalam diri, itulah yang mendorong pelaku melakukan perbuatan itu," tegasnya.
  
  Zaiton menyarankan, kajian atau penyelidikan dari akar umbi mengenai gangguan seksual perlulah dibuat selain memberikan pendidikan mengenai hal itu kepada atlit dan mereka yang terbabit dalam bidang sukan, betapa seriusnya isu berkenan.
  
  "Mangsa gangguan seksual juga perlu dibantu dengan menyediakan saluran betul untuk membuat laporan dan mendengar masalah dihadapinya," katanya.
  
  Sementara itu, Mumtaz dalam ucapan perasmian, menggesa semua atlit, tidak mengira lelaki atau wanita, perlu melaporkan dengan segera sekiranya mereka berhadapan dengan masalah gangguan seksual semasa menjalani latihan.
  
  Mumtaz berkata, pada masa ini gangguan seksual tidak dilihat sebagai satu jenayah spesifik dan akibatnya, ramai yang memandang remeh isu itu.
  
  "Isu ini adalah sensitif dan sebab itulah
walaupun berlaku, individu mendiamkan diri kerana malu manakala dalam adat masyarakat kita, tidak begitu terbuka bercerita mengenai hal seumpama ini. Oleh itu ramai yang berhadapan dengan masalah gangguan seksual tetapi tidak melaporkannya. Fenomena seumpama itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila membabitkan individu yang telah dipertanggungjawabkan untuk mempertingkatkan kecemerlangan sukan di negara ini," katanya.
  
  Beliau berkata, gangguan seksual bukan saja membabitkan lelaki dengan wanita tetapi juga berlaku di kalangan gender yang sama. Ini boleh menyebabkan gangguan emosi yang boleh menyebabkan prestasi atlit menurun. sudah tentu ibu bapa kepada atlit muda terbabit mengharapkan kepercayaan diberi kepada jurulatih itu dapat ditunaikan sepenuhnya," katanya.
  
  Kena bersuara tangani masalah
  
  PERLU ada `suara' yang boleh dijadikan entiti tekanan bagi menangani masalah gangguan seksual, khususnya di kalangan atlit wanita. Dengan adanya suara atau badan, yayasan mahupun persatuan tertentu, isu gangguan seksual boleh diketengahkan dan dipandang lebih serius manakala kebajikan atlit dapat dijaga serta mempunyai tempat mengadu dan mendapat sokongan apabila timbul masalah seumpama itu.
  
  Prof Madya Dr Tengku Fadilah Tengku Kamalden dari Jabatan Pengajian Sukan yang juga Exco Yayasan Kecergasan Sukan Wanita Malaysia (WSFFM), berkata tidak hanya entiti untuk suarakan masalah dan kebajikan atlit wanita tetapi semua kerana ada kemungkinan, lelaki juga menjadi mangsa gangguan seksual.
  
  "Malah idea penubuhan WSFFM beberapa tahun lalu pada asasnya adalah bertujuan membela dan menjaga kebajikan atlit wanita, termasuklah dalam usaha menangani isu berkaitan masalah gangguan seksual.
  
  "Di negara lain, pertubuhan atau persatuan seumpama itu sudah pun lama dan lebih awal ditubuhkan dan boleh berperanan cukup besar bagi membela serta menjaga kebajikan atlit. Di Amerika Syarikat misalnya, selain ada Women Sports International terdapat juga Women Sports Foundation dan ia adalah yayasan paling aktif membela nasib atlit wanita.

Begitu juga di Australia, ada Women Sport Australia manakala Kanada pula menubuhkan True Spots Foundation yang mana polisinya tidak hanya atlit wanita tetapi semua gender.
  
  "Beberapa negara Asia juga ada entiti suara masing-masing seperti di India yang menubuhkan India Sports International dan Japanese Association for Women in Sports bagi negara Jepun," katanya.
  
  Tengku Fadilah ya, berdasarkan pengalaman dilalui turut bersetuju dengan pandangan bahawa pakaian bukanlah isu utama menyebabkan gangguan seksual di kalangan atlit, sebaliknya berlaku adalah berkaitan dengan kuasa.
ng juga bekas perenang negara yang turut membincangkan topik, Kajian Kes dan Isu Semasa berkata
  
  Beliau menambah, masalah gangguan seksual di kalangan atlit perlu diberikan perhatian serius apatah lagi, beberapa bidang sukan seperti balet dan sukan renang membabitkan bakat muda serta masih mentah usia mereka.
  
  "Sukan seperti balet dan renang lazimnya, membabitkan bakat muda berusia bawah 12 tahun yang mana kebanyakan bakat mereka dikesan dan diasah oleh guru di sekolah. Kemudian, untuk melangkah lebih jauh dalam bidang sukan diceburi, mereka dilatih oleh jurulatih profesional yang ada kuasa membentuk dan memupuk bakat atlit muda berkenaan. Masalah yang timbul apabila jurulatih itu berbeza jantina dengan atlit muda terbabit. Dalam hal ini, sudah tentu ibu bapa atlit terbabit mengharapkan kepercayaan diberi kepada jurulatih itu dapat ditunaikan sepenuhnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...