Monday, April 13, 2015

ublication Name :Berita Harian
Date of publication :Thu, May 6, 2004
Section Heading :Tengah
Page Number :07
Headline :Kupas isu gender dari pandangan holisitik
Byline :By Nor Affizar Ibrahim



Length count:1119
Page heading:Wanita & keluarga
Column:LO
Edition:NA
Status:Normal
Copyright:NSTP
  
Text:WALAUPUN perkataan `gender' hari ini semakin kerap disebut, hakikatnya masih ramai yang tidak mengerti sepenuhnya apakah maksud sebenar perkataan itu. Malah, ada segelintir masyarakat memandang remeh dan menjadikan perkataan itu sebagai bahan ketawa, misalnya, gender sering kali dikaitkan dengan perkataan `janda'. Bagi menjelaskan dan memahami erti gender sebenar, Wartawan Wanita & Keluarga, NOR AFFIZAR IBRAHIM menemubual Koordinator Kanan Projek Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Dr Noorul Ainur Mohd Nur di Intan, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
  
 KESAKSAMAAN gender bukan isu atau tidak hanya mengenai soal perbezaan jantina, lelaki dan wanita semata-mata. Sebaliknya, kesaksamaan gender kepada menjurus pembentukan tanggapan sosial masyarakat.
  
 Koordinator Kanan Projek Intan, Dr Noorul Ainur Mohd Nur, berkata tanggapan pembentukan sosial masyarakat ini ada yang negatif dan positif.
  
 Katanya, bagi memastikan kelompok masyarakat itu melangkah ke depan dalam pembangunan negara, tanggapan yang negatif memang wajar dielakkan.
  
 "Terlalu terikat dengan tanggapan sosial masyarakat yang tidak membina khususnya, itulah yang cuba dan perlu dipecahkan dalam sesuatu kelompok masyarakat itu," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur berkata, masyarakat yang membentuk sendiri persepsi mengenai gender dan bukannya biologikal - lelaki mahupun wanita.
  
 Beliau berkata, menelusuri pembangunan di negara ini, didapati dulu fungsi wanita hanya duduk di rumah dan menolong ibu bapa membuat kerja di dapur. Kemudian, wanita itu berkahwin dan dikurniakan anak.
  
 Bagaimanapun, kata Dr Noorul Ainur, itu adalah tanggapan masyarakat hidup zaman sebelum merdeka.
  
 "Pada masa sama, pada zaman itu ada seorang dua wanita berjaya memecahkan belenggu yang menyatakan, wanita hanya boleh buat ini atau tidak boleh buat itu.
  
 "Contoh paling jelas, ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Beliau berjaya menjadi doktor dan berupaya memecahkan tradisi dan pandangan bahawa tidak hanya lelaki yang boleh menjawat pekerjaan itu," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur turut memberi contoh lain mengenai tanggapan masyarakat suatu ketika dulu terhadap seorang bapa atau suami mendukung anak atau menyidai pakaian. Apabila pekerjaan seumpama itu dilakukan oleh bapa atau suami, ada yang berkata lelaki berkenaan sudah dilindungi sanggul (Queen Control).
  
 "Begitu juga apabila suami membuat susu anaknya, kebanyakan ibu zaman dulu yang melihatnya akan marah. Konon, kerja seperti itu bukan kerja suami dan dia tidak boleh buat.
  
 "Senario itu kini sudah jauh berubah. Kebanyakan lelaki dilihat sudah mahu membantu isteri sidai kain dan jika pergi di kompleks beli-belah, masyarakat tidak hairan lagi melihat bapa mendukung anaknya," katanya.
  
 Jelas Dr Noorul Ainur, bukan saja wanita, golongan lelaki juga boleh menjadi mangsa tanggapan gender.
  
 Contohnya, kerjaya jururawat di negara ini hanya layak pekerjaan wanita. Hakikatnya, gender dibentuk oleh masyarakat sendiri.
  
 "Siapa kata lelaki tidak boleh jadi jururawat. Ada pesakit lelaki yang malu dijaga jururawat wanita, terutama berkaitan bahagian sulit (kemaluan). Jadi, mengapa tiada jururawat lelaki? Jelas, di sini tanggapan masyarakat yang sebenarnya tidak membenarkan atau terbuka minda untuk menerima jururawat lelaki," katanya.
  
 Beliau berkata, apabila memperkatakan persoalan gender tidak semua membabitkan perkara mendatang. Dalam hal tertentu, ada masyarakat patah ke belakang balik. Contohnya, suatu ketika dulu bilangan guru lelaki di negara ini ramai berbanding guru wanita.
  
 Tetapi pada suatu peringkat, negara mula mengalami kekurangan guru lelaki kerana dianggap golongan wanita lebih layak menyertai bidang pendidikan. Kemudian apabila bilangan guru lelaki semakin berkurangan berbanding guru wanita, masyarakat mula melahirkan kebimbangan mengenai hal itu.
  
 Justeru, apabila membicarakan soal kesaksamaan gender, masyarakat mesti cuba memastikan baik wanita mahu pun lelaki tidak menjadi mangsa.
  
 Bagaimanapun, hingga kini kebanyakan orang lebih memahami gender itu ialah mengutamakan wanita saja. Malah, masih ramai yang tidak mengerti sepenuhnya maksud gender.
  
 "Memang ada kebenarannya, dalam hampir setiap hal wanita sentiasa didahulukan. Tetapi, kita harus faham mengapa apabila memperkatakan mengenai gender, semua perkara diletakkan pada wanita. Ini kerana golongan itu yang melahirkan generasi pemimpin masa depan.
  
 "Sama juga jika kita tengok masalah ibu tunggal. Jangan tengok pada ibu atau anaknya saja tetapi dari sudut sosial yang lain. Kebiasaannya, apabila berpisah anak akan pergi pada ibu. Bayangkan, jika ibu itu tidak bekerja dan tidak dibantu, ada banyak masalah sosial yang boleh timbul pada anak atau ibu seperti kemiskinan, GRO dan penagihan dadah. Bagi menangani masalah sosial itu daripada berlaku, kita perlu pandang ke depan dan perspektif yang lebih luas. Yang nyata, soal gender mesti dipandang secara holisitik," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur berkata, dalam menyelesaikan sesuatu masalah kebanyakan pihak lebih memandangnya hanya masalah wanita semata-mata. Misalnya, dalam konteks pembinaan keluarga. Pasangan suami isteri, kedua-duanya terpelajar. Selepas kahwin dan ada anak, timbul isu mencari orang gaji atau pengasuh. Apabila masalah menjaga anak tidak dapat diselesaikan, akhirnya si isteri disuruh berhenti kerja.
  
 "Wanita berkenaan bekerja untuk membantu suami. Jadi, kenapa tidak diwujudkan pusat asuhan di tempat kerja. Tidak hairan ini berlaku kerana kebanyakan melihat, masalah menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja adalah masalah wanita saja.
  
 "Tetapi cuba lihat cara penyelesaian yang baik. Misalnya, di Putrajaya ada satu blok dikhususkan sebagai tempat asuhan dan kakitangan di situ boleh menghantar anak mereka ke situ. Sekali gus, masalah pengasuh dapat diatasi. Ini yang dikatakan masalah kesaksamaan gender dapat diselesaikan untuk lelaki dan wanita," katanya.
  
 Beliau berkata, Barat bukan model gender yang baik untuk dicontohi. Berdasarkan pengalaman bekerja dan belajar lebih sedekad di Barat, katanya, didapati perjuangan gender masyarakat di sana lebih ke arah pergerakan feminisme yang berfikiran liberal dan menongkah arus.
  
 "Masyarakat kita tidak perlu `hadap' sangat ke Barat kerana Malaysia lebih maju dalam beberapa perkara. Lagipun, kita bukan hendak sampai ke tahap seperti di Barat - penuh kebebasan sehingga buka baju dalam dan terjerit di tengah jalan. Itu gaya hipi.
  
 "Tetapi kita hendak meningkatkan taraf wanita dalam sesebuah keluarga dan bukan kuasa hendak mengawal di rumah tetapi kuasa membuat keputusan. Jika kuasa itu diberikan, secara tidak langsung seseorang wanita yang tidak pernah bekerja juga dapat membina keyakinan diri," katanya.
  
 Beliau berpendapat gabungan dengan beberapa pihak, terutama dengan golongan yang bekerja dari akar umbi adalah sumber terbaik membantu mengatasi masalah kesaksamaan gender.
  
 "Misalnya, jika saya sebagai pembuat dasar, saya tidak turun ke padang dan tidak akan tahu apa yang berlaku. Saya rangka dasar itu cantik di atas kertas dan apabila pelaksanaan, ia gagal kerana saya tidak tahu masalah sebenar dari akar umbi. Kegagalan itu tidak mustahil.
  
 "Oleh itu, pembuat dasar wajar menggalakkan penyertaan beberapa pihak lain termasuk NGO dan juga golongan akademik serta mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan mengenai program kesaksamaan gender. Dengan ada jalinan strategi kerjasama itu, pelbagai buah fikiran dapat didengar dan lebih banyak masalah di luar diketahui," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur berkata, agensi dan badan yang terbabit membangunkan serta mengembangkan program serta projek gender juga tidak boleh memilih hal membabitkan wanita saja tetapi kedua-dua pihak, lelaki dan wanita, misalnya yang membabitkan suami dan isteri untuk keluarga.
  
 "Pilih projek atau program yang mana lelaki berasa tidak terpinggir. Selain itu, pilih kaedah penyampaian serta pendekatan pada subjek sesuai dan boleh diterima semua. Ini kerana kemajuan sesebuah negara mesti seiring antara lelaki dan wanita. Jangan tinggalkan wanita ke belakang walaupun setapak ke belakang," katanya.
  
 (END)

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...