Monday, December 31, 2012

Awas suri rumah!



 Berita Harian, 8 Disember 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Awas suri rumah!

HIV bukan `milik mutlak’ pekerja seks dan penagih dadah

AMAT membimbangkan apabila didapati kira-kira 10 rakyat Malaysia dikesan HIV positif setiap hari dengan suri rumah terutama Melayu berisiko lebih lima kali ganda dijangkiti Human Immunoidifiey Virus (HIV) akibat hubungan seksual berbanding pekerja seks yang mengamalkan seks selamat sepanjang masa bertugas.

Berdasarkan statistik Unit Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan pada 1986 hingga 2010, sebanyak 91,362 rakyat Malaysia dijangkiti HIV dengan 3,291 orang daripadanya adalah suri rumah berbanding 593 pekerja seks.
Statistik menunjukkan selain suri rumah, jangkitan HIV turut membabitkan seramai 312 pelajar, pekerja industri (6,4048) dan sektor swasta (1,500). Mengikut pecahan kaum pula, seramai 65,235 daripada keseluruhan pesakit HIV berbangsa Melayu, diikuti Cina (13,283) dan India (7,190).

Apa pun, peningkatan jumlah suri rumah mengidap HIV sejak dua tahun kebelakangan ini, berbanding pekerja seks dan pengguna dadah ternyata meresahkan banyak pihak.


Lebih ramai suri rumah dijangkiti HIV

WANITA tidak mampu berbincang dengan suami untuk mengamalkan seks selamat, termasuk meminta suami menggunakan kondom selain takut bertegas atau dikasari jika melakukan hubungan tanpa penetrasi dikatakan antara sebab mengapa kes HIV meningkat di kalangan suri rumah.

Selain itu, sikap terlalu percayakan pasangan, selesa dengan maklumat kesihatan diri suami sebelum ini, di samping tiada pilihan serta takut didera secara fizikal dan emosi apabila mempersoalkan status kesihatan suami menyebabkan wanita mengambil sikap berdiam diri sedangkan menyedari, dirinya berisiko tinggi dijangkiti HIV menerusi hubungan kelamin.

Lebih membimbangkan apabila Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun lalu, melaporkan jumlah pesakit HIV di seluruh dunia kini dianggarkan seramai 34 juta orang dengan 1.8 juta kematian setiap tahun dan kira-kira 7,000 jangkitan baru dikesan setiap hari.

Justeru, bagi menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS, Majlis Aids Malaysia (MAM) melalui perancangan program tahunan berstruktur dengan matlamat bagi mengurangkan pendedahan HIV bagi kumpulan sasaran, mengadakan pelbagai program pencegahan, penjagaan serta sokongan.

Ini termasuklah menyertai Karnival Kesihatan anjuran Sekretariat Kebajikan Pergerakan Wanita UMNO, setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara.

Eksekutif Bahagian Latihan Majlis HIV dan Aids Malaysia, Raffie Jaafar, berkata Karnival Kesihatan itu adalah landasan baik untuk menyebar dan menyampaikan maklumat, khususnya kepada wanita, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes jangkitan HIV kepada suri rumah pada masa kini.

“Jika dulu, kita sering dengar jangkitan HIV di kalangan wanita adalah mereka yang bekerja sebagai pekerja seks dan pengguna dadah tetapi sejak dua tahun lalu, kes suri rumah dijangkiti penyakit berjangkit itu didapati terus meningkat sedangkan, jumlah kes jangkitan HIV di kalangan pekerja seks dan pengguna dadah menurun sebanyak 25 peratus,” katanya ketika ditemui di PWTC, baru-baru ini.

Raffie berkata, kehadiran ramai perwakilan dan pemerhati Wanita UMNO dari seluruh negara. termasuk dari luar bandar ke perhimpunan itu, secara tidak langsung membolehkan usaha menyebarkan maklumat mengenai HIV dan Aids menjadi lebih mudah dan meluas serta merangkumi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

“Penyebaran maklumat kepada semua adalah penting kerana sambutan hari Aids Sedunia 2011 yang disambut pada 1 Disember tahun ini bertemakan, Menuju Sifar. Jadi, besarlah harapan kami supaya tema itu dapat direalisasikan melalui usaha giat penyebaran dan penyampaian maklumat dilakukan kakitangan dan juga sukarelawan MAM.

“Tahun ini, MAM berganding bahu dengan Yayasan Aids Malaysia, yang membawa pelbagai produk seperti kemeja-T, topi dan payung bagi jualan amal untuk mengumpul dana tabungan membantu pesakit HIV dan Aids,” katanya.

Lebih menarik, sepanjang karnival berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember lalu, kelibat sukarelawan muda semakin ramai kelihatan menjayakan kempen.

Penyertaan mereka memberikan mesej tersendiri dan bersesuaian dengan hasrat MAM yang ingin menggalakkan lebih ramai penyertaan orang muda dalam kempen bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai HIV dan Aids di negara ini.

Apatah lagi di Malaysia, lebih 50 peratus daripada mereka yang HIV positif berusia bawah 30 tahun.

Harus juga ingat, sebahagian daripada usaha untuk membanteras HIV dan Aids mestilah meliputi perubahan sikap dan tingkah laku lelaki muda khususnya dari aspek cara mereka mempertimbangkan risiko dan cara pergaulan untuk menjadi lelaki dewasa.

Nurhilmi Nurdin, 24, dari Pahang, yang baru habis pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata penyertaannya sebagai sukarelawan dengan MAM, dilihat sebagai satu tanggungjawab perlu yang ditunaikan.

“Selain ingin mencari duit poket, menambah ilmu dan pengalaman, saya ingin berkongsi pengetahuan apa yang saya tahu mengenai HIV dan Aids. Saya juga ingin menukar tanggapan masyarakat supaya jangan mendiskriminasi dan prejudis kepada mereka yang menghidap penyakit itu,” katanya.

Bakal pendidik, Rosidi Marzuki, 23, yang kini menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas di Cheras berpendapat, peranan orang muda adalah penting dalam sama-sama menjayakan kempen seumpama itu.

“Sebagai bakal guru, saya lihat pengalaman menjadi sukarelawan dalam MAM amat penting sebagai persediaan untuk mendidik anak murid kelak. Oleh itu, saya tidak kisah turun padang dan menerangkan apa saja berkaitan mengenai HIV dan Aids kepada orang ramai.

“Sepanjang menjadi sukarelawan, saya dapati orang muda lebih senang berkomunikasi atau meluahkan masalahnya kepada orang muda dan ini memudahkan maklumat disampaikan kepada kumpulan sasar,” jelasnya.

Bagaimanapun, Rosidi yang berasal dari Mukah, Sarawak tidak menafikan ada cabaran apabila menyampaikan maklumat mengenai penyakit itu apabila berdepan dengan individu yang jarak usia lebih daripadanya.

Bercakap dengan orang muda kita mungkin lebih terbuka tetapi dengan individu yang jarak usianya jauh beza, saya perlu lebih bijak. Lebih-lebih lagi saya masih bujang dan apabila bercakap mengenai hubungan seks dan sebagainya dengan orang sudah berkahwin, tentu ada kesangsiannya terhadap saya.

“Berdepan dengan situasi ini, kita perlu lebih bersikap terbuka dan tidak wajar bersikap berselindung memberikan serta menjelaskan fakta,” ujarnya.

Sementara itu, penuntut jurusan Pengurusan Kesihatan di Universiti Kolej MasterSkill di Ulu Langat, Selangor, Haszuril Morhsidi, 22, berkata pengalaman dan ilmu yang ditimba menjadi sukarelawan bukan saja bersesuaian dengan apa yang dipelajari tetapi turut memberi keseronokan dapat berkongsi pengetahuan dengan orang ramai.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, stigma negatif orang ramai terhadap pesakit HIV adalah masalah utama dan ia, jika tidak diperbetulkan boleh ‘membunuh’ pesakit berkenaan.

“Yang membunuh pesakit ialah stigma masyarakat yang memandang hina dan benci kepada mereka. Saya berasa perkara itu tidak patut berlaku kerana sesiapa saja boleh menjadi mangsa.

“Oleh itu, adalah penting untuk saya dan sukarelawan lain menyampaikan maklumat tepat kepada orang ramai supaya sokongan dapat diberikan kepada mangsa HIV,” katanya sambil berharap lebih ramai anak muda menjadi sukarelawan kempen seumpama itu.

INFO:

Objektif Majlis Aids Malaysia

• Meningkatkan kesedaran HIV/Aids
• Mencegah penyebaran HIV
• Menghapuskan diskriminasi, stigma dan prejudis yang berkaitan dengan HIV/Aids
• Menggalakkan dan melindungi hak asasi mereka yang terjejas oleh HIV/Aids
• Memastikan kualiti kehidupan terbaik bagi mereka yang dijangkiti HIV/Aids
• Menyediakan penjagaan dan sokongan kepada individu yang dijangkiti HIV/Aids

Hamil lewat usia

 Berita Harian, 3 Mac 2012

Hamil lewat usia

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2011/03/03

Walaupun berdepan risiko, masih ada yang mampu miliki zuriat

WALAUPUN ramai berpendapat usia 20-an dan awal 30-an adalah waktu paling ideal serta selamat bagi seorang wanita untuk hamil, tetapi aliran ketika ini menunjukkan semakin ramai wanita yang menuju usia matang tidak kisah untuk melalui detik kehamilan.

Meskipun sering mendengar risiko kehamilan oleh wanita usia 40-an, nampaknya peringatan itu makin kurang diberi perhatian kerana ada juga berpendapat, berapa pun usia menjangkau, wanita boleh hamil selagi tubuhnya sihat. Ada juga berpandangan, hamil pada usia muda tidak semestinya lebih baik kerana ada kala berlaku juga keadaan di luar jangkaan.

Justeru, ada yang tidak kisah untuk hamil dalam usia lewat walaupun kebanyakan rakan seusia dari awal-awal lagi sudah merancang `tutup kilang’ terutama apabila mencecah usia 35 tahun ke atas.

Walau apa pun keputusan dibuat, harus ingat, usia sememangnya boleh mempengaruhi kesuburan wanita. Apabila wanita sudah mencapai usia 30-an, mereka akan mengalami kekurangan tahap kesuburan. Apatah lagi, wanita yang sudah berusia 40-an.

Sebahagiannya mungkin disebabkan oleh kurangnya bilangan telur dan juga telur serta sperma yang kurang berkualiti. Malah, pada usia itu, kadar hubungan seks turut berkurangan selain pelbagai masalah kesihatan peranakan seperti endometriosis dan fibroid.

Perubatan moden memang boleh menolong wanita berusia lebih 35 tahun untuk menjalani kehamilan dengan selamat, namun, tidak harus lupa, komplikasi perubatan pada usia sebegini lebih tinggi berbanding wanita lebih muda.

Bagi Pengusaha Taska, Roslinda Othman, 47, kehamilan pada usia 40-an, lima tahun lalu sememangnya tidak pernah dirancang. Malah, baginya cukuplah dengan kehadiran empat anak dalam keluarga yang dibina sejak usianya 21 tahun.

Tetapi siapa sangka, meningkat usia 42 tahun, rupa-rupanya `ada lagi’ dan dalam perasaan terkejut serta gembira, Roslinda dan suami, Hassan Shariff, tidak menolak rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka.

“Kebetulan, jarak kelahiran usia semua anak kami agak jauh iaitu antara empat tahun dan lima tahun. Kerana itu, saya merancang untuk tidak bersalin lagi selepas mendapat anak keempat pada usia 37 tahun. Saya terfikir kalau hamil lagi, bermakna usia saya tentu sudah 40-an dan risikonya tentu ada.

“Namun, siapa sangka, tengok-tengok ada rezeki lagi,” kata Roslinda sambil tergelak kecil dan mengakui tidak pernah mengambil ubat perancang keluarga.

Menceritakan pengalaman hamil pada usia 40-an, Roslinda tidak menafikan ada rakan yang giat mengusiknya dan sedikit sebanyak timbul perasaan malu mengandung pada usia itu. Apatah lagi, ketika itu masih tidak ramai wanita yang mengandung pada usia demikian berbanding senario masa kini.

Mahu atau tidak, Roslinda perlu tahan dengan ejekan. Perasaan malu semakin meninggi apabila ada yang bertanya, tidak risau ke nanti kalau berjalan ada yang berkata anak bakal dilahirkan itu, cucu, terutama buat suami yang 15 tahun lebih tua.

Namun, Roslinda bersyukur, suami sedikit pun tidak kisah untuk menyambut `orang baru’ dalam keluarga dan sentiasa memberikan sokongan. Tambah pula, sepanjang kehamilan anak kelima itu, Roslinda mengalami alahan agak teruk sehingga tidak larat untuk memasak.

“Jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini, alahan dialami sepanjang kehamilan anak bongsu memang lebih teruk. Kebanyakan kerja rumah diuruskan oleh suami tetapi saya tidak fikir ia disebabkan faktor usia 40-an ketika itu.

“Namun, saya akui mengandung pada usia 40-an lebih mudah dan cepat letih, kaki juga cepat membengkak. Jika sebelum ini, kaki mula membengkak apabila kandungan memasuki usia lapan bulan hingga sembilan bulan, tapi kali ini, baru enam bulan, bengkak sudah ketara.

“Begitu juga berat badan, bertambah lebih berat daripada 48 kilogram (kg) kepada 70 kg. Sebab itu, kandungan baru mencecah enam bulan, saya asyik terbaring saja dan badan pun sakit-sakit sehingga suami tidak benarkan saya bekerja,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan emosi ketika itu, lebih-lebih lagi menyedari risiko hamil dan bersalin pada usia 40-an, Roslinda memberitahu, setiap kali kehamilan dan bakal menyambut kelahiran perasaan trauma serta berdebar-debar sentiasa menyelubungi diri terutama selepas melahirkan anak pertama yang mengalami masalah sindrom down.

“Anak pertama sindrom down dan dilahirkan ketika saya baru berusia 22 tahun. Sejak kelahiran anak pertama, trauma sentiasa hadir dalam diri saya setiap kali mengetahui saya mengandung. Malah, saya ingat lagi ketika mengandungkan anak kedua, saya terpaksa melalui pelbagai ujian dan pemeriksaan bagi memastikan anak yang dikandung tidak mengalami kecacatan.

“Saya benar-benar letih dan serik melalui semua itu menyebabkan untuk kehamilan anak ketiga dan seterusnya, saya tidak beritahu doktor keadaan anak sulung.

“Alhamdulillah, Allah itu maha kaya. Anak bongsu walaupun lahir pada usia saya 42 tahun, keadaannya sihat dan normal,” cerita Roslinda yang turut berbangga anak pertamanya boleh diharapkan membuat kerja rumah walaupun tergolong kanak-kanak istimewa.

Berkongsi pengalaman melahirkan anak bongsu, Siti Nor Afiqah, Roslinda berkata, kerana kandungannya besar dan lewat lima hari dari tarikh yang dijangkakan bersalin, beliau terpaksa melahirkan secara pembedahan. Siti Nor Afiqah dilahirkan dengan berat 3.9 kg berbanding kakak dan abangnya antara 2.6 kg dan 3.5 kg.

Apa pun, Roslinda tidak menafikan, mengandung pada usia 40-an, emosi dan mental perlu lebih kuat dan bagi umat Islam, digalakkan membaca al-Quran selalu perasaan sentiasa tenang.

“Jika ditakdirkan hamil pada usia yang sudah banyak, jangan fokuskan sangat tidak ada duit untuk masa depan anak itu. Insya-Allah, belanja dan rezeki itu kerja Allah tetapi kita juga kenalah berusaha,” katanya.

Sentiasa berfikiran positif

MASIH dalam berpantang, Maizatul Akmar Razali, 41, yang baru saja sebulan lebih menyambut kelahiran anak keenam, berasa gembira dan bersyukur kerana menimang seorang lagi cahaya mata, sekali pun usia meningkat serta sudah dikurniakan ahli keluarga agak besar.

Mempunyai anak masih kecil dan sedang membesar dari usia dua tahun hingga 13 tahun serta bersalin pada usia dikatakan berisiko untuk hamil, Maizatul berfikiran positif dan menganggap dikurniakan rahmat dan rezeki yang mungkin tidak semua orang boleh kecapi.

“Kehamilan anak bongsu kami memang tidak dirancang, malah sebelum itu, saya sedang berkira-kira mendapatkan nasihat doktor untuk mengambil kaedah perancangan keluarga yang sesuai. Tetapi dalam berura-ura itu, `tersangkut’ pula,” kata Maizatul sambil ketawa kecil.

Eksekutif di syarikat swasta itu mengakui, pada awalnya memang ada perasaan berbelah bagi dan takut terutama apabila memikirkan tahap kesihatannya. Tambah pula, diri belum bersedia kerana anak kelima baru saja berusia dua tahun.

Kebimbangan itu diluahkan pada doktor, tambah pula Maizatul pernah berhadapan masalah tiroid ketika hamil sebelum ini sehinggakan kandungannya gugur. Doktor meyakinkannya, dirinya sihat dan tiada masalah untuk mengandung lagi. Namun, kata doktor, kehamilan itu seharusnya yang terakhir bagi mengelak risiko berikutan faktor usia.

Dengan nasihat doktor dan sokongan suami, Nu’man Izzat Abdullah, semua perasaan negatif itu berjaya dibuang-buang jauh, malah sepanjang kehamilan, dia sentiasa ceria dan tidak berdepan masalah perubatan kronik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan sepanjang kehamilan anak bongsu, Amma Hakem, Maizatul mengambil langkah berhati-hati, termasuk menjaga pemakanan dari awal kandungan hingga bersalin dan lebih kerap berjumpa doktor terutama apabila mempunyai masalah kesihatan.

“Mengandung pada usia 40-an, bukan saja cepat penat, tulang belakang juga selalu sakit dan lebih kerap. Pergerakan pun agak lambat, mungkin usia sudah meningkat. Bayangkanlah, rumah saya dua tingkat dan kerana tidak larat, saya pastikan naik atau turun sekali saja, lebih-lebih lagi ketika hampir hendak bersalin, memang tak terdaya,” katanya yang melahirkan anak secara normal.

Nasihat Maizatul, wanita berusia 40-an yang bercadang untuk hamil, perlu merancang dengan baik dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor terlebih dulu. Sepanjang kehamilan pula, patuhi jadual rawatan kehamilan dan segera berjumpa doktor, jika ada sebarang masalah kesihatan.

INFO: Hamil lewat usia

  • Risiko untuk melahirkan anak cacat menjadi tinggi apabila usia semakin tua. Ini mungkin disebabkan ketidaknormalan pada telur disebabkan oleh kromosom yang tidak normal. Secara kasarnya, 1 dalam 1,400 bayi dilahirkan oleh wanita pada usia 20-an mengalami sindrom down dan kadar ini menjadi 1 dalam 100 apabila ibu mencecah 40-an.

  • Penyelidikan menunjukkan risiko keguguran adalah antara 12 peratus hingga 15 peratus bagi ibu berusia 20-an dan meningkat kepada 25 peratus pada wanita berusia 40-an. Kenaikan itu berlaku kerana meningkatnya kes kromosom tidak normal dan telur yang tidak berkualiti bagi wanita lebih berusia.

  • Wanita hamil usia lewat juga lebih terdedah kepada masalah perubatan kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Rawatan optimum sebelum hamil dan semasa hamil akan mengurangkan komplikasi penyakit ini.

  • Kejadian bayi meninggal dalam kandungan juga tinggi bagi wanita berusia 35 tahun ke atas. Wanita berusia juga lebih cenderung untuk melahirkan anak yang lebih kecil saiznya.

  • Kelahiran secara pembedahan juga tinggi terutamanya bagi yang hamil anak pertama di lewat usia.
  • USIA BUKAN KEUTAMAAN PILIH ISTERI

    Berita Harian

    Oleh Nor Affizar Ibrahim

    Usia bukan keutamaan pilih isteri


    Senario biasa dilihat kebanyakan jodoh pasangan yang mendirikan rumah tangga didapati usia suami lazimnya lebih tua daripada isteri. Pada masa sama, ada ramai juga pasangan suami isteri yang seusia bertemu jodoh mereka.

    Justeru, apabila pasangan yang suaminya lebih tua daripada isteri atau masing-masing sama usia mendirikan rumah tangga, tentu kurang dijadikan ‘bahan cerita’ kecualilah kalau jarak usia si suami bagaikan langit dan bumi antara isterinya.

    Isteri Lebih tua
    Bagaimanapun, jika usia isteri lebih tua daripada suami mungkin sesuatu ‘lebih seronok’ untuk ‘dijaja’ ke sana sini, khususnya dalam kelompok masyarakat yang suka menjaga tepi kain orang lain. Bukan itu saja, sebelum sah menjadi suami isteri pastinya pasangan berkenaan banyak menerima tentangan dan menghadapi pelbagai rintangan. Apatah lagi, jika jarak usia isteri terlalu banyak daripada suami.
     Namun, percayalah tinjauan rambang dibuat mendapati dalam memilih pasangan hidup kebanyakan lelaki sebenarnya tidak berapa kisah mengenai usia pasangannya. Malah, ramai lelaki juga yang tidak kisah jika bertemu jodoh dengan wanita sudah berusia atau jarak usia terlalu ketara.
    Dalam erti kata lain, usia bukanlah faktor utama difikirkan lelaki apabila mencari pasangan hidup sebaliknya, keserasian dan ada perasaan kasih sayang antara satu sama lain.

    Pandangan itu turut dikongsi oleh pegawai penyelidik di sebuah perpustakaan, Rosli Dahan, 41. Beliau berkata, hakikatnya tiada seorang pun yang tahu siapa jodoh mereka. Begitu juga dengan nasib yang bakal terjadi dalam sesuatu perhubungan.
    Katanya, lantaran itu mengapa usia pasangan harus menjadi persoalan besar ketika mengambil keputusan berkahwin dengan orang yang dikasihi.

    Beliau turut berpendapat, syurga atau neraka rumah tangga berkait rapat dengan peraturan, pengurusan dan pengendaliannya. Bukan disebabkan berkahwin dengan wanita lebih tua menjadi punca rumah tangga tidak akan bahagia.
    “Pada pandangan saya, usia tua atau muda bukanlah penentu kebahagiaan. Malah, Rasulullah SAW sendiri mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun, sedangkan isterinya, Khadijah berusia 40 tahun. Contoh itu sendiri membuktikan persefahaman paling penting dalam mengenal budi baik pasangan masing-masing,” katanya.

    Pilih agama
    Beliau berkata, Rasulullah SAW juga ada menyebut: “Dinikahi wanita disebabkan empat perkara kecantikan, keturunan, hartanya dan agamanya. Maka, pilihlah agamanya nescaya kamu bahagia.”
    Rosli berkata, berdasarkan hadis itu hendaklah kita sebagai manusia, baik lelaki mahupun perempuan dalam memilih calon masing-masing perlulah memberi perhatian mengenai soal keimanan sebelum melihat ciri lain.

    Azman Haziz, 36 dari Keramat berkata, soal calon isteri lebih tua bukanlah perkara yang perlu dirisaukan jika sudah suka sama suka. Sebaliknya, pasangan berkenaan perlulah terlebih mengenal hati budi masing-masing.

    Beliau yang lebih empat tahun tua daripada isteri berkata, ada suami lebih tua daripada isteri tetapi berlaku juga pergolakan rumah tangga. Hakikatnya, sikap saling hormat menghormati antara suami isteri bukan diukur pada usia sebaliknya, tahu peranan dan tanggung jawab masing-masing.
    “Orang suka mengata memang sudah menjadi resam manusia dan sudah berlaku sejak dulu lagi. Sebagai suami isteri kita tentu tahu bagaimana hendak menangani masalah yang timbul,” katanya.

    Abdul Razak Maarof, 36, dari Cheras turut sependapat mengenai isu ini. Beliau berkata, dalam memilih pasangan hidup ia terpulang kepada individu untuk menentukannya sendiri.
    “Isteri muda atau lebih tua daripada suami mahupun masing-masing sebaya, semua itu tidak penting.
    Pastinya, dalam mencari jodoh kita sendiri akan cuba mengenali hati budi pasangan. Bagaimanapun, wanita yang lebih tua daripada pasangannya kenalah pandai menghormati suami sebagai ketua keluarga. Jika pandai bawa diri dan tahu tanggungjawab, tentu tiada masalah,” katanya.

    Mengenai tohmahan dan kata umpatan orang sekeliling, Abdul Razak yang sudah berkahwin dengan pasangan lebih muda sembilan tahun daripada usianya berkata, pasangan terbabit perlulah bersabar dan tidak mempedulikan pandangan orang lain.

    Hati budi ukuran
    Pekerja hotel, Faisal Zakaria, 22, yang masih bujang pula, berkata pada dasarnya faktor usia bukanlah perkara utama yang difikirkan dalam mencari pasangan hidup sebaliknya, perasaan kasih sayang dan hati budi yang menjadi ukuran.
    Bagaimanapun, beliau mengakui andai bertemu jodoh suatu hari kelak, lebih selesa jika bakal isteri sekurang-kurangnya dua tahun lebih muda daripada usianya.
    “Kita memang tidak tahu siapa jodoh kita. Tetapi jika ditakdirkan bakal isteri lebih tua daripada saya, harap-harap janganlah jarak usianya lebih enam tahun daripada saya,” katanya.

    Walau apa pun pandangan dan pendapat diberi, semuanya adalah terpulang kepada pendirian individu dalam mencari pasangan hidup. Namun, kisah Rasulullah SAW sudah tentu boleh dijadikan teladan yang baik. Ini kerana baginda ketika hayatnya menunjukkan dengan jelas kebahagiaan sesuatu perkahwinan bukan bergantung kepada rupa, usia atau harta.
    Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah, pada suatu hari Aishah isteri baginda bertanya kepadanya, kata beliau: “Wahai Rasulullah, mengapakah engkau sentiasa saja menyebut nama Khadijah? Bukankah Khadijah itu hanya seorang nenek dan bukankah Allah gantikan dia dengan seorang yang lebih baik (maksud Aishah dirinya)?”

    Jawab Rasulullah: “Tidak, bahkan tidak ada pengganti Khadijah. Dia beriman kepadaku pada saat orang lain ingkar terhadapku, dia menyintai aku di saat orang lain membenciku, dia membenarkan aku ketika orang lain mendustakan aku. Allah tidak mengurniakan anak kepadaku dengan isteri lain selain Khadijah.”
    Pengajaran daripada hadis di atas amat mendalam sekali. Rasa cinta, kasih dan sayang antara insan, bukanlah hanya boleh diukur dengan usia, kekayaan dan kecantikan wajah saja.

    Anemia - Penghidap kurang zat besi mudah pitam,



     Berita Harian 22 Disember 2011

    Anemia - Penghidap kurang zat besi mudah pitam, lesu dan mengantuk

    Oleh Nor Affizar Ibrahim


    ANEMIA atau lebih dikenal masyarakat sebagai penyakit kurang darah, lazimnya sering dialami kebanyakan wanita dan remaja perempuan. Masalah kekurangan darah sering dilihat hanya sebagai penyakit ringan.

    Bagaimanapun, apabila ini berlaku ia tidak harus dipandang remeh kerana keadaan berkenaan berpotensi menjejaskan sistem imun setiap wanita yang mengalaminya. Anemia akan menyebabkan seseorang mudah pitam, lesu, kurang cerdas dan cergas, mudah letih serta mengantuk manakala bagi yang masih belajar, khususnya remaja perempuan akan mengalami kurang daya tumpu dalam pelajaran.

    Wanita dan remaja perempuan lebih berisiko mengalami anemia kerana kekurangan zat besi lebih banyak berbanding lelaki, sedangkan keperluannya dalam sehari adalah tinggi.

    Dalam sehari, setiap wanita akan kehilangan kira-kira satu hingga dua miligram (mg) zat besi melalui perkumuhan secara normal. Ketika kedatangan haid, misalnya, kehilangan zat besi boleh bertambah hingga satu mg lagi.
    Umumnya, apabila seseorang itu mengalami anemia, hemoglobin di dalam sel darah merah akan berkurangan. Hemoglobin adalah pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan. Otak memerlukan oksigen dan zat makanan yang cukup untuk berfungsi dengan optimum.

    Faktor pola makan

    Faktor lain yang menyebabkan wanita biasa mengalami anemia adalah pola makan. Dengan alasan takut gemuk, ada segelintir wanita atau remaja mengamalkan diet secara drastik. Golongan ini cenderung makan dalam jumlah yang kurang dan tidak mahu mengambil daging. Tanpa disedari, diet seumpama itu yang belum tentu membuatkan berat badan turun, boleh menyebabkan kurangnya pengambilan zat besi dari makanan.

    Umumnya, setiap wanita ataupun remaja perempuan yang mengalami anemia, tidak akan sama antara satu dengan orang lain sebab berdasarkan jenis anemia dialami. Tetapi anemia boleh dikesan apabila ada tanda seperti pucat terutama di bibir dan kelopak mata, sering lesu dan mengantuk, mudah berdebar-debar, bentuk kuku berubah, rambut mudah gugur atau putus serta kerap pening atau pitam.

    Bagi wanita hamil khususnya, anemia sangat bahaya kerana boleh menyebabkan tumpah darah semasa dan selepas bersalin, tekanan darah tinggi (eklampsia), keguguran dan kematian. Malah, anemia juga bahaya kepada bayi yang dikandung kerana boleh menyebabkan kematian janin, kelahiran bayi tidak cukup bulan dan kelahiran bayi kurang berat badan. Justeru, keperluan zat besi pada wanita juga meningkat saat kehamilan dan melahirkan. Ketika hamil, seorang ibu tidak saja dituntut memenuhi keperluan zat besi untuk dirinya, tetapi juga harus memenuhi keperluan zat besi untuk pertumbuhan janinnya.


    Pendarahan

    Selain itu, perdarahan saat melahirkan juga dapat menyebabkan seorang ibu kehilangan lebih banyak lagi zat besi. Dengan alasan itulah, setiap ibu hamil disarankan mengambil zat besi tambahan.

    Anemia boleh dicegah dengan mengambil kandungan zat besi. Banyak jenis makanan yang mengandungi zat besi. Beberapa makanan seperti hati, jantung, limpa, kuning telur, kerang, kekacang dan buah-buahan kering tertentu mengandungi zat besi dalam kadar cukup tinggi.

    Zat besi dalam jumlah sederhana pula boleh diperoleh daripada daging, ikan, sayuran berwarna hijau seperti pegaga, pucuk paku, bayam, kailan dan bijirin.

    Sumber zat besi daripada haiwan akan diserap lebih baik oleh tubuh daripada yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan. Bagi mengatasi masalah anemia, sebaik-baiknya perlu makan sekurang-kurangnya satu jenis makanan dari sumber haiwan yang kaya zat besi setiap hari.

    Penyerapan zat besi dapat dibantu dengan mengambil vitamin C, misalnya meminum jus, buah-buahan dan sayuran lainnya, sebaliknya teh, kopi, susu, minuman berkola, bercoklat mengandungi bahan yang dapat menghambat atau menghalang penyerapan zat besi.

    Minum susu

    Jika ingin mengambil makanan atau minuman seumpama itu, pastikan diambil waktu makan utama atau sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sebelum waktu makan.

    Bagi remaja pula perlu minum satu atau dua gelas susu sehari untuk mendapat cukup kalsium. Jadi, minumlah susu segar atau susu tepung di antara waktu makan utama seperti semasa minum pagi, minum petang dan minum malam.

    Pengamal vegetarian pula, perlu mengambil makanan daripada kombinasi beberapa jenis kekacang seperti kacang hijau, kacang soya dan kacang dal bersama makanan atau minuman yang tinggi kandungan vitamin C.

    Selain meningkatkan lagi pengambilan sayur-sayuran hijau, perlu juga makan pil hematinik mengikut arahan doktor.

    WANITA MENDEPANI CABARAN BARU

     Berita Harian, 24 Disember 2012


     SOROTAN 2012


     Wanita mendepani cabaran baru


    Transformasi dan meningkatkan kemajuan serta keupayaan antara agenda penting terus menjadi kesinambungan bagi memperkasakan wanita di negara ini sepanjang 2012.
      
    Justeru, tidak hairanlah pelbagai peristiwa membanggakan tersulam dan sejarah terlakar dalam dunia wanita di negara ini bagi tahun yang bakal ditinggalkan dalam beberapa hari lagi.
      
    Sepanjang 12 bulan berlalu, hak wanita terus diperjuangkan dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial, sekali gus menunjukkan kerajaan serius membela dan memacu kejayaan wanita di negara ini.
      
    Paling ketara ialah usaha kerajaan melipatgandakan usaha membebaskan kekangan dan tradisi yang terus membelenggu wanita di negara ini. Buktinya, menerusi pembentangan Bajet 2013 pada September lalu, kerajaan bukan saja mementingkan kebajikan, tetapi memberi pengiktirafan kehebatan wanita untuk sealiran dengan lelaki.
      
    Antaranya, peruntukan RM10 juta dikhususkan bagi melatih 500 wanita mengikuti Program Pengarah Wanita (WDP) supaya dapat memastikan 30 peratus wanita berada pada peringkat pembuat keputusan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat awam tersenarai menjelang 2016.
      
    Pengumuman itu menaikkan semangat wanita terus bersaing dengan lelaki bagi merebut peluang dalam pelbagai sektor. Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengadakan program khusus seumpama itu dan ini menunjukkan kerajaan bersungguh mengiktiraf peranan dan menitikberatkan kebajikan wanita dalam pelbagai aspek.
      
    Program itu bagaikan 'hadiah' bernilai untuk wanita, tambahan hasrat untuk mencapai kesamarataan gender di dalam bidang perniagaan dan korporat sering disifatkan sebagai jurang di antara niat serta kenyataan.
      
    Semangat baru
      

    Wanita Malaysia pada masa kini hanya menduduki 7.8 peratus kerusi pada peringkat lembaga pengarah. Di dalam laporan Forum Ekonomi Dunia 'Jurang Gender Global 2012,' pula melaporkan Malaysia jatuh dari kedudukan ke-72 kepada kedudukan ke-100 daripada keseluruhan 135 negara. Peruntukan dan program WDP memberi suntikan semangat baru untuk wanita lebih yakin menunjukkan keupayaan mereka.
      
    Insentif Bajet 2013 juga memperlihatkan habuan untuk setiap kumpulan sasar membabitkan kepentingan semua wanita dari yang berkerjaya hinggalah usahawan, ibu tunggal dan warga tua.
      
    Ini termasuklah, menggalakkan ibu tunggal dalam bidang keusahawanan, program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT), Get Malaysian Business Online (GMBO) membantu 50,000 usahawan kecil, terutama wanita meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran RM1,000.
      
    Kebajikan wanita dalam kesihatan juga diberi perhatian dengan memberi peruntukan RM25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram.
      
    Keprihatinan dan keperluan terhadap wanita tidak terhenti di situ, menyedari peranan wanita wajar dijanakan secara berterusan tahun ini, pelbagai insentif diumumkan. Kemelut pekerja wanita berdepan masalah menghantar anak di pusat jagaan selain kos mengambil pembantu rumah asing yang terlalu tinggi diberi tumpuan.
    Tidak pernah lepas pandang isu ini, kerajaan memberi insentif kepada majikan yang menyediakan elaun dan subsidi Taman Asuhan Kanak-kanak untuk pekerja sebagai langkah berkesan menarik minat tenaga kerja wanita kekal di sektor pekerjaan
      
    Kegemilangan dibanggakan
      
     Tahun 2012 turut menyaksikan kegemilangan wanita meraih beberapa kejayaan dalam beberapa bidang. Malaysia berbangga apabila anak jati Sarawak, Pandelela Rinong Pamg, 19, muncul wanita pertama negara merangkul pingat pada Sukan Olimpik London 2012. Memenangi gangsa dalam acara platform 10 meter, perenang muda itu membanggakan 28 juta rakyat apabila bangkit pada terjunan terakhir acara itu untuk menjadi penerjun ketiga terbaik dunia ketika ini.
      
    Pelumba elit wanita, Fatehah Mustapa turut merakamkan sejarah sebagai pelumba wanita pertama negara memenangi emas pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012). Fatehah mencipta persembahan membanggakan dan menghadiahkan emas dalam acara keirin.
      
    Dr Nor Salita Ali, 42, pula diiktiraf sebagai satu-satunya doktor perubatan wanita negara ini dan di Asia yang mempunyai kepakaran dalam perubatan nuklear. Pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjaya melakar sejarah baru bidang perubatan antarabangsa apabila dianugerahkan Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear) bersama empat lagi doktor lelaki pakar klinikal perubatan nuklear sulung di Asia.
      
    Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz terus cemerlang dan menunjukkan 
    ketokohannya kerana disenaraikan Global Finance sekali lagi sebagai Ahli Perbankan Pusat Terbaik Dunia. Beliau yang menerima pengiktirafan keempat adalah antara enam ketua bank pusat yang mencapai mata 'A' dalam Kad Laporan Ahli Perbankan Pusat yang diterbitkan majalah itu.
      
    Usaha dan pembabitan wanita dalam pelbagai kegiatan juga bukan saja berjaya melonjak nama sendiri, tetapi menjadi contoh dan mengharumkan negara di mata dunia. Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu berkongsi gembira dan bangga apabila pemimpin kita mendapat pengiktirafan dari luar. Antara tokoh mendapat pengiktirafan luar negara ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang menerima Global Empowerment Award 2012, Mei lalu di London.
      
    Pengiktirafan itu kerana pembabitannya dalam Kesatuan Pandu Puteri dan Pengakap Sedunia, selain gigih membantu pasangan yang tidak mempunyai anak menerusi Yayasan Fertili Tunku Azizah (TAFF).
      
    Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga menerima Anugerah Wanita Peneraju Kebajikan Asia pada Februari lalu sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen beliau dalam pelbagai kerja amal.
      
    Rosmah menjadi penerima sulung anugerah itu sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangannya dalam Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (PERMATA) dan kerja amal seperti Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan Institut Jantung.
      
    Terus mendapat kepercayaan
      
     Wanita di negara ini juga terus diberi kepercayaan menerajui dan menjawat jawatan penting. Antara mereka ialah Hatipah Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan yang baru, menggantikan Datuk Borhan Dollah. Pelantikan itu menjadikan Hatipah sebagai wanita pertama memegang jawatan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sebelum ini dimonopoli lelaki.
      
     Ahli Majlis Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim, pula dimasyhurkan sebagai Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM). Pemasyhuran Puteri Sultan Kedah sebagai Pro Canselor menjadikannya wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

    Berdasarkan kejayaan dan pencapaian diraih sepanjang 2012, kesimpulan dibuat bahawa wanita sudah semakin bersedia mendepani cabaran baru dan membina keupayaan untuk bersaing serta berada selangkah di depan.
      
    Sikap positif dan yakin semakin menjiwai wanita Malaysia dengan keupayaan diri untuk mengatasi apa saja halangan, sekali gus mampu meneroka peluang baru serta menjadi perintis dalam bidang masing-masing.
      
    Namun, tahun ini negara juga bersedih apabila kehilangan tokoh wanita hebat, Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau Azah Aziz yang meninggal dunia akibat sakit tua dan angin ahmar.
      
    Begitu juga dalam usaha mengubah dan meningkatkan kedudukan, wanita di negara ini masih tidak terlepas menjadi mangsa penipuan, keganasan serta kekejaman. Begitu jugalah pada 2012, tercatat beberapa titik hitam yang sememangnya tidak ingin berlaku.
      
    Masih menjadi mangsa
      
    Wanita sasaran utama menjadi mangsa penipuan 'jenayah emosi' yang mengheret nasib mereka dijadikan keldai dadah dan keldai akaun. Lebih menyedihkan, ada kes membabitkan mangsa wanita warga tua dan ibu tunggal. Pada Mei lalu, seorang ibu tunggal berusia 63 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket itu apabila sanggup menjual aset dan menyerahkan hasil jualan sebanyak RM5 juta demi cinta kepada lelaki yang mengaku seorang jeneral tentera Amerika Syarikat dan dikenali menerusi laman sosial di internet.
      
    Wanita yang boleh berperanan membina tugu keamanan sejagat 2012 tidak kecuali menjadi mangsa pembunuhan kejam. Lebih malang, ada di antara kes membabitkan pelaku yang sepatutnya menjadi pelindung pada wanita berkenaan. Namun, disebabkan dendam, cinta tiga segi, cemburu dan krisis berlaku dalam rumah tangga, wanita dijadikan tempat melampiaskan nafsu amarah, kecewa serta hilang kawalan diri.
      
    Kini, kita sudah berada pada penghujung 2012 dan apa yang sudah berlaku tidak mungkin boleh berubah. Bagi kejayaan dicipta dan pencapaian dikecapi sudah tentu membanggakan, manakala noda hitam dan pahit serta meninggalkan parut yang dalam, seharusnya dijadikan teladan dan pengajaran.
      
    Justeru, jadikan 2012 sebagai titik permulaan kepada penghidupan lebih bermakna. Kita juga harus bersyukur dengan apa dinikmati. Tetapi menyatakan syukur saja tidak cukup, sebaliknya perlu lebih bersedia dengan cabaran pada masa hadapan.
      
    INFO

    Kes pembunuhan wanita 2012
      
      * 4 Disember 2012 Ipoh - Mayat seorang wanita dalam keadaan tangan dan kaki diikat ditemui dalam bungkusan kanvas yang ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Meru Raya. Laporan bedah siasat turut mengesan kesan jerutan pada leher mangsa dipercayai menjadi punca kematian.
      
      * 22 Oktober 2012 Sarawak - Seorang wanita warga emas dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman pada badan serta parah di muka dan hidung di rumahnya di Taman Desa Indah. Wanita itu dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh individu tidak dikenali.
      
      * 21 September 2012 Penampang - Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan seorang wanita ditemui mati dengan lehernya dijerut serta kaki dan tangannya diikat di rumahnya bermotifkan cemburu. Polis sudah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai teman wanita mangsa bagi membantu siasatan.
      
      * 18 Ogos 2012 Balakong - Ketagih seks dipercayai punca gadis 19 tahun dibunuh sebelum mayatnya dirogol di rumahnya di Taming Jaya, dekat Balakong. Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai ada hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
      
      * 31 Julai 2012 Shah Alam - Polis menahan suami eksekutif TV9, Nur Syaleza Jaafar, yang ditemui mati di rumahnya di Pangsapuri Saujana, Damansara Damai. Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian bukan mati mengejut, sebaliknya dipercayai tidak boleh bernafas kerana jerutan di leher.
      
      * 30 Jun 2012 Ampang Jaya - Seorang kerani bank, P Yoga Ambiga, 27, saja dibelasah, malah turut dibakar hidup-hidup dalam kejadian di Kampung Ampang Campuran akibat dendam.bukan
      
      * 21 Jun 2112 Sungai Petani - Misteri kehilangan seorang pengusaha butik kecantikan terjawab apabila wanita itu ditemui mati, dipercayai dibunuh. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di atas motosikalnya.
      
      * 27 Jun 2012 Kuala Lumpur - Wanita yang melecur 90 peratus tubuhnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya dalam pertengkaran di rumah mangsa di Taman Segar, Cheras meninggal dunia. Mangsa dikatakan disimbah petrol sebelum dibakar teman lelakinya dipercayai berpunca masalah cinta.
      
      * 18 Februari 2012 Alor Setar - Seorang tukang tilik wanita, maut manakala anak angkatnya parah akibat ditetak di kepala dan beberapa bahagian anggota badan oleh bekas suaminya dalam kejadian amuk di rumah mereka di Taman Saga.
      
      * 12 Januari 2012 Johor Bharu - Cinta tiga segi dan cemburu dipercayai punca pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mati dibunuh dalam rumahnya dekat Taman Kempas.

    Sunday, December 30, 2012

    TABIAT TIDUR BAYI BERI KESAN KESIHATAN


    Berita Harian, Mac 2007

     

    Tabiat tidur bayi beri kesan kesihatan

     Oleh : Nor Affizar Ibrahim


    AMAT penting bagi bayi mempunyai pola tidur normal yang baik kerana jika tidak mencukupi, ia akan membawa kepada kelemahan pencapaian ketara, emosi dan masalah tingkah laku serta mungkin juga menjejaskan bayi itu secara fizikal, emosi, pembangunan sosial dan kognitif.

    Paling membimbangkan, bayi yang tidak cukup tidur dengan baik kesannya akan timbul ketika remaja ataupun pada peringkat dewasa seperti penyakit vaskular, kencing manis, gangguan neurokognitif dan pertumbuhan.

    Bagaimanapun, bukti klinikal terbaru ditemui mungkin dapat membantu ibu bapa yang ada anak mengalami masalah tidur. Kajian klinikal itu mendapati, dengan rutin waktu tidur baru yang ringkas dan mudah serta tiada tekanan membolehkan bayi tidur sepanjang malam.

    Kajian itu turut mendapati, rutin sokongan emperikal waktu tidur bagi bayi pada masa sama, memberikan manfaat kepada ibu bapa seperti mewujudkan hubungan lebih kukuh dengan bayi, kurang tertekan, tidak terlalu letih dan lebih bertenaga.


    Masalah tidur

    Pengarah Bersekutu Pusat Gabungan Tidur di Hospital Kanak-kanak Philadelphia, Dr Jodi Mindell, berkata umumnya, masalah tidur adalah salah satu rungutan biasa daripada ibu bapa.

    Beliau berkata, kajian nasional yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati, satu daripada empat bayi mengalami masalah tidur dan 76 peratus ibu bapa memberitahu, bahawa mereka ingin mengubah sebahagian tabiat tidur bayi mereka.

    “Beberapa kajian mengenai masalah tidur di kalangan bayi dan anak kecil juga pernah dibuat di beberapa negara Asia. Di China misalnya, kajian terhadap 5,979 kanak-kanak yang berusia antara dua hingga 12 tahun mendapati 21 peratus daripadanya mengalami masalah tidur.

    “Begitu juga di Jepun, kajian terhadap 344 bayi berusia tiga hingga enam bulan anak kecil berusia 18 hingga 21 tahun mendapati, 19 peratus bayi dan 65 peratus anak kecil mengalami insiden menangis waktu malam berkaitan tidur,” katanya pada taklimat media Kejayaan Tidur Untuk Bayi dan Anak Kecil anjuran Johnson & Johnson di Hotel Hilton Petaling Jaya, baru-baru ini.

    Pada taklimat itu, Dr Mindell turut membincangkan penemuan mengenai tiga langkah mudah rutin ‘Waktu Tidur Terkini’ bagi ibu bapa dan penjaga kesihatan profesional yang menunjukkan kemajuan penting dalam tidur bayi.

    Beliau berkata, bayi tidak tidur nyenyak seperti orang dewasa. Tidur bayi ringan (tidur ayam) dan panjang serta mengambil masa untuk tidur kerana waktu malam mereka terjaga akibat beberapa masalah seperti menyusu, kepanasan dan pengambilan udara yang tidak terganggu untuk bernafas.

    Kekerapan tidur

    Tidur malam bagi bayi baru lahir hingga usia tiga bulan ialah antara sembilan sehingga 12 jam sehari dan mereka boleh tidur lama sehingga empat jam, sehingga tempoh penyusuan berikutnya. Berbeza, pada peringkat usia tiga bulan hingga satu tahun, bayi tidur sebentar pada waktu siang iaitu antara dua hingga empat jam,” katanya.

    Beliau berkata, ketika mencapai usia sembilan bulan, 70 hingga 80 peratus bayi ‘tidur sepanjang malam’. Bagaimanapun, kekerapan tidur sebentar sehari berubah dari tiga hingga empat jam ketika mencapai tiga bulan dan dua jam pada usia satu tahun.

    Dr Mindell berkata, lazimnya pada peringkat usia tiga bulan hingga satu tahun pola tidur bayi akan mula terbentuk. Perkembangan pada diri bayi seperti sudah boleh duduk, berdiri dan berjalan serta perasaan bimbang berpisah ada kala membuatkan bayi bangun tiga hingga enam kali ketika tidur waktu malam.

    Katanya, bagi bayi yang ada masalah tidur, ibu bapa perlu melakukan beberapa strategi bagi membolehkan mereka tidur seperti rutin waktu tidur dan mententeramkan bayi supaya si kecil boleh tidur semula.

    Jumlah waktu tidur bagi anak kecil berusia satu hingga tiga tahun pula ialah antara 12 hingga 13 jam sehari. Ketika mencapai usia 18 bulan, bayi tidak lagi tidur sebentar untuk kali kedua dan didapati, rutin waktu tidur sangat penting.

    Pada peringkat itu masalah tidur adalah normal yang mana 20 hingga 30 peratus anak kecil mengalami sebahagian masalah demikian.

    “Bayi dan anak kecil juga biasa terjaga malam. Ini berlaku membabitkan kaitan tidur yang negatif atau tiada keupayaan menenangkan diri. Apabila berlaku keadaan seperti itu, campur tangan ibu bapa diperlukan untuk membantunya tidur,” katanya.


    Beliau berkata, gangguan biasa atau masalah tidur pada bayi antaranya ialah sukar untuk tidur, tidak mahu tidur dan tidak sensitif pada waktu siang atau malam, zon tidur bayi serta tidak cukup tidur sehingga membuatkan mengantuk waktu siang dan mudah meragam.

    Bagi mengatasi masalah berkenaan, Dr Jodi berkata, pencegahan dan rawatan perlu dilakukan termasuk jadual tidur, rutin waktu tidur dan ada kala memerlukan penenang diri untuk tidur.

    Katanya, dalam kajian klinikal bagi menguji tiga langkah rutin waktu malam bagi bayi, mendedahkan bahawa bayi tidur lebih cepat iaitu secara purata mengambil satu pertiga kurang masa untuk tidur. Kadar berjaga bagi bayi pula adalah kurang sehingga 50 peratus selepas ditentukan tidur mereka. Bayi juga didapati tidur lebih lama dan hampir 20 peratus sambung tidur.

    INFO: 

    Strategi tidur pada bayi
     # Tentukan waktu tidur dan masa rehat.

    Masa tidur terbaik bayi adalah antara 7 petang dan 8.30 malam. Ibu boleh menetapkan waktu rehat bayi dengan cara sama. Rancang waktu khusus setiap hari.

    # Bentuk rutin waktu tidur.
    Bayi terikat dengan cara konsisten. Dibuktikan secara klinikal waktu rutin bayi. Tiga langkah mudah untuk memperbaiki waktu tidur bayi:
    Langkah 
    1: Mandi air suam; Langkah
    2: Urutan lembut; Langkah
    3: Tidur dengan senyap.

    Rutin waktu tidur ini diakhiri dengan aktiviti senyap seperti membaca, mendengar muzik lembut dan membelai. Ini adalah cara terbaik untuk membentuk bayi tidur sementara kedua-duanya boleh menikmati detik ikatan hubungan yang lebih erat.

    # Objek sementara
    Seperti selimut dan alat permainan untuk membantu bayi rehat serta menenangkan dirinya.

    # Menidurkan bayi ketika mula nampak mengantuk tetapi masih terjaga dan terawang-awang.
    Bayi masih belum nyenyak sepenuhnya. Tunggu sebentar sehingga pernafasan bayi dan sekata, ototnya rehat sepenuhnya. Genggaman tangannya terbuka, manakala kaki dan tangannya juga rehat serta ringan.

    # Bersabar apabila bayi menangis.
      

    Wednesday, December 12, 2012

    Kanvas Bedak Asas




    Berita Harian,  6 Disember 2010, Isnin



    Kanvas bedak asas
    Oleh Nor Affizar Ibrahim





    KEKEMASAN sapuan bedak asas pada wajah adalah kunci utama yang akan menentukan paras kecantikan solekan seterusnya. Justeru, setiap kali ingin mengoleskan wajah, perlulah berhati-hati kerana mekap asas juga boleh menjejaskan penampilan seseorang wanita.
      
    Mungkin kerana itulah juga ada yang beranggapan, bedak asas diibaratkan berfungsi sebagai kanvas kosong, yang mana solekan warna selebihnya akan diletakkan dan menjadi tapak dengan menyerlahkan kelebihan anda dan kekurangan yang ada disembunyikan.
      
     Sehubungan itu, Artis Rekaan Warna Lancome, Ismie Osman, berkata penyapuan bedak asas pada wajah perlu dilakukan dengan sempurna supaya solekan cantik yang ingin diserlahkan dapat direalisasikan.
      
     Ismie berpengalaman enam tahun bersama Lancome, berkata hakikatnya apabila menyapukan warna solekan atau mekap pada wajah, individu itu tentunya tidak akan terlepas mengenakan bedak asas. Malah, bahan kosmetik yang menampilkan rona kulit itu sering dipakai dulu kerana ia dianggap penting bagi menyerlahkan kesempurnaan solekan.
      

    Kesilapan menyapa bedak asas
     
    Ditemui ketika memperkenalkan bedak asas cecair baru, Teint Miracle dari Lancome, baru-baru ini, beliau berkata, antara kesilapan yang sering dilakukan individu ketika mengenakan bedak asas ialah tidak menyapunya dengan betul. Kebanyakan individu menempekkan terus pada wajah tanpa meratakan sehingga memberi kesan bertompok atau tampak cela.
      
    Kesan cela itu lebih ketara apabila wajah mula berpeluh. Bagi yang mempunyai kulit jenis berminyak, lebih bermasalah jika sapuan bedak asas tidak diratakan.
      
    Katanya, cara terbaik menyapukan bedak asas ialah melalui pergerakan pusingan. Dengan menggunakan pergerakan pusingan menyapu ke atas, dapat membantu merangsang dan menyegarkan sel serta menghasilkan paras wajah yang lebih sekata dan berseri.
      
     Mengurut lapisan kulit paling dalam turut menjadikan kulit lebih gebu dan anjal bagi mendapatkan kesan yang menyegarkan manakala pergerakan selari dengansistem limfa dapat membantu mengurangkan toksin serta memberikan efek wajah berseri.
      
     "Untuk menyapukan bedak asas, kuantiti yang diperlukan sebenarnya tidaklah banyak, sebaliknya memadai dengan sekali tekan. Namun, individu dengan raut wajah lebar mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua tekanan.
      

     Sapuan sempurna

    "Kemudian, bedak asas itu disapukan serata yang boleh pada wajah dan setiap kali sapuan, jangan lupa menepuk-nepuk sapuan bedak asas pada wajah, arah ke bawah. Ini pentingbagi menentukan hasil yang sempurna dan dapat bertahan lama," katanya.
      
    Ismie berkata, ramai wanita yang malas atau tidak suka mengenakan bedak asas terutama jika hanya bersolek untuk ke pejabat. Antara alasannya, sapuan bedak asas akan membuatkan wajah seperti memakai `topeng' atau berasa berat.
      
    Katanya, itu tidak benar kerana bedak asas ada pelbagai jenis dan individu boleh memilih yang sesuai untuknya. Sapuan pula boleh menjadi cepat dan mudah jika individu itu tahu teknik yang betul.
      
    Ismie berkata, menyapukan bedak asas dengan menggunakan jari adalah cara paling mudah dan dapat menjimatkan berbanding menggunakan span. Selain mudah untuk meratakan, suhu panas jari akan menghangatkan bedak sehingga membuatnya menempel di kulit dan memberi impak lebih semula jadi.
      
    Tiada beza sapuan bedak asas bagi solekan malam atau siang, jelasnya, kerana yang membezakan penampilan adalah solekan.
      


      
      INFO
      
      Jenis bedak asas
      
      * Bedak asas cecair
      
    Ia jenis yang paling popular kerana mudah disapukan pada wajah. Kelebihannya yang lain ialah sesuai digunakan untuk jenis wajah berminyak atau kering. Wajah berminyak boleh menggunakan bedak asas berasaskan air, wajah kering berasaskan minyak dan kedua-duanya jika mempunyai kulit kombinasi, dimulakan dengan jenis air. 
      
      * Bedak asas tabur
      
      Untuk mendapatkan kesan wajah semula jadi, bedak asas tabur adalah pilihan tepat. Ia biasanya dipakai oleh wanita yang tidak ingin memakai mekap terlalu tebal. Ia tidak mengandungi pelembap tambahan dan sesuai untuk kulit berminyak.
      
      * Bedak asas krim
    Jika anda ingin menghadiri sebuah pesta atau acara penting lain yang perlu menghabiskan waktu cukup panjang, bedak asas krim paling sesuai dipakai sebagai asas mekap. Teksturnya yang lebih padat mampu menutupi noda hitam, jerawat, kerutan dan masalah lain di wajah. Ia disesuaikan untuk semua jenis kulit, kecuali kulit berminyak.

    Tangkal awet muda

     29 September 2011. Khamis

    Tangkal awet muda 

    Oleh Nor Affizar Ibrahim



    KHASIAT ulam tidak dapat dinafikan lagi, memberi banyak manfaat untuk kesihatan kerana mengandungi banyak bahan antioksi dan yang mampu menghalang tindakan radikal bebas, selain sering kali dikaitkan sebagai `tangkal' awet muda.
      
    Justeru, tidak hairanlah jika amalan makan ulam menjadi budaya masyarakat negara ini terutama Melayu, sejak turun-temurun. Realitinya, apabila makan ulam, anda sebenarnya membuat pelaburan pada kesihatan dan melewatkan penuaan.
      
    Ulam boleh dikategorikan sebagai sayur mentah seperti salad dan umumnya tidak mendatangkan keburukan sekiranya dimakan setiap hari kerana tidak mengandungi kalori seperti sesetengah makanan lain.
      

    Makan mentah

    Selain jenis sayur-sayuran, ulam juga boleh didapati dalam bentuk buah yang lazimnya, dimakan secara mentah atau dijadikan pelbagai resipi enak dan biasanya diambil dengan nasi.
      
    Antara ulam yang suka dimakan seperti petai, jering dan pelbagai jenis pucuk seperti pucuk paku, pegaga, pucuk ubi, daun selom, ulam raja dan sayuran hijau lain.
     
    Walaupun berkhasiat, pakar pemakanan tetap menasihatkan pengambilan ulam perlu berpada-pada kerana kebanyakan didapati mengandungi tahap kalium yang tinggi.
      
    Kalium adalah sejenis mineral semula jadi dalam makanan dan berperanan penting bagi aktiviti normal untuk otot dan saraf terutama jantung.

    Bagaimanapun, sesetengah individu, pengambilan kalium berlebihan boleh memudaratkan jika terlampau tinggi kandungan dalam darah.
      
    Kandungan kalium dalam darah boleh memberi risiko khususnya kepada penghidap buah pinggang.
    Jika buah pinggang rosak menyebabkan badan tidak berupaya mengeluarkan lebihan kalium melalui air kencing, lantas keadaan mudarat seperti hiperkalemia mudah terjadi.

      
    Harus juga diingat, ulam yang dimakan dengan sambal belacan tidak digalakkan untuk diamalkan setiap hari dan berlebih-lebihan kerana ia (sambal belacan) mengandungi kandungan garam serta kolesterol yang tinggi.
      
    Mengenali lebih dekat dan ketahui khasiat ulam, minggu ini Dapur RATU paparkan empat jenis ulam iaitu antara yang digemari masyarakat di negara ini.
      
    Pegaga
      
      * Pegaga mudah didapati dan biasanya tumbuh melata di keliling rumah mempunyai pelbagai khasiat. Kaya vitamin dengan A dan C serta zat besi yang sering dijadikan sayur-sayuran `rasmi' untuk wanita ketika berpantang.
      
      * Selain dimakan mentah dan dicicah dengan sambal belacan, pegaga juga sedap dibuat kerabu yang dicampur dengan kelapa parut, ikan bilis, cili dan beberapa ramuan lain. Ada yang menjadikan sebagai sayur dalam masak lemak cili api.
      
      * Ulam ini juga membantu membangkitkan selera makan, meredakan masalah penghadaman seperti buasir, menyejukkan badan, mempercepatkan proses penyembuhan luka dan melancarkan aliran darah, terutama wanita yang ada masalah haid serta keputihan.
      
      * Biasanya seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi. Ada yang yakin ia mampu memanjangkan usia dan awet muda apabila mengamalkan pengambilan pegaga dalam makanan harian mereka.
      
      * Lebih menarik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengiktiraf pegaga sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutama kanak-kanak.
      
      Selom
      
      * Selom boleh dijumpai hampir seluruh kawasan Asia, dari India dan Pakistan hinggalah ke Jepun, Taiwan dan China, malah merangkumi bahagian utara Australia. Selom tumbuh liar di kawasan paya, di tepi sungai dan di kawasan tanah lembap.
      
      * Batang selom berbuku dan mempunyai ruas yang jelas berongga. Selain didapati dalam warna hijau ia juga kadang-kadang kemerahan dan lazimnya, pucuk muda atau daun muda dan batang yang masih lembut sering dimakan sebagai ulam dan biasanya dimakan dengan udang kering atau sambal kelapa.
      
      * Ulam ini turut dikatakan mempunyai nilai perubatan dan kegunaannya tersendiri. Daun dan batang, misalnya didapati boleh meredakan penyakit dengan melumatkan kedua-duanya dan menyapu ia pada bisul, tempat yang terkena gigitan ular, kala jengking dan sebagainya.
      
      * Air rebusan selom pula diminum sebagai penawar demam selesema, susah buang air kecil dan buang air bercampur darah. Biji selom digunakan sebagai penawar jika terlalu banyak darah dalam saluran darah. Buah selom pula digunakan sebagai perangsang buang air dan mengeluarkan angin dalam perut dan usus.
      
      Kacang botol
      
      * Kacang botol biasanya tumbuh secara segar walaupun tidak dibaja dan hidup di tanah yang kurang subur. Antara khasiat utamanya ialah mengandungi banyak protein, malah nilai kandungannya lebih tinggi jika dibandingkan dengan sayur-sayuran tropika lain yang daripada jenis kekacang.
      
      * Kandungan asid amino dalam kacang botol juga mempunyai persamaan dengan kacang soya. Kacang botol muda pula dikatakan, mengandungi banyak kalsium, besi dan vitamin A manakala daunnya juga mempunyai nilai pemakanan yang baik dengan kandungan protein dan vitamin A dan C serta garam galian.
      
      * Kacang botol mempunyai khasiat dan nilainya dalam perubatan. Bagi orang yang diserang demam campak, daun kacang botol yang direbus dengan bahan campuran lain boleh disapukan ke seluruh badan bagi melegakan penyakit. Air bancuhan daun kacang botol pula digunakan untuk mencuci mata yang bengkak dan bisul yang bernanah. Daunnya yang ditumbuk lumat juga boleh disapukan pada bahagian bengkak dan bisul serta daunnya juga boleh dimakan untuk mengubati ulser kulit.
      
      * Seperti pegaga, kacang botol juga sedap dibuat kerabu, malah ada yang menjadikannya sebagai bahan atau ulam utama untuk nasi kerabu.
      
      Jantung pisang
      
      * Jantung pisang adalah bunga pisang yang akan bertukar menjadi pisang apabila matang dan ia di dapati di kebanyakan kawasan Asia Tenggara.
      
      * Untuk dijadikan ulam, jantung pisang akan dicelur terlebih dulu sebelum dimakan bersama sambal belacan. Bagi penggemar kerabu, jantung pisang boleh dijadikan bahan utama menyediakan hidangan itu.
      
      * Cara menyediakannya juga mudah - potong jantung pisang yang sudah dicelur kecil-kecil dan masukkan ikan bilis, perahan air limau kasturi, cili, kelapa, bawang dan tomato serta bahan lain sebagai penambah penyedap rasa.
      
      * Jantung pisang juga kerap diolah bersama santan dan rempah ratus lain untuk dijadikan lauk berkuah. Rasanya lemak dengan tekstur berserat yang lembut dan empuk. Justeru, ia boleh dijadikan sebagai makanan alternatif untuk individu yang mengamalkan diet pemakanan sayur-sayuran kerana seratnya cukup memadai.
      
      * Dipelbagaikan dalam menu harian kerana mengandungi karbohidrat yang memberi tenaga, di samping protein, lemak, fosfurus dan zat besi.
      
      * Khasiat lain ia rasa kenyang yang lebih lama sehingga dapat mencegah obesiti. Pengambilannya turut membantu meningkatkan kesihatan saluran pencernaan dengan cara meningkatkan pergerakan usus besar dan mengurangi risiko penyakit jantung.
      
      Resipi
      
      Masak lemak pegaga keli bersalai
      
      Bahannya
      
    * Ikan keli
    * Pegaga
    * Serai
    * Santan pekat
    * Santan cair
    * Belimbing buluh
    * Cili padi (dikisar)
    * Bawang merah (dikisar)
    * Kunyit hidup (dikisar)
    * Garam
      
    Cara menyediakannya:
      
      1. Ikan keli dibasuh dan direndam dengan air garam. Kemudian salai ikan keli di atas bara api.
      2. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk berserta dengan santan cair, belimbing buluh dan serai. Masak dengan api yang perlahan supaya tidak pecah minyak, kacau sekali-sekala.
      3. Biarkan hingga mendidih, masukkan pula pucuk pegaga. Apabila pucuk pegaga hampir masak masukkan pula ikan keli dan santan pekat masukkan garam secukup rasa.
      4. Apabila kuah mendidih kacau perlahan dan tutup api serta sedia untuk dihidangkan.


    BEBAN NAFKAH

    Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...