Monday, April 13, 2015

ublication Name :Berita Harian
Date of publication :Thu, May 6, 2004
Section Heading :Tengah
Page Number :07
Headline :Kupas isu gender dari pandangan holisitik
Byline :By Nor Affizar Ibrahim



Length count:1119
Page heading:Wanita & keluarga
Column:LO
Edition:NA
Status:Normal
Copyright:NSTP
  
Text:WALAUPUN perkataan `gender' hari ini semakin kerap disebut, hakikatnya masih ramai yang tidak mengerti sepenuhnya apakah maksud sebenar perkataan itu. Malah, ada segelintir masyarakat memandang remeh dan menjadikan perkataan itu sebagai bahan ketawa, misalnya, gender sering kali dikaitkan dengan perkataan `janda'. Bagi menjelaskan dan memahami erti gender sebenar, Wartawan Wanita & Keluarga, NOR AFFIZAR IBRAHIM menemubual Koordinator Kanan Projek Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Dr Noorul Ainur Mohd Nur di Intan, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
  
 KESAKSAMAAN gender bukan isu atau tidak hanya mengenai soal perbezaan jantina, lelaki dan wanita semata-mata. Sebaliknya, kesaksamaan gender kepada menjurus pembentukan tanggapan sosial masyarakat.
  
 Koordinator Kanan Projek Intan, Dr Noorul Ainur Mohd Nur, berkata tanggapan pembentukan sosial masyarakat ini ada yang negatif dan positif.
  
 Katanya, bagi memastikan kelompok masyarakat itu melangkah ke depan dalam pembangunan negara, tanggapan yang negatif memang wajar dielakkan.
  
 "Terlalu terikat dengan tanggapan sosial masyarakat yang tidak membina khususnya, itulah yang cuba dan perlu dipecahkan dalam sesuatu kelompok masyarakat itu," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur berkata, masyarakat yang membentuk sendiri persepsi mengenai gender dan bukannya biologikal - lelaki mahupun wanita.
  
 Beliau berkata, menelusuri pembangunan di negara ini, didapati dulu fungsi wanita hanya duduk di rumah dan menolong ibu bapa membuat kerja di dapur. Kemudian, wanita itu berkahwin dan dikurniakan anak.
  
 Bagaimanapun, kata Dr Noorul Ainur, itu adalah tanggapan masyarakat hidup zaman sebelum merdeka.
  
 "Pada masa sama, pada zaman itu ada seorang dua wanita berjaya memecahkan belenggu yang menyatakan, wanita hanya boleh buat ini atau tidak boleh buat itu.
  
 "Contoh paling jelas, ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Beliau berjaya menjadi doktor dan berupaya memecahkan tradisi dan pandangan bahawa tidak hanya lelaki yang boleh menjawat pekerjaan itu," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur turut memberi contoh lain mengenai tanggapan masyarakat suatu ketika dulu terhadap seorang bapa atau suami mendukung anak atau menyidai pakaian. Apabila pekerjaan seumpama itu dilakukan oleh bapa atau suami, ada yang berkata lelaki berkenaan sudah dilindungi sanggul (Queen Control).
  
 "Begitu juga apabila suami membuat susu anaknya, kebanyakan ibu zaman dulu yang melihatnya akan marah. Konon, kerja seperti itu bukan kerja suami dan dia tidak boleh buat.
  
 "Senario itu kini sudah jauh berubah. Kebanyakan lelaki dilihat sudah mahu membantu isteri sidai kain dan jika pergi di kompleks beli-belah, masyarakat tidak hairan lagi melihat bapa mendukung anaknya," katanya.
  
 Jelas Dr Noorul Ainur, bukan saja wanita, golongan lelaki juga boleh menjadi mangsa tanggapan gender.
  
 Contohnya, kerjaya jururawat di negara ini hanya layak pekerjaan wanita. Hakikatnya, gender dibentuk oleh masyarakat sendiri.
  
 "Siapa kata lelaki tidak boleh jadi jururawat. Ada pesakit lelaki yang malu dijaga jururawat wanita, terutama berkaitan bahagian sulit (kemaluan). Jadi, mengapa tiada jururawat lelaki? Jelas, di sini tanggapan masyarakat yang sebenarnya tidak membenarkan atau terbuka minda untuk menerima jururawat lelaki," katanya.
  
 Beliau berkata, apabila memperkatakan persoalan gender tidak semua membabitkan perkara mendatang. Dalam hal tertentu, ada masyarakat patah ke belakang balik. Contohnya, suatu ketika dulu bilangan guru lelaki di negara ini ramai berbanding guru wanita.
  
 Tetapi pada suatu peringkat, negara mula mengalami kekurangan guru lelaki kerana dianggap golongan wanita lebih layak menyertai bidang pendidikan. Kemudian apabila bilangan guru lelaki semakin berkurangan berbanding guru wanita, masyarakat mula melahirkan kebimbangan mengenai hal itu.
  
 Justeru, apabila membicarakan soal kesaksamaan gender, masyarakat mesti cuba memastikan baik wanita mahu pun lelaki tidak menjadi mangsa.
  
 Bagaimanapun, hingga kini kebanyakan orang lebih memahami gender itu ialah mengutamakan wanita saja. Malah, masih ramai yang tidak mengerti sepenuhnya maksud gender.
  
 "Memang ada kebenarannya, dalam hampir setiap hal wanita sentiasa didahulukan. Tetapi, kita harus faham mengapa apabila memperkatakan mengenai gender, semua perkara diletakkan pada wanita. Ini kerana golongan itu yang melahirkan generasi pemimpin masa depan.
  
 "Sama juga jika kita tengok masalah ibu tunggal. Jangan tengok pada ibu atau anaknya saja tetapi dari sudut sosial yang lain. Kebiasaannya, apabila berpisah anak akan pergi pada ibu. Bayangkan, jika ibu itu tidak bekerja dan tidak dibantu, ada banyak masalah sosial yang boleh timbul pada anak atau ibu seperti kemiskinan, GRO dan penagihan dadah. Bagi menangani masalah sosial itu daripada berlaku, kita perlu pandang ke depan dan perspektif yang lebih luas. Yang nyata, soal gender mesti dipandang secara holisitik," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur berkata, dalam menyelesaikan sesuatu masalah kebanyakan pihak lebih memandangnya hanya masalah wanita semata-mata. Misalnya, dalam konteks pembinaan keluarga. Pasangan suami isteri, kedua-duanya terpelajar. Selepas kahwin dan ada anak, timbul isu mencari orang gaji atau pengasuh. Apabila masalah menjaga anak tidak dapat diselesaikan, akhirnya si isteri disuruh berhenti kerja.
  
 "Wanita berkenaan bekerja untuk membantu suami. Jadi, kenapa tidak diwujudkan pusat asuhan di tempat kerja. Tidak hairan ini berlaku kerana kebanyakan melihat, masalah menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja adalah masalah wanita saja.
  
 "Tetapi cuba lihat cara penyelesaian yang baik. Misalnya, di Putrajaya ada satu blok dikhususkan sebagai tempat asuhan dan kakitangan di situ boleh menghantar anak mereka ke situ. Sekali gus, masalah pengasuh dapat diatasi. Ini yang dikatakan masalah kesaksamaan gender dapat diselesaikan untuk lelaki dan wanita," katanya.
  
 Beliau berkata, Barat bukan model gender yang baik untuk dicontohi. Berdasarkan pengalaman bekerja dan belajar lebih sedekad di Barat, katanya, didapati perjuangan gender masyarakat di sana lebih ke arah pergerakan feminisme yang berfikiran liberal dan menongkah arus.
  
 "Masyarakat kita tidak perlu `hadap' sangat ke Barat kerana Malaysia lebih maju dalam beberapa perkara. Lagipun, kita bukan hendak sampai ke tahap seperti di Barat - penuh kebebasan sehingga buka baju dalam dan terjerit di tengah jalan. Itu gaya hipi.
  
 "Tetapi kita hendak meningkatkan taraf wanita dalam sesebuah keluarga dan bukan kuasa hendak mengawal di rumah tetapi kuasa membuat keputusan. Jika kuasa itu diberikan, secara tidak langsung seseorang wanita yang tidak pernah bekerja juga dapat membina keyakinan diri," katanya.
  
 Beliau berpendapat gabungan dengan beberapa pihak, terutama dengan golongan yang bekerja dari akar umbi adalah sumber terbaik membantu mengatasi masalah kesaksamaan gender.
  
 "Misalnya, jika saya sebagai pembuat dasar, saya tidak turun ke padang dan tidak akan tahu apa yang berlaku. Saya rangka dasar itu cantik di atas kertas dan apabila pelaksanaan, ia gagal kerana saya tidak tahu masalah sebenar dari akar umbi. Kegagalan itu tidak mustahil.
  
 "Oleh itu, pembuat dasar wajar menggalakkan penyertaan beberapa pihak lain termasuk NGO dan juga golongan akademik serta mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan mengenai program kesaksamaan gender. Dengan ada jalinan strategi kerjasama itu, pelbagai buah fikiran dapat didengar dan lebih banyak masalah di luar diketahui," katanya.
  
 Dr Noorul Ainur berkata, agensi dan badan yang terbabit membangunkan serta mengembangkan program serta projek gender juga tidak boleh memilih hal membabitkan wanita saja tetapi kedua-dua pihak, lelaki dan wanita, misalnya yang membabitkan suami dan isteri untuk keluarga.
  
 "Pilih projek atau program yang mana lelaki berasa tidak terpinggir. Selain itu, pilih kaedah penyampaian serta pendekatan pada subjek sesuai dan boleh diterima semua. Ini kerana kemajuan sesebuah negara mesti seiring antara lelaki dan wanita. Jangan tinggalkan wanita ke belakang walaupun setapak ke belakang," katanya.
  
 (END)
Publication Name :Berita Harian
Date of publication :Thu, Nov 16, 2006
Section Heading :Hip
Page Number :10
Headline :Queen control jejas rumah tangga
Byline :Oleh Nor Affizar Ibrahim



Zone:A-ALL
Length count:751
Column:LO
Column Name:Dunia lelaki
Status:Normal
Copyright:NSTP
  
Text:JIKA disebut ada suami sudah `dilindungi sanggul', barangkali ramai yang tidak memahami maksud itu. Tetapi jika dikatakan, kena queen control pada dasarnya mungkin ramai mengerti maknanya kerana perkataan itu lazim digunakan.
  
 Berdasarkan pemahaman yang sering dibincangkan, perkataan queen control ialah bagi menjelaskan keadaan di mana suami terpaksa tunduk dengan kemahuan isteri. Dalam erti kata lain, isteri menjadi kapten yang menentukan hala tuju bahtera keluarga.
  
 Jika ini terjadi dalam kehidupan berkeluarga pasti timbul masalah. Mana tidaknya, wanita yang bergelar isteri dan disunting lelaki bergelar suami sewajarnya, harus akur sebagai suri serta pembantu utama kepada pasangan, bukan menjadi ketua keluarga.
  
 Walaupun jumlahnya tidak ramai, jika ada isteri menjadi nombor satu dalam keluarga apakah lelaki atau suami sanggup berterusan melalui kehidupan bersama pasangannya dengan situasi demikian. Pada masa sama, sebagai insan dikenali dengan keegoan tinggi, tidakkah lelaki berasa tercabar terhadap tindak-tanduk dan sikap isterinya? Untuk mengetahui jawapannya, beberapa lelaki yang sudah bergelar suami ditanyakan pendapat mereka mengenai hal ini.
  
 Pengurus Pembangunan Perniagaan, Rashid Wahab, berkata suami yang kena queen control boleh disifatkan lelaki pengecut kerana membenarkan dirinya terpaksa ikut arahan dan kehendak isteri.
  
 Beliau berkata, dalam rumah tangga sepatutnya tidak timbul siapa kawal siapa. Sebaliknya, perlu ada komitmen, sefahaman dan saling berkongsi antara suami dengan isteri.
  
 Katanya, walaupun status dan kedudukan wanita lebih tinggi daripada lelaki, sikap queen control tidak sewajarnya ada.
  
 "Memanglah jatuh maruah lelaki apabila kena queen control. Lelaki sepatutnya tidak membiarkan perkara sebegini berlaku ketika tahap awal perkenalan dan di alam percintaan lagi. Sebabnya, jika sudah berkahwin dan mula menyedarinya mungkin sikap seperti itu bertambah buruk lagi," katanya.
  
 Penyampai radio, Khairil Rashid turut bersetuju, lelaki yang kena queen control sebenarnya adalah penakut dan bukannya sayangkan isteri sehingga terpaksa akur dengan perintah serta kehendak pasangan.
  
 Beliau berkata, perkataan `sayang' sering dijadikan alasan untuk menutup kelemahan dan rasa takut suami terhadap isteri. Mengenai ciri lelaki bagaimanakah yang boleh menjadi `mangsa' S katanya, golongan yang terlalu manja dan bergantung dengan keluarga lebih mudah terperangkap dengan situasi itu.
  
 Khairil yang turut berpendapat sikap queen control boleh menyebabkan pasangan bertindak dalam diam berkata, untuk mengelakkan diri terjebak salah memilih pasangan, individu usah terburu-buru. Sebaliknya, sebelum mendirikan rumah tangga adalah lebih baik kenali lebih dulu sikap dan hati budi masing-masing.
  
 Pengarah syarikat pengiklanan, Mohammad Zaidi Zainuddin, pula berkata sikap queen control yang ada pada sifat isteri boleh membawa kesan negatif dan juga positif dalam sebuah rumah tangga.
  
 Bagaimanapun, beliau berpendapat dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan keharmonian seluruh ahli keluarga, isteri tidak patut bersikap demikian.
  
 "Dalam membina ikatan, perlu ada sikap mempercayai antara satu sama lain dan hormat-menghormati," katanya.
  
 Sementara itu, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata pada zaman serba moden ini tidak dinafikan masih ada wanita yang bersikap queen control.
  
 Bagaimanapun, katanya, ada dua jenis wanita queen control iaitu yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga, manakala satu lagi, membebankan pasangan serta menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.
  
 "Sikap lelaki ada kala yang membuatkan wanita bersikap queen control. Antara sebabnya pertama, suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya.
  
 "Kedua, suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak-tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab suami tidak berulang lagi. Ketiga, suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal oleh pasangan," katanya.
  
 Katanya, jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan berasa jemu, malah tidak mustahil akan lega dan berlapang dada dengan `pertolongan besar' si isteri.
  
 Jika control si isteri dengan hasrat mengawal pergerakan suami supaya tidak mengulangi kesilapan lalu, memang lelaki akan jemu dan bosan. Sebabnya, lelaki akan mula berasa segala pergerakannya tidak bebas dan terkawal.
  
 "Kalau sebagai teman lelaki, tidak mustahil wanita tadi akan ditinggalkan dan jika sebagai suami, tidak mustahil si suami mula pasang mata mencari wanita lain. Paling buruk, lelaki akan mengambil pendirian keluar daripada perkahwinan," katanya.
  
 Suzana berpendapat, mana-mana lelaki yang berdepan dengan queen control akan berasa `sesak dada'. Bagi mengelak perkara seperti itu berlaku, perkara paling penting yang perlu dilakukan ialah menjadi lelaki yang sebenarnya.
  
 "Jadilah lelaki yang tegas dan menjalankan tanggungjawab. Jika anda pernah tersilap, yakinkan kepada pasangan bahawa anda telah berubah dan tidak akan ulangi kesilapan lalu.
  
 "Tetapi jika pasangan memang bersikap queen control sejak awal,sikapnya perlu diubah. Anda perlu sedarkan dirinya mengenai kesilapan sikapnya," katanya.
  
 Reaksi
  
 "Sayang seseorang jangan melampau, umpama makan gula yang rasanya manis akhirnya berpenyakit"
  
 Khairil Rashid
  
 Penyampai radio
  
 "Sikap isteri mengawal suami ada kala positif, tetapi jika sudah melampau ia boleh merimaskan"
  
 Mohammad Zaidi Zainuddin
  
 Pengarah syarikat pengiklanan

Monday, September 8, 2014

AMALAN DAN SUNNAH NABI SAW - SEBELUM, KETIKA DAN SELEPAS TIDUR


Amalan dan sunnah Nabi SAW  sebelum, ketika dan selepas tidur:
Tidur dan bangun sebenarnya adalah perkara yang sangat penting, kerana ia adalah pemula kepada kehidupan seharian. Seorang yang berusia 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah saw, maka tidurnya akan jadi ibadat. Allah SWT hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas. Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas.
 Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah swt untuk orang yang amalkan Sunnah sangat besar. 
Dari Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakkan pada umatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi)
Satu Sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, Subhanallah! sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga. Di dalam tidur sendiri ada banyak Sunnah.
Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur:

1. Membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk
 Dari Jabir bin Abdullah, Beliau berkata:
 “Rasulullah tidak akan tidur hingga beliau membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk” (HR Ahmad, Tirmidzi, Nasai dan Hakim dalam Sahih al-Jami’ dan Silsilah Ahadis As-Sahihah)
2. Nabi SAW memberi peringatan agar mengkebutkan (membersih atau kibas) tempat tidur kita. Ini berdasarkan hadis:
Dari Abu Hurairah dia berkata Nabi SAW bersabda :
 ” Jika seseorang kalian pergi ke katil tidurnya, hendaklah ia mengibas atau membersihkan katilnya dengan bahagian dalam sarungnya, kerana dia tidak mengetahui apa yang ada di sebalik katilnya. Setelah itu ia berdoa ” Dengan nama-Mu, wahai Rabbku, aku letakkan badanku, dan dengan nama-Mu pua aku bangkit kembali, dan Jika Engkau tahan jiwaku, maka rahmatilah ia. Jika engkau biarkan lepas, maka jagalah ia sebagaimana Engkau menjaga jiwa-jiwa hambaMu yang soleh.” - Hadis riwayat al-Bukhari no. 6320, Muslim no. 2714.
3. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.

4. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu, dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah? Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 34 kali.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab nabi s.a.w :”Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur.” (Muslim)
5. Baca 3 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.

Kemudian sapu kedua-dua tapak tangan ke seluruh bahagian tubuh yang dapat dicapai, dimulakan dengan kepala, muka, belakang, dan dilakukan sedemikian sebanyak tiga kali. (Mafhum daripada hadis yang direkodkan oleh Bukhari)
6. Niat untuk bangun Tahajjud. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.
Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1763. Sabda Rasulullah SAW:
Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan tidurnya merupakan sedekah untuknya.
7. Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.
Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ibnu Hibban:
Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, tidur pada pakaiannya malaikat. Maka ia tidak bangun (ketika terjaga) kecuali berkata malaikat (berdoa): “Ya Allah berilah keampunan kepada hambaMu sifulan (disebut nama oleh malaikat dalam doanya ini) kerana sesungguhnya ia telah tidur dalam keadaan suci.
8. Membaca do'a tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.
Berdasarkan hadith riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah):

Adalah Rasulullah SAW apabila masuk tidur Baginda membaca:
بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوْتُ
(Dengan namaMu Ya Allah aku hidup dan mati)
9. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.
Dan dalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu as-Sunni dari Hafshah RA katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila hendak tidur, meletakkan tangan kanannya dibawah pipinya kemudian membaca sebanyak tiga kali:

اللَّهُمَّ قِنِى عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ
Maksudnya: Ya Allah, peliharalah aku dari azabMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.
10. Membaca Surah al-Kaa-firun
Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), ad-Darimi, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu as-Sunni:
Apabila kamu berbaring ditempat tidurmu maka bacalah “al-Kaa-firun” kemudian tidurlah di atas penyudahnya kerana sesungguhnya ia adalah perlepasan dari syirik.

11. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.

12. Jika mimpi buruk . istiqfar 3x (buat isyarat ludah ke sebelah kiri) dan balikkan bantal 
      Jika mimpi yang baik, buat sujud syukur dan solat hajat. Semoga Allah memperkenankan.

13. Menyapu kesan-kesan tidur pada muka dengan tangan 
 
Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar meriwayatkan, sunat menyapu kesan-kesan tidur yang terlekat pada muka dengan menggunakan tangan apabila bangun daripada tidur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.: 

Daripada Ibn ‘Abbas RA katanya:
Maksudnya: “Suatu malam dia pernah tidur di rumah Maimunah isteri nabi SAW yang juga merupakan emak saudara beliau, lalu saya berbaring di hujung tempat tidur, dan Rasulullah SAW bersama isteri baginda berbaring di sepanjang tempat tidur, Rasulullah SAW tidur sehingga pertengahan malam atau sebelum atau selepasnya sedikit, baginda bangun, dan duduk sambil menyapu tidur (kesan tidur) dari muka baginda dengan tangan.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

14. Membaca do'a sesudah bangun dari tidur:
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit
15. Perkara yang perlu dilakukan sesudah bangun dari tidur.
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian tidur, maka syaitan mengikat tiga ikatan di atas kepalanya. Setiap ikatan diikat dengan berkata ‘Malam masih panjang, tidurlah’.

(a). Jika ia bangun lalu berzikir kepada Allah, maka lepaslah satu ikatan.
(b). Jika ia berwudhuk, maka lepaslah ikatan yang lainnya dan
(c). Jika ia mengerjakan solat maka lepaslah semua ikatannya (ikatan syaitan itu).


Sehingga pada pagi harinya (apabila bangun dari tidur) ia berjiwa lapang dan bersemangat. Sedangkan jika ia tidak melakukan hal tersebut (bangun malam lalu berzikir, berwudhuk dan solat) maka pada pagi harinya, jiwanya akan buruk dan malas.” [1606]
16. Bersugi.
"Rasulullah SAW, apabila bangun daripada tidur, beliau menggosok giginya menggunakan siwak (kayu sugi)"
(HR Bukhari dan Muslim)
Ini hanya sedikit sahaja amalan-amalan dari Rasulullah saw dan banyak lagi yang terdapat dalam hadis-hadis sahih yang lain. Sekiranya kita tidak mampu buat semua perkara di atas, janganlah pula kita meninggalkan semuanya. Berusahalah buat sekadar yang termampu. InsyaAllah moga-moga Allah mempermudahkan.
Peringatan : Saat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat seorang sahabatnya yang tidur meniarap, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengejutnya seraya bersabda: “Bangunlah! Ini ialah posisi tidur yang dibenci oleh Allah.” (Sahih Adab Al Mufrad – Karangan Imam Bukhari)

Secara umumnya ada 4 cara tidur yang mana satukah pilihan anda?

1. Tidur Para Nabi
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi

2. Tidur para Ulama' dan ahli Ibadah
Mengiring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga bagi solat malam

3. Tidur para raja yang haloba

Mengiring ke sebelah kiri untuk dicernakan makanan yang banyak dimakan

4. Tidur Syaitan
Menelungkup/meniarap seperti tidurnya ahli neraka

Friday, August 15, 2014

Ibu tiri bolot harta

Berita Harian, Sabtu 4 Disember 2011
 Oleh Nor Affizar Ibrahim


Ibu tiri bolot harta

 BUKAN mahu membuka pekung keluarga tetapi sekadar ingin berkongsi cerita supaya apa yang dialami dapat memberikan pengajaran dan teladan. Berkali- kali, Azimah (bukan nama sebenar) cuba menerangkan kepada penulis hasrat hatinya itu.
  
  Kata Azimah lagi, paling ditakuti, masyarakat akan tersalah anggap dan memandang serong terhadap niat baiknya apabila bercerita mengenai kisah buruk keluarganya sedangkan dirinya amat berharap supaya masyarakat berasa insaf dan jangan sesekali `termakan' harta anak yatim piatu.
  
  Memulakan cerita, Azimah memberitahu sejak usia lima tahun, dia dipelihara oleh datuk dan neneknya iaitu selepas ibu dan bapanya bercerai. Setahun selepas itu, ibu Azimah meninggal dunia manakala bapanya terus menghilangkan diri. Sejak itu, Azimah tidak mengenal wajah bapanya.
  
  Perasaan Azimah meluapluap untuk mengenali bapanya, iaitu seorang pegawai kerajaan, akhirnya tercapai apabila kenalan bapanya berusaha mempertemukan kedua-duanya selepas terpisah selama 18 tahun.
  
  "Saya bersyukur, dapat bertemu ayah kandung selepas bertahun-tahun merindui kasih sayang seorang bapa. Pada pertemuan itu, bapa juga menyatakan rasa kesalnya meninggalkan saya tanpa memberi khabar berita dan berjanji akan cuba menebus kesilapannya. Pertemuan hari itu berlangsung dalam suasana tangis rindu dan gembira walaupun saya tahu, ayah mempunyai keluarga baru," cerita Azimah dengan bening mata yang mula bergenang air mata.
  
  Bagaimanapun, kata Azimah, pertemuan antara anak dengan ayah kandung itu dianggap Bibah iaitu ibu tirinya, bertujuan membolot harta suaminya. Sedangkan bagi Azimah, sebelum menemui ayahnya, dia sudah pun membulatkan tekad untuk menjadikan Bibah sebagai ibu kandungnya sendiri dan berharap dapat menumpang kasih sayang.
  
  Bibah ternyata tidak menerima Azimah sebagai anaknya, malah menghasut anak-anaknya hasil perkongsian hidup dengan bapa kandung Azimah supaya membenci kakak mereka.
  
  Hasrat Azimah untuk menumpang kasih dengan keluarga baru ayahnya berkecai kerana Bibah menggunakan pelbagai cara mengusirnya keluar dari rumah ayahnya. Sehinggalah kematian ayahnya, Azimah dihalau keluar rumah.
  
  "Saya mencuba pelbagai cara untuk mengambil hati ibu tiri tetapi setiap kali berbuat demikian, semakin banyak hati saya yang disakiti. Kadangkala, ibu tiri menganggap saya tidak lebih seperti kucing kurap yang boleh dihina dan dicaci sesuka hatinya," ujar Azimah lagi.
  
  Penderitaan itu tidak berakhir di situ, tanpa pengetahuan Azimah, ibu tirinya itu menggunakan khidmat peguam untuk mengeluarkan wang simpanan suaminya dari beberapa bank. Wang yang dikeluarkan itu satu sen pun tidak diberi kepada Azimah. Bibah juga menggunakan khidmat peguam untuk menukar hak milik tanah dan rumah peninggalan suami kepada namanya dan anaknya.
  
  Apabila mendapat tahu semua tindakan kejam ibunya itu, Azimah tiada pilihan lain dan melalui bantuan beberapa saudara, perkara itu dibawa ke Mahkamah Syariah.
  
  Kata Azimah, bukanlah dia hendak sangat berebut harta arwah bapanya itu tetapi sikap ibu tiri yang terlalu tamak dan sering memburuk-burukkan nama arwah ibu kandungnya serta seolah-olah ingin bermusuh dengannya, membuatkan dia tekad bertindak sejauh itu.
  
  Selepas turun naik mahkamah dan mengemukakan bukti kukuh, Azimah berjaya mendapatkan haknya. Namun, Bibah lebih bijak mengatur harta peninggalan suaminya mengikut kehendak nafsu. Semua tanah dan dua rumah, termasuk sebuah daripadanya dibina menggunakan wang yang dikongsi bersama bapa dan arwah ibu kandung Azimah pada awal perkahwinan mereka, ditukar hak milik dengan namanya dan anaknya.
  
  Azimah, walaupun diberi sebidang tanah sebagai mematuhi arahan mahkamah, surat kuasa mahkamah dan geran tanah itu masih disimpan ibu tirinya itu. Tidak kuasa lagi `melayan' sikap tamak ibu tirinya, Azimah membuat keputusan membiarkan tindakan Bibah namun berdoa supaya Allah memberi Bibah petunjuk.
  
  "Lima bulan tidak berkirim salam dan bertanya khabar, alih-alih saya dengar ibu tiri saya sakit diserang strok serta tidak boleh berjalan lagi. Keadaan kesihatannya boleh dikatakan agak teruk," ujar Azimah.
  
  Walaupun semakin uzur, Bibah masih tidak insaf dan enggan menyerahkan surat mahkamah serta geran tanah kepada Azimah.
  
  "Memanglah, Mahkamah Syariah sudah pun memutuskan segala-galanya mengenai pembahagian harta itu. Tetapi kalau ibu tiri hendak menyimpan geran tanah itu, biarlah dia simpan, saya tidak pernah rasa kecewa atau kesal," kata Azimah turut berdoa semoga penyakit ibu tirinya cepat sembuh dan bertaubat serta mengerjakan amal ibadat untuk bekalan akhirat.
  

Bekas suami bongkak, kurang ajar

Berita Harian, Sabtu November 20, 2010
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bekas suami bongkak, kurang ajar

BUKAN terlalu berkira tetapi itu adalah haknya. Oleh sebab itu, Norita tegar dengan keputusannya biar pun orang di sekeliling, termasuk ibu dan ayahnya menasihatkan, buang yang keruh, ambil yang jernih. Carilah dan mulakan kehidupan baru, itulah antara saranan diberikan kepadanya.
  
  Norita sedar, semua nasihat itu diberikan kepadanya kerana mereka semua sayang dan berasa simpati dengan nasibnya yang terumbang-ambing serta tertekan sejak perceraian berlaku.
  
  Bagaimanapun, tekad dalam hati Norita sudah menjadi bungkah batu yang sukar dipecah, baginya tuntut mesti tuntut dan hak tetap hak! "Bekas suami saya terlalu angkuh dan sangat berkira, sedangkan dia mampu bayar nafkah," luah Norita dalam nada geram ketika berkongsi cerita dengan penulis.
  
  Norita sudah pun memfailkan perbicaraan membabitkan tuntutan nafkah edah, mutaah dan nafkah tertunggak sepanjang perkahwinan dengan bekas suami di Mahkamah Tinggi Syariah, dua bulan lalu.
  
  Dalam tuntutan, Norita meminta bekas suaminya, pegawai berjawatan paling kanan di sebuah syarikat insurans, membayar nafkah edah RM15,000 sebulan, nafkah mutaah RM100,000 dan nafkah tertunggak sebanyak RM5,000 sebulan.
  
  "Sebenarnya, apa yang saya minta tidak banyak kerana bekas suami saya lebih mampu daripada itu. Tetapi cukuplah jumlah sebanyak itu kerana saya hanya ingin menuntut hak sebagai bekas isterinya yang dinafikan sebelum itu. Tetapi saya tidak nafikan, sesekali hati turut diburu rasa marah dan dendam terhadap apa yang dilakukan kepada saya selama ini," kata Norita jujur membuat pengakuan.
  
  Bekas suami pernah mengsemula semua tuntutan yang dibuat. Jika tidak, padah akan menantinya. Tetapi, Norita sudah tidak peduli semua kecaman itu. Baginya, biar apa pun undang-undang ada dan pastinya bekas suami itu tidak akan terlepas terhadap kejahatan dilakukannya.
  
  Norita menegaskan, bekas suaminya mampu membayar jumlah tuntutan yang diminta memandangkan jumlah pendapatan bulanan dan pelaburannya yang banyak. Pendapatan sebulan bekas suaminya di syarikat insurans adalah sebanyak RM40,000, malah Norita mempunyai salinan penyata gajinya sebagai bukti.
  
  "Dia juga mempunyai pendapatan lain iaitu dengan menjadi pengarah urusan di beberapa syarikat dan saya pernah ternampak penyata gajinya iaitu RM20,000," katanya sambil menggetap bibir.
  
  Selain pendapatan bulanan, Norita juga berkata, bekas suaminya mempunyai pelaburan beratus ribu dalam akaun Amanah Saham Nasional dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
  
  "Dia tidak boleh tipu saya, semuanya saya sudah siasat dan segala- galanya ada bukti yang sahih. Jika dia hendak menipu dengan caranya sendiri, tidak tahulah saya," keluh Norita lagi.
  
  Berkongsi kisah rumah tangga yang dibina sebelum ini, Norita berkata, mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Namun, perkahwinan yang dibina atas perasaan cinta itu tidak menemui kebahagiaan sejak bulan ketiga perkahwinan kerana bekas suaminya sering mencari kesalahannya. Setahun berkahwin, akhirnya mereka bercerai di luar mahkamah tetapi tidak mempunyai anak.
  
  "Kes perceraian kami luar mahkamah itu sudah selesai dan tidak mempunyai sebarang perintah mahkamah berhubung nafkah," jelas Norita sambil terus menunjukkan riak wajah bungkam.
  
  Norita berkata, awal mendirikan rumah tangga layanan diterima baik dan semuanya berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, riak gelombang tidak aman mula melanda rumah tangga apabila bekas suaminya itu langsung tidak boleh diajak berunding. Malah, apa saja yang dia mahukan Norita mesti ikut kalau tidak pertengkaran akan berlaku.
  
  "Walaupun saya bekerja, saya disuruh membersihkan dua rumah miliknya di rumah kelamin di Taman Melawati dan Subang walaupun kami tidak tinggal di situ. Jika tidak buat saya akan dimarahi. Padahal, dia bukan tidak mampu mengupah orang untuk membersihkannya," kata Norita.
  
  Tujuh bulan berkahwin, Norita diminta tidur di bilik berasingan dan tidak dibenarkan memasak di rumah itu dan jika bekas suaminya ternampak kelibatnya di ruang tamu, dia akan dimarahi.
  
  Menyambung cerita, Norita berkata, dalam satu pergaduhan dengan bekas suami dia dihalau dari rumah kelamin di Taman Tun Dr Ismail dan dipukul sehingga cedera di tangan dan bibir ketika dalam edah menyebabkan dia dirawat di sebuah hospital swasta.
  
  Kata Norita lagi, penderitaan yang dialami ditanggung sendiri dan langsung pun tidak diceritakan kepada keluarga. Norita tidak mahu buruk laku sikap suaminya diketahui orang tua, lebih-lebih lagi itu adalah pilihannya sendiri. Jadi, biarlah dia sendiri yang menanggungnya.
  
  "Saya meminta dia memberi masa kerana hendak mencari rumah sewa, selain meminta tolong membayar wang pendahuluan kerana saya tidak mampu, namun tidak diendahkan. Bukan saja bersikap bongkak, bekas suami turut bersikap kurang ajar dan mengeluarkan perkataan tidak elok seperti memanggil saya dengan sumpah seranah dan maki hamun.
  
  "Akhirnya saya berjaya juga menyewa di Pandan Indah bersama rakan dan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli kelengkapan rumah kerana terpaksa keluar dari rumah secara tiba-tiba," katanya.
  
  Norita berkata, selepas bercerai dirinya terasa perit untuk memulakan hidup baru dan amat tertekan. Norita cuba bangun semula - mencari pekerjaan lain untuk mengelak malu dan kata-kata kurang elok kerana mereka berdua bekerja di tempat yang sama manakala bekas suami pula berkedudukan tinggi.
  
  "Apa yang dia buat pada saya, tidak mungkin saya lupakan. Tetapi yang pasti, saya tetap ingin terus membuat tuntutan. Tunggulah, saya akan ceritakan dan beritahu kepada mahkamah apa yang dia sudah lakukan kepada saya," kata Norita yang berdebar menanti hari perbicaraan.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...