Monday, September 8, 2014

AMALAN DAN SUNNAH NABI SAW - SEBELUM, KETIKA DAN SELEPAS TIDUR


Amalan dan sunnah Nabi SAW  sebelum, ketika dan selepas tidur:
Tidur dan bangun sebenarnya adalah perkara yang sangat penting, kerana ia adalah pemula kepada kehidupan seharian. Seorang yang berusia 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut Sunnah Rasullullah saw, maka tidurnya akan jadi ibadat. Allah SWT hanya akan terima ibadat yang dilakukan dengan ikhlas. Tidur adalah ibadat yang paling ikhlas.
 Seseorang tidak perlu dipaksa atau terpaksa untuk tidur. Ganjaran Allah swt untuk orang yang amalkan Sunnah sangat besar. 
Dari Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakkan pada umatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi)
Satu Sunnah yang diamalkan berterusan akan diberi ganjaran 100 pahala mati syahid, Subhanallah! sedangkan satu pahala mati syahid sudah cukup untuk menjamin seseorang untuk masuk syurga. Di dalam tidur sendiri ada banyak Sunnah.
Antara Sunnah-sunnah Nabi saw sebelum, ketika dan selepas tidur:

1. Membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk
 Dari Jabir bin Abdullah, Beliau berkata:
 “Rasulullah tidak akan tidur hingga beliau membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk” (HR Ahmad, Tirmidzi, Nasai dan Hakim dalam Sahih al-Jami’ dan Silsilah Ahadis As-Sahihah)
2. Nabi SAW memberi peringatan agar mengkebutkan (membersih atau kibas) tempat tidur kita. Ini berdasarkan hadis:
Dari Abu Hurairah dia berkata Nabi SAW bersabda :
 ” Jika seseorang kalian pergi ke katil tidurnya, hendaklah ia mengibas atau membersihkan katilnya dengan bahagian dalam sarungnya, kerana dia tidak mengetahui apa yang ada di sebalik katilnya. Setelah itu ia berdoa ” Dengan nama-Mu, wahai Rabbku, aku letakkan badanku, dan dengan nama-Mu pua aku bangkit kembali, dan Jika Engkau tahan jiwaku, maka rahmatilah ia. Jika engkau biarkan lepas, maka jagalah ia sebagaimana Engkau menjaga jiwa-jiwa hambaMu yang soleh.” - Hadis riwayat al-Bukhari no. 6320, Muslim no. 2714.
3. Jangan tidur menghadap kaki arah Qiblat. Ini adalah kedudukan tidur orang yang telah mati.

4. Barangsiapa yang membaca Tasbih Fatimah, sekiranya dia mati malam itu, dia akan dikira sebagai mati syahid. Apa itu Tasbih Fatimah? Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 34 kali.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab nabi s.a.w :”Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur.” (Muslim)
5. Baca 3 Qul tiup ke tapak tangan dan sapu keseluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia.

Kemudian sapu kedua-dua tapak tangan ke seluruh bahagian tubuh yang dapat dicapai, dimulakan dengan kepala, muka, belakang, dan dilakukan sedemikian sebanyak tiga kali. (Mafhum daripada hadis yang direkodkan oleh Bukhari)
6. Niat untuk bangun Tahajjud. Tahajjud adalah sebaik-baik pelindung daripada sihir dan buatan orang.
Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1763. Sabda Rasulullah SAW:
Sesiapa yang (berniat) akan mengerjakan solat malam, lalu tertidur, Allah pasti menulis untuknya pahala solat malam dan tidurnya merupakan sedekah untuknya.
7. Ambil wudhu sebelum tidur dan Solat Sunat Taubat 2 rakaat.
Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ibnu Hibban:
Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, tidur pada pakaiannya malaikat. Maka ia tidak bangun (ketika terjaga) kecuali berkata malaikat (berdoa): “Ya Allah berilah keampunan kepada hambaMu sifulan (disebut nama oleh malaikat dalam doanya ini) kerana sesungguhnya ia telah tidur dalam keadaan suci.
8. Membaca do'a tidur. Ramai orang memperlekehkan doa Masnun (doa harian) tapi hakikatnya harga yang Allah swt janjikan adalah syurga.
Berdasarkan hadith riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah):

Adalah Rasulullah SAW apabila masuk tidur Baginda membaca:
بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوْتُ
(Dengan namaMu Ya Allah aku hidup dan mati)
9. Tidur cara Rasulullah saw dengan mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.
Dan dalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), Ibnu as-Sunni dari Hafshah RA katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila hendak tidur, meletakkan tangan kanannya dibawah pipinya kemudian membaca sebanyak tiga kali:

اللَّهُمَّ قِنِى عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ
Maksudnya: Ya Allah, peliharalah aku dari azabMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.
10. Membaca Surah al-Kaa-firun
Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai (didalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah), ad-Darimi, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu as-Sunni:
Apabila kamu berbaring ditempat tidurmu maka bacalah “al-Kaa-firun” kemudian tidurlah di atas penyudahnya kerana sesungguhnya ia adalah perlepasan dari syirik.

11. Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang piutang sebelum tidur.

12. Jika mimpi buruk . istiqfar 3x (buat isyarat ludah ke sebelah kiri) dan balikkan bantal 
      Jika mimpi yang baik, buat sujud syukur dan solat hajat. Semoga Allah memperkenankan.

13. Menyapu kesan-kesan tidur pada muka dengan tangan 
 
Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar meriwayatkan, sunat menyapu kesan-kesan tidur yang terlekat pada muka dengan menggunakan tangan apabila bangun daripada tidur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.: 

Daripada Ibn ‘Abbas RA katanya:
Maksudnya: “Suatu malam dia pernah tidur di rumah Maimunah isteri nabi SAW yang juga merupakan emak saudara beliau, lalu saya berbaring di hujung tempat tidur, dan Rasulullah SAW bersama isteri baginda berbaring di sepanjang tempat tidur, Rasulullah SAW tidur sehingga pertengahan malam atau sebelum atau selepasnya sedikit, baginda bangun, dan duduk sambil menyapu tidur (kesan tidur) dari muka baginda dengan tangan.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

14. Membaca do'a sesudah bangun dari tidur:
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit
15. Perkara yang perlu dilakukan sesudah bangun dari tidur.
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian tidur, maka syaitan mengikat tiga ikatan di atas kepalanya. Setiap ikatan diikat dengan berkata ‘Malam masih panjang, tidurlah’.

(a). Jika ia bangun lalu berzikir kepada Allah, maka lepaslah satu ikatan.
(b). Jika ia berwudhuk, maka lepaslah ikatan yang lainnya dan
(c). Jika ia mengerjakan solat maka lepaslah semua ikatannya (ikatan syaitan itu).


Sehingga pada pagi harinya (apabila bangun dari tidur) ia berjiwa lapang dan bersemangat. Sedangkan jika ia tidak melakukan hal tersebut (bangun malam lalu berzikir, berwudhuk dan solat) maka pada pagi harinya, jiwanya akan buruk dan malas.” [1606]
16. Bersugi.
"Rasulullah SAW, apabila bangun daripada tidur, beliau menggosok giginya menggunakan siwak (kayu sugi)"
(HR Bukhari dan Muslim)
Ini hanya sedikit sahaja amalan-amalan dari Rasulullah saw dan banyak lagi yang terdapat dalam hadis-hadis sahih yang lain. Sekiranya kita tidak mampu buat semua perkara di atas, janganlah pula kita meninggalkan semuanya. Berusahalah buat sekadar yang termampu. InsyaAllah moga-moga Allah mempermudahkan.
Peringatan : Saat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat seorang sahabatnya yang tidur meniarap, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengejutnya seraya bersabda: “Bangunlah! Ini ialah posisi tidur yang dibenci oleh Allah.” (Sahih Adab Al Mufrad – Karangan Imam Bukhari)

Secara umumnya ada 4 cara tidur yang mana satukah pilihan anda?

1. Tidur Para Nabi
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi

2. Tidur para Ulama' dan ahli Ibadah
Mengiring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga bagi solat malam

3. Tidur para raja yang haloba

Mengiring ke sebelah kiri untuk dicernakan makanan yang banyak dimakan

4. Tidur Syaitan
Menelungkup/meniarap seperti tidurnya ahli neraka

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...