Friday, March 23, 2018

KEKAL RAMPING


Berita Harian, Khamis Mac 22, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Kekal ramping


KEBANYAKAN wanita selepas melahirkan anak, risau mengenai bentuk badan mereka. Ini berikutan, selepas bersalin lazimnya bentuk badan wanita mengalami beberapa perubahan dan berbeza sebelum hamil.
  Kehamilan hakikatnya, memberi banyak perubahan kepada fizikal mahupun emosi wanita. Paling nyata, selepas bersalin perut akan menggeleber dan kendur kerana kelemahan otot dan kulit yang regang di abdomen.
  Jurulatih Kecergasan, Wan Suhaila Wan Abdul Malek, berkata ini berlaku kerana berat badan yang terbentuk semasa hamil, belum lagi hilang, dan selepas bersalin ramai wanita lebih memberi tumpuan kepada bayi dan suami sehinggakan lupa untuk menjaga diri sendiri.
  Katanya, ada ibu mengambil masa singkat untuk kembali ke bentuk asal dengan hanya menyusukan anak (ini kerana setiap kali menyusu, 500 kalori akan terbakar. Namun, ada ibu yang lambat kerana membabitkan hormon dan bermacam faktor lain.
  Untuk menurunkan berat badan dan mendapatkan semula bentuk badan ideal selepas bersalin, melakukan aktiviti senaman adalah pilihan terbaik, selain amalkan diet dan mengambil produk makanan atau penjagaan kecantikan yang membantu melangsingkan badan.
  "Melakukan senaman yang lembut dan perlahan selepas bersalin akan membantu menguatkan otot dan mengembalikan kemantapan otot abdomen dan faraj. Senaman juga boleh mengembalikan bentuk badan ibu dan menjadikannya lebih cergas," katanya ketika di temui di gim miliknya, di Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.


Kuatkan lantai pelvik


Wan Suhaila menegaskan, gerak otot atau senaman adalah sangat penting selepas bersalin dan ia bertujuan memperkukuhkan dua kumpulan otot, iaitu otot pada lantai punggung dan otot perut.
  Bagi otot perut ia boleh kendur akibat kehamilan dan kelahiran tetapi boleh dipulihkan kembali kekuatannya dengan membuat senaman yang mudah sambil berbaring.

  "Senaman untuk menguatkan lantai pelvik adalah antara senaman penting yang perlu diamalkan. Otot lantai pelvik mengampu organ seperti pundi kencing, rahim dan rektum. Oleh itu mustahak kedudukan organ ini dipulihkan kembali selepas mengalami kelasakan bersalin.
  "Senaman juga boleh dilakukan dengan mengangkat badan daripada kedudukan berbaring. Jika ini dilakukan berulang-ulang kali dalam sehari, nescaya otot akan menjadi tegang semula dan pulih dengan cepat," ujarnya.
  Tambahnya, senaman keseluruhan badan adalah sangat digalakkan untuk mempercepatkan proses pemulihan kesihatan tubuh dan mental, khususnya bagi wanita bersalin normal.
  Bagaimanapun, bagi yang bersalin melalui kaedah pembedahan, perlu memberikan sedikit masa dan pastikan terlebih dulu tubuh benar-benar bersedia membuat senaman. Jika tidak, wanita terbabit mengalami risiko tinggi termasuk jahitan terbuka dan pendarahan.
  Wan Suhaila berkata, ada juga wanita lepas bersalin enggan bersenam disebabkan dipengaruhi faktor tertentu atau salah faham mengenai kebaikannya, antaranya ada wanita menyusukan anak bimbang, susu badannya berkurangan atau berubah komposisi apabila bersenam.

Badan berpeluh

 
"Kajian menunjukkan, tiada kesan pada kualiti susu mahupun kuantitinya. Susu ibu masih berasa sedap bagi bayi, tiada perubahan apabila melakukan senaman.

Bagaimanapun, apabila bersenam, badan wanita akan berpeluh. Ini dikaitkan dengan proses perkumuhan (pembuangan air dari badan). Tetapi ia langsung tidak akan membuat susu badan kurang dan tiada kaitan dengan susu kurang sedap.

"Apa pun sebaik-baiknya, gantikan kehilangan air dari badan dengan minum air masak secukupnya bagi mengelakkan kekeringan. Senaman ringan tidak akan meningkatkan kadar asid laktik dalam badan ibu berbanding senaman yang ekstrim," katanya.
  Wan Suhaila memberitahu, kajian juga menunjukkan bayi tidak akan menolak menyusu dengan ibunya selepas bersenam.
  Kalau adapun, hanyalah dalam keadaan ibu yang berpeluh banyak kerana bayi berasa masin peluh pada kulit payudara ibu, Jadi, lebih baik ibu mandi terlebih dulu selepas bersenam dan menyusu bayi dalam keadaan bersih dan selesa," katanya.
 

 INFO

 Senaman  perlu dielak selepas pembedahan:






* Mengangkat kedua-dua kaki
 
  * Duduk tegak dari kedudukan berbaring
 
  * Melompat.
 
  Perkara penting perlu dilakukan:
 
  * Pastikan minum air yang cukup untuk menggantikan kehilangan air dalam badan
 
  * Senaman dibuat jangan terlalu ekstrim, sebaliknya ikut kesesuaian umur, badan dan sebagainya.
 
  * Senaman tidak semestinya berlari di taman tetapi cukuplah jika aktiviti itu boleh mengeluarkan peluh dan badan terasa segar
 
  * Tidak perlu mengambil masa berjam-jam tetapi lakukan sekurang-kurangnya antara 30 hingga 40 minit apabila bersenam
 
  * Untuk keselesaan sewaktu bersenam, anda mungkin boleh menyusukan bayi terlebih dulu ataupun memerah susu (jika bayi tiada bersama anda)
 
  * Pastikan memakai pakaian sesuai (supportive bra), pad payudara dan lainlain berikutan aktiviti melompat dan berlarilari
 
  Kebaikan melakukan senaman selepas bersalin:
 
  * Menganjalkan kembali otot
 
  * Memperbaiki kembali perjalanan darah dan pernafasan
 
  * Mengurangkan berat badan yang naik ketika hamil
 
  * Menguatkan otot dada supaya dapat menyokong buah dada yang membesar
 
  * Membina teknik sesuai supaya dapat berehat dan tidur dalam waktu awal selepas melahirkan

TARIKAN SUPERMODEL 81 TAHUN

Berita Harian, Isnin Feb 23, 2015

Susunan Nor Affizar Ibrahim

Tarikan supermodel 81 tahun


Kulit depan, edisi khas terbaharu majalah New You, menampilkan sesuatu yang istimewa dan di luar kebiasaan.
    Biasanya, model lelaki atau wanita muda yang terpampang dan menjadi daya pemikat tersendiri untuk pembaca. Namun, untuk edisi terkini, kulit majalah gaya hidup itu menampilkan bekas supermodel berusia, Carmen Dell'Orefice, 83, yang tampak glamor bergaya mengenakan busana bersahaja dengan dominasi warna gelap.

  Busana hitam disarungkan Dell'Orefice kian menonjolkan keanggunan apabila dipadankan dengan aksesori mutiara, sarung tangan panjang dan menampilkan dandanan rambut yang menerapkan gaya klasik nan anggun.
  Walaupun sudah berusia, penampilan gaya diserlahkan pada kulit depan majalah itu tidak memudarkan kecantikan nenek yang masih aktif sebagai model.
 


Kembali kuasai wilayah

 
Dell'Orefice mengakui, tahun lalu beliau masih mencari jalan bagaimana untuk melakukan pekerjaan itu.

Namun, pengalaman bekerja sebagai model selama 70 tahun memberikan inspirasi hingga tercipta gaya anggun yang menarik perhatian dan membuktikan sekali lagi, beliau masih berada di atas dalam lapangan itu.



  Supermodel legenda ini juga mengakui, beliau sering diminta menjadi penghias kulit depan majalah selama 25 tahun terakhir kerjayanya.

"Saat ini saya berada di wilayah perniagaan yang menginginkan pemasaran yang bukan menjadi kelaziman; umur senja dan rambut putih. Saya kini, perlahan-lahan kembali hadir dan mulai 'menguasai' wilayah itu sedikit demi sedikit, sekali gus mewakili model seusia saya," kata Dell'Orefice kepada New You.









Bukan hanya bergaya untuk majalah, supermodel kelahiran New York pada tahun 1931 itu, baru-baru ini juga berjalan di atas pentas peragaan, Singapore Digital Fashion Week. Pada peragaan minggu fesyen itu, beliau mengenakan busana yang menyempurnakan penampilannya dan kelihatan anggun, matang dan mempesona.
  Apa yang pasti, sebagai mantan supermodel, wanita ini memang belum kehilangan kecantikan masa mudanya. Meskipun waktu berlalu membuat rambutnya memutih dan wajahnya mulai dipenuhi kedutan, Dell'Orefice masih sering tampil sebagai model untuk produk fesyen terkenal di dunia.
  Wajahnya masih fotogenik dan karismanya masih terpancar sebagai seorang supermodel. Bahkan, sebagai supermodel senior, beliau tidak dinafikan tampak awet muda dibanding kebanyakan wanita seusianya.
 

Bakat mula terserlah

 
Bakat Dell'Orefice dalam dunia model mula dikesan ketika usianya 13 tahun. Ketika menaiki bas untuk ke kelas balet, beliau didatangi oleh isteri jurugambar, Herman Landschoff yang menawarkannya menjadi model.

    Dell'Orefice kemudian menjalani uji bakat sebagai model di Pantai Jones. Pada tahun 1946, bapa angkatnya memperkenalkan beliau kepada Vogue dan ketika berusia 15 tahun beliau menandatangani kontrak peragaan untuk RM30 ($7.50) sejam.
  Dell'Orefice menjadi model kegemaran jurugambar, Erwin Blumenfeld yang juga merakamkan gambar pertamanya untuk kulit depan Vogue pada tahun 1946. Melalui beberapa cabaran, dari tahun ke tahun kerjaya beliau sebagai model akhirnya terus bersinar. -AGENSI

Tuesday, March 20, 2018

ANAK PERTAMA BERI KESAN KEPADA BAPA MUDA

Berita Harian, Khamis Mac 19, 2015

Susunan Nor Affizar Ibrahim


Anak pertama beri kesan kepada bapa muda


Menjadi bapa pada usia muda memerlukan individu itu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Semua ini penting bagi menunaikan amanah dan menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isteri serta bapa kepada anak.
    Hakikatnya, bergelar bapa tidak mudah apatah lagi menjadi bapa muda, sudah semestinya mencabar. Alasan masalah sumber ekonomi, berhadapan dengan perilaku yang masih kurang matang dan kemampuan menunaikan tanggungjawab antara cabaran harus dihadapi.
  Bagaimanapun, sebagai seorang lelaki dan ketua keluarga, menyediakan keperluan asas menjadi tanggungjawab utama. Pastinya, semua itu sedikit sebanyak memberikan cabaran bagi bapa untuk memenuhi keutamaan ini.
  Apabila sudah ada anak, bapa harus bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memenuhi kehendak serta keperluan isteri atau anak. Pengabaian hak boleh meruntuhkan sesebuah institusi keluarga.
  Satu kajian di luar negara yang mengambil masa 20 tahun dan membabitkan 10,623 responden, menyatakan dari semasa ke semasa, jumlah bapa muda yang mengalami gejala kemurungan selepas kelahiran anak pertama, terus meningkat hingga 68 peratus.
  Kesimpulan itu diterbitkan oleh National Longitudinal Study of Adolescent Health yang turut menghuraikan, bapa muda yang mengalami putus asa dan kemurungan adalah mereka berusia sekitar 25 tahun.
 

Gejala awal

 
Senario ini tentu meresahkan kerana keseimbangan emosi orang tua, sama ada bapa atau ibu, sangat berpengaruh pada pertumbuhan perkembangan bayi. Sebagai pencegahan, peneliti menyarankan beberapa gejala awal kemurungan perlu diberikan perhatian. Antara gejala awal itu ialah:
 
  - Selalu berasa sedih dan cemas berlebihan.
   
  - Mudah tertekan dan sukar membuat keputusan.
   
  - Tenaga menurun dan cepat penat.
   
  - Insomnia dan sering terbangun dengan perasaan panik.
   
  - Selera makan kurang.
   
  - Sering menyakiti dan menyalahkan diri sendiri.
   
  - Mudah marah dan terlampau peka terhadap hal sekitar hingga menimbulkan amarah.

   Tidak mudah kesan

 
Bagaimanapun, menurut peneliti yang terbabit dalam kajian ini sepakat, mengesan tekanan pada bapa adalah tidak mudah. Justeru, jika bapa muda mengalami beberapa gejala di atas, segera berjumpa dan membuat pemeriksaan dengan pakar psikologi.
  Selain itu, berkomunikasi dengan isteri dan membincangkan kekhuatiran dirasakan, juga efektif dalam meredakan kemurungan.
  Hasil kajian juga mendapati, satu daripada sepuluh bapa dilaporkan berasa tertekan sebelum isterinya melahirkan anak. Keadaan itu terus berlanjutan hingga bayi berusia 12 minggu. Memang tidak semua bapa mengalami hal demikian, tetapi tidak ada salahnya untuk melakukan pelbagai tindakan pencegahan.

   Sebab kemurungan

 Sebelum ini, kajian sama pernah dibuat oleh Dr Craig Garfield dari Feinberg School of Medicine, Universitas Northwestern di Chicago, Amerika Syarikat.


  Penelitian Dr Craig dan kumpulannya, mendapati lelaki yang menjadi bapa muda pada usia 20-an mengalami peningkatan risiko gejala kemurungan lebih tinggi ketika bayi pertama mereka lahir.
  Kemurungan ini terus meningkat lima tahun pertama usia anak atau ketika mereka memasuki pusat asuhan kanak-kanak.
  Penelitian ini sudah diterbitkan dalam Journal of Pediatrics. Kajian membabitkan lebih daripada 20,000 bapa muda berusia 20-an menunjukkan, lima hingga 10 peratus bapa muda mengalami kemurungan ketika bayi pertama mereka lahir.
  Peneliti menyimpulkan, kemurungan muncul akibat campuran rasa tekanan dan perubahan biologi selama proses kehamilan dan isteri mereka bersalin. Tubuh lelaki memang tidak terpengaruh, namun kehidupan mereka pasti berubah. - AGENSI

PUTUS CINTA SIAPA LEBIH DERITA?


Berita Harian,  Rabu Ogos 12, 2015


Susunan Nor Affizar Ibrahim

Putus cinta siapa lebih derita?


















Jatuh cinta sesuatu yang misteri, aneh unik dan ada kala sukar dijelaskan. Ada pasangan yang sudah berpuluh-puluh tahun hidup bersama, namun cinta tetap kukuh dan mekar. Sebilangan pasangan lain pula ada yang berpaling kepada cinta lain selepas berbelas-belas tahun melayari bahtera perkahwinan.
  Realitinya, putus cinta sesuatu yang menyakitkan. Selain dirundung kesedihan, seseorang yang mengalami putus cinta juga pasti akan kecewa dan amarah hingga mengalami tekanan perasaan.
  Siapakah yang lebih menderita apabila putus cinta? Lelaki atau wanita?
  Mengikut kajian yang dilakukan oleh Profesor Antrolopogi dari Universiti Binghamton di New York, Amerika Syarikat, Craig Morris bersama kumpulannya, mendapati wanita lebih cenderung menderita akibat putus cinta dan memerlukan waktu yang panjang untuk pulih.
 

Tetap jalani kehidupan

 
Meskipun begitu, hasil kajian turut mendapati, lelaki juga tidak pernah pulih daripada kesan putus cinta, sebaliknya mereka memutuskan untuk tetap menja lani kehidupan.
  Wanita pula cenderung memungut serpihan hati yang hancur akibat hubungan yang terkandas dan berusaha mengubati hati luka sebelum benar-benar pulih.
  Ketika mereka sudah bersedia, wanita akan berasa jauh lebih baik, berbanding sebelum itu yang lebih banyak merintih akibat hubungan cinta yang sudah berakhir.

   Kesan putus cinta   

Morris dan kumpulannya juga menemukan beberapa kesan akibat putus cinta. Antaranya, wanita akan rasa sakit dari segi fizikal dan tekanan emosi.

  Kajian itu meneliti 5,705 orang yang menderita pascaputus cinta dan meminta mereka untuk menilai kesan sakit dari segi tekanan emosi dan fizikal dengan skala 1 sampai 10.
  Hasilnya, rata-rata tekaan emosi yang mencatatkan seramai 684 wanita berbanding hanya 658 bagi lelaki.
  Dari segi kesan fizikal pula, ia membabitkan 421 wanita manakala lelaki, 375.
  Kajian berkenaan juga menyatakan, lelaki dan wanita memiliki reaksi yang berbeza apabila hubungan mereka sudah berakhir.
  Wanita cenderung berasa murung, cemas dan takut. Lelaki pula cenderung berasa marah, beku dan dikombinasikan dengan ketidakmampuan untuk fokus. Inilah yang menjelaskan mengapa bekas teman lelaki tampak baik saja selepas putus cinta manakala wanita menangis dan tidak henti-henti makan.
  Bagaimanapun, wanita cenderung berhenti bertahan pada sesuatu yang tidak berjalan dengan baik dan akan menjadi lebih kuat.
  Wanita juga akan pulih secara keseluruhan, sedangkan hal ini tidak terjadi pada lelaki.
  Malah, ada lelaki menderita selama bertahuntahun akibat putus cinta. Meskipun sudah memiliki kekasih baharu, mereka tetap tidak boleh melupakan bekas kekasih.
  Bagi wanita, ketika hubungan kedua-duanya berakhir ia akan membuang kisah cinta lama apabila bertemu dengan kekasih baharu.
 

Beri kesan pada sel otak

 
Sementara itu, dalam satu kajian lain yang dilakukan pasukan penyelidik di Universiti Perubatan Carolina Selatan diketuai oleh Dr Ajif Narib, mendapati kesedihan yang dialami wanita akibat putus cinta boleh mengubah kegiatan sel otak mereka.
  Laporan oleh saintis Amerika Syarikat itu mendapati, kekecewaan yang dirasakan wanita selepas berakhirnya hubungan romantik dengan pasangan masing-masing boleh memberi kesan kepada otak dengan cara tersendiri.
  Kajian itu juga mendapati, wanita yang selalunya kecewa apabila putusnya hubungan cinta menunjukkan, penurunan mendadak dalam aktiviti sel otak pada bahagian yang mempunyai kaitan dengan emosi, motivasi dan perhatian.
  "Gejala kemurungan seperti hilang mood, motivasi dan selera makan adalah perkara biasa yang dialami, berikutan putus cinta atau kematian orang tersayang.
  "Bagaimanapun, perkara paling penting mengenai kajian ini ialah ia menjelaskan mengenai aktiviti otak berkaitan kekecewaan akibat
perpisahan mempunyai paten unik yang berbeza dengan jenis kehilangan lain seperti kematian," kata Dr Ajif.
 

Teknik ujian   

Kajian dijalankan ke atas 11 wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun yang menjalin hubungan cinta sekurang-kurangnya enam bulan, tetapi sudah berakhir selama 16 minggu.
  Semua wanita terbabit mengalami masalah untuk pulih akibat terlalu kecewa dengan perpisahan mereka. Penyelidik menggunakan teknik ujian magnetic resonance imaging (MRI) untuk mengawasi aktiviti sel otak wanita berkenaan ketika mereka memberi tumpuan kepada kenangan pahit mengenai bekas teman lelaki dan suami.

  Ujian MRI itu kemudiannya dibandingkan dengan aktiviti sel otak lain yang dilihat ketika wanita berkenaan memikirkan perkara neutral mengenai orang lain.
  Keputusan imbasan menunjukkan wanita yang mendakwa menderita akibat perpisahan mempunyai perubahan otak ketara apabila berfikir mengenai hubungan cinta mereka yang sudah putus.
  Pakar psikiatri dari universiti berkenaan, Dr Jeffrey Lorberbaum, berkata kajian itu dapat membantu melanjutkan penyelidikan mengenai punca kemurungan.
  Penyelidikan juga mendapati, wanita berkemungkinan dua hingga tiga kali lebih tinggi untuk mengalami kemurungan berbanding lelaki dan kawasan otak yang dipercayai berkaitan dengan kemurungan lebih aktif pada wanita berbanding lelaki. - AGENSI

Monday, March 19, 2018

DUNIA HITAM PELACUR

Berita Harian, Isnin Januari 18, 2016


Oleh Nor Affizar Ibrahim; Fatin Hafizah Mohd Sahar; Mahani Ishak

Dunia hitam pelacur



Terjebak di lembah hina, ia pengalaman hitam yang sukar dipadamkan dalam hidup. Biarpun pahit untuk ditelan dan kisah silam itu terus menghantui diri, kekuatan dalam diri sentiasa dicari bagi meneruskan hari yang mendatang.
  Pengalaman inilah dilalui dan dikongsikan Suria (bukan nama sebenar) yang pernah menjalani kehidupan sebagai pelacur sebelum ini, yang ditemui FAMILI, di ibu negara, baru-baru ini
    Pulang ke pangkal jalan dan lupakan kisah lalu serta mengharapkan masyarakat memahami apa yang dilakukan bukan kemahuan diri, sesuatu yang tidak mudah bagi mereka. Namun, Suria yakin masih ada sinar dan taubat mereka diterima yang Esa.

   Mangsa tipu daya suami

 
Tidak masuk akal dan sukar untuk mempercayainya. Seorang wanita perlu melayan nafsu serakah lebih 10 lelaki dalam sehari.
Bagaimanapun, itulah realiti kehidupan dunia hitam pernah dilalui Suria sebelum ini.
  Tidak pernah sekali menyangka hidupnya akan terpalit dengan kehidupan yang penuh kotor dan menjijikkan, tetapi Suria reda dengan apa yang sudah berlaku serta bersyukur, kini dirinya sudah bebas daripada kancah kemaksiatan dan penderitaan.
  Berkongsi cerita, Suria memberitahu, dia terjebak dalam dunia pelacuran angkara bekas suami durjana yang bukan saja bermulut manis ketika memika
t, tetapi penuh dengan tipu muslihat hingga dirinya terpedaya.
  Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, dia mengenali bekas suami melalui rakan ketika menuntut dan berada di semester dua di sebuah pusat pengajian tinggi. Jarak usia antara mereka ialah enam tahun.
  "Selepas berkenalan tiga bulan, suatu hari, rakan meminta saya dan teman lelaki (bekas suami) menemaninya dan menjadi saksi untuk dia dan kekasihnya bernikah di Thailand. Kami pun pergi ke sana dan memasuki negara itu secara haram. Selepas rakan dinikahkan, tiba-tiba teman lelaki memaksa saya untuk berkahwin dengannya.
  "Saya enggan kerana ketika itu memang belum ada perancangan berkahwin. Teman lelaki mengugut jika enggan, saya tidak boleh balik lagi ke Malaysia. Saya memberontak tetapi akhirnya apabila tiada pilihan, saya akur bernikah," katanya.

   Tahu status suami

 
Suria berkata, selepas bernikah, dia dibawa balik ke kampung suami di selatan tanah air, pada petang hari sama, untuk diperkenalkan kepada keluarganya dan ketika itu baharu dia tahu, rupa-rupanya kekasihnya itu adalah duda beranak tiga.
Lebih menggerunkan, suaminya kaki judi dan turut dikenali sebagai 'lombong emas' iaitu lelaki yang memakan hasil perempuan.

  Ketika baru berkahwin, Suria mengambil alih menjaga ketiga-tiga anak tirinya dan dilayan dengan baik. Malah, setahun lamanya Suria merahsiakan perkahwinannya daripada ibunya di kampung.
  Bapanya seorang anggota tentera dan berpangkat mejar sudah lama meninggal dunia iaitu sejak usia Suria sembilan tahun, manakala ibunya adalah guru besar di sekolah agama.
  Malu dan bimbang diketahui rakan lain mengenai perkahwinan itu menyebabkan Suria terpaksa berhenti daripada pengajiannya dalam bidang perniagaan.
  "Apabila rahsia terbongkar, ibu tidak dapat terima perkahwinan kami, manakala adik-beradik pula menyisihkan saya. Jadi, saya pun tidak balik ke kampung lagi," katanya mengakui sememangnya kurang mendapat kasih sayang ke luarga sejak kecil.
 

Dunia hitam bermula

 

Selepas setahun berkahwin, suatu hari, bekas suami memaksanya bekerja. Lalu Suria dibawa ke bandar dan ditinggalkan di dalam bilik hotel bajet bersama pemiliknya.
Tauke hotel itu cuba melakukan perkara tidak elok, Suria melawan dan berjaya melarikan diri serta cuba mendapatkan bantuan. Malangnya, orang yang membantu Suria pula mengambil kesempatan dan memperkosanya.
Apabila balik ke rumah, bukan simpati diterima, sebaliknya Suria dipukul oleh suaminya kerana lari daripada 'pelanggan'. Suami Suria kemudian membuatkannya pasport, katanya untuk membolehkan dia bekerja di Singapura.

"Rupa-rupanya kerja saya di Singapura ialah melayan nafsu lelaki setiap hari, dari jam 10 pagi hingga jam 12 tengah malam. Sehari saya perlu melayan lebih 10 lelaki dari pelbagai peringkat usia dan golongan. Pelanggan saya paling muda berusia 17 tahun, manakala yang berusia ada sudah mencapai lebih 70 tahun.
"Cukup sengsara, tetapi hasilnya lumayan dan semuanya diambil suami. Ketika itu, dalam dua minggu saya boleh dapat kira-kira S$5,000 (kira-kira RM10,000 ketika itu). Apabila enggan, teruk saya dipukul. Malah, saya pernah cuba melarikan diri tetapi gagal.
"Akibatnya saya dibelasah hingga lembik. Saya hanya dibenarkan balik ke Malaysia, dua minggu sekali. Tapi di Malaysia, bukannya boleh berehat, biasanya ada tugasan khas melayan VIP dengan bayaran antara RM800 hingga RM1,200 sehari.
 "Saya langsung tidak dibenarkan pegang duit. Segala keperluan termasuk pakaian dan alat mekap disediakan suami. Mintalah apa saja, semua akan diberi. Lagipun, suami ingin saya sentiasa pasang badan untuk tarik perhatian pelanggan. Sembilan tahun bekerja di Singapura, akhirnya suami menyuruh saya bekerja di Malaysia," katanya.
 

Punca cerai
Suatu hari, ketika baru pulang dari bekerja, Suria mendapati suaminya berselingkuh dengan orang gaji mereka. Remuk hati Suria, sudahlah dijadikan 'hamba seks', suami pula bersenang-lenang dengan perempuan lain. Suria bergaduh besar dengan suami dan akhirnya berlaku perceraian, lalu tanpa rasa takut lagi, dia nekad keluar dari rumah.

Bagaimanapun, tidak lama selepas perceraian, pada tahun 2009, Suria disahkan positif HIV. Kali ini, hatinya benar-benar berkecai dan hilang arah serta mula mengambil dadah.
  Namun, Tuhan masih sayangkan Suria apabila dia diselamatkan insan lain yang prihatin dengan kehidupan lara dilaluinya.
  "Saya tidak berdendam dengan bekas suami. Mungkin apa yang sudah terjadi adalah takdir kehidupan saya. Tetapi apa yang lebih menyedihkan, apabila saya dapat tahu rupa-rupanya selama ini bekas suami sebenarnya menggunakan khidmat bomoh untuk menguasai kehidupan saya," katanya yang kini hidup bersama tiga anak tiri dan dua anak kandung.
 


Jangan prejudis, bantu mereka keluar 'penjara'

Masyarakat tidak wajar menghukum, sebaliknya hulurkan tangan dan bantu golongan ini dalam dunia hitam yang mereka lalui. Apatah lagi, kebanyakan wanita terjebak dalam dunia pelacuran bukan atas kemahuan diri, sebaliknya dipaksa atau terperangkap dengan tipu daya.

  Eksekutif Kanan, Pengurusan Sukarelawan dan Latihan Yayasan Salam Malaysia (SALAM), Nor Zakiah Senin, berkata memberikan sokongan moral kepada golongan ini adalah penting dan pihaknya percaya, sikap putus asa harus diketepikan dalam usaha 'menyelamatkan' mereka ini dari dunia pelacuran.
  Nor Zakiah berkata, berdasarkan pengalaman SALAM menerusi Suri@Salam, sepanjang membantu golongan wanita ini, didapati kebanyakan yang menjadi pelacur adalah disebabkan terpedaya dengan lelaki yang memang mempunyai niat tidak baik, termasuk kekasih, rakan mahupun suami.
  "Bagaimanapun, ada juga yang terjebak akibat ditipu kenalan wanita, tetapi paling menyedihkan, ada ayah kandung sanggup menjual anak perempuan sendiri kepada lintah darat semata-mata kerana wang.
  "Mereka terbabit dengan kerja pelacuran ini terdiri pelbagai peringkat usia dari awal usia 20-an hingga 60-an. Mungkin juga ada berusia belasan tahun, tetapi licik menyembunyikan identiti mereka. Ada antaranya sudah berpuluh-puluh tahun mencari rezeki dengan menjual diri melalui cara ini. Ia memang menyedihkan," katanya.
 

Faktor melacurkan diri

 
Nor Zakiah berkata, sejak terbabit secara langsung mendekati golongan ini lebih setahun lalu, didapati ada pelbagai faktor menyebabkan mereka menjadi pelacur. Antaranya, termasuklah desakan hidup kerana kemiskinan, terbabit penagihan, dadah dan sebagainya.
    Beliau berkata, masalahnya apabila sudah terjebak, ada yang sukar keluar dari dunia itu, khususnya bagi mereka terbabit mengambil najis dadah.
  "Kerjaya sebagai pelacur adalah antara cara mudah untuk golongan penagih ini mendapatkan duit. Bagi mereka, setiap kali melacur, dapatlah habuan untuk membeli dadah.
  Selain itu, terdapat pelanggan yang digelar sebagai 'payung' mereka akan membekalkan dadah kepada wanita ini. Bagaimanapun, pendapatan diperoleh golongan pelacur ini bukanlah banyak, malah ada yang dibayar RM10 saja bagi satu layanan.
  "Lebih malang lagi, jika wanita itu sudah lanjut usia dan sukar untuk mendapatkan pelanggan, mereka ini akan terima berapa saja bayaran daripada pelanggan walaupun jumlahnya amat rendah," katanya.
 

Ikhlas bantu

 
Nor Zakiah berkata, bukan mudah untuk 'menarik' golongan pelacur ini meninggalkan kerjaya mereka. Namun, beliau percaya, lambat atau cepat, suatu hari nanti pasti akan ada sinar bagi golongan ini kembali ke pangkal jalan.
 Katanya, ada pelbagai strategi digunakan oleh Suri@Salam di dalam membawa golongan ini ke pangkal jalan. Antaranya, memberi tanggungjawab kepada mereka yang sudah meninggalkan kerjaya itu 'memujuk' dan meyakinkan golongan yang masih terperangkap keluar dari dunia hitam ini.
  Selain itu, Suri@Salam turut menyediakan dan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan minat golongan ini, khususnya yang benar-benar ingin berubah serta bersedia menjalani proses perubahan.
  Terdapat juga bantuan makanan dan keperluan harian untuk meringankan beban ketika mereka amat memerlukannya.
  Bagi memastikan tiada sesiapa dalam kalangan golongan ini terlepas daripada sebarang maklumat, khususnya berkaitan khidmat ini, sukarelawan Suri@ Salam kerap turun padang untuk mendekati dan bertemu dengan golongan ini. Melalui cara ini, sukarelawan mampu mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka, seterusnya memberi sebarang nasihat dan pandangan yang bersesuaian.
  "Kita tidak tahu bila hidayah itu akan datang, tetapi kami percaya, selagi hati mereka percaya bahawa Allah itu ada, Insya-Allah suatu hari nanti akan terdetik juga di hati mereka untuk bertaubat. Yang penting, kita yang diberikan amanah dan tanggungjawab ini perlu berusaha untuk meletakkan nilai ikhlas di dalam hati. Jangan prejudis terhadap mereka, jangan hukum mereka sebelum mengetahui latar belakang hidup mereka sebaliknya betulkan persepsi dan percayalah bahawa mereka ini mahu keluar dari 'penjara' itu, namun tidak tahu bagaimana caranya atau kabur dalam menemui jalan yang betul," katanya.

BANGUN PAGI BOLEH LANGSING



Berita Harian, Rabu Februari 10, 2016

Susunan: Nor Affizar Ibrahim

Bangun pagi boleh langsing




Bangun pagi mempunyai banyak manfaat. Namun, segelintir individu ada yang liat bangun pagi, khususnya pada hari cuti atau tidak bekerja.
  Pada hari cuti, seolah-olah dijadikan hari untuk `balas dendam', tidur hingga matahari naik sebagai `ganti' bagi setiap hari yang harus bangun pagi.

  Tabiat ini tidak wajar dijadikan amalan kerana bangun pagi akan membuatkan anda berasa lebih baik dan segar. Berbanding, bangun kesiangan ia boleh memberikan beberapa kesan negatif pada tubuh.
  Antaranya boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Ini berlaku kerana kadar metabolisme dalam badan berjalan sangat perlahan ketika anda tidur. Disebabkan itulah bagi individu yang mengamalkan tidur berlebihan, berisiko tinggi untuk mengalami obesiti sehingga 21 peratus berbanding mereka yang mendapatkan tidur secara normal.
  Sekiranya anda biasa tidur lebih dari lapan jam setiap hari, risiko menderita sakit jantung juga adalah tinggi. Berdasarkan beberapa penelitian yang dijalankan, jumlah tidur sembilan hingga 12 jam sehari, tidak digalakkan kerana ia melebihi had waktu rehat yang sepatutnya.
 

Hilang waktu produktif

 
 Waktu tidur yang lebih dari lapan hingga sembilan jam sehari boleh meninggalkan kesan negatif ke atas tubuh. Pola tidur berlebihan boleh melambatkan fungsi sel otak, sekali gus mengakibatkan masalah ingatan. Jika tidak ditangani segera, ia mungkin lebih membahayakan hingga mengundang risiko nyanyuk.
    Bukan itu saja, tidur hingga kesiangan juga akan membuatkan anda kehilangan waktu produktif. Menurut pakar kesihatan, pagi waktu yang paling produktif kerana tubuh dan fikiran anda masih dalam keadaan segar.
  Jadi, jika menghabiskan pagi dengan tidur terlalu lama, maka anda akan kehilangan banyak waktu produktif dalam sehari.
 

Hasil penelitian

 

Dalam satu penelitian dibuat turut menemukan, jika individu itu bangun pagi boleh memiliki tubuh lebih langsing dan mereka juga lebih bahagia.
  Penelitian itu menggunakan data dari uji gen iaitu 23And Me. Data diambil dari 90,000 DNA responden yang kemudiannya dibahagi menjadi dua golongan. Golongan pertama, lebih produktif pada malam manakala yang kedua, lebih produktif pagi hari.
  Hasilnya, peneliti menemukan ada 15 gen yang terkait dengan orang yang bangun dan aktif pada pagi hari atau disebut morning person.

  Responden selain memiliki tubuh yang lebih langsing juga ditemukan lebih bahagia. Malah, responden yang bangun pagi juga memiliki kecenderungan lebih sedikit berisiko mengalami kemurungan.
  Peneliti, David Hinds, berkata, hasil penelitian itu berjaya menunjukkan perilaku adalah asas siapa sebenar diri seseorang itu.
  "Menariknya, penelitian itu melihat bagaimana biologi kita berpengaruh kepada beberapa hal, seperti anda adalah morning person atau night owl," kata Hinds.
  Beliau berharap, hasil penelitian berkenaan ia dapat membantu keadaan dari penyakit genetik yang pelbagai dan mengerti perbezaan manusia satu dengan yang lainnya. - AGENSI

Tuesday, March 13, 2018

SUKAR PADAM KENANGAN BERSAMA

Berita Harian, Jumaat Januari 30, 2015

Susunan Nor Affizar Ibrahim

Sukar padam kenangan bersama


Jika putus cinta atau bercerai, tentu merana atau paling tidak pun bersedih kerana kebiasaannya tiada pasangan menginginkan perpisahan.
Bagi yang sudah berkahwin, bukan mudah untuk mengambil keputusan bercerai terutama jika ada anak yang akan menjadi mangsa perceraian ibu bapa.
Jika tidak boleh dielakkan, masing-masing harus berusaha melupakan bekas kekasih atau bekas suami. Paling susah adalah memadamkan kenangan yang bersarang di hati walaupun sudah menyimpan pelbagai suka duka ketika hidup bersama.
  Bagaimanapun, situasi itu tidak seharusnya dibiarkan kerana lebih penting adalah untuk meneruskan perjalanan dengan tekad dan semangat lebih kuat.
  Kaji selidik mengenai berapa lama individu perlu melupakan bekas pasangan sama ada bekas kekasih, bekas suami mahupun bekas isteri, dilakukan baru-baru ini.
  Berdasarkan kaji selidik diterbitkan dalam majalah di Amerika Syarikat, The Journal of Positive Psychology itu menjelaskan, pasangan kekasih yang baharu berhubungan kurang setahun memerlukan tiga hingga enam bulan untuk melupakan bekas pasangan.
 

Redakan rasa sedih   

Pengkaji, Gary Lewandowski dan Nicole Bizzoce dari Monmouth University, New Jersey, melakukan soalan kaji selidik itu kepada 155 responden yang memiliki pengalaman berpisah dengan orang disayangi.
Hasil dapatan menunjukkan, sebanyak 71 peratus responden mengatakan, memerlukan waktu tiga bulan untuk meredakan rasa sedih dan amarah selepas putus cinta. Apabila memasuki tempoh enam bulan mereka mengakui, berasa lebih tenang dan boleh menerima kenyataan.
Selain itu, responden turut menyatakan selepas masuk bulan keenam, mereka mengakui sudah bersedia untuk mencari pasangan baharu.
  Hal yang sama tidak terjadi kepada pasangan suami isteri. Pasangan sudah berkahwin yang mengalami perceraian, memerlukan waktu lebih lama untuk pulih daripada luka perpisahan.
 

Kesedihan pasangan berkahwin

 
Hasil tinjauan kaji selidik mendapati, pasangan berkahwin yang berpisah memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun setengah untuk menerima kenyataan dan menjalani kehidupan sendiri selepas perceraian.

 
Sukar berdepan kegagalan

 
Sementara itu, laman web temu janji, Fifties.com, mendapati individu mengambil masa purata 18 bulan untuk menerima hakikat perceraian dalam perkahwinan, iaitu enam kali lebih lama dianggarkan Lewandowski dan Bizzoce.
Ini mungkin kerana perkahwinan dianggap komitmen yang lebih serius. Daripada responden yang disoal oleh laman web itu, satu daripada enam orang berkata, mereka mendapati sukar untuk berurusan dan berdepan dengan kegagalan perasaan. - AGENSI

KIMONO TERUS DIPERTAHAN


Berita Harian, Khamis Februari 25, 2016

Oleh Nor Affizar Ibrahim



Kimono terus dipertahan


 Suatu ketika dulu, kimono menjadi pakaian harian masyarakat Jepun. Tetapi kini, ia lebih dikenali sebagai pakaian tradisional bagi Negara Matahari Terbit itu.
 Hari ini, pemakaian kimono di negara itu lebih sering dikenakan wanita pada hari-hari istimewa atau tertentu, khususnya dalam kalangan generasi muda.
 Seiring dengan peralihan zaman dan kemajuan dicapai negara itu, kebanyakan generasi baharu di negara itu lebih senang mengenakan pakaian moden.

  Apatah lagi, ibu negaranya iaitu Tokyo dikenali sebagai antara kota fesyen gah di Asia dengan menampilkan pelbagai rekaan dan gaya fesyen, termasuk yang unik serta pelik.

Biarpun diasak dengan arus kemodenan dan dipengaruhi dengan budaya Barat, pembuatan baju tradisional ini masih terus dikekalkan. Walaupun tidak ramai lagi pengusaha berminat untuk bertahan dalam industri ini kerana permintaannya semakin berkurangan, masih ada yang gigih dan terus mempertahankannya.

 

Kekalkan kaedah tradisional

 
Generasi ketiga pusat tenunan, Usui Shokufu di Ise Momen yang terletak di Shenshuji, wilayah Mie Prefecture di Nagoya, Jepun antara yang kekal dan memberikan komitmen tinggi bagi menghasilkan kimono.
  Presiden Usui Shokufu, Naruo Usui, berkata ia bukan sekadar meneruskan legasi perniagaan keluarga tetapi kecintaannya terhadap warisan seni budaya dan tradisional negara.  Justeru, perniagaan tradisi dan warisan keluarga itu menjadi satu kebanggaan dalam mengekalkan warisan budaya masyarakat di negara itu.
  "Perniagaan keluarga ini sudah berusia lebih 200 tahun. Dulu, hanya kimono untuk pakaian harian saja dihasilkan manakala penghasilannya pula dibuat secara manual. Malah, kini walaupun sudah ada mesin tenunan moden, kami masih mengekalkan kaedah tradisional," katanya ketika ditemui di kilang tenun, Usui Shokufu di Ise Momen, baru-baru ini.
  Sememangnya unik, pembuatan kimono di sini dilakukan secara kaedah tradisional, bermula daripada pintalan benang hinggalah ditenun menjadi kain. Lalu, terhasil kimono yang cantik dan anggun untuk digayakan.
  Malah, kilang tenunan Usui Shokufu juga masih mengekalkan konsep rumah kedai tradisional daripada kayu yang menjadi pusat tenunan memintal benang, proses mencelupkan warna, membuat kimono, menyimpan stok kain kapas dan produk siap.


Bagaimanapun, Naruo mengakui, banyak cabaran dan rintangan ditempuhi dalam meneruskan perniagaan legasi keluarga itu. Lebih-lebih lagi, pemakaian kimono dalam kalangan masyarakat Jepun pada masa kini, tidak begitu meluas lagi seperti suatu ketika dulu.
  Katanya, malah sebelum ini banyak pengusaha gulung tikar dan beralih kepada perniagaan lain yang lebih memberikan pulangan lumayan.
  Tambahan pula, kos untuk menghasilkan kimono semakin meningkat manakala pembuatannya rumit, lebih-lebih lagi jika menggunakan kaedah tradisional. Selain itu, tidak ramai golongan muda berminat untuk bekerja dalam industri itu.
  Kepakaran membuat kimono diwarisi daripada generasi kepada satu generasi dan pada masa kini, golongan mahir kebanyakan sudah pun berusia.
 

Corak tenunan


"Usui Shokufu adalah satu-satunya perusahaan tenunan fabrik di Ise Momen yang menghasilkan kimono pada masa kini. Kami menghasilkan kimono daripada 100 peratus kain kapas dan ia bermutu tinggi, licin serta lembut dan cukup selesa dipakai. Selain dipakai masyarakat tempatan, ada juga pelancong luar yang berminat memiliki kimono kami," katanya.
  Naruo berkata, kimono dihasilkan menggunakan corak tenunan lama, seperti jalur yang dikenali dengan nama seperti kijoro, kasane, futon, yatara dan sebagainya serta corak berkotak merangkumi, window dan benkei.
  Hingga kini, terdapat lebih 100 corak dihasilkan dan bilangannya ditambah dari semasa ke semasa.
 

Corak moden jadi pilihan   

Selain mengekalkan corak tradisional, Usui Shokufu juga tidak lupa memperkenalkan corak moden yang menjadi pilihan generasi baharu hari ini.
  Katanya, corak moden dan menggunakan warna cerah menjadikan pemakai kelihatan muda dan aktif, manakala yang rona samar, sesuai untuk mereka sudah berusia, memperlihatkan kelembutan pemakainya.
  "Ada pelbagai jenis kimono seperti formal yang dipakai untuk acara tertentu, manakala kain kapas yukatas, dipakai di rumah untuk hari-hari. Dulu, mungkin kimono dipakai setiap hari, tetapi kini lazimnya, ia pakai untuk menghadiri majlis atau acara tertentu seperti perkahwinan atau hari perayaan," katanya.
  Naruo berkata, untuk menghasilkan kimono, sebanyak 12.5 meter kain diperlukan, manakala masa diambil untuk menyiapkan satu kimono tidak menentu.
  Harga untuk satu kimono yang diperbuat daripada kain kapas kini dijual pada har harga lebih RM800 sehelai.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...