Thursday, December 26, 2013

Strok Jejas Kehidupan

Berita Harian, Sabtu, April 2, 2011
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Strok jejas kehidupan




SENARIO serangan strok hari ini semakin membimbangkan apabila didapati semakin ramai golongan muda yang diserang penyakit itu. Jika dulu, strok dianggap penyakit orang tua kerana risikonya meningkat dengan pertambahan usia, keadaan kini berbeza. Golongan muda tidak terkecuali, malah menyerang mereka seawal usia belasan tahun.
     Perangkaan menunjukkan 15 peratus daripada 480 kes serangan strok membabitkan generasi muda di bawah usia 50 tahun. Lebih membimbangkan, dalam satu kajian perbandingan dengan penduduk Australia, didapati lebih ramai penduduk Malaysia diserang strok pada usia lebih muda iaitu 25 peratus berbanding hanya 12 peratus untuk penduduk negara berkenaan.
   
Strok atau angin ahmar turut dikenal pasti punca ketiga paling lazim kematian dan penyebab utama ketidakupayaan di negara kita. Bagi setiap 100,000 penduduk, kadar serangan strok ialah 200 kes dengan jumlah kematian antara 100 kes dan 200 kes.
  
  Pakar Perubatan Pemulihan Neuro Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Lydia Abdul Latif, berkata strok menyebabkan mangsanya lemah dan lumpuh sama ada sebelah badan atau keseluruhannya serta boleh menjadi penyebab kepada kematian.

   Dr Lydia berkata, statistik menunjukkan lelaki lebih ramai menghidap strok di Malaysia. Antara risiko tinggi dan lazim yang menyebabkan lelaki diserang strok ialah tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi dan menghisap rokok.
 

"Wanita dilihat lebih berhati-hati dan ambil berat dalam penjagaan kesihatan berbanding lelaki. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita boleh berasa lega kerana strok boleh berlaku disebabkan beberapa faktor yang mungkin tidak dijangka.
   "Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini didapati seolah-olah ada aliran menunjukkan ada peningkatan serangan strok di kalangan wanita muda berusia bawah 50 tahun," katanya.
  

Punca strok 

Katanya, antara punca utama kebanyakan wanita diserang strok ialah saluran darah tersumbat, berkaitan masalah jantung dan salur darah pecah manakala dalam sesetengah kes tidak diketahui punca sebenarnya.
   Dr Lydia berkata, gangguan aliran darah berlaku apabila salur darah tersumbat atau pendarahan di otak akibat salur darah pecah. Sama seperti bahagian tubuh yang lain, otak harus menerima bekalan berterusan melalui pembuluh darah dan arteri.
 
Jika satu daripada arteri tersumbat, bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen dan `makanan'otak, yang biasanya dibawa bersama di dalam darah.
   "Apabila pembuluh darah di otak pecah, darah akan mengalir dalam tekanan yang amat rendah hingga merosakkan bahagian saraf yang seharusnya menerima oksigen secukupnya. Begitu juga halangan arteri di dalam otak boleh juga berpunca daripada beberapa penyakit pembuluh itu sendiri yang akan menyebabkan pembuluh tersumbat.
   "Darah yang membeku boleh menjadi punca ia tersekat dan ini dipanggil cerebral embolisme manakala thrombosis atau pembekuan darah berlaku apabila arteri disekat oleh lemak yang melekat di dinding arteri," jelasnya.
  

Cabaran pesakit strok muda

Dr Lydia berkata, cabaran pesakit strok muda adalah lebih tinggi berbanding pesakit yang sudah berusia terutama dari segi kualiti kehidupan.
   Bagi pesakit strok yang sudah berusia, cabarannya adalah lebih untuk menyelamatkan nyawa tetapi pesakit strok muda, mendapatkan rawatan pemulihan dan perubatan.

 "Apabila seseorang diserang strok, seluruh aspek kehidupan akan berubah kerana kehilangan keupayaan. Bagi yang muda, tentu akan lebih dirasai misalnya, jika masih belajar, pelajaran akan terganggu dan yang berkerjaya boleh menjejas kerjanya. Begitu juga wanita yang sudah berkahwin, peranan sebagai isteri dan ibu tidak mungkin boleh dipenuhi dengan sempurna," katanya.
  
 Berbincang lanjut serangan stok yang dialami wanita, Dr Lydia berkata, kes serangan strok selepas bersalin amat jarang sekali berlaku. Namun, tidak dinafikan apabila wanita itu hamil, fisiologi berubah dan memudahkan darah dalam tubuh menjadi pekat dan bergumpal sehingga menyebabkan saluran tersumbat.
    Selain itu, jelasnya, punca lain serangan strok selepas bersalin dipengaruhi faktor genetik.
 
Mengenai wanita strok yang hamil, katanya, ia tidak memberikan masalah pada wanita dan kandungan. Namun, menasihatkan wanita terbabit mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu jika merancang untuk hamil.

 "Sepanjang kehamilan, wanita itu perlu mengambil ubatubatan tertentu. Jika berlaku sebarang komplikasi ketika hamil, dalam perubatan lazimnya keselamatan ibu lebih diutamakan berbanding janin yang dikandungnya.
     "Satu lagi yang menjadi kebimbangan ialah ketika hendak bersalin kerana biasanya wanita terbabit tiada keupayaan melahirkan anak secara normal. Proses meneran, boleh memberikan masalah kepadanya yang mengalami masalah lumpuh," katanya.
   Dr Lydia berkata, pemulihan awal teramat penting. Setiap mangsa strok mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin tetapi untuk pulih lazimnya, bergantung jenis strok dialami dan juga rawatan terapi yang diikutinya.
  
 

Kes 1:
Strok selepas melahirkan anak

DIA tidak pernah terf ikir atau membayangkan, akan melalui satu perjalanan amat payah dalam hidupnya pada usia masih muda dan ketika jiwa keibuan baru berputik dalam diri.

     Takdir mengatasi segala-galanya dan barangkali inilah ujian getir yang harus diterima Emilzunnur Elis, 30, apabila disahkan mengalami strok selepas melahirkan anak pertama.
  
Hampa dan luluh hatinya apabila tanggungjawab sebagai ibu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Berbanding wanita lain yang kali pertama bergelar ibu, perasaan gembira berbunga mekar terutama setiap kali dapat mendukung bayi baru dilahirkan.

  Ini tidak pernah berlaku pada Emilzunnur kerana serangan strok menyebabkan bahagian sebelah kirinya lumpuh dari atas hingga ke kaki, sekali gus menyukarkannya menguruskan diri sendiri, apatah lagi bayi yang baru dilahirkan.

   "Saya bersalin secara normal tetapi terpaksa menggunakan vakum. Malam hari pertama bersalin, saya mengalami demam panas yang kuat sehingga tidak boleh mengangkat tangan sebelah kiri.

Tidak pernah terfikir diserang
   
Saya dimaklumkan, saya diserang strok kerana ada darah beku pada otak dan percayai berlaku ketika saya tidur," cerita Emilzunnur.
   Luluh hatinya mendengar berita itu. Tidak pernah terlintas di fikirannya strok berlaku pada wanita selepas bersalin.
   Eksekutif di syarikat swasta itu mengakui tidak mampu menyembunyikan perasaan sedih dan kecewa, Emilzunur yang terpaksa duduk di atas kerusi roda menangis sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
   Namun, Emilzunnur tidak boleh hanyut mengikut kata hati dan perasaan negatif. Atas nasihat doktor, ibu muda ini cuba belajar berjalan. Bermula dengan bantuan tongkat, dia berlatih berjalan tanpa bantuan sebarang peralatan.
   Cuti bersalin dua bulan, disambung dengan tiga bulan cuti sakit bagi membolehkannya menjalani rawatan terapi.
   "Mula-mula terapi, saya memang cepat marah dan setiap kali tiada perubahan saya akan berasa malas sekali untuk meneruskan rawatan. Ada ketikanya, saya berfikir mengapa perkara ini terjadi kepada saya, saya bukanlah jahat sangat.
   "Hinggalah satu hari, saya menonton televisyen rancangan agama mengenai dugaan hidup yang diberikan Allah kepada hamba-Nya. Mendengarnya, saya berasa insaf dan cuba mencari kekuatan diri," kata Emilzunnur yang semakin tabah menjalani terapi pemulihan.

Mudah tersinggung

Ibu muda ini beruntung kerana suami, Rudy Idris dan keluarga sentiasa memberi sokongan, membuatkan dia kini lebih menghargai orang di sekeliling dan menyedari, kehidupan ini singkat.
   Emilzunnur juga cuba menyusun semula keutamaan hidupnya terutama masa bersama keluarga dan kerjaya. Dia kini sudah boleh berjalan tetapi agak perlahan dan bersyukur kerana sudah pun dapat bekerja semula.
   "Sejak sakit saya memang mudah tersinggung tetapi kini semakin berkurangan. Semua kerja di rumah, suami yang buat dan dia amat memahami keadaan saya. Anak kami, El-Rizqy sudah pun berusia berusia 9 bulan tetapi hingga kini saya masih tidak berpeluang mendukungnya.
   "Memang berasa terkilan. Kadang-kadang, sedang saya bersiap hendak ke kerja dan anak menangis, rasa tertekan juga kerana tidak mampu mendukungnya. Namun, saya yakin, saya akan pulih," katanya.
  

Kes 2:
Hamil lima bulan 

MELIHAT kepayahan Soo Mai Wah, 36, berjalan dan keadaannya yang sedang mengandung lima bulan anak kedua, hati tertanyatanya bagaimanakah keadaannya jika kandungannya semakin sarat?


     Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah juga dengan Mai Wah, perit atau tidak, dia perlu kuat mengharungi keadaan dihadapi kini dan tidak perlu terus menangisi, sebaliknya perlu menjaga kesihatan dengan baik supaya apabila genap tempohnya, dia selamat bersalin dan melahirkan anak comel.
 
 Bekas jurujual itu berkata, ini adalah pengalaman keduanya hamil dalam keadaan seperti itu. Katanya, walaupun kehamilan kedua itu tidak dirancang, dia tetap menerimanya dan berharap segala-galanya berjalan lancar.
   Mai Wah mula diserang strok ketika mengandungkan anak pertama, Neow Jian Jiong, 1 tahun. Gaya hidup yang tidak sihat, termasuk tekanan kerja, waktu tidur tidak menentu, penat bekerja dan kerap balik lewat dipercayai antara punca diserang strok.
   "Ketika kali perta
ma diserang strok, saya mendapati diri hamil. Memang saya takut sangat berdepan dengan keadaan itu. Tetapi sebelum mengandungkan Jian Jiong, saya kerap tidak boleh tidur dan asyik fikirkan hal kerja. Pendapatan sebagai promoter tidak banyak tetapi saya perlu kerja kuat untuk dapat duit lebih.

Strok separuh badan

 "Setiap hari, saya keluar jam 6 pagi dan balik ke rumah hanya selepas jam 10 malam. Pada waktu malam pula, sukar hendak
tidur mungkin sebab terlalu penat dan tertekan. Akhirnya, saya diserang strok separuh badan di sebelah kiri dan pada masa, didapati mengandung," cerita Mai Wah yang terpaksa berhenti kerja apabila diserang strok.

   Katanya, sepanjang kehamilan anak pertama tiada banyak masalah dihadapi cuma sukar bernafas disebabkan berat badan yang semakin bertambah selain tidak boleh berjalan selama setahun.
  
Keadaan itu juga menyebabkannya terpaksa bersalin secara pembedahan. Selepas berpantang, beliau menjalani terapi dan mampu berjalan semula.
   Beliau kemudian disahkan hamil. Berita itu membimbangkan Mai Wah dan suami, anak sedia ada juga tidak mampu dijaga dengan sempurna, bagaimana pula jika ada anak kedua. Namun, kehamilan diteruskan selepas menerima nasihat doktor.
   Mai Wah berharap, beliau akan kembali sihat selepas bersalin nanti dan dapat memberi perhatian sebaiknya kepada dua cahaya mata.
  


Kes 3:
Derita diabetes

  
PENYAKIT kencing manis yang dihidapi Rozita Man, 39, sejak melahirkan anak pertama, ternyata membawa ujian berpanjangan dalam diari kehidupannya. Ibu kepada empat cahaya mata itu reda dengan ketentuan Allah apabila kini diuji dengan ujian lain apabila diserang strok pada April 2010.

   Bagaimanapun, Rozita tidak menafikan ada ketikanya perasaan sedih menyelubungi diri, terutama apabila mengenangkan suami dan anak yang berusia 11 tahun hingga 17 tahun turut berkongsi kepayahan dilaluinya.
   "Saya tidak berapa ingat apa yang sebenarnya berlaku. Cuma saya ingat suatu hari, tiba-tiba saya pengsan di rumah dan sedarsedar, saya sudah berada di hospital.

Saya kemudian diberitahu mendapat serangan strok yang membuatkan bahagian sebelah kanan lumpuh. Saya tahu, risiko penyakit diabetes yang dihidapi tetapi tidak pernah terfikir suatu hari saya akan mengalami nasib seperti ini," katanya dengan wajah tenang.
    Rozita yang bekerja di kedai optometri terlantar sebulan di hospital selepas kejadian itu dan kemudian diberikan cuti sakit selama setahun. Sepanjang tempoh itu dan sehingga ke hari ini, Rozita masih berusaha untuk memulihkan keadaan dirinya.
   "Mula-mula dulu, hendak berjalan bahagian kanan sakit sangat tetapi kini agak berkurangan. Kalau berjalan, saya perlu pegang seseorang takut jatuh dan sebab itulah ketika di rumah atau keluar, sentiasa dipastikan ditemani anak atau suami.

 Tidak mampu buat kerja

"Separuh daripada kehidupan saya kini amat memerlukan pertolongan, tetapi kini saya sudah boleh buat kerja rumah yang ringan," katanya menceritakan keadaan dulu dan kemajuan dirinya kini.
     Ro
zita memberitahu, selain menjalani rawatan terapi di hospital dan mengambil ubat-ubatan, rawatan mengurut seminggu dua kali juga dilakukan bagi mengurangkan kesakitan.
   Katanya, walaupun dilanda ujian seperti itu ada hikmah tersirat yang amat dihargainya. Antaranya, Rozita melihat pengorbanan dan kasih sayang suami dan anak yang tidak sedikit pun luntur terhadapnya, malah membuatkan hubungan mereka sekeluarga semakin erat.
   "Suami dan anak-anak tidak pernah melihat serta menganggap saya membebankan mereka. Mereka sanggup bersusah payah kerana saya. Contohnya, ketika perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia dulu, mereka tidak membiarkan saya berseorangan diri di rumah, sebaliknya turut membawa saya bersama ke stadium walaupun ia menyukarkan mereka," katanya yang berharap supaya cepat sembuh.



INFO

Tanda amaran awal strok 

* Penglihatan sebelah atau kedua-dua mata menjadi kabur tibatiba. 
* Kebas, lemah atau lumpuh pada muka, tangan atau kaki. Boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah badan. 
* Pertuturan menjadi sukar dan susah memahami percakapan orang lain.
* Pening, hilang keseimbangan dan koordinasi. 
* Sukar berjalan atau jatuh tanpa sebab. 
* Sakit kepala (biasanya sangat teruk dan secara mendadak) tanpa sebab. 
* Berlaku perubahan jenis sakit kepala yang tidak dapat dikenal pasti.
  

REMAJA GADAI 'KEHORMATAN' DEMI CINTA

Berita Harian Sabtu, Feb 19, 2011
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Remaja gadai `kehormatan' demi cinta



 AMAT membimbangkan apabila statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 517 bayi dibuang di seluruh negara, sejak enam tahun lalu. Statistik itu turut menyatakan, kebanyakan kes buang bayi dilakukan individu terutama gadis yang bimbang maksiat terbongkar selain tiada tempat mengadu.
     Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata berdasarkan perangkaan, 203 mangsa dikenal pasti sebagai bayi lelaki manakala 164 bayi perempuan.

   Bagaimanapun, 150 kes lagi gagal dikenal pasti jantina berikutan keadaan bayi tidak cukup sifat atau hanya penemuan janin.
   Bakri berkata, daripada jumlah itu, 230 bayi ditemui masih hidup manakala 287 sudah meninggal dunia, manakala pada 2008 mencatatkan jumlah pembuangan bayi teramai, iaitu 102 kes.
   Statistik itu agak menggerunkan apatah lagi gejala buang bayi terus berlaku. Dalam bulan lalu saja, 19 kes bayi dilaporkan dan angka ini dijangka meningkat.
 

Banyak faktor pengaruhi

Beliau turut mendedahkan, gejala pembuangan bayi ini banyak dipengaruhi faktor bimbang rahsia terlanjur melakukan hubungan seks diketahui keluarga dan rakan, selain tiada tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat, jagaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.

   "Apa yang jelas kebanyakan remaja yang mengandung anak
luar nikah itu tetap melakukan perbuatan kejam berkenaan walaupun menyedari perbuatan membuang bayi yang baru dilahirkan menyalahi undang-undang," kata Bakri.

 Hakikatnya, kes pembuangan bayi membabitkan remaja mengandung anak luar nikah adalah antara masalah sosial parah mesti ditangani segera dan perlukan pendekatan serius. Impak yang ditimbulkan bukan kecil tetapi lebih banyak buruk, termasuk mengenai kesihatan remaja itu sendiri apabila hamil ketika usia masih terlalu muda atau berdepan dengan risiko kehamilan awal.
  

Kesan psikologi

Kesan psikologi kehamilan pada remaja yang belum berkahwin adalah jelas. Remaja mungkin terpaksa menyesuaikan diri menjadi ibu, dan menghadapi cemuhan masyarakat. Jika remaja terpaksa berkahwin, kemungkinan besar perkahwinan itu tidak kekal. Kesan psikologi pada remaja dan kanak-kanak adalah berkekalan.
  
Fakta turut membuktikan, lebih muda ibu hamil maka lebih serius akibat fizikal kehamilan itu. Malah, masalah kehamilan, kelahiran dan keguguran adalah sebab utama kematian wanita berumur antara 15 hingga 19 tahun akibat kehamilan remaja.

Kehamilan dan kelahiran oleh ibu remaja juga membawa risiko yang lebih tinggi berbanding dengan kehamilan oleh wanita dewasa.
 

 Risiko tinggi

Sementara itu, Perunding Jabatan Obstetik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nur Azurah Abdul Ghani, berkata hamil ketika remaja memberi pelbagai kesan negatif terhadap golongan terbabit.
     Dr Nur Azurah berkata, ketika mengandung, remaja berkenaan berisiko tinggi mempunyai kurang darah (anemia) disebabkan pemakanan yang tidak seimbang atau teratur. Mereka juga berisiko melahirkan bayi pramatang serta menghidap pre-eklampsia.
   "Pre-eklampsia adalah keadaan apabila seseorang mempunyai darah yang tinggi serta kencing kotor (protein dalam urin). Pre-eklampsia jika tidak dirawat boleh menyebabkan kematian kepada ibu dan juga bayi," jelasnya.


   Beliau berkata, kebanyakan remaja yang mengandung tidak hadir ke klinik untuk membuat pemeriksaan antenatal kerana malu ingin merahsiakan kandungan, tidak faham proses kehamilan atau kesempitan wang. Ini menyebabkan semua risiko itu dikesan pada peringkat yang lewat.
   Katanya, remaja juga mempunyai tulang pinggul yang lebih kecil menyebabkan kesukaran melahirkan anak. Risiko untuk mereka melahirkan anak secara pembedahan adalah lebih tinggi berbanding dengan mereka yang lebih dewasa.

   "Selain kesan negatif terhadap perkembangan fizikal, kehamilan remaja juga memberi impak negatif terhadap kesihatan mental serta sosial mereka. Remaja yang mengandung sering dilanda kemurungan disebabkan tekanan emosi akibat pandangan seorang masyarakat setempat terutama mereka yang belum berkahwin. Mereka juga kurang berkeyakinan diri disebabkan ketiadaan pekerjaan yang stabil serta kurang peluang untuk meneruskan pengajian berbanding dengan rakan yang lain," kata Dr Nur Azurah.
  

Terdedah penyakit kelamin

Beliau turut menegaskan, hubungan bebas seks luar nikah juga boleh menyebabkan remaja terbabit menghidap penyakit kelamin seperti sifilis, HIV dan Hepatitis B. Justeru, beliau menyarankan pendedahan mengenai bahayanya seks rambang atau luar nikah harus ditekankan kepada setiap remaja.

Mereka wajar diingatkan berkali-kali untuk menghindari seks sebelum berkahwin, di samping perlu diberi pendedahan mengenai kaedah pencegah kehamilan untuk menghindar dari kehamilan seterusnya membawa kepada pengguguran haram atau buang bayi.
    Dr Nur Azurah tidak menafikan, isu kehamilan remaja adalah isu yang hangat diperbincangkan saban hari. Tidak dapat dinafikan isu itu perlu ditangani dari pelbagai aspek oleh pihak terbabit.

Katanya, remaja perempuan haruslah lebih bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri. Mereka perlu mengelak daripada melakukan hubungan seks luar nikah. Mereka juga harus berani serta bersikap tegas menolak permintaan pasangan untuk melakukan hubungan seks luar nikah.



   "Remaja perempuan belum berkahwin sesungguhnya tidak perlu membuktikan cinta dengan menggadai kehormatan mereka. Mereka harus sedar, pasangan yang baik tidak akan memaksa atau meminta mereka melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sebaliknya, pasangan yang baik akan sentiasa menjaga kehormatan pasangan mereka sewaktu bercinta mahupun selepas berkahwin. Adalah lebih baik simpan kehormatan diri sehingga berkahwin dengan pasangan yang dicintai.
   "Bagi remaja lelaki, elakkan diri daripada mensia-siakan orang yang meletakkan kepercayaan pada mereka. Fikir dulu sebelum melakukan apa-apa. Jangan lakukan sesuatu pada seseorang seperti mana anda tidak mahu orang lain melakukan pada saudara perempuan anda atau anak anda sendiri," nasihat Dr Nur Azurah.
  
  INFO
  
  ANTARA RISIKO KEHAMILAN AWAL:
  
  * Kematian kehamilan ibu remaja adalah 60 peratus lebih tinggi berbandingkehamilan wanita dewasa.
  
  * Kematian akibat toksemia 3.5 kali lebih tinggi.
  
  * Pertumbuhan ibu remaja mungkin terganggu terutama ketidakseimbangan terhadap pelvis (saiz pelvis lebih kecil daripada saiz kepala bayi).
  
  * Berkemungkinan mengalami anemia ketika hamil.
  
  * Tempoh kelahiran adalah panjang boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayinya.
  
  ANTARA RISIKO BAYI DILAHIRKAN IBU REMAJA:
  
  * Kematian bayi 2.4 kali lebih tinggi di Amerika Syarikat.
  
  * Kematian bayi berumur kurang daripada umur setahun adalah tiga kali ganda lebih tinggi untuk anak yang dilahirkan ibu remaja.
  
  * Berat badan bayi rendah, berkemungkinan besar sakit dan mati.
  
  * Bayi kurang sihat. Di Amerika Syarikat, berat bayi yang dilahirkan oleh ibu remaja kurang daripada 2.5kg adalah dua kali ganda.
  
  * Kelahiran bayi cacat seperti terencat akal, sawan, rabun, pekak dan kecacatan kognatif.
  
  * Bayi mengalami kekurangan zat besi di awal pertumbuhannya.


  
  BAGAIMANA ANDA TAHU ANAK HAMIL?
  
  PERHATIKAN TANDA INI BERIKUT:
  
  * Tidak datang haid
  
  * Pendarahan vagina yang luar biasa
  
  * Loya atau muntah
  
  * Payudara terasa sakit atau membesar
  
  * Letih atau pening
  
  * Perut semakin membesar
  
  * Jangkitan saluran air kencing
  
  * Perubahan berat badan

Aura Bakal Ibu

 Berita Harian, Selasa Jun 19, 2013
 Oleh Nor Affizar Ibrahim


 Aura bakal ibu




SENTIASA menjadi perhatian. Itulah kehidupan yang dilalui Kate Middleton, isteri pewaris takhta kedua Britain, Putera William.
   
 Berbaki sebulan lagi, pasangan berkenaan akan menyambut anak pertama mereka yang dijangkakan lahir, pada 13 Julai ini.
   Kate yang dijangka bakal menerima cahaya mata lelaki memang selalu mencuri perhatian dengan gaya busananya yang anggun. Apa saja dipakai wanita berusia 31 tahun ini, selalu ditunggu ramai.

   Tidak terkecuali, gaya busananya ketika hamil. Malah, dari awal kehamilan hinggalah ke saat ini, ke mana saja Kate pergi lensa kamera pasti tidak terlepas merakamkan busana apa yang digayakan.

   Harus diakui, Kate selalu menunjukkan penampilan mengagumkan sepanjang kehamilan. Beliau bukan saja menjadi perhatian tetapi juga inspirasi bagi wanita lain. Malah, ramai memuji Kate dilihat makin cantik dalam balutan pelbagai fesyen baju hamil.

   Ini bukanlah mustahil, dalam hal fesyen Kate selalu berusaha menghadirkan penampilan dan gaya prima, walaupun saat usia kandungannya yang makin matang.
   Kehadiran Kate juga menjadi tumpuan dunia fesyen antarabangsa yang mahu melihat gaya terbaru beliau sebagai ibu mengandung.
  
 


Jadi aliran busana
  
  Mengimbas penampilan pertamanya sejak dikhabarkan hamil dan ketika mengalami alahan kehamilan teruk sehingga harus dirawat di hospital, Kate didapati sentiasa menjaga keperibadiannya. Ini jelas dilihat, ketika bakal ibu itu keluar dari hospital, beliau muncul dengan gaya memukau.
 
   Pada awal usia kehamilannya, kandungan Kate agak kecil mungkin kerana beliau memiliki tubuh langsing. Justeru, apa saja yang dipakainya tetap tampak menawan seperti mana beliau sebelumnya yang terlihat cantik dalam busana seharian.

     Lebih menarik, baju hamil Kate yang bercorak flora kecil dengan gaya Shanghai dan berkancing menyilang, menjadi aliran busana digilai oleh kebanyakan wanita di seluruh dunia. Apa yang pasti, meskipun sedang mengandung, ia tidak menghalang Kate untuk tampil bergaya hebat.
   

Kate membuat penampilan kali pertama di khalayak ramai sejak pulang dari percutian "babymoon" di kepulauan Carribean. Ia adalah penampilan rasmi kedua beliau sejak diisytiharkan hamil dan ketika itu kandungannya sudah mencecah empat setengah bulan. Beliau mengenakan busana yang memperlihatkan bentuk perutnya yang kian ketara dengan mengenakan gaun MaxMara Studio.
   Ketika menghadiri acara di National Portrait Gallery London, Kate terlihat cantik dalam balutan gaun koktel tanpa lengan berwarna biru bergaris empayar rekaan Emilia Wickstead.
   Beliau tampil penuh bergaya dan melangkah dengan senyum mekar, Apa yang pasti, biarpun tampak sederhana tetapi mampu mengubah susuk yang sangat mempesona. Kasut dengan warna senada membuatkan Kate bagaikan Cinderella.
  

Paduan kot dan gaun


 Ketika hadir pada majlis perkahwinan sahabatnya di Switzerland pula, Kate tampil begitu elegan mengenakan mantel bulu berwarna krim dan dress bermotif bunga. 
Duchess of Cambridge ini juga memakai topi pillbox berwarna coklat dan sebai bulu.
    Dengan menggunakan mekap sederhana dan jauh dari kesan mewah, Kate tampak anggun memadankannya dengan antinganting mutiara putih. Usia kehamilan yang masih muda juga membuat tubuhnya tidak banyak berubah.
   Begitu juga ketika membuat lawatan ke hospital Naomi, Hampshire, dengan mengenakan gaun mini tanpa lengan berwarna pic yang dipadukan dengan kot berwarna senada dari Tara Jarmon Cotton Twill, Kate tetap memberikan daya tarikan tersendiri.

Beliau memadankan penampilannya itu dengan platform tumit tinggi dari LK Bennett dan beg genggam berwarna krim. Gaun polka dot yang dipakai Kate ketika menghadiri pembukaan studio Warner Bros juga mencuri perhatian dan memberikan penangan hebat.
Gaun keluaran Topshop itu dikatakan, `diburu' pembeli dan habis dijual. Dengan gaun polkadot ini, sang puteri itu yang biasanya tampak langsing, terlihat lebih berisi tetapi layaknya sebagai wanita hamil.
  

Gaun polka dot
 
Pada usia kandungan enam bulan, Kate pernah menggayakan gaun koktel berwarna biru dengan gaya 1950-an. Pilihan sepatu tumit tinggi senada dengan pilihan busana manakala rambut panjangnya dibuat ikal dan didandan ke sisi. Ternyata, Kate tidak pernah kehilangan pesona.
     Kate menyarung kot keluaran jenama Mulberry dalam lawatannya ke National Review of Queen's Scouts di Windsor Castle, Berkshire di London. Penampilannya tetap tampak segar dalam balutan kot diperbuat daripada bahan tweed warna hijau muda.
  

Gaya santai
 
 Aura kecantikannya terserlah dalam suasana santai. Ketika berbelanja untuk kelengkapan bayi bersama ibunya, Carole Middlebeliau terlihat makin dengan blaus hamil berwarna biru gelap berenda krim cantik melingkari di bahagian leher.
ton di South Kensington,

     Untuk membuat penampilannya semakin terlihat anggun dan mempesona, blaus dipadankan dengan celana bukan denim warna senada dan kasut bot hitam panjang.
   Sapuan riasan wajah dan dandanan rambut semula jadi selalu setia menemani setiap penampilannya.
   Selain itu Kate juga pernah mengenakan busana hamil bermotif bunga daripada sutera motif. Gaun sutera potongan ketat itu dipakai ketika menghadiri Willows Primary School di Manchester dan ia membuatkan perut hamil Kate tampak jelas.



   Terkini, Kate menghadiri acara di Istana Buckingham dengan mengenakan busana daripada sutera yang di dominasi warna kuning. Busana itu adalah hasil rekaan pereka Inggeris, Emilia Wickstead yang memperlihatkan sentuhan elegan dan klasik tanpa menghilangkan kesan cerah yang membuat nyaman.
   Busana di inspirasi dari vintage ala 1950-an. Kate mengenakan topi berwarna krom, sepatu pump berwarna senada serta antinganting mutiara.
   Apa saja pilihan busana Kate gaya ditonjolkan memang cocok. Kebanyakan busana hamil Kate tidak banyak menampilkan kesan seksi atau buka-bukaan. Tetapi keperibadiannya tetap terserlah dan ramai yang terus mengagumi kecantikannya.



Thursday, October 17, 2013

PEPERANGAN TURUT JADI URUSAN WANITA

Berita Harian, Jumaat, Januari 30, 2004

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Peperangan turut jadi urusan wanita
 



PEPERANGAN mencetuskan kemusnahan. Peperangan turut membawa penderitaan dan kesengsaraan. Mangsa utama peperangan ialah wanita, kanak-kanak dan warga tua. Itulah musibah perang.
  
Apabila berbicara keadaan peperangan pula, sepantas kilat akan tergambar wajah wanita yang berada dalam ketakutan ataupun sayu berendam air mata sambil dikelilingi kanak-kanak yang dalam keadaan daif dan kurus kering.
  
Arus perubahan masa kini menunjukkan wanita berfungsi dan tanggungjawab yang lebih besar jika berlakunya peperangan. Andai kata peperangan melanda, wanita tidak lagi sewajarnya hanya meratap dan merintih simpati tetapi perlu turut sama menghulurkan tangan sama ada ikut serta berjuang di medan pertempuran atau menyumbang kudrat di kawasan peperangan, yang sudah tentu mengharapkan lebih banyak bantuan.
  
Wanita masa kini juga tidak harus membiarkan dirinya berterusan menjadi mangsa keadaan biarpun sering dikatakan, sebagai insan yang lemah sentiasa diragui kemampuan dan kebolehan serta dinafikan peluang dan tidak dihargai.

  
Yang jelas, anjakan paradigma terhadap persepsi gender perlu ada pada masa kini bagi mewujudkan keamanan dan mengelakkan wanita terus menjadi mangsa keganasan dalam peperangan.
  
Itulah antara beberapa isu dan perkara menarik yang dibangkitkan serta dibincangkan pada persidangan Wanita dan Keamanan: Isu, Cabaran dan Strategi di The Mines Beach Resort & Spa, Seri Kembangan, baru-baru ini.
  
Persidangan sehari anjuran Unit Pengajian Komuniti dan Keamanan (Pekka), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Unit Pengajian Wanita, Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan.
  
Antara objektif persidangan itu untuk bertukar pengalaman dan pandangan berkaitan wanita dan keamanan di samping mencetuskan strategi baru yang inovatif, lebih berperikemanusiaan dan mantap bagi menghadapi cabaran serta menyelesaikan krisis atau konflik mahupun ketidaksefahaman terhadap hal yang membabitkan wanita dan keamanan.
  

Harus bersedia

Dr Jamilah Othman, daripada Pekka yang membentangkan kertas kerja bertajuk `Wanita dan Strategi Menguruskan Konflik', berkata ekoran tuntutan kemajuan, wanita perlu menerima hakikat, konflik menjadi sebahagian rencah kehidupan dan mereka seharusnya bersedia secara mental, fizikal serta emosi untuk menghadapi dan mempunyai pelan strategi bagaimana menguruskannya.
  
Beliau berkata, sekalipun ramai sarjana berpandangan bahawa menguruskan konflik banyak bergantung kepada pengalaman, pengetahuan dan tradisi serta nilai yang dipegang tetapi perkara paling penting sekali ialah pada diri individu itu sendiri.
  
 "Jika konflik dikonotasikan sebagai negatif maka sudah pasti ia akan diuruskan dengan cara yang destruktif dan seandainya dikonsepsikan positif, ia akan dikendalikan dengan konstruktif," ujarnya.
  

Sasaran utama

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kolektif Wanita (WOA), Maria Chin Abdullah, yang membangkitkan persoalan bayangan wanita sebagai mangsa perang atau individu terselamat berkata, peperangan sudah berubah beberapa dekad lalu.

Akibatnya, wanita, kanak-kanak dan warga tua menanggung penderitaan yang teruk.
  
"Apabila matlamat perang lebih menjurus menghapuskan identiti penduduk, wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi sasaran strategik untuk penderaan dan tubuh mereka menjadi `medan peperangan'. Ia jelas menunjukkan, bahawa fokus terhadap peperangan ialah menghancurkan yang lain dan wanita cenderung menjadi mangsa utama sasaran pencerobohan itu.
  
"Ketika peperangan meletus, wanita menderita akibat keganasan dan menjadi mangsa sasaran penderaan. Ini kerana mereka adalah
wanita. Bagaimanapun, ada yang berkata, peperangan adalah urusan lelaki tetapi tidak dinafikan wanita terpaksa menerima kesan kehidupan yang negatif akibat perang. Oleh itu peperangan juga adalah urusan wanita," kata Maria.
  
Selain itu, beliau turut membicarakan mengenai imej yang dipaparkan oleh media massa dalam di negara yang berperang.
  
Katanya, masyarakat sering didedahkan dengan imej mangsa yang tidak terdaya yang memerlukan bantuan akibat kekejaman dilakukan musuh, manakala imej wanita sebagai wira atau perunding keamanan jarang dipaparkan.
  
"Sepanjang sejarah, kita sudah menyaksikan bagaimana `wanita berani' dilayani. Ini termasuk, Joan of Arc (yang memimpin tentera Perancis menentang tentera Inggeris) tetapi kemudiannya dihukum bakar. Begitu juga sehingga melabelkan bekas Perdana Menteri, Margaret Thatcher sebagai `Wanita besi'. Mesejnya, menjadi wanita berani ada kaitan rapat dengan maskuliniti," katanya.
  
Maria menambah lagi, bahawa wanita berfungsi sebagai pengikat keamanan tetapi dalam banyak kes, usaha mereka dipandang remeh. Beliau mengambil contoh apa yang berlaku kepada aktivis Palestin, Hanan Ashrawi sebagai penerima anugerah keamanan Sydney Peace Prize, baru-baru ini. Hanan dikecam Perdana Menteri Australia, John Howard kononnya, beliau tidak layak menerima anugerah itu.
  

Ketidakadilan untuk wanita

Pengurus Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pembangunan Manusia (Malaysia, Singapura dan Brunei), Anis Yusal Yusoff, pula berkata kita selalu mengharapkan keamanan pada setiap masa tetapi pada amalannya ia tidak berlaku.
  
 "Peperangan adalah halangan untuk mencapai keamanan. Tetapi, keamanan tidak hanya berkisar pada perang sebaliknya, juga berkaitan dengan apa yang berlaku di sekitar kita," ujar Anis.
  
Beliau berkata, keganasan terhadap wanita bukan hanya berlaku pada ketika peperangan. Malah, di seluruh dunia wanita mendepani keganasan.
  
 "Ini berlaku kerana mereka adalah wanita. Bagaimanapun, peperangan memperhebatkan lagi ketidakadilan bahawa wanita harus melalui semua itu," katanya.
  
  Beliau yang menghuraikan kertas kerja bertajuk, Wanita: Perang: Keamanan berkata, pemindahan yang disebabkan perang selalunya membabitkan wanita dan kanak-kanak. Pemindahan itu menunjukkan dimensi gender sebagai wanita, mereka perlu dipindahkan.
  
 "Sekali gus, senario itu meletakkan wanita sebagai golongan tidak berdaya kerana mereka terdedah kecenderungan diserang atau dirogol walaupun di kem pelarian yang disediakan untuk mereka.
  

Perlukan pembabitan wakil wanita

Wanita juga terdedah kepada ancaman penyakit seperti HIV/Aids.
  
 "Peperangan dan HIV/Aids saling berkait rapat. Wanita bukan saja mudah dijangkiti penyakit itu akibat diperkosa tetapi juga melalui hubungan seks yang tidak selamat dan juga bahaya menggunakan darah yang tidak diuji dan peralatan tercemar kerana situasi perang," ujar Anis.
  
  Beliau berkata, usaha perlu dilakukan untuk melindungi wanita daripada keganasan. Media boleh berfungsi dalam membantu masyarakat memahami isu itu, manakala undang-undang boleh memastikan bahawa keganasan dihentikan.
  
  Katanya, komitmen yang tinggi dan berterusan pada kesamarataan gender terhadap wanita perlu wujud termasuk pembabitan wakil wanita dalam semua kegiatan yang membentuk keamanan.

PELANGGARAN HAK ASASI WANITA MASIH WUJUD

Berita Harian, Selasa Mac 8, 2005
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Pelanggaran hak asasi wanita masih wujud




SAMBUTAN Hari Wanita Sedunia bermula dengan usul pemimpin pejuang hak asasi manusia daripada Pergerakan Wanita Sosialis Antarabangsa, Clara Zetkin yang berasal dari Jerman pada tahun 1910.

Perhimpunan besar di Manhattan, Amerika Syarikat pada 1908 yang membabitkan 2,000 wanita bekerja dalam sektor perindustrian untuk menuntut beberapa tuntutan hak asasi mereka, mencetus idea kepada Zetkin merangka usul bagi dibincangkan pada persidangan antarabangsa wanita sosialis yang menumpukan pada pemilihan tarikh sesuai, melahirkan tuntutan kumpulan wanita terbabit.
  
  Tuntutan berkenaan antaranya ialah pembayaran gaji lebih adil, kebajikan pekerja wanita dipertingkatkan, perubahan perundangan yang lebih adil terhadap wanita dan hak mengundi dalam pilihan raya. Usaha itu ternyata berjaya apabila persidangan yang dihadiri 100 wanita dari 17 negara seluruh dunia mewakili pertubuhan, parti sosialis, kelab pekerja wanita termasuk, tiga wanita pertama yang terpilih dalam Parlimen Finland, menyambut baik cadangan Zetkin dan lahirlah Hari Wanita Sedunia.
  
  Rentetan perjuangan dan ketabahan wanita seluruh dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945 akhirnya, turut mengiktiraf wanita dan memilih 8 Mac sebagai hari peringatan untuk wanita seluruh dunia. Pada tahun sama juga, satu perlembagaan mengenai sokongan kempen hak kesamarataan ditandatangani oleh PBB sekali gus, membuktikan kesungguhan pertubuhan dunia itu.
  
  Jika dihitung bermula pada 1910, Selasa ini (8 Mac) genaplah 95 tahun, Hari Wanita Sedunia dirayakan.
  

Makin banyak isu diketengahkan 



Bermula dengan perjuangan awal gerakan wanita khususnya, di negara barat seperti Amerika, Britain dan Russia dalam menuntut hak mengundi serta keadilan dan kebajikan di tempat kerja, hari ini semakin banyak isu diketengahkan dan diperjuangkan wanita di seluruh dunia.

Malah, kini isu wanita dan pembangunan sudah menjadi agenda dunia. Dengan peningkatan lebih ramai cerdik pandai di kalangan
wanita dan semakin ramai di serata dunia yang berani ke depan serta bersuara lantang melontarkan pandangan, pendapat dan kritikan, maka semakin banyak isu mengenai wanita diketengahkan dan diperjuangkan.
  
  Perjuangan wanita abad kini pelbagai dan bergantung kepada latar belakang masyarakat masing-masing. Berdasarkan isu diketengahkan, jelas menunjukkan kepelbagaian tuntutan wanita, bergantung kepada tahap kemajuan politik dan ekonomi negara mereka.
  
Selain itu, sudah ramai wanita dalam pelbagai bidang yang berjaya di persada antarabangsa.

Nama seperti Margaret Thatcher, Indra Ghandi, Benazir Bhutto dan Mother Teresa adalah antara tokoh wanita yang menjadi simbol kejayaan antarabangsa. Pada dekad ini, nama se perti Aung San Suu Kyi Condoleezza Rice, Megawati Sukarnoputri, Sonia Ghandi dan Gloria Macapagal Arroyo turut mencuri tumpuan dan menggegarkan dunia.
  
Tetapi ini tidak bermakna, wanita sudah 100 peratus mendapat tempat. Setinggi manapun pencapaian mereka, masih ada jurang memisahkan wanita dengan lelaki. Di sesetengah negara pula, masih gagal mengutamakan dan berterusan berlaku perlanggaran hak asasi wanita, khususnya dalam isu membabitkan keganasan terhadap wanita.
  



Penderaan seks dan keganasan



Laporan Amnesty pada awal Disember tahun lalu misalnya menyebut, wanita dan gadis dirogol, didera dengan kejam dan dihina di zon perang seluruh dunia tetapi pihak berkuasa tempatan tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menghukum penjenayah. Laporan itu turut berkata, penderaan seks dan keganasan lain berlaku secara meluas. Di sebalik janji, mekanisme perjanjian dan perundangan, kerajaan gagal melindungi wanita dan gadis dalam konflik di Colombia, Iraq, Sudan, Chechnya, Nepal dan Afghanistan.
  
  Begitu juga dalam menempuhi cabaran dunia kontemporari, golongan wanita terus dihambat dengan beberapa masalah. Wanita di Eropah contohnya, kini mendapati semakin sukar untuk mengimbangi tanggungjawab di tempat kerja dan kehidupan berkeluarga jika ingin terus berjaya sebagai wanita bekerjaya. Kajian Suruhanjaya Ekonomi PBB yang dibentangkan tiga bulan lalu menunjukkan, beban berganda yang digalas wanita sebagai seorang profesional dan ibu menyebabkan tanggungjawab mereka semakin berat di kebanyakan negara di rantau Eropah.
  
  Kajian itu diumumkan 10 tahun selepas persidangan PBB di Beijing yang menggariskan pelan tindakan bagi meningkatkan kehidupan wanita di seluruh dunia. Kajian itu menunjukkan sukar untuk wanita berjaya dalam kerjaya dan pada masa sama menjalani kehidupan berkeluarga.
  

Masih menghadapi konflik

Bagi wanita di sesetengah negara yang baru hendak membangun pula, turut menghadapi konflik dan masih berdepan dengan banyak cabaran untuk membangunkan wanita di negara mereka. Menteri Hal Ehwal Wanita Kemboja, Dr Ing Kantha Phavi ketika membentangkan kertas kerja, pada Sidang Kemuncak Wanita Asean yang diadakan di negara ini bulan lalu, berkata pembangunan wanita di Kemboja masih terlalu jauh untuk dicapai.
  
  "Terdapat 52 peratus wanita daripada penduduk Kemboja yang membabitkan diri secara aktif dalam ekonomi. Tetapi status wanita Kemboja dalam dunia pekerjaan tidak diiktiraf kerana 54 peratus wanita yang memberi sumbangan aktif dalam ekonomi digolongkan sebagai pekerja keluarga yang tidak berbayar. Hanya 13 peratus wanita yang dibayar sebagai pekerja dan 33 peratus berkerja sendiri," katanya.
  
  Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi wanita Kemboja dalam untuk menjadi pemimpin ialah kurang pengaruh akibat pandangan berat sebelah, bebanan kewangan ekoran kemiskinan, tidak mendapat latihan secukupnya kerana tahap pendidikan yang rendah dan ketiadaan sokongan untuk meningkatkan kemahiran serta bebanan kerja yang bertambah.
  
  Sementara, Presiden Majlis Kebangsaan Wanita Filipina (National Council of Women of The Philippines, NCWP), Myrna T Yao yang membicarakan isu berkerja, wanita dengan rakan sekerja lelaki pada sidang kemuncak yang sama berkata, wanita Filipina masih melihat lelaki dalam sebagai ketua.
  
  Myrna berkata, lelaki memegang jawatan sebagai presiden tetapi mempunyai tanggungjawab yang sedikit. Wanita menguruskan urusan kerja dengan tanggungjawab yang besar tetapi kekal sebagai warga kelas kedua.
  

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...