Oleh Nor Affizar Ibrahim
Peperangan turut jadi urusan wanita
PEPERANGAN mencetuskan kemusnahan. Peperangan turut membawa penderitaan dan kesengsaraan. Mangsa utama peperangan ialah wanita, kanak-kanak dan warga tua. Itulah musibah perang.
Apabila berbicara keadaan peperangan pula, sepantas kilat akan tergambar wajah wanita yang berada dalam ketakutan ataupun sayu berendam air mata sambil dikelilingi kanak-kanak yang dalam keadaan daif dan kurus kering.
Arus perubahan masa kini menunjukkan wanita berfungsi dan tanggungjawab yang lebih besar jika berlakunya peperangan. Andai kata peperangan melanda, wanita tidak lagi sewajarnya hanya meratap dan merintih simpati tetapi perlu turut sama menghulurkan tangan sama ada ikut serta berjuang di medan pertempuran atau menyumbang kudrat di kawasan peperangan, yang sudah tentu mengharapkan lebih banyak bantuan.
Wanita masa kini juga tidak harus membiarkan dirinya berterusan menjadi mangsa keadaan biarpun sering dikatakan, sebagai insan yang lemah sentiasa diragui kemampuan dan kebolehan serta dinafikan peluang dan tidak dihargai.
Yang jelas, anjakan paradigma terhadap persepsi gender perlu ada pada masa kini bagi mewujudkan keamanan dan mengelakkan wanita terus menjadi mangsa keganasan dalam peperangan.
Itulah antara beberapa isu dan perkara menarik yang dibangkitkan serta dibincangkan pada persidangan Wanita dan Keamanan: Isu, Cabaran dan Strategi di The Mines Beach Resort & Spa, Seri Kembangan, baru-baru ini.
Persidangan sehari anjuran Unit Pengajian Komuniti dan Keamanan (Pekka), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Unit Pengajian Wanita, Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan.
Antara objektif persidangan itu untuk bertukar pengalaman dan pandangan berkaitan wanita dan keamanan di samping mencetuskan strategi baru yang inovatif, lebih berperikemanusiaan dan mantap bagi menghadapi cabaran serta menyelesaikan krisis atau konflik mahupun ketidaksefahaman terhadap hal yang membabitkan wanita dan keamanan.
Harus bersedia
Dr Jamilah Othman, daripada Pekka yang membentangkan kertas kerja bertajuk `Wanita dan Strategi Menguruskan Konflik', berkata ekoran tuntutan kemajuan, wanita perlu menerima hakikat, konflik menjadi sebahagian rencah kehidupan dan mereka seharusnya bersedia secara mental, fizikal serta emosi untuk menghadapi dan mempunyai pelan strategi bagaimana menguruskannya.
Beliau berkata, sekalipun ramai sarjana berpandangan bahawa menguruskan konflik banyak bergantung kepada pengalaman, pengetahuan dan tradisi serta nilai yang dipegang tetapi perkara paling penting sekali ialah pada diri individu itu sendiri.
"Jika konflik dikonotasikan sebagai negatif maka sudah pasti ia akan diuruskan dengan cara yang destruktif dan seandainya dikonsepsikan positif, ia akan dikendalikan dengan konstruktif," ujarnya.
Sasaran utama
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kolektif Wanita (WOA), Maria Chin Abdullah, yang membangkitkan persoalan bayangan wanita sebagai mangsa perang atau individu terselamat berkata, peperangan sudah berubah beberapa dekad lalu.
Akibatnya, wanita, kanak-kanak dan warga tua menanggung penderitaan yang teruk.
"Apabila matlamat perang lebih menjurus menghapuskan identiti penduduk, wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi sasaran strategik untuk penderaan dan tubuh mereka menjadi `medan peperangan'. Ia jelas menunjukkan, bahawa fokus terhadap peperangan ialah menghancurkan yang lain dan wanita cenderung menjadi mangsa utama sasaran pencerobohan itu.
"Ketika peperangan meletus, wanita menderita akibat keganasan dan menjadi mangsa sasaran penderaan. Ini kerana mereka adalah
wanita. Bagaimanapun, ada yang berkata, peperangan adalah urusan lelaki tetapi tidak dinafikan wanita terpaksa menerima kesan kehidupan yang negatif akibat perang. Oleh itu peperangan juga adalah urusan wanita," kata Maria.
Selain itu, beliau turut membicarakan mengenai imej yang dipaparkan oleh media massa dalam di negara yang berperang.
Katanya, masyarakat sering didedahkan dengan imej mangsa yang tidak terdaya yang memerlukan bantuan akibat kekejaman dilakukan musuh, manakala imej wanita sebagai wira atau perunding keamanan jarang dipaparkan.
"Sepanjang sejarah, kita sudah menyaksikan bagaimana `wanita berani' dilayani. Ini termasuk, Joan of Arc (yang memimpin tentera Perancis menentang tentera Inggeris) tetapi kemudiannya dihukum bakar. Begitu juga sehingga melabelkan bekas Perdana Menteri, Margaret Thatcher sebagai `Wanita besi'. Mesejnya, menjadi wanita berani ada kaitan rapat dengan maskuliniti," katanya.
Maria menambah lagi, bahawa wanita berfungsi sebagai pengikat keamanan tetapi dalam banyak kes, usaha mereka dipandang remeh. Beliau mengambil contoh apa yang berlaku kepada aktivis Palestin, Hanan Ashrawi sebagai penerima anugerah keamanan Sydney Peace Prize, baru-baru ini. Hanan dikecam Perdana Menteri Australia, John Howard kononnya, beliau tidak layak menerima anugerah itu.
Ketidakadilan untuk wanita
Pengurus Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pembangunan Manusia (Malaysia, Singapura dan Brunei), Anis Yusal Yusoff, pula berkata kita selalu mengharapkan keamanan pada setiap masa tetapi pada amalannya ia tidak berlaku.
"Peperangan adalah halangan untuk mencapai keamanan. Tetapi, keamanan tidak hanya berkisar pada perang sebaliknya, juga berkaitan dengan apa yang berlaku di sekitar kita," ujar Anis.
Beliau berkata, keganasan terhadap wanita bukan hanya berlaku pada ketika peperangan. Malah, di seluruh dunia wanita mendepani keganasan.
"Ini berlaku kerana mereka adalah wanita. Bagaimanapun, peperangan memperhebatkan lagi ketidakadilan bahawa wanita harus melalui semua itu," katanya.
Beliau yang menghuraikan kertas kerja bertajuk, Wanita: Perang: Keamanan berkata, pemindahan yang disebabkan perang selalunya membabitkan wanita dan kanak-kanak. Pemindahan itu menunjukkan dimensi gender sebagai wanita, mereka perlu dipindahkan.
"Sekali gus, senario itu meletakkan wanita sebagai golongan tidak berdaya kerana mereka terdedah kecenderungan diserang atau dirogol walaupun di kem pelarian yang disediakan untuk mereka.
Perlukan pembabitan wakil wanita
Wanita juga terdedah kepada ancaman penyakit seperti HIV/Aids.
"Peperangan dan HIV/Aids saling berkait rapat. Wanita bukan saja mudah dijangkiti penyakit itu akibat diperkosa tetapi juga melalui hubungan seks yang tidak selamat dan juga bahaya menggunakan darah yang tidak diuji dan peralatan tercemar kerana situasi perang," ujar Anis.
Beliau berkata, usaha perlu dilakukan untuk melindungi wanita daripada keganasan. Media boleh berfungsi dalam membantu masyarakat memahami isu itu, manakala undang-undang boleh memastikan bahawa keganasan dihentikan.
Katanya, komitmen yang tinggi dan berterusan pada kesamarataan gender terhadap wanita perlu wujud termasuk pembabitan wakil wanita dalam semua kegiatan yang membentuk keamanan.
No comments:
Post a Comment