Thursday, December 26, 2013

REMAJA GADAI 'KEHORMATAN' DEMI CINTA

Berita Harian Sabtu, Feb 19, 2011
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Remaja gadai `kehormatan' demi cinta



 AMAT membimbangkan apabila statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 517 bayi dibuang di seluruh negara, sejak enam tahun lalu. Statistik itu turut menyatakan, kebanyakan kes buang bayi dilakukan individu terutama gadis yang bimbang maksiat terbongkar selain tiada tempat mengadu.
     Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata berdasarkan perangkaan, 203 mangsa dikenal pasti sebagai bayi lelaki manakala 164 bayi perempuan.

   Bagaimanapun, 150 kes lagi gagal dikenal pasti jantina berikutan keadaan bayi tidak cukup sifat atau hanya penemuan janin.
   Bakri berkata, daripada jumlah itu, 230 bayi ditemui masih hidup manakala 287 sudah meninggal dunia, manakala pada 2008 mencatatkan jumlah pembuangan bayi teramai, iaitu 102 kes.
   Statistik itu agak menggerunkan apatah lagi gejala buang bayi terus berlaku. Dalam bulan lalu saja, 19 kes bayi dilaporkan dan angka ini dijangka meningkat.
 

Banyak faktor pengaruhi

Beliau turut mendedahkan, gejala pembuangan bayi ini banyak dipengaruhi faktor bimbang rahsia terlanjur melakukan hubungan seks diketahui keluarga dan rakan, selain tiada tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat, jagaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.

   "Apa yang jelas kebanyakan remaja yang mengandung anak
luar nikah itu tetap melakukan perbuatan kejam berkenaan walaupun menyedari perbuatan membuang bayi yang baru dilahirkan menyalahi undang-undang," kata Bakri.

 Hakikatnya, kes pembuangan bayi membabitkan remaja mengandung anak luar nikah adalah antara masalah sosial parah mesti ditangani segera dan perlukan pendekatan serius. Impak yang ditimbulkan bukan kecil tetapi lebih banyak buruk, termasuk mengenai kesihatan remaja itu sendiri apabila hamil ketika usia masih terlalu muda atau berdepan dengan risiko kehamilan awal.
  

Kesan psikologi

Kesan psikologi kehamilan pada remaja yang belum berkahwin adalah jelas. Remaja mungkin terpaksa menyesuaikan diri menjadi ibu, dan menghadapi cemuhan masyarakat. Jika remaja terpaksa berkahwin, kemungkinan besar perkahwinan itu tidak kekal. Kesan psikologi pada remaja dan kanak-kanak adalah berkekalan.
  
Fakta turut membuktikan, lebih muda ibu hamil maka lebih serius akibat fizikal kehamilan itu. Malah, masalah kehamilan, kelahiran dan keguguran adalah sebab utama kematian wanita berumur antara 15 hingga 19 tahun akibat kehamilan remaja.

Kehamilan dan kelahiran oleh ibu remaja juga membawa risiko yang lebih tinggi berbanding dengan kehamilan oleh wanita dewasa.
 

 Risiko tinggi

Sementara itu, Perunding Jabatan Obstetik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nur Azurah Abdul Ghani, berkata hamil ketika remaja memberi pelbagai kesan negatif terhadap golongan terbabit.
     Dr Nur Azurah berkata, ketika mengandung, remaja berkenaan berisiko tinggi mempunyai kurang darah (anemia) disebabkan pemakanan yang tidak seimbang atau teratur. Mereka juga berisiko melahirkan bayi pramatang serta menghidap pre-eklampsia.
   "Pre-eklampsia adalah keadaan apabila seseorang mempunyai darah yang tinggi serta kencing kotor (protein dalam urin). Pre-eklampsia jika tidak dirawat boleh menyebabkan kematian kepada ibu dan juga bayi," jelasnya.


   Beliau berkata, kebanyakan remaja yang mengandung tidak hadir ke klinik untuk membuat pemeriksaan antenatal kerana malu ingin merahsiakan kandungan, tidak faham proses kehamilan atau kesempitan wang. Ini menyebabkan semua risiko itu dikesan pada peringkat yang lewat.
   Katanya, remaja juga mempunyai tulang pinggul yang lebih kecil menyebabkan kesukaran melahirkan anak. Risiko untuk mereka melahirkan anak secara pembedahan adalah lebih tinggi berbanding dengan mereka yang lebih dewasa.

   "Selain kesan negatif terhadap perkembangan fizikal, kehamilan remaja juga memberi impak negatif terhadap kesihatan mental serta sosial mereka. Remaja yang mengandung sering dilanda kemurungan disebabkan tekanan emosi akibat pandangan seorang masyarakat setempat terutama mereka yang belum berkahwin. Mereka juga kurang berkeyakinan diri disebabkan ketiadaan pekerjaan yang stabil serta kurang peluang untuk meneruskan pengajian berbanding dengan rakan yang lain," kata Dr Nur Azurah.
  

Terdedah penyakit kelamin

Beliau turut menegaskan, hubungan bebas seks luar nikah juga boleh menyebabkan remaja terbabit menghidap penyakit kelamin seperti sifilis, HIV dan Hepatitis B. Justeru, beliau menyarankan pendedahan mengenai bahayanya seks rambang atau luar nikah harus ditekankan kepada setiap remaja.

Mereka wajar diingatkan berkali-kali untuk menghindari seks sebelum berkahwin, di samping perlu diberi pendedahan mengenai kaedah pencegah kehamilan untuk menghindar dari kehamilan seterusnya membawa kepada pengguguran haram atau buang bayi.
    Dr Nur Azurah tidak menafikan, isu kehamilan remaja adalah isu yang hangat diperbincangkan saban hari. Tidak dapat dinafikan isu itu perlu ditangani dari pelbagai aspek oleh pihak terbabit.

Katanya, remaja perempuan haruslah lebih bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri. Mereka perlu mengelak daripada melakukan hubungan seks luar nikah. Mereka juga harus berani serta bersikap tegas menolak permintaan pasangan untuk melakukan hubungan seks luar nikah.



   "Remaja perempuan belum berkahwin sesungguhnya tidak perlu membuktikan cinta dengan menggadai kehormatan mereka. Mereka harus sedar, pasangan yang baik tidak akan memaksa atau meminta mereka melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sebaliknya, pasangan yang baik akan sentiasa menjaga kehormatan pasangan mereka sewaktu bercinta mahupun selepas berkahwin. Adalah lebih baik simpan kehormatan diri sehingga berkahwin dengan pasangan yang dicintai.
   "Bagi remaja lelaki, elakkan diri daripada mensia-siakan orang yang meletakkan kepercayaan pada mereka. Fikir dulu sebelum melakukan apa-apa. Jangan lakukan sesuatu pada seseorang seperti mana anda tidak mahu orang lain melakukan pada saudara perempuan anda atau anak anda sendiri," nasihat Dr Nur Azurah.
  
  INFO
  
  ANTARA RISIKO KEHAMILAN AWAL:
  
  * Kematian kehamilan ibu remaja adalah 60 peratus lebih tinggi berbandingkehamilan wanita dewasa.
  
  * Kematian akibat toksemia 3.5 kali lebih tinggi.
  
  * Pertumbuhan ibu remaja mungkin terganggu terutama ketidakseimbangan terhadap pelvis (saiz pelvis lebih kecil daripada saiz kepala bayi).
  
  * Berkemungkinan mengalami anemia ketika hamil.
  
  * Tempoh kelahiran adalah panjang boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayinya.
  
  ANTARA RISIKO BAYI DILAHIRKAN IBU REMAJA:
  
  * Kematian bayi 2.4 kali lebih tinggi di Amerika Syarikat.
  
  * Kematian bayi berumur kurang daripada umur setahun adalah tiga kali ganda lebih tinggi untuk anak yang dilahirkan ibu remaja.
  
  * Berat badan bayi rendah, berkemungkinan besar sakit dan mati.
  
  * Bayi kurang sihat. Di Amerika Syarikat, berat bayi yang dilahirkan oleh ibu remaja kurang daripada 2.5kg adalah dua kali ganda.
  
  * Kelahiran bayi cacat seperti terencat akal, sawan, rabun, pekak dan kecacatan kognatif.
  
  * Bayi mengalami kekurangan zat besi di awal pertumbuhannya.


  
  BAGAIMANA ANDA TAHU ANAK HAMIL?
  
  PERHATIKAN TANDA INI BERIKUT:
  
  * Tidak datang haid
  
  * Pendarahan vagina yang luar biasa
  
  * Loya atau muntah
  
  * Payudara terasa sakit atau membesar
  
  * Letih atau pening
  
  * Perut semakin membesar
  
  * Jangkitan saluran air kencing
  
  * Perubahan berat badan

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...