Monday, June 24, 2013

SUBURKAN KASIH SAYANG SUAMI ISTERI


Berita Harian, Selasa September 21, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim



Suburkan kasih sayang suami isteri


KATA orang, cinta itu buta. Namun, kata-kata itu biasanya sering diucapkan ketika pasangan kekasih dilamun perasaan ombak cinta. Apabila sudah berkahwin, realitinya pasangan berkenaan perlu membuka mata mereka.
 Ini kerana ketika melalui detik manis bercinta, pasangan mungkin tidak atau jarang sekali melihat kekurangan pasangannya tetapi apabila sudah bergelar suami isteri, barulah semua terserlah.

Kaunselor Perkahwinan, Nina J Abdullah, berkata hakikatnya perkahwinan perlukan penyesuaian diri antara kedua-dua pasangan dan apabila sudah berkahwin, situasi tidak sama lagi ketika bercinta.

Nina berkata, dalam satu kajian dibuat pakar psikologi Amerika mendapati, antara punca krisis bermula ialah apabila pasangan dikurniakan anak, hilang pekerjaan, pindah di tempat baru dan juga beberapa hal lain yang perlukan penyesuaian.
         
"Dalam sebuah perkahwinan dibina jika berlaku salah faham dan kesalahan apabila tidak diselesaikan, lama kelamaan ia boleh menjadi isu besar dalam rumah tangga. Oleh sebab itu, ia tidak sepatut dibiarkan, sebaliknya pasangan terbabit perlu cari titik penyelesaian untuk keluar daripada permasalahan itu," katanya ketika membincangkan tajuk, `Menyuburkan Kasih Sayang Dalam Perkahwinan', di Centre for Human Development and Applied Social Sciences (CERDAS), anjuran Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, baru-baru ini.
  

Perkahwinan buat lelaki hidup lama

Perkahwinan atau mendirikan masjid, kata Nina, adalah baik untuk kesejahteraan hidup seseorang, malah baik untuk kesihatan khususnya lelaki. Perkahwinan juga dikatakan membuatkan lelaki hidup lebih lama dan sihat.
     

Menurut satu kajian di Amerika, perkahwinan membuatkan emosi lelaki lebih stabil berbanding mereka yang hidup sendirian. 

Ini berlaku kerana lelaki berkenaan mempunyai seseorang yang rapat dengannya untuk mencurah perasaan dan boleh berkongsi

masalah dihadapi.  

     
 "Tetapi semua kebaikan itu hanya akan diperoleh jika perkahwinan itu stabil dan tiada porak peranda. Jika perkahwinan itu ada masalah, kesihatan mungkin boleh terjejas dan bagi wanita keadaan kesihatannya adalah lebih teruk termasuklah masalah kemurungan dan gangguan emosi," katanya.

       Nina berkata, antara suami dan isteri perlu ada sikap saling hormat menghormati kerana masing-masing ada ruang sempadan tersendiri. Malah, suami isteri juga perlu kenal budaya kehidupan di mana pasangan mereka dibesarkan. Dari situ pasangan akan belajar kekuatan dan kelemahan masing-masing.
       "Hormat bukan saja melalui kata-kata baik dan ucapan seperti terima kasih serta sebagainya tetapi lebih daripada itu. Perlu juga ada perbincangan apa yang boleh dan tidak diterima pasangan supaya dapat melihat serta mengetahui lebih jelas sempadan yang wujud," katanya. 
    
Nina berkata, apabila pasangan meluahkan sesuatu perlulah menjadi pendengar yang baik dengan memberikan perhatian dan cuba memahami apa yang difikirkan serta rasakan. Cubalah letakkan diri sendiri dalam situasi yang dihadapi pasangan dan sedia berkongsi idea serta memberikan pendapat bagi membantu permasalahan dihadapinya.
       "Apabila mendengar kita perlulah memberikan perhatian sepenuhnya dan jika tidak faham lebih baik minta pasangan mengulanginya. Janganlah apabila pasangan meluahkan perasaan, yang satu lagi leka mengadap rancangan televisyen atau membasuh pinggan mangkuk di dapur. Jika bersikap demikian, nescaya pasangan tidak berkongsi mendengar.
          "Cara yang sepatutnya ialah bertentangan mata dengan pasangan," katanya yang turut berpendapat kasih sayang bukan saja dilontarkan dengan katakata tetapi juga tindakan.


Fokus tangani masalah

Begitu juga jika berlaku pergaduhan antara dua pihak, katanya, tidak menghairankan yang menang akan berasa berpuas hati manakala kalah akan kecewa. Namun, kata Nina dalam hubungan suami isteri jika ada perasaan seperti itu ia hanyalah sekadar penyelesaian sementara dan jangka pendek saja.

Sepatutnya, sebagai suami isteri perlulah bekerjasama menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan kekusutan yang timbul.

           Katanya lagi, dalam usaha menyelesaikan masalah dihadapi, pasangan sewajarnya fokus dan menangani masalah dihadapi serta bukannya saling tuduh menuduh atau mencari kesilapan pasangan.
      "Memandang rendah pada pasangan adalah antara yang boleh membawa perceraian. Sepatutnya ketika berbincang dan cuba menangani masalah, pasangan wajar mencipta budaya menghargai pasangannya. Jangan sesekali kritik atau `menyerang' karakter peribadi pasangan," katanya.
  
Nina menambah, walaupun sudah bergelar suami isteri dan tidur sebantal, pada asasnya masing-masing masih satu individu yang ada keperluan dan kehendak berbeza. Justeru, adalah penting untuk mewujudkan masa untuk diri sendiri bagi meningkatkan kesejahteraan dan menjaga diri sendiri.
  
Katanya, sabar adalah penting dalam hidup berumah tangga sama pada dengan diri sendiri mahu pun pasangan. Bagi yang baru berkahwin apatah lagi kerana segala yang baru memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Malah, perkahwinan itu sendiri membawa sesuatu yang perubahan baru dalam hubungan dibina.
    "Berkahwin adalah proses untuk individu mematangkan dirinya. Apa yang penting, uruskan dengan baik dan perlu ingat ada ketika ia bukanlah mudah seperti kita jangka atau harapkan. Mengurus dan proses pembelajaran dalam hidup berumah tangga samalah seperti kita mengayuh basikal yang ada kala jatuh dan ada ketika kayuhan lancar saja," katanya.
  


INFO
  
Peraturan untuk suami bertengkar secara adil
  
  * Kenal pasti masalah
  
  * Fokus masalah dihadapi
  
  * Tangani masalah, bukannya individu
  
  * Mendengar dengan minda terbuka
  
  * Layan perasaan individu dengan adanya perasaan hormat
  
  * Bertanggungjawab terhadap tindakan yang diambil
  


Jika bertengkar elakkan:

  
 * Memanggil nama;
  
  * Menuduh;
  
  * Mencemuh atau mengejek;
  
  * Tidak mendengar;
  
  * Berasa pelik;
   
 * Mengungkit kisah lama;
  
  * Mengungkit;
  
  * Menumbuk;
  
  * Menjerit;
  
  * Mengusik atau memperlekehkan;
  
  * Bergurau;
  
  * Memukul

CERAI EKSPRES

Berita Harian, Selasa September 28, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Cerai ekspres
 
TIDAK pernah langsung terlintas dalam fikirannya, diceraikan hanya selepas beberapa hari dinikahkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tetapi itulah perjalanan hidup dilalui Faizah Mohamad.
   Perkahwinannya dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim, hanya bertahan 12 hari. Baik buruk berkahwin dengan orang yang dikenali ramai, berita perkahwinan dan perceraian ekspresnya menjadi tumpuan.
  Ramai orang memperkatakan mengenai perkahwinan singkatnya dan tidak kurang yang menuding jari kepadanya apabila pelbagai cerita pelik mula kedengaran.
   Perceraian berlaku tanpa diduga dan dipinta itu bagaikan satu mimpi dalam hidup.  Apatah lagi, sebelum berlaku perceraian itu tiada bibit pertelagahan dan persengketaan antaranya dengan bekas suami, malah berpendapat, tiada alasan munasabah untuk berpisah.
  

Tidak sempat kecapi kemanisan

Namun, wanita muda ini menerima perceraian itu sebagai takdir yang ditentukan Allah untuk perjalanan hidupnya sekalipun tidak sempat untuk mengecapi kemanisan hidup rumah tangga dan menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri.
 
 "Saya tidak pernah menyesali perceraian itu berlaku, tetapi apa yang dikesalkan ia berlaku hanya dalam tempoh 12 hari perkahwinan kami. Tidak sempat lagi bernafas, perceraian pula berlaku. Penat buat kenduri majlis perkahwinan pun tidak habis lagi," katanya.
  
 Mengimbau gelodak jiwa dirasakan apabila talak dilafazkan oleh bekas suami, Faizah berkata, ketika itu perasaannya bercampur baur, ada rasa terkejut, sedih dan keliru.   Dunia yang terang dirasakan gelap seketika. Kebahagiaan dicari dan diimpikan dalam hidup berumah tangga seolah-olah tiada lagi, sebaliknya dilihat bakal melalui masa depan yang gelap.
   Seminggu tempoh awal perceraian, perasaan tidak keruan terus menyelubungi diri sehinggakan tidur malamnya sering saja terganggu. Mujur, pada saat hati remuk dan kecewa, Faizah mendapat sokongan daripada keluarga, saudara-mara dan kawan rapat. Sokongan itu sedikit sebanyak memberikan kekuatan dalam dirinya untuk menempuh hari mendatang dan cuba menerima perpisahan itu.
   "Ramai juga yang tertanya-tanya mengapa perceraian itu berlaku termasuklah masyarakat sekeliling. Tetapi tiada pula yang bertanya secara terus terang kepada saya, mungkin mereka menghormati perasaan saya ketika itu," katanya.
  
Mencari kekuatan diri

Faizah menguatkan diri. Selain semangat orang di sekeliling, dia mencari kekuatan dalam diri dan membina semangat baru, di samping sentiasa mendekatkan diri kepada Allah serta tidak putus berdoa supaya hidupnya diberkati dan dapat menerima ujian yang menimpa.
     "Syukur, Allah memberikan kekuatan dan saya mempunyai hati yang cukup cekal berdepan dengan ujian itu.
     "Sehinggakan, ada rakan abang yang turut kagum dengan keupayaan saya melalui peristiwa itu dan berkata, jika orang lain mungkin sudah lama `meroyan' tetapi saya tabah dan tidak banyak perubahan diri berlaku," katanya diiringi gelak kecil sambil bersyukur sudah berjaya memadamkan perasaan sedih di hati.
    Faizah berkata, apa yang membuatnya sedikit terkilan ibunya mengalami tekanan emosi lebih teruk daripadanya, berikutan `perceraian ekspres' itu. Sehinggakan, hampir setiap hari, tidak kering pipi ibunya dibasahi air mata.
    "Sebenarnya, ada juga hikmah dan pengajaran yang saya peroleh daripada perceraian singkat itu. Saya berpendapat, apabila sudah menjadi suami isteri mesti ada komunikasi dan tolak ansur. Jika ada masalah yang ditimbulkan oleh unsur luar, perlulah ditangani dengan baik. Saya juga melihat, jangan terlalu cepat mempercayai orang luar kerana ada antaranya bersikap bermuka-muka," katanya.
        Mengenai perancangannya pada masa kini, Faizah yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di syarikat swasta berkata, kegagalan perkahwinan pertama tidaklah mematahkan semangatnya untuk kembali hidup berumah tangga.
   Namun, dalam mencari atau menentukan jodoh, dia lebih selesa mengikut arus. Paling penting, lelaki yang bakal menyinari hidupnya kelak mestilah bertanggungjawab, dapat menerimanya seadanya dan boleh menjadi khalifah dalam sebuah keluarga.
   "Perkahwinan itu suci, jadi saya tidaklah perlu takut atau fobia dengan apa yang sudah berlaku. Kita berusaha dan selebihnya biarlah Allah menentukan," katanya.
  


Bukan kes terpencil

  
`PERCERAIAN ekspres' bukan kes terpencil, sebaliknya sudah pun banyak kes yang berlaku. Lebih membimbangkan, ia membabitkan pasangan pengantin baru yang masih muda. Baru saja memasuki alam perkahwinan tetapi hanya kerana salah faham dan perselisihan kecil, mudah saja talak dilafazkan dan berlaku perceraian.

    Berkongsi pandangan mengenai isu itu, Ketua Eksekutif Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat, berkata keadaan itu berlaku kerana pasangan tiada matlamat jelas dalam perkahwinan yang dibina, sebaliknya mendirikan rumah tangga sekadar memenuhi tuntutan.

    Misalnya, orang lain berkahwin, dirinya juga ingin berbuat demikian dan ada pula yang mendirikan rumah tangga kerana tidak mahu menanggung dosa bersekedudukan, tanpa memahami apa sebenarnya erti serta tanggungjawab yang harus dipikul.
    "Persediaan tidak ada untuk menjadi suami atau pun isteri. Menunaikan tanggungjawab bukanlah semudah seperti kata-kata. Justeru, perlulah ada sifat sabar, komitmen dan tolak ansur di samping perlu tunjukkan kesediaan bagi memikul amanah itu sebaik yang mungkin," katanya.
    Katanya lagi, pasangan suami isteri harus ingat detik berkenalan sebelum berkahwin, sama ada bertunang atau berkasih sama sekali jauh berbeza dengan alam rumah tangga.
  

Faktor cerai


Antara faktor lain berlaku `cerai ekspres' kata Norazman, faktor persekitaran masyarakat pada masa kini iaitu memberikan idea bahawa bercerai adalah jalan atau pilihan paling mudah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

   Katanya, persekitaran tidak membantu memberikan sokongan supaya pasangan terbabit berdamai atau memberikan alternatif lain, sekali gus menjadi lebih mudah rumah tangga dibina hancur berkecai. Begitu juga restu dan keredaan ibu bapa penting sebelum berkahwin.

   Bagaimanapun, kata Norazman, bercerai ketika usia masih muda ada kala mungkin lebih baik jika dibandingkan bercerai apabila mencecah usia yang meningkat dan mungkin sudah bercucu.
   "Kegagalan membina rumah tangga pada usia masih muda boleh memberikan pengajaran kepada individu berkenaan. Dalam membina rumah tangga janganlah berpegang pada budaya try and error kerana perkahwinan adalah sepanjang hayat dan itulah konsep sebenarnya," katanya.
  

INFO

Tiga perkara membolehkan suami menceraikan pasangan jika hanya diketahui selepas pernikahan
  

* Pasangan disahkan gila.
* Pasangan berpenyakit sopak.
* Pasangan berpenyakit kusta.
 (Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan)
  
Antara punca pasangan suami isteri bercerai dalam tempoh singkat
* Kegagalan mendewasakan diri, ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
* Adakalanya pasangan seolaholah terlupa sudah bergelar isteri atau suami dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar hanya perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.
* Apabila mentua atau orang luar gemar masuk campur dalam hal rumah tangga pasangan, walaupun mereka tidak perlu melakukannya.
* Pasangan gagal mengenali hati budi pasangan masing-masing. Sebaik-baiknya jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan.

Monday, May 27, 2013

HIASAN ANTING-ANTING BOLEH SERLAH PENAMPILAN

Berita Harian, Sabtu, April 28, 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim
 
Hiasan anting-anting boleh serlah penampilan


SESEORANG yang berpakaian cantik dan menarik, masih tampak tidak lengkap jika tidak diserikan dengan perhiasan diri. Malah, perhiasan diri bukan sekadar menambahkan gaya, tetapi juga memberikan kesan psikologi kepada pemakai supaya berkeyakinan diri dan memberi kepuasan hati.





  
Lazimnya, perhiasan apakah terlintas pada fikiran anda apabila setiap kali ingin menyesuaikan dengan baju yang melekat di badan? Salah satu daripadanya tentu saja mengenakan rantai pada leher, tetapi sebelum melangkah keluar sebaik-baiknya perhatikan telinga anda, sudahkah ia dihiasi sepasang anting-anting?
  
Memakai sepasang anting-anting mampu membuatkan wajah lebih menonjol. Hiasan anting-anting pada telinga boleh menyerlahkan perubahan penampilan secara drastik, meskipun saat itu anda hanya memakai jeans dan baju T-shirt.
  
Bagaimanapun, anda masih perlu berhati-hati apabila menggayakan anting-anting kerana pemakaian perhiasan itu sepatutnya boleh disesuaikan dengan jenis baju yang dipakai dan perlu ada gandingan serasi dengan perhiasan lain.
  
Misalnya, jika anda memakai anting-anting yang besar, pastikan aksesori lain seperti kerongsang dan rantai kecil. Bagaimanapun, perbezaan saiz mungkin tidak begitu menjadi persoalan untuk dijadikan gandingan sesuai seandainya perhiasan yang ada didatangkan dalam satu set koleksi.



Sesuaikan dengan pakaian
  
Anda juga perlu bijak menyesuai padankan pilihan anting-anting dengan busana yang digayakan. Pastikan gaya rekaan anting-anting senada dengan konsep atau imej yang ingin dipaparkan. Contohnya, anting-anting panjang bergaya vintage atau klasik dan eksotik tampak cocok apabila fesyen pilihan anda ialah bohemian atau victoria yang tampak feminin.
  
Selain itu, seperti memilih kacamata dan potongan rambut yang sesuai dengan bentuk wajah, begitu juga dengan pilihan anting-anting digemari. Ini kerana tidak semua anting-anting juga cocok dengan bentuk wajah anda.
  
Bagi yang mempunyai raut wajah oval atau lonjong anda dianggap paling bertuah kerana memiliki paras wajah semula jadi dan boleh menggayakan apa saja bentuk anting-anting dari yang berjurai, bergelang-gelang, berangkaian dan sebagainya.





Ikut bentuk wajah

Untuk gaya rambut tiada banyak syarat sebenarnya, tetapi apabila rambut diikat ke belakang, rekaan berjurai tampak terletak akan membuat anda lebih cantik, manakala rambut yang dibiarkan terurai akan semakin eksotik dengan anting-anting yang bergelang-gelang.
  
Anda yang berbentuk wajah persegi mungkin agak sukar kerana tampak `keras', tetapi untungnya, pemakaian anting-anting dengan reka bentuk bergelung-gelung dan berbuai boleh menyerlahkan kelembutan wajah.
  
Bagi yang mempunyai raut bulat dan ingin memperlihatkan impak bentuk wajah lebih panjang, pilih saja anting-anting yang berjurai. Rekaan model yang panjang apabila tergantung pada telinga sudah tentu `melangsingkan' wajah.
  


 

 FAKTA
  
  Penjagaan anting-anting agar kekal lama
  
  * Bersihkan anting-anting yang sudah dipakai dengan tisu lembut untuk menghilangkan peluh dan mencegah kusam serta karat. Peluh boleh cepat merosakkan anting-anting perak dan emas.
  
  * Simpan anting-anting dalam kotak tertutup dan pada suhu yang kering.
  
  * Jauhkan anting-anting dari peralatan tatarias dan jangan sampai terkena air.
  
  * Hindarkan anting-anting dari pada semburan minyak wangi dan semburan rambut kerana kedua-duanya mengandung alkohol dan zat kimia lain yang sangat cepat merosakkan perhiasan.
  
  * Sebelum memakai anting-anting, lebih baik berhias terlebih dulu agar terhindar dari percikan alat solekan yang disapukan pada wajah atau badan.
  

SIKAP IBU MENTTUA ANTARA PUNCA UTAMA CERAI

Berita Harian, Selasa  Mei  2, 2006
Sikap ibu mentua antara punca utama cerai

JANGAN cepat menghukum dan melemparkan fitnah serta memandang rendah kepada wanita khususnya, ibu tunggal yang sudah bercerai atau kematian suami. Segala yang berlaku, bukan kehendak diri, tetapi suratan takdir dan tidak boleh diketepikan.
  
  Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur, Mariam Abdul, berkata pengalamannya lebih 10 tahun membela nasib dan menjaga kebajikan ibu tunggal, tidak dapat dinafikan sehingga ke hari ini masih ada pandangan serong masyarakat, walaupun pelbagai pendekatan pendidikan dan pendedahan diberikan.
  
  "Rasa sangsi dan cemuhan kepada wanita yang bergelar ibu tunggal sewajarnya perlu dikikis, malah sesiapa yang hendak berbuat demikian, mesti memandang dirinya sendiri terlebih dulu kerana perkara seumpama itu boleh berlaku kepada sesiapa saja.
  
  "Saya bimbang, suatu hari nanti apa yang dikatakan, berlaku di depan matanya sendiri. Seseorang itu pastinya ada ibu dan jika tidak berlaku pada dirinya, mana tahu ia akan terjadi pada adik, kakak mahupun anak," kata Mariam yang turut kesal dengan kenyataan mengaitkan sikap gatal wanita punca perceraian.
  
  Beliau berkata, berdasarkan pengalaman dan kes masalah rumah tangga yang dirujuk, didapati antara punca berlaku perceraian ialah suami mempunyai hubungan di luar dan campur tangan ibu mentua.
  
  Dalam kebanyakan kes juga menunjukkan, suami mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga seperti tidak memberi nafkah, sering tidak balik ke rumah, tidak memberi kasih sayang kepada anak dan ada yang mendera perasaan serta memukul isterinya.
  
  "Kebanyakan wanita terpaksa bertahan dan bersabar sehingga lapan atau 10 tahun bagi menyelamatkan rumah tangganya. Apabila perasaan sabar hilang dan marah sudah meluap serta diri sudah begitu menderita, barulah mereka membuat pertimbangan mengambil keputusan untuk bercerai.
  
  "Wanita ini tidak pernah memikirkan dan mementingkan diri mereka sebaliknya, sentiasa mengambil kira masa depan anak dan juga menjaga maruah keluarga serta nama baik ibu bapa mereka. Jadi, tidak adil wanita dipersalahkan apabila berlaku perceraian," katanya.
  
  Sementara itu, Profesor Madya Dr Mahzan Arshad dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dalam kertas kerjanya yang bertajuk, Intimasi Dalam Komunikasi Sebagai Asas Kebahagiaan Rumah Tangga, berkata perceraian berlaku kerana suami isteri tidak berasa bahawa diri mereka cinta kepada pasangan masing-masing.
  
  Dr Mahzan berkata, kajian yang dilakukan dalam masyarakat di Eropah mendapati perkahwinan yang diasaskan percintaan, banyak mengalami kegagalan. Perasaan cinta itu tidak dapat dikekalkan kerana pelbagai faktor yang menjadi penghalang.
  
  Ini merangkumi kesuntukan masa dalam hubungan, tekanan dalam alam pekerjaan, tekanan dari ahli keluarga, kesedaran baru terhadap tabiat pasangan dan juga ketidakpuasan dalam rutin harian seperti kepuasan seks.
  
  Beliau berkata, perceraian sering berlaku apabila perasaan cinta itu mulai luntur. Ia bertambah serius apabila kurangnya intimasi dalam perkahwinan yang boleh menghapuskan perasaan cinta sama sekali dan timbul pula perasaan benci.
  
  Pakar perunding perkahwinan dan perceraian turut meletakkan beberapa punca yang boleh mengakibatkan perceraian. Antaranya ialah hubungan tegang yang berlaku pada pasangan dan mengakibatkan pelbagai masalah.
  
  "Kehidupan yang tidak dapat ditangani dengan baik antara punca perceraian berlaku. Masalah ini boleh berpunca daripada keadaan di tempat kerja, kewangan, kenderaan, sekolah anak, tempat tinggal dan sebagainya. Selain itu, kegagalan untuk berterus terang dengan pasangan turut menjadi punca perceraian.
  
  "Senario yang berlaku dalam banyak hubungan perkahwinan terancam apabila ada pembohongan. Ia akan diikuti satu pembohongan lain bagi menutup pembohongan dilakukan sebelum itu," katanya.

WANITA PERLU SENTIASA AMAL SIKAP WASPADA

Berita Harian, Rabu Januari 30, 2008


 Wanita perlu sentiasa amal sikap waspada
 Oleh Nor Affizar Ibrahim



WANITA dan gadis remaja mesti sentiasa menjaga keselamatan diri walau di mana berada serta hendaklah peka kepada persekitaran supaya dapat menghindarkan diri daripada sebarang bahaya atau mengelak kejadian buruk yang tidak diingini.
  
  Aktivis keselamatan, K Balasupramaniam atau lebih dikenali sebagai Bala, berkata setiap wanita dan gadis remaja perlu sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati terutama ketika berdepan dengan bahaya yang tidak diundang atau tidak disangka akan berlaku, selain tidak sesekali menganggap kejadian sebegitu tidak akan menimpa dirinya.
  
  Beliau berkata, soal menjaga keselamatan diri tidak sewajarnya dipandang remeh kerana setiap detik ada risiko atau bahaya tersendiri meskipun seseorang itu berada di rumah yang juga sering dianggap sebagai tempat paling selamat.
  
  "Dengan cabaran dan pelbagai kejadian bentuk jenayah atau perkara tidak baik yang berlaku pada masa kini, wanita serta gadis remaja perlulah pandai menjaga diri. Jangan terlalu percaya pada orang lain, lebih-lebih lagi dengan individu yang baru dikenali.
  
  "Percayalah juga pada naluri atau gerak hati sendiri kerana lazimnya, jika diri berasa sesuatu yang buruk atau ada yang tidak kena, ia seolah-olah memberikan petunjuk. Apabila ini dirasakan, adalah lebih baik individu berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya ketika ditemui selepas sesi kursus latihan, City Survival For Lady untuk pelajar Taylor's University College di Petaling Jaya, baru-baru ini.
  
  Bagi memahami dan menangani sesuatu bahaya serta sebagai langkah menjaga keselamatan diri, Bala menasihatkan individu menggariskan tiga zon warna iaitu zon merah, zon kuning dan zon hijau.
  
  Katanya, setiap zon berkenaan mempunyai maksud tersendiri dan ia boleh dijadikan panduan dalam kehidupan hari-hari ketika berada di mana-mana saja bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
  
  Zon hijau dikategorikan sebagai tempat yang selamat dan individu tidaklah perlu risau jika berada di dalam zon berkenaan. Tetapi seseorang itu perlulah berhati-hati apabila berada di dalam zon kuning yang seolah-olah memberi amaran dan dikategorikan sebagai tempat atau keadaan kurang selamat. Begitu juga dengan zon merah, bukan saja mesti berhati-hati, malah perlu dielakkan sama sekali kerana ia dikategorikan zon bahaya yang mendedahkan pelbagai risiko jika berada di situ.
  
  "Kaedah menggunakan tiga rangkaian zon warna itu boleh diambil kira sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri. Contohnya, ketika berjalan di suatu tempat kita mungkin berasa tidak terancam kerana berada dalam zon hijau yang selamat. Tetapi jangan lupa, zon hijau itu boleh bertukar kepada zon kuning dan merah yang boleh membawa ancaman serta membahayakan diri.
  
  "Misalnya, ketika berjalan dan tiba di satu lorong kita bertembung dengan seseorang yang tidak dikenali dan mencurigakan. Dalam keadaan itu kita masih lagi berada dalam zon kuning dan dengan adanya peringatan itu ia bermakna, kita masih mempunyai ruang dan peluang untuk menyelamatkan diri.
  
  "Oleh itu, ambillah langkah dan tindakan segera iaitu keluar daripada zon kuning tadi seperti tidak meneruskan hasrat melalui lorong berkenaan atau pergi ke tempat yang ada orang ramai. Jika diteruskan juga kita mungkin berada dalam zon merah yang membahayakan diri," katanya.
  
  Bala berkata, bahaya atau risiko berada di mana-masa saja termasuklah, di rumah, ketika memandu, menaiki pengangkutan awam dan berjalan seorang diri. Lazimnya, penyerang tahu siapa mangsanya tetapi anda sendiri mungkin tidak tahu dan tidak dapat menduga.
  
  Justeru, individu perlu bersedia dengan kejadian yang tidak diingini berlaku dan jika diserang, ada beberapa tindakan yang boleh dilakukan iaitu sama ada melawan balik, melarikan diri atau cuba berdalih yang boleh memperdayakan penyerang. Semua tindakan itu boleh dibuat berdasarkan pada pertimbangan kemampuan diri dan juga keadaan ketika kejadian berkenaan.
  
  "Kebanyakan wanita panik apabila diserang. Tetapi sebenarnya, dalam sesuatu keadaan yang tegang dan mencemaskan wanita didapati boleh bertindak lebih pantas. Berbanding lelaki walaupun lebih berani dan mempunyai kekuatan fizikal, kebanyakan tidak pantas berfikir," katanya.
  
  Beliau berkata, dalam keadaan terdesak untuk berlawan dengan penyerang, mangsa boleh menggunakan beberapa barang miliknya terutama yang ada dalam beg tangan sebagai `senjata' bagi mempertahankan diri. Ini merangkumi, sikat dan kad kerja pengenalan diri yang boleh digunakan menghiris muka atau mana-mana bahagian tubuh penyerang atau minyak wangi serta pemetik api yang disemburkan kepada penyerang.
  
  Malah, kunci juga boleh dijadikan `senjata' berkesan untuk melawan penyerang. Wanita juga boleh menyimpan wisel sebagai senjata di dalam beg tangan sebagai persediaan berdepan dengan detik cemas.
  
  Bala berkata, selain itu wanita dan gadis remaja juga dinasihatkan berwaspada dengan tipu helah golongan tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, termasuk penggunaan telefon bimbit dan komputer, golongan yang tidak bertanggungjawab boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengaib dan seterusnya mengugut mangsa demi mendapatkan keuntungan berlipat ganda bagi diri sendiri.
  
  INFO
  
  Antara pendekatan atau strategi yang digunakan penyerang bagi mencari mangsa:
  
  * Penyerang berpura-pura atau merancang kemalangan dengan mangsa bagi membawa keluar mangsa daripada kenderaan dengan niat menyerang atau menculik.
  
  * Penyerang menyamar sebagai kakitangan daripada syarikat tertentu seperti pegawai kewangan dan insurans yang perlu berbincang serta berurusan dengan mangsa.
  
  * Penyerang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa seperti polis dan sebagainya bagi menunjukkan dirinya ada kuasa untuk menahan dan menangkap mangsa.
  
  * Penyerang melakukan sabotaj kepada mangsa seperti memancitkan tayar kereta atau meletak halangan di sesuatu tempat.
  
  * Penyerang berpura-pura inginkan pertolongan mangsa seperti meminta menunjukkan arah jalan sebelum menarik mangsa ke dalam kenderaan atau menyerang mangsa.
  
  Beberapa tindak balas yang boleh dilakukan apabila diserang:
  
  * Apabila diserang dari belakang dan penyerang cuba mencekak leher, apa yang boleh dilakukan ialah cuba bertindak balas dengan mematahkan jari penyerang.
  
  * Apabila diseret dari belakang dengan keadaan leher dicekik, seseorang itu perlu mengeraskan diri dan pada masa sama cuba bertindak memulas tangan penyerang.
  
  * Ada tiga tindak balas yang boleh dilakukan bagi melemahkan penyerang iaitu cuba menghantukkan kepala pada hidung penyerang, menyepak bahagian kemaluan dan mematahkan jari.
  
  * Mangsa juga berpura-pura pengsan atau tidak sedarkan diri sebelum cuba bertindak balas ketika penyerang sedang leka.
  
  * Pastikan sentiasa menyimpan peralatan seperti pemedih mata atau sekadar minyak wangi yang boleh disembur kepada mata penyerang.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...