Tuesday, November 14, 2017

MAKSUD ATAU MAKNA BACAAN DALAM SOLAT

 

 

 MAKSUD ATAU MAKNA BACAAN DALAM SOLAT

 

Takbiratul-Ihram / Takbir

Allah Maha Besar.


Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.


Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.

Saturday, October 8, 2016

PENANGAN CINTA MUDA

Berita Harian, Sabtu, Apr 30, 2011

 Penangan cinta muda

KISAH pasangan suami isteri bercerai sudah banyak kali dipaparkan di ruangan ini. Seribu satu rencam cerita rumah tangga yang diketengahkan. Ada yang berpunca daripada suami dan ada juga isteri menimbulkan masalah. Begitulah adat hidup berumah tangga, ada pahit, manis juga kelat.
   Lupakan sementara kisah suami isteri minggu ini, sebaliknya ikutilah luahan hati seorang bapa, Johan, 52, yang berdepan konflik dengan anak perempuan bongsunya, Suria yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
   Konflik tercetus antara dua beranak itu membuatkan hubungan mereka sekeluarga kini agak tegang. Jika dulu hubungan kekeluargaan begitu akrab dan mesra, kini berkocak serta bermasam-masam muka.


Tidak boleh tunaikan

Sebagai bapa, Johan akui, begitu ralat apa yang berlaku kini dalam keluarganya tetapi tetap menganggap semua adalah dugaan yang harus ditangani dengan sabar.
   Katanya, sebagai ketua keluarga, dia ingin melakukan yang terbaik untuk ketigatiga anaknya dalam apa saja, termasuklah dalam soal jodoh. Namun, antara ketiga-tiga anak perempuannya, Suria paling sukar difahami sikapnya.
   "Mungkin dari kecil dia sudah biasa dimanjakan berlebih-lebihan sebab itulah Suria sedikit keras kepala berbanding dua kakaknya. Setiap kehendaknya dituruti, jarang sekali saya menggunakan kekerasan atau kuasa veto sekalipun saya boleh berbuat demikian.
   "Tetapi kali ini, permintaannya saya tidak boleh tunaikan sebab itulah saya bantah habis-habisan. Tidak sangka pula, Suria bertindak jauh sehingga membawa ke Mahkamah Syariah," katanya melahirkan rasa kesal di hati.
   Johan berkata, semuanya bermula apabila kehendak Suria berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya ditentang. Bukan Johan terlalu memilih menantu tetapi jika boleh dia mahu Suria habiskan dulu pengajian dan dapatkan segulung ijazah seperti kedua-dua kakaknya.

Tidak kenali bakal menantu



Bagi Johan, anak bongsunya itu masih terlalu muda untuk berkahwin. Justeru, mana mungkin Suria yang baru berusia 21 tahun dapat mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri dan tuntutannya sebagai pelajar.
   Kebanyakan kerja di rumah selama ini pun banyak diuruskan ibunya dan sesekali kedua- dua kakak Suria yang sudah berkahwin datang ke rumah turut membantu. Sedangkan Suria, sering saja menghabiskan masa dengan pelajaran dan rakan sebaya.
Tambahan pula, teman lelaki anaknya itu tidak begitu dikenali latar belakangnya dan pekerjaannya juga tidak menentu. Tidak mungkin semudah itu, Johan akan melepaskan Suria kepada orang yang dilihatnya masih tidak mempunyai masa depan yang pasti.
"Sayangnya, semua alasan saya berikan tidak boleh terima.
Ibu dan dua kakaknya turut memberikan pelbagai nasihat tetapi Suria tetap dengan keputusannya dan terus berdegil. Katanya, dia sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan demi masa depannya. Geram sekali saya dengan tindak tanduk Suria yang langsung tidak mahu mendengar nasihat. Dari kecil saya jaga dan tatangnya bagaikan minyak yang penuh, ini balasan diberikan," ujar Johan dalam nada keluh kesal.

Ugut kahwin lari

Johan menambah, Suria pernah mengugut hendak kahwin lari dengan kekasihnya jika hasratnya terus dibantah. Mujur, niat itu tidak diteruskan.
   "Saya tahu, lelaki itu bukanlah ikhlas sangat untuk berkahwin dengan anak saya. Tetapi entah mengapa Suria begitu percaya sangat kepadanya dan bersungguh-sungguh hendak disatukan dengan kekasihnya itu. Mungkin inilah akibatnya cinta anak muda yang terlalu mengikut perasaan hingga tidak tahu membuat pertimbangan bijak, sekali pun pendidikan secukupnya sudah diberikan kepadanya," katanya lagi.
Johan berkata, bagi menunjukkan protes dan rasa tidak puas hati, Suria juga pernah tidak balik ke rumah selama tiga hari. Akibatnya, satu keluarga risau dan tidak tidur
malam memikirkan keselamatan dirinya sedangkan Suria sikit pun tidak berasa bersalah.
  
 Bapa sedih

Katanya, episod itu tidak berakhir di situ. Nekad dengan keputusan untuk berkahwin dengan kekasih, Suria membuat permohonan wali hakim di Mahkamah Syariah atas alasan calon suami pilihannya ditentang keluarga.
   "Hati bapa mana tidak sedih, apabila anak yang dijaga, dibelai dan dibesarkan tergamak buat tindakan sejauh itu. Suria seolah-olah langsung tidak mahu mengambil tahu apakah perasaan saya apabila dia berbuat demikian. Di mahkamah, berkali-kali Suria memberitahu, tidak mahu dipaksa mengikut kehendak keluarga," katanya.



Johan memberitahu, akur dengan kehendak Suria, akhirnya dia memaklumkan kepada mahkamah mengenai kesediaan untuk membenarkan anaknya berkahwin tetapi meletakkan beberapa syarat. Bagaimanapun, Suria masih berdegil malah enggan berbincang dengan bapanya.
"Mahkamah sebelum ini meminta kami anak beranak berbincang sebelum membuat keputusan. Saya sekeluarga amat berharap Suria sedar apa yang sudah dilakukannya. Apa pun baik buruk Suria, dia masih tetap anak saya," kata Johan dalam nada perlahan.

TIADA ANAK ALASAN CURANG

Berita Harian, Sabtu, April 23, 2011

Tiada anak alasan curang




SETIAP insan mengimpikan sebuah perkahwinan yang kekal bahagia berpanjangan sehingga akhir hayat. Tiada yang mahukan ikatan kasih sayang yang dimeterai suami isteri berakhir dengan perpisahan. Kelahiran cahaya mata diharap mampu menambat dan mengukuhkan ikatan yang ada.
   Itu juga harapan Diana (bukan nama sebenar). Bercinta sejak meneruskan pengajian di sebuah institusi pengajian tempatan, kehadiran Kamarul (juga bukan nama sebenar) dalam hidupnya bagaikan sebuah rahmat buatnya.

Mereka seperti belangkas. Di mana ada Diana, di situ ada Kamarul, tambahan pula mereka berdua belajar dalam bidang yang sama. Masing-masing setia melayari percintaan sehingga membawa mereka gerbang  perkahwinan.
   Lima tahun pertama, segala-galanya berjalan lancar walaupun Diana dan Kamarul tidak dikurniakan cahaya mata. Tidak pernah timbul desakan walaupun keluarga kedua-dua pihak ada juga sesekali bertanya. Namun, Kamarul tidak pernah mendesak Diana begitu juga sebaliknya.  

Ego lelaki

Namun, keadaan berubah bila memasuki tahun keenam. Diana mula berasa tertekan, lebih-lebih lagi apabila melihat semua rakan sebaya, yang berkahwin hampir sama waktu atau selepasnya sudah menimang sekurang-kurangnya seorang anak.
 Diana berjumpa doktor bagi mengenal pasti masalah. Dia disahkan sihat dan subur, tiada apa-apa masalah, jelas doktor. Terdetik di hatinya, mungkinkah Kamarul yang bermasalah, lantas dia menyuarakan kepada Kamarul untuk menjalani pemeriksaan.

"Ego lelaki. Kamarul berkeras dia sihat, subur dan tidak mahu berjumpa doktor. Tapi apa yang menyedihkan saya apabila saya pula dituduh mandul," cerita Diana.
   Malas memanjangkan cerita, Diana tidak pernah membangkitkan perkara itu lagi.
Tetapi, sedikit demi sedikit perubahan pada Kamarul dapat dirasakan. Kamarul asyik bengis malah selalu pulang lewat ke rumah. Adakalanya, Kamarul tidak pulang langsung.
   "Saya buat seperti tiada apa yang berlaku, Saya mahukan rumah tangga kami bahagia seperti dulu tetapi

Hubungan sulit


Kamarul semakin menjauhkan diri. Apabila saya tanya mengapa, dia cakap tiada apa-apa. Sehinggalah suatu hari, saya terjumpa satu kotak berkunci yang disorokkan di bawah katil," katanya.
   Diana berkata, dia tidak pernah mencurigai suaminya sebelum ini tetapi kali ini, dia berasa tidak sedap hati. Kotak itu diumpil dan isinya, membuatkan hati Diana hancur berkecai.
   Gambar suaminya sedang melakukan hubungan seks dengan wanita lain, cerita Diana. Hati siapa yang tidak hancur.
 Hari itu juga, Diana `menyerang' suaminya. Tanpa segan silu, suaminya mengaku, itu gambar terbarunya bersama teman wanita. Bekas teman wanitanya dulu, yang kini bergelar isteri orang. Alasan suaminya, dia mahukan anak.
   Diana tidak berfikir panjang lagi, dia memfailkan perceraian. Hendak dijadikan cerita, Diana juga disahkan hamil. Kamarul yang mendapat tahu perkara itu, cuba memujuk Diana untuk memaafkannya tetapi pada masa yang sama meminta izin untuk berkahwin satu lagi.



Ingin cerai

"Saya sudah nekad. Saya tidak mahu lagi menjadi isteri kepadanya. Hanya kerana tidak dikurniakan anak, dia gunakan alasan itu untuk berzina, dengan isteri orang pula," katanya.
   Perbicaraan mereka tidak mengambil masa lama, mungkin kerana bukti cukup mengesahkan kejahilan Kamarul.




   "Saya sedih memikirkan anak dalam kandungan membesar tanpa bapa. Tetapi, bagi saya itulah jalan terbaik daripada kami meneruskan hidup dengan dia, yang hidup bergelumang dosa dan mendustai kesetiaan saya.
   "Apapun, saya doakan yang terbaik buat dia. Harapan saya, dia selesaikan perkara antara dia, teman wanita dan suami teman wanita sebaik-baiknya. Dia bukan saja menghancurkan rumah tangga kami tetapi juga perkahwinan teman wanitanya. Jadilah lelaki yang bertanggungjawab dan takut Tuhan," kata Diana mengahiri bicara.

Friday, October 7, 2016

Publication Name :

Berita Harian
Date of publication :Sat, Apr 16, 2011
Section Heading :Sabtu
Page Number :009
Headline :Padah apabila mudah lafaz talak, taklik



Zone:A-All
Column:LO
Column Name:Kisah dari Mahkamah Syariah
Copyright:NSTP
Status:Normal
Length count:600
  
Text:JADI tak keruan Z. Siang malam, wajah bekas isteri terbayang-bayang. Tak senang duduk dibuatnya hingga sanggup `menebeng' di tembok rumah, kalau- kalau bekas isteri `melintas' di depan rumah.
  
 Menyesal tak sudah dia. Hanya kerana cemburu buta, isteri yang dikahwini lebih sedekad tidak lagi bersamanya.
  
 "Inilah lelaki. Mentang-mentang kuasa talak di tangan kita, kita selalu salah guna. Saya terlalu sayangkan isteri dan hanya kerana cemburu buta, dia bukan lagi isteri saya," cerita Z kesal.
  
 Lebih malang buat Z, dia tiada harapan untuk merujuk kerana sudah tiga kali talak dijatuhkan pada isteri, semuanya secara taklik.
  
 Akui Z, dia memang banyak kelemahan sepanjang melayari hidup sebagai suami tetapi sebagai lelaki, egonya terlalu tinggi walaupun berasa rendah diri kerana pendapatan isteri yang jauh lebih tinggi daripadanya.
  
 Kerana keadaan itu juga, Z berkata, dia sering lepas tangan memberi perbelanjaan buat keluarga, menyerahkan segala-galanya kepada isteri.
  
 "Isteri mengadu juga sekali-sekala, meminta saya bertanggungjawab sebagai suami. Dia tak menuntut yang bukan-bukan, malah segala perbelanjaan anak, dia dengan rela memberi kerana kebajikan dan pendidikan anak-anak adalah segala-galanya pada isteri saya.
  
 "Dia tak meminta banyak juga, pada isteri saya, memadai saya bagi nafkah, setakat yang mampu untuk rumah tangga. Tetapi, bukan permintaan dia saya penuhi, sebaliknya, banyak perkara yang dia hendak buat, saya sekat," katanya.
  
 Tambah Z, dia tidak pernah membelikan pakaian buat isteri dan anak-anak tetapi marah apabila isteri berbelanja untuk diri sendiri dan anak. Dia juga tidak mahu menghantar dan menjemput isteri ke tempat kerja, tetapi tidak membenarkan isteri memiliki kereta sedangkan isteri sangat mampu berbuat demikian.
  
 "Saya suruh dia guna perkhidmatan awam, tak kiralah naik bas ke, naik teksi dan syarat saya, tak boleh tumpang kereta lelaki. Padahal, kerja dia, banyak berurusan dengan rakan sepejabat yang rata-rata lelaki. Saya buat syarat taklik, kalau dia baik dengan mana-mana lelaki, antara saya dan dia tak ada apa-apa hubungan," katanya.
  
 Z tahu dia kejam, hinggakan ketika isteri sarat mengandung juga, dibiarkan bersesak dalam bas atau berjalan jauh untuk mendapatkan teksi.
  
 Semuanya gara-gara cemburu buta, kata Z. Dia sentiasa beranggapan isterinya mempunyai hubungan sulit dan apabila berasa tertekan, selalunya disebabkan beban kerja, dia akan melafazkan taklik berulang kali.
  
 "Rupa-rupanya isteri saya memendam rasa. Senyap-senyap dia mendapatkan nasihat dan pandangan jabatan agama. Tiba-tiba saja surat permohonan cerai tiba ke rumah. Apabila saya tanya kenapa dia buat begitu, dia kata sudah tiga kali saya lafazkan cerai taklik dan dia bimbang dari segi hukum- hakam," katanya.
  
 Perbicaraan pagi itu menyesakkan dada. Pertanyaan hakim mengenai taklik yang dilafazkan membuatkan Z risau, tambah pula apabila dia dimarahi hakim kerana begitu mudah mengeluarkan kata-kata sedemikian.
  
 Kata Z, dia menjelaskan kepada hakim, lafaz taklik itu dibuat sekadar untuk `menakutkan', memberi amaran kepada isteri dan dia menarik balik lafaz itu."
  
 Hakim berkata kepada saya, `awak ingat ini kapal, boleh main tarik- tarik?' Kata-kata hakim itu membuatkan saya tertekan, gusar kerana seolah- olah dia membayangkan, akan jatuh talak.
  
 "Apa yang saya takutkan itu, benar-benar berlaku. Pada hari keputusan, hakim mengesahkan jatuh talak antara saya dan isteri. Taklik yang dilafazkan bukan perkara yang boleh ditarik balik. Saya menyesal dan lebih menyesal apabila hakim memberitahu ia talak tiga sebab saya melafazkannya tiga kali, pada waktu dan keadaan berbeza," katanya sedih.
  
 Nasihat Z, lelaki, suami jangan terlalu mudah melafazkan talak atau taklik walaupun kuasa itu mutlak di tangan mereka. Jangan bersikap cemburu buta sebaliknya hubungan perlu dijalin dengan rasa percaya satu sama lain.
  
 Paling penting, jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan memandang mudah pengorbanan serta keluhan isteri.
  
 Z berharap, apa yang berlaku itu menjadikannya seorang lelaki dan suami yang lebih baik. Sungguhpun terkilan, isteri yang dicintai terpaksa dilepaskan pergi, dia gembira melihat bekas isterinya kini bahagia di samping suami baru.
  
ublication Name :

Berita Harian
Date of publication :Sat, Mar 12, 2011
Section Heading :Sabtu
Page Number :008
Headline :Tuduh-menuduh selepas bercerai



Status:Normal
Column Name:Kisah dari Mahkamah Syariah
Zone:A-All
Length count:559
  
Text:TUDUH-menuduh, menuding jari dan menyalahkan satu sama lain adalah perkara biasa setiap kali selepas perceraian. Bagaikan lumrah, siapa yang nak mengaku salah kalau perceraian berlaku.
  
 Ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Syariah, mungkin yang bersalah akan mengaku salah tetapi ya apabila apabila di luar lain pula kisah yang timbul. Kesalahan pasangan akan dijaja bagi menegakkan kebenaran, hilang sudah kasih sayang dan rasa hormat sekali pun pernah berkongsi hidup berpuluh tahun lamanya.
  
 Cerita begitu, sekali pun mungkin ada benarnya sedikit sebanyak akan membangkitkan kemarahan, bukan saja pada bekas pasangan hidup, malah keluarga juga rakan yang mendengar cerita.
  
 Seperti kisah minggu ini, membabitkan pasangan yang dihormati. Bercinta sejak belajar, rumah tangga dibina hanya bertahan kira-kira 10 tahun apabila mereka bercerai talak tiga, dua tahun lalu. Sepanjang hidup bersama itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, berusia sembilan tahun dan lima tahun.
  
 Menerusi e-mel yang dihantar ke Ratu, seorang pembaca menceritakan rumah tangga pasangan berkenaan bergolak sebelum kelahiran anak kedua lagi dan mereka pernah bercerai sebanyak dua kali tanpa merujuk kes ke mahkamah. Hanya apabila lafaz cerai disebut kali ketiga, pasangan itu merujuk kes ke mahkamah.
  
 Selepas bercerai, si bekas suami, Azrul Fadzli (bukan nama sebenar), 39, bercerita dia sememangnya tidak mahu berkahwin dengan bekas isterinya, Azura Rahman (bukan nama sebenar), 39. Mereka berkahwin hanya kerana Azura mengugut untuk membunuh diri jika tidak diperisterikan.
  
 "Azrul mengadu, bekas isterinya sering mengugut malah ketika di pengajian Azura pernah menghentak kepala ke dinding hingga berdarah dan memukul Azrul sehingga koyak baju di khalayak ramai setiap kali bergaduh.
  
 "Mereka akhirnya berkahwin dan Azrul mengakui masih memerlukan ruang menikmati zaman muda untuk menjalani kehidupan lelaki bujang. Itulah yang dilakukan Azrul. Walaupun sudah berkahwin dan beranak dua. Azrul terus dengan dunia sosialnya dan sentiasa mencari kenalan wanita.
  
 Alasan dia, tertekan dengan sikap serta perangai isteri yang sering mengongkong 24 jam selain hanya perlu mengikut cakap si isteri," katanya.
  
 Tidak cukup dengan itu, Azrul turut bermain cinta dengan kenalan wanitanya. Beberapa kali Azura berjaya menghidu aktiviti suaminya. Lebih teruk, Azrul juga pernah menjalin hubungan sulit dengan pembantu rumah mereka. Akibatnya, Azura terpaksa lebih mengawal suami sehingga sering kali kelihatan seperti dia `queen control'.
  
 "Tetapi, Azrul hanya bercerita kononnya Azura terlalu cemburu dan memaki hamunnya hanya kerana dia membuka pintu kereta untuk pembantu rumah yang sarat tangan memegang lauk-pauk yang dibeli di bazar Ramadan," cerita e- mel itu lagi.
  
 Selepas bercerai, Azrul mengakui kesilapannya tetapi sering juga menyebut semua perbuatannya itu berpunca daripada sikap Azura. Pada masa yang sama, Azrul meneruskan kehidupannya, yang tidak puas-puas berseronok dan sering memburu wanita untuk keseronokan.
  
 Tidak cukup dengan rumah tangga yang musnah, Azrul juga hilang segala- galanya. Bekas isteri menuntut segala harta sepencarian, malah hak penjagaan anak-anak pun dituntut isteri.
  
 Azura pula walaupun kini sudah mempunyai keluarga baru, seolah-olah tidak dapat `melepaskan' Azrul. Kisah cinta baru Azrul terus-terusan diganggu sehingga sanggup pasang `kaki' menyelidik latar belakang teman wanita bekas suaminya.
  
 Lebih teruk apabila Azura dan `rakan sekampungnya' yang sepejabat dengan teman wanita Azrul berpakat menabur fitnah terhadap teman wanita Azrul. Apa tujuan sebenar Azura, hanya dia yang tahu. Mungkin berdendam dengan Azrul atau sebenarnya masih memendam perasaan pada bekas suami.
  
 Apa pun, setiap apa yang berlaku mempunyai 1,001 alasan tersendiri. Segala yang berlaku ada hikmahnya. Andai perpisahan jalan yang dipilih, kehidupan masih perlu diteruskan, perbaiki sikap dan perhubungan jika sudah bertemu ganti. Kisah lama jangan dikenang dan lebih penting, hilangkan dendam, hentikan tuding-menuding.
  

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...