Saturday, October 8, 2016

TIADA ANAK ALASAN CURANG

Berita Harian, Sabtu, April 23, 2011

Tiada anak alasan curang




SETIAP insan mengimpikan sebuah perkahwinan yang kekal bahagia berpanjangan sehingga akhir hayat. Tiada yang mahukan ikatan kasih sayang yang dimeterai suami isteri berakhir dengan perpisahan. Kelahiran cahaya mata diharap mampu menambat dan mengukuhkan ikatan yang ada.
   Itu juga harapan Diana (bukan nama sebenar). Bercinta sejak meneruskan pengajian di sebuah institusi pengajian tempatan, kehadiran Kamarul (juga bukan nama sebenar) dalam hidupnya bagaikan sebuah rahmat buatnya.

Mereka seperti belangkas. Di mana ada Diana, di situ ada Kamarul, tambahan pula mereka berdua belajar dalam bidang yang sama. Masing-masing setia melayari percintaan sehingga membawa mereka gerbang  perkahwinan.
   Lima tahun pertama, segala-galanya berjalan lancar walaupun Diana dan Kamarul tidak dikurniakan cahaya mata. Tidak pernah timbul desakan walaupun keluarga kedua-dua pihak ada juga sesekali bertanya. Namun, Kamarul tidak pernah mendesak Diana begitu juga sebaliknya.  

Ego lelaki

Namun, keadaan berubah bila memasuki tahun keenam. Diana mula berasa tertekan, lebih-lebih lagi apabila melihat semua rakan sebaya, yang berkahwin hampir sama waktu atau selepasnya sudah menimang sekurang-kurangnya seorang anak.
 Diana berjumpa doktor bagi mengenal pasti masalah. Dia disahkan sihat dan subur, tiada apa-apa masalah, jelas doktor. Terdetik di hatinya, mungkinkah Kamarul yang bermasalah, lantas dia menyuarakan kepada Kamarul untuk menjalani pemeriksaan.

"Ego lelaki. Kamarul berkeras dia sihat, subur dan tidak mahu berjumpa doktor. Tapi apa yang menyedihkan saya apabila saya pula dituduh mandul," cerita Diana.
   Malas memanjangkan cerita, Diana tidak pernah membangkitkan perkara itu lagi.
Tetapi, sedikit demi sedikit perubahan pada Kamarul dapat dirasakan. Kamarul asyik bengis malah selalu pulang lewat ke rumah. Adakalanya, Kamarul tidak pulang langsung.
   "Saya buat seperti tiada apa yang berlaku, Saya mahukan rumah tangga kami bahagia seperti dulu tetapi

Hubungan sulit


Kamarul semakin menjauhkan diri. Apabila saya tanya mengapa, dia cakap tiada apa-apa. Sehinggalah suatu hari, saya terjumpa satu kotak berkunci yang disorokkan di bawah katil," katanya.
   Diana berkata, dia tidak pernah mencurigai suaminya sebelum ini tetapi kali ini, dia berasa tidak sedap hati. Kotak itu diumpil dan isinya, membuatkan hati Diana hancur berkecai.
   Gambar suaminya sedang melakukan hubungan seks dengan wanita lain, cerita Diana. Hati siapa yang tidak hancur.
 Hari itu juga, Diana `menyerang' suaminya. Tanpa segan silu, suaminya mengaku, itu gambar terbarunya bersama teman wanita. Bekas teman wanitanya dulu, yang kini bergelar isteri orang. Alasan suaminya, dia mahukan anak.
   Diana tidak berfikir panjang lagi, dia memfailkan perceraian. Hendak dijadikan cerita, Diana juga disahkan hamil. Kamarul yang mendapat tahu perkara itu, cuba memujuk Diana untuk memaafkannya tetapi pada masa yang sama meminta izin untuk berkahwin satu lagi.



Ingin cerai

"Saya sudah nekad. Saya tidak mahu lagi menjadi isteri kepadanya. Hanya kerana tidak dikurniakan anak, dia gunakan alasan itu untuk berzina, dengan isteri orang pula," katanya.
   Perbicaraan mereka tidak mengambil masa lama, mungkin kerana bukti cukup mengesahkan kejahilan Kamarul.




   "Saya sedih memikirkan anak dalam kandungan membesar tanpa bapa. Tetapi, bagi saya itulah jalan terbaik daripada kami meneruskan hidup dengan dia, yang hidup bergelumang dosa dan mendustai kesetiaan saya.
   "Apapun, saya doakan yang terbaik buat dia. Harapan saya, dia selesaikan perkara antara dia, teman wanita dan suami teman wanita sebaik-baiknya. Dia bukan saja menghancurkan rumah tangga kami tetapi juga perkahwinan teman wanitanya. Jadilah lelaki yang bertanggungjawab dan takut Tuhan," kata Diana mengahiri bicara.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...