Saturday, October 8, 2016

PENANGAN CINTA MUDA

Berita Harian, Sabtu, Apr 30, 2011

 Penangan cinta muda

KISAH pasangan suami isteri bercerai sudah banyak kali dipaparkan di ruangan ini. Seribu satu rencam cerita rumah tangga yang diketengahkan. Ada yang berpunca daripada suami dan ada juga isteri menimbulkan masalah. Begitulah adat hidup berumah tangga, ada pahit, manis juga kelat.
   Lupakan sementara kisah suami isteri minggu ini, sebaliknya ikutilah luahan hati seorang bapa, Johan, 52, yang berdepan konflik dengan anak perempuan bongsunya, Suria yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi.
   Konflik tercetus antara dua beranak itu membuatkan hubungan mereka sekeluarga kini agak tegang. Jika dulu hubungan kekeluargaan begitu akrab dan mesra, kini berkocak serta bermasam-masam muka.


Tidak boleh tunaikan

Sebagai bapa, Johan akui, begitu ralat apa yang berlaku kini dalam keluarganya tetapi tetap menganggap semua adalah dugaan yang harus ditangani dengan sabar.
   Katanya, sebagai ketua keluarga, dia ingin melakukan yang terbaik untuk ketigatiga anaknya dalam apa saja, termasuklah dalam soal jodoh. Namun, antara ketiga-tiga anak perempuannya, Suria paling sukar difahami sikapnya.
   "Mungkin dari kecil dia sudah biasa dimanjakan berlebih-lebihan sebab itulah Suria sedikit keras kepala berbanding dua kakaknya. Setiap kehendaknya dituruti, jarang sekali saya menggunakan kekerasan atau kuasa veto sekalipun saya boleh berbuat demikian.
   "Tetapi kali ini, permintaannya saya tidak boleh tunaikan sebab itulah saya bantah habis-habisan. Tidak sangka pula, Suria bertindak jauh sehingga membawa ke Mahkamah Syariah," katanya melahirkan rasa kesal di hati.
   Johan berkata, semuanya bermula apabila kehendak Suria berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya ditentang. Bukan Johan terlalu memilih menantu tetapi jika boleh dia mahu Suria habiskan dulu pengajian dan dapatkan segulung ijazah seperti kedua-dua kakaknya.

Tidak kenali bakal menantu



Bagi Johan, anak bongsunya itu masih terlalu muda untuk berkahwin. Justeru, mana mungkin Suria yang baru berusia 21 tahun dapat mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri dan tuntutannya sebagai pelajar.
   Kebanyakan kerja di rumah selama ini pun banyak diuruskan ibunya dan sesekali kedua- dua kakak Suria yang sudah berkahwin datang ke rumah turut membantu. Sedangkan Suria, sering saja menghabiskan masa dengan pelajaran dan rakan sebaya.
Tambahan pula, teman lelaki anaknya itu tidak begitu dikenali latar belakangnya dan pekerjaannya juga tidak menentu. Tidak mungkin semudah itu, Johan akan melepaskan Suria kepada orang yang dilihatnya masih tidak mempunyai masa depan yang pasti.
"Sayangnya, semua alasan saya berikan tidak boleh terima.
Ibu dan dua kakaknya turut memberikan pelbagai nasihat tetapi Suria tetap dengan keputusannya dan terus berdegil. Katanya, dia sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan demi masa depannya. Geram sekali saya dengan tindak tanduk Suria yang langsung tidak mahu mendengar nasihat. Dari kecil saya jaga dan tatangnya bagaikan minyak yang penuh, ini balasan diberikan," ujar Johan dalam nada keluh kesal.

Ugut kahwin lari

Johan menambah, Suria pernah mengugut hendak kahwin lari dengan kekasihnya jika hasratnya terus dibantah. Mujur, niat itu tidak diteruskan.
   "Saya tahu, lelaki itu bukanlah ikhlas sangat untuk berkahwin dengan anak saya. Tetapi entah mengapa Suria begitu percaya sangat kepadanya dan bersungguh-sungguh hendak disatukan dengan kekasihnya itu. Mungkin inilah akibatnya cinta anak muda yang terlalu mengikut perasaan hingga tidak tahu membuat pertimbangan bijak, sekali pun pendidikan secukupnya sudah diberikan kepadanya," katanya lagi.
Johan berkata, bagi menunjukkan protes dan rasa tidak puas hati, Suria juga pernah tidak balik ke rumah selama tiga hari. Akibatnya, satu keluarga risau dan tidak tidur
malam memikirkan keselamatan dirinya sedangkan Suria sikit pun tidak berasa bersalah.
  
 Bapa sedih

Katanya, episod itu tidak berakhir di situ. Nekad dengan keputusan untuk berkahwin dengan kekasih, Suria membuat permohonan wali hakim di Mahkamah Syariah atas alasan calon suami pilihannya ditentang keluarga.
   "Hati bapa mana tidak sedih, apabila anak yang dijaga, dibelai dan dibesarkan tergamak buat tindakan sejauh itu. Suria seolah-olah langsung tidak mahu mengambil tahu apakah perasaan saya apabila dia berbuat demikian. Di mahkamah, berkali-kali Suria memberitahu, tidak mahu dipaksa mengikut kehendak keluarga," katanya.



Johan memberitahu, akur dengan kehendak Suria, akhirnya dia memaklumkan kepada mahkamah mengenai kesediaan untuk membenarkan anaknya berkahwin tetapi meletakkan beberapa syarat. Bagaimanapun, Suria masih berdegil malah enggan berbincang dengan bapanya.
"Mahkamah sebelum ini meminta kami anak beranak berbincang sebelum membuat keputusan. Saya sekeluarga amat berharap Suria sedar apa yang sudah dilakukannya. Apa pun baik buruk Suria, dia masih tetap anak saya," kata Johan dalam nada perlahan.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...