Thursday, September 8, 2016

Nikah wali hakim, bapa ghaib

Berita Harian, Sabtu, September 18, 2010


Oleh Nor Affizar Ibrahim


Nikah wali hakim, bapa ghaib

PUTERI Mastikah menghitung hari. Jika ikut perjanjian yang sudah diputuskan dengan pihak lelaki, pertunangan berlangsung selama setahun. Kini, sudah hampir enam bulan berlalu. Bermakna, hanya bersisa enam bulan lagi untuk menunggu hari debaran.
   Namun, dalam kekalutan membuat persiapan dan menyediakan segala kelengkapan hari bahagia, Puteri Mastikah, 27, bingung kerana ada perkara paling penting yang masih tidak diselesaikan lagi. Malah, jika tidak diselesaikan punah harapannya untuk hidup bersama dengan Izam, jejaka idaman yang sudah dua tahun dikenalinya.
   Mengingatkan hari-hari yang sudah dilalui sebelum ini, Puteri Mastikah semakin risau kerana bukan mudah pencariannya dalam menemui jodoh. Jika dikira, Izam adalah lelaki ketiga yang hadir dalam hidupnya. Dua cinta lelaki yang sempat hadir dalam hidupnya sebelum ini tidak kesampaian dan hanya bertahan beberapa bulan saja.
   Sayu hati Puteri Mastikah mengenangkan hari-hari semalam, bagaimana dirinya dihina oleh keluarga kedua-dua lelaki yang disayanginya. Hajat hendak menumpang kasih, terpaksa dibuang jauh-jauh apabila keluarga mereka tidak mahu menerimanya hanya kerana latar belakang keluarga Puteri Mastikah yang porak peranda. Orang tua mereka bimbang, perkara sama `berjangkit' jika berkahwin dengan Puteri Mastikah.

Salahkan diri sendiri

Bukan itu saja, taraf kehidupan mereka juga berbeza. Puteri Mastikah bukanlah dari keluarga senang. Ibunya, bekerja hanya sebagai pembancuh teh di pejabat dan sudah tentulah pendapatan diterima tidak seberapa. Tetapi dengan duit gaji yang diterima ibunya itulah berjaya menghantar Puteri Mastikah ke menara gading dan menyekolahkan dua lagi adik perempuannya.



Ada ketika, Puteri Mastikah menyalahkan dirinya kerana tidak sedar diri, bercinta dengan dengan lelaki dari keluarga berharta dan berkedudukan tinggi. Benarlah kata orang, enggang dengan pipit manalah boleh hidup bersama. Tetapi Puteri Mastikah alpa semua itu kerana cinta bersemi dalam hati adalah ikhlas dan tulus.  
Begitulah kisah Puteri Mastikah bersama dua jejaka yang pernah singgah di hatinya sebelum ini, Namun, memikirkan semula dirinya insaf kerana semua itu bukan kehendak diri dan dirancang, sebaliknya segala-gala hadir tanpa diminta.

Tunang beri dorongan
Pertemuan dengan Izam dua tahun lalu, membangkitkan semula jiwanya yang pernah layu terhadap cinta. Walaupun Izam dari keluarga senang, Puteri Mastikah dan keluarganya diterima dengan seadanya. Malah, ibu Izam yang bersungguh-sungguh mahukan mereka berdua disatukan segera.


Terharu hati Puteri Mastikah dengan layanan diterima, berbanding sebelum ini. Izam mampu memberikan kasih sayang dan membahagiakan dirinya. Lantaran itulah, Puteri Mastikah tidak mahu mempersia-siakan apa yang dimiliki kini.
   Malah, dalam kekalutan yang dihadapi, Izam sentiasa memberikan dorongan dan memintanya banyak bersabar. Izam juga memberikan pelbagai cadangan, bagaimana untuk menjejak bapa Puteri Mustikah yang sudah lebih 10 tahun menghilangkan diri. Kadang-kadang, Izam sanggup mengambil cuti sematamata untuk menemani Puteri Mustikah hingga ke ceruk rantau, mencari bakal bapa mentuanya.
   Melalui teman lama bapanya, sudah puas ditanya tetapi tiada jawapan pasti diterima. Begitu juga saudara-mara bapa Puteri Mastikah, tiada seorang pun mengetahui ke mana dia menghilang.
   Selepas berbincang, ibu Izam mencadangkan mereka bernikah menggunakan wali hakim. Puteri Mastikah akur dengan cadangan itu, lebih-lebih lagi dirinya sudah pu

Guna wali hakim

Lalu, dengan ditemani tunang yang sentiasa mengambil berat mengenai dirinya, Puteri Mastikah pun membuat permohonan untuk menggunakan wali hakim di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
   Dalam permohonan itu, Puteri Mastikah menyatakan dia tidak bertemu ayah kandungnya sejak lebih 10 tahun lalu. Dalam keterangan diberikan di Mahkamah Syariah, Puteri Mastikah berkata, ayahnya tidak pernah menghubunginya dan adik-beradik lain sejak bercerai dengan ibu mereka pada 1996.   Sebagai pemohon yang bercadang untuk bernikah, Puteri Mastikah berkata, bapanya tidak pernah menelefon bertanya khabarnya selepas keluar dari rumah.



Alhamdulillah, permohonan itu dibenarkan apabila hakim mempertimbangkan Puteri Mastikah sebagai pemohon sudah pun berusaha mencari ayah kandungnya, termasuk membuat iklan dua kali di akhbar bagi mencari ayah kandungnya itu tetapi tidak ada maklum balas yang positif.
   Puteri Mastikah tersenyum panjang dengan keputusan hakim. Namun, dalam hatinya masih terselit perasaan sedih kerana hari bahagia yang dirancang akan diadakan selepas seminggu menyambut Aidilfitri tidak akan dihadiri, bapa kandungnya.





Padah nikah sembunyi

Berita Harian, Sabtu Ogos  29, 2009

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Padah nikah sembunyi





MENGIMBAS kisah enam tahun lalu, Siti Khairani (bukan nama sebenar) menarik nafas panjang. Dalam hatinya berkata, jika masa boleh berputar kembali seperti enam tahun lalu, nescaya dirinya tidak akan melakukan kesilapan itu. Namun, itu hanya kata hatinya saja. Segala yang sudah berlaku dan tertulis tidak mungkin mampu diubah lagi.
   Menyesal? Sukar Siti Khairani hendak menghuraikan perasaannya apabila diajukan soalan itu. Tetapi apa yang tidak dapat dibohongi atau tidak dapat dinafikan, ketika itu hatinya memang sudah pun nekad. Jiwa mudanya begitu bergelora. Maklum, itulah cinta pertamanya. Jatuh cinta dalam usia 18 tahun dan setahun menyulam cinta, Siti Khairani yakin pilihannya tepat. Perbezaan usia 16 tahun dengan bakal calon suaminya ketika itu dianggapnya bukan satu masalah besar.
   Cuma, yang menjadi bantahan dan menjadi halangan, bakal suaminya itu sudah pun berkahwin dan mempunyai tiga anak.
   Bagaimanapun, ketika itu Siti Khairani yakin bahawa dirinya sudah bersedia dan rela hidup berkongsi kasih.


Kahwin di Narathiwat

"Bukan tiada yang melarang dan memberikan nasihat, tetapi saya sememangnya degil ketika itu. Oleh kerana tidak kuasa lagi bergaduh adik-beradik, abang sulung saya pun bersetuju menjadi wali dan mengahwinkan saya di Narathiwat, Thailand seperti yang dicadangkan bakal suami.
   "Bapa saya sudah lama meninggal dan selama ini emak yang membesarkan saya. Sebagai anak bongsu dalam keluarga, saya memang dimanjakan oleh abang dan dua kakak.

Demi sayangkan saya, mereka semua yang pada mulanya bantah habis-habisan, akhirnya mengalah. Memang saya degil. Ketika itu saya pekakkan telinga dan enggan menerima nasihat. Akhirnya, inilah padah diterima," ceritanya cuba mengingatkan kembali kisah enam tahun lalu.

Selepas kata sepakat dicapai, sehari sebelum tarikh perkahwinan, Siti Khairani, bakal suami dan abang sulungnya berangkat ke Thailand, manakala dua saksi yang diperlukan semuanya sudah diuruskan. Siti Khairani hanya bawa badan saja. Sementara, isteri pertama bakal suaminya langsung tidak tahu mengenai majlis akad nikah itu.
   "Kata abang (bakal suami) biarlah rahsia," kata Siti Khairani sambil tersenyum kelat apabila terkenang apa yang dituturkan bakal suaminya dulu.
   Siti Khairani menurut saja apa yang dikatakan dan dirancang oleh bakal suaminya. Perasaan sayangnya begitu tinggi. Jika hitam katanya, hitamlah juga kata Siti Khairani.

 Sebaik saja majlis akad nikah itu selesai, hari itu juga mereka semua berangkat pulang ke Malaysia.
   "Abang janji, balik saja ke Kuala Lumpur dia akan beritahu isteri pertama mengenai perkahwinan kami dan ingin mendaftarkan segera pernikahan itu. Saya setuju saja dan fasal daftar segera pernikahan itu sebenarnya saya sendiri tidak kisah sangat. Saya pun bukannya faham sangat mengenai semua itu. Apa yang saya tahu, kami sudah nikah dan keluarga pun boleh terima," kata Siti Khairani.

Setahun masih rahsia

Bagaimanapun, katanya, hari demi hari berlalu sehinggalah hampir setahun berlalu. Pernikahan itu masih menjadi rahsia daripada pengetahuan isteri pertama. Begitu juga urusan mendaftar pernikahan masih tidak dibuat. Malah, dari seorang anak hinggalah hendak masuk kedua, suami Siti Khairani masih berdiam diri.
   Apabila kandungan anak kedua memasuki lima bulan, pernikahan Siti Khairani dapat dihidu oleh isteri pertama.
   "Perkahwinan kami akhirnya terbongkar. Saya dan isteri pertama bersemuka dan adalah babak serang menyerang tetapi tidaklah teruk sangat. Namun, sejak peristiwa itu, saya mulai sedar betapa pentingnya perkahwinan saya didaftarkan. Saya juga mulai risau masa depan anak pertama yang akan memasuki sekolah tidak lama lagi. Yang nyata enam tahun sudah berlalu, kami masih tidak mempunyai sijil nikah," katanya.

Siti Khairani tidak mahu berdiam diri. Setiap hari, beliau mendesak suami untuk melakukan sesuatu agar segera mendaftarkan perkahwinan mereka yang sudah memasuki enam tahun. Selepas puas mendesak, suami Siti Khairani mengalah dan bersetuju menunai permintaan itu serta bersedia melalui proses pengesahan nikah di Mahkamah Syariah. Matlamatnya, sudah tentulah untuk mendapatkan sijil nikah di Malaysia, sekali gus bagi membolehkan anak dan bakal anak dilahirkan didaftarkan kelahirannya di Malaysia.

Sah syarak

Siti Khairani kini boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Syariah sudah pun memutuskan pernikahan mereka enam tahun lalu di Thailand sah mengikut syarak dan undang-undang negara.
   Hakim Syarie membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan Siti Khairani dan suami serta berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan mereka. Hakim turut memerintahkan pasangan itu melaporkan perkahwinan mereka kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) seperti diperuntukkan Seksyen 12 (2) Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
   Kes perkahwinan Siti Khairani dan suami seharusnya menjadi iktibar kepada semua. Islam begitu mementingkan nasab dan keturunan kerana ia membabitkan hak antara satu sama lain. Seandainya, pernikahan itu tidak sah, anak yang ada akan keliru dari segi nasab atau bapa mereka. Sebab itulah pentingnya pernikahan disahkan terlebih dulu bagi memastikan sememangnya anak adalah hasil pernikahan yang tulen, suci dan hakiki selari dengan tujuan syariah bagi menjaga nasab.

Thursday, March 31, 2016

SOLAT DALAM PESAWAT



Panduan mengerjakan solat dalam pesawat

Sebagai seorang muslim, solat fardhu merupakan satu kewajipan. Dalam apa jua keadaan pun, kita diwajibkan bersolat walaupun ketika berperang, bermusafir dan jatuh sakit.

Bagi pengembara tegar yang sering menaiki pesawat untuk merentas negara atau benua, berada di dalam pesawat selama berjam-jam lamanya pasti sudah menjadi satu kebiasaan. Lebih-lebih lagi jika menaiki kereta api, perjalanannya mengambil masa lebih lama berbanding pesawat walaupun lokasi bertolak dan destinasi yang dituju adalah sama.

Walau di mana pun kita berada, solat tetap wajib dilaksanakan
Sebagai contoh, penerbangan dari Pulau Pinang ke Bangkok mengambil masa selama lebih kurang dua jam 40 minit manakala jika menaiki kereta api, perjalanannya boleh mencecah sehingg 23jam.

Berada terlalu lama di dalam pesawat dan kereta api menyukarkan kita untuk bersolat bila tiba waktunya. Kalau setakat masa yang diambil hanya melangkau satu waktu solat tidak mengapa lagi kerana kita boleh melakukan jama'. Namun bagaimana kalau melebihi dua atau lebih waktu solat? atau perjalanannya melangkau waktu solat Subuh yang tidak boleh diqasar dan dijama'.

Persoalannya, bagaimana hendak mengerjakan solat di dalam pesawat atau kereta api? Ruangnya sahaja sudah menyukarkan pergerakan solat, apatah lagi hendak mengadap kiblat kerana kedua-dua kenderaan ini sentiasa bertukar arah semasa di dalam perjalanan.

Berbeza jika memandu sendiri, kita boleh berhenti di mana-mana sahaja apabila tiba waktu solat. Begitu juga dengan menaiki bas, solat boleh dilakukan di tempat-tempat bas berhenti untuk berehat.

Berikut adalah panduan untuk mengerjakan solat ketika berada di dalam pesawat atau kereta api:

1. Persediaan

Sebagai seorang muslim, perkara utama yang perlu dilakukan sebelum bermusafir adalah menyediakan atau mempersiapkan diri sesempurna yang mungkin untuk menghadapi ibadat solat semasa di dalam perjalanan. Selain memenuhkan ilmu di dada tentang cara menyempurnakan solat ketika bermusafir, kita juga harus menyediakan pakaian bersih dan kompas untuk mencari arah kiblat.

Bagi kami, tiada alasan untuk seorang pengembara muslim tidak membawa kompas. Ini kerana cara lain untuk mencari arah kiblat iaitu dengan berpandukan matahari atau bintang adalah sukar jika kita tidak menguasai kemahirannya. Paling senang adalah dengan menggunakan kompas.

2. Berwudhu'

Seboleh-bolehnya cubalah untuk mengambil wudhu' dari rumah atau mengambil wudhu' di lapangan terbang atau stesen kereta api terlebih dahulu. Setelah itu, pakailah stokin dalam keadaan berwudhu' dan berniat memakai khuf.

Apabila wudhu' terbatal, sewaktu mengambil wudhu' di dalam pesawat atau kereta api, anda hanya perlu menggantikan rukun basuhan kaki dengan hanya menyapu air ke atas stokin kaki (khuf).

Apa itu khuf? Khuf adalah sarung yang diperbuat daripada kulit yang dipakai menutupi dua buku lali ke atas seperti stokin. Menyapu khuf adalah diharuskan berdasarkan empat mazhab, samada ketika bermusafir, bermukim, darurat ataupun tidak. Ia menepati basuhan 2 kaki di dalam wudhu'.

Bagi yang memakai khuf, ambillah wudhu' seperti biasa dan apabila tiba di rukun membasuh kaki, basahkan tangan dan sapukan pada bahagian atas stokin kaki (cukup sekali sapuan). Apabila bersolat nanti, jangan buka stokin dan solatlah dengan stokin itu. Musafir dibenarkan berbuat demikian selama tiga hari dan tiga malam dari mula menyapu khuf.

Terdapat 3 perkara yang boleh membatalkan sapuan khuf tersebut iaitu tamatnya waktu menyapu khuf, berhadas besar (berjunub) dan membuka khuf.

Bagi yang tidak memakai khuf, ambillah wudhu' seperti biasa.

Jika waktu solat hampir tamat dan anda terpaksa menunggu giliran, bertayammumlah. Tayammum boleh menggunakan debu-debu pada tempat duduk dan dinding di dalam pesawat atau kereta api.

3. Menentukan waktu solat

Jika segala daya dan usaha telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka dirikanlah solat dengan semampu yang mungkin.
 Kaedah asas yang dapat membantu seseorang itu menentukan waktu solat ialah dengan menggunakan sebatang pen atau pensil lalu dipegang di tingkap untuk diukur-banding bayangannya bagi menentukan waktu Zuhur atau Asar dan melihat di ufuk timur bagi tanda permulaan waktu Subuh.

Solat Subuh ialah ketika terbitnya fajar sadiq, iaitu dari munculnya warna putih yang merata (horizontal) di ufuk (horizon), dan waktu yang dibolehkan untuk melakukan solat ini terus berlangsung hingga nampak timbulnya bulatan terawal matahari.

Solat Zuhur ialah dari tergelincirnya matahari timur ke barat dari posisinya yang tegak hinggalah apabila bayang-bayangnya menjadi sama panjang dengan sesuatu yang dibayanginya.

Manakala untuk solat Asar, tergelincirnya matahari timur ke barat lalu bayangannya melebihi panjang yang asal dari sesuatu yang dibayanginya hinggalah apabila matahari condong menghampiri ufuk barat lalu berkuningan rupa-bulatannya.

Waktu Maghrib pula masuk apabila kita melihat di luar tingkap yang matahari sudah terbenam dan apabila cahaya kemerahan hilang, masuklah pula waktu Isyak.




4. Mencari arah kiblat

Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu mendirikan solat. Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah kiblat dewasa ini.

Teknologi satelit, kompas dan sebagainya memungkinkan kita untuk mengetahuinya dengan mudah. Oleh itu, tidak sah solatnya jika seseorang itu mengerjakan solat tanpa mengadap kiblat dengan alasan tidak tahu!

Hal ini tidak dipandang sebagai keuzuran tetapi dipandang sebagai suatu hal yang mempermainkan agama. Sebagai seorang Muslim, menyediakan peralatan untuk solat adalah perkara utama yang perlu difikirkan apabila ingin bermusafir. Ini semua untuk mengelakkan kita dipertanggungjawab di Akhirat nanti.


Namun jika semua usaha telah dilakukan masih gagal untuk menentukan arah kiblat terutama di dalam pesawat dan kereta api, maka dibenarkan untuk menganggarkan arah kiblat setepat mungkin. Hujah ini berdasarkan hadis di bawah yang bermaksud:

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan: "Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah qiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah qiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu baginda berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya[3]". (Hadith riwayat Imam Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar).

Apa yang penting, semasa permulaan takbir dada kita perlu menghadap ke arah kiblat dan selepas itu walau ke mana pun arah pesawat atau kereta api itu bergerak, ia dimaafkan kerana kita telah pun melakukan yang terbaik.

5. Solat berdiri atau duduk?
 
Hendaklah berusaha sekuat mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna. Bertanyalah kepada anak kapal akan ruang sebaiknya untuk bersolat dan jika ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan kerja-kerja kabin maka tunggulah hingga kerja mereka berkurangan atau selesai.
 
Jika sedang solat, pesawat atau kereta api bergoyang sedikit maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi SAW yang solat dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.
 
Jika pesawat atau kereta api banyak bergoyang sehingga mendatangkan kebimbangan, maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai pesawat atau kereta api.
 

Firman Allah: “(Allah) telah memudahkan
 untuk kamu apa-apa yang ada di langit
 dan apa-apa yang ada di bumi
semuanya daripadaNya.”
 (al-Jatsiyah: 13)
Manakala jika sedang bersolat secara berdiri dan dipertengahannya pesawat atau kereta api mula bergoyang maka teruslah bersolat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.
 
Bagi goyangan yang berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.
 
Dan jika tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat ditempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari ruku'. Perintah menghadap qiblat tetap hadir sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
 
Ya’la bin Murah r.a bersama Nabi dalam satu perjalanan, kemudian sampai di satu lembah. Ketika itu Nabi di atas kenderaan tunggangannya. Langit ketika itu mendung dan tanah sangat basah. Kemudian masuk waktu solat, Baginda memanggil muazin lalu muazin melaungkan azan dan iqamah. Setelah itu, Nabi meneruskan solatnya di atas kenderaan dan bersolat secara berjamaah dengan para sahabat. Baginda memberi isyarat dimana sujudnya lebih rendah dari ruku’nya. (Hadis direkodkan Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad.Disahihkan oleh Imam Syaukani dalam Nailul Authar).
 
Kesimpulan
 
Kaedah perlaksaan solat fardhu di dalam kapal terbang atau kereta api sama sahaja seperti mengerjakan solat di mana-mana tempat sekali pun. Cuma bila ada kesukaran yang timbul, maka kesempurnaan gerak solat itu juga berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.
 
Perlaksanaannya juga sama sahaja dengan kaedah solat bagi mereka yang sakit, seperti menundukkan kepala lebih sedikit ketika sujud, bagi membezakan sujud dengan ruku’.
 
Tidak sah solat bagi mereka yang sengaja solat secara duduk tanpa ada keuzuran yang dibenarkan. Namun jika segala daya dan usaha telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka dirikanlah solat dengan semampu yang mungkin. Tidak perlu di Qada’ atau pun diulanginya semula

Saturday, October 17, 2015

Publication Name :Berita Harian
Date of publication :Wed, Jul 17, 2013
Section Heading :Famili
Page Number :004
Headline :Puteri Denmark paling bergaya
Byline :Oleh Nor Affizar Ibrahim



Status:Normal
Column:LO
Category:Royalty#Kerabat diraja
Zone:A-All
Copyright:NSTP
Length count:754
Text:Ramai yang memuji kecantikan Duchess of Cambridge, Kate Middleton. Malah, isteri pewaris takhta kedua Britain, Putera William ini sering menjadi perhatian.
Bagaimanapun, Kate mungkin keluarga diraja paling popular di Britain, tetapi tidak di peringkat global. Ini berikutan, satu tinjauan terbaru menunjukkan, Puteri Mahkota Denmark, Mary kelahiran Australia muncul sebagai keluarga diraja paling bergaya di dunia dengan menerima undian sebanyak 68 peratus.
Dengan hasil tinjauan terkini itu, Kate harus merelakan `mahkota' sebagai puteri kerajaan paling bergaya kini berada di tangan Mary yang dikatakan, menarik perhatian dunia kerana gaya berpakaian dan penampilannya.
Walaupun sudah berusia 41 tahun, jurang jauh berbanding usia Kate, yang baru 31 tahun, Mary dianggap memiliki gaya yang lebih anggun dan memberi inspirasi kepada ramai wanita di seluruh dunia.
Tinjauan dikendalikan, laman web myvouchercodes.co.uk menunjukkan, Kate hanya mampu menduduki di tempat kedua dengan undian sebanyak 67 peratus. Hasil tinjauan itu responden mendapati, gaya Mary amat memberikan inspirasi.
Bercakap itu, mengenai pengundian Pengerusi myvouchercodes.co.uk, Mark Pearson, benar-benar terkejut dengan keputusan itu.
"Saya fikirkan ramai akan menganggap, Kate adalah kegemaran ramai dan ikon gaya diraja. Berdasarkan keputusan, ia seolah-olah menunjukkan Kate mempunyai sedikit persaingan dengan Mary yang dilihat sebagai Puteri Mahkota Denmark, penuh kasih sayang dan bergelar Kate of Scandinavia. Apa pun, kedua-dua wanita berkenaan amat bergaya, dengan Mary yang kerap memilih Malene Birger, manakala Kate pula memakai apaapa dari Topshop, Hobbs dan juga kasut LK Bennet. Justeru, ia tidak hairanlah kedua-dua wanita itu benar-benar popular kalangan orang awam British," katanya.
Penampilan bijak dan anggun
Bagaimanapun, keputusan hasil tinjauan itu mungkin bukan sesuatu yang begitu mengejutkan kerana Mary sememangnya sudah dikenali menjadi ikon fesyen sebaik saja mengahwini suaminya, Putera Mahkota Frederik sembilan tahun lalu kerana penampilan hebatnya dalam apa saja persalinan.
Ditambah lagi dengan keperibadiannya yang lembut, sopan santun, matang dan bijak menyesuaikan diri menyebabkan puteri berambut coklat gelap ini bukan saja disenangi kerabat diraja Denmark, bahkan disayangi rakyat negara berkenaan serta ke mana saja beliau pergi.
Malah, sejak menjadi puteri, bekas pelajar High Taroona itu menjadi duta fesyen di Australia dan Denmark. Pengkritik dan penggemar fesyen sebelum ini, turut memuji cara penampilan Mary.
Memetik salah satu laporan majalah tempatan, ada yang sependapat menyatakan, ibu kepada empat cahaya mata itu salah seorang wanita paling bergaya dalam generasi usianya kerana pakaian disarungkan amat sesuai untuk umur dan dalam kedudukannya sebagai puteri.
"Dia kelihatan pintar dan anggun untuk setiap peristiwa."
"Mary mempunyai gaya sendiri, sama ada kasual atau formal dan dia jarang tampak salah." Itulah antara beberapa komen positif mengenai gaya penampilan Mary.
Begitu juga pereka terkenal antarabangsa, Chanel, Karl Lagerfeld, pernah memuji Mary danmembandingkannyadengan gaya Kate. Karl berkata, Mary dilihat sebagai pengesahan status beliau sebagai model fesyen.
Bagaimanapun, sebagai seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Hobart dan membesar di Tasmania, Mary tidak memberi banyak petunjuk dia akan berakhir dengan ikon gaya antarabangsa seperti hari ini.
Blog fesyen
Apa yang pasti, seperti Kate, Mary juga mempunyai beberapa blog fesyen khusus untuk menceritakan mengenai apa yang dipakai dan dari mana mahu memperolehnya. Terbaru, yang membuktikan Mary popular dalam kalangan peminatnya ialah beg Prada berwarna krim dan kasut yang dipakainya ketika menghadiri satu jamuan malam di restoran di Copenhagen, bulan lalu.
Mary turut dikatakan mempunyai pilihan berani dan pandai menggunakan warna, sekali gus membuatnya popular dalam kalangan pengkritik fesyen dan peminat diraja.
Lazimnya, Mary mengenakan rona polos seperti kelabu, hitam, biru, merah dan putih tetapi ada kala membuat kejutan dengan memakai gaun dan skirt bercorak. Semua itu menjadikan gaya penampilannya menjadi bertambah menarik.
Selain mengenakan gaun, Mary juga dilihat selesa menyerlahkan diri dengan penampilan fesyen padanan seluar yang sering diperlihatkan dengan gaya sempurna dan jahitan `tajam' serta rapi.
Untuk gaya bersantai pula, Mary lebih tampak, bersahaja tetapi masih mengekalkan penampilan menawan. Contohnya, ketika bersantai di bawah sinaran matahari di Sydney yang pernah dirakamkan, Mary kelihatan bergaya dengan topi besar dan pakaian putih bersih.
Sentuhan gaya klasik pada hari perkahwinannya pada tahun 2003, pasti antara yang tidak pernah dilupakan penggemar fesyen. Ketika pada hari bersejarah itu anak bongsu daripada empat beradik itu terserlah sebagai wanita bangsawan dengan satin gading yang direka oleh pereka Denmark, Uffe Frank.
INFO
10 kerabat diraja paling bergaya mengikut undian laman web, myvouchercodes
1. Puteri Mahkota Denmark, - 68 peratus
2. Duchess of Cambridge, Kate Middleton - 67 peratus
3. Permaisuri Jordan, Permaisuri Rania, 61 peratus
4. Isteri pewaris takhta Sepanyo, Puteri Letizia, - 59 peratus
5. Puteri Sweden, Madeleine, - 56 peratus
6. Puteri Monaco, Charlene, - 52 peratus
7. Puteri Mahkota Sweden, Victoria - 47 peratus
8. Zara Philips - 45 peratus
9. Permaisuri Netherlands, Maxima, 38 peratus
10. Puteri Norway, Mette-Marit, - 33 peratus.
Publication Name :Berita Harian
Date of publication :Sat, Jan 23, 2010
Section Heading :Sabtu
Page Number :003
Headline :Supermodel bijak
Byline :Oleh Nor Affizar Ibrahim



Zone:A-ALL
Column:LO
Copyright:NSTP
Status:Normal
Length count:682
  
Text:CLAUDIA Schiffer sebelum ini secara terang-terangan mengaku era kehebatan supermodel sudah berkubur apabila penerbit majalah dan pengeluar barangan kosmetik tidak lagi bergantung kepada kelompok itu sebagai duta kecil atau pelaris produk apabila beralih memilih selebriti pula.
  
 Kenyataan itu berasas apabila sejak itu, terlalu banyak perubahan berlaku. Ketika majalah fesyen dan pemilik jenama berprestij menggunakan daya tarikan pada aktivis muzik dan filem, supermodel pula semakin kurang bergaya di pentas peragaan.
  
 Namun, ia tidak bermakna kehidupan mereka suram sepenuhnya. Malah, kebanyakan supermodel tetap menjana pendapatan lumayan walaupun kaedahnya atau sumbernya agak berbeza.
  
 Supermodel Heidi Klum membuktikannya. Ketika di sekolah tinggi, Heidi memenangi pertandi ngan model hingga membawanya ke Eropah. Pada 1990-an beliau menguasai pasaran Amerika sama seperti Tyra Banks. Selepas namanya harum dalam bidang berkenaan, beliau melebarkan portfolio sebagai pengacara, juri dan penerbit Project Runway.
  
 Akur pentas peragaan mengingini wajah lebih muda, beliau beralih ke bidang perniagaan. Berbekalkan reputasi dan nama besarnya itu, beliau membuktikan masih ada sinar untuk model tua sepertinya.
  
 Beliau yang baru-baru ini melahirkan anak keempat dan pada usia 36 tahun, Heidi tetap laris. Lazimnya, pada usia begitu, perhatian diberikan kepada model akan berkurangan. Perkara sebaliknya berlaku kepada Heidi. Isteri penyanyi dan komposer terkenal, Seal, itu tetap menjana pendapatan lumayan hasil pembabitannya dalam program realiti berbentuk fesyen itu.
  
 Memasuki musim ketujuh bererti Project Runway paling rapat di hati beliau.
  
 Musim pertama Project Runway ke udara di Bravo, dengan Heidi bertindak sebagai penerbit serta juruacara dan seterusnya mendapat pujian melangit penonton.
  
 Ia memberi fokus kepada rekaan fesyen. Peserta perlu bersaing menyiapkan pakaian terbaik pada masa, bahan dan tema yang ditetapkan. Rekaan itu diadili juri dan seorang atau lebih peserta yang tidak memuaskan hati akan tersingkir.
  
 The New York Times menyamai acara itu sebagai `ranca - ngan realiti Prada', seterusnya tersenarai dalam Anugerah Emmy pada 2005 dan 2006.
  
 Sama seperti rakan model, Banks, Heidi membina kejayaan perniagaan di sebalik wajah cantiknya itu - antara muka depan majalah Forbes, senarai tahunan 100 selebriti terhebat.
  
 "Saya bercita-cita besar dan lebih berminat dengan perniagaan kini," katanya mengulas mengenai kehidupan model yang sebelum ini. Ketika orang lain sibuk berparti dan minum-minum, saya pulang ke rumah," katanya.
  
 Pada 2008, Heidi memperoleh penamaan dalam Emmy buat pertama kalinya dalam kategori Pengacara Berbakat untuk Rancangan Realiti atau Program Realiti, bersaing dengan nama besar lain termasuk Ryan Seacrest untuk program American Idols; Howie Mandel (Deal or No Deal); Jeff Probst (Survivor) dan Tom Bergeron (Dancing).
  
 Sinar bahagia turut mewarnai hidupnya, dan beliau antara model bertuah apabila ketika menunggu kelahiran anak keempat, Heidi masih dikekalkan sebagai model Victoria's Secret.
  
 Jelitawan berasal dari Jerman ini juga mereka kasut jenama Birkenstock dan menandatangani kontrak untuk mempromosi Diet Coke, Volkswagen, McDonald's dan LG.
  
 Baru-baru ini, Heidi mengeluarkan produk perapian kulitnya, In An Instant. Sebelum ini model yang mempunyai insurans kaki bernilai RM2 juta itu dikatakan turut menjadi pereka koleksi barang kemas untuk Mouawad.
  
 Selepas menghasilkan beberapa koleksi fesyen daripada produk busana dan sepatu, kini giliran beliau terjun dalam penghasilan koleksi baju hamil.
  
 Hanya tiga bulan selepas melahirkan anak keempatnya Lou Sulola, beliau mengumumkan hasrat melancarkan koleksi digelar `Lavish by Heidi Klum' dan `Loved by Heidi Klum' yang dijual menerusi laman web `A Pea in the Pod' dan `Motherhood Maternity' yang dikhabarkan pertengahan bulan depan.
  
 Untuk koleksi itu beliau dikhabarkan mengupah tukang jahit dan ilham koleksi berdasarkan empat pengalamannya ketika melalui tempoh kehamilannya.
  
 Lebih menarik, Heidi membukti kan kesetiaan ter - hadap pasangan dan dikelilingi anak-anak membuahkan rasa cinta di hatinya dan terpancar menerusi kejayaan dalam rumah tangga yang dibina.
  
 Dalam majalah People, beliau mengakui bahawa kesetiaan terhadap suami melebihi segala-galanya.
  
 "Curang tiada dalam kamus hidup saya. Ia sebenarnya racun yang menandakan bahawa tidak mempunyai rasa hormat kepada pasangan. Dan saya tidak akan melakukannya. Saya setia, sama seperti suami," katanya.
  
 Membuktikan kata-kata itu, baru-baru ini pasangan ber kenaan mengadakan majlis ulang tahun perkahwinan dan memperbaharui ikrar perkahwinan.
  
 Dilingkari kemewahan, Heidi menyifatkan kehadiran anak-anak dan bergelar ibu adalah kebahagiaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
  
 "Apabila hamil, anda berada dalam cinta. Bayi dalam kandungan disayangi bukan saja oleh ibu dan ayahnya sebaliknya datuk dan nenek. Dan apabila anda dalam keadaan itu anda turut dilimpahi kasih sayang," katanya.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...