Thursday, September 8, 2016

Padah nikah sembunyi

Berita Harian, Sabtu Ogos  29, 2009

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Padah nikah sembunyi





MENGIMBAS kisah enam tahun lalu, Siti Khairani (bukan nama sebenar) menarik nafas panjang. Dalam hatinya berkata, jika masa boleh berputar kembali seperti enam tahun lalu, nescaya dirinya tidak akan melakukan kesilapan itu. Namun, itu hanya kata hatinya saja. Segala yang sudah berlaku dan tertulis tidak mungkin mampu diubah lagi.
   Menyesal? Sukar Siti Khairani hendak menghuraikan perasaannya apabila diajukan soalan itu. Tetapi apa yang tidak dapat dibohongi atau tidak dapat dinafikan, ketika itu hatinya memang sudah pun nekad. Jiwa mudanya begitu bergelora. Maklum, itulah cinta pertamanya. Jatuh cinta dalam usia 18 tahun dan setahun menyulam cinta, Siti Khairani yakin pilihannya tepat. Perbezaan usia 16 tahun dengan bakal calon suaminya ketika itu dianggapnya bukan satu masalah besar.
   Cuma, yang menjadi bantahan dan menjadi halangan, bakal suaminya itu sudah pun berkahwin dan mempunyai tiga anak.
   Bagaimanapun, ketika itu Siti Khairani yakin bahawa dirinya sudah bersedia dan rela hidup berkongsi kasih.


Kahwin di Narathiwat

"Bukan tiada yang melarang dan memberikan nasihat, tetapi saya sememangnya degil ketika itu. Oleh kerana tidak kuasa lagi bergaduh adik-beradik, abang sulung saya pun bersetuju menjadi wali dan mengahwinkan saya di Narathiwat, Thailand seperti yang dicadangkan bakal suami.
   "Bapa saya sudah lama meninggal dan selama ini emak yang membesarkan saya. Sebagai anak bongsu dalam keluarga, saya memang dimanjakan oleh abang dan dua kakak.

Demi sayangkan saya, mereka semua yang pada mulanya bantah habis-habisan, akhirnya mengalah. Memang saya degil. Ketika itu saya pekakkan telinga dan enggan menerima nasihat. Akhirnya, inilah padah diterima," ceritanya cuba mengingatkan kembali kisah enam tahun lalu.

Selepas kata sepakat dicapai, sehari sebelum tarikh perkahwinan, Siti Khairani, bakal suami dan abang sulungnya berangkat ke Thailand, manakala dua saksi yang diperlukan semuanya sudah diuruskan. Siti Khairani hanya bawa badan saja. Sementara, isteri pertama bakal suaminya langsung tidak tahu mengenai majlis akad nikah itu.
   "Kata abang (bakal suami) biarlah rahsia," kata Siti Khairani sambil tersenyum kelat apabila terkenang apa yang dituturkan bakal suaminya dulu.
   Siti Khairani menurut saja apa yang dikatakan dan dirancang oleh bakal suaminya. Perasaan sayangnya begitu tinggi. Jika hitam katanya, hitamlah juga kata Siti Khairani.

 Sebaik saja majlis akad nikah itu selesai, hari itu juga mereka semua berangkat pulang ke Malaysia.
   "Abang janji, balik saja ke Kuala Lumpur dia akan beritahu isteri pertama mengenai perkahwinan kami dan ingin mendaftarkan segera pernikahan itu. Saya setuju saja dan fasal daftar segera pernikahan itu sebenarnya saya sendiri tidak kisah sangat. Saya pun bukannya faham sangat mengenai semua itu. Apa yang saya tahu, kami sudah nikah dan keluarga pun boleh terima," kata Siti Khairani.

Setahun masih rahsia

Bagaimanapun, katanya, hari demi hari berlalu sehinggalah hampir setahun berlalu. Pernikahan itu masih menjadi rahsia daripada pengetahuan isteri pertama. Begitu juga urusan mendaftar pernikahan masih tidak dibuat. Malah, dari seorang anak hinggalah hendak masuk kedua, suami Siti Khairani masih berdiam diri.
   Apabila kandungan anak kedua memasuki lima bulan, pernikahan Siti Khairani dapat dihidu oleh isteri pertama.
   "Perkahwinan kami akhirnya terbongkar. Saya dan isteri pertama bersemuka dan adalah babak serang menyerang tetapi tidaklah teruk sangat. Namun, sejak peristiwa itu, saya mulai sedar betapa pentingnya perkahwinan saya didaftarkan. Saya juga mulai risau masa depan anak pertama yang akan memasuki sekolah tidak lama lagi. Yang nyata enam tahun sudah berlalu, kami masih tidak mempunyai sijil nikah," katanya.

Siti Khairani tidak mahu berdiam diri. Setiap hari, beliau mendesak suami untuk melakukan sesuatu agar segera mendaftarkan perkahwinan mereka yang sudah memasuki enam tahun. Selepas puas mendesak, suami Siti Khairani mengalah dan bersetuju menunai permintaan itu serta bersedia melalui proses pengesahan nikah di Mahkamah Syariah. Matlamatnya, sudah tentulah untuk mendapatkan sijil nikah di Malaysia, sekali gus bagi membolehkan anak dan bakal anak dilahirkan didaftarkan kelahirannya di Malaysia.

Sah syarak

Siti Khairani kini boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Syariah sudah pun memutuskan pernikahan mereka enam tahun lalu di Thailand sah mengikut syarak dan undang-undang negara.
   Hakim Syarie membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan Siti Khairani dan suami serta berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan mereka. Hakim turut memerintahkan pasangan itu melaporkan perkahwinan mereka kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) seperti diperuntukkan Seksyen 12 (2) Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
   Kes perkahwinan Siti Khairani dan suami seharusnya menjadi iktibar kepada semua. Islam begitu mementingkan nasab dan keturunan kerana ia membabitkan hak antara satu sama lain. Seandainya, pernikahan itu tidak sah, anak yang ada akan keliru dari segi nasab atau bapa mereka. Sebab itulah pentingnya pernikahan disahkan terlebih dulu bagi memastikan sememangnya anak adalah hasil pernikahan yang tulen, suci dan hakiki selari dengan tujuan syariah bagi menjaga nasab.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...