Thursday, September 8, 2016

Nikah wali hakim, bapa ghaib

Berita Harian, Sabtu, September 18, 2010


Oleh Nor Affizar Ibrahim


Nikah wali hakim, bapa ghaib

PUTERI Mastikah menghitung hari. Jika ikut perjanjian yang sudah diputuskan dengan pihak lelaki, pertunangan berlangsung selama setahun. Kini, sudah hampir enam bulan berlalu. Bermakna, hanya bersisa enam bulan lagi untuk menunggu hari debaran.
   Namun, dalam kekalutan membuat persiapan dan menyediakan segala kelengkapan hari bahagia, Puteri Mastikah, 27, bingung kerana ada perkara paling penting yang masih tidak diselesaikan lagi. Malah, jika tidak diselesaikan punah harapannya untuk hidup bersama dengan Izam, jejaka idaman yang sudah dua tahun dikenalinya.
   Mengingatkan hari-hari yang sudah dilalui sebelum ini, Puteri Mastikah semakin risau kerana bukan mudah pencariannya dalam menemui jodoh. Jika dikira, Izam adalah lelaki ketiga yang hadir dalam hidupnya. Dua cinta lelaki yang sempat hadir dalam hidupnya sebelum ini tidak kesampaian dan hanya bertahan beberapa bulan saja.
   Sayu hati Puteri Mastikah mengenangkan hari-hari semalam, bagaimana dirinya dihina oleh keluarga kedua-dua lelaki yang disayanginya. Hajat hendak menumpang kasih, terpaksa dibuang jauh-jauh apabila keluarga mereka tidak mahu menerimanya hanya kerana latar belakang keluarga Puteri Mastikah yang porak peranda. Orang tua mereka bimbang, perkara sama `berjangkit' jika berkahwin dengan Puteri Mastikah.

Salahkan diri sendiri

Bukan itu saja, taraf kehidupan mereka juga berbeza. Puteri Mastikah bukanlah dari keluarga senang. Ibunya, bekerja hanya sebagai pembancuh teh di pejabat dan sudah tentulah pendapatan diterima tidak seberapa. Tetapi dengan duit gaji yang diterima ibunya itulah berjaya menghantar Puteri Mastikah ke menara gading dan menyekolahkan dua lagi adik perempuannya.



Ada ketika, Puteri Mastikah menyalahkan dirinya kerana tidak sedar diri, bercinta dengan dengan lelaki dari keluarga berharta dan berkedudukan tinggi. Benarlah kata orang, enggang dengan pipit manalah boleh hidup bersama. Tetapi Puteri Mastikah alpa semua itu kerana cinta bersemi dalam hati adalah ikhlas dan tulus.  
Begitulah kisah Puteri Mastikah bersama dua jejaka yang pernah singgah di hatinya sebelum ini, Namun, memikirkan semula dirinya insaf kerana semua itu bukan kehendak diri dan dirancang, sebaliknya segala-gala hadir tanpa diminta.

Tunang beri dorongan
Pertemuan dengan Izam dua tahun lalu, membangkitkan semula jiwanya yang pernah layu terhadap cinta. Walaupun Izam dari keluarga senang, Puteri Mastikah dan keluarganya diterima dengan seadanya. Malah, ibu Izam yang bersungguh-sungguh mahukan mereka berdua disatukan segera.


Terharu hati Puteri Mastikah dengan layanan diterima, berbanding sebelum ini. Izam mampu memberikan kasih sayang dan membahagiakan dirinya. Lantaran itulah, Puteri Mastikah tidak mahu mempersia-siakan apa yang dimiliki kini.
   Malah, dalam kekalutan yang dihadapi, Izam sentiasa memberikan dorongan dan memintanya banyak bersabar. Izam juga memberikan pelbagai cadangan, bagaimana untuk menjejak bapa Puteri Mustikah yang sudah lebih 10 tahun menghilangkan diri. Kadang-kadang, Izam sanggup mengambil cuti sematamata untuk menemani Puteri Mustikah hingga ke ceruk rantau, mencari bakal bapa mentuanya.
   Melalui teman lama bapanya, sudah puas ditanya tetapi tiada jawapan pasti diterima. Begitu juga saudara-mara bapa Puteri Mastikah, tiada seorang pun mengetahui ke mana dia menghilang.
   Selepas berbincang, ibu Izam mencadangkan mereka bernikah menggunakan wali hakim. Puteri Mastikah akur dengan cadangan itu, lebih-lebih lagi dirinya sudah pu

Guna wali hakim

Lalu, dengan ditemani tunang yang sentiasa mengambil berat mengenai dirinya, Puteri Mastikah pun membuat permohonan untuk menggunakan wali hakim di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
   Dalam permohonan itu, Puteri Mastikah menyatakan dia tidak bertemu ayah kandungnya sejak lebih 10 tahun lalu. Dalam keterangan diberikan di Mahkamah Syariah, Puteri Mastikah berkata, ayahnya tidak pernah menghubunginya dan adik-beradik lain sejak bercerai dengan ibu mereka pada 1996.   Sebagai pemohon yang bercadang untuk bernikah, Puteri Mastikah berkata, bapanya tidak pernah menelefon bertanya khabarnya selepas keluar dari rumah.



Alhamdulillah, permohonan itu dibenarkan apabila hakim mempertimbangkan Puteri Mastikah sebagai pemohon sudah pun berusaha mencari ayah kandungnya, termasuk membuat iklan dua kali di akhbar bagi mencari ayah kandungnya itu tetapi tidak ada maklum balas yang positif.
   Puteri Mastikah tersenyum panjang dengan keputusan hakim. Namun, dalam hatinya masih terselit perasaan sedih kerana hari bahagia yang dirancang akan diadakan selepas seminggu menyambut Aidilfitri tidak akan dihadiri, bapa kandungnya.





No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...