Wednesday, September 14, 2016

Suami ingin rujuk bekas isteri


Berita Harian, Sabtu, Oktober 23, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Suami ingin rujuk bekas isteri



MAIZAH membungkam diri. Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya. Dua bulan sudah Maizah memikirkan tetapi masih tidak dapat memberikan jawapan pasti. Ikutkan hati mahu saja berterus terang dan berkata, "Tidak". Namun, apabila mahu menyebut saja perkataan itu, lidahnya kelu tidak boleh berkata-kata.
   Hari minggu itu, suaminya sekali lagi menuntut jawapan daripadanya. Pelbagai perasaan timbul dalam diri Maizah - sedih, geram, benci dan macam-macam lagi yang sukar digambarkan.
   Setahun mendirikan rumah tangga dengan Abang Izan, memang cukup membahagiakan. Walaupun Maizah sedar ketika mengambil keputusan berkahwin dengan Abang Izan, bakal suaminya itu berstatus duda dan beranak satu.
Namun, status Abang Izan tidak pernah memadamkan perasaan kasih sayangnya, apatah lagi masing-masing sudah berjanji akan terus setia sekali pun ombak badai menimpa rumah tangga mereka.   Maizah juga tidak kisah selepas mereka berkahwin, suaminya itu kerap bertemu dengan janda dan anak lelakinya. Maizah tidak mahu dituduh menjadi pemutus kasih sayang terutama antara anak dan ayah.
   Jika Abang Izan ingin melunaskan tanggungjawab sebagai bapa, apalah salahnya jika dia menjenguk selalu dan menghabiskan wang ringgit serta masa bersama darah dagingnya. Malah, Maizah bangga suaminya seorang yang prihatin dan tahu peranannya, tidak seperti sesetengah lelaki lain selepas bercerai terus mengabaikan kebajikan anak.
  
Sukar kongsi kasih

Bagaimanapun, dua bulan lalu Abang Izan meluahkan isi hati dan meminta keizinan daripada Maziah. Bagaikan meledak gunung berapi dalam diri Maizah apabila mendengar permintaan Abang Izan.
   Bagi Maizah, tidak masuk akal apabila Abang Izan menyatakan ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya. Mengapa sekarang? Mengapa selepas beberapa tahun bercerai mereka hendak bersatu kembali.
   Adakah kerana Maizah masih tidak mampu memberikan zuriat menyebabkan Abang Izan membuat keputusan itu? Tetapi mereka baru setahun mendirikan rumah tangga dan mengapa tidak boleh bersabar?

Ada ramai lagi pasangan yang sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi masih tiada rezeki menimang cahaya mata. Rasa nak pecah kepala Maizah apabila memikirkan semua itu.
   Terus terang, Maizah tidak menolak poligami tetapi sebagai wanita, hatinya pasti sukar untuk berkongsi kasih. Sukar Maizah hendak membayangkan apa akan terjadi jika dia benar-benar dimadukan. Namun, Abang Izan seolah-olah tidak mahu ambil tahu semua itu, sebaliknya terus menggesa Maizah mengizinkannya berpoligami.
  
Mengalah akhirnya

Maizah tidak tahu hendak berkata apa lagi, akhirnya mengalah dan akur dengan permintaan Abang Izan. Tersenyum lebar suaminya apabila menerima jawapan Maizah sekali pun hanya dengan menganggukkan kepala.
   Abang Izan membawa Maizah ke Mahkamah Rendah Syariah untuk membuat permohonan poligami. Menjejakkan kaki ke mahkamah, hati Maizah tibatiba dibalut rasa sayu terutama apabila memikirkan dirinya akan bermadu. Namun, tidak bagi Abang Izan sepanjang perjalanan asyik menyeringai dan sesekali sibuk menyemak dokumen yang perlu dibawa.
   Dalam permohonan dikemukakan, Abang Izan meminta mahkamah membenarkannya berpoligami bagi membolehkan dia memperisterikan semula bekas isteri. Apabila kes mula didengar hadapan hakim syarie, Abang Izan tiba-tiba menunjukkan tiada keyakinan diri. Abang Izan seolah-olah tidak pasti, adakah dirinya benar-benar mampu beristeri dua. Maizah agak terkejut juga melihat perubahan Abang Izan sedangkan malam tadi, Abang Izan sudah siap `menghafal skrip' untuk menjawab semua soalan yang bakal diajukan di mahkamah.
  Ketika sebutan kes dibuat di mahkamah terbuka, Abang Izan berdolak-dalik apabila ditanya sama ada mahu meneruskan permohonannya atau tidak.
  Apabila ditanya, adakah dia mampu - Abang Izan menjawab: "Saya mampu (kahwin lagi)" tapi dalam nada yang teragak-agak.
   Sehinggalah hakim menegurnya: "Mahkamah akan tengok dari semua sudut. Harus ambil kira pelbagai perkara, bukan daripada gaji saja. Poligami bukan masalah duit, mampu atau tidak semata-mata." Apabila ditanya sekali lagi, sama ada mahu meneruskan kesnya atau tidak, Abang Izan hanya memandang ke arah Maizah sambil tersenyum.

Tarik balik permohonan
Kesudahannya, hakim menangguhkan sementara kes bagi memberi peluang kepada mereka untuk berbincang.
Apabila kesnya dipanggil semula kira-kira 10 minit kemudian, Abang Izan ditanya sekali lagi. Kali ini, dengan nada tegas dan yakin dia memberitahu, ingin menarik balik permohonan.
   Maizah yang ketika itu berdiri di sebelah kanannya, tersenyum dan berasa lapang dada mendengar jawapan itu.    Abang Izan mengakui, masih menyayangi Maizah. Mahkamah, berdasarkan permohonan plaintif, memerintahkan kes dibuang.
   Bagaimanapun, hakim sempat memberi nasihat dan berkata: "Kalau suami berkenan dengan orang lain, ada sebabnya. Ada perempuan yang rasa malu kerana beranggapan apabila dimadukan seolah-olah menampakkan kelemahan mereka. Sebenarnya antara pasangan suami isteri ada kelemahan, tiada yang dilahirkan sempurna. Ada sebab mengapa pasangan kita berubah. Berundinglah, jika boleh," kata hakim.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...