Thursday, September 5, 2013

Keluarga tak restu


Berita Harian, Sabtu, Januari 21, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Keluarga tak restu


BUKAN melawan atau menentang orang tua tetapi ingin membuat pilihan sendiri. Apatah lagi, keputusan dibuat Riyana Amira dianggap membabitkan kebahagiaan dan masa depan yang bakal dilalui.
   Lantaran itu, Riyana percaya tindakan diambil adalah betul, sekali pun terpaksa berpatah arang dan berkerat rotan dengan orang tuanya. Namun, krisis yang melanda tidak sedikitpun menyebabkan perasaan hormat dan sayang pada kedua ibu bapanya, hilang atau luntur sama sekali.
   "Barangkali apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Cuma, saya harapkan ayah dan ibu dapat memahami perasaan saya, memberi restu dan tidak membenci apatah lagi membuang saya sebagai anak mereka selepas tahu apa yang saya lakukan," kata Riyana dalam nada perlahan dengan genangan air pada birai matanya.


Bukan terdesak hendak kahwin

Gadis berusia 25 tahun itu, sebenarnya serba-salah untuk berkongsi cerita tetapi disebabkan kisah dilalui ingin dijadikan iktibar kepada yang lain, dia akhirnya berubah fikiran.
   Riyana turut menegaskan, tindakan diambil bukan terlalu terdesak untuk berkahwin atau seperti tohmahan dilemparkan kepadanya `sudah gatal' untuk bersuami, sebaliknya percaya itulah jalan terbaik wajar dibuat selepas tiada jalan penyelesaian.
   Selepas setahun bersabar dan usaha memujuk dua orang tuanya gagal, Riyana kemudian bulat fikiran membuat permohonan untuk bernikah secara wali hakim berikutan bapa kandungnya enggan mewalikan.
   "Saya sudah pun membuat permohonan tetapi kes saya belum dibicarakan lagi. Oleh itu saya masih menaruh harapan supaya bapa dapat mengubah fikirannya. Saya benar-benar sedih sekiranya, perkahwinan saya nanti terpaksa berwalikan orang lain sedangkan bapa kandung masih lagi hidup dan sihat," luah Riyana sambil menggetap kedua-dua bibir.
  

 Tindakan jalan terakhir

Riyana memberitahu, keputusan itu dibuat selepas keengganan bapanya untuk mewalikan perkahwinannya dengan teman lelaki yang dikenali sejak enam tahun lalu. Lebih meruntun hati anak gadis itu kerana bapanya ingin menjodohkannya dengan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an, sedangkan semua ahli keluarga tahu Riyana sudah pun ada pilihan hati sendiri.
   Justeru, jalan terakhir terpaksa diambil ialah membuat permohonan di Mahkamah Syariah bagi membolehkannya bernikah dengan teman lelaki pilihan hatinya supaya mahkamah membuat keputusan, mengisytiharkan bapa wali enggan.
   Ditanya, mengapa bapanya enggan menerima teman lelaki sebagai menantu. Riyana membisu seketika dan akhirnya mengeluarkan satu keluhan panjang. Katanya, dia sendiri tidak faham mengapa bapanya tidak setuju dengan pilihan hatinya dan beriya-iya untuk menjodohkan dengan lelaki pilihan keluarga.
   "Emak pun tidak setuju dengan pilihan saya. Tapi saya tidak hairan sebab dari dulu emak memang akan ikut kata ayah. Alasan ayah, katanya dia cuma tidak suka dengan teman lelaki saya, atas alasan apa, saya sendiri pun tidak tahu. Malah, ayah pernah memberitahu, jika enggan menerima lelaki pilihan keluarga, saya boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki asalkan bukan kekasih saya. Peliknya, ayah dan teman lelaki saya tidak berkenalan secara rapat apatah lagi bermusuhan. Tetapi ayah pernah jumpa kekasih saya kira-kira lima tahun lalu. Itu pun sebelum dia belajar dan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat," cerita Riyana.
 

Tidak mahu pilihan bapa

Bagaimanapun, Riyana amat lali dengan perangai bapanya - jika putih katanya, maka putihlah jawapan mesti diberikan.  Tidak sesiapa boleh membantah, sekalipun ibu Riyana. Oleh sebab itulah bapanya sengaja memberi alasan Riyana boleh kahwin dengan mana-mana lelaki dan bukan teman lelakinya kini.
   Mengenai calon suami pilihan bapanya Riyana berterus terang, tiada sedikit pun ruang di hati untuk menerimanya.
   Katanya, bukan jarak usia jauh dan status duda yang apa padanya membuatkan dia menolak tetapi pintu hati memang langsung tidak terbuka untuk menerimanya.
  "Sebenarnya, calon pilihan ayah adalah kawannya. Dia pernah berkahwin tetapi tiada anak. Kerjayanya memang stabil dan agak berharta orangnya. Saya pernah dua kali berjumpa dengannya tetapi tidak kenal dia secara mendalam, sedangkan saya sudah kenal teman lelaki sejak enam tahun lalu.
   "Sepanjang perkenalan kami, saya dapati dia seorang penyayang, pemurah, bertanggungjawab dan berpendidikan dalam soal agama, tambahan bakal bapa mentua adalah seorang imam. Sebab itulah saya yakin dengan kata hati dan keputusan yang saya buat memilihnya untuk dijadikan teman hidup," kata Riyana masih terus mengharap bapanya dapat mengubah keputusan.
  
 
  
Apa kata pakar?

Zalim jika enggan walikan anak tanpa alasan syarak

PERNIKAHAN yang sah adalah mematuhi dan memenuhi semua syarat dan rukun pernikahan iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi lelaki dan juga ijab kabul (akad nikah itu).
   Menurut Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 11 - suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut hukum syarak, untuk menjadikannya sah.
   Setiap orang Islam di Malaysia yang mahu berkahwin perlu mengetahui prosedur perkahwinan menurut Undang-Undang Keluarga Islam Negeri tempat menetap masing-masing. Prosedur ini adalah perlu untuk memastikan perkahwinan yang dilaksanakan adalah bertepatan dengan undang-undang yang berkuatkuasa.
   Perkahwinan yang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul saja akan diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang.
  
Dalam kes Riyana Amira kali ini, isu berbangkit adalah berkenaan dengan bapa yang enggan untuk menjadi wali dan dalam konteks perkahwinan, wali adalah seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk menikahkan bakal isteri dengan bakal suaminya.
   Daripada hadis Nabi SAW: "Dari Abi Musa RA. Rasulullah saw bersabda: `Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali'. (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa'i)"
   Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia adalah antara rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah daripada kalangan orang yang berkelayakan. Wali turut terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu wali mujbir, aqrab, ab'ad dan wali raja /hakim.
   Sebagai seorang bapa, beliau adalah wali mujbir iaitu wali yang mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak. Sekiranya wali enggan untuk menikahkan pengantin perempuan maka bolehlah menggunakan wali hakim.
  

Menurut Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) Wali Hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di- Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.
  
Antara faktor yang dibenarkan untuk menggunakan wali hakim adalah:
  
  1. Tidak ada wali nasab,
  
  2. Anak tidak sah taraf atau anak angkat
  
  3. Wali yang ada tidak cukup syarat
  
  4. Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
  
  5. Wali yang enggan.

  
  Dalam kes Riyana, sebagai seorang bapa hendaklah beliau duduk berbincang akan sebab mengapa calon Riyana tidak dipersetujui. Seorang bapa hendaklah berfikiran matang dan bertanggungjawab dalam setiap perbuatannya. Kalangan Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
  
Ada juga sebuah hadis yang menyatakan : "Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu: solat bila sudah datang waktunya, jenazah bila sudah terlantar dan wanita janda yang sudah bertemu jodohnya". (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim).   Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
  
  Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi'e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang akan menikahkannya.
   Rasulullah SAW turut bersabda: "Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali". (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
  

Dalam kes Azizah Mat lawan Mat Salleh berkenaan dengan wali enggan, Yang Arif Kadi Mahmood Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin dengan Mansor Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.
   Seperti tertulis di dalam Seksyen 13 Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan; sekiranya wali enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
   Maka, dalam perkara ini Riyana boleh membuat permohonan menggunakan wali hakim dan sebaiknya selepas berbincang dengan bapa.
   Sebagai seorang bapa juga haruslah bertimbang rasa dan prihatin terhadap anaknya. Bapa hendaklah cuba berfikiran matang dan sekiranya tidak berpuas hati dengan calon pilihan anak cuba berbincang dan bersemuka empat mata dengan semua pihak.
  
Setiap perkahwinan adalah atas rasa kasih sayang yang suci dan perasaan itu biarlah berlandaskan agama dan hukum pemerintah. Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang dalam kehidupan. Oleh itu kedua - dua belah pihak memainkan peranan penting di dalam hal ini. Pihak bakal suami dan juga bakal isteri seharusnya cuba untuk bekerjasama dalam memastikan perkara yang disamakan dengan perbuatan mendirikan masjid ini berjalan sempurna. Sebagai seorang anak pula, berbincanglah baik-baik dengan ibu bapa kerana walau apa jua sekalipun merekalah yang menjaga dan membesarkan kita dari sekecil tapak tangan sehingga dewasa.

Bimbang akidah anak

Berita Harian, Sabtu, Mac 31, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bimbang akidah anak

 APABILA rumah tangga dibina hancur, kemelut utama yang dihadapi pasti soal hak penjagaan anak. Lebih-lebih lagi, jika anak itu masih kecil atau pun bawah umur.
   Justeru, lazimnya akan adalah `perebutan' jika salah seorang tidak mahu mengalah atau masing-masing terus berkeras menuntut hak penjagaan anak. Tentu saja kurang enak jika perebutan itu disusuli dengan bertikam lidah dan bermasam muka sehingga tidak lagi boleh bertegur sapa.
   Meskipun, hubungan kedua-dua suami isteri itu sudah terlerai, tidak sewajarnya keadaan seperti itu berlaku. Apatah lagi, di depan mata anak yang masih kecil dan banyak perkara belum difahami mereka.
   Senario itulah yang berlaku pada Zuhairi Safar, 38, (bukan nama sebenar) yang baru tiga bulan bercerai selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita mualaf yang berasal dari Jerman.
  

Tuntut hak

Kes perceraian pasangan berkenaan sudah pun selesai tetapi kini dalam fasa perbicaraan untuk menuntut hak penjagaan dua anak hasil perkahwinan lalu. Kedua-dua anak mereka masih kecil iaitu baru berusia lapan dan enam tahun.
   Zuhairi memberitahu, buat masa ini, kedua-dua anak itu berada dalam jagaan bekas isterinya. Bagaimanapun, Zuhiari sudah pun memfailkan permohonan hadanah (hak penjagaan anak) daripada bekas isteri di Mahkamah Syariah.
   Katanya, langkah itu terpaksa dibuat bagi mengelakkan wanita itu membawa dua anak mereka kembali ke agama asalnya. Tambahan, Zuhairi mendapat tahu bekas isterinya merancang untuk kembali ke negara asal kelahirannya. Sudah pasti, semua itu menambahkan kebimbangan manakala keluarga Zuhairi turut mendesaknya membuat tuntutan itu sebelum berlaku perkara tidak diingini terutama mengenai pegangan akidah kedua-dua anaknya.
   "Kami sah bercerai secara tebus talak. Mungkin sudah takdir jodoh kami sehingga setakat itu saja. Tetapi dalam hal ini, saya turut mengaku kesilapan kerana tidak pernah membimbing bekas isteri sebaik saja dia memeluk Islam.
   "Saya akui, perkahwinan kami dulu adalah atas dasar cinta, malah bekas isteri sebelum ini memang tidak pernah terbuka untuk memeluk agama Islam. Tetapi disebabkan kami ingin berkahwin, dia menyatakan kesanggupannya memeluk Islam. Silapnya, saya tidak pernah hendak membimbingnya, malah saya sendiri bukanlah seorang Muslim yang baik kerana solat lima waktu sering saja diabaikan.
   "Saya hanya berubah selepas berdepan dengan konflik rumah tangga tetapi ketika itu semuanya sudah pun terlewat. Apabila sudah bercerai, saya terus berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan cuba membetulkan kesilapan dan kealpaan saya mengenai agama sebelum ini," akui Zuhairi kelemahan dan kesilapan pernah dilakukan.
    

Bibit perkenalan
 
Mengimbas pertemuannya dengan bekas isteri, Zuhairi memberitahu mereka berkenalan ketika menuntut di Jerman. Bekas isterinya, lima tahun lebih tua darinya dan bekerja dengan agensi pelancongan. Pertemuan bermula apabila bekas isterinya datang makan di restoran tempat Zuhairi bekerja secara sambilan bagi menampung kos kehidupan di negara orang.

   Bermula dari teman biasa, akhirnya lahir bibit-bibit cinta. Bekas isterinya juga tidak lokek untuk membantu Zuhairi dari segi kewangan dan ini menyebabkan perasaan kasih sayang antara mereka terus berbunga mekar.
    "Bekas isteri saya seorang atheis atau tiada pegangan agama dan saya tidak kisah semua itu. Saya pula sejak berada di negara orang, semakin jauh dengan sejadah. Justeru, tidak hairanlah setiap kali keluar bersama, banyak perkara terlarang yang kami lakukan tetapi tidaklah sampai ke tahap zina. Nasib baik, ada rakan-rakan yang memberikan nasihat untuk menyedarkan saya dan kerana bimbang iman semakin goncang saya melamarnya berkahwin. Dia bersetuju tanpa banyak soal jawab, lagipun perasaan sayang antara kami memang kuat ketika itu. Tamat pengajian, saya bawa dia balik ke Malaysia tetapi ketika itu saya masih leka dengan duniawi. Apatah lagi, saya mendapat pekerjaan baik dengan gaji yang agak lumayan," ceritanya.
   Zuhairi berkata, sepatutnya dia memberikan bimbingan kepada bekas isteri atau sekurang-kurangnya menghantarnya ke PERKIM untuk mendalami agama Islam. Tetapi semua itu tidak pernah dilakukan, sebaliknya terus memberikan kebebasan kepada bekas isterinya. Lalu, tidak hairanlah bekas isterinya tidak pernah mendekatkan diri dengan ajaran Islam
dan tidak pernah tahu cara untuk menunaikan solat dengan betul.
    "Bukan keluarga saya tidak pernah menegur tetapi saya sendiri yang tidak pernah ambil kisah. Akhirnya, begitulah jadinya dan ini memang kesilapan besar yang saya sudah lakukan," katanya sekali lagi mengulangi kekesalan di hati.
       Zuhairi tidak kisah jika bekas isteri ingin menjaga anak mereka tetapi apa membimbangkannya adalah status agama kedua-dua kanak-kanak itu yang didakwa sudah semakin jauh daripada ajaran Islam seperti mana ibu mereka.
   "Saya rela menyerahkan kedua-dua anak saya untuk dijaganya tapi saya mahu memastikan akidah anak saya yang masih kecil, berada di landasan yang betul. Persoalannya, bagaimana bekas isteri mampu memberikan jaminan semua itu sedangkan dirinya juga tidak mengenali Islam. Tidak dapat saya bayangkan jika mereka mengamalkan ajaran agama selain Islam," katanya.
  

Apa kata peguam?



BAPA BERHAK TUNTUT HAK PENJAGAAN ANDAI BIMBANG MURTAD

  
HADHANAH atau soal penjagaan anak adalah satu proses penjagaan dan pengawasan ke atas anak-anak yang tidak mampu menguruskan diri mereka, menjaga mereka daripada sesuatu yang mampu memudaratkan serta mendidik fizikal dan mental mereka sehingga mereka mampu memikul tanggungjawab atau pandai berdikari.
    Kewajipan bapa untuk menanggung anak ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam Surah Albaqarah: 233 dan juga menurut Seksyen 72 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984. Secara dasarnya, menurut Seksyen 83 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 hak hadhanah ini diserahkan kepada ibu selepas perceraian berlaku di dalam sesebuah keluarga.
    Bagaimanapun ia bukanlah hak mutlak kerana seorang ibu itu boleh hilang kelayakan di atas sebab-sebab tertentu menurut undang-undang dan syarak maka hak jagaan anakanak itu boleh berpindah kepada bapa melalui tuntutan daripada mahkamah.
  
  Seksyen 82 Akta yang sama menerangkan seorang itu layak terhadap hadhanah dengan syarat-syarat seperti berikut:
  

  (a) Dia adalah seorang Islam,
  
  (b) Dia adalah sempurna akal,
  
  (c) Dia berumur yang melayakkannya memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu,
  
  (d) Dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  
  (e) Dia tinggal di lokasi yang mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
  

  Seterusnya Seksyen 83 turut menyenaraikan sebab bagaimana kelayakan untuk mendapatkan hak penjagaan itu boleh luput, iaitu antaranya subseksyen (d) sekiranya perempuan itu murtad. Walaupun di dalam kes ini bekas isteri Zuhairi tidak dikatakan secara jelas sudah murtad, tetapi dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.
   Justeru, adalah dikhuatiri akan mendatangkan kesan dan akibat buruk kepada anak-anak. Berdasarkan seksyen-seksyen di atas, Zuhairi sebagai seorang bapa berhak menuntut hak penjagaan anak selepas berlaku perceraian dalam beberapa keadaan, antaranya seperti di bawah:
  
  1) Apabila ibu hilang satu kelayakan hadhanah seperti tertulis di dalam Seksyen 83 dan 84, dan di sebalik itu bapa mempunyai semua kelayakan tersebut. Di dalam kes ini bekas isteri Zuhairi walaupun sudah memeluk agama Islam tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran dan cara hidup seorang Muslim yang sebenar. Sekiranya membawa anak-anak tinggal bersama bekas isteri boleh menyebabkan anak-anak terpesong akidah, ianya tidak patut berlaku dan wajib diselamatkan.
  
  2) Melalui perintah mahkamah apabila dalam sesuatu keadaan di mana mahkamah membuat keputusan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak berkenaan.

  
  Sehubungan itu, Zuhairi melalui peguamnya, bolehlah membuat tuntutan Hak Jagaan Anak dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah disertakan dengan dokumen sokongan yang berkaitan. Seterusnya selepas proses perbicaraan, keterangan saksi dan mengemukakan bukti yang kukuh mahkamah akan mengeluarkan perintah hak jagaan anak.
    Selain itu, Zuhairi turut mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat sebagai ketua keluarga di dalam mendidik keluarga. Perkahwinan adalah satu amanah yang harus dipikul oleh pasangan suami isteri. Lebih-lebih lagi suami yang mempunyai bebanan yang berat di akhirat kelak.
  
  Rasulullah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Daripada Jabir bin Abdullah katanya, Rasulullah bersabda: :"Takutlah kamu kepada Allah tentang tanggungjawab terhadap isteri , kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Hendaklah kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik." (Ibn Majah)

   Dengan memberi pendidikan agama dan membimbing isteri dengan sempurna, dapat mengelakkan kepincangan keluarga daripada berlaku. Seterusnya mengekalkan keharmonian keluarga. Begitu juga di dalam perceraian kesan dan akibatnya lebih tertumpu kepada anak-anak. Lebih-lebih lagi yang masih kecil.
   Harus diingat bahawa anak bukanlah harta ataupun hadiah yang boleh direbut ataupun untuk dimenangi. Amalkan sikap toleransi dan saling bekerjasama bagi mengelakkan anak-anak menjadi mangsa perceraian. Jangan menghasut anak membenci pasangan kerana darah yang mengalir tetap darah yang sama daripada ibu bapa.

Suami ingin rujuk bekas isteri

Berita Harian, Sabtu, Oktober 23, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim



Suami ingin rujuk bekas isteri



MAIZAH membungkam diri. Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya. Dua bulan sudah Maizah memikirkan tetapi masih tidak dapat memberikan jawapan pasti. Ikutkan hati mahu saja berterus terang dan berkata, "Tidak". Namun, apabila mahu menyebut saja perkataan itu, lidahnya kelu tidak boleh berkata-kata.
     Hari minggu itu, suaminya sekali lagi menuntut jawapan daripadanya. Pelbagai perasaan timbul dalam diri Maizah - sedih, geram, benci dan macam-macam lagi yang sukar digambarkan.
    Setahun mendirikan rumah tangga dengan Abang Izan, memang cukup membahagiakan. Walaupun Maizah sedar ketika mengambil keputusan berkahwin dengan Abang Izan, bakal suaminya itu berstatus duda dan beranak satu. Namun, status Abang Izan tidak pernah memadamkan perasaan kasih sayangnya, apatah lagi masing-masing sudah berjanji akan terus setia sekali pun ombak badai menimpa rumah tangga mereka.
  
Kerap bertemu janda

Maizah juga tidak kisah selepas mereka berkahwin, suaminya itu kerap bertemu dengan janda dan anak lelakinya. Maizah tidak mahu dituduh menjadi pemutus kasih sayang terutama antara anak dan ayah.
   Jika Abang Izan ingin melunaskan tanggungjawab sebagai bapa, apalah salahnya jika dia menjenguk selalu dan menghabiskan wang ringgit serta masa bersama darah dagingnya. Malah, Maizah bangga suaminya seorang yang prihatin dan tahu peranannya, tidak seperti sesetengah lelaki lain selepas bercerai terus mengabaikan kebajikan anak.
   Bagaimanapun, dua bulan lalu Abang Izan meluahkan isi hati dan meminta keizinan daripada Maziah. Bagaikan meledak gunung berapi dalam diri Maizah apabila mendengar permintaan Abang Izan.
   Bagi Maizah, tidak masuk akal apabila Abang Izan menyatakan ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya. Mengapa sekarang? Mengapa selepas beberapa tahun bercerai mereka hendak bersatu kembali.

Tiada zuriat  

Adakah kerana Maizah masih tidak mampu memberikan zuriat menyebabkan Abang Izan membuat keputusan itu? Tetapi mereka baru setahun mendirikan rumah tangga dan mengapa tidak boleh bersabar? Ada ramai lagi pasangan yang sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi masih tiada rezeki menimang cahaya mata. Rasa nak pecah kepala Maizah apabila memikirkan semua itu.

   Terus terang, Maizah tidak menolak poligami tetapi sebagai wanita, hatinya pasti sukar untuk berkongsi kasih. Sukar Maizah hendak membayangkan apa akan terjadi jika dia benar-benar dimadukan. Namun, Abang Izan seolah-olah tidak mahu ambil tahu semua itu, sebaliknya terus menggesa Maizah mengizinkannya berpoligami.
    Maizah tidak tahu hendak berkata apa lagi, akhirnya mengalah dan akur dengan permintaan Abang Izan. Tersenyum lebar suaminya apabila menerima jawapan Maizah sekali pun hanya dengan menganggukkan kepala.
   



Buat permohonan mahkamah

Abang Izan membawa Maizah ke Mahkamah Rendah Syariah untuk membuat permohonan poligami. Menjejakkan kaki ke mahkamah, hati Maizah tibatiba dibalut rasa sayu terutama apabila memikirkan dirinya akan bermadu. Namun, tidak bagi Abang Izan sepanjang perjalanan asyik menyeringai dan sesekali sibuk menyemak dokumen yang perlu dibawa.
   Dalam permohonan dikemukakan, Abang Izan meminta mahkamah membenarkannya berpoligami bagi membolehkan dia memperisterikan semula bekas isteri. Apabila kes mula didengar hadapan hakim syarie, Abang Izan tiba-tiba menunjukkan tiada keyakinan diri. Abang Izan seolah-olah tidak pasti, adakah dirinya benar-benar mampu beristeri dua. Maizah agak terkejut juga melihat perubahan Abang Izan sedangkan malam tadi, Abang Izan sudah siap `menghafal skrip' untuk menjawab semua soalan yang bakal diajukan di mahkamah.
   Ketika sebutan kes dibuat di mahkamah terbuka, Abang Izan berdolak-dalik apabila ditanya sama ada mahu meneruskan permohonannya atau tidak.
   Apabila ditanya, adakah dia mampu - Abang Izan menjawab: "Saya mampu (kahwin lagi)" tapi dalam nada yang teragak-agak.
   Sehinggalah hakim menegurnya: "Mahkamah akan tengok dari semua sudut. Harus ambil kira pelbagai perkara, bukan daripada gaji saja. Poligami bukan masalah duit, mampu atau tidak semata-mata." Apabila ditanya sekali lagi, sama ada mahu meneruskan kesnya atau tidak, Abang Izan hanya memandang ke arah Maizah sambil tersenyum.
   Kesudahannya, hakim menangguhkan sementara kes bagi memberi peluang kepada mereka untuk berbincang.
  
Tarik balik permohonan

Apabila kesnya dipanggil semula kira-kira 10 minit kemudian, Abang Izan ditanya sekali lagi. Kali ini, dengan nada tegas dan yakin dia memberitahu, ingin menarik balik permohonan.
   Maizah yang ketika itu berdiri di sebelah kanannya, tersenyum dan berasa lapang dada mendengar jawapan itu.
   Abang Izan mengakui, masih menyayangi Maizah. Mahkamah, berdasarkan permohonan plaintif, memerintahkan kes dibuang. Bagaimanapun, hakim sempat memberi nasihat dan berkata: "Kalau suami berkenan dengan orang lain, ada sebabnya. Ada perempuan yang rasa malu kerana beranggapan apabila dimadukan seolah-olah menampakkan kelemahan mereka. Sebenarnya antara pasangan suami isteri ada kelemahan, tiada yang dilahirkan sempurna. Ada sebab mengapa pasangan kita berubah. Berundinglah, jika boleh," kata hakim.

Thursday, August 29, 2013

BERMAIN SAMBIL MELAYAR IMAGINASI

Berita Harian, Selasa, Ogos 20, 2013 

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bermain sambil melayari imaginasi



Kelahiran anak patung, Barbie yang berwajah comel, cantik, dengan bentuk badan menawan gaya glamor dan kali pertama diperkenalkan oleh syarikat mainan global Mattel pada 1959, disambut mesra oleh kanak-kanak seluruh dunia.

Populariti dan legenda patung ikonik itu begitu istimewa dan diminati ramai, malah ada yang menjadikannya idola dan terikutikut dengan gaya ditonjolkan, khususnya pengaruh yang dibawa anak patung itu dalam perkembangan fesyen semasa.
Hakikatnya, antara semua permainan yang wujud di dunia terutama dalam segmen anak patung, mungkin tiada lebih abadi dan termasyhur seperti Barbie.
  
  Kelahiran Barbie merentas pelbagai bangsa dan budaya, dan membesar bersama-sama wanita dari seluruh dunia.
  
  Hari ini, patung istimewa ini masih terkenal sebagai jenama patung terkemuka dan berperanan besar dalam kehidupan mereka yang bergelar perempuan, baik dari anak gadis hingga wanita dewasa. Perkembangan mereka boleh diamati daripada saat pertama mereka bermain dengan patung Barbie hingga mengumpulnya sebagai satu hobi.
  
  Sinonim patung fesyen
  

  Jenama Barbie, sinonim dengan patung fesyen sejak penciptaannya. Ia adalah satu-satunya jenama patung fesyen dunia yang membolehkan kanak-kanak perempuan melayarkan imaginasi mereka sebagai ikan duyung hinggalah ke bintang filem, dari bidadari ke fesyenista, malah dari puteri ke Presiden! Patung ini menjana inspirasi kanak-kanak perempuan untuk memainkan pelbagai watak dalam keselesaan rumah mereka sendiri.
  
  Pencipta patung berkenaan, Ruth Handler mengetengahkan idea patung itu apabila beliau mendapati, anaknya bermain dengan anak patung kertas, dan menyedari anaknya gemar memberikan peranan wanita dewasa kepada patung kertas. Secara kebetulan, kebanyakan boneka kanak-kanak yang dikeluarkan pada masa itu menyerupai anak patung bayi.
  
  Tidak lama kemudian, Barbie muncul dengan watak wanita dewasa dan langsung menjadi ikon antarabangsa. Sepanjang kewujudan patung itu selama lebih 50 tahun, ia sudah menampilkan pelbagai watak dan profesion serta merentas semua warna kulit, bangsa dan budaya. Bidang kerja ini termasuk pendidikan, perubatan, politik, sains, kejuruteraan, kesenian sastera, perniagaan dan sebagainya.
  
  Tingkatkan daya imaginasi
  
  Barbie tampil sebagai wanita berkerjaya agung dan sepanjang sejarahnya, membolehkan anak gadis di serata dunia menjalani hidup yang lebih mencabar. Apabila kanak-kanak bermain dengan anak patung ini, ia meningkatkan lagidayaimaginasidanmembantu mereka untuk mengimpikan apa-apa saja. Melalui ikon Barbie, mereka yakin tampil tanpa batasan.

  
  Ia turut membantu membina daya imaginasi kanak-kanak ketika bermain. Malah, kanak-kanak yang meminati fesyen akan jatuh cinta dengan ikon fesyen itu. Almari pakaian Barbie menawarkan kepelbagaian yang hebat dan peminat anak patung itu kini boleh juga mereka pakaiannya.
  
  Pemangku Pengarah Komersial Mattel Southeast Asia Pte Ltd Mattel, Petrina Kho berkata, merentasi beberapa generasi, patung jenama itu kini menjadi lebih interaktif dan membolehkan kanak-kanak menyelami ke dalam jenama berkenaan.
  
  "Apabila kanak-kanak perempuan bermain dengan fesyen, mereka mengenakan pelbagai aksesori mengikut imaginasi masing-masing dan tiada patung lain yang memiliki banyak aksesori seperti Barbie," kata Kho.
  
  Beliau berkata, Mattel sedar pengaruh positif ikon patung itu ke atas perkembangan kanak-kanak dan kini menampilkan, siri patung Barbie yang boleh mempertingkatkan lagi potensi itu terhadap kanakkanak.
  
  Baru-baru ini, Mattel memperkenalkan Plat Rekaan Fesyen Patung Barbie sebagai langkah menggalakkan gadis muda membina imaginasi dan kreativiti mereka sambil menjadi pereka fesyen peribadi Barbie. Set ini membolehkan kanak-kanak perempuan bertukar-tukar idea untuk mencipta rupa dan gaya unik dalam tiga langkah mudah iaitu reka, leret dan hias!
  
  Penuh bergaya
  

  Caranya, hanya perlu memilih kombinasi plat fesyen yang mereka suka dan pindahkan pada sehelai pakaian siapreka dengan hanya menggunakan kertas karbon serta alat leret. Kemudian, rekaan mereka boleh dihiaskan lagi dengan pen pewarna, pelekat dan aksesori. Barbie yang cantik rupawan sudah bersedia untuk keluar bergaya dengan rekaan tersendiri mereka.
  
  Anak gadis pasti tidak bosan dalam terus mencipta gaya fesyen yang berbeza-beza untuk fesyenista kegemaran mereka kerana kit isi semula boleh didapati dalam tiga tema berlainan.
  
  Menjadi fesyenista bukan sekadar memiliki pakaian hebat, justeru Barbie juga memerlukan gaya rambut menawan untuk melengkapkan penampilannya. Dengan Color Stylin Rambut Barbie, patung yang dilengkapi pelbagai warnawarni ini membolehkan kanak-kanak perempuan bermain seolah sebagai pendandan rambut Barbie dan memberikan gaya sempurna untuk patung mereka.
  
  Hanya dengan beberapa alatan mudah dan warna menarik, gadis kecil berupaya mengasah bakat kreatif dalam menggayakan dan mewarnakan rambut sambil mengubah penampilan Barbie dari gaya mudah ke gaya unggul. Warna yang dikenakan gaya rambut baru boleh dibilas untuk memperagakan pelbagai rupa lain yang menarik dan mendapatkan keseronokan berpanjangan.
  
  "Di Mattel, kami sentiasa berusaha mewujudkan masa depan permainan untuk memupuk dan mendidik melalui platform yang mencetus elemen kreativiti serta keseronokan untuk semua.
  
  Ajar kejar impian
  

  Tahun ini, syarikat itu turut menampilkan filem DVD, Barbie in The Pink Shoe, yang diiringi dengan mainan yang memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk memainkan watak penari balet.
  
  Dalam filem ini, Barbie melayari watak Kristyn Farraday, penari balet yang ada impian besar menari di atas pentas utama. Beliau terjumpa sepasang kasut merah jambu bergemerlapan yang membawa beliau dan rakannya ke dunia ajaib. Di sana, mereka menjadi bintang balet dan menari tarian kegemaran untuk menewaskan permaisuri salji yang jahat.
  
  Filem penuh inspirasi ini mengajar penari muda berbakat untuk mengejar impian mereka. Barbie atau Krystin Farraday memaparkan patung 2 dalam 1 yang menghidupkan transformasi ajaib pakaian Barbie dari filem berkenaan.
  
  Pengalaman interaktif Barbie terus berkembang dari bilik mainan dan diperluaskan ke dunia maya. Kemajuan teknologi dalam platform media sosial melahirkan Barbie.com yang muncul menjadi destinasi laman web dinamik dan mempamerkan pelbagai kandungan menarik termasuk permainan interaktif, aktiviti fesyen dan kecantikan, dan webisod beranimasi Barbie: Life in the Dreamhouse.
  
  INFO
  

  Anak patung Barbie
  
  * Mula diperkenalkan oleh syarikat mainan global Mattel pada 1959.
  
  * Pencipta patung berkenaan ialah Ruth Handler.
  
  * Sejak diperkenalkan ia mendapat sambutan mesra oleh kanak-kanak seluruh dunia.
  
  * Kini, Barbie sudah `menjawat' hampir 125 profesion. Antaranya, doktor pakar kanak-kanak, setiausaha, model fesyen dan pemberita.






Diari Baru Bibi Sharliza

Berita Harian, Sabtu, 17 Julai  2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim; Nor Afzan Mohamad Yusof

Diari baru Bibi Sharliza


BEBERAPA kali cuba mengatur hari, hajat untuk menemubual empunya diri tercapai juga akhirnya. Mengelakkan penulis tersasar haluan, pemandu dihantar bagi menjadi pandu arah.
  
 Hanya lebih kurang lima minit dari bandar Senawang, kami tiba di tempat yang dijanjikan. Selepas menanti seketika di pejabatnya yang menjadi tempat pertemuan diatur, wajah ditunggu-tunggu kemudian muncul. Berbaju kurung cerah, ramah menyapa khabar sambil kuntuman senyuman mesra terukir kepada penulis dan jurugambar, Owee Ah Chun.

\Riak wajah ceria yang dipaparkan seolah-olah menggambarkan, `dunia baru' ditempuhinya mekar segar. Berkata-kata dalam hati penulis, tentu bekas Setiausaha Puteri UMNO Malaysia yang kini bergelar, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid sedang melalui hari-hari cukup manis dalam hidup atau setidak- tidaknya, masih lagi dalam tempoh `berbulan madu' dengan suami, Tan Sri Mohd Isa Samad yang menjadi pasangan baru dalam hidupnya pada 14 April lalu.
  
  "Apa sebenarnya, cerita kita hari ini ya. Saya sebenarnya, sudah pun membaca sekali lalu soalan yang ingin ditanya dan berasa geli hati juga apabila ada soalan, macam mana Tan Sri melamar saya," katanya membuka bicara awal sambil ketawa kecil.
  
  Sikap sederhana, ramah dan mudah mesra serta tidak banyak `protokol' yang ditunjukkan Bibi Sharliza menjadikan temubual tengah hari itu berlalu dalam suasana santai. Tetapi sayang sekali, suaminya tidak dapat hadir sama dalam pertemuan itu kerana ada urusan lain.
  
  Namun, untuk tidak menghampakan penulis, melalui isteri sempat juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang itu menitipkan jawapan bagi beberapa soalan yang sudah diajukan sebelum ini.
  
  "Ala Tan Sri tidak ada lamar-lamar pun, tetapi ada juga menyatakan hasrat hendak memperisterikan saya. Itupun di kopitiam. Depan beberapa kenalan rapat, Tan Sri tanya kalau saya sudi berkahwin, dia hendak hantar wakil datang ke rumah. Itulah karakter Tan Sri, lurus dan tidak pandai bercinta. Malah, Tan Sri sendiri pun mengakui tidak reti nak bercinta- cinta. Senang cerita, Tan Sri orangnya ringkas dan tidak rumit. Kita mungkin nampak dia main-main dengan kata-kata diucapkan, tetapi itulah yang sebenar, keluar daripada hati nalurinya.
  
  "Saya pula, apabila diajukan soalan itu mengambil jalan mudah. Kata saya, kalau betul-betul ada hajat di hati datanglah ke rumah dan tanya emak serta ayah saya.
  
  "Lagipun, sememangnya saya sejak dulu lagi anak yang patuh dengan kata orang tua sebab itulah saya serahkan kepada orang tua membuat keputusan. Memang sungguh, Tan Sri datang ke rumah tetapi sebelum itu ditanyakan dulu kepada ibu saudara. Tan Sri datang ke rumah bersama sahabatnya dan terus tetapkan tarikh nikah iaitu hanya 10 hari lagi untuk kami buat persiapan.
  
  "Katanya, kalau ikut saya tentu lambat lagi sekurang-kurangnya setahun. Memang betul katanya, walaupun sudah bersetuju ketika itu memang saya ada terfikir untuk tangguhkan dulu pernikahan itu dan tidak jangka secepat itu. Tiada bantahan lagi, esoknya Tan Sri belikan baju pengantin," katanya tergelak lagi mengimbas detik yang cukup membahagiakan itu.
  
  Bibi Sharliza, 40, sebelum ini pernah melalui kegagalan hidup berumah tangga, akhirnya selamat diijabkabulkan dengan, Mohd Isa, 61, yang lebih empat tahun menduda selepas kematian isterinya, Puan Sri Hazizah Tumin pada 7 Disember 2005 akibat barah parotid (kelenjar pipi).
  
  Majlis yang diadakan cukup sederhana dan dikhususkan untuk saudara mara serta kenalan rapat saja. Malah, atas permintaan Bibi Sharliza tiada wang hantaran disertakan, manakala acara bersanding dan tepung tawar juga tidak dibuat. Hanya adat menyarungkan cincin berlian ke jari manis pengantin perempuan bagi upacara membatalkan air sembahyang dilakukan.
  
  Namun, yang menjadikan hari itu paling bahagia bagi kedua-dua mempelai ialah kehadiran anak masing-masing. Keempat-empat anak Mohd Isa bukan saja bersetuju dan merestui perkahwinan itu, tetapi turut sama meraikan iaitu Mohamad Najib, 32, Megawati, 30 dan Lelawati, 27, serta Juhaida, 21, yang bergegas pulang dari luar negara semata-mata ingin berkongsi detik bersejarah itu.
  
  Begitu juga keempat-empat anak Bibi Sharliza - Nurdinie Mohd Fadhil Shariff , 13, Nurdamia, 11, Muhammad Amir Ikram, 8, dan Qaseh Rauhah yang baru berusia empat tahun, tanpa banyak kerenah gembira menerima `bapa baru' dalam hidup mereka.
  
  "Tidak ada banyak perkara yang berubah secara drastik selepas kami berkahwin. Anak-anak Tan Sri, masih panggil saya Kak Bi, tetapi kadang- kadang Najib ada juga panggil saya Mama. Anak-anak saya pula, memanggil Tan Sri- `Abah' seperti anak Tan Sri memanggil bapanya. Saya rasa biarlah keadaan seperti dulu kekal, jika berubah pun biarlah tidak terlalu tiba- tiba," katanya terus ceria berkongsi cerita.
  
  Untuk tidak merumitkan keadaan dan memastikan jalur kehidupan membina keluarga baru berjalan lancar, pasangan suami isteri itu membuat keputusan mengikut kesesuaian masa serta keadaan atau pun bergilir-gilir tinggal di rumah yang masing-masing duduki sebelum ini.
  
  Ini bermakna, ada ketika mereka tidur di Senawang di mana rumah Bibi Sharliza dan anak-anak berlindung sebelum ini atau jika tidak pun, mengambil keputusan bermalam di Nilai iaitu rumah Mohd Isa dan arwah isteri serta anak-anak menetap sejak dulu.
  
  Pasangan berkenaan juga ada masanya balik ke Kuala Pilah iaitu rumah ibu bapa Bibi Sharliza dan keluarga lain sering berkumpul, terutama pada hari hujung minggu. Jika Mohd Isa ada acara atau aktiviti di kawasannya pula, mereka akan singgah di rumah arwah isteri pertama Mohd Isa iaitu di Port Dickson.
  
  "Pernah Tan Sri kata pada saya, senang-senang letak saja beg pakaian dalam kereta, dia akan turut saja dan hendak tidur rumah mana-mana sekali pun boleh saja. Begitulah Tan Sri, senang diajak berunding dan sentiasa mengambil berat serta menjaga hati orang lain. Bagi saya pula, biarlah kami pasangan suami isteri yang bersusah-payah asalkan, dapat menjaga hati orang lain.
  
  "Saya juga berpendapat, tidak perlulah anak bertukar sekolah dan berpindah rumah baru hanya kerana ibunya sudah berkahwin baru. Saya tidak mahu memaksa anak-anak dan mahu mereka turut merasai perubahan kesan daripada perkahwinan kami," katanya.
  
  Mengenai perbezaan usia yang begitu jauh antara mereka berdua, Bibi Sharliza menegaskan, tidak pernah risau mengenai hal itu kerana sebelum itu dirinya pernah berkahwin dengan pasangan lebih muda. Begitu juga soal harta dan pangkat, cuma yang membuatkannya tidak selesa ialah kedudukan Tan Sri dan juga gelaran Puan Sri disandangnya kini.
  
  "Saya tidak selesa apabila menghadirkan diri dalam sesuatu majlis, ada wanita berusia jauh lebih tua daripada saya yang dulunya lebih mesra memanggil `Bi' atau YB, kini memanggil saya Puan Sri. Saya rasa, penghormatan itu terlalu tinggi untuk saya," katanya yang tiba-tiba memaparkan wajah gusar.
  
  Berkongsi rasa hati mengenai perkahwinan sekarang dan sebelum Bibi Sharliza tegas menyatakan, tiada perbandingan sebaliknya yang lebih penting dalam kehidupan hari ini ialah kebahagiaan untuk semua orang di sekeliling, termasuk kelapan-lapan anak mereka.
  
  "Bahagia untuk saya sudah ada, apa yang saya inginkan ialah membuatkan orang lain berasa bahagia," katanya telus.
  
  Beralih cara didikan dan asuhan keempat-empat anaknya yang masih kecil Bibi Sharliza berkata, dirinya lebih bertanggungjawab mencorakkan masa depan mereka, manakala Mohd Isa memberikan sokongan dan membantumana perlu. Begitu juga harapannya kepada bekas suami, walaupun mereka sudah tiada apa-apa hubungan, tanggungjawab sebagai bapa kandung kepada anak mesti dilunaskan.
  
  Katanya, kepada anak-anak juga selalu diberikan nasihat supaya mencontohi dan mengikuti kejayaan abang serta kakak tiri mereka yang semuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
  
  Bibi Sharliza kini sibuk menguruskan perniagaan keluarga dan memegang jawatan Pengarah Lam Seng Manufacturing Sdn Bhd. Namun, ada ketika dirinya turut meluangkan masa mengiringi atau menemani suami dalam program serta majlis tertentu serta masih bergiat cergas dalam politik, khususnya memberi bimbingan ahli-ahli Puteri UMNO di Negeri Sembilan.
  
  "Sebenarnya, untuk berjaya dalam hidup impian saya sudah banyak yang tercapai. Apa yang saya harapkan kini ialah kehidupan akan terus berkekalan berjalan dengan baik," katanya menutup bicara tengah hari itu.
  
  Tidak romantik
  
  RATU : Bagaimanakah kehidupan baru Tan Sri kini dengan kehadiran suri hidup kini?
  
  TAN SRI: Perkahwinan baru memberikan saya tanggungjawab lebih besar, dengan bertambah empat orang lagi anak yang perlu dijaga. Apa yang pasti keperluan serta kasih sayang diberikan kepada anak-anak yang semakin dewasa, tidak sama dengan yang sedang meningkat dewasa. Kelebihan diri saya apabila saya tidak mengambil mudah sesuatu perkara dan berusaha memenuhi permintaan anak-anak walaupun mungkin orang anggap ia satu permintaan yang kecil. Semampu mungkin saya tidak mahu menghampakan keinginan anak-anak, yang mana ia sebenarnya bukan tugas yang mudah. Orang kata kalau budak-budak, diberikan gula-gula pun mereka sudah tertawan hati dengan kita, tetapi anak yang dewasa, mungkin sekarang mereka tidak kata apa-apa, tetapi mana tahu mereka simpan dalam hati? Itulah yang mahu saya elakkan.
  
  RATU :
Boleh Tan Sri berkongsi dengan pembaca BH ketika melamar Puan Sri dan meyakinkan dirinya untuk menerima Tan Sri?
  
  TAN SRI: Saya ni jenis suka berterus terang dan mungkin juga tidak romantik. Sebenarnya sejak setahun lalu, apatah lagi selepas Bibi bergelar ibu tunggal, ramai rakan-rakan yang selalu mengusik, `kahwin sajalah dengan Bibi, Tan Sri, kan senang untuk bergerak kemana-mana'. Saya `melamar' Bibi, di sebuah kopitiam, sambil minum-minum. Saya cakap kepada Bibi, kalau `susah sangat kita kahwin sajalah'. Sebab lebih mudah saya bergerak untuk bekerja melawat kawasan. Dan Bibi katakan kepada saya kalau mahu, jumpa sajalah dengan orang tuanya, tetapi syaratnya kalau bersungguh, saya perlu terimadan sanggup menjaga anak-anaknya.
  
  RATU : Orang kata, berkahwin pada usia yang semakin meningkat membuatkan diri semakin cemburu terutama apabila pasangan lebih muda. Apa komen Tan Sri?
  
  TAN SRI: Saya bukan pertama kali mendirikan rumah tangga dan bukan muda lagi. Saya kenal Bibi pun ketika beliau aktif dalam Puteri UMNO, dan selalu juga berurusan dengan lelaki, justeru soal cemburu itu tidak ada. Bukan tiada langsung, cemburu itu perlu ada, tetapi tidaklah keterlaluan hingga menimbulkan rasa tidak selesa. Kalau orang tanya kenapa saya tertarik dengan Bibi, sebenarnya saya tertarik dengan kemesraan dan keluarga besar Bibi, yang mana saya tidak pernah rasai sebelum ini. Kalau nak katakan tertarik dengan kecantikan dan wanita muda, saya tidak fikir begitu kerana saya selalu juga berjumpa dengan wanita muda dan cantik, tetapi tidak menjadipunkan?. Selebihnya ia sebenarnya jodoh yang sudah diaturkan oleh-Nya.
  
  RATU : Perkahwinan Tan Sri yang pertama berakhir hingga ke akhir hayat. Apakah Tan Sri akan mempraktikkan cara yang sama dalam membina keluarga sekarang?
  
  TAN SRI: Saya jenis lelaki yang setia kepada cinta. Perkahwinan pertama berakhir hingga ke akhir hayat isteri. Justeru, saya mengharapkan bersama Bibi pun hingga ke akhir hayat. Lagi lama usia perkahwinan kita, semakin itulah kuat kasih sayang, tidak kiralah sekalipun sudah berusia. Umpama makan cempedak, nampak di luar memanglah hodoh, tetapi kalau disalut dengan tepung, bukan saja nampak cantik, bahkan sedap dimakan. Selain itu, saya fikir untuk sesebuah rumah tangga itu kekal ialah kita mesti mengamalkan sifat bertolak ansur dalam pelbagai perkara. Kita perlu fokus kepada keperluan hidup berkeluarga, sekiranya kita hilang tumpuan dan mengutamakan perkara luar atau godaan luar, sudah pasti rumahtangga yang dibina tidak kukuh.
  
  RATU : Nasihat Tan Sri kepada pasangan yang berkahwin, tetapi mendapat banyak halangan contohnya tentangan keluarga, berdepan masalah kewangan dan sebagainya.
  
  TAN SRI: Keluarga itu penting, tetapi ibu bapa tidak seharusnya terlalu berkeras dengan anak-anak membabitkan soal jodoh dan hasrat anak untuk berumah tangga. Memang orang muda selalunya ghairah dengan pilihan sendiri yang kadangkala orang tua tidak suka, tetapi dalam menyelesaikan masalah, ibu bapa seharusnya memberikan panduan dan menyelesaikan masalah, bukan menambah kekusutan yang mungkin sudah ada sepanjang tempoh anak berkira- kira untuk mendirikan rumahtangga seperti meletakkan hantaran terlalu tinggi dengan hasrat si lelaki membatalkan hasrat meminang dan sebagainya. Begitupun, mana-mana pihak perlu bertolak ansur dan memikirkan perkahwinan bukan untuk sehari dua, sebaliknya membawa hingga ke akhir hayat.
  

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...