Thursday, September 5, 2013

Bimbang akidah anak

Berita Harian, Sabtu, Mac 31, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bimbang akidah anak

 APABILA rumah tangga dibina hancur, kemelut utama yang dihadapi pasti soal hak penjagaan anak. Lebih-lebih lagi, jika anak itu masih kecil atau pun bawah umur.
   Justeru, lazimnya akan adalah `perebutan' jika salah seorang tidak mahu mengalah atau masing-masing terus berkeras menuntut hak penjagaan anak. Tentu saja kurang enak jika perebutan itu disusuli dengan bertikam lidah dan bermasam muka sehingga tidak lagi boleh bertegur sapa.
   Meskipun, hubungan kedua-dua suami isteri itu sudah terlerai, tidak sewajarnya keadaan seperti itu berlaku. Apatah lagi, di depan mata anak yang masih kecil dan banyak perkara belum difahami mereka.
   Senario itulah yang berlaku pada Zuhairi Safar, 38, (bukan nama sebenar) yang baru tiga bulan bercerai selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita mualaf yang berasal dari Jerman.
  

Tuntut hak

Kes perceraian pasangan berkenaan sudah pun selesai tetapi kini dalam fasa perbicaraan untuk menuntut hak penjagaan dua anak hasil perkahwinan lalu. Kedua-dua anak mereka masih kecil iaitu baru berusia lapan dan enam tahun.
   Zuhairi memberitahu, buat masa ini, kedua-dua anak itu berada dalam jagaan bekas isterinya. Bagaimanapun, Zuhiari sudah pun memfailkan permohonan hadanah (hak penjagaan anak) daripada bekas isteri di Mahkamah Syariah.
   Katanya, langkah itu terpaksa dibuat bagi mengelakkan wanita itu membawa dua anak mereka kembali ke agama asalnya. Tambahan, Zuhairi mendapat tahu bekas isterinya merancang untuk kembali ke negara asal kelahirannya. Sudah pasti, semua itu menambahkan kebimbangan manakala keluarga Zuhairi turut mendesaknya membuat tuntutan itu sebelum berlaku perkara tidak diingini terutama mengenai pegangan akidah kedua-dua anaknya.
   "Kami sah bercerai secara tebus talak. Mungkin sudah takdir jodoh kami sehingga setakat itu saja. Tetapi dalam hal ini, saya turut mengaku kesilapan kerana tidak pernah membimbing bekas isteri sebaik saja dia memeluk Islam.
   "Saya akui, perkahwinan kami dulu adalah atas dasar cinta, malah bekas isteri sebelum ini memang tidak pernah terbuka untuk memeluk agama Islam. Tetapi disebabkan kami ingin berkahwin, dia menyatakan kesanggupannya memeluk Islam. Silapnya, saya tidak pernah hendak membimbingnya, malah saya sendiri bukanlah seorang Muslim yang baik kerana solat lima waktu sering saja diabaikan.
   "Saya hanya berubah selepas berdepan dengan konflik rumah tangga tetapi ketika itu semuanya sudah pun terlewat. Apabila sudah bercerai, saya terus berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan cuba membetulkan kesilapan dan kealpaan saya mengenai agama sebelum ini," akui Zuhairi kelemahan dan kesilapan pernah dilakukan.
    

Bibit perkenalan
 
Mengimbas pertemuannya dengan bekas isteri, Zuhairi memberitahu mereka berkenalan ketika menuntut di Jerman. Bekas isterinya, lima tahun lebih tua darinya dan bekerja dengan agensi pelancongan. Pertemuan bermula apabila bekas isterinya datang makan di restoran tempat Zuhairi bekerja secara sambilan bagi menampung kos kehidupan di negara orang.

   Bermula dari teman biasa, akhirnya lahir bibit-bibit cinta. Bekas isterinya juga tidak lokek untuk membantu Zuhairi dari segi kewangan dan ini menyebabkan perasaan kasih sayang antara mereka terus berbunga mekar.
    "Bekas isteri saya seorang atheis atau tiada pegangan agama dan saya tidak kisah semua itu. Saya pula sejak berada di negara orang, semakin jauh dengan sejadah. Justeru, tidak hairanlah setiap kali keluar bersama, banyak perkara terlarang yang kami lakukan tetapi tidaklah sampai ke tahap zina. Nasib baik, ada rakan-rakan yang memberikan nasihat untuk menyedarkan saya dan kerana bimbang iman semakin goncang saya melamarnya berkahwin. Dia bersetuju tanpa banyak soal jawab, lagipun perasaan sayang antara kami memang kuat ketika itu. Tamat pengajian, saya bawa dia balik ke Malaysia tetapi ketika itu saya masih leka dengan duniawi. Apatah lagi, saya mendapat pekerjaan baik dengan gaji yang agak lumayan," ceritanya.
   Zuhairi berkata, sepatutnya dia memberikan bimbingan kepada bekas isteri atau sekurang-kurangnya menghantarnya ke PERKIM untuk mendalami agama Islam. Tetapi semua itu tidak pernah dilakukan, sebaliknya terus memberikan kebebasan kepada bekas isterinya. Lalu, tidak hairanlah bekas isterinya tidak pernah mendekatkan diri dengan ajaran Islam
dan tidak pernah tahu cara untuk menunaikan solat dengan betul.
    "Bukan keluarga saya tidak pernah menegur tetapi saya sendiri yang tidak pernah ambil kisah. Akhirnya, begitulah jadinya dan ini memang kesilapan besar yang saya sudah lakukan," katanya sekali lagi mengulangi kekesalan di hati.
       Zuhairi tidak kisah jika bekas isteri ingin menjaga anak mereka tetapi apa membimbangkannya adalah status agama kedua-dua kanak-kanak itu yang didakwa sudah semakin jauh daripada ajaran Islam seperti mana ibu mereka.
   "Saya rela menyerahkan kedua-dua anak saya untuk dijaganya tapi saya mahu memastikan akidah anak saya yang masih kecil, berada di landasan yang betul. Persoalannya, bagaimana bekas isteri mampu memberikan jaminan semua itu sedangkan dirinya juga tidak mengenali Islam. Tidak dapat saya bayangkan jika mereka mengamalkan ajaran agama selain Islam," katanya.
  

Apa kata peguam?



BAPA BERHAK TUNTUT HAK PENJAGAAN ANDAI BIMBANG MURTAD

  
HADHANAH atau soal penjagaan anak adalah satu proses penjagaan dan pengawasan ke atas anak-anak yang tidak mampu menguruskan diri mereka, menjaga mereka daripada sesuatu yang mampu memudaratkan serta mendidik fizikal dan mental mereka sehingga mereka mampu memikul tanggungjawab atau pandai berdikari.
    Kewajipan bapa untuk menanggung anak ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam Surah Albaqarah: 233 dan juga menurut Seksyen 72 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984. Secara dasarnya, menurut Seksyen 83 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 hak hadhanah ini diserahkan kepada ibu selepas perceraian berlaku di dalam sesebuah keluarga.
    Bagaimanapun ia bukanlah hak mutlak kerana seorang ibu itu boleh hilang kelayakan di atas sebab-sebab tertentu menurut undang-undang dan syarak maka hak jagaan anakanak itu boleh berpindah kepada bapa melalui tuntutan daripada mahkamah.
  
  Seksyen 82 Akta yang sama menerangkan seorang itu layak terhadap hadhanah dengan syarat-syarat seperti berikut:
  

  (a) Dia adalah seorang Islam,
  
  (b) Dia adalah sempurna akal,
  
  (c) Dia berumur yang melayakkannya memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu,
  
  (d) Dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  
  (e) Dia tinggal di lokasi yang mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
  

  Seterusnya Seksyen 83 turut menyenaraikan sebab bagaimana kelayakan untuk mendapatkan hak penjagaan itu boleh luput, iaitu antaranya subseksyen (d) sekiranya perempuan itu murtad. Walaupun di dalam kes ini bekas isteri Zuhairi tidak dikatakan secara jelas sudah murtad, tetapi dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.
   Justeru, adalah dikhuatiri akan mendatangkan kesan dan akibat buruk kepada anak-anak. Berdasarkan seksyen-seksyen di atas, Zuhairi sebagai seorang bapa berhak menuntut hak penjagaan anak selepas berlaku perceraian dalam beberapa keadaan, antaranya seperti di bawah:
  
  1) Apabila ibu hilang satu kelayakan hadhanah seperti tertulis di dalam Seksyen 83 dan 84, dan di sebalik itu bapa mempunyai semua kelayakan tersebut. Di dalam kes ini bekas isteri Zuhairi walaupun sudah memeluk agama Islam tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran dan cara hidup seorang Muslim yang sebenar. Sekiranya membawa anak-anak tinggal bersama bekas isteri boleh menyebabkan anak-anak terpesong akidah, ianya tidak patut berlaku dan wajib diselamatkan.
  
  2) Melalui perintah mahkamah apabila dalam sesuatu keadaan di mana mahkamah membuat keputusan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak berkenaan.

  
  Sehubungan itu, Zuhairi melalui peguamnya, bolehlah membuat tuntutan Hak Jagaan Anak dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah disertakan dengan dokumen sokongan yang berkaitan. Seterusnya selepas proses perbicaraan, keterangan saksi dan mengemukakan bukti yang kukuh mahkamah akan mengeluarkan perintah hak jagaan anak.
    Selain itu, Zuhairi turut mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat sebagai ketua keluarga di dalam mendidik keluarga. Perkahwinan adalah satu amanah yang harus dipikul oleh pasangan suami isteri. Lebih-lebih lagi suami yang mempunyai bebanan yang berat di akhirat kelak.
  
  Rasulullah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Daripada Jabir bin Abdullah katanya, Rasulullah bersabda: :"Takutlah kamu kepada Allah tentang tanggungjawab terhadap isteri , kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Hendaklah kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik." (Ibn Majah)

   Dengan memberi pendidikan agama dan membimbing isteri dengan sempurna, dapat mengelakkan kepincangan keluarga daripada berlaku. Seterusnya mengekalkan keharmonian keluarga. Begitu juga di dalam perceraian kesan dan akibatnya lebih tertumpu kepada anak-anak. Lebih-lebih lagi yang masih kecil.
   Harus diingat bahawa anak bukanlah harta ataupun hadiah yang boleh direbut ataupun untuk dimenangi. Amalkan sikap toleransi dan saling bekerjasama bagi mengelakkan anak-anak menjadi mangsa perceraian. Jangan menghasut anak membenci pasangan kerana darah yang mengalir tetap darah yang sama daripada ibu bapa.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...