Thursday, September 5, 2013

Keluarga tak restu


Berita Harian, Sabtu, Januari 21, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Keluarga tak restu


BUKAN melawan atau menentang orang tua tetapi ingin membuat pilihan sendiri. Apatah lagi, keputusan dibuat Riyana Amira dianggap membabitkan kebahagiaan dan masa depan yang bakal dilalui.
   Lantaran itu, Riyana percaya tindakan diambil adalah betul, sekali pun terpaksa berpatah arang dan berkerat rotan dengan orang tuanya. Namun, krisis yang melanda tidak sedikitpun menyebabkan perasaan hormat dan sayang pada kedua ibu bapanya, hilang atau luntur sama sekali.
   "Barangkali apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Cuma, saya harapkan ayah dan ibu dapat memahami perasaan saya, memberi restu dan tidak membenci apatah lagi membuang saya sebagai anak mereka selepas tahu apa yang saya lakukan," kata Riyana dalam nada perlahan dengan genangan air pada birai matanya.


Bukan terdesak hendak kahwin

Gadis berusia 25 tahun itu, sebenarnya serba-salah untuk berkongsi cerita tetapi disebabkan kisah dilalui ingin dijadikan iktibar kepada yang lain, dia akhirnya berubah fikiran.
   Riyana turut menegaskan, tindakan diambil bukan terlalu terdesak untuk berkahwin atau seperti tohmahan dilemparkan kepadanya `sudah gatal' untuk bersuami, sebaliknya percaya itulah jalan terbaik wajar dibuat selepas tiada jalan penyelesaian.
   Selepas setahun bersabar dan usaha memujuk dua orang tuanya gagal, Riyana kemudian bulat fikiran membuat permohonan untuk bernikah secara wali hakim berikutan bapa kandungnya enggan mewalikan.
   "Saya sudah pun membuat permohonan tetapi kes saya belum dibicarakan lagi. Oleh itu saya masih menaruh harapan supaya bapa dapat mengubah fikirannya. Saya benar-benar sedih sekiranya, perkahwinan saya nanti terpaksa berwalikan orang lain sedangkan bapa kandung masih lagi hidup dan sihat," luah Riyana sambil menggetap kedua-dua bibir.
  

 Tindakan jalan terakhir

Riyana memberitahu, keputusan itu dibuat selepas keengganan bapanya untuk mewalikan perkahwinannya dengan teman lelaki yang dikenali sejak enam tahun lalu. Lebih meruntun hati anak gadis itu kerana bapanya ingin menjodohkannya dengan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an, sedangkan semua ahli keluarga tahu Riyana sudah pun ada pilihan hati sendiri.
   Justeru, jalan terakhir terpaksa diambil ialah membuat permohonan di Mahkamah Syariah bagi membolehkannya bernikah dengan teman lelaki pilihan hatinya supaya mahkamah membuat keputusan, mengisytiharkan bapa wali enggan.
   Ditanya, mengapa bapanya enggan menerima teman lelaki sebagai menantu. Riyana membisu seketika dan akhirnya mengeluarkan satu keluhan panjang. Katanya, dia sendiri tidak faham mengapa bapanya tidak setuju dengan pilihan hatinya dan beriya-iya untuk menjodohkan dengan lelaki pilihan keluarga.
   "Emak pun tidak setuju dengan pilihan saya. Tapi saya tidak hairan sebab dari dulu emak memang akan ikut kata ayah. Alasan ayah, katanya dia cuma tidak suka dengan teman lelaki saya, atas alasan apa, saya sendiri pun tidak tahu. Malah, ayah pernah memberitahu, jika enggan menerima lelaki pilihan keluarga, saya boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki asalkan bukan kekasih saya. Peliknya, ayah dan teman lelaki saya tidak berkenalan secara rapat apatah lagi bermusuhan. Tetapi ayah pernah jumpa kekasih saya kira-kira lima tahun lalu. Itu pun sebelum dia belajar dan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat," cerita Riyana.
 

Tidak mahu pilihan bapa

Bagaimanapun, Riyana amat lali dengan perangai bapanya - jika putih katanya, maka putihlah jawapan mesti diberikan.  Tidak sesiapa boleh membantah, sekalipun ibu Riyana. Oleh sebab itulah bapanya sengaja memberi alasan Riyana boleh kahwin dengan mana-mana lelaki dan bukan teman lelakinya kini.
   Mengenai calon suami pilihan bapanya Riyana berterus terang, tiada sedikit pun ruang di hati untuk menerimanya.
   Katanya, bukan jarak usia jauh dan status duda yang apa padanya membuatkan dia menolak tetapi pintu hati memang langsung tidak terbuka untuk menerimanya.
  "Sebenarnya, calon pilihan ayah adalah kawannya. Dia pernah berkahwin tetapi tiada anak. Kerjayanya memang stabil dan agak berharta orangnya. Saya pernah dua kali berjumpa dengannya tetapi tidak kenal dia secara mendalam, sedangkan saya sudah kenal teman lelaki sejak enam tahun lalu.
   "Sepanjang perkenalan kami, saya dapati dia seorang penyayang, pemurah, bertanggungjawab dan berpendidikan dalam soal agama, tambahan bakal bapa mentua adalah seorang imam. Sebab itulah saya yakin dengan kata hati dan keputusan yang saya buat memilihnya untuk dijadikan teman hidup," kata Riyana masih terus mengharap bapanya dapat mengubah keputusan.
  
 
  
Apa kata pakar?

Zalim jika enggan walikan anak tanpa alasan syarak

PERNIKAHAN yang sah adalah mematuhi dan memenuhi semua syarat dan rukun pernikahan iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi lelaki dan juga ijab kabul (akad nikah itu).
   Menurut Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 11 - suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut hukum syarak, untuk menjadikannya sah.
   Setiap orang Islam di Malaysia yang mahu berkahwin perlu mengetahui prosedur perkahwinan menurut Undang-Undang Keluarga Islam Negeri tempat menetap masing-masing. Prosedur ini adalah perlu untuk memastikan perkahwinan yang dilaksanakan adalah bertepatan dengan undang-undang yang berkuatkuasa.
   Perkahwinan yang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul saja akan diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang.
  
Dalam kes Riyana Amira kali ini, isu berbangkit adalah berkenaan dengan bapa yang enggan untuk menjadi wali dan dalam konteks perkahwinan, wali adalah seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk menikahkan bakal isteri dengan bakal suaminya.
   Daripada hadis Nabi SAW: "Dari Abi Musa RA. Rasulullah saw bersabda: `Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali'. (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa'i)"
   Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia adalah antara rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah daripada kalangan orang yang berkelayakan. Wali turut terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu wali mujbir, aqrab, ab'ad dan wali raja /hakim.
   Sebagai seorang bapa, beliau adalah wali mujbir iaitu wali yang mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak. Sekiranya wali enggan untuk menikahkan pengantin perempuan maka bolehlah menggunakan wali hakim.
  

Menurut Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) Wali Hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di- Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.
  
Antara faktor yang dibenarkan untuk menggunakan wali hakim adalah:
  
  1. Tidak ada wali nasab,
  
  2. Anak tidak sah taraf atau anak angkat
  
  3. Wali yang ada tidak cukup syarat
  
  4. Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
  
  5. Wali yang enggan.

  
  Dalam kes Riyana, sebagai seorang bapa hendaklah beliau duduk berbincang akan sebab mengapa calon Riyana tidak dipersetujui. Seorang bapa hendaklah berfikiran matang dan bertanggungjawab dalam setiap perbuatannya. Kalangan Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
  
Ada juga sebuah hadis yang menyatakan : "Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu: solat bila sudah datang waktunya, jenazah bila sudah terlantar dan wanita janda yang sudah bertemu jodohnya". (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim).   Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
  
  Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi'e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang akan menikahkannya.
   Rasulullah SAW turut bersabda: "Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali". (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
  

Dalam kes Azizah Mat lawan Mat Salleh berkenaan dengan wali enggan, Yang Arif Kadi Mahmood Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin dengan Mansor Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.
   Seperti tertulis di dalam Seksyen 13 Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan; sekiranya wali enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
   Maka, dalam perkara ini Riyana boleh membuat permohonan menggunakan wali hakim dan sebaiknya selepas berbincang dengan bapa.
   Sebagai seorang bapa juga haruslah bertimbang rasa dan prihatin terhadap anaknya. Bapa hendaklah cuba berfikiran matang dan sekiranya tidak berpuas hati dengan calon pilihan anak cuba berbincang dan bersemuka empat mata dengan semua pihak.
  
Setiap perkahwinan adalah atas rasa kasih sayang yang suci dan perasaan itu biarlah berlandaskan agama dan hukum pemerintah. Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang dalam kehidupan. Oleh itu kedua - dua belah pihak memainkan peranan penting di dalam hal ini. Pihak bakal suami dan juga bakal isteri seharusnya cuba untuk bekerjasama dalam memastikan perkara yang disamakan dengan perbuatan mendirikan masjid ini berjalan sempurna. Sebagai seorang anak pula, berbincanglah baik-baik dengan ibu bapa kerana walau apa jua sekalipun merekalah yang menjaga dan membesarkan kita dari sekecil tapak tangan sehingga dewasa.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...