Thursday, August 29, 2013

BERMAIN SAMBIL MELAYAR IMAGINASI

Berita Harian, Selasa, Ogos 20, 2013 

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bermain sambil melayari imaginasi



Kelahiran anak patung, Barbie yang berwajah comel, cantik, dengan bentuk badan menawan gaya glamor dan kali pertama diperkenalkan oleh syarikat mainan global Mattel pada 1959, disambut mesra oleh kanak-kanak seluruh dunia.

Populariti dan legenda patung ikonik itu begitu istimewa dan diminati ramai, malah ada yang menjadikannya idola dan terikutikut dengan gaya ditonjolkan, khususnya pengaruh yang dibawa anak patung itu dalam perkembangan fesyen semasa.
Hakikatnya, antara semua permainan yang wujud di dunia terutama dalam segmen anak patung, mungkin tiada lebih abadi dan termasyhur seperti Barbie.
  
  Kelahiran Barbie merentas pelbagai bangsa dan budaya, dan membesar bersama-sama wanita dari seluruh dunia.
  
  Hari ini, patung istimewa ini masih terkenal sebagai jenama patung terkemuka dan berperanan besar dalam kehidupan mereka yang bergelar perempuan, baik dari anak gadis hingga wanita dewasa. Perkembangan mereka boleh diamati daripada saat pertama mereka bermain dengan patung Barbie hingga mengumpulnya sebagai satu hobi.
  
  Sinonim patung fesyen
  

  Jenama Barbie, sinonim dengan patung fesyen sejak penciptaannya. Ia adalah satu-satunya jenama patung fesyen dunia yang membolehkan kanak-kanak perempuan melayarkan imaginasi mereka sebagai ikan duyung hinggalah ke bintang filem, dari bidadari ke fesyenista, malah dari puteri ke Presiden! Patung ini menjana inspirasi kanak-kanak perempuan untuk memainkan pelbagai watak dalam keselesaan rumah mereka sendiri.
  
  Pencipta patung berkenaan, Ruth Handler mengetengahkan idea patung itu apabila beliau mendapati, anaknya bermain dengan anak patung kertas, dan menyedari anaknya gemar memberikan peranan wanita dewasa kepada patung kertas. Secara kebetulan, kebanyakan boneka kanak-kanak yang dikeluarkan pada masa itu menyerupai anak patung bayi.
  
  Tidak lama kemudian, Barbie muncul dengan watak wanita dewasa dan langsung menjadi ikon antarabangsa. Sepanjang kewujudan patung itu selama lebih 50 tahun, ia sudah menampilkan pelbagai watak dan profesion serta merentas semua warna kulit, bangsa dan budaya. Bidang kerja ini termasuk pendidikan, perubatan, politik, sains, kejuruteraan, kesenian sastera, perniagaan dan sebagainya.
  
  Tingkatkan daya imaginasi
  
  Barbie tampil sebagai wanita berkerjaya agung dan sepanjang sejarahnya, membolehkan anak gadis di serata dunia menjalani hidup yang lebih mencabar. Apabila kanak-kanak bermain dengan anak patung ini, ia meningkatkan lagidayaimaginasidanmembantu mereka untuk mengimpikan apa-apa saja. Melalui ikon Barbie, mereka yakin tampil tanpa batasan.

  
  Ia turut membantu membina daya imaginasi kanak-kanak ketika bermain. Malah, kanak-kanak yang meminati fesyen akan jatuh cinta dengan ikon fesyen itu. Almari pakaian Barbie menawarkan kepelbagaian yang hebat dan peminat anak patung itu kini boleh juga mereka pakaiannya.
  
  Pemangku Pengarah Komersial Mattel Southeast Asia Pte Ltd Mattel, Petrina Kho berkata, merentasi beberapa generasi, patung jenama itu kini menjadi lebih interaktif dan membolehkan kanak-kanak menyelami ke dalam jenama berkenaan.
  
  "Apabila kanak-kanak perempuan bermain dengan fesyen, mereka mengenakan pelbagai aksesori mengikut imaginasi masing-masing dan tiada patung lain yang memiliki banyak aksesori seperti Barbie," kata Kho.
  
  Beliau berkata, Mattel sedar pengaruh positif ikon patung itu ke atas perkembangan kanak-kanak dan kini menampilkan, siri patung Barbie yang boleh mempertingkatkan lagi potensi itu terhadap kanakkanak.
  
  Baru-baru ini, Mattel memperkenalkan Plat Rekaan Fesyen Patung Barbie sebagai langkah menggalakkan gadis muda membina imaginasi dan kreativiti mereka sambil menjadi pereka fesyen peribadi Barbie. Set ini membolehkan kanak-kanak perempuan bertukar-tukar idea untuk mencipta rupa dan gaya unik dalam tiga langkah mudah iaitu reka, leret dan hias!
  
  Penuh bergaya
  

  Caranya, hanya perlu memilih kombinasi plat fesyen yang mereka suka dan pindahkan pada sehelai pakaian siapreka dengan hanya menggunakan kertas karbon serta alat leret. Kemudian, rekaan mereka boleh dihiaskan lagi dengan pen pewarna, pelekat dan aksesori. Barbie yang cantik rupawan sudah bersedia untuk keluar bergaya dengan rekaan tersendiri mereka.
  
  Anak gadis pasti tidak bosan dalam terus mencipta gaya fesyen yang berbeza-beza untuk fesyenista kegemaran mereka kerana kit isi semula boleh didapati dalam tiga tema berlainan.
  
  Menjadi fesyenista bukan sekadar memiliki pakaian hebat, justeru Barbie juga memerlukan gaya rambut menawan untuk melengkapkan penampilannya. Dengan Color Stylin Rambut Barbie, patung yang dilengkapi pelbagai warnawarni ini membolehkan kanak-kanak perempuan bermain seolah sebagai pendandan rambut Barbie dan memberikan gaya sempurna untuk patung mereka.
  
  Hanya dengan beberapa alatan mudah dan warna menarik, gadis kecil berupaya mengasah bakat kreatif dalam menggayakan dan mewarnakan rambut sambil mengubah penampilan Barbie dari gaya mudah ke gaya unggul. Warna yang dikenakan gaya rambut baru boleh dibilas untuk memperagakan pelbagai rupa lain yang menarik dan mendapatkan keseronokan berpanjangan.
  
  "Di Mattel, kami sentiasa berusaha mewujudkan masa depan permainan untuk memupuk dan mendidik melalui platform yang mencetus elemen kreativiti serta keseronokan untuk semua.
  
  Ajar kejar impian
  

  Tahun ini, syarikat itu turut menampilkan filem DVD, Barbie in The Pink Shoe, yang diiringi dengan mainan yang memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk memainkan watak penari balet.
  
  Dalam filem ini, Barbie melayari watak Kristyn Farraday, penari balet yang ada impian besar menari di atas pentas utama. Beliau terjumpa sepasang kasut merah jambu bergemerlapan yang membawa beliau dan rakannya ke dunia ajaib. Di sana, mereka menjadi bintang balet dan menari tarian kegemaran untuk menewaskan permaisuri salji yang jahat.
  
  Filem penuh inspirasi ini mengajar penari muda berbakat untuk mengejar impian mereka. Barbie atau Krystin Farraday memaparkan patung 2 dalam 1 yang menghidupkan transformasi ajaib pakaian Barbie dari filem berkenaan.
  
  Pengalaman interaktif Barbie terus berkembang dari bilik mainan dan diperluaskan ke dunia maya. Kemajuan teknologi dalam platform media sosial melahirkan Barbie.com yang muncul menjadi destinasi laman web dinamik dan mempamerkan pelbagai kandungan menarik termasuk permainan interaktif, aktiviti fesyen dan kecantikan, dan webisod beranimasi Barbie: Life in the Dreamhouse.
  
  INFO
  

  Anak patung Barbie
  
  * Mula diperkenalkan oleh syarikat mainan global Mattel pada 1959.
  
  * Pencipta patung berkenaan ialah Ruth Handler.
  
  * Sejak diperkenalkan ia mendapat sambutan mesra oleh kanak-kanak seluruh dunia.
  
  * Kini, Barbie sudah `menjawat' hampir 125 profesion. Antaranya, doktor pakar kanak-kanak, setiausaha, model fesyen dan pemberita.






No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...