Monday, March 19, 2018

DUNIA HITAM PELACUR

Berita Harian, Isnin Januari 18, 2016


Oleh Nor Affizar Ibrahim; Fatin Hafizah Mohd Sahar; Mahani Ishak

Dunia hitam pelacur



Terjebak di lembah hina, ia pengalaman hitam yang sukar dipadamkan dalam hidup. Biarpun pahit untuk ditelan dan kisah silam itu terus menghantui diri, kekuatan dalam diri sentiasa dicari bagi meneruskan hari yang mendatang.
  Pengalaman inilah dilalui dan dikongsikan Suria (bukan nama sebenar) yang pernah menjalani kehidupan sebagai pelacur sebelum ini, yang ditemui FAMILI, di ibu negara, baru-baru ini
    Pulang ke pangkal jalan dan lupakan kisah lalu serta mengharapkan masyarakat memahami apa yang dilakukan bukan kemahuan diri, sesuatu yang tidak mudah bagi mereka. Namun, Suria yakin masih ada sinar dan taubat mereka diterima yang Esa.

   Mangsa tipu daya suami

 
Tidak masuk akal dan sukar untuk mempercayainya. Seorang wanita perlu melayan nafsu serakah lebih 10 lelaki dalam sehari.
Bagaimanapun, itulah realiti kehidupan dunia hitam pernah dilalui Suria sebelum ini.
  Tidak pernah sekali menyangka hidupnya akan terpalit dengan kehidupan yang penuh kotor dan menjijikkan, tetapi Suria reda dengan apa yang sudah berlaku serta bersyukur, kini dirinya sudah bebas daripada kancah kemaksiatan dan penderitaan.
  Berkongsi cerita, Suria memberitahu, dia terjebak dalam dunia pelacuran angkara bekas suami durjana yang bukan saja bermulut manis ketika memika
t, tetapi penuh dengan tipu muslihat hingga dirinya terpedaya.
  Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, dia mengenali bekas suami melalui rakan ketika menuntut dan berada di semester dua di sebuah pusat pengajian tinggi. Jarak usia antara mereka ialah enam tahun.
  "Selepas berkenalan tiga bulan, suatu hari, rakan meminta saya dan teman lelaki (bekas suami) menemaninya dan menjadi saksi untuk dia dan kekasihnya bernikah di Thailand. Kami pun pergi ke sana dan memasuki negara itu secara haram. Selepas rakan dinikahkan, tiba-tiba teman lelaki memaksa saya untuk berkahwin dengannya.
  "Saya enggan kerana ketika itu memang belum ada perancangan berkahwin. Teman lelaki mengugut jika enggan, saya tidak boleh balik lagi ke Malaysia. Saya memberontak tetapi akhirnya apabila tiada pilihan, saya akur bernikah," katanya.

   Tahu status suami

 
Suria berkata, selepas bernikah, dia dibawa balik ke kampung suami di selatan tanah air, pada petang hari sama, untuk diperkenalkan kepada keluarganya dan ketika itu baharu dia tahu, rupa-rupanya kekasihnya itu adalah duda beranak tiga.
Lebih menggerunkan, suaminya kaki judi dan turut dikenali sebagai 'lombong emas' iaitu lelaki yang memakan hasil perempuan.

  Ketika baru berkahwin, Suria mengambil alih menjaga ketiga-tiga anak tirinya dan dilayan dengan baik. Malah, setahun lamanya Suria merahsiakan perkahwinannya daripada ibunya di kampung.
  Bapanya seorang anggota tentera dan berpangkat mejar sudah lama meninggal dunia iaitu sejak usia Suria sembilan tahun, manakala ibunya adalah guru besar di sekolah agama.
  Malu dan bimbang diketahui rakan lain mengenai perkahwinan itu menyebabkan Suria terpaksa berhenti daripada pengajiannya dalam bidang perniagaan.
  "Apabila rahsia terbongkar, ibu tidak dapat terima perkahwinan kami, manakala adik-beradik pula menyisihkan saya. Jadi, saya pun tidak balik ke kampung lagi," katanya mengakui sememangnya kurang mendapat kasih sayang ke luarga sejak kecil.
 

Dunia hitam bermula

 

Selepas setahun berkahwin, suatu hari, bekas suami memaksanya bekerja. Lalu Suria dibawa ke bandar dan ditinggalkan di dalam bilik hotel bajet bersama pemiliknya.
Tauke hotel itu cuba melakukan perkara tidak elok, Suria melawan dan berjaya melarikan diri serta cuba mendapatkan bantuan. Malangnya, orang yang membantu Suria pula mengambil kesempatan dan memperkosanya.
Apabila balik ke rumah, bukan simpati diterima, sebaliknya Suria dipukul oleh suaminya kerana lari daripada 'pelanggan'. Suami Suria kemudian membuatkannya pasport, katanya untuk membolehkan dia bekerja di Singapura.

"Rupa-rupanya kerja saya di Singapura ialah melayan nafsu lelaki setiap hari, dari jam 10 pagi hingga jam 12 tengah malam. Sehari saya perlu melayan lebih 10 lelaki dari pelbagai peringkat usia dan golongan. Pelanggan saya paling muda berusia 17 tahun, manakala yang berusia ada sudah mencapai lebih 70 tahun.
"Cukup sengsara, tetapi hasilnya lumayan dan semuanya diambil suami. Ketika itu, dalam dua minggu saya boleh dapat kira-kira S$5,000 (kira-kira RM10,000 ketika itu). Apabila enggan, teruk saya dipukul. Malah, saya pernah cuba melarikan diri tetapi gagal.
"Akibatnya saya dibelasah hingga lembik. Saya hanya dibenarkan balik ke Malaysia, dua minggu sekali. Tapi di Malaysia, bukannya boleh berehat, biasanya ada tugasan khas melayan VIP dengan bayaran antara RM800 hingga RM1,200 sehari.
 "Saya langsung tidak dibenarkan pegang duit. Segala keperluan termasuk pakaian dan alat mekap disediakan suami. Mintalah apa saja, semua akan diberi. Lagipun, suami ingin saya sentiasa pasang badan untuk tarik perhatian pelanggan. Sembilan tahun bekerja di Singapura, akhirnya suami menyuruh saya bekerja di Malaysia," katanya.
 

Punca cerai
Suatu hari, ketika baru pulang dari bekerja, Suria mendapati suaminya berselingkuh dengan orang gaji mereka. Remuk hati Suria, sudahlah dijadikan 'hamba seks', suami pula bersenang-lenang dengan perempuan lain. Suria bergaduh besar dengan suami dan akhirnya berlaku perceraian, lalu tanpa rasa takut lagi, dia nekad keluar dari rumah.

Bagaimanapun, tidak lama selepas perceraian, pada tahun 2009, Suria disahkan positif HIV. Kali ini, hatinya benar-benar berkecai dan hilang arah serta mula mengambil dadah.
  Namun, Tuhan masih sayangkan Suria apabila dia diselamatkan insan lain yang prihatin dengan kehidupan lara dilaluinya.
  "Saya tidak berdendam dengan bekas suami. Mungkin apa yang sudah terjadi adalah takdir kehidupan saya. Tetapi apa yang lebih menyedihkan, apabila saya dapat tahu rupa-rupanya selama ini bekas suami sebenarnya menggunakan khidmat bomoh untuk menguasai kehidupan saya," katanya yang kini hidup bersama tiga anak tiri dan dua anak kandung.
 


Jangan prejudis, bantu mereka keluar 'penjara'

Masyarakat tidak wajar menghukum, sebaliknya hulurkan tangan dan bantu golongan ini dalam dunia hitam yang mereka lalui. Apatah lagi, kebanyakan wanita terjebak dalam dunia pelacuran bukan atas kemahuan diri, sebaliknya dipaksa atau terperangkap dengan tipu daya.

  Eksekutif Kanan, Pengurusan Sukarelawan dan Latihan Yayasan Salam Malaysia (SALAM), Nor Zakiah Senin, berkata memberikan sokongan moral kepada golongan ini adalah penting dan pihaknya percaya, sikap putus asa harus diketepikan dalam usaha 'menyelamatkan' mereka ini dari dunia pelacuran.
  Nor Zakiah berkata, berdasarkan pengalaman SALAM menerusi Suri@Salam, sepanjang membantu golongan wanita ini, didapati kebanyakan yang menjadi pelacur adalah disebabkan terpedaya dengan lelaki yang memang mempunyai niat tidak baik, termasuk kekasih, rakan mahupun suami.
  "Bagaimanapun, ada juga yang terjebak akibat ditipu kenalan wanita, tetapi paling menyedihkan, ada ayah kandung sanggup menjual anak perempuan sendiri kepada lintah darat semata-mata kerana wang.
  "Mereka terbabit dengan kerja pelacuran ini terdiri pelbagai peringkat usia dari awal usia 20-an hingga 60-an. Mungkin juga ada berusia belasan tahun, tetapi licik menyembunyikan identiti mereka. Ada antaranya sudah berpuluh-puluh tahun mencari rezeki dengan menjual diri melalui cara ini. Ia memang menyedihkan," katanya.
 

Faktor melacurkan diri

 
Nor Zakiah berkata, sejak terbabit secara langsung mendekati golongan ini lebih setahun lalu, didapati ada pelbagai faktor menyebabkan mereka menjadi pelacur. Antaranya, termasuklah desakan hidup kerana kemiskinan, terbabit penagihan, dadah dan sebagainya.
    Beliau berkata, masalahnya apabila sudah terjebak, ada yang sukar keluar dari dunia itu, khususnya bagi mereka terbabit mengambil najis dadah.
  "Kerjaya sebagai pelacur adalah antara cara mudah untuk golongan penagih ini mendapatkan duit. Bagi mereka, setiap kali melacur, dapatlah habuan untuk membeli dadah.
  Selain itu, terdapat pelanggan yang digelar sebagai 'payung' mereka akan membekalkan dadah kepada wanita ini. Bagaimanapun, pendapatan diperoleh golongan pelacur ini bukanlah banyak, malah ada yang dibayar RM10 saja bagi satu layanan.
  "Lebih malang lagi, jika wanita itu sudah lanjut usia dan sukar untuk mendapatkan pelanggan, mereka ini akan terima berapa saja bayaran daripada pelanggan walaupun jumlahnya amat rendah," katanya.
 

Ikhlas bantu

 
Nor Zakiah berkata, bukan mudah untuk 'menarik' golongan pelacur ini meninggalkan kerjaya mereka. Namun, beliau percaya, lambat atau cepat, suatu hari nanti pasti akan ada sinar bagi golongan ini kembali ke pangkal jalan.
 Katanya, ada pelbagai strategi digunakan oleh Suri@Salam di dalam membawa golongan ini ke pangkal jalan. Antaranya, memberi tanggungjawab kepada mereka yang sudah meninggalkan kerjaya itu 'memujuk' dan meyakinkan golongan yang masih terperangkap keluar dari dunia hitam ini.
  Selain itu, Suri@Salam turut menyediakan dan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan minat golongan ini, khususnya yang benar-benar ingin berubah serta bersedia menjalani proses perubahan.
  Terdapat juga bantuan makanan dan keperluan harian untuk meringankan beban ketika mereka amat memerlukannya.
  Bagi memastikan tiada sesiapa dalam kalangan golongan ini terlepas daripada sebarang maklumat, khususnya berkaitan khidmat ini, sukarelawan Suri@ Salam kerap turun padang untuk mendekati dan bertemu dengan golongan ini. Melalui cara ini, sukarelawan mampu mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka, seterusnya memberi sebarang nasihat dan pandangan yang bersesuaian.
  "Kita tidak tahu bila hidayah itu akan datang, tetapi kami percaya, selagi hati mereka percaya bahawa Allah itu ada, Insya-Allah suatu hari nanti akan terdetik juga di hati mereka untuk bertaubat. Yang penting, kita yang diberikan amanah dan tanggungjawab ini perlu berusaha untuk meletakkan nilai ikhlas di dalam hati. Jangan prejudis terhadap mereka, jangan hukum mereka sebelum mengetahui latar belakang hidup mereka sebaliknya betulkan persepsi dan percayalah bahawa mereka ini mahu keluar dari 'penjara' itu, namun tidak tahu bagaimana caranya atau kabur dalam menemui jalan yang betul," katanya.

BANGUN PAGI BOLEH LANGSING



Berita Harian, Rabu Februari 10, 2016

Susunan: Nor Affizar Ibrahim

Bangun pagi boleh langsing




Bangun pagi mempunyai banyak manfaat. Namun, segelintir individu ada yang liat bangun pagi, khususnya pada hari cuti atau tidak bekerja.
  Pada hari cuti, seolah-olah dijadikan hari untuk `balas dendam', tidur hingga matahari naik sebagai `ganti' bagi setiap hari yang harus bangun pagi.

  Tabiat ini tidak wajar dijadikan amalan kerana bangun pagi akan membuatkan anda berasa lebih baik dan segar. Berbanding, bangun kesiangan ia boleh memberikan beberapa kesan negatif pada tubuh.
  Antaranya boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Ini berlaku kerana kadar metabolisme dalam badan berjalan sangat perlahan ketika anda tidur. Disebabkan itulah bagi individu yang mengamalkan tidur berlebihan, berisiko tinggi untuk mengalami obesiti sehingga 21 peratus berbanding mereka yang mendapatkan tidur secara normal.
  Sekiranya anda biasa tidur lebih dari lapan jam setiap hari, risiko menderita sakit jantung juga adalah tinggi. Berdasarkan beberapa penelitian yang dijalankan, jumlah tidur sembilan hingga 12 jam sehari, tidak digalakkan kerana ia melebihi had waktu rehat yang sepatutnya.
 

Hilang waktu produktif

 
 Waktu tidur yang lebih dari lapan hingga sembilan jam sehari boleh meninggalkan kesan negatif ke atas tubuh. Pola tidur berlebihan boleh melambatkan fungsi sel otak, sekali gus mengakibatkan masalah ingatan. Jika tidak ditangani segera, ia mungkin lebih membahayakan hingga mengundang risiko nyanyuk.
    Bukan itu saja, tidur hingga kesiangan juga akan membuatkan anda kehilangan waktu produktif. Menurut pakar kesihatan, pagi waktu yang paling produktif kerana tubuh dan fikiran anda masih dalam keadaan segar.
  Jadi, jika menghabiskan pagi dengan tidur terlalu lama, maka anda akan kehilangan banyak waktu produktif dalam sehari.
 

Hasil penelitian

 

Dalam satu penelitian dibuat turut menemukan, jika individu itu bangun pagi boleh memiliki tubuh lebih langsing dan mereka juga lebih bahagia.
  Penelitian itu menggunakan data dari uji gen iaitu 23And Me. Data diambil dari 90,000 DNA responden yang kemudiannya dibahagi menjadi dua golongan. Golongan pertama, lebih produktif pada malam manakala yang kedua, lebih produktif pagi hari.
  Hasilnya, peneliti menemukan ada 15 gen yang terkait dengan orang yang bangun dan aktif pada pagi hari atau disebut morning person.

  Responden selain memiliki tubuh yang lebih langsing juga ditemukan lebih bahagia. Malah, responden yang bangun pagi juga memiliki kecenderungan lebih sedikit berisiko mengalami kemurungan.
  Peneliti, David Hinds, berkata, hasil penelitian itu berjaya menunjukkan perilaku adalah asas siapa sebenar diri seseorang itu.
  "Menariknya, penelitian itu melihat bagaimana biologi kita berpengaruh kepada beberapa hal, seperti anda adalah morning person atau night owl," kata Hinds.
  Beliau berharap, hasil penelitian berkenaan ia dapat membantu keadaan dari penyakit genetik yang pelbagai dan mengerti perbezaan manusia satu dengan yang lainnya. - AGENSI

Tuesday, March 13, 2018

SUKAR PADAM KENANGAN BERSAMA

Berita Harian, Jumaat Januari 30, 2015

Susunan Nor Affizar Ibrahim

Sukar padam kenangan bersama


Jika putus cinta atau bercerai, tentu merana atau paling tidak pun bersedih kerana kebiasaannya tiada pasangan menginginkan perpisahan.
Bagi yang sudah berkahwin, bukan mudah untuk mengambil keputusan bercerai terutama jika ada anak yang akan menjadi mangsa perceraian ibu bapa.
Jika tidak boleh dielakkan, masing-masing harus berusaha melupakan bekas kekasih atau bekas suami. Paling susah adalah memadamkan kenangan yang bersarang di hati walaupun sudah menyimpan pelbagai suka duka ketika hidup bersama.
  Bagaimanapun, situasi itu tidak seharusnya dibiarkan kerana lebih penting adalah untuk meneruskan perjalanan dengan tekad dan semangat lebih kuat.
  Kaji selidik mengenai berapa lama individu perlu melupakan bekas pasangan sama ada bekas kekasih, bekas suami mahupun bekas isteri, dilakukan baru-baru ini.
  Berdasarkan kaji selidik diterbitkan dalam majalah di Amerika Syarikat, The Journal of Positive Psychology itu menjelaskan, pasangan kekasih yang baharu berhubungan kurang setahun memerlukan tiga hingga enam bulan untuk melupakan bekas pasangan.
 

Redakan rasa sedih   

Pengkaji, Gary Lewandowski dan Nicole Bizzoce dari Monmouth University, New Jersey, melakukan soalan kaji selidik itu kepada 155 responden yang memiliki pengalaman berpisah dengan orang disayangi.
Hasil dapatan menunjukkan, sebanyak 71 peratus responden mengatakan, memerlukan waktu tiga bulan untuk meredakan rasa sedih dan amarah selepas putus cinta. Apabila memasuki tempoh enam bulan mereka mengakui, berasa lebih tenang dan boleh menerima kenyataan.
Selain itu, responden turut menyatakan selepas masuk bulan keenam, mereka mengakui sudah bersedia untuk mencari pasangan baharu.
  Hal yang sama tidak terjadi kepada pasangan suami isteri. Pasangan sudah berkahwin yang mengalami perceraian, memerlukan waktu lebih lama untuk pulih daripada luka perpisahan.
 

Kesedihan pasangan berkahwin

 
Hasil tinjauan kaji selidik mendapati, pasangan berkahwin yang berpisah memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun setengah untuk menerima kenyataan dan menjalani kehidupan sendiri selepas perceraian.

 
Sukar berdepan kegagalan

 
Sementara itu, laman web temu janji, Fifties.com, mendapati individu mengambil masa purata 18 bulan untuk menerima hakikat perceraian dalam perkahwinan, iaitu enam kali lebih lama dianggarkan Lewandowski dan Bizzoce.
Ini mungkin kerana perkahwinan dianggap komitmen yang lebih serius. Daripada responden yang disoal oleh laman web itu, satu daripada enam orang berkata, mereka mendapati sukar untuk berurusan dan berdepan dengan kegagalan perasaan. - AGENSI

KIMONO TERUS DIPERTAHAN


Berita Harian, Khamis Februari 25, 2016

Oleh Nor Affizar Ibrahim



Kimono terus dipertahan


 Suatu ketika dulu, kimono menjadi pakaian harian masyarakat Jepun. Tetapi kini, ia lebih dikenali sebagai pakaian tradisional bagi Negara Matahari Terbit itu.
 Hari ini, pemakaian kimono di negara itu lebih sering dikenakan wanita pada hari-hari istimewa atau tertentu, khususnya dalam kalangan generasi muda.
 Seiring dengan peralihan zaman dan kemajuan dicapai negara itu, kebanyakan generasi baharu di negara itu lebih senang mengenakan pakaian moden.

  Apatah lagi, ibu negaranya iaitu Tokyo dikenali sebagai antara kota fesyen gah di Asia dengan menampilkan pelbagai rekaan dan gaya fesyen, termasuk yang unik serta pelik.

Biarpun diasak dengan arus kemodenan dan dipengaruhi dengan budaya Barat, pembuatan baju tradisional ini masih terus dikekalkan. Walaupun tidak ramai lagi pengusaha berminat untuk bertahan dalam industri ini kerana permintaannya semakin berkurangan, masih ada yang gigih dan terus mempertahankannya.

 

Kekalkan kaedah tradisional

 
Generasi ketiga pusat tenunan, Usui Shokufu di Ise Momen yang terletak di Shenshuji, wilayah Mie Prefecture di Nagoya, Jepun antara yang kekal dan memberikan komitmen tinggi bagi menghasilkan kimono.
  Presiden Usui Shokufu, Naruo Usui, berkata ia bukan sekadar meneruskan legasi perniagaan keluarga tetapi kecintaannya terhadap warisan seni budaya dan tradisional negara.  Justeru, perniagaan tradisi dan warisan keluarga itu menjadi satu kebanggaan dalam mengekalkan warisan budaya masyarakat di negara itu.
  "Perniagaan keluarga ini sudah berusia lebih 200 tahun. Dulu, hanya kimono untuk pakaian harian saja dihasilkan manakala penghasilannya pula dibuat secara manual. Malah, kini walaupun sudah ada mesin tenunan moden, kami masih mengekalkan kaedah tradisional," katanya ketika ditemui di kilang tenun, Usui Shokufu di Ise Momen, baru-baru ini.
  Sememangnya unik, pembuatan kimono di sini dilakukan secara kaedah tradisional, bermula daripada pintalan benang hinggalah ditenun menjadi kain. Lalu, terhasil kimono yang cantik dan anggun untuk digayakan.
  Malah, kilang tenunan Usui Shokufu juga masih mengekalkan konsep rumah kedai tradisional daripada kayu yang menjadi pusat tenunan memintal benang, proses mencelupkan warna, membuat kimono, menyimpan stok kain kapas dan produk siap.


Bagaimanapun, Naruo mengakui, banyak cabaran dan rintangan ditempuhi dalam meneruskan perniagaan legasi keluarga itu. Lebih-lebih lagi, pemakaian kimono dalam kalangan masyarakat Jepun pada masa kini, tidak begitu meluas lagi seperti suatu ketika dulu.
  Katanya, malah sebelum ini banyak pengusaha gulung tikar dan beralih kepada perniagaan lain yang lebih memberikan pulangan lumayan.
  Tambahan pula, kos untuk menghasilkan kimono semakin meningkat manakala pembuatannya rumit, lebih-lebih lagi jika menggunakan kaedah tradisional. Selain itu, tidak ramai golongan muda berminat untuk bekerja dalam industri itu.
  Kepakaran membuat kimono diwarisi daripada generasi kepada satu generasi dan pada masa kini, golongan mahir kebanyakan sudah pun berusia.
 

Corak tenunan


"Usui Shokufu adalah satu-satunya perusahaan tenunan fabrik di Ise Momen yang menghasilkan kimono pada masa kini. Kami menghasilkan kimono daripada 100 peratus kain kapas dan ia bermutu tinggi, licin serta lembut dan cukup selesa dipakai. Selain dipakai masyarakat tempatan, ada juga pelancong luar yang berminat memiliki kimono kami," katanya.
  Naruo berkata, kimono dihasilkan menggunakan corak tenunan lama, seperti jalur yang dikenali dengan nama seperti kijoro, kasane, futon, yatara dan sebagainya serta corak berkotak merangkumi, window dan benkei.
  Hingga kini, terdapat lebih 100 corak dihasilkan dan bilangannya ditambah dari semasa ke semasa.
 

Corak moden jadi pilihan   

Selain mengekalkan corak tradisional, Usui Shokufu juga tidak lupa memperkenalkan corak moden yang menjadi pilihan generasi baharu hari ini.
  Katanya, corak moden dan menggunakan warna cerah menjadikan pemakai kelihatan muda dan aktif, manakala yang rona samar, sesuai untuk mereka sudah berusia, memperlihatkan kelembutan pemakainya.
  "Ada pelbagai jenis kimono seperti formal yang dipakai untuk acara tertentu, manakala kain kapas yukatas, dipakai di rumah untuk hari-hari. Dulu, mungkin kimono dipakai setiap hari, tetapi kini lazimnya, ia pakai untuk menghadiri majlis atau acara tertentu seperti perkahwinan atau hari perayaan," katanya.
  Naruo berkata, untuk menghasilkan kimono, sebanyak 12.5 meter kain diperlukan, manakala masa diambil untuk menyiapkan satu kimono tidak menentu.
  Harga untuk satu kimono yang diperbuat daripada kain kapas kini dijual pada har harga lebih RM800 sehelai.

ELAK ANAK JADI MANGSA INDIVIDU PEDOFOLIA





Berita Harian, Khamis April 14, 2016


Oleh Nor Affizar Ibrahim

Elak anak jadi mangsa individu Pedofilia



Pedofilia adalah suatu kelainan seksual (dan kejiwaan) pada seseorang yang punya tarikan kepada kanakkanak di bawah umur. Perkataan pedofilia ini berasal dari istilah Yunani iaitu paidophilia yang berrmaksud - pais (kanak-kanak) dan philia (cinta, persahabatan).
    Penderita pedofilia tidak terbatas hanya satu jenis jantina saja. Umumnya, mereka tertarik dengan kanak-kanak yang belum baligh.

Banyak faktor yang boleh menjadi penyebab pedofilia. Salah satunya, individu terbabit mempunyai sifat memendam rasa atau tertutup. Penderita pedofilia ini punyai kecenderungan takut untuk bergaul dengan rakan sebaya dengannya.
  Ini berikutan, kegagalan individu terbabit ketika penyesuaian diri dengan lingkungan sosial dan gagal membina hubungan interpersonal. Justeru, mereka akan mencari orang yang lebih kecil dan muda sehingga boleh dipengaruhi.
  Pakar psikologi yang juga saintis tingkah laku seksual dari University of Toronto, James Cantor, di dalam satu artikel dipetik sebagai berkata, bukan mudah untuk kita mengenali seorang pedofilia, iaitu individu yang mempunyai keinginan mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak.
  Katanya, ini kerana individu pedofilia, begitu berahsia dan hanya segelintir saja yang sanggup mengakui dirinya seorang pedofil.
 

Tiada batasan usia

 
Tidak ada batasan umur pada penderita pedofilia. Ertinya, penderita boleh berusia berapa saja, sekalipun dalam kalangan yang berusia tua.
    Penderita pedofilia juga tidak hanya dialami orang yang belum mempunyai pasangan, sebaliknya boleh terjadi dalam kalangan yang sudah mempunyai pasangan, bahkan punya anak.

    Pedofil lazimnya, mempunyai beberapa sifat yang khas antaranya obsesif. Mereka akan mengetahui semua hal yang berhubungan dengan mangsnya.
  Pedofilia juga bersifat predatori iaitu pelakunya akan melakukan segala upaya dan cara untuk memburu mangsa yang diinginkannya.
  Selain itu penderita pedofilia ini biasanya mempunyai jiwa yang kurang stabil dan mudah berubah-ubah. Mereka melakukan pelbagai cara untuk mencapai tujuan.
  Pertubuhan Psikiatri Amerika, mendefinisikan pedofilia sebagai minat seksual yang menetap, kuat dan berulang terhadap anak belum baligh yang berumur kurang daripada 13 tahun.
  Minat itu muncul intensif minimum enam bulan dalam bentuk fikiran, fantasi, dorongan, ghairah atau aktiviti seksual. Jika minat itu tidak disalurkan, mereka akan stres, tertekan dan mengalami pelbagai masalah interpersonal yang membuatnya sukar bersosialisasi dan mengendalikan emosi.
 

Elak anak jadi mangsa

 
Sementara itu, kanak-kanak yang menjadi sasaran penderita pedofila adalah kerana mereka biasanya lemah, menurut kata dan mudah dipujuk atau diancam.
Pakar psikologi sependapat, hingga hari ini belum ada ubat untuk mengatasi gangguan pedofilia. Malah, penyebab pasti pedofilia juga belum diketahui.
  Beberapa penelitian dan kajian mengenai pedofilia masih diteruskan, termasuk ahli neurologi, genetik dan psikologi bagi menemui jawapan yang lebih tepat.
  Bagaimanapun, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak mereka supaya tidak menjadi mangsa penderita pedofila.
  Lebih-lebih lagi, dalam kebanyakan kes, pelaku pedofilia adalah orang yang kenal dekat dengan mangsa. Justeru, perlu ada langkah pencegahan sewajarnya, sebelum terlambat.
 

PANDUAN

Antara perkara boleh dilakukan untuk melindungi anak daripada sasaran pedofilia.
 




1. Percaya kepada apa yang dikatakan anak
Ketika anak mengungkapkan mereka mengalami gangguan seksual, hampir 98 peratus yang dikatakan adalah kebenaran.
 
2. Awasi anak
Gangguan seksual terjadi ketika seorang anak sendirian dengan individu pedofilia di dalam kereta, tandas, ruang kosong atau lorong, atau kawasan tersembunyi dari tempat umum seperti khemah ketika berkhemah bersama dan sebagainya. Hindari membiarkan anak sendirian tanpa pengawasan.
 
3. Pantau komunikasi
Jangan biarkan golongan dewasa yang tidak dikenali berkomunikasi peribadi atau sendirian dengan anak. Ini termasuk melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) WhatsApp, twitter, Facebook, panggillan telefon dan sebagainya.
Jangan lupa masalah kekerasan seksual kepada anak juga boleh membabitkan orang terdekat, seperti bapa saudara, jiran dan lain-lain lagi.
 
4. Kata yang benar untuk bahagian tubuh
 Pastikan anak tahu dan menggunakan kata-kata yang benar untuk bahagian peribadi mereka: kemaluan, zakar, vagina, payudara, puting dan sebagainya.
 Jika mereka mulai merujuk ke vagina sebagai sesuatu yang boleh 'dinikmati', anda harus mulai menanyakan secara terperinci kepada anak siapa yang memberitahu hal berkenaan pertama kepada mereka.
   
5. Situasi rumah tangga tidak aman
Bapa yang kurang peduli atau kedua-dua orang tua terlalu sibuk dan keluarga yang bercerai, boleh membuatkan anak kurang perhatian. Anak yang sedih, kesepian, atau penuh konflik lebih mudah untuk dimanipulasi oleh individu pedofilia.

 
6. Komunikasi yang baik
Jangan beri reaksi berlebihan ketika anak mulai bercerita pengalamannya yang mungkin bernuansa seksual. Dengarkan ceritanya secara lengkap. Reaksi berlebihan, bahkan menganggap anak berbohong, boleh membuatkan anak menyimpan sendiri ceritanya.
   
7. Bawa anak jumpa pakar
Jika anda tidak berdaya menangani masalah sendirian, jalan terbaik bawa anak berjumpa pakar. Ini kerana jika ibu bapa terus mendesak bercerita, anak mungkin berasa tertekan dan akhirnya, akan menyimpan rahsia atau penderitaan dialami.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...