Monday, February 10, 2014

Khasiat cengkih

Berita Harian, Jumaat Oktober 4, 2013
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Khasiat cengkih


Rupa bentuknya kecil tetapi ia ada banyak kegunaan dan memberi manfaat untuk kesihatan. Apa yang pasti, apabila disebut bunga cengkih pasti suri rumah mengenalinya sebagai bahan masakan.
  
Kegunaan utamanya dalam masakan, antaranya ialah sebagai bahan rempah untuk membangkitkan aroma dan juga bagi menambahkan rasa sedap.

Justeru, bagi yang gemarkan haruman enak dalam hidangan disediakan, khususnya masakan menggunakan kari atau berasaskan pajeri dan acar, jangan lupa mencampurkan bunga cengkih.
  
Aroma semerbak yang diterbitkan apabila bunga cengkih ditumis bersama dengan bahan rempah ratus lain, termasuk kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, biji sawi dan sebagainya, membangkitkan selera sehingga rasa tidak sabar untuk menikmati masakan itu.
  
Cengkih digunakan sebagai perencah, baik dalam bentuknya yang utuh atau sebagai rempah serbuk. Ia bukan saja digunakan di Asia, malah di Eropah.
  
Selain menyedapkan masakan, cengkih juga boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan dalam penyediaan makanan. Misalnya, kajian di Universiti Kansas di Amerika Syarikat berkaitan rempah mendapati, cengkih berkuasa sebagai antibakteria dan membantu memusnahkan Escherichia Coli Infection (E.Coli) dalam daging.
  
Caranya, gaul satu sudu serbuk cengkih pada daging sebelum memasak sebagai cara untuk menjadikan hidangan anda sekeluarga menyihatkan.
  
Bukan saja untuk aroma makanan, ramuan cengkeh juga digunakan untuk menghasilkan wangian yang memberikan haruman dengan impak tersendiri.
  

Bantu tingkatkan kesihatan

Satu lagi cerita menarik mengenai cengkih yang pernah diperkatakan ialah mengenai amalan seorang guru agama di pondok tersohor di Kelantan, yang selalu mengunyah rempah itu sejak berumur 17 tahun lagi.

Walaupun sudah mencecah usia 90an, Tok Guru itu dikatakan, masih sihat dan boleh mengaji al-Quran dan mengajarnya dengan baik.
  
Amalan Tok Guru itu mengunyah cengkih 10 kuntum setiap hari dan menghisap airnya, dikatakan membantu meningkatkan kesihatannya supaya sentiasa sihat manakala penglihatannya masih tajam.

I
Itulah antara kehebatan cengkih, tanpa perlu mengeluarkan belanja banyak, ia ternyata amat berguna dan memberi manfaat dalam penjagaan kesihatan.
  
Hakikatnya, cengkih banyak mengandungi kandungan kimia yang bermanfaat kepada bidang kesihatan. Kajian mengenai rempah ini mendapati, eugnol yang dimilikinya dapat mencegah pembekuan darah dan dapat membantu mencegah strok.
  
Cengkih turut digunakan untuk mengubati beberapa penyakit. Malah, pengambilannya membantu merangsang pengaliran darah. Dengan itu pencernaan dan metabolisme tubuh mampu meningkat.
  
Penyelidik Jepun mendapati, seperti kebanyakan rempah ratus, cengkih mengandungi antioksida. Antioksida membantu mencegah kerosakan sel yang akhirnya menyebabkan barah.
  
  Dalam perubatan Cina pula, cengkih sering digunakan untuk mencegah mual dan mengatasi gangguan pencernaan. Rebusan cengkih bersama daun basil dan daun pudina, dipercayai dapat menurunkan tekanan.
  

Penggunaan rawatan tradisional
  
Selain itu, ia juga digunakan secara meluas dalam penjagaan pergigian untuk melegakan sakit gigi, sakit gusi dan ulser mulut. Perisa dan minyak cengkih menyekat pertumbuhan bakteria. Justeru, untuk gusi yang sihat, masukkan satu atau dua sudu cengkih dalam satu cawan teh pekat dan minum.
  
Cengkih atau nama saintifiknya Eugenia Aromaticum juga mengandungi pelbagai mineral, termasuk besi, magnesium, fosforus, natrium, kalsium, asid hidroklorik, kalium dan Vitamin C, K dan A.
  
Khasiat itu juga menyebabkan sejak dulu, cengkih terkenal digunakan sebagai ramuan untuk perubatan tradisional. Antaranya, menghilangkan bau mulut iaitu dengan cara, ambil sekuntum bunga cengkih hidup atau yang kering dan kunyah.
  
Zaman dahulu, cengkih juga lazim digunakan untuk mengubati penyakit campak.

Caranya, rendam semalaman beberapa cengkih di dalam air masak, kemudian ditambah dengan gula batu dan kacau hingga rata. Lalu, minum air berkenaan sedikit demi sedikit secara teratur.
  
Ada juga menggunakannya untuk mengubati batuk iaitu dengan mencampurkan bersama beberapa bahan lain seperti sirih, pelaga, gula batu dan sebagainya. Bahan dicampur direbus, kemudian airnya ditapis dan diminum dua kali sehari bagi menghilangkan batuk.
  
Selain untuk rawatan, cengkih juga berguna untuk beberapa petua lain seperti untuk mengusir nyamuk dan semut. Malah, cengkih juga dikatakan berkesan sebagai perangsang seksual atau menaikkan syahwat untuk lelaki.
    
INFO
  
  Menarik mengenai cengkih

  
  * Pada abad keempat, Raja Dinasti Han Cina memerintah setiap orang yang akan mendekatinya mesti mengunyah cengkih terlebih dulu supaya nafas mereka harum.
  
  * Pada zaman Romawi, cengkih, pala dan lada adalah rempah ratus yang tersangat mahal.

  
  * Cengkih menjadi bahan dagangan pertukaran oleh bangsa Arab pada abad pertengahan. Pada akhir abad ke-15, orang Portugis mengambil alih dagangan pertukaran di Lautan Hindi, seterusnya menguasai perdagangan cengkih melalui perjanjian Tordesillas dengan Sepanyol.
  
  * Orang Portugis membawa cengkih yang mereka peroleh dari kepulauan Maluku ke Eropah dengan harga satu kilogram (kg) cengkih bersamaan 7 gram emas.
  
  * Perdagangan cengkih akhirnya didominasi oleh orang Belanda pada abad ke-17. Orang Perancis berhasil membudayakan tanaman cengkih di Mauritius pada 1770. Diikuti dengan Guyana, Brasilia dan Zanzibar.
  
  * Pokok cengkih tertua di dunia tumbuh di wilayah Tongole, daerah Ternate Tengah, enam kilometer dari pusat kota Ternate, Indonesia. Pokok yang disebut sebagai Cengkih Afo ini berumur 416 tahun, tingginya 36.60 meter (m), berukuran lilit 198m dan keliling batang 4.26m. Setiap tahun ia, menghasil sekitar 400kg bunga cengkih.
  
  * Doktor tradisional Cina sudah lama menggunakan cengkih untuk merawat senak perut, masalah penghadaman, cirit-birit, angin pasang (hernia) dan kurap, serta penyakit celah jari kaki (athlete's foot) dan lain-lain jangkitan kulat.
  
  * Pengamal perubatan tradisional Ayurveda India menggunakan cengkih sejak zaman purba bagi merawat penyakit pernafasan dan penghadaman.
  
  * Perubatan herba zaman pertengahan Jerman menggunakan cengkih sebagai sebahagian daripada ramuan campuran rawatan anti-gout.

KELEBIHAN URUTAN

 Berita Harian, Khamis, September 29, 2005
 Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Kelebihan urutan



KUASA dan keajaiban sentuhan urutan memang tidak dinafikan mempunyai banyak manfaat serta memberi kesan yang begitu mendalam, bukan saja pada fizikal tetapi juga minda dan jiwa individu.
  
Sentuhan urutan juga sering dikatakan, penting untuk semua yang bernafas sama ada sentuhan seorang ibu pada bayinya, isteri pada suami, nenek pada cucu dan sebagainya. Jadi tidak hairan jika pengarang buku The Power of Touch, Dr Phyllis K Davis, ada berkata di sentuh dan menyentuh adalah sebahagian asas manusia.
  
Pengasas Tim Body Care Training Centre, Tim Low Chee, berkata apabila seseorang mendapat sentuhan urutan, beliau dapat merasakan tekanan sewaktu kerja akan hilang, manakala fikiran dan jiwa kembali menjadi tenang.
  
Selain itu, urutan juga mampu menimbulkan perasaan yang harmoni dan memberi kesejahteraan menyeluruh serta dapat berasakan diri dimanja.
  
"Bagi pasangan suami isteri misalnya, urutan bukan saja sebagai sentuhan fizikal semata-mata tetapi berkait rapat dengan emosi. Ini kerana sentuhan urutan dapat mewujudkan jalinan kasih sayang yang lebih intim dan akan membuatkan pasangan berasakan dirinya lebih dihargai, begitu diambil berat, rasa lebih selamat dan diberikan perhatian.
  
"Begitu juga hubungan antara ibu dan anak. Malah, ketika anak di peringkat bayi lagi, ibu disarankan mengurut bagi mengeratkan lagi perasaan kasih sayang selain membantu perkembangan tumbesarannya," katanya.
  
Tim berkata, perkara seumpama itu bukan sesuatu mustahil kerana urutan membabitkan manipulasi struktur tisu lembut badan secara manual bagi menghilangkan ketidakselesaan, pengecutan otot dan tekanan serta meredakan kesakitan.
  
  Urutan turut merangsang pengeluaran hormon endorfin iaitu sejenis bahan kimia yang membangkitkan rasa gembira dan meningkatkan keyakinan diri. Dengan melakukan cara menyentuh, membelai dan melakukan gerakan tertentu seperti meramas, memicit, mengusap dan memberikan tekanan pada bahagian tertentu tubuh, kesan seumpama itu boleh dicapai dan dinikmati.
  
  Tim berkata, satu kerugian sekiranya suami atau isteri yang mendambakan sentuhan pasangannya, setiap kali ingin merasakan keajaiban sentuhan urutan, mereka terpaksa pergi ke pusat rawatan terapi .
  
  "Bukan tidak boleh pergi ke pusat rawatan terapi tetapi sudah tentu lebih baik dan istimewa jika sentuhan itu dilakukan sendiri oleh pasangan. Bagi ibu yang mempunyai anak pula,
apakah yang boleh dilakukan jika anak mengadu berasa lenguh badan kerana terlalu penat bermain.
  
  "Selain memberi ubat sudah tentu mengurut badan si anak dapat meredakan ketidakselesaan itu.
  
  Mengurut juga secara tidak langsung, membantu anak lebih bertenaga, tidur nyenyak dan bangun lebih segar pada keesokan harinya," kata Tim lagi.
  
  Beliau yang mempunyai sijil latihan di The Royal School Medicine & Massage, Thailand berkata, belajar teknik dan cara mengurut tidak sukar. Untuk berkongsi pengalaman, pusat rawatan aromaterapi yang dibukanya dan berpusat di Petaling Jaya, sedia menawarkan latihan dan kemahiran mengurut.
  
  Katanya, melalui kemahiran yang dipelajari, peserta boleh menggunakannya untuk kebaikan sendiri atau memberi perkhidmatan kepada orang lain seterusnya berupaya dijadikan sebagai sumber pendapatan tetap atau sampingan yang lumayan.
  
  Low berkata, urutan aromaterapi khususnya, sudah terbukti sebagai satu bidang perniagaan yang semakin berkembang dan salah satu kerjaya berpontensi boleh diceburi segenap lapisan masyarakat.
  
  "Suri rumah dan siswazah yang masih menganggur mungkin patut cuba mengikuti kursus di sini. Mereka mungkin boleh memulakan perniagaan suatu hari nanti. Golongan ibu tunggal yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada kemahiran lain juga mungkin boleh menjadikan mengurut sebagai kerjaya untuk menampung kehidupan.
  
  "Bayangkan, bayaran khidmat mengurut paling minimum ialah RM50 bagi seluruh badan. Jika sehari, dapat tiga pelanggan pendapatan yang diperoleh ialah RM150. Dalam tempoh sebulan, pendapatannya boleh mencapai lebih kurang RM4,000. Dengan waktu kerja yang lebih anjal, sudah tentu lebih senang mengatur hidup," katanya lagi.
  
  Pusat latihan Tim Body Care Training Centre menawarkan kursus asas yang mendedahkan peserta mengenai teknik mengurut seluruh anggota badan. Peserta akan diajar cara urutan aromaterapi dan Thai serta akan diberikan latihan praktikal.
  
  Antara teknik mengurut lain yang diajar ialah urutan kaki dan tapak kaki, urutan belakang dan pinggul, pemulihan sukan, detoksifikasi badan, urutan tangan bagi yang menghidap atritis, urutan muka dan urutan kepala untuk sakit kepala. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03 79600018 / 013 3986868 atau layari laman web www.massage.com.
  
  FAKTA
  
  Urutan yang menjadi bentuk penjagaan perubatan tertua dan paling ringkas mempunyai beberapa faedah seperti:
  
  * Menyingkirkan lebihan toksin badan.
  
  * Mengurangkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
  
  * Merehatkan otot-otot yang selama ini mungkin mengalami ketegangan.
  
  * Melicinkan tekstur kulit yang menjadi organ tubuh manusia paling besar.
  
  * Melancarkan sistem pencernaan.
  
  * Membentuk badan.
  
  * Menyeimbangkan minda, rohani dan jasmani.
  
  * Mengurangkan kebimbangan dan tekanan mental.
  

Wednesday, January 15, 2014

Keajaiban pupur timun

Berita Harian, Isnin Julai 29, 2013
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Keajaiban pupur timun



Jika anda mempunyai kulit wajah jenis berminyak, jerawat memang senang tumbuh. Liang pori-pori pun lebih besar. Lazimnya, masalah jerawat ini nampak ketara pada bahagian pipi.
   Justeru, anda perlulah memberikan lebih perhatian terhadap penjagaannya. Salah satu cara adalah memakai topeng muka atau pupur wajah yang disaran, diamalkan seminggu sekali bagi penjagaan kulit wajah lebih baik.
  
  Dengan memakai pupur, ia dapat mengurangkan dan merawat masalah kulit berminyak yang menjadi punca jerawat dan pigmentasi. Malah, ia dapat mengecilkan liang pori-pori dan melembapkan kulit wajah.
     Pakar kecantikan turut berpendapat, penggunaan pupur secara konsisten dan teratur dapat membantu mendapatkan kulit wajah yang cantik dan halus. Ia bukan saja dapat menghaluskan kulit wajah tetapi dapat menyingkirkan lapisan kulit mati pada kulit wajah bagi mengelakkannya tersumbat.
  
  Buat sendiri topeng muka
  
  Selain membeli topeng muka yang terdapat di pasaran, anda juga boleh membuatnya sendiri dan ia mungkin lebih menjimatkan. Bagi yang mempunyai kulit wajah berminyak, topeng wajah yang diperbuat daripada kebaikan timun dikatakan dapat membantu masalah berkenaan.
  
  Selain memberikan kebaikan kepada kesihatan, termasuk menggalakkan pembentukan diet ringan dan sihat, timun juga memberikan beberapa manfaat dalam rawatan kecantikan.
  
  Apa yang pasti, timun adalah bahan semula jadi dan bebas bahan kimia, manakala untuk mendapatkannya tidaklah terlalu susah. Jadi mengapa tidak cuba membuat topeng wajah menggunakan timun, apatah lagi bukan sukar untuk menghasilkannya. Kesannya yang sejuk memberikan kesegaran pada kulit wajah.
  
  Kandungan air yang tinggi iaitu 95 peratus dan vitamin A, B & C serta mineral tertentu seperti magnesium, kalium, dan silika menjadikan penggunaan timun penting dalam penjagaan kulit.

  
Justeru, topeng muka yang mengandungi khasiat timun boleh digunakan untuk ketegangan kulit. Timun turut mencegah hidrasi dan meremajakan kulit, di samping menggalakkan pengelupasan dalam epidermis.

Selain itu, ia juga nutrien yang sangat baik untuk kulit dan membantu meninggalkan kesan lembut serta halus pada kulit. Bahkan, kulit timun juga boleh memberikan kelegaan kepada kulit yang disebabkan oleh selaran matahari.
  

Cegah kedutan
  
 Pakar kulit dari Omaha, Nebraska, Joel Schlessinger dalam satu artikel menyatakan, kandungan silika dalam timun adalah kolagen yang sangat baik digunakan untuk mengusir dan mencegah munculnya kedutan yang tidak disenangi kebanyakan wanita.


  Kandungan potassium dan vitamin yang tinggi, membuatkan buah ini sangat efektif menangkis radikal bebas yang boleh mempercepatkan penuaan.
  
  Oleh itu, apa tunggu lagi, mulai hari ini amalkan penggunaan topeng muka yang dihasilkan daripada timun. Lebih menarik, ia bukan saja sesuai untuk kulit berminyak, tetapi juga sebarang jenis kulit wajah.
  
  Bagi mendapatkan kesan yang diinginkan, gunakanlah topeng muka timun ini untuk seminggu sekali untuk mendapat hasil yang diinginkan.
  
  Cara membuat topeng wajah itu mudah saja. Pertama, potong timun dan kemudian kisarkan sehingga halus. Selepas itu barulah disapukan pada permukaan wajah dan biarkan lebih kurang 15 hingga 30 minit. Apabila selesai, bersihkan topeng wajah itu dengan air dan bersihkan sisa yang masih menempel dengan air hangat. Untuk hasil yang maksimum, anda boleh menambahkan bahan lain seperti yogurt dan putih telur.
  

  TIP
  
  Panduan membuat topeng muka guna timun

Bahan:
  
  * 1 biji timun
  
  * 1 biji lemon
  
  * 1 biji telur
  
  Cara buat:
  
  * Kupas kulit timun dan buang biji.
  
  * Kisar timun sehingga hancur dan saring airnya dalam mangkuk.
  
  * Masukkan satu sudu lemon.
  
  * Masukkan putih telur dan kacau hingga rata.
  
  * Sapukan pada kulit wajah. Biarkan 15 hingga 30 minit.
  
  * Bersihkan dengan air suam.
  
  


INFO
  
  Beberapa perkara menarik mengenai timun
  
  * Di Malaysia, timun sering dijadikan ulam kerana ia cukup enak dimakan secara mentah dan ada juga yang dimasak terlebih dulu.
  
  * Di Mesir, jus timun digunakan sebagai ubat penurun panas yang baik bukan saja untuk demam tetapi rasa `terbakar' dalam badan.
  
  * Di Russia, timun pada masa dulu dianggap sebagai makanan penting dan dijadikan ubat dalam perubatan tradisional. Bahkan, ada perayaan tradisional sempena timun, yang diadakan di tempat berlainan di Russia.
  
  * Timun tidak mengandungi sebarang kekotoran yang berbahaya dan sesuai untuk makanan walaupun untuk orang dengan pelbagai reaksi alergi.
  
  * Timun mengandungi 95 peratus air yang bermaksud bahawa makanan ini sememangnya tidak membebankan pankreas.
  
  * Timun bagus untuk menurunkan berat badan kerana kandungan kalorinya rendah, tetapi tinggi kandungan air.
  
  * Amalan memakan timun membantu mengatasi sembelit.
  
  * Kajian turut mendapati, sesetengah sebatian dipanggil sterol kolestrol di dalam timun, membantu mengurangkan paras kolestrol.
  
  * Asid askorbik dan asid caffeic dalam timun membantu mengurangkan keadaan bengkak di bawah mata. Jika anda mengalami mata letih dan bengkak, tekapkan timun yang dipotong membulat pada mata. Ia mempunyai sifat anti-inflamasi dan membantu mengurangkan bengkak berkenaan.
  
  * Timun membantu menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat kerana ia mengandungi silikon dan sulfur.

Ikon pemimpin wanita

Berita Harian, Khamis April 11, 2013
Oleh Nor Affizar Ibrahim


 Ikon pemimpin wanita



 
RAMBUT putih, air muka serius, sikap tegas menjadi identiti dan menggambarkan karakter serta keulungan mengenai wanita besi Britain ini.

   Ketokohan dalam arena politik dikagumi dunia sekitar abad ke-20. Kewibawaannya disegani lawan dan kawan. Ketrampilannya dalam kepemimpinan pasti terus disimpan kemas dalam lipatan sejarah untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.
   Margaret Thatcher, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, bekas Perdana Menteri Britain tidak lagi dilihat kelibatnya selepas meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada usia 87 tahun, Isnin lalu.
   Kisah hidupnya yang difilemkan memenangi anugerah Oscar lakonan Meryl Streep berjudul The Iron Lady.
  

Cemerlang, tegas
  
Thatcher anak kedua seorang penjual sayur dan penjahit pakaian. Bapanya juga aktif dalam politik tempatan dan memegang jawatan sebagai ahli majlis tempatan, pemimpin gereja dan Datuk Bandar Grantham.
   Thatcher, wanita cantik dan cemerlang sejak muda. Ketika wanita masih lagi memenuhi peranan sebagai suri rumah pada 1950-an, beliau sudah berada di universiti.

   Pada awal pendidikannya, Thatcher mendapat ijazah dalam bidang kimia di Sommerville College dan mendapat gelaran Master of Art dari Universiti Oxford, tetapi beliau tidak puas hati dan mengambil pengajian undang-undang beberapa tahun kemudian serta lulus cemerlang pada 1953 dan diterima sebagai peguam oleh Lincoln's Inn pada 1954.
  
Beliau membuat pengkhususan dalam bidang undang-undang percukaian dan pernah bekerja sebagai penyelidik kimia sebelum beralih ke syarikat perindustrian lain.
   Thatcher disifatkan seorang yang berhati keras, tegar dan mempunyai daya tahan luar biasa dari segi mental dan fizikal. Beliau tertarik dengan dunia politik kerana sangat mengagumi ayahnya. Kecenderungan politik akhirnya menyaksikan Thatcher menjadi ahli Parlimen pada 1959 ketika usia 34 tahun selepas memenangi kerusi Finchley di utara London.
   Ketika itu Thatcher sudah pun berkahwin dengan Dennis Thatcher dan dikurniakan sepasang anak kembar. Mereka berkahwin pada 1952, tetapi ia tidak pernah menghalang minatnya, sebaliknya kerjaya politik wanita berjiwa kental itu terus bersinar. Padahal, sebelum itu beliau pernah gagal mencapai cita-citanya.

   Beliau bertanding dalam dua pilihan raya, mewakili Parti Konservatif pada 1950 dan 1951. Pelantikan jawatan Kabinet beliau yang pertama bermula pada 1961 iaitu sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pencen dan Insurans Kebangsaan.

   Menjelang usia 44 tahun, beliau berada dalam Kabinet sebagai Menteri Pendidikan dan pada ketika itulah kerjayanya sebagai ahli politik berada di kemuncak. Seterusnya, Thatcher dilantik sebagai Ketua Parti Konservatif yang juga Ketua Pembangkang pada Februari 1975 dan dilantik, Perdana Menteri Britain pada Mei 1979.
  

Jolokan Wanita Besi

Pada 1970-an, ketika pergerakan wanita satu kemestian hidup di Amerika Syarikat, Thatcher sudah mencapai kejayaan peribadi dalam apa yang mereka kempen dan melobi, rasa hormat, gaji sama rata, kedudukan kuasa di tempat kerja, dan peluang memperguna kepakaran yang ada.


   Pernah diceritakan, ketika kali pertama memasuki parlimen, Thatcher dipandang aneh oleh rakan seperjuangan lain yang semuanya lelaki. Sememangnya, ketika itu tidak lazim berlaku wanita berada di tempat itu. Malah, waktu itu tandas dan ruang di dalamnya, sama sekali tidak mesra wanita.
   Jolokan `Wanita Besi' wujud kerana sikap kerasnya. Kedudukannya sebagai pemimpin kerajaan dipertahankan tiga kali. Malah, Thatcher adalah wanita pertama menjadi Perdana Menteri Britain - sebuah kuasa besar dalam mencarta orde dunia.
   Bekas pemimpin politik itu menjadi rujukan kepemimpinan wanita dunia, malah banyak pemimpin wanita yang menjadikan ketegasan, kewibawaannya sebagai aspirasi, seperti Tansu Ciller yang mendapat jolokan Turkey's Iron Lady.
   Thatcher juga sering dikatakan sebagai contoh moden kepemimpinan mantap seorang wanita. Beliau dihormati dan disegani bukan saja ahli politik lelaki, tetapi wanita. Beliau membuktikan dirinya sebagai pemimpin efektif dan wanita contoh bagi semua wanita.
  

Dikagumi ramai
  
Ketika menguasai tampuk pemerintahan, beliau disukai ramai, tetapi pada masa sama, ramai juga yang membencinya.

   Beliau menarik perhatian dunia terutama selepas berjaya menerajui Britain dalam peperangan dengan Argentina pada 1982. Beliau memahami ahli politik perlu memberi arahan jelas kepada tentera mengenai matlamat yang hendak dicapai dan membiarkan mereka melaksanakannya.


Seorang laksamana tentera pernah berkata: "Beliau (Thatcher) berpegang kepada kesetiaan, keberanian dan kesungguhan. Pemimpin dari seluruh dunia mula mengakui kaedah dan menilai pencapaiannya dengan teliti dan mereka cuba menirunya."

  Salah seorang yang mengagumi beliau ialah Ronald Reagan yang menjadi Presiden Amerika, 18 bulan selepas Thatcher menjadi Perdana Menteri Britain.
   Reagan gemar mengikuti ceramah Thatcher mengenai nilai pasaran atau meminimumkan pergantungan kepada negara.
   Hubungan diplomatik Thatcher dengan Malaysia juga baik. Umum mengetahui kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat ketika pentadbiran Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggakan model dasar penswastaan yang diperkenalkan pada zaman Thatcher diguna pakai di negara ini.
  

Tumbang dan bersara

  
Thatcher kukuh dalam kedudukannya sehingga 1987. Sebagai perdana menteri, beliau memberi tumpuan kepada pengurangan cukai dan pengurangan perbelanjaan awam.
  Buat kali pertama, Britain merasa peningkatan umum dalam pendapatan dan pembaharuan ekonomi menyeluruh ketika penggal pemerintahannya.
   Bagaimanapun, popularitinya di Eropah mulai merosot kerana pendiriannya yang tiada tolak ansur dalam isu tertentu. Beliau akhirnya ditumbangkan pada 1990 dan bersara untuk menjadi anggota dewan rakyat saja pada 1992.
   Namun, Thatcher, yang menjadi perdana menteri antara 1979 dan 1990 dikagumi kerana melakukan perubahan di sebuah negara dalam tempoh sedekad dan berjaya meletakkan Britain kembali sebagai negara industri utama dunia.
   Beliau mula mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu. Thatcher dimasukkan ke hospital selepas Krismas dan menjalani pembedahan untuk membuang satu ketumbuhan pada pundi kencingnya tetapi dibenarkan pulang ke rumah sebelum sambutan tahun baru.
   Dalam petikan buku yang ditulis anak perempuannya, ada menyatakan pada 2008 Thatcher mengalami dementia atau nyanyuk selama lapan tahun dan terpaksa diingatkan bahawa suaminya sudah meninggal dunia.
   Katanya, bagaimana penyakit nyanyuk ibunya menyebabkannya berusaha keras mengingati fakta mudah dalam petikan buku diterbitkan itu.
   Carol turut menulis, ketika hari teruk, ibunya berusaha menghabiskan ayat, namun masih menunjukkan imbasan dirinya, terutama ketika bercakap mengenai masanya di Downing Street.
   "Saya sentiasa mengingati dirinya sebagai wanita yang tidak pernah dimakan usia, tak lapuk dek zaman dan 100 peratus kalis besi," kata Carol dalam memoirnya, A Swim- On Part In The Goldfish Bowl, yang diterbitkan secara bersiri dalam akhbar Sunday Mail.
  

Cita rasa tinggi dalam berfesyen
  
Penampilan Thatcher dengan pelbagai fesyen pakaian dan aksesori memperlihatkan beliau mempunyai cita rasa tinggi dalam gaya.
   Beliau terkenal dengan membawa beg tangan ke mana-mana saja termasuk ketika melawat pemimpin terkemuka dunia, selain dilihat suka memakai topi yang sentiasa menghiasi kepalanya.


   Dalam menonjolkan imej dan cita rasa berpakaian, Thatcher didapati gemar mengenakan fesyen berkualiti tinggi dan ia pernah menjadi sebahagian gaya hidupnya.
   Jenama ternama dan tersohor dekat dengan dirinya dari beg tangan hinggalah kasut seperti Asprey dan Salvatore Ferragamo. Secara keseluruhan, penampilannya lebih menjurus feminin dengan gaya British yang kental, anggun dan berkelas.
  

Gemar wangian
   Haruman yang menjadi kegemaran pula ialah campuran basil, neroli dan lavender dalam air mandiannya. Beliau mula diperkenalkan kepada penggunaan wangian untuk merehatkan badan dan menikmati ketenangan oleh seorang rakan seperjuangan dalam bidang politik, Emma Nicholson, yang menempah khas haruman untuk kegunaannya dari klinik aromaterapi, dikendalikan oleh Daniele Ryman.
   Malah, Thatcher turut menggunakan wangian tertentu untuk masalah urat leher dan bahu tegang. Mendiang Presiden Perancis, Francois Mitterrand pernah menyifatkan Thatcher sebagai wanita yang memiliki `mata seperti Caligula dan bibir seperti Marilyn Monroe.'
   Tidak keterlaluan dikatakan, jika sesiapa saja ditanya, siapa personaliti yang terus meninggalkan imej keutuhan kepemimpinan wanita, orangnya mest
i Margaret Thatcher. Bayangan wanita berhati waja itu muncul sebagai pemimpin yang tiada tolok bandingnya.
  
 

INFO
  
Margaret Thatcher
  
  - Nama sebenar: Margaret Hidla Roberts.
  
  - Tarikh/tempat lahir: 13 Oktober 1925 di Grantham, England.
  
  - Meninggal dunia: 8 April 2013 di London.
  
  - Suami: Dennis Thatcher (meninggal pada 2003).
  
  - Anak: Dua anak (Mark Thatcher dan Carol Thatcher)
  
  - Perdana Menteri wanita pertama Britain - 1979.
  
  - Dilantik pemimpin Parti Konservatif (1975 hingga 1990).         

Derita tumpah haid

Berita Harian, Khamis Januari 26, 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Derita tumpah haid


 WANITA lazimnya pasti berasa takut dan bimbang jika pengaliran darah haid mereka keluar dengan banyaknya. Sudahlah wajah pucat dan lesu, lebih memburukkan lagi keadaan apabila rutin hidup baik di rumah mahupun di pejabat juga terjejas apabila terpaksa kerap ke bilik air untuk menukar tuala wanita yang basah dengan haid.
  
  Bukan itu saja, masalah `tumpah haid' yang berpanjangan atau berlanjutan turut membimbangkan, khususnya bagi Muslimah apabila tidak dapat bersolat dengan sempurna. Biarpun dibolehkan bersolat selepas tempoh 15 hari datang haid, namun ia pasti menjadi gangguan. Soal bimbang, risau dan mudah jadi marah belum dikira lagi.


  
 Bagi yang kali pertama atau tidak pernah mengalaminya pula, mungkin tertanyatanya apakah punca atau faktor sebenar menyebabkan berlakunya pendarahan haid banyak ini.

Akhirnya, kerisauan terus membelenggu diri kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Apatah lagi bagi sesetengah wanita, ada yang berbeza pendapat mengenai kedatangan haid.
  
  Tidak kurang juga yang seboleh-bolehnya cuba menyembunyikan proses itu dari pengetahuan orang sekeliling, terutama suami, kerana menganggap ia hal perempuan. Jauh sekali mahu membincangkannya secara terperinci.
  
  Apakah pendirian itu wajar? Apa yang penting, masalah seperti ini tidak harus disembunyikan kerana sikap tidak ambil pusing itu lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat.
  
Persepsi itu turut dipersetujui, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Suhaimi Isa, yang menegaskan wanita yang mengalami masalah pengaliran darah haid banyak atau Menorrhagia dinasihatkan segera berjumpa doktor ginekologi.
  
  Dr Suhaimi berkata, doktor akan melakukan pemeriksaan ultrabunyi untuk melihat sistem reproduktif wanita yang mengalami masalah berkenaan. Tujuannya untuk meneliti rahim bagi masalah seperti fibroid dan kemungkinan wujudnya sista dalam ovari.
  
  "Bagi wanita lebih 40 tahun disyorkan histeroskopi dan D&C (Dilation & Curretage) untuk mencari punca dalam ronga rahim. 

D&C digunakan bagi mendapatkan sampel dinding rahim bagi tujuan histologi.
 
  
  "Apa yang penting, adalah untuk melihat jika wujudnya masalah seperti barah atau kanser rahim.

Kaedah paling konservatif pula menggunakan ubatan hormon dan transamine setiap bulan.
  
  "Kalau pembedahan kurang radikal adalah seperti endometrial ablation iaitu memusnahkan lapisan endometrium menggunakan pembedahan krio, laser atau gelombang mikro, serta resection (kaedah yang mana lapisan endometrium dikikis atau dipotong).
  
  "Kemuncak rawatan adalah histerektomi (pembuangan rahim). Ini semua adalah beberapa pilihan yang ada dan semua rawatan dijalankan selepas pemeriksaan manakala setiap rawatan adalah individu," katanya yang juga pakar di Hospital Pantai Ampang.
  

 Jumlah darah haid

Persoalannya apakah yang dikatakan haid banyak? Bagaimanakah mahu mengukur jumlah darah yang menepati tafsiran sebagai banyak itu?
  
  Dr Suhaimi berkata, usaha mengukur jumlah darah yang keluar amat subjektif dan bergantung kepada wanita mengalaminya.
  
  Jumlah darah yang turun semasa haid kebiasaannya adalah 30cc dalam masa seminggu. Bagaimanapun, definisi Menorrhagia atau perdarahan terlalu banyak adalah lebih daripada 80cc dalam seminggu.
  
  "Ya, tidak mungkin kita dapat mengukur jumlah haid yang keluar setiap bulan. Justeru, beberapa petunjuk digunakan seperti jumlah tuala wanita digunakan dalam masa sehari atau seminggu.

Persoalan seperti adakah haid datang bersama ketulan darah dan apakah saiznya; berapa kerap wanita itu menukar tuala dalam sejam dan juga adakah mereka mengalami susah bernafas dan cepat mengah bila berjalan kerana kekurangan darah?
  
  "Semua ini terlalu subjektif dan amat sukar untuk dilihat secara kuantiti. Sekiranya ujian darah menunjukkan wanita itu mengalami anemia atau kurang haemoglobin maka diagnos Menorrhagia mungkin betul.
  
  "Kaji selidik pula menunjukkan, jika seseorang wanita kehilangan darah lebih dari 80cc setiap bulan mereka akan mengalami anemia.
  
  "Malah ada beberapa carta yang digunakan bagi pesakit menganggarkan jumlah darah yang turun dengan berpandukan pada gambar rajah diberi. Tetapi segelintir wanita terlalu pembersih mereka beranggapan mereka mengalami Menorrhagia kerana kerap sangat menukar tuala," jelasnya.
  
Remaja juga alami masalah ini
  

ADA dua peringkat umur yang selalu mempunyai masalah Menorrhagia. Pertama, pada peringkat remaja bawah 20 tahun manakala satu lagi, melebihi 40an.
  
  Pada peringkat umur ekstrem ini katanya, kerap mempunyai masalah pendarahan banyak sehingga boleh mengganggu kehidupan, manakala umur peringkat pertengahan selalunya mempunyai kitaran haid normal. Namun tegasnya, perkahwinan tidak mengganggu haid.
  
  "Pendarahan haid banyak berlaku kerana pada umur ekstrem berlaku gangguan pada kitaran ovulasi pada ovari. Kitaran normal memerlukan interaksi hormon dari kelenjar pituitari, ovari dan rahim. Paksi pituitari, ovari dan rahim berjalan normal sekiranya tiada masalah pada ketigatiganya. Kelenjar pituitari amat jarang memberi masalah tetapi masalah ovari punca utama dengan perjalanan haid yang tidak sempurna dan banyak," katanya.
  
  Apabila umur mencapai 20 tahun dan lebih 40 tahun, ada folikel atau benih telur tidak dapat membesar dengan baik hingga ke peringkat ovulasi. Apabila tiada ovulasi, dinding akan dirangsang terlalu lama dan maksimum kerana folikel akan menghasil hormon estrogen yang berlebihan.
  
  Apabila dinding terlalu tebal ia akan luruh dengan banyak sekali dan ini menyebabkan Menorrhagia. Rahim dan fibroid bagaimanapun, bukan punca Menorrhagia.
  
  "Fibroid tidak mengganggu haid kecuali ia sudah terlalu besa
r atau membesar di dalam rongga rahim. Kesimpulannya, masalah menorragia terutama pada ovari."
  
  Dr Suhaimi turut memberitahu, kebanyakan masalah haid banyak berlaku pada wanita yang mengalami kitaran haid tidak tetap kerana mereka juga mempunyai masalah pada ovari. Justeru, tidak hairan jika mereka juga mengalami masalah Menorrhagia.
  


Kaitan alat cegah hamil
  
  MENGENAI pemasangan alat pencegahan kehamilan dalam rahim (alat intrauterin, IUD) dikatakan amat berpotensi menyebabkan Menorrhagia, tegasnya alat sedemikian boleh menyebabkan perdarahan semasa lebih sedikit daripada biasa tetapi tidaklah sampai ke peringkat Menorrhagia.
  
  "Potensinya memang ada tetapi amat jarang sekali. Fakta ini tidak boleh di jadikan isu yang patut dibangkitkan. Memang ia menyebabkan darah berlebihan, tetapi praktikal ini bukan satu masalah besar bagi pesakit. IUD ini mempunyai tembaga di kelilingnya bagi memberi kesan kontraseptif yang lebih berkesan," jelasnya lagi.
  
  Mengenai penggunaan sistem pencegahan kehamilan yang dilengkapi hormon atau lebih dikenal dengan panggilan IUS atau sistem intrauterin, Dr Suhaimi berkata, pakar perubatan banyak menggunakan alat itu bagi wanita yang mempunyai masalah Menorrhagia dan tidak mempunyai niat untuk mengandung lagi serta sesuai bagi mereka berusia 40 tahun ke atas.
  
  Namun, penggunaan IUS sesuai bagi mereka yang mempunyai rahim bersaiz normal dan rahim tidak mempunyai masalah lain seperti fibroid. Kaedah ini juga sesuai mereka yang tidak mahu atau tidak sesuai membuat pembedahan dan ingin mencuba kaedah kurang radikal.
  
  "Kebanyakan wanita menggunakan kaedah ini boleh menerima serba sedikit masalah yang timbul, tetapi yang penting mereka mendapati haid berkurangan.

Namun, alat ini bukan sesuai untuk semua yang mempunyai masalah sama. Paling baik berbincang dengan doktor," nasihatnya.

Kaedah rawatan untuk remaja

  Dr Suhaimi berkata, bagi remaja kaedah rawatan ialah menggunakan hormon seperti pil cegah kehamilan yang perlu diambil selama 21 hari. Ini berikutan, sesuai dengan umur mereka dan hormon lebih gentle pada mereka. Dengan mengambil pil berkenaan, kitaran dan jumlah haid akan berkurangan. Malah, jika mempunyai senggugut, masalah itu pun akan berkurangan dan ada yang hilang terus. Pil ini juga boleh diambil dalam masa yang agak lama dan berisiko rendah pada remaja.
  
  Dr Suhaimi berkata, realitinya sukar menentukan keberkesanan kaedah rawatan sempurna bagi seseorang wanita mengatasi masalah haid banyak. Lazimnya, doktor akan berikan rawatan yang dirasakan terbaik untuk mereka, tetapi tidak menjamin ia benar-benar dapat memulihkan Menorrhagia.
  
  "Jika gagal doktor akan pergi ke langkah kedua. Begitulah seterusnya. Ini kerana rawatan terakhir kes Menorrhagia ialah histerektomi iaitu pembuangan rahim. Tetapi di antaranya ada kaedah yang agak konservatif dan boleh menangguhkan menoragia daripada berlaku semula sebelum pembedahan histerektomi dijalankan," katanya.
  
  
Di sebalik Menorrhagia
  
  * Satu gejala yang bermaksud haid yang keluar sangat banyak pada setiap bulan.
  
  * Kebiasaannya, darah haid yang keluar tidak melebihi 80 cc pada setiap 2135 hari kitaran untuk selama dua hingga tujuh hari.
  
  * Kehilangan darah haid yang terlalu banyak boleh berlaku apabila haid keluar terlalu banyak dan melimpah.
  
  * Jumlah hari yang terlalu lama dan kitaran haid terlalu singkat menyebabkan kedatangan haid terlalu kerap atau tidak tetap.
  
  * Gejala ini salah satu masalah kesihatan di negara yang membangun.
  
  * Ini berlaku pada sembilan peratus hingga 14 peratus wanita dan boleh mengakibatkan beberapa masalah.
  
  * Didapati hampir dua pertiga daripada wanita yang mempunyai masalah Menorrhagia akan juga mengalami masalah iaitu masalah kekurangan zat besi.
  
  * Di New Zealand contohnya, satu dalam lima wanita yang berusia 54 tahun ke atas terpaksa melalui pembedahan pembuangan rahim atau histerektomi akibat daripada masalah ini.
  
  * Remaja menghadapi masalah Menorrhagia boleh mengalami terjejas pembelajaran di sekolah kerana kehilangan darah yang banyak dan berpanjangan, menjadi anemia, pucat dan letih sehingga mengganggu pembelajaran.
  

Mereka yang berisiko:
  
  * Wanita yang lebih muda mudah mengalami haid yang banyak akibat ketidakseimbangan hormon dalam badan.
  
  * Mereka yang akan mengalami putus haid akan melalui satu proses pendarahan haid yang banyak akibat ketidakseimbangan hormon.
  
  * Kemungkinan mereka yang mengalami pendarahan haid yang banyak mempunyai penyakit yang tidak diketahui bergantung juga dengan usianya.
  
  * Faktor lain Ketumbuhan atau fibroid dalam rahim, endometriosis (tisu rahim terletak diluar rahim), penyakit radang pelvik (PID), alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD) dan barah pada salur peranakan.
  
  Antara gejala dihadapi
  
  Selain mengganggu kehidupan sosial mereka juga akan mengalami simptom seperti anemia, susah bernafas, tercungap dan letih serta tidak bermaya terutama ketika berjalan. Mereka ini juga kelihatan pucat dan selalu pening.
  
  Rawatan
  
  * Masalah haid banyak tidak ada satu rawatan untuk semua.
  
  Setiap rawatan bergantung pada punca, umur dan kehendak mereka. Berbincang dengan doktor mendapatkan rawatan yang terbaik amat disarankan.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...