Wednesday, January 15, 2014

Keajaiban pupur timun

Berita Harian, Isnin Julai 29, 2013
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Keajaiban pupur timun



Jika anda mempunyai kulit wajah jenis berminyak, jerawat memang senang tumbuh. Liang pori-pori pun lebih besar. Lazimnya, masalah jerawat ini nampak ketara pada bahagian pipi.
   Justeru, anda perlulah memberikan lebih perhatian terhadap penjagaannya. Salah satu cara adalah memakai topeng muka atau pupur wajah yang disaran, diamalkan seminggu sekali bagi penjagaan kulit wajah lebih baik.
  
  Dengan memakai pupur, ia dapat mengurangkan dan merawat masalah kulit berminyak yang menjadi punca jerawat dan pigmentasi. Malah, ia dapat mengecilkan liang pori-pori dan melembapkan kulit wajah.
     Pakar kecantikan turut berpendapat, penggunaan pupur secara konsisten dan teratur dapat membantu mendapatkan kulit wajah yang cantik dan halus. Ia bukan saja dapat menghaluskan kulit wajah tetapi dapat menyingkirkan lapisan kulit mati pada kulit wajah bagi mengelakkannya tersumbat.
  
  Buat sendiri topeng muka
  
  Selain membeli topeng muka yang terdapat di pasaran, anda juga boleh membuatnya sendiri dan ia mungkin lebih menjimatkan. Bagi yang mempunyai kulit wajah berminyak, topeng wajah yang diperbuat daripada kebaikan timun dikatakan dapat membantu masalah berkenaan.
  
  Selain memberikan kebaikan kepada kesihatan, termasuk menggalakkan pembentukan diet ringan dan sihat, timun juga memberikan beberapa manfaat dalam rawatan kecantikan.
  
  Apa yang pasti, timun adalah bahan semula jadi dan bebas bahan kimia, manakala untuk mendapatkannya tidaklah terlalu susah. Jadi mengapa tidak cuba membuat topeng wajah menggunakan timun, apatah lagi bukan sukar untuk menghasilkannya. Kesannya yang sejuk memberikan kesegaran pada kulit wajah.
  
  Kandungan air yang tinggi iaitu 95 peratus dan vitamin A, B & C serta mineral tertentu seperti magnesium, kalium, dan silika menjadikan penggunaan timun penting dalam penjagaan kulit.

  
Justeru, topeng muka yang mengandungi khasiat timun boleh digunakan untuk ketegangan kulit. Timun turut mencegah hidrasi dan meremajakan kulit, di samping menggalakkan pengelupasan dalam epidermis.

Selain itu, ia juga nutrien yang sangat baik untuk kulit dan membantu meninggalkan kesan lembut serta halus pada kulit. Bahkan, kulit timun juga boleh memberikan kelegaan kepada kulit yang disebabkan oleh selaran matahari.
  

Cegah kedutan
  
 Pakar kulit dari Omaha, Nebraska, Joel Schlessinger dalam satu artikel menyatakan, kandungan silika dalam timun adalah kolagen yang sangat baik digunakan untuk mengusir dan mencegah munculnya kedutan yang tidak disenangi kebanyakan wanita.


  Kandungan potassium dan vitamin yang tinggi, membuatkan buah ini sangat efektif menangkis radikal bebas yang boleh mempercepatkan penuaan.
  
  Oleh itu, apa tunggu lagi, mulai hari ini amalkan penggunaan topeng muka yang dihasilkan daripada timun. Lebih menarik, ia bukan saja sesuai untuk kulit berminyak, tetapi juga sebarang jenis kulit wajah.
  
  Bagi mendapatkan kesan yang diinginkan, gunakanlah topeng muka timun ini untuk seminggu sekali untuk mendapat hasil yang diinginkan.
  
  Cara membuat topeng wajah itu mudah saja. Pertama, potong timun dan kemudian kisarkan sehingga halus. Selepas itu barulah disapukan pada permukaan wajah dan biarkan lebih kurang 15 hingga 30 minit. Apabila selesai, bersihkan topeng wajah itu dengan air dan bersihkan sisa yang masih menempel dengan air hangat. Untuk hasil yang maksimum, anda boleh menambahkan bahan lain seperti yogurt dan putih telur.
  

  TIP
  
  Panduan membuat topeng muka guna timun

Bahan:
  
  * 1 biji timun
  
  * 1 biji lemon
  
  * 1 biji telur
  
  Cara buat:
  
  * Kupas kulit timun dan buang biji.
  
  * Kisar timun sehingga hancur dan saring airnya dalam mangkuk.
  
  * Masukkan satu sudu lemon.
  
  * Masukkan putih telur dan kacau hingga rata.
  
  * Sapukan pada kulit wajah. Biarkan 15 hingga 30 minit.
  
  * Bersihkan dengan air suam.
  
  


INFO
  
  Beberapa perkara menarik mengenai timun
  
  * Di Malaysia, timun sering dijadikan ulam kerana ia cukup enak dimakan secara mentah dan ada juga yang dimasak terlebih dulu.
  
  * Di Mesir, jus timun digunakan sebagai ubat penurun panas yang baik bukan saja untuk demam tetapi rasa `terbakar' dalam badan.
  
  * Di Russia, timun pada masa dulu dianggap sebagai makanan penting dan dijadikan ubat dalam perubatan tradisional. Bahkan, ada perayaan tradisional sempena timun, yang diadakan di tempat berlainan di Russia.
  
  * Timun tidak mengandungi sebarang kekotoran yang berbahaya dan sesuai untuk makanan walaupun untuk orang dengan pelbagai reaksi alergi.
  
  * Timun mengandungi 95 peratus air yang bermaksud bahawa makanan ini sememangnya tidak membebankan pankreas.
  
  * Timun bagus untuk menurunkan berat badan kerana kandungan kalorinya rendah, tetapi tinggi kandungan air.
  
  * Amalan memakan timun membantu mengatasi sembelit.
  
  * Kajian turut mendapati, sesetengah sebatian dipanggil sterol kolestrol di dalam timun, membantu mengurangkan paras kolestrol.
  
  * Asid askorbik dan asid caffeic dalam timun membantu mengurangkan keadaan bengkak di bawah mata. Jika anda mengalami mata letih dan bengkak, tekapkan timun yang dipotong membulat pada mata. Ia mempunyai sifat anti-inflamasi dan membantu mengurangkan bengkak berkenaan.
  
  * Timun membantu menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat kerana ia mengandungi silikon dan sulfur.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...