Oleh Nor Affizar Ibrahim
Kelebihan urutan
KUASA dan keajaiban sentuhan urutan memang tidak dinafikan mempunyai banyak manfaat serta memberi kesan yang begitu mendalam, bukan saja pada fizikal tetapi juga minda dan jiwa individu.
Sentuhan urutan juga sering dikatakan, penting untuk semua yang bernafas sama ada sentuhan seorang ibu pada bayinya, isteri pada suami, nenek pada cucu dan sebagainya. Jadi tidak hairan jika pengarang buku The Power of Touch, Dr Phyllis K Davis, ada berkata di sentuh dan menyentuh adalah sebahagian asas manusia.

Pengasas Tim Body Care Training Centre, Tim Low Chee, berkata apabila seseorang mendapat sentuhan urutan, beliau dapat merasakan tekanan sewaktu kerja akan hilang, manakala fikiran dan jiwa kembali menjadi tenang.
Selain itu, urutan juga mampu menimbulkan perasaan yang harmoni dan memberi kesejahteraan menyeluruh serta dapat berasakan diri dimanja.


Tim berkata, perkara seumpama itu bukan sesuatu mustahil kerana urutan membabitkan manipulasi struktur tisu lembut badan secara manual bagi menghilangkan ketidakselesaan, pengecutan otot dan tekanan serta meredakan kesakitan.
Urutan turut merangsang pengeluaran hormon endorfin iaitu sejenis bahan kimia yang membangkitkan rasa gembira dan meningkatkan keyakinan diri. Dengan melakukan cara menyentuh, membelai dan melakukan gerakan tertentu seperti meramas, memicit, mengusap dan memberikan tekanan pada bahagian tertentu tubuh, kesan seumpama itu boleh dicapai dan dinikmati.

"Bukan tidak boleh pergi ke pusat rawatan terapi tetapi sudah tentu lebih baik dan istimewa jika sentuhan itu dilakukan sendiri oleh pasangan. Bagi ibu yang mempunyai anak pula,
apakah yang boleh dilakukan jika anak mengadu berasa lenguh badan kerana terlalu penat bermain.
"Selain memberi ubat sudah tentu mengurut badan si anak dapat meredakan ketidakselesaan itu.
Mengurut juga secara tidak langsung, membantu anak lebih bertenaga, tidur nyenyak dan bangun lebih segar pada keesokan harinya," kata Tim lagi.

Beliau yang mempunyai sijil latihan di The Royal School Medicine & Massage, Thailand berkata, belajar teknik dan cara mengurut tidak sukar. Untuk berkongsi pengalaman, pusat rawatan aromaterapi yang dibukanya dan berpusat di Petaling Jaya, sedia menawarkan latihan dan kemahiran mengurut.
Katanya, melalui kemahiran yang dipelajari, peserta boleh menggunakannya untuk kebaikan sendiri atau memberi perkhidmatan kepada orang lain seterusnya berupaya dijadikan sebagai sumber pendapatan tetap atau sampingan yang lumayan.
Low berkata, urutan aromaterapi khususnya, sudah terbukti sebagai satu bidang perniagaan yang semakin berkembang dan salah satu kerjaya berpontensi boleh diceburi segenap lapisan masyarakat.

"Bayangkan, bayaran khidmat mengurut paling minimum ialah RM50 bagi seluruh badan. Jika sehari, dapat tiga pelanggan pendapatan yang diperoleh ialah RM150. Dalam tempoh sebulan, pendapatannya boleh mencapai lebih kurang RM4,000. Dengan waktu kerja yang lebih anjal, sudah tentu lebih senang mengatur hidup," katanya lagi.
Pusat latihan Tim Body Care Training Centre menawarkan kursus asas yang mendedahkan peserta mengenai teknik mengurut seluruh anggota badan. Peserta akan diajar cara urutan aromaterapi dan Thai serta akan diberikan latihan praktikal.
Antara teknik mengurut lain yang diajar ialah urutan kaki dan tapak kaki, urutan belakang dan pinggul, pemulihan sukan, detoksifikasi badan, urutan tangan bagi yang menghidap atritis, urutan muka dan urutan kepala untuk sakit kepala. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03 79600018 / 013 3986868 atau layari laman web www.massage.com.
FAKTA
Urutan yang menjadi bentuk penjagaan perubatan tertua dan paling ringkas mempunyai beberapa faedah seperti:

* Mengurangkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
* Merehatkan otot-otot yang selama ini mungkin mengalami ketegangan.
* Melicinkan tekstur kulit yang menjadi organ tubuh manusia paling besar.
* Melancarkan sistem pencernaan.
* Membentuk badan.
* Menyeimbangkan minda, rohani dan jasmani.
* Mengurangkan kebimbangan dan tekanan mental.
No comments:
Post a Comment