Monday, February 10, 2014

LERAI KONFLIK

Berita Harian, Selasa April 10, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Lerai konflik


KISAH ibu tunggal terpaksa melacurkan diri menyara anak akibat kesempitan hidup selepas diceraikan kerana bekas suami gagal memberikan nafkah sudah mendapat perintah mahkamah, pernah didedahkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), suatu ketika dulu.
  Lebih menyedihkan, mereka sanggup menerima bayaran ansuran termasuk daripada rakan sekerja yang melanggan mereka kerana pendapatan sebagai pengawal keselamatan dan tukang cuci tidak cukup untuk menyara anak sejak menjadi ibu tunggal. Cerita seperti ini sememangnya merenggut perasaan.
  Tuntutan nafkah dan penguatkuasaan antara isu utama yang sentiasa menjadi rungutan terutama wanita diceraikan. Walaupun Undang-Undang Keluarga Islam mempunyai peruntukan terperinci mengenai nafkah, tetapi masih ada kelemahan ketara dalam penguatkuasaan nafkah terutama jika bekas suami atau bapa yang bertanggungjawab membayar nafkah gagal memberi kerjasama atau cuai.
 

Bantuan BSK


Bagaimanapun, sejak Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM diperkenalkan pada 2008, ramai ibu tunggal atau bekas isteri, khususnya melalui pengalaman perit `berjuang' untuk mendapatkan nafkah anak, gembira dan mengalu-alukan kewujudan badan itu.
  Sepanjang hampir lima tahun penubuhan BSK, sudah ramai wanita dibantu, khususnya bagi meleraikan konflik dihadapi wanita dan ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
  Selain itu, BSK turut bekerja keras bagi memastikan bapa atau bekas suami melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah, khususnya dalam kes nafkah dan saraan. Tidak cukup dengan itu bagi meringankan masalah BSK juga menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga menghadapi masalah tuntutan nafkah.
 

Orang tengah


Pengarah, BSK, Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata beberapa usaha dilakukan BSK bagi mencapai objektif penubuhannya, sudah pun mencapai banyak kejayaan, khususnya dalam tuntutan nafkah tertunggak.
  Mohd Naim berkata, dengan bantuan BSK, ramai wanita yang sebelum ini terpaksa menunggu bagi satu tempoh lama mendapatkan hak mereka, sudah pun mendapat hak mereka sewajarnya.
  Katanya, sepanjang 2010 dan 2011, BSK menerima 1,559 kes di peringkat Khidmat Nasihat dan Perundangan dengan lebih separuh atau 57.45 peratus berjaya diselesaikan melalui mediasi atau perbincangan iaitu BSK bertindak sebagai orang tengah.
  
  Mohd Naim berkata, sebanyak 1,330 kes dengan peratusan penyelesaian sebanyak 29 peratus diterima bagi kes yang dibawa ke mahkamah untuk tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan.
  "Berdasarkan statistik peratusan penyelesaian kes bagi pegawai BSK yang menerima pentauliahan peguam syarie adalah lebih tinggi berbanding purata negeri lain yang belum mendapat pentauliahan. Ini kerana setiap individu ingin mempraktikkan di mahkamah syariah hendaklah memperoleh tauliah diperkenankan terlebih dulu oleh Majlis Agama Islam Negeri masingmasing," katanya ketika ditemui di pejabat BSK di Putrajaya, barubaru ini.
   Mohd Naim berkata, dengan jumlah tenaga kerja terhad iaitu antara lima hingga enam saja kakitangan di seluruh negara, BSK berusaha menjalankan tugasan secara pro aktif sematamata memastikan bekas isteri tidak dianiayai dalam isu tuntutan nafkah.
  Sistem digunakan merangkumi semua proses gerak kerja ketigatiga unit yang ada di BSK iaitu Unit Khidmat Nasihat Perundangan, Unit Pengurusan Dana serta Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah.
  Katanya, antara faktor kejayaan BSK melaksanakan tugas memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin meneruskan kehidupan ialah sikap suami dan isteri saling bertanggungjawab dan toleransi. Kerjasama yang baik di antara bekas suami dan isteri turut menyumbang menyelesaikan konflik dihadapi.
  Tambahnya, hubungan akrab dengan anakanak tidak dinafikan, menyebabkan bekas suami sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawabnya memberikan nafkah.
   "Faktor kewangan bekas suami selepas perceraian juga menyumbang. Jika tiada masalah kewangan, bekas suami boleh melunaskan tanggungjawabnya. Komitmen baik diberikan bekas suami selepas perceraian ternyata banyak membantu menyelesaikan masalah tuntutan nafkah," jelas Mohd Naim.
 

Liat bayar nafkah


Bagaimanapun, katanya, BSK mendapati masih ada lagi bekas suami liat membayar nafkah anak dan enggan mematuhi perintah mahkamah.
  Katanya, ini didorong faktor seperti bekas suami sudah mempunyai komitmen baru selepas berkahwin lain, selain bekas suami melepaskan tanggungjawab membesarkan anak kepada pasangan baru bekas isteri.
  Faktor lain, bekas suami mengalami pertelingkahan berpanjangan dengan bekas isteri. Apabila bekas suami tidak mendapat kerjasama yang baik dengan bekas isteri, maka ada yang sengaja bersikap lepas tangan serta enggan menunaikan tanggungjawabnya.
  "Ada kes bekas suami tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah syariah disebabkan tidak dibenarkan berjumpa dengan anak di bawah jagaan bekas isteri. Akibatnya bekas suami berdendam dengan cara tidak membayar nafkah anak.
  "Masalah lebih rumit, jika bekas suami dan isteri bermusuh. Justeru, ada kes bekas isteri menyekat dan ada yang enggan menerima nafkah daripada bekas suami. Selain itu sememangnya ada bekas suami tidak bertanggungjawab," katanya.
  Mohd Naim berkata, ada kes bekas suami tidak berkerja dan tiada pendapatan. Pada masa sama, ada bekas suami memahami bahawa bidang kuasa mahkamah terhad di dalam negeri tertentu saja.
  Jadi, dalam keadaan itu menyukarkan mahkamah mengesan mereka yang ingkar. Oleh itu, ramai bekas suami memandang ringan terhadap pematuhan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Sukar kesan bekas suami


Cabaran BSK ialah untuk mengesan bekas suami yang mematuhi perintah mahkamah, kerana sebilangan mereka begitu licik `menghilangkan' diri.
  "BSK menggunakan pelbagai kaedah dan saluran mengesan bekas suami, tetapi ada juga tidak dapat di kesan. BSK lazimnya bekerjasama dengan pelbagai cara seperti mencari alamat tempat bekas suami bekerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, selain Suruhanjaya Syarikat Malaysia jika ada yang membuka perniagaan sendiri.
  "Bagaimanapun, ada bekas suami tidak dapat dikesan langsung.
  Bagi yang bekerja dengan sektor kerajaan atau syarikat mungkin lebih mudah dikesan kerana ada data atau maklumat mengenainya digunakan tetapi jika bekerja sendiri ia lebih sukar," katanya.
  Tambahnya, BSK berhadapan masalah jika tiada tauliah peguam syarie di negeri tertentu.
  Ketika ini, hanya lapan negeri sudah menganugerahkan watikah pentauliahan peguam syarie kepada pegawai BSK iaitu Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang dan Perlis.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...