Monday, February 10, 2014

TINGKAT KESEJAHTERAAN WANITA DAN KANAK-KANAK

Berita Harian, Khamis, Oktober 14, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Tingkat kesejahteraan wanita dan kanak-kanak




WALAUPUN berada dalam belahan dunia yang berbeza, ternyata harapan, agenda dan keprihatinan masing-masing tidak banyak perbezaan. 

Lebih-lebih lagi, mereka mempunyai kedudukan sama, bergelar wanita pertama yang sudah semestinya mempunyai pengaruh besar dalam membawa perubahan dan pembangunan masyarakat mahupun negara.
  
Malah, menyedari peranan, tanggungjawab dan kedudukan mereka yang penting sebagai isteri kepada pemimpin utama negara, mereka dilihat bukan saja mempunyai kesedaran dan keazaman tinggi untuk sama-sama berjuang serta membantu membawa pembaharuan dan mencapai kemajuan dalam masyarakat tetapi juga aktif; di samping sanggup turun padang bagi mengetahui pemasalahan sebenar.
  
Latar belakang, situasi, cabaran dan pengalaman yang dilalui mereka mungkin tidak sama tetapi yang penting apa yang dilakukan serta ingin direalisasikan membawa makna yang cukup besar. 

Apatah lagi, matlamat utamanya adalah untuk membantu wanita dan membentuk kanak-kanak atau generasi muda hari ini menjadi pemimpin serta warga bertanggungjawab ke arah menjadikan dunia ini lebih baik.
  
Bentuk kemahiran

Menggunakan kuasa, pengaruh


dan kedudukan, mereka menekankan beberapa perkara penting yang harus diberikan keutamaan termasuklah pendidikan kepada kanak-kanak, penjagaan kesihatan lebih baik untuk wanita, pemakanan sihat sejak dari kecil serta membentuk kemahiran yang boleh menjana sumber ekonomi. 

Merealisasikan semua itu pelbagai cara diikhtiarkan seperti menjalinkan rangkai kerja dengan beberapa badan dan pertubuhan tertentu, melakukan serta menggerakkan beberapa kempen mahu pun advokasi.
  
Pengetahuan, pengalaman dan minat mendalam tersemat dalam diri serta keazaman kuat untuk berbakti serta membangunkan masyarakat dan negara disatukan, sekali gus menjadi pemangkin mahupun penggerak untuk memenuhi apa yang ingin dicapai.
  
 Apa yang pasti, kesedaran tinggi, peranan dan usaha dilakukan mereka turut memperlihatkan peranan wanita pertama kini tidak lagi dilihat begitu tipikal, mengiringi suami masing-masing dalam setiap majlis; sebaliknya begitu signifikan kerana mereka menjadi penyokong perubahan strategik yang memberi penekanan kepada inisiatif komuniti seperti bidang kepemimpinan, pendidikan, kesedaran gender dan pembangunan sosial secara keseluruhan.
  
Itulah antara butiran dan fakta menarik yang dikongsikan oleh lima wanita pertama pada perbincangan panel hari kedua, Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Palace of the Golden Horses, di Seri Kembangan, kelmarin.
  
Perbincangan panel itu membabitkan lima wanita pertama yang terdiri daripada Ernestina Naadu Mills dari Ghana, Lorna Golding dari Jamaica, Sia Nyama Koroma dari Sierra Leone, Mercedes Lugo De Maidana dari Paraguay dan Thandiwe Banda dari Zambia dengan Mishal Husain dari British Broadcasting Corporation (BBC) bertindak sebagai moderator.
  
Pendidikan dan Kesihatan


Mercedes yang juga adik kepada Presiden Frenando Lugo, berkata era baru kini bermula di negaranya, seiring dengan itu pendidikan serta kesihatan menjadi dua isu utama diberikan perhatian.
    
"Adalah penting untuk membawa kanak-kanak dan remaja kepada masa depan yang lebih baik bagi masa akan datang dan sekarang. Saya juga adalah guru sebelum ini dan sudah berpuluh tahun mendidik ramai kanak-kanak. Saya melihat pendidikan adalah keperluan utama khususnya di kawasan luar bandar. saya percaya melalui pendidikan, masa depan lebih baik untuk mereka dapat dibentuk," katanya.
  
Lorna yang turut memberikan perhatian serius terhadap isu wanita dan kanakkanak, berkongsi beberapa pengalaman menarik dilakukannya, semata-mata untuk memastikan pendidikan sempurna dapat diberikan kepada kanak-kanak.
  
Wanita pertama itu membuktikan wanita pertama dapat memainkan peranan yang penting dalam membawa perubahan positif dan usia bukan menjadi batu penghalang untuk memajukan diri sendiri.
  
Walaupun sudah bercucu, beliau kembali ke sekolah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan memperkenalkan Jamaica Early Chilhood Foundation bagi menggalakkan penyediaan meningkatkan perkhidmatan serta sumber untuk semua kanak-kanak di negara itu tanpa mengambil kira gender dan latar belakang.
  
"Saya juga mengunjungi kolej guru dan duduk di sana setiap petang serta mendengar keluhan mereka. Kami berkongsi pandangan dan pengetahuan bagi meningkatkan pendidikan kerana mendapati ada kanak-kanak tidak ke sekolah kerana kekurangan sumber untuk berbuat demikian," katanya.
  
Lorna turut menekankan pentingnya memastikan kanak-kanak mendapat khasiat makanan yang baik dari usia masih bayi hinggalah meningkat remaja.
  
Katanya, penyusuan susu ibu sentiasa digalakkan di kalangan ibu bapa kerana ia bukan saja berkhasiat untuk kesihatan tetapi turut membantu perkembangan kognitif kanak-kanak yang penting untuk menerima pembelajaran.
  

Sumber kewangan sendiri


Sementara itu, Ernestina yang mempunyai pendidikan dalam bidang sosiologi dan psikologi dari University of Ghana pula berpendapat, jika kebahagiaan rumah tangga musnah, anak di dalam keluarga itu turut menderita.
  
"Di negara membangun, kanak-kanak yang baru berusia 15 tahun hingga 16 tahun sudah pun bergelar ibu dan mempunyai anak. Mereka ini sepatutnya dididik mengenai kesihatan reproduktif dan diajar mengenai tubuh sendiri dari hujung kepala hinggalah keseluruhan tubuh. 

"Kanak-kanak belajar lebih baik melalui perjalanan hidup, oleh itu bantulah mereka. Jika tidak, mereka akan mencarinya di mana-mana," katanya.
  
Thandiwe yang mempunyai pengalaman sebagai guru sains politik dan sejarah pula memberitahu, di negaranya lebih ramai wanita memerlukan sumber kewangan sendiri.
  
Katanya, bagi membantu mereka menjana sumber pendapatan, latihan kemahiran dalam pertanian diberikan. Usaha itu dilakukan dengan mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan tertentu.
  
Thandiwe juga bergiat aktif dalam mengasaskan program pementoran dalam usaha untuk memperkasakan wanita di kawasan pedalaman melalui pendedahan kepada asas kemahiran hidup, pembinaan keyakinan diri serta menyemai sifat berdaya maju di kalangan wanita berkenaan.
  
Wanita pertama itu yakin, jika dibekalkan dengan sumber maklumat yang sewajarnya, wanita, terutamanya di Zambia mampu membuat keputusan yang dapat memanfaatkan keluarga dan juga masyarakat.
  
"Apabila wanita mempunyai sumber ekonomi pendapatan dan kesihatan yang baik, ia membolehkan mereka menghantar anak ke sekolah. Untuk itulah kemahiran dan sumber ekonomi penting diberikan kepada mereka," katanya.
  
Koroma yang digelar sebagai "Ibu Kepada Negara" di Sierra Leone pula memberi penekanan yang khusus mengenai kepentingan kesihatan ibu dan juga kanak-kanak kerana berpendapat mereka adalah tulang belakang kepada sebuah negara yang sihat serta makmur.
  
Beliau yang memulakan kempen umum untuk menyokong wanita dan kanak-kanak miskin di negaranya berkata, banyak program dilakukan untuk membantu serta membela nasib golongan itu.
  
Beliau turut melancarkan kempen untuk mengatasi masalah kadar kematian ibu mengandung di negaranya. Projek Women's Initiative For Safer Health (WISH) bertindak untuk meningkatkan kesihatan reproduktif wanita dan juga peranan mereka dalam membuat keputusan.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...