Berita Harian, Khamis September 2, 1999
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Kebolehan usahawan wanita masih disangsi
: DULU, kebanyakan usahawan wanita lebih gemar menceburi dan mengusahakan perniagaan dalam bidang yang dilihat secocok dengan ciri peribadi dan jiwa mereka. Pada waktu itu, mereka lebih banyak menceburi bidang perniagaan seperti membuka kedai salun, kedai jahit pakaian atau hanya menjadi pembekal kuih muih tradisional.
Fenomena itu seolah-olah menggambarkan usahawan wanita tidak mampu melangkah jauh dan tidak berupaya bersaing dengan usahawan lelaki. Apapun, perubahan masa turut mengubah sikap dan minat di kalangan usahawan wanita. Mereka kini lebih berani, malah ramai yang mencapai kejayaan cemerlang dalam perniagaan besar di negara ini. Peningkatan dan keupayaan usahawan wanita kini amat membanggakan.
Bermula dengan perniagaan tradisional yang dibuat secara kecil-kecilan di rumah, kini, wanita berjaya mengorak langkah dan turut sama merebut peluang menguasai bidang perniagaan yang selama ini dimonopoli lelaki.
Usahawan wanita tidak lagi menyempitkan ruang lingkup bidang dan jenis perniagaan yang diceburi. Sebaliknya, mereka kini tidak ketinggalan merebut peluang perniagaan di semua sektor tidak kira perkhidmatan, pertanian, pekilangan, pendidikan dan pelbagai lagi.
Malah, ada yang memberanikan diri meneroka bidang perniagaan baru termasuk perusahaan berasaskan eksport antarabangsa yang bercirikan daya saing tinggi.
Ketabahan dan kegigihan usahawan wanita mengubah diri mereka agar tidak terus di takuk lama, harus dipuji dan diberi sokongan. Bagaimanapun, dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan, masih banyak sekatan dan halangan yang dihadapi mereka. Sekatan dan halangan itu antaranya peluang mendapatkan perniagaan, meluaskan pasaran, mencari lokasi, mendapat dan menambah modal.
Antara faktor yang menjadi penghalang termasuk sikap pihak tertentu yang masih meragui dan mempertikaikan kemampuan wanita. Keupayaan wanita untuk sama-sama menceburi sesuatu bidang yang dimonopoli usahawan lelaki seringkali disalahtafsirkan. Selain kesangsian terhadap keupayaan usahawan wanita, masih ada pihak tertentu tidak memahami dan mengiktiraf peranan serta kepentingan usahawan wanita dalam memberikan sumbangan ekonomi negara.
Walau apapun faktor penyebabnya, ia tetap membantutkan pencapaian usahawan wanita. Akibatnya, ada usahawan wanita menghadapi situasi tertekan dan selalu terpaksa beralah ketika merebut peluang. Sebaliknya, usahawan lelaki mendapat lebih kepercayaan dan mempunyai banyak pengaruh.
Pada sesi dialog bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Datuk Seri Rafidah Aziz sempena majlis pelancaran dan Seminar Skim Bantuan Khas untuk wanita di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beberapa usahawan wanita mengambil peluang dan berkesempatan meluahkan rasa yang terbuku di hati mereka selama ini.
Antaranya, pengasas Butik Musulman, Yasmin Siddik mengadu kesukaran himpunan butik pakaiannya menembusi pasaran di pasar raya utama. Menurut Yasmin, Butik Musulman yang menjadi pembekal dan pengedar pakaian berasaskan jubah dan lain-lain pakaian menutup aurat yang sesuai untuk wanita Islam, sukar dipasarkan kerana ada pihak pasar raya mengkategorikan himpunan pakaian butiknya sebagai himpunan pakaian mengandung.
"Kalau diberi peluang pun, pasar raya akan menawarkan di sudut paling hujung sekali yang jarang dikunjungi pelanggan. Saya juga terpaksa menunggu masa beberapa tahun untuk mendapatkan ruang," katanya yang kini ada lima cawangan butik termasuk di Bangsar Utama dan Subang Parade.
Keluhan Yasmin mendapat perhatian Rafidah dan beliau menyarankan masalah itu dirujukkan kepada Tan Sri Aishah Ghani yang terbabit secara langsung dalam pengurusan pusat beli belah di Metrojaya.
Pengerusi Eksekutif Eye On Egypt Sdn Bhd, Datin Hartini Osman pula memberitahu, kesukarannya bersaing dengan kontraktor lelaki untuk mendapatkan tender yang mampu memberi pulangan lumayan dan mengembangkan perniagaan.
"Kami usahawan wanita sudah menunjukkan keupayaan bahawa kami juga boleh menjadi rakan kongsi perniagaan yang baik. Tetapi hingga kini, masih ada sikap pilih kasih dalam pemberian tender dengan keutamaan diberikan kepada usahawan lelaki," luahnya yang menjalankan perniagaan mengimport bahan binaan.
Menurut Hartini, kesukaran mendapatkan tender baru menjejaskan perniagaan terutama ketika kegawatan ekonomi. Lebih perit apabila bayaran diterimanya agak lewat.
"Berbulan-bulan menunggu dan penat berjumpa pelbagai pihak, akhirnya jawapan diterima selalu mengecewakan. Bagaimana kami hendak mengembangkan perniagaan," ujarnya.
Hartini juga mencadangkan satu konsortium ditubuhkan supaya usahawan wanita boleh bersaing dengan kontraktor lelaki dan memantapkan perniagaan. Beliau berpendapat, dengan penubuhan konsortium, pengagihan tender dapat dibuat dengan lebih adil tanpa mengetepikan peluang usahawan wanita.
Bagaimanapun, Rafidah ketika memberi reaksi cadangannya itu berpendapat, menubuhkan konsortium mungkin cadangan dan alternatif yang baik. Tetapi katanya, masalah akan timbul apabila ada ahli tidak bersatu dan mula menyeleweng atau keluar pada dasar pelaksanaannya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan kajian terperinci dibuat terlebih dahulu sebelum ia ditubuhkan.
Pengarah Urusan Eliza Industries Sdn Bhd, Eliza Zainuddin turut menyuarakan perasaan tidak puas hatinya mengenai bayaran tinggi harga rak yang dikenakan oleh pihak pasar raya kepada pengusaha untuk meletakkan barangan keluarannya.
"Selalunya, masalah sebegini sering dihadapi dengan pasar raya borong (hypermarket) yang besar dan semakin gemar dikunjungi pengguna. Sebagai usahawan Bumiputera yang baru hendak mengusahakan perniagaan dan hanya bergantung pada modal yang kecil, sudah tentu saya tidak dapat menampung kos yang tinggi.
"Sedangkan, kami tahu di pasar raya seumpama itulah kami harus merebut peluang meletakkan barangan kami. Kalau harga rak tinggi, bagaimana kami boleh mendapat untung. Jadi, kalau boleh turunkan harganya supaya kami dapat mengurangkan kos," katanya.
Rafidah yang menjawab aduan Eliza berkata, beliau memerlukan maklumat lebih lanjut berkenaan masalah itu bagi membolehkan agensi di bawah kementeriannya membuat tindakan dan kajian susulan sebelum membuat sebarang keputusan.
Sesi dialog setengah jam itu sekurang-kurang memberikan sedikit kelegaan kepada usahawan wanita yang kebanyakannya tidak tahu kepada siapa mereka harus mengadu masalah mereka selama ini. Ada di antara usahawan wanita mendakwa, mereka sudah menghabiskan banyak masa, tenaga dan modal untuk mengatasi beberapa masalah dihadapi.
Namun, dengan karenah pihak tertentu dan kurangnya sokongan dan pengetahuan mereka, usaha yang dibuat seringkali gagal dan terpaksa melepaskan banyak peluang.
Rafidah yang nyata prihatin dengan masalah usahawan wanita, berkata sesi dialog seumpama itu hanyalah antara langkah awal untuk menyelami lebih lanjut masalah mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
BEBAN NAFKAH
Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...
-
Berita Harian, Selasa Mei 14, 2002 Oleh Nor Affizar Ibrahim Kain sarung warisan bangsa SARUNG adalah pakaian tradisional masyarakat...
-
Berita Harian, 14 Julai 2011 Oleh Nor Affizar Ibrahim Pilih ketam terbaik KETAM walaupun agak sukar untuk dimakan kerana berkul...
-
Berita Harian, Khamis Januari 11, 2007 Oleh Nor Affizar Ibrahim Konflik tagih cinta isteri orang KISAH wanita belum berkah...
No comments:
Post a Comment