Oleh Nor Affizar Ibrahim
Ikon pemimpin wanita
RAMBUT putih, air muka serius, sikap tegas menjadi identiti dan menggambarkan karakter serta keulungan mengenai wanita besi Britain ini.
Ketokohan dalam arena politik dikagumi dunia sekitar abad ke-20. Kewibawaannya disegani lawan dan kawan. Ketrampilannya dalam kepemimpinan pasti terus disimpan kemas dalam lipatan sejarah untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.
Margaret Thatcher, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, bekas Perdana Menteri Britain tidak lagi dilihat kelibatnya selepas meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada usia 87 tahun, Isnin lalu.
Kisah hidupnya yang difilemkan memenangi anugerah Oscar lakonan Meryl Streep berjudul The Iron Lady.
Cemerlang, tegas
Thatcher anak kedua seorang penjual sayur dan penjahit pakaian. Bapanya juga aktif dalam politik tempatan dan memegang jawatan sebagai ahli majlis tempatan, pemimpin gereja dan Datuk Bandar Grantham.
Thatcher, wanita cantik dan cemerlang sejak muda. Ketika wanita masih lagi memenuhi peranan sebagai suri rumah pada 1950-an, beliau sudah berada di universiti.
Pada awal pendidikannya, Thatcher mendapat ijazah dalam bidang kimia di Sommerville College dan mendapat gelaran Master of Art dari Universiti Oxford, tetapi beliau tidak puas hati dan mengambil pengajian undang-undang beberapa tahun kemudian serta lulus cemerlang pada 1953 dan diterima sebagai peguam oleh Lincoln's Inn pada 1954.
Beliau membuat pengkhususan dalam bidang undang-undang percukaian dan pernah bekerja sebagai penyelidik kimia sebelum beralih ke syarikat perindustrian lain.
Thatcher disifatkan seorang yang berhati keras, tegar dan mempunyai daya tahan luar biasa dari segi mental dan fizikal. Beliau tertarik dengan dunia politik kerana sangat mengagumi ayahnya. Kecenderungan politik akhirnya menyaksikan Thatcher menjadi ahli Parlimen pada 1959 ketika usia 34 tahun selepas memenangi kerusi Finchley di utara London.
Ketika itu Thatcher sudah pun berkahwin dengan Dennis Thatcher dan dikurniakan sepasang anak kembar. Mereka berkahwin pada 1952, tetapi ia tidak pernah menghalang minatnya, sebaliknya kerjaya politik wanita berjiwa kental itu terus bersinar. Padahal, sebelum itu beliau pernah gagal mencapai cita-citanya.
Beliau bertanding dalam dua pilihan raya, mewakili Parti Konservatif pada 1950 dan 1951. Pelantikan jawatan Kabinet beliau yang pertama bermula pada 1961 iaitu sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pencen dan Insurans Kebangsaan.
Menjelang usia 44 tahun, beliau berada dalam Kabinet sebagai Menteri Pendidikan dan pada ketika itulah kerjayanya sebagai ahli politik berada di kemuncak. Seterusnya, Thatcher dilantik sebagai Ketua Parti Konservatif yang juga Ketua Pembangkang pada Februari 1975 dan dilantik, Perdana Menteri Britain pada Mei 1979.
Jolokan Wanita Besi
Pada 1970-an, ketika pergerakan wanita satu kemestian hidup di Amerika Syarikat, Thatcher sudah mencapai kejayaan peribadi dalam apa yang mereka kempen dan melobi, rasa hormat, gaji sama rata, kedudukan kuasa di tempat kerja, dan peluang memperguna kepakaran yang ada.
Pernah diceritakan, ketika kali pertama memasuki parlimen, Thatcher dipandang aneh oleh rakan seperjuangan lain yang semuanya lelaki. Sememangnya, ketika itu tidak lazim berlaku wanita berada di tempat itu. Malah, waktu itu tandas dan ruang di dalamnya, sama sekali tidak mesra wanita.
Jolokan `Wanita Besi' wujud kerana sikap kerasnya. Kedudukannya sebagai pemimpin kerajaan dipertahankan tiga kali. Malah, Thatcher adalah wanita pertama menjadi Perdana Menteri Britain - sebuah kuasa besar dalam mencarta orde dunia.
Bekas pemimpin politik itu menjadi rujukan kepemimpinan wanita dunia, malah banyak pemimpin wanita yang menjadikan ketegasan, kewibawaannya sebagai aspirasi, seperti Tansu Ciller yang mendapat jolokan Turkey's Iron Lady.
Thatcher juga sering dikatakan sebagai contoh moden kepemimpinan mantap seorang wanita. Beliau dihormati dan disegani bukan saja ahli politik lelaki, tetapi wanita. Beliau membuktikan dirinya sebagai pemimpin efektif dan wanita contoh bagi semua wanita.
Dikagumi ramai
Ketika menguasai tampuk pemerintahan, beliau disukai ramai, tetapi pada masa sama, ramai juga yang membencinya.
Beliau menarik perhatian dunia terutama selepas berjaya menerajui Britain dalam peperangan dengan Argentina pada 1982. Beliau memahami ahli politik perlu memberi arahan jelas kepada tentera mengenai matlamat yang hendak dicapai dan membiarkan mereka melaksanakannya.
Seorang laksamana tentera pernah berkata: "Beliau (Thatcher) berpegang kepada kesetiaan, keberanian dan kesungguhan. Pemimpin dari seluruh dunia mula mengakui kaedah dan menilai pencapaiannya dengan teliti dan mereka cuba menirunya."
Salah seorang yang mengagumi beliau ialah Ronald Reagan yang menjadi Presiden Amerika, 18 bulan selepas Thatcher menjadi Perdana Menteri Britain.
Reagan gemar mengikuti ceramah Thatcher mengenai nilai pasaran atau meminimumkan pergantungan kepada negara.
Hubungan diplomatik Thatcher dengan Malaysia juga baik. Umum mengetahui kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat ketika pentadbiran Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggakan model dasar penswastaan yang diperkenalkan pada zaman Thatcher diguna pakai di negara ini.
Tumbang dan bersara
Thatcher kukuh dalam kedudukannya sehingga 1987. Sebagai perdana menteri, beliau memberi tumpuan kepada pengurangan cukai dan pengurangan perbelanjaan awam.
Buat kali pertama, Britain merasa peningkatan umum dalam pendapatan dan pembaharuan ekonomi menyeluruh ketika penggal pemerintahannya.
Bagaimanapun, popularitinya di Eropah mulai merosot kerana pendiriannya yang tiada tolak ansur dalam isu tertentu. Beliau akhirnya ditumbangkan pada 1990 dan bersara untuk menjadi anggota dewan rakyat saja pada 1992.
Namun, Thatcher, yang menjadi perdana menteri antara 1979 dan 1990 dikagumi kerana melakukan perubahan di sebuah negara dalam tempoh sedekad dan berjaya meletakkan Britain kembali sebagai negara industri utama dunia.
Beliau mula mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu. Thatcher dimasukkan ke hospital selepas Krismas dan menjalani pembedahan untuk membuang satu ketumbuhan pada pundi kencingnya tetapi dibenarkan pulang ke rumah sebelum sambutan tahun baru.
Dalam petikan buku yang ditulis anak perempuannya, ada menyatakan pada 2008 Thatcher mengalami dementia atau nyanyuk selama lapan tahun dan terpaksa diingatkan bahawa suaminya sudah meninggal dunia.
Katanya, bagaimana penyakit nyanyuk ibunya menyebabkannya berusaha keras mengingati fakta mudah dalam petikan buku diterbitkan itu.
Carol turut menulis, ketika hari teruk, ibunya berusaha menghabiskan ayat, namun masih menunjukkan imbasan dirinya, terutama ketika bercakap mengenai masanya di Downing Street.
"Saya sentiasa mengingati dirinya sebagai wanita yang tidak pernah dimakan usia, tak lapuk dek zaman dan 100 peratus kalis besi," kata Carol dalam memoirnya, A Swim- On Part In The Goldfish Bowl, yang diterbitkan secara bersiri dalam akhbar Sunday Mail.
Cita rasa tinggi dalam berfesyen
Penampilan Thatcher dengan pelbagai fesyen pakaian dan aksesori memperlihatkan beliau mempunyai cita rasa tinggi dalam gaya.
Beliau terkenal dengan membawa beg tangan ke mana-mana saja termasuk ketika melawat pemimpin terkemuka dunia, selain dilihat suka memakai topi yang sentiasa menghiasi kepalanya.
Dalam menonjolkan imej dan cita rasa berpakaian, Thatcher didapati gemar mengenakan fesyen berkualiti tinggi dan ia pernah menjadi sebahagian gaya hidupnya.
Jenama ternama dan tersohor dekat dengan dirinya dari beg tangan hinggalah kasut seperti Asprey dan Salvatore Ferragamo. Secara keseluruhan, penampilannya lebih menjurus feminin dengan gaya British yang kental, anggun dan berkelas.
Gemar wangian
Haruman yang menjadi kegemaran pula ialah campuran basil, neroli dan lavender dalam air mandiannya. Beliau mula diperkenalkan kepada penggunaan wangian untuk merehatkan badan dan menikmati ketenangan oleh seorang rakan seperjuangan dalam bidang politik, Emma Nicholson, yang menempah khas haruman untuk kegunaannya dari klinik aromaterapi, dikendalikan oleh Daniele Ryman.
Malah, Thatcher turut menggunakan wangian tertentu untuk masalah urat leher dan bahu tegang. Mendiang Presiden Perancis, Francois Mitterrand pernah menyifatkan Thatcher sebagai wanita yang memiliki `mata seperti Caligula dan bibir seperti Marilyn Monroe.'
Tidak keterlaluan dikatakan, jika sesiapa saja ditanya, siapa personaliti yang terus meninggalkan imej keutuhan kepemimpinan wanita, orangnya mest
INFO
Margaret Thatcher
- Nama sebenar: Margaret Hidla Roberts.
- Tarikh/tempat lahir: 13 Oktober 1925 di Grantham, England.
- Meninggal dunia: 8 April 2013 di London.
- Suami: Dennis Thatcher (meninggal pada 2003).
- Anak: Dua anak (Mark Thatcher dan Carol Thatcher)
- Perdana Menteri wanita pertama Britain - 1979.
- Dilantik pemimpin Parti Konservatif (1975 hingga 1990).
No comments:
Post a Comment