Oleh Nor Affizar Ibrahim
Ancaman `Miss J'
BUNYI atau menyebut saja perkataan `janda' tidak dinafikan seakan sedikit kasar dan sering kali membawa konotasi yang negatif. Justeru, tidak hairanlah ada golongan wanita yang berstatus itu kurang selesa atau langsung tidak senang dengan panggilan berkenaan.
Bagaimanapun, setiap kali membuka topik mengenai golongan itu, nescaya ramai yang akan membuka mata dan telinga. Bagaikan ada tarikan besi berani, masyarakat seolah-olah ingin tahu dan mendekati wanita yang berstatus itu. Apatah lagi, jika perkataan janda itu dikaitkan atau ditambah dengan perkataan lain seperti `janda berhias', `mak janda', `janda muda', `janda panas', `janda meletup' dan sebagainya.
Realitinya, stigma masyarakat terhadap golongan itu yang sering memberikan persepsi negatif dan melabelkan mereka dengan perkataan kurang enak didengar, dari dulu hingga kini masih tidak berubah. Malah, tanpa pernah sedikit pun memikirkan dan menyelami perasaan mereka ada yang menganggap cerita membabitkan golongan berstatus itu adalah bahan cerita sensasi atau boleh dijadikan bahan ketawa menghiburkan hati.
Kucing mana tak tergoda
Namun, lebih tidak sedap didengar apabila ada berkata dan berpendapat, wanita berstatus janda boleh menjadi `ancaman' kepada wanita lain, khususnya yang masih mempunyai suami. Ini sering terjadi, lazimnya apabila wanita berstatus itu `pasang badan', melaram dan menunjukkan sikap gedik, manja serta menggoda.
Bak kata pepatah, kucing mana tidak tergoda kalau ikan sudah berada di depan mata. Mungkin sebab itulah walaupun tidak semua, ada wanita yang mempunyai suami mula berasa `terancam' kerana berasa adanya saingan hebat. Jika tidak pun, mereka mungkin lebih berhati-hati apabila suami berkawan dengan golo ngan berkenaan kerana takut lambat laun, suatu hari nanti pelanduk termasuk juga jerat yang dipasang. Apa pun semua itu mungkin persepsi segelintir masyarakat kerana ada juga yang prihatin, simpati dan memahami nasib serta cabaran harus dilalui seorang wanita bergelar janda.
Tidak kisah
Bagi Rosni Yahaya, 27, yang baru setahun 'memegang' status itu, berkata tidak kisah langsung dengan sebarang panggilan atau gelaran diberikan kepadanya. Malah, seiring dengan tempoh masa yang sudah berlalu, wanita bertubuh genit itu juga semakin sebati dengan kehidupan kembali `membujang' yang kini ditempuhi.
Bersikap positif dengan ranjau kehidupan harus dilalui sebagai wanita yang sudah bercerai, Rosni juga tidak mahu mengambil pusing mengenai apa saja tanggapan buruk dan negatif masyarakat terhadap dirinya atau pun wanita bergelar janda.
Katanya, tidak perlu hendak takutkan apa-apa atau sedih dengan tanggapan, pandangan mahu pun cemuhan orang lain selagi diri sendiri tidak melakukan apa-apa kesalahan dan melanggar hukum agama serta adat budaya yang boleh mencemar, di samping menjatuhkan maruah diri dan keluarga.
"Wanita mana yang tidak sedih apabila rumah tangga dibinanya musnah. Begitulah juga saya yang mengambil masa lebih tiga bulan untuk menerima hakikat bahawa saya sudah bercerai dan bergelar janda. Nasib baiklah, ibu dan bapa sentiasa memberikan sokongan dan dorongan untuk saya bangkit kembali meneruskan kehidupan. Soal panggilan `janda' pula, saya juga tidak kisah dan tidak malu dengan gelaran itu.
"Bagi saya panggilan itu sedikit pun tidak menjadi kudis, lagipun itulah realiti status saya kini. Ubah sekali manapun panggilan `janda' itu misalnya, ibu tunggal atau sebagainya ia sedikit pun tidak membawa apa-apa makna dan perbezaan. Apabila sudah bercerai, saya mesti terima hakikat dan itulah gelarannya. Saya juga tidak pernah menyembunyikan status saya kini, sama ada pada saudara-mara mahupun kawan-kawan," katanya tegas menyatakan pendirian.
Rahsia hati
Wanita yang berasal dari Perlis itu berkata, perkahwinan yang dibina atas dasar saling cinta mencintai sampai ke noktah akhir selepas hampir 10 tahun melayari hidup bersama. Tidak sehaluan lagi adalah antara punca utama perceraian itu berlaku.
Mencungkil rahsia hatinya adakah sukar memegang status dan melalui kehidupan sebagai `janda muda' Rosni mempunyai dua anak yang masih kecil hasil perkahwinan lalu berkata, situasi hari ini sudah berbeza sekali gus kurang tekanan dihadapi.
Katanya, berbanding 20 tahun lalu, wanita muda seusianya yang bercerai mungkin lebih perit untuk berdikari dan memulakan kehidupan baru. Kini, walaupun tohmahan masyarakat masih tidak dapat diketepikan, sekurang- kurangnya janda muda sepertinya mempunyai ruang yang luas untuk membina keyakinan diri dan mencari punca pendapatan bagi menanggung diri sendiri.
"Tidak sukar pun. Orang muda lagilah senang hendak bekerja, tetapi tidak dinafikan ada kala `tersentap' juga perasaan apabila dengar perkara yang tidak betul. Bagi saya, selagi pandai jaga diri dan tidak buat kerja yang tidak elok, insya-Allah hidup akan terus diberkati Allah. Yang penting, mestilah rajin dan terus berusaha serta ada matlamat hidup. Oleh sebab itulah saya juga menetapkan matlamat hidup iaitu ingin berjaya dan kumpul duit banyak-banyak," katanya sambil menyimpulkan senyuman penuh makna.
Misi memikat
Melihat penampilannya yang sungguh bergaya dan mempunyai perwatakan agak manja, lalu diajukan soalan tidakkah dirinya berasa bimbang dituduh sebagai wanita penggoda atau mempunyai `misi' untuk memikat serta `merampas' hak orang lain.
Sambil ketawa kecil, Rosni berkata, dirinya tidak perlu takut semua itu kerana perkara seumpama itu walau sebesar kuman sekali pun, ia tidak pernah terlintas dalam fikiran.
Katanya, sejak dulu malah ketika masih bergelar isteri orang, memang suka melawa dan mendandan diri, namun tidak dinafikan selepas bercerai penjagaan penampilan diri semakin ketara dari hujung rambut hinggalah ke kaki. Ini bersesuaian dengan apa yang dilakukannya hari ini iaitu mengikuti kursus kecantikan sebagai persiapan diri untuk menceburi bidang berkenaan secara serius sebaik saja tamat kursus dan merealisasikan cita- cita, membuka salun sendiri suatu hari nanti.
"Dulu pun saya bekerja dan suka berdandan. Cuma bezanya, dulu saya hanya bekerja di restoran ayah dan sudah tentulah penampilannya tidak seperti hari ini. Sekarang ini, saya sedang mempersiapkan diri untuk menjadi perunding kecantikan. Seiring dengan matlamat itu, sudah tentulah saya mempraktikkan apa yang dipelajari.
"Perubahan yang saya lakukan ini adalah baik untuk diri sendiri dan bukannya bagi saya melakukan perkara tidak elok," katanya turut menyatakan minat berlakon dan menceburi bidang peragaan.
Jodoh baru
Merancang masa depan, Rosni yang kini menetap di Langkawi berkata, bercadang untuk berhijrah ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya awal tahun depan kerana mendapati peluang yang ada lebih luas untuk melangkah dan berjaya dalam hidup.
Mengenai soal jodoh pula, katanya pada masa ini perkara itu belum difikirkan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian untuk meraih apa yang dicita-citakan.
Namun, tidak mustahil untuk berkahwin lagi suatu hari nanti apabila tiba masa yang sesuai dan hatinya sudah boleh benar-benar dapat menerima pengganti. Cuma, Rosni berharap, sekurang-kurangnya biarlah jodoh itu datang ketika usianya mencapai awal 30-an dan berkekalan hingga akhir hayat.
No comments:
Post a Comment