Friday, August 15, 2014

Ibu tiri bolot harta

Berita Harian, Sabtu 4 Disember 2011
 Oleh Nor Affizar Ibrahim


Ibu tiri bolot harta

 BUKAN mahu membuka pekung keluarga tetapi sekadar ingin berkongsi cerita supaya apa yang dialami dapat memberikan pengajaran dan teladan. Berkali- kali, Azimah (bukan nama sebenar) cuba menerangkan kepada penulis hasrat hatinya itu.
  
  Kata Azimah lagi, paling ditakuti, masyarakat akan tersalah anggap dan memandang serong terhadap niat baiknya apabila bercerita mengenai kisah buruk keluarganya sedangkan dirinya amat berharap supaya masyarakat berasa insaf dan jangan sesekali `termakan' harta anak yatim piatu.
  
  Memulakan cerita, Azimah memberitahu sejak usia lima tahun, dia dipelihara oleh datuk dan neneknya iaitu selepas ibu dan bapanya bercerai. Setahun selepas itu, ibu Azimah meninggal dunia manakala bapanya terus menghilangkan diri. Sejak itu, Azimah tidak mengenal wajah bapanya.
  
  Perasaan Azimah meluapluap untuk mengenali bapanya, iaitu seorang pegawai kerajaan, akhirnya tercapai apabila kenalan bapanya berusaha mempertemukan kedua-duanya selepas terpisah selama 18 tahun.
  
  "Saya bersyukur, dapat bertemu ayah kandung selepas bertahun-tahun merindui kasih sayang seorang bapa. Pada pertemuan itu, bapa juga menyatakan rasa kesalnya meninggalkan saya tanpa memberi khabar berita dan berjanji akan cuba menebus kesilapannya. Pertemuan hari itu berlangsung dalam suasana tangis rindu dan gembira walaupun saya tahu, ayah mempunyai keluarga baru," cerita Azimah dengan bening mata yang mula bergenang air mata.
  
  Bagaimanapun, kata Azimah, pertemuan antara anak dengan ayah kandung itu dianggap Bibah iaitu ibu tirinya, bertujuan membolot harta suaminya. Sedangkan bagi Azimah, sebelum menemui ayahnya, dia sudah pun membulatkan tekad untuk menjadikan Bibah sebagai ibu kandungnya sendiri dan berharap dapat menumpang kasih sayang.
  
  Bibah ternyata tidak menerima Azimah sebagai anaknya, malah menghasut anak-anaknya hasil perkongsian hidup dengan bapa kandung Azimah supaya membenci kakak mereka.
  
  Hasrat Azimah untuk menumpang kasih dengan keluarga baru ayahnya berkecai kerana Bibah menggunakan pelbagai cara mengusirnya keluar dari rumah ayahnya. Sehinggalah kematian ayahnya, Azimah dihalau keluar rumah.
  
  "Saya mencuba pelbagai cara untuk mengambil hati ibu tiri tetapi setiap kali berbuat demikian, semakin banyak hati saya yang disakiti. Kadangkala, ibu tiri menganggap saya tidak lebih seperti kucing kurap yang boleh dihina dan dicaci sesuka hatinya," ujar Azimah lagi.
  
  Penderitaan itu tidak berakhir di situ, tanpa pengetahuan Azimah, ibu tirinya itu menggunakan khidmat peguam untuk mengeluarkan wang simpanan suaminya dari beberapa bank. Wang yang dikeluarkan itu satu sen pun tidak diberi kepada Azimah. Bibah juga menggunakan khidmat peguam untuk menukar hak milik tanah dan rumah peninggalan suami kepada namanya dan anaknya.
  
  Apabila mendapat tahu semua tindakan kejam ibunya itu, Azimah tiada pilihan lain dan melalui bantuan beberapa saudara, perkara itu dibawa ke Mahkamah Syariah.
  
  Kata Azimah, bukanlah dia hendak sangat berebut harta arwah bapanya itu tetapi sikap ibu tiri yang terlalu tamak dan sering memburuk-burukkan nama arwah ibu kandungnya serta seolah-olah ingin bermusuh dengannya, membuatkan dia tekad bertindak sejauh itu.
  
  Selepas turun naik mahkamah dan mengemukakan bukti kukuh, Azimah berjaya mendapatkan haknya. Namun, Bibah lebih bijak mengatur harta peninggalan suaminya mengikut kehendak nafsu. Semua tanah dan dua rumah, termasuk sebuah daripadanya dibina menggunakan wang yang dikongsi bersama bapa dan arwah ibu kandung Azimah pada awal perkahwinan mereka, ditukar hak milik dengan namanya dan anaknya.
  
  Azimah, walaupun diberi sebidang tanah sebagai mematuhi arahan mahkamah, surat kuasa mahkamah dan geran tanah itu masih disimpan ibu tirinya itu. Tidak kuasa lagi `melayan' sikap tamak ibu tirinya, Azimah membuat keputusan membiarkan tindakan Bibah namun berdoa supaya Allah memberi Bibah petunjuk.
  
  "Lima bulan tidak berkirim salam dan bertanya khabar, alih-alih saya dengar ibu tiri saya sakit diserang strok serta tidak boleh berjalan lagi. Keadaan kesihatannya boleh dikatakan agak teruk," ujar Azimah.
  
  Walaupun semakin uzur, Bibah masih tidak insaf dan enggan menyerahkan surat mahkamah serta geran tanah kepada Azimah.
  
  "Memanglah, Mahkamah Syariah sudah pun memutuskan segala-galanya mengenai pembahagian harta itu. Tetapi kalau ibu tiri hendak menyimpan geran tanah itu, biarlah dia simpan, saya tidak pernah rasa kecewa atau kesal," kata Azimah turut berdoa semoga penyakit ibu tirinya cepat sembuh dan bertaubat serta mengerjakan amal ibadat untuk bekalan akhirat.
  

Bekas suami bongkak, kurang ajar

Berita Harian, Sabtu November 20, 2010
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bekas suami bongkak, kurang ajar

BUKAN terlalu berkira tetapi itu adalah haknya. Oleh sebab itu, Norita tegar dengan keputusannya biar pun orang di sekeliling, termasuk ibu dan ayahnya menasihatkan, buang yang keruh, ambil yang jernih. Carilah dan mulakan kehidupan baru, itulah antara saranan diberikan kepadanya.
  
  Norita sedar, semua nasihat itu diberikan kepadanya kerana mereka semua sayang dan berasa simpati dengan nasibnya yang terumbang-ambing serta tertekan sejak perceraian berlaku.
  
  Bagaimanapun, tekad dalam hati Norita sudah menjadi bungkah batu yang sukar dipecah, baginya tuntut mesti tuntut dan hak tetap hak! "Bekas suami saya terlalu angkuh dan sangat berkira, sedangkan dia mampu bayar nafkah," luah Norita dalam nada geram ketika berkongsi cerita dengan penulis.
  
  Norita sudah pun memfailkan perbicaraan membabitkan tuntutan nafkah edah, mutaah dan nafkah tertunggak sepanjang perkahwinan dengan bekas suami di Mahkamah Tinggi Syariah, dua bulan lalu.
  
  Dalam tuntutan, Norita meminta bekas suaminya, pegawai berjawatan paling kanan di sebuah syarikat insurans, membayar nafkah edah RM15,000 sebulan, nafkah mutaah RM100,000 dan nafkah tertunggak sebanyak RM5,000 sebulan.
  
  "Sebenarnya, apa yang saya minta tidak banyak kerana bekas suami saya lebih mampu daripada itu. Tetapi cukuplah jumlah sebanyak itu kerana saya hanya ingin menuntut hak sebagai bekas isterinya yang dinafikan sebelum itu. Tetapi saya tidak nafikan, sesekali hati turut diburu rasa marah dan dendam terhadap apa yang dilakukan kepada saya selama ini," kata Norita jujur membuat pengakuan.
  
  Bekas suami pernah mengsemula semua tuntutan yang dibuat. Jika tidak, padah akan menantinya. Tetapi, Norita sudah tidak peduli semua kecaman itu. Baginya, biar apa pun undang-undang ada dan pastinya bekas suami itu tidak akan terlepas terhadap kejahatan dilakukannya.
  
  Norita menegaskan, bekas suaminya mampu membayar jumlah tuntutan yang diminta memandangkan jumlah pendapatan bulanan dan pelaburannya yang banyak. Pendapatan sebulan bekas suaminya di syarikat insurans adalah sebanyak RM40,000, malah Norita mempunyai salinan penyata gajinya sebagai bukti.
  
  "Dia juga mempunyai pendapatan lain iaitu dengan menjadi pengarah urusan di beberapa syarikat dan saya pernah ternampak penyata gajinya iaitu RM20,000," katanya sambil menggetap bibir.
  
  Selain pendapatan bulanan, Norita juga berkata, bekas suaminya mempunyai pelaburan beratus ribu dalam akaun Amanah Saham Nasional dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
  
  "Dia tidak boleh tipu saya, semuanya saya sudah siasat dan segala- galanya ada bukti yang sahih. Jika dia hendak menipu dengan caranya sendiri, tidak tahulah saya," keluh Norita lagi.
  
  Berkongsi kisah rumah tangga yang dibina sebelum ini, Norita berkata, mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Namun, perkahwinan yang dibina atas perasaan cinta itu tidak menemui kebahagiaan sejak bulan ketiga perkahwinan kerana bekas suaminya sering mencari kesalahannya. Setahun berkahwin, akhirnya mereka bercerai di luar mahkamah tetapi tidak mempunyai anak.
  
  "Kes perceraian kami luar mahkamah itu sudah selesai dan tidak mempunyai sebarang perintah mahkamah berhubung nafkah," jelas Norita sambil terus menunjukkan riak wajah bungkam.
  
  Norita berkata, awal mendirikan rumah tangga layanan diterima baik dan semuanya berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, riak gelombang tidak aman mula melanda rumah tangga apabila bekas suaminya itu langsung tidak boleh diajak berunding. Malah, apa saja yang dia mahukan Norita mesti ikut kalau tidak pertengkaran akan berlaku.
  
  "Walaupun saya bekerja, saya disuruh membersihkan dua rumah miliknya di rumah kelamin di Taman Melawati dan Subang walaupun kami tidak tinggal di situ. Jika tidak buat saya akan dimarahi. Padahal, dia bukan tidak mampu mengupah orang untuk membersihkannya," kata Norita.
  
  Tujuh bulan berkahwin, Norita diminta tidur di bilik berasingan dan tidak dibenarkan memasak di rumah itu dan jika bekas suaminya ternampak kelibatnya di ruang tamu, dia akan dimarahi.
  
  Menyambung cerita, Norita berkata, dalam satu pergaduhan dengan bekas suami dia dihalau dari rumah kelamin di Taman Tun Dr Ismail dan dipukul sehingga cedera di tangan dan bibir ketika dalam edah menyebabkan dia dirawat di sebuah hospital swasta.
  
  Kata Norita lagi, penderitaan yang dialami ditanggung sendiri dan langsung pun tidak diceritakan kepada keluarga. Norita tidak mahu buruk laku sikap suaminya diketahui orang tua, lebih-lebih lagi itu adalah pilihannya sendiri. Jadi, biarlah dia sendiri yang menanggungnya.
  
  "Saya meminta dia memberi masa kerana hendak mencari rumah sewa, selain meminta tolong membayar wang pendahuluan kerana saya tidak mampu, namun tidak diendahkan. Bukan saja bersikap bongkak, bekas suami turut bersikap kurang ajar dan mengeluarkan perkataan tidak elok seperti memanggil saya dengan sumpah seranah dan maki hamun.
  
  "Akhirnya saya berjaya juga menyewa di Pandan Indah bersama rakan dan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli kelengkapan rumah kerana terpaksa keluar dari rumah secara tiba-tiba," katanya.
  
  Norita berkata, selepas bercerai dirinya terasa perit untuk memulakan hidup baru dan amat tertekan. Norita cuba bangun semula - mencari pekerjaan lain untuk mengelak malu dan kata-kata kurang elok kerana mereka berdua bekerja di tempat yang sama manakala bekas suami pula berkedudukan tinggi.
  
  "Apa yang dia buat pada saya, tidak mungkin saya lupakan. Tetapi yang pasti, saya tetap ingin terus membuat tuntutan. Tunggulah, saya akan ceritakan dan beritahu kepada mahkamah apa yang dia sudah lakukan kepada saya," kata Norita yang berdebar menanti hari perbicaraan.

Suami lesap tanpa berita

Berita Harian, Sabtu, Januari 15, 2011

Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Suami lesap tanpa berita
  
"HIDUP saya selama ini hanya menumpang. Tak tahulah apakah kesudahannya," kata wanita pertengahan 20-an ini. Walaupun cuba menyimpulkan senyuman ketika berbicara, wanita ini yang dikenali sebagai Zamrina, ternyata gagal menyembunyikan perasaan sedih dialami apabila jari jemarinya dilihat menyeka perlahan-lahan air mata yang sudah mengalir.
  
  Zamrina tidak pernah menyesali takdir kehidupan yang terpaksa dilaluinya. Katanya, beliau memahami kehidupan ini suatu perjalanan yang penuh ujian, kesakitan dan tidak kurang juga kegembiraan serta peluang terbaik untuk kita mencari keredaan Allah.
  
  "Tetapi, saya juga berasakan, ada ketika manusia itu terkadang lemah tak berdaya, perlunya pembimbing dalam mengharungi badai dan dalam menyelami lautan manfaat di sebalik gelora serta ombak," katanya berfalsafah mengenai kehidupan.
  
  Penulis terdiam seketika mendengar kata-kata yang diluahkan Zamrina sambil cuba mentafsirkan apakah kemelut rumah tangga yang dihadapinya sehingga membawa ke babak ke mahkamah syariah.
  
  "Hendak kata, tidak ada suami saya masih bergelar isteri orang kerana talak tidak pernah dilafazkan. Puas sudah saya menunggu tetapi bayang wajahnya tidak pernah muncul dan kini sudah hampir dua tahun saya begini," kata Zamrina akhirnya meleraikan persoalan.
  
  Zamrina berkata, rumah yang diduduki kini bukan rumah kelamin, sebaliknya adalah milik kakak suaminya, Zamrul yang sudah lama tidak pernah menjenguk diri memberikan nafkah zahir dan batin mahupun bertanyakan khabar mengenainya.
  
  "Selain kakak ipar dan saya, rumah itu juga didiami oleh seorang lagi penyewa. Rumah bujang itu memang cukup selesa untuk saya tinggal tetapi apalah makna semua itu kalau lelaki yang dikahwini tidak datang dan duduk bersama," kata Zamrina lagi.
  
  Menyambung cerita, Zamrina menjelaskan, detik meriah majlis perkahwinan antaranya dan suami sehingga kini masih terpahat. Oleh kerana Zamrina, anak sulung dan pertama berkahwin dalam keluarga, majlis persandingan diadakan secara besar-besaran.
  
  Selepas berkahwin, suami dan Zamrina tinggal bersama keluarganya kerana mereka masih tidak mampu menyewa rumah. Setahun lebih tinggal bersama keluarga, mereka mengambil keputusan berpindah apatah lagi rumah diduduki hanya dua bilik manakala ahli keluarga lain yang tinggal bersama agak ramai.
  
  "Kami kemudian menyewa rumah tetapi setahun lebih selepas itu suami mencadangkan saya duduk bersama kakaknya kerana dia dipindahkan bertugas ke daerah lain. Cara itu, lebih menjimatkan dan tidak perlu membayar banyak sewa rumah. Saya akur dengan keputusannya kerana gaji saya pun tidak seberapa. Untungnya, kami masih tidak dikurniakan anak," katanya.
  
  Zamrina berkata, tiga bulan pertama berlalu semua berjalan baik dan suami kerap juga bertanya khabar dan pernah dua kali balik menjenguknya di rumah kakaknya.
  
  Namun, selepas bulan berganti bulan dan berganti tahun lain pula ceritanya. Kini sudah pun dua tahun, suaminya terus menyepi tanpa sebarang berita.
  
  "Terasa macam orang bodoh menunggu buah yang tidak gugur. Oleh kerana suami tidak menyediakan rumah kelamin dan saya sudah penat menunggu, bersabar serta berusaha mencarinya, akhirnya saya keluar dari rumah kakak ipar. Saya keluar dari rumah itu kerana suami tinggalkan saya. Jadi, buat apa saya perlu menunggunya lagi," ujarnya yang masih tidak dikurniakan anak.
  
  Seiring dengan keputusan itu Zamrina juga membuat tuntutan cerai taklik di mahkamah syariah. Mendapat khabar daripada mentua bahawa suami pernah pulang ke rumah mereka, melalui peguam notis saman kes dihantar ke sana tetapi dipulangkan semula.
  
  "Sepanjang ditinggalkan, saya menanggung diri dengan bekerja. Walaupun sudah lama dia tinggalkan, saya masih setia dan taat pada ikatan perkahwinan kami. Malangnya, suami tidak pernah datang menjenguk, apatah lagi memberi nafkah. Sudah dua tahun begini," kata Zamrina.
  
  Zamrina berkata, bagi menguatkan bukti di mahkamah syariah, dua saksi ditampilkan termasuk kakak ipar dan adik kandungnya serta turut menyatakan kesanggupannya bersumpah syarie bagi menguatkan lagi dakwaan.
  
  "Segala-galanya sudah saya beritahu di mahkamah dan suami masih lesap begitu saja serta tidak mencabar tuntutan yang saya buat. Tetapi hakim belum lagi membuat keputusan. Insya Allah, bulan depan barulah saya dapat tahu keputusannya," katanya.
  
  Zamrina memberitahu, bukan perceraian diharapkan selama ini tetapi jika sudah terpaksa apa daya dirinya untuk menahan ia daripada berlaku.
  

Anak mangsa cerai

Berita Harian, Sabtu, Mac 19, 2011

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Anak mangsa cerai





TERKEDU seketika penulis apabila mendengar remaja berusia 16 tahun memuntahkan isi hatinya. Sepanjang pertemuan yang tidak sengaja itu, tutur bicara si anak remaja begitu lancar dan sesekali kematangannya terserlah apabila memberikan hujah bernas, yang dilihat amat jarang dilontarkan usia muda seperti itu.
  
  Walaupun baru berkenalan, tanpa berasa kekok Azmin (bukan nama sebenar) menceritakan satu persatu apa yang pernah dialami empat tahun lalu dan perasaan bergolak dialami kini. Mungkin sudah lama si anak remaja lelaki itu menyimpan segala yang terbuku di hati, lalu apabila ada yang sudi mendengarnya, ia dihamburkan semua.
  
  Meneliti luahan hati Azmin, penulis dapat menyimpulkan dalam dirinya ada perasaan kecewa, marah, dendam, sedih dan keliru. Punca hanya satu, perceraian orang tuanya empat tahun lalu.
  

Tiada daya 

Azmin memberitahu, sebagai anak, memang tiada daya langsung boleh dilakukan untuk menyelamatkan hubungan kedua ibu bapanya yang sedang bergolak. Walau apa keputusan yang dibuat oleh ibu dan bapanya, Azmin dan adik perempuannya, Azmira (bukan nama sebenar), mesti akur.
  
  "Kata orang, mungkin sudah jodoh mereka hanya setakat itu saja. Jadi, kami sebagai anak suka atau tidak, perlu menerima keputusan yang sudah dibuat," kata Azmin dengan wajah selamba.
  
  Cerita Azmin lagi, mungkin ketika itu dia sudah pun berusia 12 tahun, secara tidak langsung mudah untuknya menerima apa yang berlaku. Tetapi Azmira, yang ketika itu baru berusia sembilan tahun, mengalami kemurungan dan sedih dengan perceraian itu.
  
  "Tetapi kami adik-beradik, tidak pernah membenci papa atau pun mama. Walaupun kedua-duanya sering bergaduh, kami tetap sayangkan mereka. Lagipun, sebelum ini kasih sayang yang dicurahkan mereka pada kami tidak pernah kurang. Kedua-duanya walaupun sibuk bekerja, masih ada masa dan sentiasa mengambil berat terhadap kami," ujar Azmin yang tidak tahu punca ayah dan ibunya ingin bercerai.

  
  Remaja itu menambah, malah beberapa bulan sebelum ibu dan ayahnya mengambil keputusan bercerai, dia dan adiknya sering diajukan soalan oleh orang tua, siapakah yang akan mereka pilih untuk tinggal bersama.
  
  Katanya, setiap sekali soalan itu ditanya, tiada jawapan pasti yang diberikan kerana Azmin sendiri tidak tahu siapa yang ingin dipilih. Apatah lagi, kedua-duanya memang memberikan kasih sayang yang cukup kepada mereka dua beradik.
  
  "Jika saya tiada jawapan, adik apatah lagi. Tapi adik akan selalu menjawab kita tinggal sama-samalah, buat apa hendak tinggal berasingan," kata Azmin.
 
 Babak drama

  Akhirnya, detik yang ditunggu-tunggu tiba. Menghela nafas panjang, Azmin menyambung cerita, katanya, antara peristiwa yang tidak boleh dilupa ialah `babak drama' di luar Mahkamah Syariah antara ayah dan ibunya ketika kes perceraian mereka dibicarakan.
  
  Katanya, kejadian pertelingkahan hebat antara ibu dan bapa yang berlaku di depan mata dan disaksikan ramai orang pada hari itu benar-benar meninggalkan kesan kepada dirinya dan Azmira.
  
  Azmin berkata, apa yang difahami hari itu, hakim syarie membuat keputusan, menyerahkan hak penjagaan kekal dia dan adiknya kepada ibu mereka. Disebabkan tidak bersetuju dengan keputusan itulah, papa mereka bertindak menerpa ibu mereka di luar mahkamah sehingga berlaku pertikaman lidah.
  
  Kata Azmin, sebaik keluar dari mahkamah, ahli keluarga ibu dilihat cuba membantu bagi mengelak ayah mereka daripada berjumpa dan menghampiri Azmin serta adiknya. Inilah yang menimbulkan lagi rasa amarah ayahnya.
  
  "Itu cerita empat tahun lalu. Hari ini, saya sudah pun berusia 16 tahun, manakala adik pula 13 tahun. Selepas beberapa bulan bercerai, atas dasar tolak-ansur, saya dan adik sesekali dapat juga tidur bermalam di rumah papa. Tetapi selepas setahun bercerai, papa menyatakan hasrat untuk berkahwin lain.
  
  "Sudah tentu saya dan adik tidak boleh menghalang niat Papa itu. Selepas papa berkahwin baru, saya dan adik semakin jarang bertemu dengannya kerana kami sendiri tidak selesa tinggal bersama dengan ibu tiri tambahan dia mempunyai tiga anak yang hampir sebaya dengan kami.
  
  "Itu cerita Papa. Mama pula berkahwin baru selepas tiga tahun bercerai. Hubungan kami dengan mama juga semakin renggang dan seolah-olah ada jarak yang memisahkan kami.


Tidak puas hati


Lebih-lebih lagi, mama asyik memberi perhatian kepada adik kembar kami, hasil perkahwinan baru itu," kata Azmin dalam nada perlahan seolah-olah menyimpan perasaan tidak puas hati.
  
  Azmin turut mempersoalkan sikap ayah dan ibunya yang sebelum ini begitu beriya-iya mendapatkan hak penjagaan menjaganya dan Azmira ketika perceraian berlaku empat tahun lalu.
  
  "Dulu masing-masing bersungguh-sungguh hendak menjaga kami sehingga sanggup bertegang urat dan memalukan diri di khalayak. Sekarang ini, mereka seolah-olah lupa kehadiran kami. Walaupun sudah besar, saya dan Azmira masih perlukan belaian kasih sayang, tidak kisahlah walaupun masing-masing sudah ada kehidupan baru," kata Azmin.

PENAMPILAN BANTU TINGKAT KEYAKINAN DIRI

Berita Harian, Selasa Januari 11 2005

Penampilan bantu tingkat keyakinan diri



Oleh  Nor Affizar Ibrahim


BAYANGKAN anda berada dalam satu majlis, semua hadirin memakai baju kemas, rapi dan dengan rambut yang didandan cantik dan wajah disolek berseri. Sedangkan anda, mengenakan pakaian yang menampakkan kedut seribu dan memperlihatkan rambut serta wajah tidak terurus.
  
  Dengan cara penampilan seperti itu dan jauh berbeza daripada hadirin lain, adakah anda berasa kekok menyertai majlis itu? Jawapannya pasti `tidak'. Penampilan seperti itu jelas sekali, tidak bersesuaian dengan majlis berkenaan dan sekali gus, memalukan diri sendiri selain membuatkan anda berasa tidak selesa untuk berdamping dengan tetamu yang lain.
  
  Ketua Perkhidmatan Pelanggan dan Pembangunan Manusia, Malaysia Airlines, Afifah Abdul Rahim, berkata penampilan diri adalah penting bagi setiap individu walau pada bila-bila masa dan berada di mana-mana, sekalipun ketika di rumah.
  
  Beliau berkata, umumnya ketrampilan diri membawa pengertian yang merangkumi cara tatarias, cita rasa berpakaian, hemah diri, cara komunikasi dan kemahiran sosial. Oleh itu, semua itu perlu dijaga dan diberikan perhatian bagi menonjolkan ketrampilan diri yang sempurna.
  
  "Tatarias adalah salah satu aspek penting pada diri seseorang itu kerana melaluinya hanya dalam tempoh 30 saat, orang lain akan membuat tanggapan atau andaian pertama terhadap diri anda. Ini kerana tatarias ialah pengurusan diri yang menitikberatkan mengenai kekemasan, kesempurnaan dan kesesuaian dalam penampilan diri.
  
  "Tatarias bukan soal untuk bersolek semata-mata atau dengan niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi memberi tanggapan awal yang positif orang lain terhadap anda. Hemah diri pula adalah pakaian rohani dan jasmani seseorang yang dinyatakan melalui tingkah laku dan gerak geri," katanya ketika berceramah mengenai ketrampilan diri pada program Nur Wanita Bestari yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.
  
  Afifah berkata, wanita sebagai pegawai atau kakitangan di pejabat atau sebagai suri rumah di rumah dan ibu kepada anak-anak perlu menjaga kekemasan diri dari hujung rambut hingga ke kaki.
  
  Ketrampilan yang tidak kemas bukan saja tidak selesa tetapi juga mengganggu kita membuat tugasan dan secara tidak langsung, tiada keyakinan diri.
  
  "Jangan pergi kerja saja kita hendak kemas dan cantik sedangkan, penampilan ketika di rumah tidak dijaga. Lagipun, Islam sendiri menuntut kita berpakaian cantik. Begitu juga dengan suri rumah walaupun tidak bekerja, mesti jaga penampilan dan selalu tonjolkan imej yang elok kepada anak. Harus ingat, suami lebih banyak habiskan masa di tempat kerja dan di pejabat semuanya bergaya. Jadi, berhati-hatilah," katanya turut memberitahu aspek asas tatarias merangkumi, menjaga kebersihan dan kesihatan diri dari segi fizikal mahupun dalaman.
  
  Mengenai cita rasa berpakaian, beliau berkata, sebaik-baiknya diukur mengikut penilaian individu seperti dari sudut kedudukan ekonomi, tahap pelajaran, tahap kedudukan sosial, kejayaan, moral dan imej diri.
  
  Katanya, untuk menggayakan pakaian pula sewajarnya mengenali bentuk badan diri dan bijak memilih potongan dan warna sesuai. Selain itu, kesesuaian pakaian mengikut majlis dihadiri dan sepadan dengan umur juga mesti diambil kira.
  
  "Kita mesti menerima hakikat bahawa potongan badan dimiliki hari ini tidak sama dengan suatu ketika dulu. Lebih-lebih lagi, bagi yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Jadi, pandai-pandailah memilih potongan sesuai. Mahal atau murah harga sesuatu pakaian, tidak usah ambil kira sangat sebaliknya, yang lebih penting ialah kemas dan bersih serta memberi keselesaan," katanya.
  
  Afifah turut memberi panduan cara berpakaian antaranya ialah mengelakkan memakai rantai pendek atau panjang jika bertudung. Bagi wanita yang bertudung dan rendah, jika memakai kerongsang hendaklah sematkan pada bahagian atas bahu agar tampak tinggi.
  
  Wanita berbadan besar yang memakai tudung dan ingin menampakkan ukuran badannya kecil, lebih baik jangan memakainya melepasi bahu dan bersilang. Cara ikatan tudung yang sesuai ialah melepaskannya di bahagian hadapan dan bagi menampakkan penampilan lebih kemas, ikat dengan menggunakan kerongsang berbentuk cincin.
  
  "Bagi yang tidak bertudung dan berbadan besar tetapi ingin kelihatan kurus, digalakkan memakai rantai labuh. Untuk yang berleher jinjang, cukuplah sekadar menggayakan rantai pendek," katanya.
  
  Afifah berkata, memakai aksesori bagi melengkapkan penampilan tidak salah tetapi elakkan penggunaan yang keterlaluan atau tidak melebihi jumlah lapan aksesori dipakai, pada sesuatu masa.
  
  Berbicara mengenai pilihan warna, beliau berkata, umumnya terbahagi kepada dua iaitu warna hangat dan sejuk. Warna sejuk antaranya ialah biru laut, ungu, kelabu dan merah jambu manakala warna hangat termasuk hijau lumut, warna bumi, firus, hijau pucuk pisang dan kuning.
  
  Katanya, jika memilih pakaian berwarna hangat, lebih sesuai menggayakan tudung yang ada rona itu. Baju warna sejuk lebih cocok dipadankan dengan kerongsang berwarna perak yang juga salah satu dari kumpulan warna itu.
  
  "Hitam dan putih adalah warna semula jadi. Memang ramai yang menyukai dua warna itu tetapi berhati-hati kerana tidak semua sesuai untuk menggayakan keduadua warna itu," katanya.
  
  Rosak imej kerana pakaian adalah disebabkan beberapa perkara berikut:

* tidak sesuai.
* keterlaluan.
* selekeh atau tidak kemas.
* terlampau berwarna-warni.
* tidak sesuai dengan ukuran badan.
* memakai hiasan yang salah.
* sudah lusuh.
* menjadi mangsa fesyen.
  
Kemahiran sosial lebih mudah terjalin apabila: * anda bertimbang rasa. * anda menggunakan budi bicara yang tertib. * anda pandai menyesuaikan diri.
  
  Komunikasi yang baik ialah: * menjaga bahasa tubuh. * sebutan yang jelas dan betul. * cara penyampaian berhemah. * isi kandungan yang sesuai dengan situasi.

Senaman kasih sayang

Berita Harian, Mac 6, 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim


Senaman kasih sayang


MEMPUNYAI anak kecil sering kali dijadikan alasan, tiada masa untuk bersenam. Kehadiran si kecil dikatakan akan mengganggu dan menyebabkan hilang tumpuan melakukan pergerakan.
  
  Justeru, ada yang lebih senang meninggalkan amalan senaman yang biasa dibuat sebelum ini dan menunggu si kecil sekurang-kurangnya, pandai berjalan atau boleh bermain sendiri terutama jika diberikan permainan mampu melekakannya.
  
  Ada juga mengambil inisiatif lain seperti mencuri-curi masa bersenam terutama ketika si kecil lena dibuai mimpi atau meminta bantuan orang lain menjaganya ketika melakukan senaman. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya memberikan sedikit ruang dan kebebasan untuk melakukan senaman.
  
  Pemilik dan Jurulatih Kecergasan, Wan Suhaila Wan Abdul Malek, berkata senaman sebenarnya lebih menyeronokkan dan memberikan motivasi jika ibu turut membawa bersama si kecil turut serta.
  
  Wan Suhaila yang juga pemilik gim Contour Express, di Pusat Komersial Seksyen & Shah Alam, berkata ibu boleh `mengajak' bayi walaupun baru berusia tiga bulan bersenam bersama dan kehadirannya tidak akan mengganggu atau memberi tekanan jika tahu cara mengendalikan keadaan.
  
  Katanya, bersenam bersama anak seawal usia tiga bulan memberi beberapa kebaikan termasuklah dapat merapatkan hubungan kasih sayang antara ibu dengan bayi. Apatah lagi, pada peringkat usia bayi bawah satu tahun, pergerakannya banyak dipengaruhi interaksi dirinya dengan ibu bapa dan persekitarannya.
  
  Bayi banyak belajar dengan meniru kelakuan yang ditonjolkan ibu bapa dan persekitarannya. Stimulasi visual dan pendengaran diperlukan untuk menjana otak bayi menyusun maklumat. Oleh itu, pengalaman harian biasa seperti melakukan senaman bersama yang dialami bayi mampu merangsang organisasi perkembangan otak.
  
  "Kajian juga membuktikan pengalaman dan rangsangan yang diterima bayi pada tahun pertama dalam hidupnya akan mempengaruhi perkembangan dan fungsi otaknya, di kemudian hari. Kecerdasan otak bayi dapat dioptimumkan dengan senaman otak. Senaman otak adalah latihan yang dijalankan ke atas gerakan tubuh yang dinamik dan bersilang. Dengan bersenam, ia mendorong kepada keseimbangan aktiviti kedua-dua belah otak secara sekata. Ketika perkembangan kedua-dua belah otak seimbang maka kecerdasan anak menjadi maksimum," jelasnya.
  
  Wan Suhaila berkata, bagi ibu, ketika bersenam sudah pasti antara matlamatnya ingin mengekalkan kecergasan dan stamina, manakala anak bersenam akan menganggap ibunya sedang bermain dengannya.
  
  Katanya, keadaan itu membuatkan bayi seronok manakala ibu pula dapat memanfaatkan pergerakan fizikal ketika membawa sama anaknya bersenam. Malah, hubungan ibu dengan anak akan terjalin lebih erat.
  
  Dengan memenuhi keperluan emosi anak, secara tidak langsung tahap EQ anak mula berkembang dan keperluan emosinya bertambah baik dengan kurang menangis berbanding anak yang sering diabaikan.
  
  Wan Suhaila berkata, untuk melakukan senaman dengan bayi waktu paling sesuai ketika bermain dengannya sekali gus memastikan bayi tidak meragam, sebaliknya sentiasa cergas dan seronok setiap kali melakukan pergerakan dalam senaman.
  
  Tambahnya, lebih baik amalan senaman bersama anak dijadikan rutin kerana rangsangan pada bayi harus dilakukan setiap hari dan setiap kali bersamanya, selain ketika ibu memandikan bayi, menggantikan lampin dan memberikan makan.
  
  Katanya, untuk mencipta suasana lebih menyeronokkan ibu boleh memasang lagu sesuai dengan usia bayi atau memasang televisyen memaparkan rancangan digemarinya. Paling penting, rangsangan yang diberikan kepada bayi ketika melakukan senaman haruslah dalam keadaan selesa, tenang dan penuh dengan kasih sayang.
  
  Antara teknik gerakan senaman dilakukan bersama bayi:
  
  1. Penguat otot
  
  Letakkan bayi di atas perut, naikkan badan dan bahu sedikit sambil menghembuskan nafas, baring semula sambil menarik nafas dan ulang semula naik sebanyak 10 kali.
  
  2. Cobra
  
  Gerakan senaman seperti ini membantu menguatkan pinggang dan tangan anda.
  
  3. Bayi dan bola
  
  Anda duduk di atas bola dan lakukan henjutan dengan kiraan 10 kali. Senaman ini membantu menyihatkan jantung.
  
  4. Aksi Tom Tom Bak
  
  Gerakan ini juga dikenali Tom Tom Bak. Bengkokkan lutut dan kaki naikkan. Letakkan bayi di hujung kaki. Senaman ini baik untuk perut dan pelvik.
  
  5. Senam dada
  
  Baring dan angkat bayi, buat kiraan 10 kali. Senaman ini juga menguatkan otot pelvik.
  
  6. Tekan tubi
  
  Lakukan seperti senam tubi dan silangkan kaki. Senaman ini membantu menguatkan tangan.

ANCAMAN MISS 'J"

Berita Harian, November 28, 2009

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Ancaman `Miss J'



BUNYI atau menyebut saja perkataan `janda' tidak dinafikan seakan sedikit kasar dan sering kali membawa konotasi yang negatif. Justeru, tidak hairanlah ada golongan wanita yang berstatus itu kurang selesa atau langsung tidak senang dengan panggilan berkenaan.

  Bagaimanapun, setiap kali membuka topik mengenai golongan itu, nescaya ramai yang akan membuka mata dan telinga. Bagaikan ada tarikan besi berani, masyarakat seolah-olah ingin tahu dan mendekati wanita yang berstatus itu. Apatah lagi, jika perkataan janda itu dikaitkan atau ditambah dengan perkataan lain seperti `janda berhias', `mak janda', `janda muda', `janda panas', `janda meletup' dan sebagainya.
   Realitinya, stigma masyarakat terhadap golongan itu yang sering memberikan persepsi negatif dan melabelkan mereka dengan perkataan kurang enak didengar, dari dulu hingga kini masih tidak berubah. Malah, tanpa pernah sedikit pun memikirkan dan menyelami perasaan mereka ada yang menganggap cerita membabitkan golongan berstatus itu adalah bahan cerita sensasi atau boleh dijadikan bahan ketawa menghiburkan hati.
 

Kucing mana tak tergoda


 Namun, lebih tidak sedap didengar apabila ada berkata dan berpendapat, wanita berstatus janda boleh menjadi `ancaman' kepada wanita lain, khususnya yang masih mempunyai suami. Ini sering terjadi, lazimnya apabila wanita berstatus itu `pasang badan', melaram dan menunjukkan sikap gedik, manja serta menggoda.
  Bak kata pepatah, kucing mana tidak tergoda kalau ikan sudah berada di depan mata. Mungkin sebab itulah walaupun tidak semua, ada wanita yang mempunyai suami mula berasa `terancam' kerana berasa adanya saingan hebat. Jika tidak pun, mereka mungkin lebih berhati-hati apabila suami berkawan dengan golo ngan berkenaan kerana takut lambat laun, suatu hari nanti pelanduk termasuk juga jerat yang dipasang. Apa pun semua itu mungkin persepsi segelintir masyarakat kerana ada juga yang prihatin, simpati dan memahami nasib serta cabaran harus dilalui seorang wanita bergelar janda.
  

Tidak kisah


Bagi Rosni Yahaya, 27, yang baru setahun 'memegang' status itu, berkata tidak kisah langsung dengan sebarang panggilan atau gelaran diberikan kepadanya. Malah, seiring dengan tempoh masa yang sudah berlalu, wanita bertubuh genit itu juga semakin sebati dengan kehidupan kembali `membujang' yang kini ditempuhi.
   Bersikap positif dengan ranjau kehidupan harus dilalui sebagai wanita yang sudah bercerai, Rosni juga tidak mahu mengambil pusing mengenai apa saja tanggapan buruk dan negatif masyarakat terhadap dirinya atau pun wanita bergelar janda.

   Katanya, tidak perlu hendak takutkan apa-apa atau sedih dengan tanggapan, pandangan mahu pun cemuhan orang lain selagi diri sendiri tidak melakukan apa-apa kesalahan dan melanggar hukum agama serta adat budaya yang boleh mencemar, di samping menjatuhkan maruah diri dan keluarga.
   "Wanita mana yang tidak sedih apabila rumah tangga dibinanya musnah. Begitulah juga saya yang mengambil masa lebih tiga bulan untuk menerima hakikat bahawa saya sudah bercerai dan bergelar janda. Nasib baiklah, ibu dan bapa sentiasa memberikan sokongan dan dorongan untuk saya bangkit kembali meneruskan kehidupan. Soal panggilan `janda' pula, saya juga tidak kisah dan tidak malu dengan gelaran itu.
  "Bagi saya panggilan itu sedikit pun tidak menjadi kudis, lagipun itulah realiti status saya kini. Ubah sekali manapun panggilan `janda' itu misalnya, ibu tunggal atau sebagainya ia sedikit pun tidak membawa apa-apa makna dan perbezaan. Apabila sudah bercerai, saya mesti terima hakikat dan itulah gelarannya. Saya juga tidak pernah menyembunyikan status saya kini, sama ada pada saudara-mara mahupun kawan-kawan," katanya tegas menyatakan pendirian.
  

Rahsia hati



Wanita yang berasal dari Perlis itu berkata, perkahwinan yang dibina atas dasar saling cinta mencintai sampai ke noktah akhir selepas hampir 10 tahun melayari hidup bersama. Tidak sehaluan lagi adalah antara punca utama perceraian itu berlaku.
  Mencungkil rahsia hatinya adakah sukar memegang status dan melalui kehidupan sebagai `janda muda' Rosni mempunyai dua anak yang masih kecil hasil perkahwinan lalu berkata, situasi hari ini sudah berbeza sekali gus kurang tekanan dihadapi.
   Katanya, berbanding 20 tahun lalu, wanita muda seusianya yang bercerai mungkin lebih perit untuk berdikari dan memulakan kehidupan baru. Kini, walaupun tohmahan masyarakat masih tidak dapat diketepikan, sekurang- kurangnya janda muda sepertinya mempunyai ruang yang luas untuk membina keyakinan diri dan mencari punca pendapatan bagi menanggung diri sendiri.
  "Tidak sukar pun. Orang muda lagilah senang hendak bekerja, tetapi tidak dinafikan ada kala `tersentap' juga perasaan apabila dengar perkara yang tidak betul. Bagi saya, selagi pandai jaga diri dan tidak buat kerja yang tidak elok, insya-Allah hidup akan terus diberkati Allah. Yang penting, mestilah rajin dan terus berusaha serta ada matlamat hidup. Oleh sebab itulah saya juga menetapkan matlamat hidup iaitu ingin berjaya dan kumpul duit banyak-banyak," katanya sambil menyimpulkan senyuman penuh makna.
  


Misi memikat


Melihat penampilannya yang sungguh bergaya dan mempunyai perwatakan agak manja, lalu diajukan soalan tidakkah dirinya berasa bimbang dituduh sebagai wanita penggoda atau mempunyai `misi' untuk memikat serta `merampas' hak orang lain.
  
  Sambil ketawa kecil, Rosni berkata, dirinya tidak perlu takut semua itu kerana perkara seumpama itu walau sebesar kuman sekali pun, ia tidak pernah terlintas dalam fikiran.
  
  Katanya, sejak dulu malah ketika masih bergelar isteri orang, memang suka melawa dan mendandan diri, namun tidak dinafikan selepas bercerai penjagaan penampilan diri semakin ketara dari hujung rambut hinggalah ke kaki. Ini bersesuaian dengan apa yang dilakukannya hari ini iaitu mengikuti kursus kecantikan sebagai persiapan diri untuk menceburi bidang berkenaan secara serius sebaik saja tamat kursus dan merealisasikan cita- cita, membuka salun sendiri suatu hari nanti.
  "Dulu pun saya bekerja dan suka berdandan. Cuma bezanya, dulu saya hanya bekerja di restoran ayah dan sudah tentulah penampilannya tidak seperti hari ini. Sekarang ini, saya sedang mempersiapkan diri untuk menjadi perunding kecantikan. Seiring dengan matlamat itu, sudah tentulah saya mempraktikkan apa yang dipelajari.
  "Perubahan yang saya lakukan ini adalah baik untuk diri sendiri dan bukannya bagi saya melakukan perkara tidak elok," katanya turut menyatakan minat berlakon dan menceburi bidang peragaan.
 

Jodoh baru


Merancang masa depan, Rosni yang kini menetap di Langkawi berkata, bercadang untuk berhijrah ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya awal tahun depan kerana mendapati peluang yang ada lebih luas untuk melangkah dan berjaya dalam hidup.
  Mengenai soal jodoh pula, katanya pada masa ini perkara itu belum difikirkan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian untuk meraih apa yang dicita-citakan.
   Namun, tidak mustahil untuk berkahwin lagi suatu hari nanti apabila tiba masa yang sesuai dan hatinya sudah boleh benar-benar dapat menerima pengganti. Cuma, Rosni berharap, sekurang-kurangnya biarlah jodoh itu datang ketika usianya mencapai awal 30-an dan berkekalan hingga akhir hayat.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...