Thursday, October 17, 2013

PEPERANGAN TURUT JADI URUSAN WANITA

Berita Harian, Jumaat, Januari 30, 2004

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Peperangan turut jadi urusan wanita
 



PEPERANGAN mencetuskan kemusnahan. Peperangan turut membawa penderitaan dan kesengsaraan. Mangsa utama peperangan ialah wanita, kanak-kanak dan warga tua. Itulah musibah perang.
  
Apabila berbicara keadaan peperangan pula, sepantas kilat akan tergambar wajah wanita yang berada dalam ketakutan ataupun sayu berendam air mata sambil dikelilingi kanak-kanak yang dalam keadaan daif dan kurus kering.
  
Arus perubahan masa kini menunjukkan wanita berfungsi dan tanggungjawab yang lebih besar jika berlakunya peperangan. Andai kata peperangan melanda, wanita tidak lagi sewajarnya hanya meratap dan merintih simpati tetapi perlu turut sama menghulurkan tangan sama ada ikut serta berjuang di medan pertempuran atau menyumbang kudrat di kawasan peperangan, yang sudah tentu mengharapkan lebih banyak bantuan.
  
Wanita masa kini juga tidak harus membiarkan dirinya berterusan menjadi mangsa keadaan biarpun sering dikatakan, sebagai insan yang lemah sentiasa diragui kemampuan dan kebolehan serta dinafikan peluang dan tidak dihargai.

  
Yang jelas, anjakan paradigma terhadap persepsi gender perlu ada pada masa kini bagi mewujudkan keamanan dan mengelakkan wanita terus menjadi mangsa keganasan dalam peperangan.
  
Itulah antara beberapa isu dan perkara menarik yang dibangkitkan serta dibincangkan pada persidangan Wanita dan Keamanan: Isu, Cabaran dan Strategi di The Mines Beach Resort & Spa, Seri Kembangan, baru-baru ini.
  
Persidangan sehari anjuran Unit Pengajian Komuniti dan Keamanan (Pekka), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Unit Pengajian Wanita, Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan.
  
Antara objektif persidangan itu untuk bertukar pengalaman dan pandangan berkaitan wanita dan keamanan di samping mencetuskan strategi baru yang inovatif, lebih berperikemanusiaan dan mantap bagi menghadapi cabaran serta menyelesaikan krisis atau konflik mahupun ketidaksefahaman terhadap hal yang membabitkan wanita dan keamanan.
  

Harus bersedia

Dr Jamilah Othman, daripada Pekka yang membentangkan kertas kerja bertajuk `Wanita dan Strategi Menguruskan Konflik', berkata ekoran tuntutan kemajuan, wanita perlu menerima hakikat, konflik menjadi sebahagian rencah kehidupan dan mereka seharusnya bersedia secara mental, fizikal serta emosi untuk menghadapi dan mempunyai pelan strategi bagaimana menguruskannya.
  
Beliau berkata, sekalipun ramai sarjana berpandangan bahawa menguruskan konflik banyak bergantung kepada pengalaman, pengetahuan dan tradisi serta nilai yang dipegang tetapi perkara paling penting sekali ialah pada diri individu itu sendiri.
  
 "Jika konflik dikonotasikan sebagai negatif maka sudah pasti ia akan diuruskan dengan cara yang destruktif dan seandainya dikonsepsikan positif, ia akan dikendalikan dengan konstruktif," ujarnya.
  

Sasaran utama

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kolektif Wanita (WOA), Maria Chin Abdullah, yang membangkitkan persoalan bayangan wanita sebagai mangsa perang atau individu terselamat berkata, peperangan sudah berubah beberapa dekad lalu.

Akibatnya, wanita, kanak-kanak dan warga tua menanggung penderitaan yang teruk.
  
"Apabila matlamat perang lebih menjurus menghapuskan identiti penduduk, wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi sasaran strategik untuk penderaan dan tubuh mereka menjadi `medan peperangan'. Ia jelas menunjukkan, bahawa fokus terhadap peperangan ialah menghancurkan yang lain dan wanita cenderung menjadi mangsa utama sasaran pencerobohan itu.
  
"Ketika peperangan meletus, wanita menderita akibat keganasan dan menjadi mangsa sasaran penderaan. Ini kerana mereka adalah
wanita. Bagaimanapun, ada yang berkata, peperangan adalah urusan lelaki tetapi tidak dinafikan wanita terpaksa menerima kesan kehidupan yang negatif akibat perang. Oleh itu peperangan juga adalah urusan wanita," kata Maria.
  
Selain itu, beliau turut membicarakan mengenai imej yang dipaparkan oleh media massa dalam di negara yang berperang.
  
Katanya, masyarakat sering didedahkan dengan imej mangsa yang tidak terdaya yang memerlukan bantuan akibat kekejaman dilakukan musuh, manakala imej wanita sebagai wira atau perunding keamanan jarang dipaparkan.
  
"Sepanjang sejarah, kita sudah menyaksikan bagaimana `wanita berani' dilayani. Ini termasuk, Joan of Arc (yang memimpin tentera Perancis menentang tentera Inggeris) tetapi kemudiannya dihukum bakar. Begitu juga sehingga melabelkan bekas Perdana Menteri, Margaret Thatcher sebagai `Wanita besi'. Mesejnya, menjadi wanita berani ada kaitan rapat dengan maskuliniti," katanya.
  
Maria menambah lagi, bahawa wanita berfungsi sebagai pengikat keamanan tetapi dalam banyak kes, usaha mereka dipandang remeh. Beliau mengambil contoh apa yang berlaku kepada aktivis Palestin, Hanan Ashrawi sebagai penerima anugerah keamanan Sydney Peace Prize, baru-baru ini. Hanan dikecam Perdana Menteri Australia, John Howard kononnya, beliau tidak layak menerima anugerah itu.
  

Ketidakadilan untuk wanita

Pengurus Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pembangunan Manusia (Malaysia, Singapura dan Brunei), Anis Yusal Yusoff, pula berkata kita selalu mengharapkan keamanan pada setiap masa tetapi pada amalannya ia tidak berlaku.
  
 "Peperangan adalah halangan untuk mencapai keamanan. Tetapi, keamanan tidak hanya berkisar pada perang sebaliknya, juga berkaitan dengan apa yang berlaku di sekitar kita," ujar Anis.
  
Beliau berkata, keganasan terhadap wanita bukan hanya berlaku pada ketika peperangan. Malah, di seluruh dunia wanita mendepani keganasan.
  
 "Ini berlaku kerana mereka adalah wanita. Bagaimanapun, peperangan memperhebatkan lagi ketidakadilan bahawa wanita harus melalui semua itu," katanya.
  
  Beliau yang menghuraikan kertas kerja bertajuk, Wanita: Perang: Keamanan berkata, pemindahan yang disebabkan perang selalunya membabitkan wanita dan kanak-kanak. Pemindahan itu menunjukkan dimensi gender sebagai wanita, mereka perlu dipindahkan.
  
 "Sekali gus, senario itu meletakkan wanita sebagai golongan tidak berdaya kerana mereka terdedah kecenderungan diserang atau dirogol walaupun di kem pelarian yang disediakan untuk mereka.
  

Perlukan pembabitan wakil wanita

Wanita juga terdedah kepada ancaman penyakit seperti HIV/Aids.
  
 "Peperangan dan HIV/Aids saling berkait rapat. Wanita bukan saja mudah dijangkiti penyakit itu akibat diperkosa tetapi juga melalui hubungan seks yang tidak selamat dan juga bahaya menggunakan darah yang tidak diuji dan peralatan tercemar kerana situasi perang," ujar Anis.
  
  Beliau berkata, usaha perlu dilakukan untuk melindungi wanita daripada keganasan. Media boleh berfungsi dalam membantu masyarakat memahami isu itu, manakala undang-undang boleh memastikan bahawa keganasan dihentikan.
  
  Katanya, komitmen yang tinggi dan berterusan pada kesamarataan gender terhadap wanita perlu wujud termasuk pembabitan wakil wanita dalam semua kegiatan yang membentuk keamanan.

PELANGGARAN HAK ASASI WANITA MASIH WUJUD

Berita Harian, Selasa Mac 8, 2005
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Pelanggaran hak asasi wanita masih wujud




SAMBUTAN Hari Wanita Sedunia bermula dengan usul pemimpin pejuang hak asasi manusia daripada Pergerakan Wanita Sosialis Antarabangsa, Clara Zetkin yang berasal dari Jerman pada tahun 1910.

Perhimpunan besar di Manhattan, Amerika Syarikat pada 1908 yang membabitkan 2,000 wanita bekerja dalam sektor perindustrian untuk menuntut beberapa tuntutan hak asasi mereka, mencetus idea kepada Zetkin merangka usul bagi dibincangkan pada persidangan antarabangsa wanita sosialis yang menumpukan pada pemilihan tarikh sesuai, melahirkan tuntutan kumpulan wanita terbabit.
  
  Tuntutan berkenaan antaranya ialah pembayaran gaji lebih adil, kebajikan pekerja wanita dipertingkatkan, perubahan perundangan yang lebih adil terhadap wanita dan hak mengundi dalam pilihan raya. Usaha itu ternyata berjaya apabila persidangan yang dihadiri 100 wanita dari 17 negara seluruh dunia mewakili pertubuhan, parti sosialis, kelab pekerja wanita termasuk, tiga wanita pertama yang terpilih dalam Parlimen Finland, menyambut baik cadangan Zetkin dan lahirlah Hari Wanita Sedunia.
  
  Rentetan perjuangan dan ketabahan wanita seluruh dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1945 akhirnya, turut mengiktiraf wanita dan memilih 8 Mac sebagai hari peringatan untuk wanita seluruh dunia. Pada tahun sama juga, satu perlembagaan mengenai sokongan kempen hak kesamarataan ditandatangani oleh PBB sekali gus, membuktikan kesungguhan pertubuhan dunia itu.
  
  Jika dihitung bermula pada 1910, Selasa ini (8 Mac) genaplah 95 tahun, Hari Wanita Sedunia dirayakan.
  

Makin banyak isu diketengahkan 



Bermula dengan perjuangan awal gerakan wanita khususnya, di negara barat seperti Amerika, Britain dan Russia dalam menuntut hak mengundi serta keadilan dan kebajikan di tempat kerja, hari ini semakin banyak isu diketengahkan dan diperjuangkan wanita di seluruh dunia.

Malah, kini isu wanita dan pembangunan sudah menjadi agenda dunia. Dengan peningkatan lebih ramai cerdik pandai di kalangan
wanita dan semakin ramai di serata dunia yang berani ke depan serta bersuara lantang melontarkan pandangan, pendapat dan kritikan, maka semakin banyak isu mengenai wanita diketengahkan dan diperjuangkan.
  
  Perjuangan wanita abad kini pelbagai dan bergantung kepada latar belakang masyarakat masing-masing. Berdasarkan isu diketengahkan, jelas menunjukkan kepelbagaian tuntutan wanita, bergantung kepada tahap kemajuan politik dan ekonomi negara mereka.
  
Selain itu, sudah ramai wanita dalam pelbagai bidang yang berjaya di persada antarabangsa.

Nama seperti Margaret Thatcher, Indra Ghandi, Benazir Bhutto dan Mother Teresa adalah antara tokoh wanita yang menjadi simbol kejayaan antarabangsa. Pada dekad ini, nama se perti Aung San Suu Kyi Condoleezza Rice, Megawati Sukarnoputri, Sonia Ghandi dan Gloria Macapagal Arroyo turut mencuri tumpuan dan menggegarkan dunia.
  
Tetapi ini tidak bermakna, wanita sudah 100 peratus mendapat tempat. Setinggi manapun pencapaian mereka, masih ada jurang memisahkan wanita dengan lelaki. Di sesetengah negara pula, masih gagal mengutamakan dan berterusan berlaku perlanggaran hak asasi wanita, khususnya dalam isu membabitkan keganasan terhadap wanita.
  



Penderaan seks dan keganasan



Laporan Amnesty pada awal Disember tahun lalu misalnya menyebut, wanita dan gadis dirogol, didera dengan kejam dan dihina di zon perang seluruh dunia tetapi pihak berkuasa tempatan tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menghukum penjenayah. Laporan itu turut berkata, penderaan seks dan keganasan lain berlaku secara meluas. Di sebalik janji, mekanisme perjanjian dan perundangan, kerajaan gagal melindungi wanita dan gadis dalam konflik di Colombia, Iraq, Sudan, Chechnya, Nepal dan Afghanistan.
  
  Begitu juga dalam menempuhi cabaran dunia kontemporari, golongan wanita terus dihambat dengan beberapa masalah. Wanita di Eropah contohnya, kini mendapati semakin sukar untuk mengimbangi tanggungjawab di tempat kerja dan kehidupan berkeluarga jika ingin terus berjaya sebagai wanita bekerjaya. Kajian Suruhanjaya Ekonomi PBB yang dibentangkan tiga bulan lalu menunjukkan, beban berganda yang digalas wanita sebagai seorang profesional dan ibu menyebabkan tanggungjawab mereka semakin berat di kebanyakan negara di rantau Eropah.
  
  Kajian itu diumumkan 10 tahun selepas persidangan PBB di Beijing yang menggariskan pelan tindakan bagi meningkatkan kehidupan wanita di seluruh dunia. Kajian itu menunjukkan sukar untuk wanita berjaya dalam kerjaya dan pada masa sama menjalani kehidupan berkeluarga.
  

Masih menghadapi konflik

Bagi wanita di sesetengah negara yang baru hendak membangun pula, turut menghadapi konflik dan masih berdepan dengan banyak cabaran untuk membangunkan wanita di negara mereka. Menteri Hal Ehwal Wanita Kemboja, Dr Ing Kantha Phavi ketika membentangkan kertas kerja, pada Sidang Kemuncak Wanita Asean yang diadakan di negara ini bulan lalu, berkata pembangunan wanita di Kemboja masih terlalu jauh untuk dicapai.
  
  "Terdapat 52 peratus wanita daripada penduduk Kemboja yang membabitkan diri secara aktif dalam ekonomi. Tetapi status wanita Kemboja dalam dunia pekerjaan tidak diiktiraf kerana 54 peratus wanita yang memberi sumbangan aktif dalam ekonomi digolongkan sebagai pekerja keluarga yang tidak berbayar. Hanya 13 peratus wanita yang dibayar sebagai pekerja dan 33 peratus berkerja sendiri," katanya.
  
  Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi wanita Kemboja dalam untuk menjadi pemimpin ialah kurang pengaruh akibat pandangan berat sebelah, bebanan kewangan ekoran kemiskinan, tidak mendapat latihan secukupnya kerana tahap pendidikan yang rendah dan ketiadaan sokongan untuk meningkatkan kemahiran serta bebanan kerja yang bertambah.
  
  Sementara, Presiden Majlis Kebangsaan Wanita Filipina (National Council of Women of The Philippines, NCWP), Myrna T Yao yang membicarakan isu berkerja, wanita dengan rakan sekerja lelaki pada sidang kemuncak yang sama berkata, wanita Filipina masih melihat lelaki dalam sebagai ketua.
  
  Myrna berkata, lelaki memegang jawatan sebagai presiden tetapi mempunyai tanggungjawab yang sedikit. Wanita menguruskan urusan kerja dengan tanggungjawab yang besar tetapi kekal sebagai warga kelas kedua.
  

SUARA MASA DEPAN

Berita Harian, Selasa Oktober 19, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Suara masa depan

  



"SEBAGAI kanak-kanak, kami tidak selalu menunjukkan kami prihatin dengan apa yang berlaku di seluruh dunia tetapi kenyataannya, kami melihat, kami dengar dan kami rasakan.

Kami melihat gambar kanak-kanak duduk di tempat kotor, jalan berdebu dengan pakaian yang tidak sesuai, apakah mereka memiliki pakaian sama sekali?


"Kami melihat video kanak-kanak membawa senjata dan bergabung dengan tentera awam militan, yang mana kebanyakan kes tidak memberikan mereka pilihan untuk mengatakan `tidak'.
  
 Kami mendengar laporan kanak-kanak meninggal dalam pengeboman, mati akibat penyakit dan kebuluran. Gambar itu membuat kami berasa sangat sedih."
  
  Suara atau `Mesej Kepada Wanita-Wanita Pertama daripada Kanak-kanak Malaysia' yang diluahkan wakil kumpulan remaja pada hari terakhir, Sidang Kemuncak Wanita Pertama 2010, baru-baru ini, jelas tersirat harapan dan kerisauan mereka.
  
  Mesej itu juga seolah-olah memberi isyarat, sudah sampai masanya golongan dewasa tidak memperlekehkan pandangan diberikan golongan muda, sama ada remaja mahupun kanak-kanak.
  
  Apatah lagi, mesej disampaikan kepada wanita pertama yang hadir pada sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga hari itu bukan saja mewakili kanak-kanak di negara ini, tetapi suara berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia.
  
 Ada kekuatan sendiri


Walaupun kanak-kanak mewakili satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia hari ini, mereka seharusnya dilihat sebagai insan yang berdaya dan mempunyai kekuatan sendiri. Merapatkan diri dan mendengar apa yang disuarakan mereka, orang dewasa pasti mendapati isi hati dan perkara yang berlegar dalam minda mereka sebenarnya banyak yang penting.

  
  Justeru, sewajarnya dalam setiap keadaan, tindakan dan setiap keputusan yang membabitkan kanak-kanak dan remaja, penyelesaiannya mestilah dipertimbang dengan memikirkan kepentingan mereka. Pertimbangan itu seharusnya dapat membantu kanak-kanak mendapatkan hak mereka, di samping membolehkan golongan itu merasai nikmat hidup alam kanak-kanak yang menggembirakan.
  
  Lebih-lebih lagi, sejarah sudah membuktikan golongan muda, termasuk remaja dan kanak-kanak berperanan besar dalam mengubah suasana dalam negara atau dunia. Golongan berke
naan juga adalah pemimpin masa depan dan seiring dengan itu mereka perlu dipersiapkan serta diperkasa dengan keupayaan menyediakan persekitaran yang membantu perkembangan mereka.
  
  Harapan dan permintaan itu jelas disampaikan melalui mesej berkenaan. Antara lain mesej itu menyatakan, adalah tidak adil apabila hanya sebahagian kanak-kanak yang bernasib baik dan diberikan peluang untuk menjadi yang terbaik.
  
  "Orang dewasa menyatakan kanak-kanak adalah aset terbesar negara. Kami tahu yang kami mempunyai potensi. Tetapi kami juga tahu potensi dalam diri banyak kanak-kanak turut terabai atau tidak dihiraukan. Akhirnya ia lenyap begitu saja," kata mereka.
  

Pelapis masa depan

Mereka tahu tidak lama lagi, giliran mereka mengambil alih tugas sebagai pemimpin.

Namun, yang menjadi kerisauan, bagaimana mereka hendak memikul tugas itu apabila 115 juta kanak-kanak di dunia tidak pergi ke sekolah dan tidak menerima pendidikan.
  
  "Bagaimana kami akan belajar terbaik yang kami boleh apabila terlalu ramai wanita buta huruf. Ibu kami menyediakan tabung untuk pendidikan yang baik tetapi jika hak mereka untuk membaca dan menulis dinafikan, bagaimana kami akan belajar?" kata mesej itu lagi.
  
  Kata mereka, setiap tahun sembilan juta kanak-kanak di seluruh dunia mati sebelum sempat meraikan ulang tahun kelima, kebanyakannya akibat keadaan yang boleh dicegah.
  
  "Jika ibu mereka belajar membaca dan menulis, boleh jadi tidak ramai daripada mereka akan mati. Ibu mereka seharusnya tahu pentingnya minum air yang bersih, tahu mengenai penyakit dan rawatan perubatan yang diperlukan," katanya. Mereka juga berkata, kurang peluang pendidikan masih menjadi masalah di negara membangun, tetapi negara maju tidak boleh lepas tangan dengan berkata - "itu bukan masalah kami."
  
  "Jika kanak-kanak ialah pemimpin masa depan, kami hanya minta (dunia) memberi kami hak kami - berikan kami apa yang kami berhak - pemakanan berkhasiat, sihat tubuh badan, tempat berteduh, penjagaan kesihatan dan pendidikan baik.



Kami tidak mempunyai jawapan kepada semua persoalan ini, tetapi kami tahu dalam diri setiap kanak-kanak, dalam diri kami semua, ada hati, perasaan dan minda seorang pemimpin. Bantu kami menjadi yang terbaik yang termampu oleh kami," kata mesej itu lagi.
  

Pandangan remaja



Lim ketika ditemui berharap isu dan permasalahan mengenai kanak-kanak hari ini dipandang lebih serius, termasuk usaha memperkasa serta merancang membangunkan masa depan mereka.
  
  Pelajar Sekolah Menengah Taman Sea, Petaling Jaya itu, berkata janji untuk memberikan yang terbaik mestilah dikotakan dan bukan sekadar disuarakan serta dimeterai pada persidangan.
  
  "Dalam bidang pendidikan khususnya, kanak-kanak wajar diberikan yang terbaik supaya dapat `menjuarai' peranan mereka sebagai pemimpin masa depan. Apa yang dicapai dalam persidangan hendaklah direalisasikan dalam dunia sebenar," katanya.
  
  Rakannya, Sofia Ong, 17, yang pernah mewakili forum membincangkan hak kanak-kanak sebelum ini pula berkata, menggalak dan memberi peluang golongan muda berinteraksi dengan orang dewasa bukan saja memberi banyak manfaat tetapi satu tindakan tepat bagi memahami apa diinginkan golongan muda serta merancang masa depan mereka.
  
  "Sebagai remaja, saya amat berbesar hati apabila orang dewasa dapat mendengar luahan hati kami," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Damansara Jaya.
  
  Pelajar sekolah antarabangsa, Arvin Rajendram, 16, yang kali pertama berpeluang menghadiri dan menyertai persidangan seumpama itu berkata, dia berasa bertuah menyertai persidangan itu."
  
  Banyak perlu dilakukan untuk pembangunan remaja dan kanak-kanak di negara ini supaya mereka dapat menjadi pemimpin yang baik. Sebagai kumpulan sasar, remaja harus digalakkan menyertai perbincangan bersama terutama apabila ia berkaitan hak dan keperluan mereka," kata Arvin yang turut berharap deklarasi dicapai pada sidang direalisasikan sepenuhnya.
  
  Pelajar Tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Bandar Utama, Damansara, Alyna Sreenivas, 17, mahu remaja di seluruh dunia dapat membangun bersama dan memiliki apa yang sepatutnya dikecapi.
  
  "Apa yang dibincangkan sepanjang persidangan ini harus dilaksanakan secara berterusan untuk menjaga kepentingan dan pembangunan kanak-kanak," katanya.

Bekas suami hati batu

Berita Harian, Sabtu Nov 19, 2011

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bekas suami hati batu


TIADA sekelumit dendam dalam hati Shahrina (bukan nama sebenar) terhadap bekas suami. Apa yang dilakukan semata-mata menuntut haknya. Justeru, Shahrina sanggup memekakkan telinga biar apa juga lemparan atau celaan orang di sekeliling.
  
  Biarpun ada yang mencemuh dan mendakwa Shahrina mata duitan dan tamakkan daki dunia, dia tidak mahu mempedulikan semua itu. Sebaliknya, apa yang dia tahu dan nekad lakukan ialah terus menuntut dan memastikan keadilan berpihak kepadanya.
  
  Bagaimanapun, sebelum ini Shahrina pernah terfikir, betul juga kata orang. Sepatutnya, dia lupakan semua itu kerana tindakannya berterusan menuntut hak hanya membuatkan dirinya tertekan.
  
  Lagipun, dalam soal duit, Shahrina langsung tiada masalah. Malah dengan gaji diterimanya setiap bulan, Shahrina masih mampu menanggung anak lelaki tunggal dan ibu kandungnya yang lumpuh.
  
  Namun, apabila difikirfikirkan semula, mengapa dia harus berundur dan takut dengan tuduhan orang lain yang tidak mengerti apa yang berlaku, sedangkan semua itu haknya. Bekas suami dengan jelas menganiaya dirinya daripada mendapat hak di sisi hukum syarak dan undang-undang. Itu yang membuatkan Shahrina berubah dan bulat fikiran.
  
  Lalu, kini tekadnya selagi mata belum pejam, selagi itulah dia akan menuntutnya. Mungkin itu agak melampau tetapi tiada kemaafan dan tolak ansur lagi dalam hal ini terhadap bekas suami itu.
  
  Lebih setahun menanti, umpama menunggu buah yang tidak gugur sedangkan bekas suami seolah-olah sengaja buat tidak tahu, tiada perasaan bersalah dan hidup senang-lenang.
  
  Kadang-kadang, Shahrina tertanya-tanya mengapa bekas suaminya berbuat demikian. Adakah disebabkan perasaan dendam atau ingin terus menguji hati dan perasaannya. Bukankah, selama lapan tahun melayari bahtera perkahwinan, bekas suaminya sudah banyak menguji kesabaran dan keluhuran hatinya. Jika ditanya, mengenai perasaan hatinya, Shahrina mengakui perasaan sayang memang masih berbaki pada bekas suami.
  
  Bagaimanapun, perasaan sayang itu tidak cukup untuk menyatukan mereka kembali sebagai suami isteri seperti dulu. Sekali keputusan sudah dibuat, maka itulah perjalanan yang harus dilaluinya.
  
  Selepas bekas suaminya memohon bercerai dengan baik, berdasarkan perjanjian bersama yang dipersetujui, masing-masing membawa haluan sendiri. Dusta, kalau Shahrina berkata tidak sedih dan terkilan dengan perceraian itu, apatah lagi benih-benih cinta disemai sebelum ini memang indah.
  
  Keputusan berpisah diambil mungkin jalan penyelesaian yang baik untuk mereka berdua selepas tiada lagi persefahaman dan bilah-bilah persengketaan terus melanda rumah tangga mereka.
  
  Namun, berbalik pada tuntutan yang dibuat, Shahrina tahu bekas suaminya tiada masalah untuk melangsaikan semua jumlah hutang yang ditagih. Ini kerana bekas suaminya kini terus melalui kehidupan mewah - tiga kereta mewah menjalar di depan rumah manakala rumah banglo dua tingkat tersergam megah di kaki bukit dan belum lagi dihitung duit berkepuk-kepuk yang disimpan di bank.
  
  Apa yang Shahrina tahu, perniagaan bekas suaminya juga terus berkembang maju. Jika tidak, mana mungkin bekas suaminya itu terus mengumpul kekayaan. Tetapi yang membuatkan Shahrina sakit hati dan kecewa, bekas suaminya seolah-olah tiada perasaan dan sengaja ingin mendera emosi serta mentalnya apabila enggan menjelaskan tuntutan yang dipersetujui selepas mereka bercerai.
  
  Jika dihitung dengan kemewahan dan kekayaan dikecapi bekas suaminya, tuntutan berjumlah RM140,000 tidaklah banyak mana, malah wang itu boleh dibayar serta-merta. Namun, Shahrina tidak faham mengapa bekas suaminya tidak mahu atau pun sengaja melewat-lewatnya bayaran itu.
  
  Dalam tuntutan yang dipersetujui sebelum ini, bekas suami diperintahkan memulangkan barangan perkahwinan, membayar nafkah edah dan mutaah serta nafkah tertunggak yang mana semuanya berjumlah RM140,000 Selepas lebih setahun perintah itu dikeluarkan, bekas suami Shahrina langsung tidak mengambil tindakan susulan atau berusaha membayarnya.
  
  Sebelum ini, ada dua tiga kali Shahrina bertanya sendiri kepada bekas suami dan jawapan diterima seperti acuh tidak acuh.
  
  Sekian lama bersabar, akhirnya Shahrina melalui peguam, memfailkan permohonan kebenaran untuk mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap bekas suaminya kerana didakwa gagal menjelaskan tuntutan yang dipersetujui selepas mereka bercerai.
  
  Bekas suami ternyata tidak senang dengan tindakan diambil Shahrina. Namun, bagi Shahrina apa yang dibuatnya mungkin boleh memberi pengajaran pada bekas suaminya.
  
  Apa kata pakar?
  
  TANGGUNGJAWAB seorang suami tidak sekadar memberi nafkah ketika dalam tempoh perkahwinan saja, tetapi selepas bercerai. Demikian Allah SWT berfirman dalam surah At-Talak: 6 menegaskan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami: "Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka.
  
  Dan jika mereka (isteriisteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya".
  
  Antara hak yang boleh dituntut oleh isteri adalah:
  
  1. Nafkah Iddah
  
  Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (1984) menyatakan mahkamah berkuasa memerintahkan nafkah bagi isteri atau bekas isteri.
  
  Ia meliputi segala keperluan asasi dan tempat tinggal bagi isteri dalam tempoh iddah.
  
  2. Nafkah Mutaah
  
  Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (1984) di mana mahkamah membenarkan seorang isteri untuk memohon mutaah (pemberian sagu hati) sekiranya diceraikan tanpa sebab yang munasabah dan boleh mengarahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar.
  
  3. Nafkah Isteri Tertunggak
  
  Seksyen 69 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (1984) di mana mahkamah membenarkan permohonan menuntut apa-apa nafkah yang tertunggak hasil dari kegagalan suami.
  
  4. Harta Sepencarian
  
  Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (1984) di mana mahkamah berkuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian di antara suami isteri yang bercerai (harta yang diperoleh oleh suami isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung ketika perkahwinan)
  
  5. Hak Penjagaan Anak/Nafkah Anak: Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (1984)
  
  Ibu adalah orang paling berhak menjaga anak yang masih kecil. Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (1984) menyatakan kewajipan seorang lelaki (bapa) menanggung nafkah anak sama ada perbelanjaan makan-minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan sebagainya mengikut kemampuan.
  
  Sehubungan itu, berdasarkan kepada kisah Shahrina yang kini terdera emosinya suami enggan menjelaskan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah, Shahrina boleh meneruskan dengan tindakan yang dikenali sebagai penguatkuasaan perintah nafkah.
  
  Shahrina boleh membuat permohonan dari mahkamah untuk menguatkuasakan perintah yang diperoleh itu, atau memohon mahkamah supaya suami dikenakan hukuman/tindakan di atas keengganannya mematuhi perintah mahkamah.
  
  Seksyen 148 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (1998) dan Kaedah-Kaedah menjelaskan bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah bolehlah dikuatkuasakan melalui kaedah-kaedah seperti berikut, perintah penyitaan dan penjualan, prosiding hiwalah atau perintah pengkomitan.
  
  Sekiranya membabitkan pemilikan harta tak alih, Seksyen 149 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (1998) dan Kaedah-Kaedah membenarkan penguatkuasaan melalui cara: perintah pemilikan dan juga atau Perintah Pengkomitan.
  
  Selain itu juga, mahkamah boleh mengeluarkan perintah penahanan pendapatan/ptotongan gaji bagi mereka yang berpendapatan tetap. Seksyen 175-185 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (1998) dan Kaedah-Kaedah turut menyediakan peruntukan khas berhubung dengan saman penghutang penghakiman untuk membolehkan tuntutan terhadap perintah penghakiman dijelaskan.
  
  Secara alternatifnya juga, Shahrina boleh memohon bantuan daripada agensi lain yang membantu dalam hal ini iaitu Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mendapatkan hak nafkah seperti yang diperintahkan mahkamah kepadanya.
  
  Antara matlamat penubuhan BSK ini adalah untuk melaksanakan penguatkuasaan perintah/penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah.
  

KEMELUT IBU TUNGGAL

Berita Harian, Khamis Nov 4, 2010
 

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Kemelut ibu tunggal


KADAR perceraian yang meningkat saban tahun, secara tidak langsung menyebabkan Malaysia kini mengalami peningkatan jumlah ibu tunggal. Satu senario yang membimbangkan dan dengan jangka hayat wanita yang lebih lama dari lelaki, angka itu dijangka akan bertambah.
  
  Berasaskan fakta itu, sebagai negara yang menuju ke arah status negara maju, hak ibu tunggal di negara ini perlu diberi perhatian. Ibu tunggal harus dipastikan dapat menikmati hak asasi mereka seperti masyarakat aliran utama atau masyarakat perdana di negara ini.
  
  Pengurus Program Pembangunan Kluster Sosio-Ekonomi, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Anita Ahmad, berkata berasaskan kajian bersama dilakukan antara Jabatan Pembangunan Wanita dan UNDP bagi pembangunan pelan tindakan nasional untuk ibu tunggal, beberapa perkara perlu diberikan perhatian serius dan mencari kaedah sesuai untuk menanganinya.
  

Teraju keluarga

Anita berkata, kajian mendapati 80 peratus daripada isi rumah keluarga tunggal diterajui wanita manakala masalah atau cabaran utama dihadapi mereka untuk menguruskan keluarga ialah berpendapatan rendah.
  
  "Di Malaysia, majoriti ibu tunggal adalah tua dan balu. Kebanyakan daripada mereka berpendidikan rendah atau tiada pendidikan formal, terutama di luar bandar. Mereka rata-rata bekerja dalam sektor tidak formal atau bekerja sendiri. Lebih rendah pendidikan maka lebih rendah gaji atau upah yang diterima, sekali gus menyebabkan kemiskinan bagi golongan itu.


  
  "Pendapatan ibu tunggal hanya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan bagi keluarga yang ada pasangan," kata Anita ketika membincangkan tajuk, Usaha Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan UNDP Meningkatkan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya Ibu Tunggal pada seminar Memperkasakan Hak-hak Ibu Tunggal di Petaling Jaya, baru-baru ini.
  
  Seminar anjuran SUHAKAM itu diadakan khusus bagi membincangkan isu dan masalah ibu tunggal, di samping berkongsi pengalaman dan pandangan, seterusnya memberi impak kepada penambahbaikan status golongan berkenaan di negara ini supaya selari dengan kemajuan masyarakat aliran utama lain. Seminar sehari itu dirasmikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
  
 CEDAW instrumen penting

Anita berkata, dalam usaha meningkatkan hak ekonomi, sosial dan budaya ibu tunggal di negara ini, piagam CEDAW adalah antara instrumen penting yang boleh digunakan supaya hak untuk golongan itu dicapai dan dilindungi secara menyeluruh dan bersistematik.





Beliau berkata, lebih-lebih ia adalah selaras dengan persetujuan kerajaan bersama 185 negara di seluruh dunia terhadap CEDAW dalam usaha memperkasakan hak wanita secara global. Piagam antarabangsa itu
ada menyatakan khusus mengenai hak asasi wanita dan kanak-kanak perempuan.
  
  "Apabila memperkatakan hak kesamarataan, ia bukan hanya peluang mendapat kerja dan pendidikan, hasil diberi mestilah positif. Misalnya, apabila sakit, seseorang itu bukan saja dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi mestilah dipastikan dia mendapat rawatan berkualiti. Begitu juga dalam perkara lain seperti pekerjaan, penyertaan wanita dalam sesuatu bidang tidak boleh dipertikaikan.
  
  "Tetapi apa yang berlaku, masih ada sikap tanggapan budaya dalam masyarakat. Contohnya, wanita dikatakan tidak sesuai untuk bekerja sebagai arkitek atau jurutera. Selain itu, di Malaysia, upah yang sama antara wanita dan lelaki masih tidak dicapai sedangkan dalam Perkara 11 piagam menyebut hal mendapat upah yang sama, termasuk faedah tertentu dan mendapat layanan serupa dalam melakukan pekerjaan," katanya.
  
  Beliau turut menegaskan, walaupun kerajaan memperkenalkan kursus kemahiran keusahawan untuk membantu ibu tunggal, kenyataannya tidak semua akan berjaya dan boleh menceburi bidang itu kerana latihan saja tidak cukup sebaliknya perlu disertai tunjuk ajar yang betul.
  
  "Begitu juga jika ingin beri latihan, walaupun mereka diberikan elaun untuk menghadirkan diri, bagi yang ada anak kecil siapa akan menjaganya jika mereka pergi mengikuti kursus berkenaan. Ketiadaan pusat penjagaan kanak-kanak sudah tentu menyukarkan mereka. Program diperkenalkan bagus tetapi perlulah komprehensif," katanya.
  
  Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Hasmy Agam, dalam ucapannya berkata, Malaysia perlulah memastikan ibu tunggal mempunyai peluang yang sama rata dengan masyarakat aliran utama untuk mengakses pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan sebagainya.
  
  Hasmy berkata, golongan ibu tunggal di negara ini juga perlu mendapat akses kepada program latihan kemahiran yang boleh membantu untuk menjana pendapatan utama ataupun tambahan.
  
  "Setiap dasar dan program untuk membantu golongan ibu tunggal perlulah dipastikan, benar-benar mencapai kumpulan sasar ini, terutama golongan yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak," katanya.
  

Perlu kerja keras untuk duit

Daleleer Kaur Randawar dari Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, kebanyakan ibu tunggal perlu bekerja keras dari pagi hingga malam semata-mata untuk mendapatkan duit lebih.
  
  Apabila terpaksa berkerja kuat dan lebih masa yang terlalu kerap, ia mengakibatkan kesihatan terjejas kerana tidak cukup tidur serta mengalami pelbagai tekanan lain.

Sebelum itu, ada juga ibu tunggal mungkin berdepan dengan tekanan perasaan akibat kehilangan pasangan sama ada bercerai atau meninggal dunia.

Lebih teruk, sebelum bergelar ibu tunggal ada yang mempunyai pengalaman berdepan dengan keganasan rumah tangga sehingga memberi kesan pada kesihatan fizikal.
  
  "Ada yang tidak boleh bercuti langsung sehinggakan hari Sabtu dan Ahad juga terpaksa bekerja. Mereka bekerja kuat bukan untuk keseronokan tetapi semata-mata untuk mencari duit. Dalam satu kes, seorang ibu tunggal memberitahu dia perlu bekerja pada hari Ahad kerana gaji diterima dua kali ganda dan lebih daripada hari biasa. Apabila ditanya jumlah upah diterima katanya, ialah RM8 sehari untuk hari Ahad berbanding RM4, hari biasa. Nilai itu mungkin dianggap kecil tetapi bagi mereka amat besar," katanya.
  
  Masalah perundangan pula lazimnya berkaitan hak penjagaan anak dan tuntutan nafkah. Turun naik mahkamah bukan saja menyebabkan ibu tunggal perlu menyediakan kos pembiayaan tetapi ada kala melalui pengalaman memeritkan, lebih-lebih lagi, apabila ada antaranya terpaksa berdepan dengan bekas suami yang sering marah dan mengeluarkan kata-kata kesat setiap kali bertembung mata di mahkamah.
  
  INFO
  
  Definisi ibu tunggal oleh UNDP:
  
  * Wanita yang bercerai atau menjadi balu.
  
  * Wanita yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang tetapi duduk berasingan dengan suami dan mencari pendapatan serta menjadi ketua keluarga.
  
  * Wanita yang tidak berkahwin tetapi mempunyai anak.
 
  * Wanita yang mendapatkan hak penjagaan ke atas anak orang lain.

Hasil kajian UNDP

* 89 peratus ibu tunggal dikategorikan sebagai miskin, dengan 66 peratus miskin tegar* Jumlah ibu tunggal miskin tegar di Sabah dan Sarawak lebih tinggi iaitu 91 peratus dan 73 peratus, berbanding 36 peratus di Semenanjung.
  


  * 13 peratus ibu tunggal tidak berpendidikan manakala 25 peratus hanya mendapat pendidikan setakat sekolah rendah; pendidikan menengah (60 peratus) dan hanya dua peratus berpendidikan tinggi.
  


Bantuan JPW memperkasakan wanita:
  
  

* Menyediakan kursus kemahiran dan keusahawan dengan tujuan membantu ibu tunggal serta wanita berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan. Program seumpama itu dilaksanakan di peringkat negeri serta kawasan Parlimen dan sehingga kini, lebih 1,000 usahawan wanita sudah dilahirkan.
  
  * Menyediakan Geran Bantuan Khas Perbendaharaan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita untuk melaksanakan program seperti keganasan, kesaksamaan gender, kemahiran, pembangunan kapasiti, literasi undang-undang, kesejahteraan emosi dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut, layar laman web www.jpw.gov.my.
  
  Antara cadangan yang dikemukakan peserta seminar Memperkasakan Hak-hak Ibu Tunggal Di Malaysia:
  
  * Menyediakan satu buku panduan khusus untuk ibu tunggal membuat rujukan bagi mendapatkan apa saja bantuan atau perkara berkaitan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi.
  
  * Mewujudkan pusat sokongan untuk anak ibu tunggal.
  
  * Menggesa ibu tunggal yang sudah berjaya menjadi mentor kepada ibu tunggal yang memerlukan sokongan.
  
  * Menyediakan dana khusus untuk membantu ibu tunggal sebagai bantuan sokongan kepada mereka bagi tempoh tiga bulan pertama memikul tugas sebagai ketua keluarga. Dana boleh digunakan antaranya untuk mencari tempat tinggal dan menanggung kos ke mahkamah bagi tuntutan nafkah.

Friday, October 4, 2013

KONFLIK TAGIH CINTA ISTERI ORANG



Berita Harian, Khamis Januari  11, 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim



Konflik tagih cinta isteri orang  


KISAH wanita belum berkahwin `bermain api' atau bercinta dengan suami orang agak biasa didengar dan sudah banyak diperkatakan. Bagaimanapun, kisah lelaki bercinta dengan isteri orang sama ada tua, muda atau yang sudah berkahwin dan duda, masih jarang menjadi bahan cerita secara terbuka.
  
Jika ada sekalipun, lazimnya wanita atau isteri orang itu yang akan dipersalahkan atau dituduh tidak pandai menjaga maruah dan mengawal nafsu sehingga terjebak gelora `cinta terlarang'. Barangkali, inilah harga diri harus dibayar bagi wanita bergelar isteri apabila membiarkan diri hanyut dalam keadaan seperti itu.
  
Persoalannya, mengapakah lelaki walaupun tahu wanita itu sudah berkahwin masih memburu kasih dan sayang daripada wanita itu. Siapa yang buru siapa?
  

Percintaan disusuli hubungan seks


Perunding Klinikal Psikologi Perkahwinan dan Terapi Seksologi Keluarga, Datuk Dr Mat Saat Baki, berkata membicarakan fenomena lelaki bercinta dengan isteri orang, beberapa perkara perlu dikaji terlebih dulu. Antaranya, termasuk siapa lelaki itu, status perkahwinan, kedudukan, status kewangan dan perhubungan perkahwinan serta usianya.
  
Beliau berkata, berdasarkan status perkahwinan, ia merangkumi mengetahui sama ada
lelaki itu masih bujang, berkahwin atau duda.

 "Lelaki bujang minat bercinta dengan isteri orang kerana kurang tanggungjawab. Jika ada krisis, wanita atau kekasihnya itu boleh balik ke pangkuan suaminya. Bagi lelaki bujang, biasanya perhubungan seperti itu hanya untuk keuntungannya.

Malah, perhubungan cinta seperti itu jika disusuli hubungan seksual, jarang sekali ada niat untuk berkahwin. Jika adapun hanya segelintir kecil," katanya.


Penuhi kekosongan
  
Dr Mat Saat berkata, bagi lelaki berkahwin pula ia adalah untuk memenuhi kekosongan dalam perhubungan dengan isterinya yang tidak dapat memenuhi keperluannya dari segi fizikal, mental dan sebagainya. Jadi, lelaki berkenaan berharap kekasihnya yang sudah berkahwin itu dapat memenuhi kehendak dan berdamping dengannya.
  
  "Di sini, lelaki itu ada dua harapan. Satu, menaruh harapan agar kekasih atau isteri orang itu meminta cerai dan membolehkannya berkahwin. Kedua, berharap isteri sekarang dapat menerima kekasihnya itu. Bagaimanapun biasanya, kedua-dua harapan itu hancur berkecai," katanya.
  
  Lelaki duda pula, dalam keadaan sunyi dan memerlukan seseorang. Lelaki berkenaan lazimnya mengharapkan dengan berkasih isteri orang yang ada pengalaman berumahtangga, ia dapat mengisi kesunyian. Selain itu, berharap dapat peluang menjalin hubungan seksual kerana realitinya beliau tiada lagi pasangan dan wanita itu boleh memenuhi keperluan itu.
  
  "Sama ada melakukan hubungan seksual boleh atau tidak, itu bukan isu. Jika dianggap isu mereka tidak akan melakukannya," katanya.
  

Soal kedudukan pasangan

Soal kedudukan pula lelaki mungkin lebih tinggi, sama taraf dan lebih rendah daripada wanita itu. Jika lelaki ada kedudukan dan berpangkat, wanita yang sudah bergelar isteri itu mungkin berharap apabila menjalinkan cinta, kedudukan lelaki itu dapat `berjangkit' kepadanya.
  
  Bagi wanita dan lelaki berkedudukan sama taraf, perhubungan terlarang yang wujud lazimnya berbentuk kebebasan melakukan perkara sama masing-masing sukai. Misalnya, sama-sama minat menonton cerita cinta dan sebagainya. Perhubungan seperti itu lebih untuk mengisi kekosongan dan menghiburkan diri sendiri.
  
  "Tetapi lelaki rendah kedudukan, untuk wanita yang sudah berkahwin lelaki seperti itu sebagai alat permainan atau toy saja. Inilah dinamakan konsep `toy boy' atau jadi budak suruhan. Wanita masih `in charge' dan lelaki berkenaan hanya mainan saja. Apapun, lelaki golongan ini tidak kisah asalkan dapat upah dan tajaan yang dijanjikan. Paling penting, semua dia dapat sama ada keperluan material mahupun seksual," kata Dr Mat Saat.
  
  Beliau berkata, perkara ini sama juga dengan soal status kewangan. Bagi wanita yang dilimpahi kemewahan harta dan wang ringgit, istilah `sugar mummy' wujud apabila menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. Wanita `sugar mummy' itu biasanya berumur awal 40-an, manakala lelaki awal 24 tahun atau sebelum 30-an.
  
  Katanya, hubungan terjalin itu hanya untuk kepuasan, malah dengan kedudukan dan kemewahan dimiliki wanita terbabit tidak kisah berhabis duit untuk lelaki berkenaan.
  
  "Wanita itu lebih suka memilih lelaki bujang kerana baginya, boleh `tendang' bila-bila masa dia hendak. Paling penting, lelaki itu mesti layan dirinya - apabila dipanggil mesti datang dan penuhi kepuasannya. Bagi wanita itu, jika suami boleh buat aku pun boleh buat.
  
  "Bagi lelaki itu pula, ada yang memang mencari sasaran dan peluang sedemikian. Tua tidak mengapa, asalkan ada ganjaran. Malah, ada lelaki golongan itu yang `pasang' atau melayan lebih daripada satu wanita pada satu masa. Kebanyakan wanita pula sedar, lelaki itu ada partner lain tetapi juga tidak kisah," katanya.
  
Dalam sesetengah kes, suami turut tahu perbuatan isteri tetapi tidak bertindak. Suami bukan tidak berani bertindak tetapi akan berfikir untuk berbuat demikian kerana pertama, memikirkan kerugian bakal ditanggung, contohnya kebanyakan harta atas nama isteri.
  
Dr Mat Saat berkata, hakikatnya lelaki bercinta dengan isteri orang memang terjadi dalam gaya hidup aliran masa kini dan ia terjadi sebab kebebasan individu.
  


Lupa hakikat

"Kepuasan diri adalah lebih penting. Pegangannya, jika kau tidak dapat memberi kepuasan kepada aku ada orang yang sanggup dan rela. Apa salahnya? Dari segi hukum, haram tetap haram dan zina tetap zina. Hukum halal haram bukan tidak difikirkan tetapi tidak dianggap penting sebab agama menentukan apa yang kita tidak boleh buat dan sebaliknya, tetapi tidak menghalang apa yang kita hendak buat.
  
  "Jika faham konsep agama itu, barulah difahami mengapa keadaan seumpama itu terjadi dalam masyarakat hari ini. Perkara ini berlaku bukan kerana pengaruh filem, sosial dan pemberontakan diri tetapi kebebasan individu iaitu `aku berhak menentukan kehidupan sendiri'. Ia juga proses evolusi dan normal pada individu.

Hakikatnya, kita lupa siapa kita. Jika kita sedar, konsep kita ini milik Tuhan, dan bukan hak individu saja, kita akan berfikir untuk tidak berbuat demikian," katanya.
  
  Dr Mat Saat menasihatkan, wanita sudah berkahwin yang terjebak dengan hubungan seperti itu, seharusnya mencari penyelesaian kemelut dihadapi dengan suami. Perkara pertama yang dilakukannya ialah `membersihkan' ikatan perkahwinan sedia ada. Seandainya, perceraian lebih baik ia wajar dilakukan daripada terus bergelumang melakukan perkara tidak elok.
  
  Katanya, apa yang membimbangkan ialah nasib wanita itu sendiri, selepas diceraikan lelaki atau kekasihnya enggan menerimanya. Bak kata pepatah, `sudah jatuh, ditimpa tangga'.
  
  Beliau turut menegaskan, sama ada wanita belum berkahwin menjalin hubungan dengan suami orang atau wanita bergelar isteri, bermain cinta dengan lelaki lain, kesalahan tetap nampak menjurus kepada wanita. Itu tidak mustahil berlaku kerana dalam hubungan perkahwinan, wanita atau isteri yang biasanya menderita maka sebab itulah perundangan perlu membela wanita.
  


 INFO
  
  Risiko wanita bergelar isteri menjalinkan hubungan lelaki lain:
  
  * Menambah porak peranda dalam rumah tangga
  
  * Maruah diri dan keluarga tercemar
  
  * Perceraian
  
  * Anak mengalami trauma
  
  * Perebutan harta dan anak apabila bercerai
  
  
Pendekatan yang boleh membantu masalah dihadapi:
  
  * Mencari punca yang menyebabkan tercetusnya hubungan dan pergolakan antara 
     suami dan  isteri
  
  * Mendekatkan diri dengan roh keagamaan
  
  * Mendapatkan khidmat nasihat kaunseling
  
  * Mengadakan perbincangan keluarga
  

Thursday, October 3, 2013

PERBEZAAN USIA PASANGAN BERI BANYAK CABARAN

Berita Harian,  Selasa, 19 September 2006


Oleh Nor Affizar Ibrahim

Perbezaan usia pasangan beri banyak cabaran


PANAHAN asmara! Terpacul kata-kata itu daripada seorang teman apabila mendengar cerita mengenai wanita muda yang mengakui sudah jatuh cinta dengan lelaki dan jarak usianya dua kali ganda daripadanya.
   Kata wanita muda itu, sikap hormat dan pandai mengambil hati ditunjukkan lelaki itu menyebabkan hatinya terpaut. Kata lelaki pula, jodoh Tuhan yang tentukan.

   Mungkinkah ini yang dikatakan mabuk cinta? Jawapan sebenar tentu ada pada diri masing-masing. okoknya, kata teman itu lagi cerita sebegini bukan baru. Beberapa bulan lalu di pejabatnya, ada gadis muda lepasan universiti yang baru bekerja memburu cinta teman sepejabat lelaki dan hampir mencecah usia bersara.

   Si gadis tidak bertepuk sebelah tangan, sebaliknya disambut tangan terbuka lelaki yang sudah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak itu. Kata `jejaka', tiba-tiba hatinya terdetik ingin mengorak langkah mencumbui anak dara.
    Bagi si gadis, walaupun tahu lelaki itu sudah berusia dan mempunyai anak seusia, dia senang mendampingi kerana baginya `kekasih hati baru' bersikap matang dan lebih memahaminya, berbanding bekas tunang yang cepat melenting.

Lelaki berusia matang?
 
Persoalannya, benarkah lelaki berusia lebih matang dan boleh membawa kebahagiaan rumah tangga? Apakah konflik yang akan timbul apabila pasangan antara muda dan tua ini melayari bahtera impian mereka?
   Desas desus kedengaran, senario lelaki berusia berkahwin dengan wanita muda menjadi gaya hidup perkahwinan hari ini.
     Perunding Psikologi dan Terapi Perkahwinan dan Keluarga, Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki, berkata sebelum menghuraikan topik lelaki tua berkahwin dengan muda, pertama sekali ialah menjelaskan maksud sebenar yang dikatakan usia tua antara pasangan berkenaan.
    Beliau berkata, apa yang dimaksudkan lebih usia ialah jarak usia antara lelaki dan wanita itu melebihi daripada tujuh tahun ke atas daripada pasangan.
    "Jika wanita berusia 20 tahun dan berkahwin dengan lelaki 27 tahun, pasangan berkenaan tidak dianggap lebih tua tetapi masih dalam lingkungan usia sesuai memilih jodoh. Tetapi, jika lelaki 30 tahun dan wanita baru berusia 20, inilah dikatakan pasangan tua. Apatah lagi jika 50 tahun, memang sah didefinisi dengan usia tua," katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.
  

Jarak umur penting

Dr Mat Saat berkata, dalam mendirikan rumah tangga, jarak umur pasangan antara aspek penting. Seandainya, lebih banyak jarak umur maka lebih banyak isu penyesuaian perlu dilakukan antara kedua-dua pasangan.
  Katanya, sesuatu dianggap baik oleh yang tua mungkin sebaliknya bagi si muda. Ini tidak mustahil berlaku kerana dunia masing-masing berbeza.
   "Misalnya, isteri berusia 20 tahun, manakala suami sudah mencapai 50 tahun. Isteri bagi duit suruh suami beli susu anak. Suami pergi ke kedai bukan beli susu, tetapi beli bajunya kerana konsep jaga anak itu tiada padanya. Apa yang dilihat, persepsi keperluan antara kedua-duanya berbeza.
   "Jika gadis itu berumur 20 atau 27 tahun mengahwini lelaki 47 atau 57 tahun, ini bermakna dia ada 20 tahun jarak berbeza. Persepsi dunia antara pasangan berkenaan ada perbezaan tersendiri," katanya menghuraikan realiti mengenai masalah bakal timbul apabila jarak usia pasangan ada perbezaan ketara.
  

Wanita cepat matang?

Beliau berkata, walaupun wanita itu biasanya dikatakan lebih cepat matang daripada lelaki, tidak semestinya dalam hal sebegini. Hakikatnya, wanita hanya matang dari segi perubahan fizikal tetapi tidak semestinya perubahan fikiran.


 "Kita lihat wanita memang cepat matang dan berubah fizikal kerana wanita lazimnya, baligh ketika sembilan tahun berbanding lelaki 13 tahun. Tetapi kematangan ada perbezaan antara fizikal dan fikiran," katanya.

    Menjawab soalan mengapa wanita mudah terpaut kepada lelaki tua atau sebaliknya, Dr Mat Saat berkata, isu status dan kewangan antara yang menjadi faktor.
    Kedudukan kewangan lelaki berusia biasanya lebih mantap. Dalam hal ini ada isu `keterjaminan' dan ada kedudukan sosial lebih tinggi untuk wanita muda `menumpang' apa dimilikinya.
   "Misalnya, ada wanita muda kahwin dengan lelaki berusia - kahwin saja dapat gelaran Datin. Tidak payah berusaha apa-apa. Perkara seperti ini menggalakkan senario itu (lelaki tua kahwin muda). Wanita muda itu hendak senang cepat, tetapi bukan kaya kerana kaya tidak semestinya senang," katanya.
  

Tidak semestinya nafsu

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tidak semestinya wanita muda berkahwin kerana hendakkan harta dan begitu juga lelaki berusia; kahwin bukan semestinya nafsu kerana ada segelintir kadang-kadang tidak mampu untuk perhubungan suami isteri.


   "Motif lelaki tua berkahwin dengan wanita muda juga dikaitkan dengan status. Bermakna mampu kahwin dengan orang muda. Kedua, mahukan kepelbagaian dalam perhubungan, manakala ketiga, lelaki itu ingin menunjukkan boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada isteri. Ia mungkin satu kaedah mengajar isteri pertama.


"Ada juga yang hendak menunjukkan kepada isterinya, sekarang dirinya sudah senang dan mampu buat apa saja disukai. Hak berkahwin itu adalah haknya yang digunakan. Konsep simpati tiada dalam hal ini. Baginya, `aku sudah bagi bagi kau apa yang engkau hendak, sekarang aku nak buat apa aku mahu'," katanya.
  

Sifat ego pendorong

Beliau berkata, sifat ego lelaki turut menjadi pendorong sehingga kadang-kadang ada yang bertaruh sesama mereka untuk mendapatkan seseorang wanita itu. Perasaan ego lelaki semakin melonjak apabila ada memujinya bagus dan dapat berjaya memiliki sesuatu yang tidak mudah.
   Selain itu, ada lelaki berusia berkahwin untuk menjadikan wanita muda berkenaan sebagai `perhiasan' atau lebih menjurus kepentingan diri sendiri. Bagi wanita muda pula kemewahan hidup menjadi taruhan walaupun menyedari dirinya dipergunakan.
   "Contohnya, dalam menguruskan perniagaan isteri kedua biasanya cantik, lebih glamor dan boleh digunakan sebagai daya tarikan atau untuk perbincangan. Jika bawa isteri pertama asyik monyok saja, lebih susah untuk buat perniagaan. Dalam hal ini, isteri muda ini boleh dianggap sebagai patung.
   "Demi kesenangan hidup, wanita muda itu tidak kisah tetapi lazimnya, ada syarat tertentu yang membuatkannya terikat. Kebanyakan kes, syarat ditetapkan ialah wanita itu mungkin tidak boleh mengandung atau tidak boleh ada anak. Wanita itu mesti jaga diri untuk cantik saja tetapi apabila aku panggil kau mesti datang," katanya.
  
Konsep belaian

Dr Mat Saat berkata, dalam menjalinkan hubungan kemesraan, cantik fizikal saja bukan sebagai pengikat utama. Isteri pertama kadang-kadang lebih cantik dan glamor daripada yang muda serta langsung tiada tarikan fizikal.
   Konsep belaian sebenarnya penting bagi mengikat hubungan yang mana lazimnya, wanita muda menerima lelaki itu sehingga berasakan dirinya diterima.

   "Orang lelaki ini punya penyakit tidak boleh dicabar. Jika isteri mencabar, suami akan terima cabaran itu.
    Misalnya, kata isteri kenapa tidak cari lain maka suami akan terima cabaran berkenaan. Ia membuatkan lelaki mengawal situasi dan tidak sesekali dicabar," katanya.
  Bagi wanita pula, sikap penyabar dan pandai ambil hati serta belaian yang secukupnya diberikan lelaki berusia kepadanya membuatkan diri berasa mendapat perhatian yang tidak dikecapi seperti itu sebelum ini. Perasaan sayang akan semakin segar apabila dimandikan dengan hadiah setiap bulan.
  
Bukan terikut-ikut barat

Dr Mat Saat berkata, bertemu jodoh dengan lelaki usia tua bukan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat di negara ini, mahupun terikut-ikut dengan budaya Barat. Orang tua dulu ramai juga yang berkahwin dengan orang muda. Misalnya, orang kampung berada berkahwin dengan anak dara daripada keluarga susah.
    "Itu tidak jadi masalah. Tetapi yang jadi masalah lebih tua daripada bapa mentua. Engkau menantu aku tetapi kau lebih tua, takkan hendak panggil bapa. Selain itu, tidak semestinya lelaki tua itu berkahwin dengan muda dia ada masalah dengan isteri pertama. Lelaki berkenaan tetap sayang isteri pertama. Walau berkahwin baru, apa yang diberi tidak akan diusik atau satu sen pun tidak luak. Cuma dia hendak kahwin lagi," katanya.
    Beliau berkata, semua lelaki dan wanita ada kemahiran. Jika sedar hakikatnya perhubungan ini sementara saja mereka akan memaksimumkan akal.
  

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...