Tuesday, February 12, 2013

Berita Harian Khamis, Jun 28, 2012
Manfaat 10 saat


Oleh Nor Affizar Ibrahim

MENANGANI masalah terkucil atau kebocoran air kencing akibat lemah kawalan pundi kencing (LUL) tidaklah serumit disangka oleh kebanyakan wanita.
  
  Masih ada pilihan dan cara menanganinya, sekali gus boleh mengelakkannya sebagai gejala yang mungkin boleh memalu serta mengehadkan atau menjejaskan rutin kehidupan harian.
  
  Apa yang pasti, terpulang kepada wanita sama ada memahami masalah itu lebih mendalam, belajar cara mengawalnya atau berdepan dengan tekanan emosi.
  
  Ahli Fisioterapi Kanan (Kesihatan Wanita), Neng Shahidah Sabullah, berkata wanita bermasalah LUL, penting untuk melakukan senaman lantai pelvik yang juga dikenali sebagai senaman kegel kerana ia rawatan utama bagi wanita berdepan gejala itu.
  
  Neng Shahidah berkata, senaman kegel ialah latihan mengecutkan dan mengendurkan otot lantai pelvik secara kerap. Ia bukan saja mudah dilakukan, malah orang lain tidak akan menyedari individu itu melakukannya.
  
  Katanya, senaman ini fungsinya untuk menguatkan bahagian pelvik yang menyokong vagina, uteres dan usus. Apabila lantai pelvik kuat, wanita boleh mengelakmasalah terkucil.
  
  Bagaimanapun, katanya penting untuk memastikan posisi badan pada keadaan betul ketika melakukan senaman berkenaan untuk memastikan teknik digunakan memberi kesan kepada wanita terbabit.
  
  "Untuk melakukan senaman kegel dengan betul, pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian, kemutkan otot pelvik seakan anda cuba untuk menahan kencing. Tahan otot itu selama 10 saat semasa bernafas secara normal, kemudian rileks. Ulangi sebanyak 10 kali, tiga kali sehari," katanya menerangkan teknik betul melakukan senaman kegel ketika ditemui selepas pelancaran kempen pendidikan, Kami Juga Mengalaminya di Damansara Perdana, baru-baru ini.
  
  Kempen pendidikan bersempena minggu Kontinens Sedunia 2012 itu anjuran Poise dan ia bertujuan meningkatkan kesedaran wanita Malaysia mengenai masalah LUL serta mengambil langkah proaktif menanganinya.
  
  Neng Shahidah berkata, senaman kegel secara kerap akan membantu menguat, melaraskan dan memperbaiki kedudukan otot lantai pelvik iaitu otot berbentuk buaian yang meregang merintangi lantai pelvik.
  
  "Berdasarkan pengalaman saya membantu wanita mengalami masalah LUL, didapati jika melakukan senaman kegel secara kerap dan betul, keberkesanan untuk mengatasinya adalah 100 peratus. Tetapi setiap individu akan mengambil masa berbeza. Mereka berusia 30 hingga 40 tahun mungkin mengambil masa hanya tiga bulan, manakala berusia lebih 40 hingga 70 tahun, ada yang memerlukan empat hingga enam bulan," jelasnya. Tambahnya, program senaman kegel dikendalikan ada beberapa jenis senaman dan diperkenalkan secara peringkat mengikut perkembangan wanita terbabit. Bagaimanapun, katanya ada tiga posisi badan yang boleh digunakan untuk melakukan kegel iaitu berdiri, duduk dan baring.
  
  Jika berdiri pastikan badan berada dalam keadaan tegak, untuk posisi duduk pula kaki perlu dibuka sedikit dan duduk dengan selesa tanpa bersandar, begitu juga jika berbaring perlu lurus, kepala memandang tepat pada siling dan kaki dibuka sedikit.
  
  "Posisi badan yang bengkok akan menambahkan tekanan pada otot lantai pelvik dan ini akan menyebabkan otot berkenaan menjadi lebih kendur," ujarnya.
  
  Neng Shahidah menyarankan, wanita yang ingin memulakan senaman kegel boleh menggunakan posisi baring sebagai permulaan dan kemutan yang dibuat perlu ditahan selama 10 saat dan jika boleh barulah mengubahnya mengikut kesesuaian diri.
  
  Malah, katanya penting untuk bernafas seperti biasa ketika melakukan senaman itu dan salah untuk menahan nafas ketika melakukan kemutan kerana ia akan memberikan kesan pada pundi kencing dan rahim.
  
  Katanya, wanita baru bersalin digalakkan melakukan senaman berkenaan seawal enam minggu selepas bersalin kerana proses melahirkan boleh memberikan otot lantai pelvik kerana sewaktu proses meneran dan mengeluarkan bayi ia menyebabkan bukaan besar pada bahagian berkenaan.
  
  "Memastikan otot di bahagian berkenaan pulih semula, penting bagi wanita melakukan Kegel selain ia mempercepatkan proses penyembuhan akibat luka bersalin. Senaman ini sesuai dilakukan semua wanita termasuk yang bersalin secara pembedahan mahupun yang sedang hamil," katanya.
  
  Mengenai wanita aktif yang suka bersukan sehingga dikatakan menyebabkan LUL. Neng Shahidah berkata, wanita mempunyai otot lantai pelvik yang baik, LUL biasanya jarang berlaku, sama ada anda bersenam atau bersukan.
  
  "Aktiviti seumpama itu tidak akan menyebabkan LUL. Bagaimanapun, mereka lakukan tekanan peningkatan di kawasan intraabdomen dan organ pelvik yang merangkumi rahim, pelvis dan rektum. Jadi cara terbaik untuk membantu wanita mengalami LUL semasa menjalankan atau bersukan juga disaran, mengamalkan senaman kegel berkesan," katanya yang turut menasihatkan segera berjumpa doktor jika masih berlaku masalah kebocoran walaupun sudah bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup.
  
  `Ramai malu, berdiam diri'
  
  MASALAH `terkucil' atau kebocoran air kencing dalam kalangan wanita bukan gejala baru, sebaliknya masalah biasa. Ini berikutan, 1 dalam 4 wanita sekurang-kurang sekali dalam hidup mereka akan berdepan dengan masalah itu.
  
  Sesetengah wanita terkucil beberapa titik air kencing ketika bersin, batuk, ketawa atau bersenam dan ada yang mengalami perasaan ingin terkencing sebelum terkucil secara tiba-tiba.
  
  Bagaimanapun, hakikatnya pada masa kini, masih ramai mengambil sikap berdiam diri dan lebih cenderung menderita sendirian apabila berdepan masalah kebocoran air kencing.
  
  Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian, berkata keadaan inkontinens terjadi apabila ada masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.
  
  "Pundi kencing menyimpan air kencing. Ia boleh mengembang untuk menampung 350 mililiter (ml) hingga 550 ml air kencing. Individu biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 150 ml hingga 200 ml. Desakan buang air kecil meningkat apabila isi pundi kencing bertambah kepada 250 ml hingga 300 ml dan apabila ia mencapai 500 mililiter, pundi kencing perlu dikosongkan segera," katanya melalui video bagi kempen pendidikan, `Kami Juga Mengalaminya'.
  
  Pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat iaitu pengisian serta penyimpanan air kencing dan peringkat kedua iaitu pengosongan pundi kencing.
  
  Ketika pembuangan air kencing, otot yang `memegang' pundi (dipanggil otot sphincter) dalam keadaan rehat, manakala otot pundi kencing pula mengecut supaya air kencing boleh ditolak keluar memasuki salur kencing (uretra).
  
  "Untuk betul-betul mengosongkan pundi kencing, otot pundi dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pada pundi, otot spinchter atau saraf, menyebabkan masalah ini dan bagi orang yang ada masalah lemah pundi kencing, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun pundi kencing tidak penuh," katanya.
  
  Dr Seri Suniza memberitahu, LUL lebih biasa dalam kalangan wanita, terutama mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas. Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang membimbangkan, di samping berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat, terdapat perkara mudah boleh dilakukan untuk menguruskan keadaan.
  
  "Salah satu cara ialah mengambil makanan seimbang supaya anda boleh mengawal berat badan dan elakkan minuman sejuk yang boleh menyebabkan batuk. Anda juga harus mengelakkan minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang menyebabkan kerengsaan pundi kencing. Anda juga perlu melegakan diri hanya sekali setiap dua hingga tiga jam pada waktu siang dan amalkan latihan kegel dengan betul," katanya.
  
  Dr Seri Suniza berkata, wanita yang kerap melegakan diri mereka tetapi setiap kali berbuat demikian hanya dalam kuantiti kecil adalah satu keadaan, dipanggil kencing terlalu aktif dan ditakrifkan sebagai untuk melegakan diri lebih daripada tujuh kali pada siang hari.
  
  Katanya, kencing terlalu aktif boleh disebabkan oleh saraf yang rosak di dalam pundi atau keadaan sistem saraf pusat itu seperti penyakit, parkinson, sklerosis berbilang dan demensia.
  
  "Kadang-kadang ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan batu karang buah pinggang, atau pertumbuhan dalam pundi kencing," ujarnya.
  
  Menjelaskan mengapa wanita hamil mengalami LUL, Dr Seri Suniza berkata, semasa hamil rahim yang semakin membesar adalah disebabkan oleh tekanan pada pundi kencing. Justeru, tidak mengejutkan wanita hamil sering mengalami LUL, terutama apabila batuk atau bersin.
  
  Bagaimanapun, katanya masalah ini boleh berterusan selepas bersalin apabila otot lantai pelvik lemah akibat proses melahirkan anak. Kadangkadang, bersalin juga boleh merosakkan saraf di uretra atau pundi kencing, malah menukar kedudukan pundi kencing atau kerosakan otot lantai pelvik.
  
  "Bagi wanita yang mengalami LUL walaupun tanpa melalui kehamilan atau kelahiran anak, masalah terletak pada pundi sendiri. Ia boleh diperbetulkan melalui perubahan gaya hidup. Sebagai contoh, jika mereka mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mereka perlu mengawal pemakanan. Mereka juga perlu mengelakkan minuman berkarbonat dan minuman yang boleh mengganggu pundi kencing," katanya.
  
  INFO
  
  Anda alami LUL?
  
  Untuk mengenali amaran yang diberikan pundi kencing anda, jawab soalan di bawah:
  
  1 Adakah anda mengalami masalah terkencing ketika melakukan aktiviti fizikal (mengangkat objek berat, bersenam atau menukar posisi daripada duduk ke berdiri, tidur ke duduk dan sebagainya)
  
  2 Adakah anda mengalami masalah terkencing ketika bersin, batuk atau ketawa?
  
  3 Adakah anda bangun buang air kecil, lebih daripada dua kali pada waktu malam?
  
  4 Adakan anda selalu mengalami keinginan mendadak untuk membuang air kecil tetapi tidak sempat ke bilik air?
  
  5 Adakah anda biasanya membuang air kecil lebih dari lapan kali sehari?
  
  * Jika anda menjawab `Ya' kepada satu atau lebih soalan, anda mungkin mengalami gejala lemah kawalan kencing.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...