Wednesday, February 26, 2014

FADHILAT MEMBACA SURAH YASSIN



Fadhilat Membaca Surah Yassin



Ramai yang sudah mengetahui kelebihan Surah Yassin yang terkandung di dalam al-Quran merupakan sebuah surah yang selalu dibaca oleh umat Islam terutama pada malam Jumaat

Tetapi tahukah kita bahawa dengan mengamalkan membaca Surah Yassin tidak kira masa, kita akan memperolehi pelbagai khasiat dan kebaikan.

Mengikut sebuah hadis, Surah Yassin dinamakan Mub’mah (pemberi berita baik) di dalam kitab Taurat kerana ia mengandungi manafa’at kepada pembacanya dikehidupan dunia juga akhirat, seperti menghindari penderitaan dunia akhirat dan juga menjauhkan kedahsyatan kehidupan akhirat.
.
Surah ini juga dikenali sebagai ‘Rafi’ah Khafidah’, iaitu yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan menurunkan darjat orang-orang yang ingkar (tidak beriman).

 
Allah SWT membacakan Surah Yassin dan Taha seribu tahun lamanya sebelum terciptanya langit dan bumi dan mendengarkan ini, para malaikat pun berkata,“Umat dimana Al-Quran diturunkan akan dirahmati, hati-hati yang memikulnya, iaitu yang menghafalnya akan dirahmati dan lidah-lidah yang membacanya akan juga dirahmati.”

Rasulullah SAW bersabda, “Hatiku menghendaki supaya Surah Yassin berada disetiap hati Ummatku.”
.
.
KEBERKATAN SURAH YASSIN

Rasulullah SAW telah bersabda: “Bacalah Surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan.
Berikut adalah beberapa keberkatan dan kebaikan yang dimaksudkan:

1. Apabila orang lapar membaca surah Yassin, ia boleh menjadi kenyang.
2. Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
7. Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
8. Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan
seksanya.

9. Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
10. Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.
.
.

.
FADHILAT DAN KHASIAT SURAH YASIN
Banyak kelebihan-kelebihan daripada surah Yassin yang disebutkan di dalam banyak hadis. Antaranya:
Rasulullah SAW bersabda;

1.  “Sesiapa yang membaca Surah Yassin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan dipenuhi“.

2.  “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati Al-Quran itu ialah Surah Yassin.”

3.  “ Sesiapa membaca Surah Yassin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca Al-Quran sebanyak 10 kali.”

4.  “Sesiapa yang membaca Surah Yassin semata mata kerana Allah, segala dosa-dosanya yang dahulu akan diampunkan. Oleh itu jadikanlah sebagai amalan untuk dibaca ke atas orang yang mati.”

5.  “Jika seseorang itu membaca Surah Yassin pada setiap malam dan kemudiannya meninggal dunia, ia akan mati sebagai mati syahid.”

6.  “Sesiapa membaca Surah Yassin, ia akan diampunkan, siapa sahaja yang membaca semasa kelaparan, akan dihilangkan kelaparannya itu, siapa membacanya dikala sesat jalan, akan menjumpai jalannya semula, siapa membaca kehilangan binatang akan mendapatkannya semula, dan bila seseorang itu membacanya kerana bimbangkan kekurangan makanan, makanan itu akan mencukupi. Dan jika membaca kepada orang yang menghadapi penderitaan maut, akan dimudahkan baginya. Dan jika seseorang itu membaca ke atas perempuan yang sukar untuk melahirkan anak akan dimudahkan juga baginya.”

7.  Maqri rahmatullah ‘alaih berkata, “Jikalau Surah Yassin dibaca oleh seorang yang takut pemerintah atau musuh, ia akan dihilangkan akan ketakutan itu.”

8.  “Jikalau seseorang itu membaca Surah Yassin dan Surah Was-Saffat pada hari Jumaat dan memohon kepada Allah sesuatu, doanya akan diterima.”

9.  “Sesiapa bersolat sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama Surah Yassin dan rakaat kedua Tabaroka, Allah jadikan setiap huruf cahaya dihadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya ditangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.”

10.  “Apabila datang ajal orang yang suka membaca Surah Yassin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya”.

11.  “Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yassin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.”

12.  “Sesiapa yang membaca Surah Yassin kerana Allah Azza wa Jalla, Allah akan mengampuni dosanya dan memberinya pahala seperti membaca Al-Qur’an 12 kali. Jika Surah Yassin dibacakan di dekat orang yang sedang sakit, Allah menurunkan untuknya setiap satu huruf 10 malaikat. Para malaikat itu berdiri dan berbaris di depannya, memohonkan ampunan untuknya, menyaksikan saat ruhnya dicabut, mengantarkan jenazahnya, bershalawat untuknya, menyaksikan saat penguburannya. Jika surat ini dibacakan saat sakaratul maut atau menjelang sakaratul maut, maka datanglah padanya malaikat Ridhwan penjaga surga dengan membawa minuman dari surga, kemudian memberinya minum ketika ia masih berada di katilnya, setelah minum ia mati dalam keadaan tidak haus, sehingga ia tidak memerlukan telaga para nabi sampai masuk ke surga dalam keadaan tidak haus.” (Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn).

13.  Anas bin Malik berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengunjungi perkuburan lalu membaca Surah Yassin, maka pada hari itu Allah meringankan seksaan mereka dan bagi yang membacanya mendapat kebaikan sebanyak penghuni kubur di perkuburan itu.” (Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn).

14.  Imam Ja’far Ash-Shadiq: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati, dan hati Al-Qur’an adalah Surah Yassin. Sesiapa yang membacanya sebelum tidur atau di siang hari sebelum keluar rumah, maka hari itu sampai ke petang, ia tergolong pada orang-orang yang terjaga dan dikurniakan rezeki
Sesiapa yang membaca di malam hari sebelum tidur, Allah mengutus 1,000 malaikat untuk menjaganya dari keburukan semua syaitan yang terkutuk dan dari setiap penyakit; jika ia meninggal pada hari itu, Allah akan memasukkannya ke syurga, 3,000 malaikat hadir untuk memandikannya, memohonkan ampunan untuknya, mengantarkan ke kuburnya sambil memohonkan ampunan untuknya; ketika ia dimasukkan ke liang lahatnya para malaikat itu beribadah kepada Allah di dalam liang lahatnya dan pahalanya dihadiahkan kepadanya, kuburnya diluaskan sejauh mata memandang, diselamatkan dari siksa kubur, dan dipancarkan ke dalam kuburnya cahaya dari langit sehingga Allah membangkitkannya dari kuburnya kelak.” (Kitab Tsawabul A’mal).
.
Surah Yassin ini hendaklah dibacakan selalu ketika orang sakit, tengah nazak, sedang koma atau sudah meninggal dunia. Baca di sisi mereka (terutama ayat 12), supaya orang tersebut berada dalam kesenangan dan orang yang masih hidup insaf bahawa esok, lusa kita pula akan menyusul.
.
Begitu banyak kelebihan dan kebaikan yang bakal kita perolehi melalui amalan pembacaan Surah Yassin seperti yang telah disebut di atas. Sudah semestinya salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada seseorang melalui hatinya seperti juga Surah Yassin hati kepada Al-Quran; Oleh kerana itu marilah kita sama-sama mendekatkan diri kita kepada Allah SWT melalui ibadah dan bacaan Surah Yassin yang banyak manfaatnya ini. InsyaAllah.


1001 Kelebihan Surah Yasin Dalam Kehidupan

Ayat 1-9
doa untuk keselamatan diri

Ayat 9 : 
Doa untuk melindungi diri sama ada lindungi drpd orang jahat spt orang kafir. Kalau nak lindungi rumah daripada pencuri,baca ayat ni dan tiupkan di setiap penjuru rumah. Ia boleh juga melindungi diri drpd dianiayai dan beri perlindungan ketika tidur. Caranya : Baca ayat ini,Surah Al-Fatihah,Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali dan ayat Kursi.

Ayat 12 :
Ayat ini merupakan jantung Surah Yasin dan Rasulullah sangat berharap semua umat Islam menghafal ayat ini.

Ayat 13-35 :
 Ayat-ayat ini mengisahkan tentang orang-orang yang mati syahid.

Ayat 22-23 : 
Ayat ini digunakan untuk menjaga aqidah dan boleh juga dijadikan doa untuk hidayah kepada anak-anak kita nanti.

Ayat 29 : 

Ayat ini boleh dijadikan amalan sebagai pelindung diri untuk mengelakkan diri daripada difitnah dan menjadi mangsa kejahatan mulut orang. ia juga digunakan jika kita merasakan ada orang menfitnah atau menganiayai kita. Lebih afdal jika selepas kita membacanya,kita semburkan ke muka orang tersebut.

Ayat 30 :
Untuk memupuk keinsafan. Kita memohon agar dipertemukan dengan Allah dan semoga Allah sentiasa berada di hati.

Ayat 32 : 
Ayat ini boleh melembutkan dan menginsafkan hati orang lain. Kita sentiasa perlu saling mengingatkan bahawa segalanya datang drpd Allah dan kita merupakan umat nabi Muhammad SAW.
 

Ayat 33-35 : 
Elok dijadikan amalan bagi yang suka berkebun dan bercucuk tanam. Insya Allah,tanaman akan menjadi subur.

Ayat 36 : 

Ayat ini menerangkan tentang Sunnatullah iaitu setiap makhluk dan kejadian dijadikan secara berpasang-pasangan. ayat ini elok diamalkan bagi orang yang belum berkahwin dan belum mempunyai jodoh. Caranya : baca ayat ini 7 kali dan tiupdi dalam tadadah tangan serta menyebut "Al-Wadud" sebanyak 3 kali. Kemudian sapukan ke muka.Amalkan setiap pagi.

Ayat 37 : 

Ayat yang diamalkan untuk menetapkan hati iaitu akidah diri. Doa ini juga boleh menyuburkan semula hati yang kering dengan makanan rohani.

Ayat 38 : 

Ayat yang mengisahkan bahawa bulan dan matahari juga bersujud kepada Allah SWT

Ayat 39 :
 

Mengusahkan tentang ilmu falak.

Ayat 40 : 
Merupakan kenyataan bahawa Allah SWT Maha Esa = satu.

Ayat 41 : 
Mengisahkan tentang Nabi Nuh menaiki kapal. Ayat ini elok dibaca ketika menaiki kenderaan

Ayat 44 :
Mengisahkan keseronokan hidup di dunia. Ayat ini dibaca untuk dijauhkan fitnah dalam hidup.

Ayat 45-48 :

Ayat yang menceritakan tentang kedegilan orang kafir kepada Allah SWT.

Ayat 49 : 

Ayat yang menceritakan tentang Hari Akhirat dan kehidupannya.

Ayat 50 : 

Menyatakan bahawa semua orang akan dihisap mengikut amalannya.

Ayat 58 : 

Ayat yang merupakan salam daripada Allah SWT. Jika kita sakit kepala,baca ayat ini dan sapukan ke atas kepala. Ulang sebanyak 3 kali. Jika sakit anggota, hati tidak tenang,baca sebanyak 7 kali dan gosok pada tempat yang sakit.

Ayat 76 : 

Dibaca untuk tenteramkan diri apabila difitnah,bila sedih,sebak atau kecewa. Caranya : baca sambil urut dada.

Ayat 78-79 : 

Ayat yang dikhaskan untuk sakit tulang,urat dan badan. Untuk dijadikan doa,baca dari maksud ayat "dia berkata, siapakah (yang dapat) menghidupkan tulang belulang padahal ia telah hancur?"(Ayat 78 dan 79). Baccalah jika sakit tulang,retak atau patah.
 

Ayat 82 : 
Untuk memohon hajat. Baca sebanyak 100 kali pada air dan minum selama 40 hari. ia juga boleh dijadikan penawar.Kita juga boleh melakukan solat Tahajud3 kali berturut2,baca ayat ini pada air 100 kali dan berdoa apa saha yang dihajati.

Sunday, February 23, 2014

ZIKIR HARIAN DALAM SEMINGGU

 

Zikir harian dalam seminggu 

 

JUMAAT : 
YA ALLAH – 1,000 KALI
*  ALLAH HAMPIR KEPADA KITA, ALLAH BERI KITA SOLAT, ISLAM, RAJIN, SUKA, LAZAT, BERAMAL IBADAH, TIDAK MALU TUTUP AURAT BAGI PEREMPUAN.

SABTU :
LAA ILAHA ILLA ALLAH – 1,000 KALI
SENANG HATI, AMAN DAN TENTERAM.
AHAD :
YA HAYYU YA QAYYUM – 1,000 KALI
* ALLAH HIDUPKAN KITA DAN BERI PELIHARAANNYA.
ISNIN : 
LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLA HIL ALIYYIL AZIM – 1,000 KALI
* SATU KALIMAT UMPAMA SATU BUKIT UHUD. BANYAK KALI SEBUT HILANGLAH SIFAT MENUNJUK-NUNJUK, KEJI, RIAK, TAKABBUR, SAYANGKAN DUNIA DAN SEBAGAINYA.
SELASA : 
ALLAHUMMA SOLLI ALA MUHAMMADIN ABDIKA WARUSULIKA NABIYYI WA UMMIYYI WA’ALA ALIHI WASOHBIHI WABARIK WASALLIM – 1,000 KALI
ALLAH AMPUNKAN DOSANYA SATU TAHUN (KALAU NAK PENDEK SELAWAT KE ATAS NABI)
RABU : 
ASTAGHFIRULLAH AL’AZZIM AL-LAZI LAA ILA HA ILLA HUWAL HAYYUL QAYYUM – 1,000 KALI
* SATU KALI SEBUT HILANG SATU TITIK HITAM DALAM HATI KITA. SATU TITIK HITAM ADALAH DARI SATU DOSA, JIKA TIDAK MEMINTA MAAF (MENGHILANGKANNYA) WALAUPUN SEMBAHYANG,KITA AKAN MASUK NERAKA SELAMA MANA TITIK HITAM TERSEBUT BERADA DALAM HATI KITA.

KHAMIS : 
SUBHANALLAHIL AZIMI WABIHAMDIH – 1,000 KALI
* ALLAH AMPUNKAN DOSA SEBANYAK BUIH DILAUT, DAN SATU KALI SEBUT TUMBUH SATU POHON SYURGA UNTUK KITA DI TAMAN SYURGA.




DOA MEMULAKAN PEKERJAAN

Doa Memulakan Pekerjaan

 

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَآءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
اَللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فَوَاتِحَ الْخَيْرِ وَخَوَاتِمَهُ وَجَوَامِعَهُ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَظَاهِرَهُ وَبَاطِنَهُ وَالدَّرَجَاتِ الْعُلاَ مِنَ الْجَنَّةِ.
اَللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ خَيْرَ هَذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا فِيْهِ ، وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّ هَذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا فِيْهِ.
اَللّهُمَّ طَهِّرْ قُلُوْبَنَا مِنَ النِّفَاقِ ، وَأَعْمَالَنَا مِنَ الرِّيَاءِ ، وَأَلْسِنَتَنَا مِنَ الْكَذِبِ ، وَأَعْيُنَنَا مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُوْرُ.
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
Ertinya:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan Pentadbir seru sekalian alam dan selawat serta salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul; Sayidina Muhammad, dan ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda sekalian.

Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepadaMu pembukaan yang baik dan penutup yang baik, dan keseluruhan yang baik di awalnya dan di akhirnya, zahirnya dan batinnya serta darjat yang tinggi di syurga.

Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepadaMu kebaikan hari ini dan kebaikan yang ada pada hari ini, dan kami berlindung kepadaMu daripada keburukan hari ini dan keburukan yang ada pada hari ini.

Ya Allah! Sucikanlah hati kami daripada sifat nifaq (munafiq), pekerjaan kami daripada amalan riya', lidah kami daripada berkata bohong dan mata kami daripada berlaku khianat. 

Maka sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala mata-mata yang berlaku khianat dan apa yang disembunyikan oleh dada-dada.

Dan semoga Allah melimpahkan selawat serta salam ke atas Sayidina Muhammad dan ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda, dan segala puji-pujian bagi Allah Tuhan Pentadbir seru sekalian alam.

Monday, February 10, 2014

KEBOLEHAN USAHAWAN WANITA MASIH DISANGSI

Berita Harian, Khamis September 2, 1999
Oleh Nor Affizar Ibrahim


 Kebolehan usahawan wanita masih disangsi

: DULU, kebanyakan usahawan wanita lebih gemar menceburi dan mengusahakan perniagaan dalam bidang yang dilihat secocok dengan ciri peribadi dan jiwa mereka. Pada waktu itu, mereka lebih banyak menceburi bidang perniagaan seperti membuka kedai salun, kedai jahit pakaian atau hanya menjadi pembekal kuih muih tradisional.
  
  Fenomena itu seolah-olah menggambarkan usahawan wanita tidak mampu melangkah jauh dan tidak berupaya bersaing dengan usahawan lelaki. Apapun, perubahan masa turut mengubah sikap dan minat di kalangan usahawan wanita. Mereka kini lebih berani, malah ramai yang mencapai kejayaan cemerlang dalam perniagaan besar di negara ini. Peningkatan dan keupayaan usahawan wanita kini amat membanggakan.
  
  Bermula dengan perniagaan tradisional yang dibuat secara kecil-kecilan di rumah, kini, wanita berjaya mengorak langkah dan turut sama merebut peluang menguasai bidang perniagaan yang selama ini dimonopoli lelaki.
  
  Usahawan wanita tidak lagi menyempitkan ruang lingkup bidang dan jenis perniagaan yang diceburi. Sebaliknya, mereka kini tidak ketinggalan merebut peluang perniagaan di semua sektor tidak kira perkhidmatan, pertanian, pekilangan, pendidikan dan pelbagai lagi.
  
  Malah, ada yang memberanikan diri meneroka bidang perniagaan baru termasuk perusahaan berasaskan eksport antarabangsa yang bercirikan daya saing tinggi.
  
  Ketabahan dan kegigihan usahawan wanita mengubah diri mereka agar tidak terus di takuk lama, harus dipuji dan diberi sokongan. Bagaimanapun, dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan, masih banyak sekatan dan halangan yang dihadapi mereka. Sekatan dan halangan itu antaranya peluang mendapatkan perniagaan, meluaskan pasaran, mencari lokasi, mendapat dan menambah modal.
  
  Antara faktor yang menjadi penghalang termasuk sikap pihak tertentu yang masih meragui dan mempertikaikan kemampuan wanita. Keupayaan wanita untuk sama-sama menceburi sesuatu bidang yang dimonopoli usahawan lelaki seringkali disalahtafsirkan. Selain kesangsian terhadap keupayaan usahawan wanita, masih ada pihak tertentu tidak memahami dan mengiktiraf peranan serta kepentingan usahawan wanita dalam memberikan sumbangan ekonomi negara.
  
  Walau apapun faktor penyebabnya, ia tetap membantutkan pencapaian usahawan wanita. Akibatnya, ada usahawan wanita menghadapi situasi tertekan dan selalu terpaksa beralah ketika merebut peluang. Sebaliknya, usahawan lelaki mendapat lebih kepercayaan dan mempunyai banyak pengaruh.
  
  Pada sesi dialog bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Datuk Seri Rafidah Aziz sempena majlis pelancaran dan Seminar Skim Bantuan Khas untuk wanita di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beberapa usahawan wanita mengambil peluang dan berkesempatan meluahkan rasa yang terbuku di hati mereka selama ini.
  
  Antaranya, pengasas Butik Musulman, Yasmin Siddik mengadu kesukaran himpunan butik pakaiannya menembusi pasaran di pasar raya utama. Menurut Yasmin, Butik Musulman yang menjadi pembekal dan pengedar pakaian berasaskan jubah dan lain-lain pakaian menutup aurat yang sesuai untuk wanita Islam, sukar dipasarkan kerana ada pihak pasar raya mengkategorikan himpunan pakaian butiknya sebagai himpunan pakaian mengandung.
  
  "Kalau diberi peluang pun, pasar raya akan menawarkan di sudut paling hujung sekali yang jarang dikunjungi pelanggan. Saya juga terpaksa menunggu masa beberapa tahun untuk mendapatkan ruang," katanya yang kini ada lima cawangan butik termasuk di Bangsar Utama dan Subang Parade.
  
  Keluhan Yasmin mendapat perhatian Rafidah dan beliau menyarankan masalah itu dirujukkan kepada Tan Sri Aishah Ghani yang terbabit secara langsung dalam pengurusan pusat beli belah di Metrojaya.
  
  Pengerusi Eksekutif Eye On Egypt Sdn Bhd, Datin Hartini Osman pula memberitahu, kesukarannya bersaing dengan kontraktor lelaki untuk mendapatkan tender yang mampu memberi pulangan lumayan dan mengembangkan perniagaan.
  
  "Kami usahawan wanita sudah menunjukkan keupayaan bahawa kami juga boleh menjadi rakan kongsi perniagaan yang baik. Tetapi hingga kini, masih ada sikap pilih kasih dalam pemberian tender dengan keutamaan diberikan kepada usahawan lelaki," luahnya yang menjalankan perniagaan mengimport bahan binaan.
  
  Menurut Hartini, kesukaran mendapatkan tender baru menjejaskan perniagaan terutama ketika kegawatan ekonomi. Lebih perit apabila bayaran diterimanya agak lewat.
  
  "Berbulan-bulan menunggu dan penat berjumpa pelbagai pihak, akhirnya jawapan diterima selalu mengecewakan. Bagaimana kami hendak mengembangkan perniagaan," ujarnya.
  
  Hartini juga mencadangkan satu konsortium ditubuhkan supaya usahawan wanita boleh bersaing dengan kontraktor lelaki dan memantapkan perniagaan. Beliau berpendapat, dengan penubuhan konsortium, pengagihan tender dapat dibuat dengan lebih adil tanpa mengetepikan peluang usahawan wanita.
  
  Bagaimanapun, Rafidah ketika memberi reaksi cadangannya itu berpendapat, menubuhkan konsortium mungkin cadangan dan alternatif yang baik. Tetapi katanya, masalah akan timbul apabila ada ahli tidak bersatu dan mula menyeleweng atau keluar pada dasar pelaksanaannya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan kajian terperinci dibuat terlebih dahulu sebelum ia ditubuhkan.
  
  Pengarah Urusan Eliza Industries Sdn Bhd, Eliza Zainuddin turut menyuarakan perasaan tidak puas hatinya mengenai bayaran tinggi harga rak yang dikenakan oleh pihak pasar raya kepada pengusaha untuk meletakkan barangan keluarannya.
  
  "Selalunya, masalah sebegini sering dihadapi dengan pasar raya borong (hypermarket) yang besar dan semakin gemar dikunjungi pengguna. Sebagai usahawan Bumiputera yang baru hendak mengusahakan perniagaan dan hanya bergantung pada modal yang kecil, sudah tentu saya tidak dapat menampung kos yang tinggi.
  
  "Sedangkan, kami tahu di pasar raya seumpama itulah kami harus merebut peluang meletakkan barangan kami. Kalau harga rak tinggi, bagaimana kami boleh mendapat untung. Jadi, kalau boleh turunkan harganya supaya kami dapat mengurangkan kos," katanya.
  
  Rafidah yang menjawab aduan Eliza berkata, beliau memerlukan maklumat lebih lanjut berkenaan masalah itu bagi membolehkan agensi di bawah kementeriannya membuat tindakan dan kajian susulan sebelum membuat sebarang keputusan.
  
  Sesi dialog setengah jam itu sekurang-kurang memberikan sedikit kelegaan kepada usahawan wanita yang kebanyakannya tidak tahu kepada siapa mereka harus mengadu masalah mereka selama ini. Ada di antara usahawan wanita mendakwa, mereka sudah menghabiskan banyak masa, tenaga dan modal untuk mengatasi beberapa masalah dihadapi.
  
  Namun, dengan karenah pihak tertentu dan kurangnya sokongan dan pengetahuan mereka, usaha yang dibuat seringkali gagal dan terpaksa melepaskan banyak peluang.
  
  Rafidah yang nyata prihatin dengan masalah usahawan wanita, berkata sesi dialog seumpama itu hanyalah antara langkah awal untuk menyelami lebih lanjut masalah mereka.
  

TINGKAT KESEJAHTERAAN WANITA DAN KANAK-KANAK

Berita Harian, Khamis, Oktober 14, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Tingkat kesejahteraan wanita dan kanak-kanak




WALAUPUN berada dalam belahan dunia yang berbeza, ternyata harapan, agenda dan keprihatinan masing-masing tidak banyak perbezaan. 

Lebih-lebih lagi, mereka mempunyai kedudukan sama, bergelar wanita pertama yang sudah semestinya mempunyai pengaruh besar dalam membawa perubahan dan pembangunan masyarakat mahupun negara.
  
Malah, menyedari peranan, tanggungjawab dan kedudukan mereka yang penting sebagai isteri kepada pemimpin utama negara, mereka dilihat bukan saja mempunyai kesedaran dan keazaman tinggi untuk sama-sama berjuang serta membantu membawa pembaharuan dan mencapai kemajuan dalam masyarakat tetapi juga aktif; di samping sanggup turun padang bagi mengetahui pemasalahan sebenar.
  
Latar belakang, situasi, cabaran dan pengalaman yang dilalui mereka mungkin tidak sama tetapi yang penting apa yang dilakukan serta ingin direalisasikan membawa makna yang cukup besar. 

Apatah lagi, matlamat utamanya adalah untuk membantu wanita dan membentuk kanak-kanak atau generasi muda hari ini menjadi pemimpin serta warga bertanggungjawab ke arah menjadikan dunia ini lebih baik.
  
Bentuk kemahiran

Menggunakan kuasa, pengaruh


dan kedudukan, mereka menekankan beberapa perkara penting yang harus diberikan keutamaan termasuklah pendidikan kepada kanak-kanak, penjagaan kesihatan lebih baik untuk wanita, pemakanan sihat sejak dari kecil serta membentuk kemahiran yang boleh menjana sumber ekonomi. 

Merealisasikan semua itu pelbagai cara diikhtiarkan seperti menjalinkan rangkai kerja dengan beberapa badan dan pertubuhan tertentu, melakukan serta menggerakkan beberapa kempen mahu pun advokasi.
  
Pengetahuan, pengalaman dan minat mendalam tersemat dalam diri serta keazaman kuat untuk berbakti serta membangunkan masyarakat dan negara disatukan, sekali gus menjadi pemangkin mahupun penggerak untuk memenuhi apa yang ingin dicapai.
  
 Apa yang pasti, kesedaran tinggi, peranan dan usaha dilakukan mereka turut memperlihatkan peranan wanita pertama kini tidak lagi dilihat begitu tipikal, mengiringi suami masing-masing dalam setiap majlis; sebaliknya begitu signifikan kerana mereka menjadi penyokong perubahan strategik yang memberi penekanan kepada inisiatif komuniti seperti bidang kepemimpinan, pendidikan, kesedaran gender dan pembangunan sosial secara keseluruhan.
  
Itulah antara butiran dan fakta menarik yang dikongsikan oleh lima wanita pertama pada perbincangan panel hari kedua, Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Palace of the Golden Horses, di Seri Kembangan, kelmarin.
  
Perbincangan panel itu membabitkan lima wanita pertama yang terdiri daripada Ernestina Naadu Mills dari Ghana, Lorna Golding dari Jamaica, Sia Nyama Koroma dari Sierra Leone, Mercedes Lugo De Maidana dari Paraguay dan Thandiwe Banda dari Zambia dengan Mishal Husain dari British Broadcasting Corporation (BBC) bertindak sebagai moderator.
  
Pendidikan dan Kesihatan


Mercedes yang juga adik kepada Presiden Frenando Lugo, berkata era baru kini bermula di negaranya, seiring dengan itu pendidikan serta kesihatan menjadi dua isu utama diberikan perhatian.
    
"Adalah penting untuk membawa kanak-kanak dan remaja kepada masa depan yang lebih baik bagi masa akan datang dan sekarang. Saya juga adalah guru sebelum ini dan sudah berpuluh tahun mendidik ramai kanak-kanak. Saya melihat pendidikan adalah keperluan utama khususnya di kawasan luar bandar. saya percaya melalui pendidikan, masa depan lebih baik untuk mereka dapat dibentuk," katanya.
  
Lorna yang turut memberikan perhatian serius terhadap isu wanita dan kanakkanak, berkongsi beberapa pengalaman menarik dilakukannya, semata-mata untuk memastikan pendidikan sempurna dapat diberikan kepada kanak-kanak.
  
Wanita pertama itu membuktikan wanita pertama dapat memainkan peranan yang penting dalam membawa perubahan positif dan usia bukan menjadi batu penghalang untuk memajukan diri sendiri.
  
Walaupun sudah bercucu, beliau kembali ke sekolah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan memperkenalkan Jamaica Early Chilhood Foundation bagi menggalakkan penyediaan meningkatkan perkhidmatan serta sumber untuk semua kanak-kanak di negara itu tanpa mengambil kira gender dan latar belakang.
  
"Saya juga mengunjungi kolej guru dan duduk di sana setiap petang serta mendengar keluhan mereka. Kami berkongsi pandangan dan pengetahuan bagi meningkatkan pendidikan kerana mendapati ada kanak-kanak tidak ke sekolah kerana kekurangan sumber untuk berbuat demikian," katanya.
  
Lorna turut menekankan pentingnya memastikan kanak-kanak mendapat khasiat makanan yang baik dari usia masih bayi hinggalah meningkat remaja.
  
Katanya, penyusuan susu ibu sentiasa digalakkan di kalangan ibu bapa kerana ia bukan saja berkhasiat untuk kesihatan tetapi turut membantu perkembangan kognitif kanak-kanak yang penting untuk menerima pembelajaran.
  

Sumber kewangan sendiri


Sementara itu, Ernestina yang mempunyai pendidikan dalam bidang sosiologi dan psikologi dari University of Ghana pula berpendapat, jika kebahagiaan rumah tangga musnah, anak di dalam keluarga itu turut menderita.
  
"Di negara membangun, kanak-kanak yang baru berusia 15 tahun hingga 16 tahun sudah pun bergelar ibu dan mempunyai anak. Mereka ini sepatutnya dididik mengenai kesihatan reproduktif dan diajar mengenai tubuh sendiri dari hujung kepala hinggalah keseluruhan tubuh. 

"Kanak-kanak belajar lebih baik melalui perjalanan hidup, oleh itu bantulah mereka. Jika tidak, mereka akan mencarinya di mana-mana," katanya.
  
Thandiwe yang mempunyai pengalaman sebagai guru sains politik dan sejarah pula memberitahu, di negaranya lebih ramai wanita memerlukan sumber kewangan sendiri.
  
Katanya, bagi membantu mereka menjana sumber pendapatan, latihan kemahiran dalam pertanian diberikan. Usaha itu dilakukan dengan mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan tertentu.
  
Thandiwe juga bergiat aktif dalam mengasaskan program pementoran dalam usaha untuk memperkasakan wanita di kawasan pedalaman melalui pendedahan kepada asas kemahiran hidup, pembinaan keyakinan diri serta menyemai sifat berdaya maju di kalangan wanita berkenaan.
  
Wanita pertama itu yakin, jika dibekalkan dengan sumber maklumat yang sewajarnya, wanita, terutamanya di Zambia mampu membuat keputusan yang dapat memanfaatkan keluarga dan juga masyarakat.
  
"Apabila wanita mempunyai sumber ekonomi pendapatan dan kesihatan yang baik, ia membolehkan mereka menghantar anak ke sekolah. Untuk itulah kemahiran dan sumber ekonomi penting diberikan kepada mereka," katanya.
  
Koroma yang digelar sebagai "Ibu Kepada Negara" di Sierra Leone pula memberi penekanan yang khusus mengenai kepentingan kesihatan ibu dan juga kanak-kanak kerana berpendapat mereka adalah tulang belakang kepada sebuah negara yang sihat serta makmur.
  
Beliau yang memulakan kempen umum untuk menyokong wanita dan kanak-kanak miskin di negaranya berkata, banyak program dilakukan untuk membantu serta membela nasib golongan itu.
  
Beliau turut melancarkan kempen untuk mengatasi masalah kadar kematian ibu mengandung di negaranya. Projek Women's Initiative For Safer Health (WISH) bertindak untuk meningkatkan kesihatan reproduktif wanita dan juga peranan mereka dalam membuat keputusan.

LERAI KONFLIK

Berita Harian, Selasa April 10, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Lerai konflik


KISAH ibu tunggal terpaksa melacurkan diri menyara anak akibat kesempitan hidup selepas diceraikan kerana bekas suami gagal memberikan nafkah sudah mendapat perintah mahkamah, pernah didedahkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), suatu ketika dulu.
  Lebih menyedihkan, mereka sanggup menerima bayaran ansuran termasuk daripada rakan sekerja yang melanggan mereka kerana pendapatan sebagai pengawal keselamatan dan tukang cuci tidak cukup untuk menyara anak sejak menjadi ibu tunggal. Cerita seperti ini sememangnya merenggut perasaan.
  Tuntutan nafkah dan penguatkuasaan antara isu utama yang sentiasa menjadi rungutan terutama wanita diceraikan. Walaupun Undang-Undang Keluarga Islam mempunyai peruntukan terperinci mengenai nafkah, tetapi masih ada kelemahan ketara dalam penguatkuasaan nafkah terutama jika bekas suami atau bapa yang bertanggungjawab membayar nafkah gagal memberi kerjasama atau cuai.
 

Bantuan BSK


Bagaimanapun, sejak Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM diperkenalkan pada 2008, ramai ibu tunggal atau bekas isteri, khususnya melalui pengalaman perit `berjuang' untuk mendapatkan nafkah anak, gembira dan mengalu-alukan kewujudan badan itu.
  Sepanjang hampir lima tahun penubuhan BSK, sudah ramai wanita dibantu, khususnya bagi meleraikan konflik dihadapi wanita dan ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
  Selain itu, BSK turut bekerja keras bagi memastikan bapa atau bekas suami melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah, khususnya dalam kes nafkah dan saraan. Tidak cukup dengan itu bagi meringankan masalah BSK juga menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga menghadapi masalah tuntutan nafkah.
 

Orang tengah


Pengarah, BSK, Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata beberapa usaha dilakukan BSK bagi mencapai objektif penubuhannya, sudah pun mencapai banyak kejayaan, khususnya dalam tuntutan nafkah tertunggak.
  Mohd Naim berkata, dengan bantuan BSK, ramai wanita yang sebelum ini terpaksa menunggu bagi satu tempoh lama mendapatkan hak mereka, sudah pun mendapat hak mereka sewajarnya.
  Katanya, sepanjang 2010 dan 2011, BSK menerima 1,559 kes di peringkat Khidmat Nasihat dan Perundangan dengan lebih separuh atau 57.45 peratus berjaya diselesaikan melalui mediasi atau perbincangan iaitu BSK bertindak sebagai orang tengah.
  
  Mohd Naim berkata, sebanyak 1,330 kes dengan peratusan penyelesaian sebanyak 29 peratus diterima bagi kes yang dibawa ke mahkamah untuk tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan.
  "Berdasarkan statistik peratusan penyelesaian kes bagi pegawai BSK yang menerima pentauliahan peguam syarie adalah lebih tinggi berbanding purata negeri lain yang belum mendapat pentauliahan. Ini kerana setiap individu ingin mempraktikkan di mahkamah syariah hendaklah memperoleh tauliah diperkenankan terlebih dulu oleh Majlis Agama Islam Negeri masingmasing," katanya ketika ditemui di pejabat BSK di Putrajaya, barubaru ini.
   Mohd Naim berkata, dengan jumlah tenaga kerja terhad iaitu antara lima hingga enam saja kakitangan di seluruh negara, BSK berusaha menjalankan tugasan secara pro aktif sematamata memastikan bekas isteri tidak dianiayai dalam isu tuntutan nafkah.
  Sistem digunakan merangkumi semua proses gerak kerja ketigatiga unit yang ada di BSK iaitu Unit Khidmat Nasihat Perundangan, Unit Pengurusan Dana serta Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah.
  Katanya, antara faktor kejayaan BSK melaksanakan tugas memastikan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan dan kepentingan anak terjamin meneruskan kehidupan ialah sikap suami dan isteri saling bertanggungjawab dan toleransi. Kerjasama yang baik di antara bekas suami dan isteri turut menyumbang menyelesaikan konflik dihadapi.
  Tambahnya, hubungan akrab dengan anakanak tidak dinafikan, menyebabkan bekas suami sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawabnya memberikan nafkah.
   "Faktor kewangan bekas suami selepas perceraian juga menyumbang. Jika tiada masalah kewangan, bekas suami boleh melunaskan tanggungjawabnya. Komitmen baik diberikan bekas suami selepas perceraian ternyata banyak membantu menyelesaikan masalah tuntutan nafkah," jelas Mohd Naim.
 

Liat bayar nafkah


Bagaimanapun, katanya, BSK mendapati masih ada lagi bekas suami liat membayar nafkah anak dan enggan mematuhi perintah mahkamah.
  Katanya, ini didorong faktor seperti bekas suami sudah mempunyai komitmen baru selepas berkahwin lain, selain bekas suami melepaskan tanggungjawab membesarkan anak kepada pasangan baru bekas isteri.
  Faktor lain, bekas suami mengalami pertelingkahan berpanjangan dengan bekas isteri. Apabila bekas suami tidak mendapat kerjasama yang baik dengan bekas isteri, maka ada yang sengaja bersikap lepas tangan serta enggan menunaikan tanggungjawabnya.
  "Ada kes bekas suami tidak mahu melaksanakan perintah nafkah dikeluarkan mahkamah syariah disebabkan tidak dibenarkan berjumpa dengan anak di bawah jagaan bekas isteri. Akibatnya bekas suami berdendam dengan cara tidak membayar nafkah anak.
  "Masalah lebih rumit, jika bekas suami dan isteri bermusuh. Justeru, ada kes bekas isteri menyekat dan ada yang enggan menerima nafkah daripada bekas suami. Selain itu sememangnya ada bekas suami tidak bertanggungjawab," katanya.
  Mohd Naim berkata, ada kes bekas suami tidak berkerja dan tiada pendapatan. Pada masa sama, ada bekas suami memahami bahawa bidang kuasa mahkamah terhad di dalam negeri tertentu saja.
  Jadi, dalam keadaan itu menyukarkan mahkamah mengesan mereka yang ingkar. Oleh itu, ramai bekas suami memandang ringan terhadap pematuhan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Sukar kesan bekas suami


Cabaran BSK ialah untuk mengesan bekas suami yang mematuhi perintah mahkamah, kerana sebilangan mereka begitu licik `menghilangkan' diri.
  "BSK menggunakan pelbagai kaedah dan saluran mengesan bekas suami, tetapi ada juga tidak dapat di kesan. BSK lazimnya bekerjasama dengan pelbagai cara seperti mencari alamat tempat bekas suami bekerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, selain Suruhanjaya Syarikat Malaysia jika ada yang membuka perniagaan sendiri.
  "Bagaimanapun, ada bekas suami tidak dapat dikesan langsung.
  Bagi yang bekerja dengan sektor kerajaan atau syarikat mungkin lebih mudah dikesan kerana ada data atau maklumat mengenainya digunakan tetapi jika bekerja sendiri ia lebih sukar," katanya.
  Tambahnya, BSK berhadapan masalah jika tiada tauliah peguam syarie di negeri tertentu.
  Ketika ini, hanya lapan negeri sudah menganugerahkan watikah pentauliahan peguam syarie kepada pegawai BSK iaitu Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang dan Perlis.

Khasiat cengkih

Berita Harian, Jumaat Oktober 4, 2013
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Khasiat cengkih


Rupa bentuknya kecil tetapi ia ada banyak kegunaan dan memberi manfaat untuk kesihatan. Apa yang pasti, apabila disebut bunga cengkih pasti suri rumah mengenalinya sebagai bahan masakan.
  
Kegunaan utamanya dalam masakan, antaranya ialah sebagai bahan rempah untuk membangkitkan aroma dan juga bagi menambahkan rasa sedap.

Justeru, bagi yang gemarkan haruman enak dalam hidangan disediakan, khususnya masakan menggunakan kari atau berasaskan pajeri dan acar, jangan lupa mencampurkan bunga cengkih.
  
Aroma semerbak yang diterbitkan apabila bunga cengkih ditumis bersama dengan bahan rempah ratus lain, termasuk kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, biji sawi dan sebagainya, membangkitkan selera sehingga rasa tidak sabar untuk menikmati masakan itu.
  
Cengkih digunakan sebagai perencah, baik dalam bentuknya yang utuh atau sebagai rempah serbuk. Ia bukan saja digunakan di Asia, malah di Eropah.
  
Selain menyedapkan masakan, cengkih juga boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan dalam penyediaan makanan. Misalnya, kajian di Universiti Kansas di Amerika Syarikat berkaitan rempah mendapati, cengkih berkuasa sebagai antibakteria dan membantu memusnahkan Escherichia Coli Infection (E.Coli) dalam daging.
  
Caranya, gaul satu sudu serbuk cengkih pada daging sebelum memasak sebagai cara untuk menjadikan hidangan anda sekeluarga menyihatkan.
  
Bukan saja untuk aroma makanan, ramuan cengkeh juga digunakan untuk menghasilkan wangian yang memberikan haruman dengan impak tersendiri.
  

Bantu tingkatkan kesihatan

Satu lagi cerita menarik mengenai cengkih yang pernah diperkatakan ialah mengenai amalan seorang guru agama di pondok tersohor di Kelantan, yang selalu mengunyah rempah itu sejak berumur 17 tahun lagi.

Walaupun sudah mencecah usia 90an, Tok Guru itu dikatakan, masih sihat dan boleh mengaji al-Quran dan mengajarnya dengan baik.
  
Amalan Tok Guru itu mengunyah cengkih 10 kuntum setiap hari dan menghisap airnya, dikatakan membantu meningkatkan kesihatannya supaya sentiasa sihat manakala penglihatannya masih tajam.

I
Itulah antara kehebatan cengkih, tanpa perlu mengeluarkan belanja banyak, ia ternyata amat berguna dan memberi manfaat dalam penjagaan kesihatan.
  
Hakikatnya, cengkih banyak mengandungi kandungan kimia yang bermanfaat kepada bidang kesihatan. Kajian mengenai rempah ini mendapati, eugnol yang dimilikinya dapat mencegah pembekuan darah dan dapat membantu mencegah strok.
  
Cengkih turut digunakan untuk mengubati beberapa penyakit. Malah, pengambilannya membantu merangsang pengaliran darah. Dengan itu pencernaan dan metabolisme tubuh mampu meningkat.
  
Penyelidik Jepun mendapati, seperti kebanyakan rempah ratus, cengkih mengandungi antioksida. Antioksida membantu mencegah kerosakan sel yang akhirnya menyebabkan barah.
  
  Dalam perubatan Cina pula, cengkih sering digunakan untuk mencegah mual dan mengatasi gangguan pencernaan. Rebusan cengkih bersama daun basil dan daun pudina, dipercayai dapat menurunkan tekanan.
  

Penggunaan rawatan tradisional
  
Selain itu, ia juga digunakan secara meluas dalam penjagaan pergigian untuk melegakan sakit gigi, sakit gusi dan ulser mulut. Perisa dan minyak cengkih menyekat pertumbuhan bakteria. Justeru, untuk gusi yang sihat, masukkan satu atau dua sudu cengkih dalam satu cawan teh pekat dan minum.
  
Cengkih atau nama saintifiknya Eugenia Aromaticum juga mengandungi pelbagai mineral, termasuk besi, magnesium, fosforus, natrium, kalsium, asid hidroklorik, kalium dan Vitamin C, K dan A.
  
Khasiat itu juga menyebabkan sejak dulu, cengkih terkenal digunakan sebagai ramuan untuk perubatan tradisional. Antaranya, menghilangkan bau mulut iaitu dengan cara, ambil sekuntum bunga cengkih hidup atau yang kering dan kunyah.
  
Zaman dahulu, cengkih juga lazim digunakan untuk mengubati penyakit campak.

Caranya, rendam semalaman beberapa cengkih di dalam air masak, kemudian ditambah dengan gula batu dan kacau hingga rata. Lalu, minum air berkenaan sedikit demi sedikit secara teratur.
  
Ada juga menggunakannya untuk mengubati batuk iaitu dengan mencampurkan bersama beberapa bahan lain seperti sirih, pelaga, gula batu dan sebagainya. Bahan dicampur direbus, kemudian airnya ditapis dan diminum dua kali sehari bagi menghilangkan batuk.
  
Selain untuk rawatan, cengkih juga berguna untuk beberapa petua lain seperti untuk mengusir nyamuk dan semut. Malah, cengkih juga dikatakan berkesan sebagai perangsang seksual atau menaikkan syahwat untuk lelaki.
    
INFO
  
  Menarik mengenai cengkih

  
  * Pada abad keempat, Raja Dinasti Han Cina memerintah setiap orang yang akan mendekatinya mesti mengunyah cengkih terlebih dulu supaya nafas mereka harum.
  
  * Pada zaman Romawi, cengkih, pala dan lada adalah rempah ratus yang tersangat mahal.

  
  * Cengkih menjadi bahan dagangan pertukaran oleh bangsa Arab pada abad pertengahan. Pada akhir abad ke-15, orang Portugis mengambil alih dagangan pertukaran di Lautan Hindi, seterusnya menguasai perdagangan cengkih melalui perjanjian Tordesillas dengan Sepanyol.
  
  * Orang Portugis membawa cengkih yang mereka peroleh dari kepulauan Maluku ke Eropah dengan harga satu kilogram (kg) cengkih bersamaan 7 gram emas.
  
  * Perdagangan cengkih akhirnya didominasi oleh orang Belanda pada abad ke-17. Orang Perancis berhasil membudayakan tanaman cengkih di Mauritius pada 1770. Diikuti dengan Guyana, Brasilia dan Zanzibar.
  
  * Pokok cengkih tertua di dunia tumbuh di wilayah Tongole, daerah Ternate Tengah, enam kilometer dari pusat kota Ternate, Indonesia. Pokok yang disebut sebagai Cengkih Afo ini berumur 416 tahun, tingginya 36.60 meter (m), berukuran lilit 198m dan keliling batang 4.26m. Setiap tahun ia, menghasil sekitar 400kg bunga cengkih.
  
  * Doktor tradisional Cina sudah lama menggunakan cengkih untuk merawat senak perut, masalah penghadaman, cirit-birit, angin pasang (hernia) dan kurap, serta penyakit celah jari kaki (athlete's foot) dan lain-lain jangkitan kulat.
  
  * Pengamal perubatan tradisional Ayurveda India menggunakan cengkih sejak zaman purba bagi merawat penyakit pernafasan dan penghadaman.
  
  * Perubatan herba zaman pertengahan Jerman menggunakan cengkih sebagai sebahagian daripada ramuan campuran rawatan anti-gout.

KELEBIHAN URUTAN

 Berita Harian, Khamis, September 29, 2005
 Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Kelebihan urutan



KUASA dan keajaiban sentuhan urutan memang tidak dinafikan mempunyai banyak manfaat serta memberi kesan yang begitu mendalam, bukan saja pada fizikal tetapi juga minda dan jiwa individu.
  
Sentuhan urutan juga sering dikatakan, penting untuk semua yang bernafas sama ada sentuhan seorang ibu pada bayinya, isteri pada suami, nenek pada cucu dan sebagainya. Jadi tidak hairan jika pengarang buku The Power of Touch, Dr Phyllis K Davis, ada berkata di sentuh dan menyentuh adalah sebahagian asas manusia.
  
Pengasas Tim Body Care Training Centre, Tim Low Chee, berkata apabila seseorang mendapat sentuhan urutan, beliau dapat merasakan tekanan sewaktu kerja akan hilang, manakala fikiran dan jiwa kembali menjadi tenang.
  
Selain itu, urutan juga mampu menimbulkan perasaan yang harmoni dan memberi kesejahteraan menyeluruh serta dapat berasakan diri dimanja.
  
"Bagi pasangan suami isteri misalnya, urutan bukan saja sebagai sentuhan fizikal semata-mata tetapi berkait rapat dengan emosi. Ini kerana sentuhan urutan dapat mewujudkan jalinan kasih sayang yang lebih intim dan akan membuatkan pasangan berasakan dirinya lebih dihargai, begitu diambil berat, rasa lebih selamat dan diberikan perhatian.
  
"Begitu juga hubungan antara ibu dan anak. Malah, ketika anak di peringkat bayi lagi, ibu disarankan mengurut bagi mengeratkan lagi perasaan kasih sayang selain membantu perkembangan tumbesarannya," katanya.
  
Tim berkata, perkara seumpama itu bukan sesuatu mustahil kerana urutan membabitkan manipulasi struktur tisu lembut badan secara manual bagi menghilangkan ketidakselesaan, pengecutan otot dan tekanan serta meredakan kesakitan.
  
  Urutan turut merangsang pengeluaran hormon endorfin iaitu sejenis bahan kimia yang membangkitkan rasa gembira dan meningkatkan keyakinan diri. Dengan melakukan cara menyentuh, membelai dan melakukan gerakan tertentu seperti meramas, memicit, mengusap dan memberikan tekanan pada bahagian tertentu tubuh, kesan seumpama itu boleh dicapai dan dinikmati.
  
  Tim berkata, satu kerugian sekiranya suami atau isteri yang mendambakan sentuhan pasangannya, setiap kali ingin merasakan keajaiban sentuhan urutan, mereka terpaksa pergi ke pusat rawatan terapi .
  
  "Bukan tidak boleh pergi ke pusat rawatan terapi tetapi sudah tentu lebih baik dan istimewa jika sentuhan itu dilakukan sendiri oleh pasangan. Bagi ibu yang mempunyai anak pula,
apakah yang boleh dilakukan jika anak mengadu berasa lenguh badan kerana terlalu penat bermain.
  
  "Selain memberi ubat sudah tentu mengurut badan si anak dapat meredakan ketidakselesaan itu.
  
  Mengurut juga secara tidak langsung, membantu anak lebih bertenaga, tidur nyenyak dan bangun lebih segar pada keesokan harinya," kata Tim lagi.
  
  Beliau yang mempunyai sijil latihan di The Royal School Medicine & Massage, Thailand berkata, belajar teknik dan cara mengurut tidak sukar. Untuk berkongsi pengalaman, pusat rawatan aromaterapi yang dibukanya dan berpusat di Petaling Jaya, sedia menawarkan latihan dan kemahiran mengurut.
  
  Katanya, melalui kemahiran yang dipelajari, peserta boleh menggunakannya untuk kebaikan sendiri atau memberi perkhidmatan kepada orang lain seterusnya berupaya dijadikan sebagai sumber pendapatan tetap atau sampingan yang lumayan.
  
  Low berkata, urutan aromaterapi khususnya, sudah terbukti sebagai satu bidang perniagaan yang semakin berkembang dan salah satu kerjaya berpontensi boleh diceburi segenap lapisan masyarakat.
  
  "Suri rumah dan siswazah yang masih menganggur mungkin patut cuba mengikuti kursus di sini. Mereka mungkin boleh memulakan perniagaan suatu hari nanti. Golongan ibu tunggal yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dan tiada kemahiran lain juga mungkin boleh menjadikan mengurut sebagai kerjaya untuk menampung kehidupan.
  
  "Bayangkan, bayaran khidmat mengurut paling minimum ialah RM50 bagi seluruh badan. Jika sehari, dapat tiga pelanggan pendapatan yang diperoleh ialah RM150. Dalam tempoh sebulan, pendapatannya boleh mencapai lebih kurang RM4,000. Dengan waktu kerja yang lebih anjal, sudah tentu lebih senang mengatur hidup," katanya lagi.
  
  Pusat latihan Tim Body Care Training Centre menawarkan kursus asas yang mendedahkan peserta mengenai teknik mengurut seluruh anggota badan. Peserta akan diajar cara urutan aromaterapi dan Thai serta akan diberikan latihan praktikal.
  
  Antara teknik mengurut lain yang diajar ialah urutan kaki dan tapak kaki, urutan belakang dan pinggul, pemulihan sukan, detoksifikasi badan, urutan tangan bagi yang menghidap atritis, urutan muka dan urutan kepala untuk sakit kepala. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03 79600018 / 013 3986868 atau layari laman web www.massage.com.
  
  FAKTA
  
  Urutan yang menjadi bentuk penjagaan perubatan tertua dan paling ringkas mempunyai beberapa faedah seperti:
  
  * Menyingkirkan lebihan toksin badan.
  
  * Mengurangkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
  
  * Merehatkan otot-otot yang selama ini mungkin mengalami ketegangan.
  
  * Melicinkan tekstur kulit yang menjadi organ tubuh manusia paling besar.
  
  * Melancarkan sistem pencernaan.
  
  * Membentuk badan.
  
  * Menyeimbangkan minda, rohani dan jasmani.
  
  * Mengurangkan kebimbangan dan tekanan mental.
  

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...