Monday, February 18, 2013
Wajah Seiras KFC
Berita Harian, Jumaat, Julai 2, 1999
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Wajah seiras punca Braxley terkenal
SERUPA tetapi tidak sama. Itulah yang dapat diungkap dan dirumuskan ketika pertama kali berpeluang bertemu dan bertentang mata dengan John Braxley, Duta Antarabangsa Kentucky Fried Chicken (KFC). Bukan saja cara penampilannya sama tetapi raut wajah Braxley juga dikatakan seiras dengan Kolonel Harland D Sanders, pengasas KFC.
Dengan memiliki ciri persamaan itu, tidak hairan jika menyebabkan ramai terkeliru atau mudah tertipu dengan `kolonel palsu' itu, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Namun bagi Braxley, bukanlah niatnya untuk mempermainkan orang ramai atau meniru gaya Kolonel Sanders, semata-mata untuk mencari perhatian.
Semua yang berlaku adalah secara kebetulan dan beliau sendiri tidak pernah menyangka mempunyai iras wajah dan penampilan sama dengan Kolonel Sanders, yang sememangnya terkenal di seluruh dunia.
"Saya tidak pernah melakukan pembedahan plastik sepanjang usia saya, semata-mata untuk meyerupai wajah Kolonel Sanders. Ikhlas saya katakan, inilah wajah sebenar saya," ujarnya.
Beliau akan berada di Malaysia untuk beberapa minggu sempena kempen Riben Biru KFC yang dilancarkan pada 17 Jun lalu. Ini adalah kunjungannya yang kedua ke negara ini.
Braxley yang berasal dari Florida adalah bekas pemegang francais KFC dan kini beliau menjelajah ke seluruh dunia sebagai Duta KFC untuk mempromosikan makanan ayam goreng kegemaran ramai itu. Antara negara yang dilawatinya ialah China, Thailand, Filipina, Hong Kong, Taiwan, Pakistan dan Singapura.
Setiap kali melawat mana-mana restoran KFC di serata dunia, Braxley pasti tidak ketinggalan memakan sekurang-kurangnya seketul ayam goreng.
"Saya tidak pernah jemu memakan ayam goreng KFC daripada muda hinggalah sekarang. Bahagian yang paling saya suka ialah paha ayam. Mungkin itulah rahsianya bagaimana saya boleh menyerupai wajah Kolonel Sanders," Braxley berseloroh.
Menurutnya, kali pertama beliau bertemu Kolonel Sanders ialah pada tahun 1962. Ketika itu, beliau bekerja dengan francais KFC, Maxey Powell yang membuka cawangan restoran di bandar Florida. Braxley pada waktu itu berusia 32 tahun berbanding Kolonel Sanders yang sudah meningkat usia 72 tahun.
"Kolonel Sanders seorang yang peramah dan cepat mesra dengan sesiapa. Saya sendiri tidak menyangka, pertemuan pertama itu menjalinkan hubungan persahabatan yang baik di antara saya dan Kolonel Sanders," ceritanya.
Pada tahun 1964, Kolonel Sanders meminjamkan Braxley modal bagi membolehkannya memiliki francais sendiri untuk membina dan membuka restoran KFC pertamanya di St Augustine. Kesungguhan Braxley mengusahakan perniagaan menghasilkan kecemerlangan.
Bagaimanapun, selepas 25 tahun membabitkan diri dalam dunia perniagaan, beliau mengambil keputusan untuk bersara.
Braxley menjual francais kepada anak sulungnya, Chris dan sekali-sekala mengikuti perkembangan perniagaan KFC.
Pada tahun 1992, KFC mengadakan konvensyen di Nashville, Tennessee. Pada konvensyen itu, beliau bertemu dengan Margaret, anak kepada mendiang Kolonel Sanders.
Pertemuan itu mengingatkan Margaret kepada bapanya kerana beliau mendapati wajah Braxley seakan wajah Kolonel Sanders.
"Sebelum bertemu Margaret, ramai yang memberikan pendapat itu tetapi saya tidak pernah ambil peduli dengan kata-kata itu. Sehinggalah saya bertemu dengan Margaret. Untuk mencari kebenaran kata-katanya, saya pernah berjam-jam menatap wajah sendiri pada cermin," ceritanya lagi.
Secara kebetulan KFC memperkenalkan satu menu baru. Semua pemegang francais dipanggil dan mereka disuruh mencari seorang pelakon untuk melakonkan watak mendiang Kolonel bagi tujuan promosi. Lalu, ia mendorong Chris memujuk bapanya, mencuba peranan yang ditawarkan.
Braxley akhirnya bersetuju dan mula membela serta menyimpan misai dan janggut. Rambutnya turut diubah suai agar lebih mirip kepada mendiang Kolonel.
Satu perkara yang tidak disedarinya sebelum itu, beliau memakai kaca mata yang sama dengan Kolonel Sanders.
`Klon' Kolonel Sanders semakin sempurna apabila dia memakai sut serba putih dan bow serta membawa tongkat.
Kali pertama beliau muncul di khalayak ramai dengan imej Kolonel ialah pada tahun 1993 ketika perarakan menyambut perayaan Krismas di St Augustine.
"Saya seperti Santa Claus yang menjadi perhatian ramai. Ramai yang mengerumuni saya terutamanya kanak-kanak.
Ada juga yang menjerit-jerit memanggil saya Kolonel Sanders dan berebut- rebut untuk bergambar bersama. Sambutan itu memang mengagumkan dan tiba- tiba saya begitu popular," katanya.
Pita video selama dua minit dan beberapa keping gambar yang dirakamkan pada perarakan hari itu, kemudian dihantar kepada KFC. Enam bulan selepas itu, Braxley disuruh mewakili barat daya bagi menyertai pertandingan menyerupai wajah Kolonel di Henryville, Indiana, tempat asal Kolonel.
Kemenangan Braxley di tempat pertama, tidak ada siapa yang boleh pertikaikan. Malah, isteri mendiang Kolonel, Claudia dan anak perempuannya serta semua cucunya turut mengesahkannya. Bermula pada detik itu, kehidupan Braxley berubah dan beliau secara rasmi, `ditauliahkan' sebagai Kolonel.
Yang pasti, wajah dan sifat kebapaan yang dimiliki Braxley @ Kolonel Sanders menyebabkan ia disenangi kanak-kanak.
Walau ke mana beliau pergi, kanak-kanak sentiasa menjadi peminat utamanya.
Bapa kepada tujuh anak yang semuanya lelaki dan 14 cucu ini, tidak pernah berasa kekok didampingi kanak-kanak sebaliknya gembira jika dapat menghiburkan mereka.
"Saya amat sukakan kanak-kanak. Mereka sering mengingatkan saya bagaimana saya dan isteri, Charlotte mendidik anak-anak ketika mereka masih kecil," katanya.
Mengenai cara beliau mendidik anak, Braxley memberitahu, meskipun masanya agak kurang dihabiskan bersama mereka kerana sibuk menguruskan perniagaan, beliau tetap mengambil berat dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka.
"Saya lebih suka memberi kebebasan kepada anak untuk membuat pilihan apa yang disukainya. Bagaimanapun sebagai bapa, saya sentiasa mengawasi dan memberi nasihat kepada mereka," ujarnya.
Beliau juga menggalakkan anak-anaknya berdikari sejak kecil lagi. Setiap kali musim cuti sekolah, anak-anaknya akan bekerja di restoran mereka dan melakukan semua kerja seperti mana pekerja lain.
"Anak-anak saya dilayan dan dibayar gaji sama seperti pekerja lain. Saya mahu mereka tahu bagaimana susahnya mencari duit. Bagi saya, cara didikan itu banyak memberi mereka pengajaran," katanya turut berbangga dengan kejayaan semua anaknya dalam bidang masing-masing.
Friday, February 15, 2013
Jiwa Zaleha
Berita Harian, Isnin, 16 Julai 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Jiwa Zaleha
TIDAK pernah kenal erti penat dan jemu. Itu paling tepat mengungkapkan kesetiaan dan kewibawaan Tan Sri Zaleha Ismail dalam kerja kebajikan dan sukarela mahupun politik.
Dalam usia mencapai 76 tahun, Zaleha masih terus aktif. Tiada istilah `duduk diam' selagi kudrat masih ada dan masih boleh berfikir untuk menyumbangkan idea serta pandangan, selagi itulah nenek 11 cucu ini akan `menghadirkan diri' di tengah-tengah masyarakat.
Kepada anak dan cucu juga sudah dititipkan pesanan, jangan dilarang atau ditegah apa dibuat dan disukainya.
Begitu juga suami, sejak dulu hingga ke hari ini tidak pernah menegahnya melakukan aktiviti disukai, lebih-lebih lagi yang memberi kebaikan kepada masyarakat, bangsa serta negara.
`Lampu hijau' diberi, menjadikan langkahnya lebih mudah diatur.
Syarat untuk anak
"Saya cakap dengan anak kalau mereka tidak bagi saya aktif, saya akan `kacau' mereka di rumah. Dan mereka akan dengar leteran saya. Tentu saja, mereka tidak mahu itu berlaku," katanya turut memberitahu keluarga sememangnya faham dan masak dengan apa dilakukan.
Walaupun sudah lama bersara dan tidak lagi menerajui jawatan penting dalam kerajaan mahupun parti serta lebih selesa bergelar veteran UMNO, Zaleha masih bekerja macam biasa. Malah, untuk menumpukan tugasan dilakukan, rutin kerjanya bermula seawal jam 7.30 pagi dan ada kala bekerja sehingga lewat jam 12 malam.
"Saya bekerja macam dulu juga. Sudah pencen, lagi banyak jumlah masa bekerja. Ada saja perkara hendak dibuat. Lagi pun, saya sudah biasa sibuk. Nak `tukar gear' memang sukar," katanya.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Pelek, Sepang, sejak dulu Zaleha memang dikenali sebagai wanita cergas dalam pelbagai kegiatan politik, kebajikan dan sukarela.
Keramahan, ketegasan dan bijak menyesuaikan diri dalam semua suasana antara kelebihan dimiliki Zaleha.
Jasa diiktiraf
Masanya kini banyak ditumpukan dalam pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Tidak hairanlah jika anak kelahiran Kampung Batu Laut, Kuala Langat, Selangor ini menerima pelbagai pingat dan bintang kerana jasanya.
Selain pernah menjadi Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia serta Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Presiden Asean Confederation of Women's Organisation (ACWO), Zaleha turut menjawat beberapa jawatan penting pelbagai pertubuhan, kegiatan sosial dan kebajikan.
Kini, antara jawatan penting disandang ialah sebagai Pengerusi Global Peace Festival (GPF) Malaysia yang diterajui sejak 2008 dan juga Naib Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Malaysia serta Penasihat Eksekutif Gabungan Badan Bukan Kerajaan Daerah Gombak.
Perkasa wanita, keamanan
Zaleha seronok bercerita mengenai GPF yang menggerakkan lebih ramai wanita menyumbang dalam program keamanan serta usaha memberi mereka asas pengetahuan mengenai keamanan kepada keluarga serta masyarakat bagi mewujudkan generasi pencinta keamanan.
"Ada banyak pertubuhan tetapi tiada yang khusus pembabitan wanita dalam membangun dan menjaga keamanan sejagat. Saya yakin wanita berperanan penting membentuk dan mendidik keluarga bagi mewujudkan dunia yang aman," katanya. Mengenai arus perubahan dan pembangunan wanita di negara ini Zaleha berkata, kemudahan dan peluang pada masa ini sudah banyak.
"Satu lagi saya lihat, individu hari ini kurang perhubungan antara manusia. Perlu ingat, dalam hidup ini ada empat perkara utama yang kita perlukan iaitu rohani, minda, emosi dan fizikal. Keempat-empat ini perlu diselaraskan dan diseimbangkan jika tidak, maka pincang kehidupan ini," nasihatnya.
Nasib bapa bakar semangat
Ditanya siapa idolanya, Zaleha berkata, bapanya banyak mempengaruhi karakter dan keperibadiannya. Kegigihan bapanya untuk meneruskan kehidupan pada waktu sukar terus terpahat dalam ingatan. Bahkan, banyak sikap positif bapanya diwarisi.
"Saya bukan datang daripada keluarga senang. Tetapi bapa saya gigih berusaha sehingga dilantik sebagai penghulu dengan gaji RM149 sebulan. Dengan gaji banyak itulah bapa membesarkan kami adikberadik dan membantu saudara mara yang susah.
"Bapa banyak mengajar saya berdikari dan ketika kecil, bapa sering meminta saya membantu kerja pejabat seperti menyusun fail dan menulis resit kedai koperasi. Dari situ jugalah saya mula didedahkan dengan selok-belok pengurusan," ceritanya. Tidak lengkap temu bual tanpa menyelami rahsia wanita ini mengekalkan kehidupan serba aktifnya. Apa rahsianya?
Rahsia sihat, berjaya
"Alhamdulillah, kesihatan saya sihat dan membolehkan untuk terus memberi sumbangan. Cuma, ada penyakit kencing manis tetapi saya sentiasa menjaga tahap kesihatan dan cara pemakanan.
"Saya masih lagi bersenam dan di rumah, saya ada kelengkapan infra merah bagi membantu meningkatkan kesihatan. Saya sememangnya, seorang yang sentiasa menjaga dan mengutamakan kesihatan.
Kalau hendak berceramah mengenai kesihatan, saya langsung tiada masalah bercakap mengenai hal itu walaupun tidak pernah ada pendidikan khusus dalam bidang kesihatan," katanya.
Pengurusan masa dan ketepatan waktu menjadi perkara penting bagi Zaleha dalam setiap apa yang dilakukan. Sementara, prinsip dipegangnya amat mudah iaitu tiada apa yang mustahil dan apa ingin dibuat boleh dilakukan tetapi harus berusaha.
"Begitu jugalah cara saya bekerja dalam NGO, walaupun ada cabaran dan rintangan, usaha dan kerja keras tetap diteruskan. Alhamdulillah, kepercayaan terhadap saya sama ada dari jabatan kerajaan, pertubuhan dan sebagainya sentiasa ada. Mungkin mereka dapat melihat hasilnya dan lagipun, apa yang saya buat bukan untuk diri sendiri tetapi untuk masyarakat dan kerajaan. Bertahun-tahun saya dalam NGO memberikan saya banyak kepuasan apatah lagi apa yang dibuat berjaya direalisasikan," katanya.
PROFIL:
- Dilahirkan di Kampung Kelanang, Batu Laut, Kuala Langat, Selangor pada 18 Mei 1936
- Anak sulung daripada sembilan beradik
- Suami, Abdul Rahman Ali
- Anak-anak: Prof Dr Zurin Adnan, Zurin Azlan dan Zurin Azrai.
- Pendidikan
Sekolah Melayu Sungai Pelek, Sepang (1942- 1945), Sekolah Melayu Bagan Lalang, Sepang Kecil (1945-1946), Sekolah Methodist Perempuan, Kuala Lumpur (1947-1955), Sekolah Menengah St John's, Kuala Lumpur (1957-1960), Universiti Malaya, Singapura (1960-1961).
- Kerjaya
Juruhebah sambilan di Radio Malaysia (1951-1961), Pembantu Program Radio Televisyen Malaysia (RTM) (1961-1965), Pengelola Program Inggeris RTM (1965-1968), Pegawai Ensaiklopedia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (1968-1971), Timbalan Ketua Bahagian Buku Teks DBP (1971-1974),
Setiausaha Politik Menteri Kebajikan Masyarakat (1974-1978).
- Kerjaya Politik
Wakil Rakyat Permatang, Selangor dan Exco wanita pertama Selangor (1978- 1982), Ahli Parlimen Tanjong Karang (1982-1986), Ahli Parlimen Selayang (1986-1995), Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah (Ogos 1986), Timbalan Menteri Pengangkutan (Mei 1987-April 1995), Ahli Parlimen Gombak (April 1995-Nov 1999), Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat (Mei 1995-Disember 1999).
- UMNO:
Ahli sejak 1968, Exco Wanita UMNO (Jun 1974-1982), Ketua Wanita UMNO Bahagian Setapak (1974), Pengerusi Badan Perhubungan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan (1977-1978), Ahli Majlis Tertinggi (1978-1984), Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Wanita Umno Selangor (1978-1984), Ketua Penerangan Wanita Umno (1988-1996), Ketua Wanita Umno Selayang (1986-1994), Ketua Wanita Umno Selangor (1987-1996), Ketua Umno Bahagian Gombak (1994-1998), Ahli Majlis Tertinggi Umno (1996-2000).
Ketabahan Kate Jackson
Berita Harian, Rabu 5 Julai 2000
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Ketabahan Kate Jackson
Bintang Charlie's Angel bantu Hamilton kekalkan prestij
KATA orang, perjalanan masa mampu mengubah segalanya dan menjadikan seseorang itu semakin matang dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Hakikat ini sudahpun dapat dirasai oleh pelakon barat, Kate Jackson yang namanya begitu sinonim dengan Charlie's Angels, salah satu siri rancangan popular pada penghujung 1970-an.
Perjalanan hidup dilalui oleh pelakon yang begitu diminati ramai suatu ketika dulu ini, banyak mencatatkan beberapa peristiwa pahit dan manis. Ini termasuklah kisah penderitaannya melawan penyakit barah buah dada yang dihidapinya. Hasil pemeriksaan mamogram pada penghujung 1980-an mengesahkan bahawa Jackson mengidapi penyakit itu.
Berperang dengan maut, Jackson tiada jalan lain kecuali terpaksa menjalani pelbagai siri rawatan. Namun, semua itu dilaluinya dengan tabah dan beliau sedaya upaya cuba menerima suratan itu secara positif. Walaupun ada ketikanya, beliau sendiri berasa takut untuk mengetahui keadaan nasibnya untuk hari-hari akan datang.
Malah, ketika dilanda resah, beliau pernah berkata; "Saya kini tidak mempunyai potongan badan yang menarik tetapi masih boleh memakai gaun untuk majlis makan malam." Luahan itu mungkin sekadar untuk menyenangkan hatinya tetapi sedikit sebanyak memberikan kekuatan pada dirinya.
Bahagia bersama anak
Satu lagi kisah hidup Jackson yang menjadi perhatian media adalah mengenai beliau dan anak angkatnya. Jackson yang gagal mendapatkan anak sendiri selepas mencuba berbelas tahun, mengambil anak angkat lelaki bagi mengisi kekosongan hidupnya.
Beliau dikatakan, sanggup melaburkan sejumlah wang yang banyak untuk memenuhi hasratnya mendapatkan anak angkat itu. Malangnya, kegembiraan hanya sementara apabila tiba-tiba teman lelaki ibu bayi berkenaan cuba memeras ugutnya bagi mendapatkan wang. Jackson terpaksa berusaha keras mempertahankan haknya dan menangani masalah itu.
Tetapi semua kisah itu sudah pun jauh berlalu. Jackson yang ditemui di Switzerland baru-baru ini, dengan ceria memberitahu beliau kini hidup bahagia bersama anak lelakinya.
"Kehidupan saya baru bermula kembali dengan ditemani anak lelaki dan juga azam dan semangat baru. Saya mencari peluang baik untuk masa hadapan," katanya riang.
Bagaimanapun, Jackson yang kini menjadi ibu tunggal dan mempunyai dua anak, enggan bercerita lanjut mengenai keluarganya. Beliau lebih selesa dan terbuka bercerita mengenai apa yang dilakukannya kini.
Imbas kegemilangan
Pelakon yang dilahirkan di Birmingham, Alabama ini juga gembira bercerita dan mengimbas kegemilangannya dalam siri Charlie's Angels iaitu siri drama penyiasatan wanita yang pernah disiarkan di televisyen di negara ini.
Katanya, kehebatan dan keberanian tiga polis wanita Sabrina, Kelly dan Cindy menghapuskan penjenayah dalam siri popular itu menunjukkan wanita berupaya melakukan sesuatu yang mencabar.
"Dalam zaman moden ini, adalah penting untuk wanita mempunyai pemikiran yang bijak dan cekap dalam segala serba serbi. Saya lihat wanita hari ini lebih berkeyakinan tinggi dan tahu apa yang mereka lakukan dan inginkan. Peluang yang lebih luas pada masa kini memungkinkan wanita untuk mencapainya. Saya juga berharap wanita lebih bersikap positif dalam menghadapai sebarang cabaran," ujarnya.
Jackson yang memegang watak sebagai Sabrina dalam siri itu berkata, selain serasi dengan watak yang diberikan, beliau juga seronok dapat menceduk banyak pengalaman sepanjang siri penggambarannya.
"Saya gembira dapat mencuba dan melakukan banyak adegan yang mencabar. Dan yang paling saya hargai, erti persahabatan yang ditonjolkan dalam siri itu. Bagi saya, persahabatan yang baik datang dari hati yang jujur. Oleh itu, saya harap jangan ada wanita menikam dari belakang wanita yang lain. Sebaliknya, kita mesti sama-sama membantu antara satu sama lain," ujarnya lagi yang turut gembira, Charlie's Angels dirakam semula untuk siri baru.
Pelakon yang juga terkenal dalam siri "The Scarecrow and Mrs King ini,memulakan babak baru dalam dunia seni lakonan yang sekian lama diceburinya. Tetapi kini, Jackson bukan sebagai pelakon sebaliknya, berdiri di belakang kamera untuk mengarah siri drama, "Dead Man's Gun".
Bekerjasama dengan Hamilton
Selain itu, terbaru mengenai Jackson, beliau kini bekerjasama dengan jenama jam Hamilton dari The Swatch Group untuk melancarkan semula jenama itu. Sebelum ini, Hamilton memang begitu terkenal di kalangan selebriti di Hollywood dan Jackson dipilih untuk meneruskan kesinambungan tradisi itu.
Sementara, Presiden Hamilton, Yann Gamard turut memuji ciri peribadi yang dimiliki oleh Kate Jackson. Katanya, karektor yang dipaparkan oleh pelakon itu dalam siri Charlie's Angels menyebabkan beliau dikenali di seluruh dunia sebagai antara simbol wanita moden.
Malah, Jackson dianggap berperanan penting membawa perubahan dalam masyarakat dan menerusi wataknya dalam siri Charlie's Angels beliau sentiasa menunjukkan contoh bagaimana wanita seharusnya memainkan peranan masing-masing.
"Jackson bukan saja dikenali wanita cantik dan tabah tetapi berjaya membantu wanita lain untuk berperanan lebih penting dalam masyarakat," ujarnya.
Menurut Gamard, dengan ciri dan personaliti yang ada pada Kate Jackson menyebabkan beliau terus diminati seperti mana siri televisyen berkenaan.
"Hamilton dan Charlie's Angels gandingan semula jadi. Kedua-duanya sentiasa ingin menonjolkan wanita secara positif. Kebetulan Hamilton adalah jenama jam yang pertama, mengeluar dan mereka bentuk jam yang khusus untuk wanita. Hamilton sentiasa memberikan komitmen tingga kepada pengguna wanita dan ia bermula sejak 1908 dan berterusan hingga kini," jelasnya.
Beliau menambah, Jackson akan membantu Hamilton untuk menyingkap keunikan dan keistimewaan tiga koleksi baru rangkaiannya iaitu Marilyn, Llyod Chrono dan Khaki Action Silver.
"Jam Hamilton turut dipilih untuk menaja siri Charlie's Angels yang dirakam semula untuk siri baru pada abad ini. Pelakon yang menjayakan siri itu akan menggayakan beberapa koleksi terpilih Hamilton," katanya.
Gamard turut memberitahu, Hamilton bukan saja dikenali dengan rekaannya unik tetapi teknologi baru yang diperkenalkan. Dengan penampilannya yang istimewa, jenama berkenaan amat diminati di kalangan selebriti dan karyawan filem di Amerika yang merangkumi aktor lelaki dan wanita, pengarah, produser dan lain-lain lagi.
Beliau berkata, dengan kehebatan jenama dan populariti selebriti yang memakainya, Hamilton akan diperkenalkan dan dilancarkan di Malaysia pada bulan Jun ini. Beliau yakin, peminat dan pengumpul jam di negara ini akan meminati dan memiliki jam Hamilton.
Tuesday, February 12, 2013
Berita Harian Khamis, Jun 28, 2012
Manfaat 10 saat
Oleh Nor Affizar Ibrahim
MENANGANI masalah terkucil atau kebocoran air kencing akibat lemah kawalan pundi kencing (LUL) tidaklah serumit disangka oleh kebanyakan wanita.
Masih ada pilihan dan cara menanganinya, sekali gus boleh mengelakkannya sebagai gejala yang mungkin boleh memalu serta mengehadkan atau menjejaskan rutin kehidupan harian.
Apa yang pasti, terpulang kepada wanita sama ada memahami masalah itu lebih mendalam, belajar cara mengawalnya atau berdepan dengan tekanan emosi.
Ahli Fisioterapi Kanan (Kesihatan Wanita), Neng Shahidah Sabullah, berkata wanita bermasalah LUL, penting untuk melakukan senaman lantai pelvik yang juga dikenali sebagai senaman kegel kerana ia rawatan utama bagi wanita berdepan gejala itu.
Neng Shahidah berkata, senaman kegel ialah latihan mengecutkan dan mengendurkan otot lantai pelvik secara kerap. Ia bukan saja mudah dilakukan, malah orang lain tidak akan menyedari individu itu melakukannya.
Katanya, senaman ini fungsinya untuk menguatkan bahagian pelvik yang menyokong vagina, uteres dan usus. Apabila lantai pelvik kuat, wanita boleh mengelakmasalah terkucil.
Bagaimanapun, katanya penting untuk memastikan posisi badan pada keadaan betul ketika melakukan senaman berkenaan untuk memastikan teknik digunakan memberi kesan kepada wanita terbabit.
"Untuk melakukan senaman kegel dengan betul, pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian, kemutkan otot pelvik seakan anda cuba untuk menahan kencing. Tahan otot itu selama 10 saat semasa bernafas secara normal, kemudian rileks. Ulangi sebanyak 10 kali, tiga kali sehari," katanya menerangkan teknik betul melakukan senaman kegel ketika ditemui selepas pelancaran kempen pendidikan, Kami Juga Mengalaminya di Damansara Perdana, baru-baru ini.
Kempen pendidikan bersempena minggu Kontinens Sedunia 2012 itu anjuran Poise dan ia bertujuan meningkatkan kesedaran wanita Malaysia mengenai masalah LUL serta mengambil langkah proaktif menanganinya.
Neng Shahidah berkata, senaman kegel secara kerap akan membantu menguat, melaraskan dan memperbaiki kedudukan otot lantai pelvik iaitu otot berbentuk buaian yang meregang merintangi lantai pelvik.
"Berdasarkan pengalaman saya membantu wanita mengalami masalah LUL, didapati jika melakukan senaman kegel secara kerap dan betul, keberkesanan untuk mengatasinya adalah 100 peratus. Tetapi setiap individu akan mengambil masa berbeza. Mereka berusia 30 hingga 40 tahun mungkin mengambil masa hanya tiga bulan, manakala berusia lebih 40 hingga 70 tahun, ada yang memerlukan empat hingga enam bulan," jelasnya. Tambahnya, program senaman kegel dikendalikan ada beberapa jenis senaman dan diperkenalkan secara peringkat mengikut perkembangan wanita terbabit. Bagaimanapun, katanya ada tiga posisi badan yang boleh digunakan untuk melakukan kegel iaitu berdiri, duduk dan baring.
Jika berdiri pastikan badan berada dalam keadaan tegak, untuk posisi duduk pula kaki perlu dibuka sedikit dan duduk dengan selesa tanpa bersandar, begitu juga jika berbaring perlu lurus, kepala memandang tepat pada siling dan kaki dibuka sedikit.
"Posisi badan yang bengkok akan menambahkan tekanan pada otot lantai pelvik dan ini akan menyebabkan otot berkenaan menjadi lebih kendur," ujarnya.
Neng Shahidah menyarankan, wanita yang ingin memulakan senaman kegel boleh menggunakan posisi baring sebagai permulaan dan kemutan yang dibuat perlu ditahan selama 10 saat dan jika boleh barulah mengubahnya mengikut kesesuaian diri.
Malah, katanya penting untuk bernafas seperti biasa ketika melakukan senaman itu dan salah untuk menahan nafas ketika melakukan kemutan kerana ia akan memberikan kesan pada pundi kencing dan rahim.
Katanya, wanita baru bersalin digalakkan melakukan senaman berkenaan seawal enam minggu selepas bersalin kerana proses melahirkan boleh memberikan otot lantai pelvik kerana sewaktu proses meneran dan mengeluarkan bayi ia menyebabkan bukaan besar pada bahagian berkenaan.
"Memastikan otot di bahagian berkenaan pulih semula, penting bagi wanita melakukan Kegel selain ia mempercepatkan proses penyembuhan akibat luka bersalin. Senaman ini sesuai dilakukan semua wanita termasuk yang bersalin secara pembedahan mahupun yang sedang hamil," katanya.
Mengenai wanita aktif yang suka bersukan sehingga dikatakan menyebabkan LUL. Neng Shahidah berkata, wanita mempunyai otot lantai pelvik yang baik, LUL biasanya jarang berlaku, sama ada anda bersenam atau bersukan.
"Aktiviti seumpama itu tidak akan menyebabkan LUL. Bagaimanapun, mereka lakukan tekanan peningkatan di kawasan intraabdomen dan organ pelvik yang merangkumi rahim, pelvis dan rektum. Jadi cara terbaik untuk membantu wanita mengalami LUL semasa menjalankan atau bersukan juga disaran, mengamalkan senaman kegel berkesan," katanya yang turut menasihatkan segera berjumpa doktor jika masih berlaku masalah kebocoran walaupun sudah bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup.
`Ramai malu, berdiam diri'
MASALAH `terkucil' atau kebocoran air kencing dalam kalangan wanita bukan gejala baru, sebaliknya masalah biasa. Ini berikutan, 1 dalam 4 wanita sekurang-kurang sekali dalam hidup mereka akan berdepan dengan masalah itu.
Sesetengah wanita terkucil beberapa titik air kencing ketika bersin, batuk, ketawa atau bersenam dan ada yang mengalami perasaan ingin terkencing sebelum terkucil secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, hakikatnya pada masa kini, masih ramai mengambil sikap berdiam diri dan lebih cenderung menderita sendirian apabila berdepan masalah kebocoran air kencing.
Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian, berkata keadaan inkontinens terjadi apabila ada masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.
"Pundi kencing menyimpan air kencing. Ia boleh mengembang untuk menampung 350 mililiter (ml) hingga 550 ml air kencing. Individu biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 150 ml hingga 200 ml. Desakan buang air kecil meningkat apabila isi pundi kencing bertambah kepada 250 ml hingga 300 ml dan apabila ia mencapai 500 mililiter, pundi kencing perlu dikosongkan segera," katanya melalui video bagi kempen pendidikan, `Kami Juga Mengalaminya'.
Pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat iaitu pengisian serta penyimpanan air kencing dan peringkat kedua iaitu pengosongan pundi kencing.
Ketika pembuangan air kencing, otot yang `memegang' pundi (dipanggil otot sphincter) dalam keadaan rehat, manakala otot pundi kencing pula mengecut supaya air kencing boleh ditolak keluar memasuki salur kencing (uretra).
"Untuk betul-betul mengosongkan pundi kencing, otot pundi dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pada pundi, otot spinchter atau saraf, menyebabkan masalah ini dan bagi orang yang ada masalah lemah pundi kencing, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun pundi kencing tidak penuh," katanya.
Dr Seri Suniza memberitahu, LUL lebih biasa dalam kalangan wanita, terutama mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas. Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang membimbangkan, di samping berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat, terdapat perkara mudah boleh dilakukan untuk menguruskan keadaan.
"Salah satu cara ialah mengambil makanan seimbang supaya anda boleh mengawal berat badan dan elakkan minuman sejuk yang boleh menyebabkan batuk. Anda juga harus mengelakkan minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang menyebabkan kerengsaan pundi kencing. Anda juga perlu melegakan diri hanya sekali setiap dua hingga tiga jam pada waktu siang dan amalkan latihan kegel dengan betul," katanya.
Dr Seri Suniza berkata, wanita yang kerap melegakan diri mereka tetapi setiap kali berbuat demikian hanya dalam kuantiti kecil adalah satu keadaan, dipanggil kencing terlalu aktif dan ditakrifkan sebagai untuk melegakan diri lebih daripada tujuh kali pada siang hari.
Katanya, kencing terlalu aktif boleh disebabkan oleh saraf yang rosak di dalam pundi atau keadaan sistem saraf pusat itu seperti penyakit, parkinson, sklerosis berbilang dan demensia.
"Kadang-kadang ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan batu karang buah pinggang, atau pertumbuhan dalam pundi kencing," ujarnya.
Menjelaskan mengapa wanita hamil mengalami LUL, Dr Seri Suniza berkata, semasa hamil rahim yang semakin membesar adalah disebabkan oleh tekanan pada pundi kencing. Justeru, tidak mengejutkan wanita hamil sering mengalami LUL, terutama apabila batuk atau bersin.
Bagaimanapun, katanya masalah ini boleh berterusan selepas bersalin apabila otot lantai pelvik lemah akibat proses melahirkan anak. Kadangkadang, bersalin juga boleh merosakkan saraf di uretra atau pundi kencing, malah menukar kedudukan pundi kencing atau kerosakan otot lantai pelvik.
"Bagi wanita yang mengalami LUL walaupun tanpa melalui kehamilan atau kelahiran anak, masalah terletak pada pundi sendiri. Ia boleh diperbetulkan melalui perubahan gaya hidup. Sebagai contoh, jika mereka mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mereka perlu mengawal pemakanan. Mereka juga perlu mengelakkan minuman berkarbonat dan minuman yang boleh mengganggu pundi kencing," katanya.
INFO
Anda alami LUL?
Untuk mengenali amaran yang diberikan pundi kencing anda, jawab soalan di bawah:
1 Adakah anda mengalami masalah terkencing ketika melakukan aktiviti fizikal (mengangkat objek berat, bersenam atau menukar posisi daripada duduk ke berdiri, tidur ke duduk dan sebagainya)
2 Adakah anda mengalami masalah terkencing ketika bersin, batuk atau ketawa?
3 Adakah anda bangun buang air kecil, lebih daripada dua kali pada waktu malam?
4 Adakan anda selalu mengalami keinginan mendadak untuk membuang air kecil tetapi tidak sempat ke bilik air?
5 Adakah anda biasanya membuang air kecil lebih dari lapan kali sehari?
* Jika anda menjawab `Ya' kepada satu atau lebih soalan, anda mungkin mengalami gejala lemah kawalan kencing.

Adik Obama
Berita Harian, Isnin Jun 18, 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Adik Obama
TUTUR bicaranya teratur dan biarpun hanya 20 minit bertentang mata, keramahannya sudah cukup terserlah. Apabila disapa mengenai keletihan yang terpancar pada wajahnya, pantas dijawab sememangnya itulah yang dirasakan ketika itu. Namun, riak wajahnya masih tampak tenang dan sesekali melemparkan senyuman dan bersemangat menjawab soalan, terutama apabila berbicara mengenai dunia pendidikan dan pengalamannya datang ke Malaysia.
Itulah personaliti milik Dr Maya Soetoro-Ng. Mungkin asing namanya, tetapi selain bergelar pakar pendidikan East-West Center (EWC) Amerika Syarikat (AS), wanita manis ini turut membawa status dirinya sebagai adik tiri kepada antara pemimpin berpengaruh dunia - Presiden AS, Barack Obama.
Dilahirkan pada Ogos, 1970 di Jakarta, Indonesia, bapa Maya, Lolo Soetoro manakala ibu, Stanley Ann Dunham juga adalah ibu Obama.
Mentua asal Malaysia
MAYA sudah berkahwin dan suaminya, Profesor Konrad Ng, warganegara AS dan anak kelahiran Cina-Kanada yang mana ibu bapanya dilahirkan serta dibesarkan di Malaysia sebelum berhijrah ke Kanada.
Perkahwinan mereka dikurniakan dua anak perempuan, Suhaila dan Savita, berusia lapan dan empat tahun.
Selain fasih berbahasa Inggeris dan Indonesia, wanita bermata bundar dan berambut hitam lebat ini juga boleh bertutur bahasa Sepanyol.
Kehadiran Maya, 42, ke ibu negara baru-baru ini, ternyata membawa jalinan hubungan dan makna tersendiri antara Malaysia dengan AS, khususnya dalam perkongsian serta memperkasakan dunia pendidikan.
Lebih menarik, kehadiran kali pertama ke sini juga ibarat menjadi sebahagian `jejak kasih' wanita berkulit cerah, berambut panjang dan bermata bundar ini ke bumi Malaysia yang juga menjadi tanah kelahiran mentuanya.
"Saya berjumpa dan beramah mesra dengan ramai orang, malah ada banyak perkara menyeronokkan di sini. Ini kunjungan pertama ke Malaysia, tetapi keluarga suami sebenarnya berasal dari Sabah dan ini menjadikan kedatangan saya ke sini sebagai sebahagian cerita keluarga saya.
"Berada di Malaysia membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri," katanya dalam pertemuan dengan penulis dan rakan media tempatan lain, baru-baru ini.
Maya di Malaysia bagi lawatan enam hari sebagai perwakilan EWC, pendidikan dan organisasi penyelidikan yang berpangkalan di Honolulu, Hawaii, bagi mengukuhkan hubungan AS di rantau Asia Pasifik. Hadir sama, dalam sesi bertemu media tempatan, adalah Pengarah EWC, Terence W Bigalke dan Presiden EWC, Charles E Morrison serta Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin.
Menelusuri latar belakangnya, Maya pernah mendapat pendidikan awal di Indonesia dan kemudian di Hawaii selain bergelar graduan Barnard College di Manhattan, New York. Graduan sarjana bahasa Inggeris dari New York University serta ijazah kedoktoran dalam pendidikan perbandingan antarabangsa dari University of Hawaii.
Selain pakar pendidikan, Maya juga dikenali sebagai penulis, penyelidik dan pakar perunding pendidikan. Pengalaman mengajarnya juga luas daripada guru sejarah sekolah menengah La Pietra; Hawaii School for Girls dan Education Laboratory School, kedua-dua di Honolulu, Hawaii.
Beliau juga pernah mengajar dan membangunkan kurikulum di The Learning Project, sekolah menengah awam alternatif di New York City dari 1996 hingga 2000.
Maya memberitahu, beliau melihat Indonesia dan Malaysia banyak persamaan, malah masing-masing kaya dengan sejarah tersendiri.
Perkasa program pendidikan
"BANYAK persamaan. Antaranya Malaysia dengan Indonesia mempunyai identiti tempatan yang begitu kuat termasuklah dari segi kesenian tradisional, muzik, budaya dan tradisi intelektual. Selain itu, keduadua negara juga sudah pastinya mempunyai makanan sedap belaka. Semua itu menjadi satu kelebihan yang turut membentuk hubungan kuat yang bukan saja dalam keluarga tetapi dikongsi bersama dengan semua," katanya.
Sehubungan itu, Maya turut meletakkan harapan kunjungannya ke Malaysia dapat mewujudkan hubungan persefahaman, berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan serta idea khususnya mengenai usaha memperkasakan program pendidikan dan mewujudkan pendidikan harmoni global.
Tambahnya, pendidikan pelbagai budaya dan merentasi global membolehkan individu memahami subjek, termasuk identiti, sejarah dan peristiwa semasa, dari mata pelbagai pandangan.
"Di sini, di Malaysia dan di AS serta Indonesia, orang berfikir mengenai identiti dan hubungan mereka dalam politik, ekonomi atau di seluruh dunia. Dengan menggalakkan perbincangan ini dan berkongsi bahasa, seni dan budaya akan membantu untuk memupuk empati dan meningkatkan rasa kekitaan antara satu sama lain. Ia juga akan meningkatkan kemungkinan untuk kerjasama, sama ada sekolah, universiti, NGO atau kerajaan," ujarnya sambil menambah, individu boleh mengekalkan atau identiti budaya sendiri selain membangunkan identiti baru di peringkat serantau dan antarabangsa.
Negara contoh iktiraf wanita
BERKONGSI pengalamannya melawat dan berdiskusi dengan pelajar sekolah dan kolej Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Universiti Islam Antarabangsa, Maya berkata, beliau kagum melihatkan bilangan pelajar wanita lebih ramai daripada lelaki.
Katanya, kemasukan ramai wanita di pusat pengajian tinggi di negara ini, sekali gus menjadikan Malaysia contoh terbaik kerana memberi peluang yang banyak dan mengiktiraf daya intelektual dan potensi.
"Ini memberikan potensi besar untuk wanita tempatan memberikan sumbangan mereka kepada masyarakat. Namun, sering berlaku selepas mendapat peluang pendidikan dan apabila sudah bergelar ibu, sukar untuk mereka terus kekal dan berterusan memberikan sumbangan. Justeru, saya fikirkan salah satu kriteria utama dan harus difikirkan ialah memastikan bagaimana untuk mengekalkan wanita ini terus berada dalam dunia pekerjaan dan memberi sumbangan sekalipun sudah berhenti," katanya.
Maya turut menegaskan, pendidikan adalah penting dan berkuasa untuk semua wanita serta menjadi pemacu utama dalam memperkasakan diri. Ia seharusnya bermula seawal usia kanak-kanak lagi. Pada masa sama, beliau turut memuji usaha Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif membangunkan sistem pendidikan negara, terutama melalui program PERMATA Negara.
Ibu jadi idola
BAGI Maya, mendiang ibunya, ahli antropologi yang juga bekerja di EWC dan berpengalaman hidup selama bertahun-tahun di Jakarta, memberikan contoh dan berperanan penting dalam membentuk pendekatan sebagai pendidik kedamaian.
"Ibu dan bapa saya bersikap terbuka. Ibu berasal dari AS bertemu jodoh dengan bapa. Walaupun ibu lahir dari negara yang jauh dan datang ke Indonesia tanpa mengetahui banyak perkara, tetapi dia dapat berkongsi cerita dan cuba memahami apa yang diperlukan dengan bersikap terbuka dengan semua orang dari serata dunia dan menjadikan rumahnya di Indonesia.
"Ibu jatuh cinta dengan Asia Tenggara dan akhirnya menetap di situ sehinggalah dia meninggal dunia. Dia belajar, masak, bekerja dan memahami antara satu sama lain dengan semua orang dari serata dunia. Saya berharap kita dapat lahirkan lebih ramai orang bersikap dan berpandangan umum dan global seperti ibu," katanya mengimbas kenangan dan bangga contoh ditunjukkan mendiang ibu kandung.
Maya yang sembilan tahun lebih muda daripada Obama dan mempunyai hubungan akrab dengan saudara tirinya itu berkata, abangnya kekal mempunyai jati diri kuat dalam hidupnya walaupun mereka kerap tinggal berjauhan.
"Beliau adalah seorang lelaki yang luar biasa dan ahli politik kerana beliau mengambil pandangan praktikal dalam sesuatu perkara.
"Beliau mampu mendengar apa orang kata dan boleh dibawa berunding. Beliau juga memahami sangat mencabar untuk membuat semua orang gembira.
"Namun, saya yakin beliau tahu bahawa beliau sudah melakukan terbaik untuk bergerak ke hadapan. Keupayaannya tinggal dalam dunia pelbagai etnik kompleks membantunya mengenal pasti landskap penduduk AS," katanya.

Monday, February 11, 2013
Selamat Datang Ke Blog Saya
Assalammualaikum!
Hai Saya Affizar
Selamat datang ke affizar'sCorner untuk kita berkongsi ilmu,pandangan,pendapat atau apa saja yang memberi manfaat dan membawa kebaikan.
affizar'sCorner adalah kompilasi artikel-artikel saya yang pernah tersiar di media. Selamat membaca!
Subscribe to:
Posts (Atom)
BEBAN NAFKAH
Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...
-
Berita Harian, Selasa Mei 14, 2002 Oleh Nor Affizar Ibrahim Kain sarung warisan bangsa SARUNG adalah pakaian tradisional masyarakat...
-
Berita Harian, 14 Julai 2011 Oleh Nor Affizar Ibrahim Pilih ketam terbaik KETAM walaupun agak sukar untuk dimakan kerana berkul...
-
Berita Harian, Khamis Januari 11, 2007 Oleh Nor Affizar Ibrahim Konflik tagih cinta isteri orang KISAH wanita belum berkah...