Tuesday, February 13, 2018

MANFAAT 10 SAAT


Berita Harian, Khamis, Jun 28, 2012



Manfaat 10 saat


Oleh Nor Affizar Ibrahim


MENANGANI masalah terkucil atau kebocoran air kencing akibat lemah kawalan pundi kencing (LUL) tidaklah serumit disangka oleh kebanyakan wanita.
Masih ada pilihan dan cara menanganinya, sekali gus boleh mengelakkannya sebagai gejala yang mungkin boleh memalu serta mengehadkan atau menjejaskan rutin kehidupan harian.
Apa yang pasti, terpulang kepada wanita sama ada memahami masalah itu lebih mendalam, belajar cara mengawalnya atau berdepan dengan tekanan emosi.
Ahli Fisioterapi Kanan (Kesihatan Wanita), Neng Shahidah Sabullah, berkata wanita bermasalah LUL, penting untuk melakukan senaman lantai pelvik yang juga dikenali sebagai senaman kegel kerana ia rawatan utama bagi wanita berdepan gejala itu.
````Neng Shahidah berkata, senaman kegel ialah latihan mengecutkan dan mengendurkan otot lantai pelvik secara kerap. Ia bukan saja mudah dilakukan, malah orang lain tidak akan menyedari individu itu melakukannya.


Senaman Kegel

Katanya, senaman ini fungsinya untuk menguatkan bahagian pelvik yang menyokong vagina, uteres dan usus. Apabila lantai pelvik kuat, wanita boleh mengelakmasalah terkucil.
``Bagaimanapun, katanya penting untuk memastikan posisi badan pada keadaan betul ketika melakukan senaman berkenaan untuk memastikan teknik digunakan memberi kesan kepada wanita terbabit.
``"Untuk melakukan senaman kegel dengan betul, pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian, kemutkan otot pelvik seakan anda cuba untuk menahan kencing. Tahan otot itu selama 10 saat semasa bernafas secara normal, kemudian rileks. Ulangi sebanyak 10 kali, tiga kali sehari," katanya menerangkan teknik betul melakukan senaman kegel ketika ditemui selepas pelancaran kempen pendidikan, Kami Juga Mengalaminya di Damansara Perdana, baru-baru ini.
Kempen pendidikan bersempena minggu Kontinens Sedunia 2012 itu anjuran Poise dan ia bertujuan meningkatkan kesedaran wanita Malaysia mengenai masalah LUL serta mengambil langkah proaktif menanganinya.
Neng Shahidah berkata, senaman kegel secara kerap akan membantu menguat, melaraskan dan memperbaiki kedudukan otot lantai pelvik iaitu otot berbentuk buaian yang meregang merintangi lantai pelvik.
"Berdasarkan pengalaman saya membantu wanita mengalami masalah LUL, didapati jika melakukan senaman kegel secara kerap dan betul, keberkesanan untuk mengatasinya adalah 100 peratus. Tetapi setiap individu akan mengambil masa berbeza. Mereka berusia 30 hingga 40 tahun mungkin mengambil masa hanya tiga bulan, manakala berusia lebih 40 hingga 70 tahun, ada yang memerlukan empat hingga enam bulan," jelasnya. 
Tambahnya, program senaman kegel dikendalikan ada beberapa jenis senaman dan diperkenalkan secara peringkat mengikut perkembangan wanita terbabit. Bagaimanapun, katanya ada tiga posisi badan yang boleh digunakan untuk melakukan kegel iaitu berdiri, duduk dan baring.
Jika berdiri pastikan badan berada dalam keadaan tegak, untuk posisi duduk pula kaki perlu dibuka sedikit dan duduk dengan selesa tanpa bersandar, begitu juga jika berbaring perlu lurus, kepala memandang tepat pada siling dan kaki dibuka sedikit.
"Posisi badan yang bengkok akan menambahkan tekanan pada otot lantai pelvik dan ini akan menyebabkan otot berkenaan menjadi lebih kendur," ujarnya.
  


Posisi barring


Neng Shahidah menyarankan, wanita yang ingin memulakan senaman kegel boleh menggunakan posisi baring sebagai permulaan dan kemutan yang dibuat perlu ditahan selama 10 saat dan jika boleh barulah mengubahnya mengikut kesesuaian diri.  Malah, katanya penting untuk bernafas seperti biasa ketika melakukan senaman itu dan salah untuk menahan nafas ketika melakukan kemutan kerana ia akan memberikan kesan pada pundi kencing dan rahim.

atanya, wanita baru bersalin digalakkan melakukan senaman berkenaan seawal enam minggu selepas bersalin kerana proses melahirkan boleh memberikan otot lantai pelvik kerana sewaktu proses meneran dan mengeluarkan bayi ia menyebabkan bukaan besar pada bahagian berkenaan.
"Memastikan otot di bahagian berkenaan pulih semula, penting bagi wanita melakukan Kegel selain ia mempercepatkan proses penyembuhan akibat luka bersalin. Senaman ini sesuai dilakukan semua wanita termasuk yang bersalin secara pembedahan mahupun yang sedang hamil," katanya.
Mengenai wanita aktif yang suka bersukan sehingga dikatakan menyebabkan LUL. Neng Shahidah berkata, wanita mempunyai otot lantai pelvik yang baik, LUL biasanya jarang berlaku, sama ada anda bersenam atau bersukan.
"Aktiviti seumpama itu tidak akan menyebabkan LUL. Bagaimanapun, mereka lakukan tekanan peningkatan di kawasan intraabdomen dan organ pelvik yang merangkumi rahim, pelvis dan rektum. Jadi cara terbaik untuk membantu wanita mengalami LUL semasa menjalankan atau bersukan juga disaran, mengamalkan senaman kegel berkesan," katanya yang turut menasihatkan segera berjumpa doktor jika masih berlaku masalah kebocoran walaupun sudah bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup.


`Ramai malu, berdiam diri' 


MASALAH `terkucil' atau kebocoran air kencing dalam kalangan wanita bukan gejala baru, sebaliknya masalah biasa. Ini berikutan, 1 dalam 4 wanita sekurang-kurang sekali dalam hidup mereka akan berdepan dengan masalah itu.
Sesetengah wanita terkucil beberapa titik air kencing ketika bersin, batuk, ketawa atau bersenam dan ada yang mengalami perasaan ingin terkencing sebelum terkucil secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, hakikatnya pada masa kini, masih ramai mengambil sikap berdiam diri dan lebih cenderung menderita sendirian apabila berdepan masalah kebocoran air kencing.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Seri Suniza Sufian, berkata keadaan inkontinens terjadi apabila ada masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.
"Pundi kencing menyimpan air kencing. Ia boleh mengembang untuk menampung 350 mililiter (ml) hingga 550 ml air kencing. Individu biasanya terasa hendak buang air kecil apabila kandungan pundi kencing lebih kurang 150 ml hingga 200 ml. Desakan buang air kecil meningkat apabila isi pundi kencing bertambah kepada 250 ml hingga 300 ml dan apabila ia mencapai 500 mililiter, pundi kencing perlu dikosongkan segera," katanya melalui video bagi kempen pendidikan, `Kami Juga Mengalaminya'.
Pembuangan air kencing membabitkan dua peringkat iaitu pengisian serta penyimpanan air kencing dan peringkat kedua iaitu pengosongan pundi kencing.
Ketika pembuangan air kencing, otot yang `memegang' pundi (dipanggil otot sphincter) dalam keadaan rehat, manakala otot pundi kencing pula mengecut supaya air kencing boleh ditolak keluar memasuki salur kencing (uretra).

"Untuk betul-betul mengosongkan pundi kencing, otot pundi dan spinchter perlu bertindak serentak. Kegagalan pada mana-mana bahagian, sama ada pada pundi, otot spinchter atau saraf, menyebabkan masalah ini dan bagi orang yang ada masalah lemah pundi kencing, kebocoran boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun pundi kencing tidak penuh," katanya.

Dr Seri Suniza memberitahu, LUL lebih biasa dalam kalangan wanita, terutama mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas. Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang membimbangkan, di samping berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat, terdapat perkara mudah boleh dilakukan untuk menguruskan keadaan.

"Salah satu cara ialah mengambil makanan seimbang supaya anda boleh mengawal berat badan dan elakkan minuman sejuk yang boleh menyebabkan batuk. Anda juga harus mengelakkan minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang menyebabkan kerengsaan pundi kencing. Anda juga perlu melegakan diri hanya sekali setiap dua hingga tiga jam pada waktu siang dan amalkan latihan kegel dengan betul," katanya.

Dr Seri Suniza berkata, wanita yang kerap melegakan diri mereka tetapi setiap kali berbuat demikian hanya dalam kuantiti kecil adalah satu keadaan, dipanggil kencing terlalu aktif dan ditakrifkan sebagai untuk melegakan diri lebih daripada tujuh kali pada siang hari.
Katanya, kencing terlalu aktif boleh disebabkan oleh saraf yang rosak di dalam pundi atau keadaan sistem saraf pusat itu seperti penyakit, parkinson, sklerosis berbilang dan demensia.
"Kadang-kadang ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan batu karang buah pinggang, atau pertumbuhan dalam pundi kencing," ujarnya.
Menjelaskan mengapa wanita hamil mengalami LUL, Dr Seri Suniza berkata, semasa hamil rahim yang semakin membesar adalah disebabkan oleh tekanan pada pundi kencing. Justeru, tidak mengejutkan wanita hamil sering mengalami LUL, terutama apabila batuk atau bersin.

Bagaimanapun, katanya masalah ini boleh berterusan selepas bersalin apabila otot lantai pelvik lemah akibat proses melahirkan anak. Kadangkadang, bersalin juga boleh merosakkan saraf di uretra atau pundi kencing, malah menukar kedudukan pundi kencing atau kerosakan otot lantai pelvik.

"Bagi wanita yang mengalami LUL walaupun tanpa melalui kehamilan atau kelahiran anak, masalah terletak pada pundi sendiri. Ia boleh diperbetulkan melalui perubahan gaya hidup. Sebagai contoh, jika mereka mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mereka perlu mengawal pemakanan. Mereka juga perlu mengelakkan minuman berkarbonat dan minuman yang boleh mengganggu pundi kencing," katanya.


INFO

Anda alami LUL?

Untuk mengenali amaran yang diberikan pundi kencing anda, jawab soalan di bawah:

1 Adakah anda mengalami masalah terkencing ketika melakukan aktiviti fizikal (mengangkat objek berat, bersenam atau menukar posisi daripada duduk ke berdiri, tidur ke duduk dan sebagainya)

2 Adakah anda mengalami masalah terkencing ketika bersin, batuk atau ketawa?

3 Adakah anda bangun buang air kecil, lebih daripada dua kali pada waktu malam?

4 Adakan anda selalu mengalami keinginan mendadak untuk membuang air kecil tetapi tidak sempat ke bilik air?

5 Adakah anda biasanya membuang air kecil lebih dari lapan kali sehari?

* Jika anda menjawab `Ya' kepada satu atau lebih soalan, anda mungkin mengalami gejala lemah kawalan kencing.





Monday, February 12, 2018

MATA ANIMASI MANGSA ALIRAN KECANTIKAN



Berita Harian, Selasa, Jan 6, 2015

Mata animasi manga aliran kecantikan 2015

Susunan Nor Affizar Ibrahim



Kanta lekap kontroversi yang memperlihatkan mata seseorang itu dibesarkan seperti `mata anime' (anime dipengaruhi gaya gambar manga iaitu komik khas Jepun) dijangka menjadi pengaruh besar bagi aliran kecantikan tahun 2015.
Kanta kosmetik itu adalah sejenis kanta lekap warna diimport dari Asia. Ia menonjolkan pemakainya kelihatan seolah-olah mereka mempunyai mata dibesarkan. Ia dikatakan, bakal menjadi salah satu aliran kecantikan terbesar pada tahun ini apabila popularitinya meningkat, selepas popular pertama kali empat tahun yang lalu.

Bagaimanapun, doktor sudah memberi amaran, kanta kosmetik yang menutup mata putih untuk membuat mata hitam atau anak mata kelihatan lebih besar, boleh menyebabkan jangkitan serius dan kebutaan.
Pada tahun 2010, jurucakap Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika (FDA), Karen Riley, memberitahu New York Times pengguna berdepan risiko kecederaan mata, malah buta apabila mereka membeli kanta tanpa preskripsi yang sah atau bantuan daripada profesional penjagaan mata.


Tidak hirau risiko

Tetapi amaran mengenai risiko kesihatan mata memakai kanta sentuh yang aneh itu seolah-olah tidak menghentikan pengguna daripada membuat kemunculan kembali menggunakan kanta kosmetik berkenaan.
Awal minggu ini, penulis laman kecantikan xoVain, Mari Santos mencuba set kanta kosmetik merah jambu berharga RM116 (USD29) daripada peruncit dalam talian, Pinky Paradise yang berpangkalan di Malaysia. Beliau mengakui, menyukai memakai kanta kosmetik itu.
"Bagi saya, kanta merah jambu kelihatan semula jadi lagi menarik, lembut dan cantik, malah pada dasarnya semua perkara yang dicita-citakan dalam kehidupan.
"Saya suka pemakaiannya kerana memberikan kesan mata sayu dengan hanya serlahkan sedikit merah jambu, tanpa keterlaluan," tambahnya.
Pinky Paradise menjual kanta lekap dalam pelbagai warna bukan tradisional, termasuk kuning, merah, aqua dan putih, semua dalam harga lingkungan RM80 hingga RM120 (USD20 hingga USD30).
Laman ini juga menawarkan variasi kanta lekap yang unik dan pelik seperti menyerlahkan mata kucing yang marah dan sebagainya.

Mata hilang oksigen

Penampilan mata seperti itu menjadi popular di Jepun, Singapura dan Korea Selatan sebelum menjadi aliran utama kepada wanita muda Amerika pada tahun 2010, diilhamkan sebahagiannya oleh mata yang diubahsuai secara digital oleh Lady Gaga seperti dipaparkan dalam video Bad Romance.






KANTA SENTUH UNTUK LEBIH BERGAYA


Berita Harian, Selasa, Februari 8, 2005


Kanta sentuh untuk lebih bergaya


Oleh  Nor Affizar Ibrahim




MATA kucing, harimau, kuda belang dan banyak lagi. Tidak sampai seminit, sepasang mata normal boleh bertukar menjadi mata unik seperti itu. Canggih sekali! Tetapi itulah realiti dunia kecantikan hari ini.
Keghairahan manusia moden untuk menyerlahkan penampilan berbeza dan pelik sekali gus, menjadikan dunia kecantikan hari ini semakin rumit.
Begitu juga dengan revolusi terkini bagi kanta sentuh. Pemakaian kanta sentuh kini bukan saja untuk golongan mempunyai masalah penglihatan tetapi juga demi kecantikan. Maka itu, tercipta pelbagai kanta sentuh yang mempunyai kesan canggih seperti mata haiwan, air dan api selain daripada kanta sentuh berwarna.

Perubahannya memang jelas misalnya, daripada sepasang mata bagaikan orang mengantuk atau mata yang sentiasa kelihatan kecil, kanta sentuh berwarna mampu mengubah penampilan wajah. Mata yang layu pula boleh bertukar menjadi garang atau galak jika mengenakan kanta sentuh seperti mata harimau dan kucing.
Kanta sentuh seumpama itu, memang sesuai dipakai jika ingin bergaya ke parti yang berkonsep atau menggunakan tema tertentu. Hakikatnya, kanta sentuh yang menampilkan pelbagai kesan seper ti mata haiwan mahupun aneka ragam warna akan mendatangkan kesan berbeza pada si pemakai.
Persoalannya, adakah kanta sentuh seumpama itu selamat dipakai, lebih- lebih lagi mata adalah antara pancaindera yang sensitif? 


Pelbagai jenis


Prof Madya, Dr Norhani Mohidin dari Jabatan Optometri, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kanta sentuh atau kanta lekap terus digemari ramai, khususnya remaja dan profesional muda.
Memakai kanta sentuh bukan saja memberi lebih keselesaan dan memudahkan untuk membuat pelbagai aktiviti tetapi menjadikan seseorang itu lebih berkeyakinan, kelihatan muda dan bergaya.


Jika dulu, pemakaian sentuh diperkenalkan kepada mereka yang
menghadapi masalah penglihatan tetapi rimas menggunakan kaca mata, kini kegunaannya semakin popular dalam bidang kecantikan.
Bagaimanapun, katanya ada pelbagai jenis kanta sentuh, termasuk kanta sentuh lembut, separa keras, pakai buang, kosmetik dan terapeutik.
Beliau berkata, hasil kajian rambang di negara ini mendapati, pemakaian kanta sentuh 79 peratus lebih popular di kalangan wanita, 67 peratus berusia 21 tahun ke atas manakala 70.1 peratus bertujuan untuk kecantikan.
"Kanta sentuh adalah alternatif untuk individu yang rabun jauh. Antara kebaikannya ialah memberi kesan medan penglihatan yang lebih luas berban ding memakai kaca mata. Pada masa kini, golongan muda terutama wanita lebih gemar menggunakan kanta sentuh kerana mementingkan kecantikan mahupun penampilan diri yang berdasarkan profesion. Mungkin pemakaian kanta sentuh membantu menukar gaya kehidupan dan membuatkan seseorang itu lebih berkeyakinan berbanding kaca mata," katanya ketika di temui, baru- baru ini.


Tidak faham cara pakai


Dr Norhani berkata, pengguna kanta sentuh di negara ini dijangka akan terus meningkat pada masa hadapan kerana bertambahnya mereka yang menghadapi masalah rabun jauh. Gaya hidup masa kini yang terdedah begitu lama dengan penggunaan komputer dan menghabiskan banyak masa menonton televisyen boleh menjadi antara faktor menyebabkan semakin ramai yang mengalami masalah rabun jauh.
Beliau berkata, memakai kanta sentuh tidak salah dan tidak membawa kesan besar seandainya, cara pemakaian dan penjagaannya mengikut arahan serta nasihat pakar. Begitu juga bagi yang gemar memakai kanta sentuh pelbagai warna dan kesan, tiada halangan untuk memakainya walaupun tidak mengalami masalah penglihatan.
Tetapi katanya, pengguna mesti ingat setiap kanta sentuh adalah berbeza dan sebab itu khidmat pakar optometri diperlukan bagi memastikan tiada masalah berlaku. Selain itu, sebelum pemakaian kanta sentuh, pemeriksaan mata perlu dilakukan di samping mengetahui mengenai sejarah latar belakang, mata pengguna.
"Apa yang menjadi masalah ialah ada pengguna tidak faham mengenai cara pemakaian dan penjagaannya. Selain itu, ada yang mendapatkan kanta mata daripada pusat kecantikan yang bukan pakar dalam bidang optometri dan ini sepatutnya tidak boleh berlaku.
"Mata apabila tidak dijaga dengan baik boleh mendapat jangkitan dan menyebabkannya rosak. Pemakai berisiko tinggi untuk mendapat ulser mata dan kesan paling teruk ialah tidak dapat melihat atau menjadi buta. Perkara seperti itulah yang dibimbangi akan berlaku. Oleh itu, pengguna kanta lekap seharusnya peka dan tahu apa yang perlu dilakukan jika rasa tidak selesa atau ada masalah lain ketika memakainya.

"Bagi yang tidak sihat, demam dan selsema misalnya, mesti ingat ketika kesihatan terjejas memang tidak digalakkan memakai kanta sentuh kerana mudah terdedah dengan jangkitan bakteria atau di hinggapi virus," katanya turut memberitahu penjagaan kebersihan kanta sentuh berwarna dan mempunyai kesan khas adalah sama seperti kanta sentuh yang ada kuasa.
Selain itu, kanta sentuh akan terdedah kepada komponen air mata yang lama-kelamaan akan terlekat kepada permukaan kanta dan jika keadaan berterusan. Ini membawa kesan buruk kepada mata. Bagi yang berkongsi kanta sentuh pula terdedah kepada risiko penyakit Hepatitis B dan Aids.


Hadkan masa pemakaian


Dr Norhani berkata, walaupun teknologi kanta sentuh semakin canggih dan kini ada yang boleh dipakai sehingga 24 jam, untuk penjagaan mata pemakaian kanta sentuh sebaik-baiknya dihadkan di antara lapan dan sembilan jam sehari. Jika digunakan melebihi tempoh itu, pengaliran oksigen ke dalam mata akan berkurangan.

"Lazimnya seseorang memakai kanta sentuh lebih daripada tempoh yang ditetapkan iaitu sehingga 12 jam sehari. Ini akan membawa kepada risiko `corneal hypoxia' iaitu kematian sel kornea yang disebabkan oleh kekurangan oksigen. Oleh itu, beri masa untuk mata rehat seketika," katanya.
Beliau berkata, bagi sesetengah kes masalah penglihatan, pemakaian kanta sentuh khas ortokeratologi adalah antara jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasinya. Ini termasuk, masalah terapeutik yang menyebabkan bahagian kornea ada kabus sehingga anak mata tidak kelihatan. Satu lagi ialah masalah keratokonus iaitu secara fisiologi memperlihatkan mata seseorang itu kelihatan tersembul.
"Penggunaan kanta sentuh memang ada beberapa kebaikan terutama, dalam mengatasi masalah seumpama itu. Ia bukan untuk kecantikan semata-mata tetapi mendapatkan kembali bentuk asal mata semula jadi. Bagaimanapun, penggunaan kanta sentuh khas seperti itu tentu lebih mahal berbanding kanta sentuh biasa dan sudah tentu kes seperti itu dirujuk kepada pakar optometri. Harga kanta sentuh khas ortakeratologi ialah RM1,000 berbanding kanta sentuh biasa yang berharga RM200 lebih," katanya.


Panduan pemakaian dan penjagaan kata sentuh:


* Buat pemeriksaan berkala dengan pakar optometri untuk mata dan kanta sentuh.
* Bersihkan dan basmi kuman pada kanta sentuh setiap hari seperti yang disarankan dan pastikan sentiasa dijaga dengan baik.
* Jangan sekali-kali melebihi tempoh pemakaian kanta lekap seperti yang disarankan.
* Jangan pakai kanta sentuh yang sudah rosak.
* Basuh tangan setiap kali hendak memakai kanta sentuh.
* Kuku yang panjang boleh menyebabkan kanta sentuh terdedah kepada kerosakan serta kecederaan ketika memakainya. Bagi mengelakkan kejadian seperti itu, elok berkuku pendek.
* Gunakan pembersih kanta sentuh yang disarankan dan jangan guna air biasa untuk mencuci.
* Sebelum bersolek dan sebelum mencuci solekan, tanggalkan dulu kanta sentuh.
* Tutup kedua-dua mata ketika ingin menggunakan sebarang semburan.
* Jangan pegang kanta sentuh jika membawa bahan kimia.
* Simpan kanta sentuh ke dalam bekas yang sesuai.
* Apabila menyimpan kanta sentuh ke dalam bekas pastikan kanta sentuh itu berada kedudukan di tengah-tengah sebelum menutup bekas berkenaan.
* Jika terdapat gurisan atau apa saja tanda pada permukaan kanta sentuh, elak memakainya.













Wednesday, February 7, 2018

TRAUMA EKZEMA



Berita Harian, Khamis, Mei 24, 2012

Trauma ekzema

Oleh Nor Affizar Ibrahim




IA menyebabkan kulit berasa amat gatal, bintik-bintik atau gelembung kecil kemerah-merahan ketara pada muka, jari tangan kaki di celah-celah paha serta alat kelamin.
Malangnya, biarpun menyebabkan kegatalan dan rasa tidak selesa, tidak ramai yang menyedari masalah dikenali sebagai ekzema ini.

Pakar Perunding Dermatologi dari Jabatan Dermatologi Kuala Lumpur Hospital, Dr Suganthi Thevarajah, berkata berita baik mengenai ekzema ialah ia tidak boleh membawa kematian tetapi yang pasti, boleh menjejaskan kualiti kehidupan.
Dr Suganthi berkata, ekzema juga tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal. Namun, individu yang mengalami ekzema sering mengadu tidak dapat menahan kegatalan.  Apabila ini berlaku, individu terbabit mula menggaru dan akhirnya menyebabkan kulit luka.
Katanya, penyakit ini boleh terjadi disebabkan oleh faktor dalaman seperti genetik, di samping kesan daripada keadaan luaran seperti persekitaran yang tercemar dan tidak bersih.
"Penyakit ini bukan disebabkan makanan tetapi terjadi di antara pesakit itu dengan faktor dalaman dan persekitaran. Malah, ada pesakit ekzema tidak boleh bertoleransi atau ada alahan dengan banyak benda seperti sabun, wangi, tekanan dan cuaca sama ada sejuk atau pun panas.
"Akibatnya, kulit berasa gatal dan dia mungkin berterusan menggaru dan menyebabkan ada virus atau kulat serta boleh membuatkan kulit luka. Selain itu seseorang yang ada asma juga berpotensi mendapat penyakit ini," katanya.

Tidak pernah dengar

Dr Suganthi turut memberitahu, ada perbezaan penyakit ekzema iaitu atopic ekzema, contact dermatitis, scalp dermatitis dan ekzema kaki dan tangan. Di Malaysia risiko penghidap penyakit ekzema kepada kanak-kanak adalah paling ketara.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, mendapati lebih 12 peratus kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas menghidap penyakit berkenaan.
"Satu kajian dilakukan oleh LEO Pharma kepada pesakit ekzema dan penjaga mereka di Malaysia mendapati 75 peratus pesakit pernah mendengar mengenai ekzema tetapi tidak pernah mengetahui dan hanya tahu sedikit maklumat penyakit itu sebelum mereka berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan.
"Sebanyak 15 peratus tidak pernah mendengar penyakit ini dan berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan rawatan manakala 80 peratus penjaga pesakit ekzema pula mempunyai sedikit maklumat dan tidak pernah mengetahui langsung mengenai penyakit itu," katanya.

Berdepan tekanan

Dr Suganhthi berkata, hanya separuh daripada pesakit ini berjaya disembuhkan, tetapi sebahagiannya tidak dapat diubati tetapi hanya boleh mengurangkan melalui pengambilan ubat dan penjagaan kesihatan dengan cara yang betul.
"Kebanyakan penghidap ekzema daripada kalangan orang dewasa dan kanak-kanak menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian mereka dari aspek emosi, psikologi dan sosial. Tompokan merah pada kulit muka dan tangan menyebabkan mereka tidak yakin apabila berhadapan dengan orang ramai.
"Selain itu, kanak-kanak yang menghidap penyakit ini juga selalu dibuli dan diejek oleh rakan mereka menyebabkan berlaku trauma selain produktiviti kehidupan seharian turut menurun. Kajian menunjukkan tahap produktiviti di tempat kerja atau sekolah turun 26 peratus ketika berdepan tekanan ekzema," katanya.
  Tambahnya lagi, malah ada yang berputus asa menangani masalah ekzema dihadapi dan menganggap mustahil untuk mengawalnya, di samping berasa dirinya berbeza dengan orang lain.

Cara penjagaan betul

Dr Suganthi berkata, bagi menangani ekzema pesakit perlu dididik dan diberikan kaunseling mengenai cara menjaga dan merawatnya. Antara langkah boleh diambil ialah mengenalpasti dan mengelakkan faktor yang boleh menyebabkan radang atau kegatalan.



Paling  penting, mesti pastikan penjagaan kulit yang betul dan gunakan minyak pelembut (emolien) sekerap mungkin bagi mengelakkan kulit kering. Selain pelembap, penggunaan minyak pelembut juga boleh membantu melicin dan melegakan kulit kering, iritasi dan bengkak. Ini kerana ia menyediakan satu lapisan pada permukaan kulit yang akan mengurangkan kehilangan air dan menghentikan kulit daripada menjadi kering.
"Terapi antiradang yang sesuai perlu digunakan dan jika berlaku jangkitan, cepat buat rawatan menggunakan antibiotik. Rawatan dan penjagaan memerlukan kombinasi streoid topikal dan antibiotik. Bagi jangkitan serius mungkin memerlukan individu itu mengambil oral antibiotik," jelasnya.



Penyakit negara membangun



MUNGKIN ramai beranggapan, penyakit kulit ekzema yang memperlihatkan tanda seperti radang, berasa gatal, kering, ruam merah dan kulit luka adalah masalah lazim dialami masyarakat yang tinggal di negara miskin dan mundur.
Persepsi itu ternyata silap, sebaliknya ekzema adalah masalah utama di negara maju dan membangun. Penyakit kulit ini paling biasa dikaitkan dengan alahan dan disebabkan faktor dalaman seperti diwarisi dari gen serta kombinasi dengan faktor luaran, termasuk alam sekitar sebagai pencetus.

Kajian menunjukkan, kelaziman ekzema kini semakin meningkat di Malaysia terutama kanak-kanak. Kelaziman ekzema dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh tahun di Malaysia adalah 12 peratus.





Kurang kesedaran

Pakar Kulit, Dr Mohd Noh Idris berkata, walaupun ekzema adalah penyakit kulit yang biasa, namun kesedaran umum mengenainya masih kurang.
Beliau berkata, ada beranggapan penyakit itu berpunca daripada masalah penjagaan kebersihan yang buruk dan ada yang membuat beberapa andaian tidak betul mengenai punca penyakit itu.
"Ekzema adalah keadaan penyakit kulit biasa tetapi menyukarkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus dewasa di seluruh dunia iaitu dua dalam setiap 10 orang di Malaysia," katanya.
Dr Mohd Nor yang juga dari Persatuan Dermatologi Malaysia, berkata selain Malaysia, masalah ekzema juga menjadi masalah di Filipina, iaitu tujuh peratus kalangan remaja berumur 13 hingga 14 tahun pernah mempunyai ekzema manakala di Thailand, tiga peratus membabitkan kanak-kanak tujuh tahun.

Tiada penawar

Statistik turut menunjukkan, ekzema di Singapura lazim dialami 22 peratus kanak-kanak berusia tujuh, berbanding 17 peratus yang berusia 12 tahun. Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam kalangan semua empat negara Asean.
"Seramai 50 peratus daripada manifestasi ekzema biasanya hadir sebelum usia satu tahun dan pada usia lima tahun, lebih 80 peratus mengalami masalah penyakit kulit itu," katanya.
Dr Mohd Nor berkata, walaupun tiada penawar untuk ekzema ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan dan pengurusan gaya hidup yang betul bagi menjadikan kehidupan lebih baik.
Katanya, ekzema penyakit yang boleh dilihat dengan jelas, sekali gus boleh memberikan kesan emosi dan mental.
"Rawatan dengan penggunaan ubat-ubatan, bertujuan mencapai pengawalan ekzema dan mengurangkan kegatalan sehingga individu menggaru, kemudian luka dan ada jangkitan. Ia juga memberi kulit peluang untuk sembuh," katanya.



FAKTA


Siapa boleh mendapat ekzema?

* Satu daripada 10 orang mempunyai ekzema pada sesuatu peringkat hidup mereka.
* Anda tidak boleh mendapat ekzema hanya dengan menyentuh seseorang yang mempunyai ekzema kerana ia bukan penyakit berjangkit.
* Penyakit ekzema tidak berjangkit daripada seseorang kepada seseorang.
* Semua peringkat umur boleh terkena ekzema walaupun beberapa jenis ekzema sangat biasan dalam pelbagai jenis peringkat hidup.


INFO


Apakah yang perlu dibuat bagi mengurang atau mengelakkan keradangan?

* Anda seharusnya memakai baju kain kapas atau pakaian yang tinggi kandungan benang kapas. Benang bulu biri-biri dan fabrik sintetik mungkin mencetuskan ekzema. Sebaiknya basuh pakaian menggunakan cecair ataupun serbuk bukan biologi. Elakkan pelembut fabrik.

* Hama rumah adalah alergen dan mungkin penyebab ekzema. Ia hidup atas selimut, perabot lembut, permaidani dan juga langsir. Hama rumah ini boleh dikurangkan dengan sedutan hampa gas setiap hari, menyapu habuk menggunakan kain lembap, menjemur tilam secara kerap dan membasuh cadar dan permainan lembut menggunakan sekurang-kurangnya air suam 60 darjah celsius.

* Kepanasan berlebihan boleh memburukkan ekzema dan patut dielakkan. Elakkan daripada mengguna pemanasan berpusat dan sebaliknya, pastikan bilik anda sesejuk mungkin. Jangan berpakaian berlebihan dengan tidak berasa terlalu sejuk ataupun terlalu panas.

* Hadkan haiwan peliharaan memasuki hanya satu atau dua bilik saja. Haiwan itu harus dilarang daripada tidur di atas katil dan tidak memasuki bilik tidur atau pun bilik air. Gunakan kain kapas bagi haiwan peliharaan ini untuk baring bukan atas permaidani untuk mengelakkan air liurnya meratarata.

* Kerjaya yang mungkin bermasalah bagi penghidap ekzema ialah pendandan rambut, penyediaan makanan, jururawat, pembinaan dan pembersihan.










Tuesday, November 14, 2017

MAKSUD ATAU MAKNA BACAAN DALAM SOLAT

 

 

 MAKSUD ATAU MAKNA BACAAN DALAM SOLAT

 

Takbiratul-Ihram / Takbir

Allah Maha Besar.


Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.


Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...