Thursday, April 11, 2013

Ikon Pemimpin Wanita


Berita Harian, 10 April 2013, Rabu
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Ikon pemimpin wanita 
Ketokohan Margaret Thatcher dikagumi dunia, kini menjadi sejarah



Rambut putih, air muka serius, sikap tegas menjadi identiti dan menggambarkan karakter serta keulungan mengenai wanita besi Britain ini.
      
Ketokohan dalam arena politik dikagumi dunia sekitar abad ke-20. Kewibawaannya disegani lawan dan kawan. Ketrampilannya dalam kepemimpinan pasti terus disimpan kemas dalam lipatan sejarah untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.

Margaret Thatcher, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, bekas Perdana Menteri Britain tidak lagi dilihat kelibatnya selepas meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada usia 87 tahun, Isnin lalu.

Kisah hidupnya yang difilemkan memenangi anugerah Oscar lakonan Meryl Streep berjudul 'The Iron Lady.'


Cemerlang, tegas

Thatcher anak kedua seorang penjual sayur dan penjahit pakaian. Bapanya juga aktif dalam politik tempatan dan memegang jawatan sebagai ahli majlis tempatan, pemimpin gereja dan Datuk Bandar Grantham.
 Thatcher seorang wanita yang cantik dan cemerlang sejak muda. Ketika wanita masih lagi memenuhi.
       
Pada awal pendidikannya, Thatcher mendapat ijazah dalam bidang kimia di Sommerville College dan mendapat gelaran Master of Art dari Universiti Oxford, tetapi beliau tidak puas hati dan mengambil pengajian undang-undang beberapa tahun kemudian serta lulus cemerlang pada 1953 dan diterima sebagai peguam oleh Lincoln's Inn pada 1954.


 Beliau membuat pengkhususan dalam bidang undang-undang percukaian dan pernah bekerja sebagai penyelidik kimia sebelum beralih ke syarikat perindustrian lain.

Thatcher disifatkan seorang yang berhati keras, tegar dan mempunyai daya tahan luar biasa dari segi mental dan fizikal. 
        Beliau tertarik dengan dunia politik kerana sangat mengagumi ayahnya. Kecenderungan  politik akhirnya menyaksikan Thatcher menjadi ahli Parlimen pada 1959 ketika usia 34 tahun selepas memenangi kerusi Finchley di utara London.
Ketika itu Thatcher sudah pun berkahwin dengan Dennis Thatcher dan dikurniakan sepasang anak kembar. Mereka berkahwin pada 1952, tetapi ia tidak pernah menghalang minatnya, sebaliknya kerjaya politik wanita berjiwa kental itu terus bersinar. Padahal, sebelum itu beliau pernah gagal mencapai cita-citanya.
  

Beliau bertanding dalam dua pilihan raya, mewakili Parti Konservatif pada 1950 dan 151. Pelantikan jawatan Kabinet beliau yang pertama bermula pada 1961 iaitu sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pencen dan Insurans Kebangsaan.
  Menjelang usia 44 tahun, beliau berada dalam Kabinet sebagai Menteri Pendidikan dan pada ketika itulah kerjayanya sebagai ahli politik berada di kemuncak.  Seterusnya, Thatcher dilantik sebagai Ketua parti Konservatif yang juga Ketua Pembangkang pada Februari 1975 dan dilantik, Perdana Menteri Britain pada Mei 1979.     

Jolokan Wanita Besi

Pada 1970-an, ketika pergerakan wanita satu kemestian hidup di Amerika Syarikat, Thatcher sudah mencapai kejayaan peribadi dalam apa yang mereka kempen dan melobi, rasa hormat, gaji sama rata, kedudukan kuasa di tempat kerja, dan peluang memperguna kepakaran yang ada.
        Pernah diceritakan, ketika kali pertama memasuki parlimen, Thatcher dipandang aneh oleh rakan seperjuangan lain yang semuanya lelaki.
peranan sebagai suri rumah pada 1950-an, beliau sudah berada di universiti. 

Sememangnya,  ketika itu tidak lazim berlaku wanita berada di tempat itu. Malah, waktu itu tandas dan ruang di dalamnya, sama sekali tidak mesra wanita.
        Jolokan ‘Wanita Besi’  wujud kerana sikap kerasnya. Kedudukannya sebagai pemimpin kerajaan dipertahankan tiga kali. Malah, Thatcher adalah wanita pertama menjadi Perdana Menteri Britain - sebuah kuasa besar dalam mencarta orde dunia.
        Bekas pemimpin politik itu menjadi rujukan kepemimpinan wanita dunia, malah banyak pemimpin wanita yang menjadikan ketegasan, kewibawaannya sebagai aspirasi, seperti Tansu Ciller yang mendapat jolokan `Turkey's Iron Lady'.
   Thatcher juga sering dikatakan sebagai contoh moden kepemimpinan mantap seorang wanita. Beliau dihormati dan disegani bukan saja ahli politik lelaki tetapi wanita. Beliau membuktikan dirinya sebagai pemimpin efektif dan wanita contoh bagi semua wanita.



Dikagumi ramai

  Ketika menguasai tampuk pemerintahan, beliau disukai ramai, tetapi pada masa sama, ramai juga yang membencinya.
     Beliau menarik perhatian dunia terutama selepas berjaya menerajui Britain dalam peperangan dengan Argentina pada 1982.  Beliau memahami ahli politik perlu memberi arahan jelas kepada tentera mengenai matlamat yang hendak dicapai dan membiarkan mereka melaksanakannya.

Seorang laksamana tentera pernah berkata: "Beliau (Thatcher) berpegang kepada kesetiaan, keberanian dan kesungguhan. Pemimpin dari seluruh dunia mula mengakui kaedah dan menilai pencapaiannya dengan teliti dan mereka cuba menirunya."

Salah seorang yang mengagumi beliau ialah Ronald Reagan yang menjadi Presiden Amerika, 18 bulan selepas Thatcher menjadi Perdana Menteri Britain.  

Reagan gemar mengikuti ceramah Thatcher mengenai nilai pasaran atau meminimumkan pergantungan kepada negara.

Hubungan diplomatik Thatcher dengan Malaysia juga baik. Umum mengetahui kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat ketika pentadbiran Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggakan model dasar penswastaan yang diperkenalkan pada zaman Thatcher diguna pakai di negara ini.

Tumbang dan bersara

Thatcher kukuh dalam kedudukannya sehingga 1987. Sebagai perdana menteri, beliau memberi tumpuan kepada pengurangan cukai dan pengurangan perbelanjaan awam.
Buat kali pertama, Britain merasa peningkatan umum dalam pendapatan dan pembaharuan ekonomi menyeluruh ketika penggal pemerintahannya.




Bagaimanapun, popularitinya di Eropah mulai merosot kerana pendiriannya yang tiada tolak ansur dalam isu tertentu. Beliau akhirnya ditumbangkan pada 1990 dan bersara untuk menjadi anggota dewan rakyat saja pada 1992.  

Namun, Thatcher, yang menjadi perdana menteri antara 1979 dan 1990 dikagumi kerana melakukan perubahan di sebuah negara dalam tempoh sedekad dan berjaya meletakkan Britain kembali sebagai negara industri utama dunia.

Beliau mula mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.  Thatcher dimasukkan ke hospital selepas Krismas dan menjalani pembedahan untuk membuang satu ketumbuhan pada pundi kencingnya tetapi dibenarkan pulang ke rumah sebelum sambutan tahun baru.
  
Dalam petikan buku yang ditulis anak perempuannya, ada menyatakan pada 2008 Thatcher mengalami
dementia atau nyanyuk selama lapan tahun dan terpaksa diingatkan bahawa suaminya sudah meninggal dunia.
  Katanya, bagaimana penyakit nyanyuk ibunya menyebabkannya berusaha keras mengingati fakta mudah dalam petikan buku diterbitkan itu.

 Carol turut menulis, ketika hari teruk, ibunya berusaha menghabiskan ayat, namun masih menunjukkan imbasan dirinya, terutama ketika bercakap mengenai masanya di Downing Street.
  “Saya sentiasa mengingati dirinya sebagai wanita yang tidak pernah dimakan usia, tak lapuk dek zaman dan 100 peratus kalis besi," kata Carol dalam memoirnya, A Swim-On Part In The Goldfish Bowl, yang diterbitkan secara bersiri dalam akhbar Sunday Mail.
  

Cita rasa tinggi dalam berfesyen

Dalam sebuah interviu dengan koran The SUN tahun 1979, Thatcher mengatakan bahwa kecantikan wanita tak ada hubungannya dengan kepintaran.

"Anggapan wanita pintar pasti tidak cantik, tentu saja omong kosong. Tak ada hubungannya antara isi otak dengan kecantikan. Banyak wanita yang jauh lebih pintar daripada yang orang lain labelkan padanya," tuturnya.

Meski begitu, Thatcher sendiri termasuk orang yang peduli akan penampilan fisiknya. Bahkan, wanita yang dijuluki Iron Lady itu dikenal selalu ingin tampil sempurna.

"Saya mencuba hanya makan sedikit. Seringkali tidak sarapan, tapi hanya kopi dan susu," katanya

"Sejak remaja, saya memang merawat kulit. Saya tidak pernah menggunakan sabun dan air. Saya menggunakan pembersih untuk menghapus mekap, lalu mengaplikasikan moisturiser dengan baik," tutupnya, seperti dilansir Telegraph.
Penampilan Thatcher dengan pelbagai fesyen pakaian dan aksesori dilihat beliau mempunyai mempunyai cita rasa tinggi dalam gaya.

Beliau terkenal dengan sikapnya membawa beg tangan ke mana-mana saja termasuk ketika melawat pemimpin terkemuka dunia, selain dilihat suka memakai topi yang sentiasa menghiasi kepalanya.

 
Dalam menonjolkan imej dan cita rasa berpakaian, Thatcher didapati gemar mengenakan fesyen berkualiti tinggi dan ia pernah menjadi sebahagian gaya hidupnya. Jenama ternama dan tersohor dekat dengan dirinya dari beg tangan hinggalah kasut seperti Asprey dan Salvatore Ferragamo.  Secara keseluruhan, penampilannya lebih menjurus feminin dengan gaya British yang kental, anggun dan berkelas.

Gemar wangian

Haruman yang menjadi kegemaran pula ialah campuran basil, neroli dan lavender dalam air mandiannya. Beliau mula diperkenalkan kepada penggunaan wangian untuk merehatkan badan dan menikmati ketenangan oleh seorang rakan seperjuangan dalam bidang politik, Emma Nicholson, yang menempah khas haruman untuk kegunaannya dari klinik aromaterapi, dikendalikan oleh Daniele Ryman. 

Malah, Thatcher turut menggunakan wangian tertentu untuk masalah urat leher dan bahu tegang.  Mendiang Presiden Perancis Francois Mitterrand pernah menyifatkan Thatcher sebagai wanita yang memiliki 'mata seperti Caligula dan bibir seperti Marilyn Monroe.'

Tidak keterlaluan dikatakan, jika sesiapa saja ditanya, siapa personaliti yang terus meninggalkan imej keutuhan kepemimpinan wanita, orangnya mesti Margaret Thatcher. Bayangan wanita berhati waja itu muncul sebagai pemimpin yang tiada tolok bandingnya.



PROFIL:
Margaret Thatcher

* Nama sebenar:  Margaret Hidla Roberts.
* Tarikh lahir: 13 Oktober di Grantham, England.
* Meninggal dunia:  8 April 2013 di London.
* Suami : Dennis Thatcher (meninggal pada 2003).
* Anak: Dua anak (Mark Thatcher dan Carol Thatcher)
* Perdana Menteri wanita pertama Britain - 1979.
* Dilantik pemimpin Parti Konservatif (1975 hingga 1990).

INFO:
Antara perkara menarik mengenai Margaret Thatcher:

* Antara tokoh Barat paling terkenal.
* Menghabiskan masa 18 jam sehari untuk memberi tumpuan pada kerjanya.
* Ada yang memujanya sebagai tokoh permodenan yang mengubah Britain.
* Ada rakyat negara itu menuduhnya sebagai orang yang mengukuhkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
* Perdana menteri wanita Britain pertama (berjaya mengubah ekonomi Britain)
* Pernah dalam satu Forum Pengurusan Kanan London, beliau mengingatkan peserta kenapa beliau dihormati dan ditakuti, dengan menonjolkan karisma kepemimpinan tulen.
*  Meletakkan Britain kembali sebagai negara industri utama dunia.
*  Beliau juga perdana menteri paling lama berkhidmat era selepas perang.
*  Sakit jantung pada 2001 dan 2002 - jarang muncul di khalayak ramai.
*  Sebelum berundur, Thatcher menyuarakan hasratnya untuk berusaha menubuhkan Yayasan Thatcher yang akan memperjuangkan isu alam sekitar dan Eropah Timur.
*  Pada 1987, beliau menjadi perdana menteri pertama dilantik semula untuk penggal ketiga berturut-turut.
* Thatcher juga meninggalkan satu idea negara contoh iaitu ia ditiru dan menjadi ikutan kebanyakan pemimpin dan negara lain.

Thursday, March 14, 2013

Hilang Seri


Berita Harian, 25 Februari 2013

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Hilang seri
 
Bibir kering menimbulkan ketidakselesaan, tampak tidak menarik


Bibir, bahagian paling cepat kering, paling sensitif dan paling mudah `berumur' berbanding bahagian lain pada wajah. Seiring peningkatan usia, bibir secara semula jadi akan kehilangan air dan minyak sekali gus menjadikan kulit bibir lebih cepat dimamah usia, berbanding bahagian lain jika tidak dijaga.
        Apabila bibir kering, ia bukan saja menimbulkan ketidakselesaan, tetapi juga tampak tidak menarik. Bibir paling menonjol pada muka yang boleh membayangkan dan menyatakan, emosi dan keadaan kesihatan individu.
        Bagaimanapun, bibir kering bukan masalah terpencil sebaliknya ramai berdepan dengan masalah itu. Memburukkan lagi keadaan, kekeringan bukan saja pada bibir, malah ada masalah melarat hingga menjadi luka atau pecah-pecah dan kadangkala menjadi kuping.        
        Membayangkan keadaan itu, pakar dermatologi di Hennepin County Medical Center di Minneapolis, Bruce Bart, berkata fikirkan bibir anda umpama sebagai span.
  Katanya, apabila terdedah kepada kelembapan, ia menyerap air dan berisi tetapi apabila kering, ia menjadi kering serta mengecut. Inilah juga yang berlaku pada bibir.

        “Oleh kerana bibir sentiasa terdedah, secara tidak langsung ia terdedah kepada dehidrasi. Kulit pada bibir juga tidak seperti mana-mana kulit pada badan. Ia adalah nipis dan tiada mempunyai kelenjar minyak untuk melembapkan. Hasilnya, bibir boleh kasar dan kadang-kadang menyakitkan akibat luka. Bibir menimbulkan masalah apabila anda tidak boleh memerangkap lembapan yang cukup dan menyimpan ia di sana,” jelasnya.
        Sementara itu, Dr Charles Zugerman dari Sekolah Perubatan Universiti Northwestern di Chicago menyatakan, bibir mempunyai lapisan pelindung luar kulit yang nipis, Justeru, apabila semakin berusia lapisan itu menjadi lebih nipis dan kita mula kehilangan minyak perlindungan dan kehilangan air yang mengekalkan kelembapan bibir.
        “Ini ditambah lagi dengan keadaan, bibir menanggung beban matahari dan pendedahan kepada angin.  Akhirnya, kerosakan dan kekeringan menjadi lebih ketara apabila kita semakin tua,” katanya.

Punca kekeringan

Masalah bibir kering berpunca daripada persekitaran ataupun penyalahgunaan. Ini termasuklah, cahaya matahari, pengeringan kawalan iklim, makanan berasid, tabiat saraf penggunaan kosmetik dan sebagainya.
        Persekitaran yang dimaksudkan, termasuklah keadaan suhu atau iklim sesuatu tempat. Apabila terdedah kepada suhu keterlaluan, misalnya bibir akan menjadi kering. Tidak kira, sama ada suhu terlalu tinggi atau sebaliknya, bibir boleh merekah dan akhirnya, menyebabkan ketidakselesaan.

     Kajian yang dibuat oleh fakulti perubatan dan ilmu gigi, University Murcia di Sepanyol pada 2010 mendapati, penggunaan gincu yang ada pelindung matahari tiga kali sehari selama tiga bulan, meningkatkan penghidratan bibir tanpa tiada perbezaan statistik yang signifikan dalam penghidratan bibir dengan mengambil kira umur, jantina atau jenis kulit.

        Begitu juga apabila kekurangan air (dehidrasi), boleh menyebabkan bibir kering. Mungkin, ramai menyangka dengan meminum air, boleh menyahidrasi. Minum air secukupnya memang bagus tetapi elakkan pengambilan minuman berkafien dan alkohol kerana ia turut menyebabkan dehidrasi tanpa disedari.



Air liur sendiri

Satu lagi punca bibir kering yang mungkin tidak disedari ramai ialah membasahkan atau menjilat bibir dengan air liur sendiri. Kebanyakan mungkin menyangka dengan menjilat bibir, dapat mengekalkan kelembapan tetapi sebenarnya, ia membuat keadaan lebih teruk. Jadi, berhenti menjilat bibir!
        Mana-mana kelembapan yang anda pindahkan kepada bibir, akan sejat beberapa saat kemudian mewujudkan bulatan likat pada bibir yang dijilat dan menyebabkan kekeringan.  Bagaimanapun, bagi sesetengah individu menjilat bibir tiada sebab pilihan, sebaliknya ia sudah menjadi tabiat yang sukar disingkirkan. 
        Bibir kering juga disebabkan apabila mulut tiada lagi bernafas. Kajian pendidikan di NYU School of Medicine di Amerika Syarikat, menyatakan pernafasan biasa perlu melalui hidung, yang direka khas untuk memanaskan dan melembapkan udara sebelum ia sampai ke paru-paru anda, tekak dan bibir.
        Jika anda lazimnya bernafas melalui mulut, tekak dan bibir boleh menjadi kering. Bukan saja udara yang sampai ke kerongkong dan bibir kering, tetapi mana-mana kelembapan yang sedia ada, cepat bertebaran kerana anda bernafas keseluruhannya.

Alergi

Masalah keradangan juga menyebabkan kekeringan bibir berlaku. Selain air liur, gincu dan makanan juga boleh menyebabkan perkara yang sama. Menurut Akademi Dermatologi Amerika, beberapa produk yang disapukan pada bibir untuk menjadikannya merah merkah dan berkilat, boleh membuatkan bibir kering.

        Pencerah bibir, khususnya yang menggunakan bahan kimia, merengsakan bibir dan menjadikannya kelihatan lebih besar, boleh menjadi masalah.
Satu lagu bahan ramuan yang perlu berhati-hati ialah phenol yang turut memberi kesan mengeringkan bibir.
        Begitu juga ubat gigi dan ubat kumur boleh menyebabkan bibir kering. Kandungan sulfat sodium lauryl dalam ubat gigi, dikenal pasti menyebabkan kerengsaan dan kekeringan kulit pada sesetengah individu, manakala alkohol dalam ubat kumur menyumbang kepada mulut kering dan bibir retak.
        Selain itu ada juga individu mungkin mempunyai alahan kepada pewarna atau pewarna dalam gincu.

Kekurangan vitamin

Vitamin bermanfaat untuk menyerlahkan bibir anda.  Vitamin B2 (riboflavin), Vitamin B1 dan Vitamin B6 membantu memberi kelembapan pada bibir dan jika anda kekurangan ini, anda mungkin mengalami bibir kering.
        Cari vitamin B dalam daging, hati, bijirin, bijirin, kacang, roti, telur, dan susu. Bagaimanapun, harus ingat terlalu banyak vitamin A diambil dalam makanan tambahan, ubat-ubatan atau diet boleh membawa masalah,  bibir mengelupas, kering dan kerengsaam. Justeru, dapatkan khidmat nasihat ahli farmasi atau doktor jika anda mengesyaki vitamin diambil yang menyebabkan bibir  bertindak balas.


INFO:
Panduan memastikan bibir sentiasa lembap:

* Sapukan salap bibir setiap hari, bukan hanya ketika bibir kering atau pecah-pecah.
* Elakkan menjilat bibir ketika ia kering.
* Kurangkan mandi air panas kerana ia boleh menyebabkan kulit kering.
* Sapukan salap bibir atau pelembap sebelum mengoleskan gincu, ia membantu bibir kekal lembap.

Igauan 3,096 Hari

Berita Harian, 5 Mac 2013

Susunan: Nor Affizar Ibrahim

Igauan 3,096 hari

Natascha Kampusch, wanita Austria yang diculik ketika kanak-kanak dan dikurung di bilik bawah tanah di sebuah rumah di Austria selama lapan tahun, akhirnya mendedahkan bahawa dia telah dirogol oleh penculiknya, Wolfgang Priklopil.
        Kampusch, yang diculik ketika berusia 10 tahun, sebelum ini sentiasa enggan bercerita butir terperinci apa yang berlaku kepadanya semasa ‘dipenjarakan’ di dalam bilik bawah tanah di rumah Priklopils di Strasshof, Austria.
        Bagaimanapun, Kampusch pertama kali membuat pendedahan itu ketika wawancara televisyen di Jerman pada hari lahirnya yang ke-25, menjelang pengumuman filem 3096 Days, baru-baru ini.
        Filem perdana ditayangkan di ibu negara Austria, Vienna itu berdasarkan pengalaman Kampusch dan judulnya mengambil, jumlah bilangan hari beliau dalam kurungan. Filem berkenaan menceritakan, kisah hidupnya sebagai tawanan sebelum dia melarikan diri pada Ogos 2006.
        Dalam wawancara yang dihoskan Günter Jauch itu, Kampusch juga mendedahkan, didorong perasaan untuk membunuh diri atau tinggal di luar negara oleh tuduhan bahawa dia terbabit sama dalam pengalaman pahit dilaluinya. 
        Ini berikutan, beliau sering dituduh, tidak memanfaatkan kesempatan untuk melarikan diri dari Priklopil. Bagaimanapun, kata Kampusch bukti di tangan polis mengatasi pandangan awam. Hal itulah yang membuatnya bersetuju untuk mengubah skrip filem yang menunjukkan adanya perkosaan.
        Dalam wawancara itu Jauch bertanya, “Jadi, anda sekarang mengatakan kepada umum, inilah apa yang terjadi, sekarang tolong biarkan saya hidup tenang?" Wanita itu menjawab, “Ya.”
     “Saya akan beritahu orang ramai mengenai hal itu kerana ia berlaku dan kini meninggalkan saya sendirian,” tegas Kampusch.

Bunuh diri

Kisah Kampusch yang diculik pada pagi 2 Mac 1998 ketika 
dalam perjalanan ke sekolah dan ‘dipelihara’ serta dikurung oleh penculiknya sehingga akhirnya, beliau berjaya melarikan diri pada 23 Ogos 2006, ketika Prikopil sedang menelefon, mengejutkan dan mendapat liputan seluruh dunia.

        Rentetan terbongkar dan berakhir tragedi itu, pelbagai pertanyaan timbul. Bagaimanakah Kampusch menjalani masa kanak-kanaknya terkurung di ruang bawah tanah? Manusia seperti apakah Prikopil dan apakah sebenarnya yang dituntutnya dari gadis itu?  Apakah hubungan sebenar yang terjadi antara penculik dengan tawanannya? Kenapa Kampusch menunggu sekian lama untuk melarikan diri sedangkan, beliau ada berbagai kesempatan berbuat demikian?
        Priklopil ialah seorang juruteknik komunikasi Austria. Pemuda itu membunuh diri dengan melompat di depan kereta api yang bergerak, tidak lama selepas Kampusch melarikan diri.





Perasaan bercampur aduk

Kampusch yang mendapat lebih RM26 juta (5 juta pound) hasil dari penjualan buku, wawancara TV dan majalah, masih memiliki perasaan campur aduk terhadap Prikopil yang disebutnya, 'penjahat'.

 Ketika di kurung, wanita itu dilaporkan, membawa foto penjahat itu bersamanya sepanjang waktu, tinggal di rumahnya, menjaga keretanya dan beberapa kali pergi ke luar negeri dengan nama palsu kerana perhatian diperolehnya dari pemuda itu.
        Kampusch berkata, beliau berharap Priklopil tetap hidup supaya boleh menceritakan versi dia dari kisah berkenaan. Kampusch memberitahu, ruang bawah tanah di rumah Priklopil, yang sekarang menjadi miliknya, telah semak tidak terurus. “Itu yang baik, rasanya,”  katanya.
        Ketika berbicara mengenai kehidupan selepas melarikan diri, beliau berkata, “Setiap hari saya cuba berfikiran positif, untuk menganalisis apa yang terjadi pada saya. Fakta bahawa saya masih kanak-kanak, benar-benar membantu. Sebagai  kanak-kanak, anda masih naif dan percaya pada keadilan.”
        Kampusch berkata, dirinya adalah di bawah penguasaan intelektual Priklopil, yang belum pernah punya teman wanita dan merancang menjadi pasangan pengantin lelaki kepada Kampusch sampai gadis itu jatuh cinta dengannya.
        “Semakin banyak maklumat yang saya tahu mengenai dirinya, semakin saya boleh memahami niatnya,” katanya.
        Kampusch berkata, meskipun beliau pergi ke kedai dengan Priklopil dan berpeluang sekali keluar meluncur ski, tiada kesempatan untuk melarikan diri.
        “Ada tahun-tahun, penuh tekanan pada saya. Rasanya seperti sebuah penjara dalaman yang membuatkan, amat mustahil untuk saya melarikan diri. Saya begitu takut.  Priklopil beritahu, dia akan menusuk siapa saja yang mencuba untuk membantu saya,” kata Kampusch.
        Malangnya, orang ramai tidak percaya dengan penjelasan Kampusch.  Bahkan beberapa ahli politik Austria dan pengamal undang-undang percaya, Kampusch tidak memberitahu kebenaran keseluruhan cerita ketika beliau menghabiskan masa dengan penculiknya.
    “Bagi saya ia adalah satu beban yang sukar untuk ditanggung dan pernah berkira-kira untuk tinggal di luar negara selama-lamanya atau membunuh diri,”  kata Kampusch.

Filem 3096 hari

Filem, berdasarkan autobiografi, 3096 Days, ada memaparkan adegan Kampusch  digari dengan kabel pada pergelangan tangan Priklopil ketika sedang didera secara seksual. Sebelum ini, dalam autobiografi Natascha tidak bercerita ada hubungan seks dengan penculik dan hanya menyatakan, Priklopil mahu “untuk dipeluk”.
        “Apabila saya membaca skrip filem, saya tertanya-tanya mengenai adegan serangan seksual itu. Tetapi ia adalah OK kerana tidak merentasi sebagai positif atau menghinakan. Orang yang berfantasi, terdapat sebarang permainan seks akan kecewa,” katanya.
        Tambahnya, apabila melawat ke set filem adalah sukar baginya tetapi ia juga memberi kekuatan kepadanya. Ini disebabkan, belia tahu bahawa dalam realiti, beliau  melarikan diri dari sana.
        “Kembali dalam bilik sebenar, saya tidak tahu sama ada saya boleh hidup,” ujarnya.
        Kampusch masih menerima kaunseling dua kali seminggu, menghabiskan banyak masa membeli-belah dan rutin harian serta merehatkan diri sambil menjaga tangki ikan, dan mengait.
        Filem, dibintangi pelakon Ireland Utara, Antonia Campbell-Hughes, sebagai  Kampusch, akan dikeluarkan bulan ini di seluruh Eropah dan menunjukkan Priklopil mengurung mangsa yang masih kanak-kanak di dalam bilik bawah tanah dibina di rumah dan merogolnya.
        Filem ini berakhir dengan pertemuan Kampusch dengan ibu bapa beliau dan Priklopil membunuh diri. Kes sebenar masih belum ditutup. Penyiasat Austria telah menyenaraikan bantuan FBI dan BKA Pejabat Polis Persekutuan Jerman Jenayah untuk melihat, sama ada kesilapan telah dibuat dalam penyiasatan dan sama ada Priklopil bertindak sendirian atau mempunyai rakan jenayah.





INFO:
Antara yang dipaparkan Natascha Kampusch dalam buku autibiografi 3,096 Days:

* Dipukul 200 kali seminggu, dirantai dan dipaksa tidur bersama penculiknya.
*  Priklopil kerah dia sebagai hamba dengan membuat kerja rumah dalam keadaan separuh bogel.
* Dipaksa memanggil penculiknya itu 'My Lord' atau 'Maestro'.
* Penculiknya memberitahu, dia bukan lagi Kampusch tetapi menjadi milik lelaki itu.
* Mendakwa dipukul begitu kuat oleh Priklopil sehingga tulangnya patah.
* Priklopil memarahinya apabila dia menangis. Penculik akan cekup lehernya dan mengheret ke sinki, lalu membenam
kepalanya dalam air sehingga  hampir lemas.
  

Friday, March 1, 2013

Bahaya Murung

Berita Harian, Khamis 19 Ogos, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bahaya murung




SEJAK setahun lalu, seorang wanita berusia pertengahan usia 30-an yang mengalami masalah kemurungan mendapatkan rawatan pakar psikiatri. Selepas mendapatkan rawatan untuk suatu tempoh, masalahnya pulih dan beliau kembali kepada keluarga.
        
Walaupun begitu, dia dinasihatkan supaya membuat rawatan susulan dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, wanita itu tidak berbuat demikian sehingga selepas tempoh lima bulan, keluarganya menelefon pakar psikiatri yang merawatnya.
Khabar berita disampaikan keluarga wanita itu amat menyedihkan kerana beliau sudah pun meninggal dunia akibat bunuh diri beberapa hari lalu.
  

KISAH wanita yang dipaparkan itu adalah antara kes benar. Malah, cerita bunuh diri dan cubaan meragut nyawa sendiri, mungkin lebih banyak didengari, khususnya di kalangan individu yang mengalami masalah kemurungan teruk dan tidak dirawat.

 Hakikatnya, kemurungan walaupun sesuatu yang lazim dialami dan membelenggu individu, tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh boleh membawa risiko buruk sehingga membunuh diri.
  
Pakar Psikiatri dan Terapi Kognitif, Prof Dr Maniam Thambu, berkata kemurungan bukan kelemahan individu, sebaliknya penyakit biologi dan keterencatan kesihatan fizikal. Kemurungan juga perlu dibezakan dengan naik atau turun emosi dalam kehidupan individu.
  
Tangani cara betul

Prof Maniam berkata, apa yang pasti masalah kemurungan perlu ditangani dengan cara betul supaya tidak membawa kemudaratan lebih buruk.
   "Masalah kemurungan juga boleh menjadi punca keretakan rumah tangga dan hubungan lain serta kehilangan kerja akibat tidak boleh lagi memberikan tum
puan pada tugas. Masalahnya, majikan mungkin tidak percaya individu itu mengalami masalah kemurungan," katanya ketika membincangkan masalah Kemurungan di Malaysia - Menderita Dalam Diam pada bengkel media anjuran syarikat farmaseutikal, Pfzer, di ibu negara, baru-baru ini.
  
Seperti individu biasa

Maniam berkata, individu yang mengalami kemurungan, pada asasnya nampak seperti individu biasa tetapi sebenarnya, menderita dalam senyap. Justeru, adalah lebih baik mengenal pasti kesan dan rawatan awal masalah kemurungan.

"Ada individu yang tidak boleh dan tidak nampak cari jalan keluar bagi mengatasi kemurungan. Akibatnya, ia turut memberikan kesan kepada anak dan isteri. Amat menyedihkan, kemurungan itu dibiarkan berlanjutan sedangkan ia boleh dirawat," katanya.
   Beliau berkata, antara sebab individu yang mengalami kemurungan tidak mendapat atau melambat-lambatkan rawatan adalah kerana mereka tidak tahu bahawa ia adalah penyakit.
   Ada yang bimbang dengan stigma dilabelkan `gila' manakala pengaruh budaya pula melihat tanda kemurungan itu adalah disebabkan terkena sihir atau `buatan orang'.
   Prof Maniam menambah, ada juga individu yang takutkan rawatan psikiatrik kerana beranggapan pengambilan ubat boleh menyebabkan ketagihan dan mengubah fizikal tubuh serta bimbang akan dihantar ke hospital sakit mental.
   "Bagi yang bekerja pula mungkin takut dibuang kerja kerana majikan tidak mahu lagi menggajikan mereka. Selain itu, ada yang mungkin bimbang syarikat insurans tidak mahu memberikan perlindungan insurans jika mengetahui mereka ada masalah itu. Lagipun, sehingga hari ini di Malaysia, penyakit kemurungan tidak diberikan polisi perlindungan tetapi di negara Barat sudah lama menawarkan polisi perlindungan untuk penyakit itu," katanya.
  
Wanita lebih ramai

Prof Maniam berkata, agak mengecewakan individu yang menghadapi masalah kemurungan tidak mendapatkan rawatan psikiatri sedangkan Malaysia mempunyai pelbagai kaedah berkesan bagi menanganinya.
   "Jika individu itu sendiri tidak tampil dan datang membuat rawatan sudah tentu mereka tidak dapat dibantu," katanya.
   Maniam berkata, kemurungan teruk di negara ini dialami semua kumpulan etnik dengan wanita mewakili kumpulan lebih besar.
   Lebih ramai wanita mengalami masalah kemurungan berbanding lelaki kerana perubahan hormon seperti kedatangan haid, kehamilan, bersalin dan menopaus. Wanita juga didapati, lebih tertekan kerana bertanggungjawab dalam penjagaan anak dan menguruskan kerja rumah.
   Katanya lagi, kajian aliran perubahan jumlah pesakit yang mengalami kemurungan teruk sejak tiga tahun lalu menunjukkan, 67 peratus ahli psikitari menyatakan terdapat peningkatan jumlah pesakit manakala 33 peratus menyatakan jumlah pesakit dirawat adalah stabil.
    "Kajian itu turut mendapati, 89 peratus ahli psikiatri menjangkakan jumlah pesakit yang mengalami kemurungan meningkat dalam masa tiga tahun akan datang, manakala 11 peratus lagi berpendapat jumlahnya tetap stabil," katanya.
  

Kedua selepas penyakit jantung

Sementara itu, Pensyarah Psikiatri dan Farmakologi, University of Toronto, Prof Madya Dr Roger Mclntyre, berkata Laporan Kesihatan Dunia 2001 mengenai kesihatan mental menganggarkan menjelang 2020, penyakit kemurungan teruk akan menduduki tempat kedua selepas penyakit jantung yang menyebabkan punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia dalam hayat kehidupan seseorang.
     Dr Mclntyre yang membincangkan tajuk Keadaan Kemurungan - Aliran Global dan Cabaran Dalam Rawatan berkata, berbanding 2000, penyakit kemurungan teruk adalah yang keempat menjadi punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia dalam hayat seseorang selepas pernafasan rendah, perinatal serta HIV/ AIDS.
    Dr Mclntyre berkata, kajian juga menunjukkan 48 peratus pesakit yang mengalami masalah kemurungan teruk tidak mendapatkan sebarang rawatan manakala 58 peratus pesakit yang dirawat menerima rawatan yang tidak teratur.
    
"Kemurungan adalah kronik dan ia adalah penyakit yang sering berulang kembali kepada pesakit. Malah, kajian menunjukkan 85 peratus daripada mereka yang mempunyai pengalaman kemurungan itu akan kembali murung selepas 15 tahun pulih," katanya.
   
Beliau menambah, perubahan ragam diri akibat kemurungan juga boleh menyebabkan pesakit itu mendapat beberapa penyakit lain seperti sakit kepala, masalah kardiovaskular, obesiti dan kencing manis.
  


INFO
Antara gejala fizikal dialami individu apabila mengalami kemurungan:
  
* Penurunan atau pertambahan berat badan yang ketara
  
* Tidak boleh tidur malam, tidur kerap terganggu atau terlalu banyak tidur
  
* Keresahan melampau atau tidak berperasaan
  
* Keletihan atau tidak bertenaga
  
* Kesakitan fizikal (pada mana-mana anggota badan)
  
  
Fakta lain mengenai masalah kemurungan:
  
* Kemurungan adalah penyakit sepanjang hayat, tetapi dengan rawatan, pesakit boleh menjalani kehidupan normal, boleh bekerja, berkahwin dan mempunyai keluarga selagi mereka mengambil ubat.
  
*  Kemurungan sama seperti penyakit kronik lain dan ia perlu dirawat. Tetapi yang lebih penting ialah mengenal pasti dan mendapatkan rawatan seawal mungkin.
  
* Ubat tahan sakit tidak dapat mengatasi kemurungan. Begitu juga ujian darah, ujian sinar-X atau imbasan CT tidak dapat mengesan penyakit itu.
  
* Kemurungan menjadi punca ketidakupayaan utama di kalangan wanita dan ada di tempat kedua bagi lelaki.
  
* Kemurungan adalah gangguan mental yang tiada kaitan dengan gila tetapi gejalanya membabitkan perubahan emosi dan ramai tidak menyedari mereka mengalami penyakit itu.
  
* Kemurungan bukan saja dialami orang dewasa, malah kanak-kanak berusia lima tahun juga boleh mengalami kemurungan tetapi dengan gejala berbeza seperti ada masalah kelakuan, belajar dan lebih suka menyendiri.

Monday, February 18, 2013

Wajah Seiras KFC


Berita Harian, Jumaat, Julai 2, 1999
Oleh  Nor Affizar Ibrahim


Wajah seiras punca Braxley terkenal

SERUPA tetapi tidak sama. Itulah yang dapat diungkap dan dirumuskan ketika pertama kali berpeluang bertemu dan bertentang mata dengan John Braxley, Duta Antarabangsa Kentucky Fried Chicken (KFC). Bukan saja cara penampilannya sama tetapi raut wajah Braxley juga dikatakan seiras dengan Kolonel Harland D Sanders, pengasas KFC.
 
Dengan memiliki ciri persamaan itu, tidak hairan jika menyebabkan ramai terkeliru atau mudah tertipu dengan `kolonel palsu' itu, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Namun bagi Braxley, bukanlah niatnya untuk mempermainkan orang ramai atau meniru gaya Kolonel Sanders, semata-mata untuk mencari perhatian.
 
Semua yang berlaku adalah secara kebetulan dan beliau sendiri tidak pernah menyangka mempunyai iras wajah dan penampilan sama dengan Kolonel Sanders, yang sememangnya terkenal di seluruh dunia.
 
"Saya tidak pernah melakukan pembedahan plastik sepanjang usia saya, semata-mata untuk meyerupai wajah Kolonel Sanders. Ikhlas saya katakan, inilah wajah sebenar saya," ujarnya.
 
  Beliau akan berada di Malaysia untuk beberapa minggu sempena kempen Riben Biru KFC yang dilancarkan pada 17 Jun lalu. Ini adalah kunjungannya yang kedua ke negara ini.
 
  Braxley yang berasal dari Florida adalah bekas pemegang francais KFC dan kini beliau menjelajah ke seluruh dunia sebagai Duta KFC untuk mempromosikan makanan ayam goreng kegemaran ramai itu. Antara negara yang dilawatinya ialah China, Thailand, Filipina, Hong Kong, Taiwan, Pakistan dan Singapura.
 
  Setiap kali melawat mana-mana restoran KFC di serata dunia, Braxley pasti tidak ketinggalan memakan sekurang-kurangnya seketul ayam goreng.
 
  "Saya tidak pernah jemu memakan ayam goreng KFC daripada muda hinggalah sekarang. Bahagian yang paling saya suka ialah paha ayam. Mungkin itulah rahsianya bagaimana saya boleh menyerupai wajah Kolonel Sanders," Braxley berseloroh.
 
  Menurutnya, kali pertama beliau bertemu Kolonel Sanders ialah pada tahun 1962. Ketika itu, beliau bekerja dengan francais KFC, Maxey Powell yang membuka cawangan restoran di bandar Florida. Braxley pada waktu itu berusia 32 tahun berbanding Kolonel Sanders yang sudah meningkat usia 72 tahun.
 
  "Kolonel Sanders seorang yang peramah dan cepat mesra dengan sesiapa. Saya sendiri tidak menyangka, pertemuan pertama itu menjalinkan hubungan persahabatan yang baik di antara saya dan Kolonel Sanders," ceritanya.
 
  Pada tahun 1964, Kolonel Sanders meminjamkan Braxley modal bagi membolehkannya memiliki francais sendiri untuk membina dan membuka restoran KFC pertamanya di St Augustine. Kesungguhan Braxley mengusahakan perniagaan menghasilkan kecemerlangan.
 
  Bagaimanapun, selepas 25 tahun membabitkan diri dalam dunia perniagaan, beliau mengambil keputusan untuk bersara.
 
  Braxley menjual francais kepada anak sulungnya, Chris dan sekali-sekala mengikuti perkembangan perniagaan KFC.
 
  Pada tahun 1992, KFC mengadakan konvensyen di Nashville, Tennessee. Pada konvensyen itu, beliau bertemu dengan Margaret, anak kepada mendiang Kolonel Sanders.
 
  Pertemuan itu mengingatkan Margaret kepada bapanya kerana beliau mendapati wajah Braxley seakan wajah Kolonel Sanders.
 
  "Sebelum bertemu Margaret, ramai yang memberikan pendapat itu tetapi saya tidak pernah ambil peduli dengan kata-kata itu. Sehinggalah saya bertemu dengan Margaret. Untuk mencari kebenaran kata-katanya, saya pernah berjam-jam menatap wajah sendiri pada cermin," ceritanya lagi.
 
  Secara kebetulan KFC memperkenalkan satu menu baru. Semua pemegang francais dipanggil dan mereka disuruh mencari seorang pelakon untuk melakonkan watak mendiang Kolonel bagi tujuan promosi. Lalu, ia mendorong Chris memujuk bapanya, mencuba peranan yang ditawarkan.
 
  Braxley akhirnya bersetuju dan mula membela serta menyimpan misai dan janggut. Rambutnya turut diubah suai agar lebih mirip kepada mendiang Kolonel.
 
  Satu perkara yang tidak disedarinya sebelum itu, beliau memakai kaca mata yang sama dengan Kolonel Sanders.
 
  `Klon' Kolonel Sanders semakin sempurna apabila dia memakai sut serba putih dan bow serta membawa tongkat.
 
  Kali pertama beliau muncul di khalayak ramai dengan imej Kolonel ialah pada tahun 1993 ketika perarakan menyambut perayaan Krismas di St Augustine.
 
  "Saya seperti Santa Claus yang menjadi perhatian ramai. Ramai yang mengerumuni saya terutamanya kanak-kanak.
 
  Ada juga yang menjerit-jerit memanggil saya Kolonel Sanders dan berebut- rebut untuk bergambar bersama. Sambutan itu memang mengagumkan dan tiba- tiba saya begitu popular," katanya.
 
  Pita video selama dua minit dan beberapa keping gambar yang dirakamkan pada perarakan hari itu, kemudian dihantar kepada KFC. Enam bulan selepas itu, Braxley disuruh mewakili barat daya bagi menyertai pertandingan menyerupai wajah Kolonel di Henryville, Indiana, tempat asal Kolonel.
 
  Kemenangan Braxley di tempat pertama, tidak ada siapa yang boleh pertikaikan. Malah, isteri mendiang Kolonel, Claudia dan anak perempuannya serta semua cucunya turut mengesahkannya. Bermula pada detik itu, kehidupan Braxley berubah dan beliau secara rasmi, `ditauliahkan' sebagai Kolonel.
 
  Yang pasti, wajah dan sifat kebapaan yang dimiliki Braxley @ Kolonel Sanders menyebabkan ia disenangi kanak-kanak.
 
  Walau ke mana beliau pergi, kanak-kanak sentiasa menjadi peminat utamanya.
 
  Bapa kepada tujuh anak yang semuanya lelaki dan 14 cucu ini, tidak pernah berasa kekok didampingi kanak-kanak sebaliknya gembira jika dapat menghiburkan mereka.
 
  "Saya amat sukakan kanak-kanak. Mereka sering mengingatkan saya bagaimana saya dan isteri, Charlotte mendidik anak-anak ketika mereka masih kecil," katanya.
 
  Mengenai cara beliau mendidik anak, Braxley memberitahu, meskipun masanya agak kurang dihabiskan bersama mereka kerana sibuk menguruskan perniagaan, beliau tetap mengambil berat dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka.
 
  "Saya lebih suka memberi kebebasan kepada anak untuk membuat pilihan apa yang disukainya. Bagaimanapun sebagai bapa, saya sentiasa mengawasi dan memberi nasihat kepada mereka," ujarnya.
 
  Beliau juga menggalakkan anak-anaknya berdikari sejak kecil lagi. Setiap kali musim cuti sekolah, anak-anaknya akan bekerja di restoran mereka dan melakukan semua kerja seperti mana pekerja lain.
 
  "Anak-anak saya dilayan dan dibayar gaji sama seperti pekerja lain. Saya mahu mereka tahu bagaimana susahnya mencari duit. Bagi saya, cara didikan itu banyak memberi mereka pengajaran," katanya turut berbangga dengan kejayaan semua anaknya dalam bidang masing-masing.
 

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...