Thursday, March 14, 2013

Hilang Seri


Berita Harian, 25 Februari 2013

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Hilang seri
 
Bibir kering menimbulkan ketidakselesaan, tampak tidak menarik


Bibir, bahagian paling cepat kering, paling sensitif dan paling mudah `berumur' berbanding bahagian lain pada wajah. Seiring peningkatan usia, bibir secara semula jadi akan kehilangan air dan minyak sekali gus menjadikan kulit bibir lebih cepat dimamah usia, berbanding bahagian lain jika tidak dijaga.
        Apabila bibir kering, ia bukan saja menimbulkan ketidakselesaan, tetapi juga tampak tidak menarik. Bibir paling menonjol pada muka yang boleh membayangkan dan menyatakan, emosi dan keadaan kesihatan individu.
        Bagaimanapun, bibir kering bukan masalah terpencil sebaliknya ramai berdepan dengan masalah itu. Memburukkan lagi keadaan, kekeringan bukan saja pada bibir, malah ada masalah melarat hingga menjadi luka atau pecah-pecah dan kadangkala menjadi kuping.        
        Membayangkan keadaan itu, pakar dermatologi di Hennepin County Medical Center di Minneapolis, Bruce Bart, berkata fikirkan bibir anda umpama sebagai span.
  Katanya, apabila terdedah kepada kelembapan, ia menyerap air dan berisi tetapi apabila kering, ia menjadi kering serta mengecut. Inilah juga yang berlaku pada bibir.

        “Oleh kerana bibir sentiasa terdedah, secara tidak langsung ia terdedah kepada dehidrasi. Kulit pada bibir juga tidak seperti mana-mana kulit pada badan. Ia adalah nipis dan tiada mempunyai kelenjar minyak untuk melembapkan. Hasilnya, bibir boleh kasar dan kadang-kadang menyakitkan akibat luka. Bibir menimbulkan masalah apabila anda tidak boleh memerangkap lembapan yang cukup dan menyimpan ia di sana,” jelasnya.
        Sementara itu, Dr Charles Zugerman dari Sekolah Perubatan Universiti Northwestern di Chicago menyatakan, bibir mempunyai lapisan pelindung luar kulit yang nipis, Justeru, apabila semakin berusia lapisan itu menjadi lebih nipis dan kita mula kehilangan minyak perlindungan dan kehilangan air yang mengekalkan kelembapan bibir.
        “Ini ditambah lagi dengan keadaan, bibir menanggung beban matahari dan pendedahan kepada angin.  Akhirnya, kerosakan dan kekeringan menjadi lebih ketara apabila kita semakin tua,” katanya.

Punca kekeringan

Masalah bibir kering berpunca daripada persekitaran ataupun penyalahgunaan. Ini termasuklah, cahaya matahari, pengeringan kawalan iklim, makanan berasid, tabiat saraf penggunaan kosmetik dan sebagainya.
        Persekitaran yang dimaksudkan, termasuklah keadaan suhu atau iklim sesuatu tempat. Apabila terdedah kepada suhu keterlaluan, misalnya bibir akan menjadi kering. Tidak kira, sama ada suhu terlalu tinggi atau sebaliknya, bibir boleh merekah dan akhirnya, menyebabkan ketidakselesaan.

     Kajian yang dibuat oleh fakulti perubatan dan ilmu gigi, University Murcia di Sepanyol pada 2010 mendapati, penggunaan gincu yang ada pelindung matahari tiga kali sehari selama tiga bulan, meningkatkan penghidratan bibir tanpa tiada perbezaan statistik yang signifikan dalam penghidratan bibir dengan mengambil kira umur, jantina atau jenis kulit.

        Begitu juga apabila kekurangan air (dehidrasi), boleh menyebabkan bibir kering. Mungkin, ramai menyangka dengan meminum air, boleh menyahidrasi. Minum air secukupnya memang bagus tetapi elakkan pengambilan minuman berkafien dan alkohol kerana ia turut menyebabkan dehidrasi tanpa disedari.



Air liur sendiri

Satu lagi punca bibir kering yang mungkin tidak disedari ramai ialah membasahkan atau menjilat bibir dengan air liur sendiri. Kebanyakan mungkin menyangka dengan menjilat bibir, dapat mengekalkan kelembapan tetapi sebenarnya, ia membuat keadaan lebih teruk. Jadi, berhenti menjilat bibir!
        Mana-mana kelembapan yang anda pindahkan kepada bibir, akan sejat beberapa saat kemudian mewujudkan bulatan likat pada bibir yang dijilat dan menyebabkan kekeringan.  Bagaimanapun, bagi sesetengah individu menjilat bibir tiada sebab pilihan, sebaliknya ia sudah menjadi tabiat yang sukar disingkirkan. 
        Bibir kering juga disebabkan apabila mulut tiada lagi bernafas. Kajian pendidikan di NYU School of Medicine di Amerika Syarikat, menyatakan pernafasan biasa perlu melalui hidung, yang direka khas untuk memanaskan dan melembapkan udara sebelum ia sampai ke paru-paru anda, tekak dan bibir.
        Jika anda lazimnya bernafas melalui mulut, tekak dan bibir boleh menjadi kering. Bukan saja udara yang sampai ke kerongkong dan bibir kering, tetapi mana-mana kelembapan yang sedia ada, cepat bertebaran kerana anda bernafas keseluruhannya.

Alergi

Masalah keradangan juga menyebabkan kekeringan bibir berlaku. Selain air liur, gincu dan makanan juga boleh menyebabkan perkara yang sama. Menurut Akademi Dermatologi Amerika, beberapa produk yang disapukan pada bibir untuk menjadikannya merah merkah dan berkilat, boleh membuatkan bibir kering.

        Pencerah bibir, khususnya yang menggunakan bahan kimia, merengsakan bibir dan menjadikannya kelihatan lebih besar, boleh menjadi masalah.
Satu lagu bahan ramuan yang perlu berhati-hati ialah phenol yang turut memberi kesan mengeringkan bibir.
        Begitu juga ubat gigi dan ubat kumur boleh menyebabkan bibir kering. Kandungan sulfat sodium lauryl dalam ubat gigi, dikenal pasti menyebabkan kerengsaan dan kekeringan kulit pada sesetengah individu, manakala alkohol dalam ubat kumur menyumbang kepada mulut kering dan bibir retak.
        Selain itu ada juga individu mungkin mempunyai alahan kepada pewarna atau pewarna dalam gincu.

Kekurangan vitamin

Vitamin bermanfaat untuk menyerlahkan bibir anda.  Vitamin B2 (riboflavin), Vitamin B1 dan Vitamin B6 membantu memberi kelembapan pada bibir dan jika anda kekurangan ini, anda mungkin mengalami bibir kering.
        Cari vitamin B dalam daging, hati, bijirin, bijirin, kacang, roti, telur, dan susu. Bagaimanapun, harus ingat terlalu banyak vitamin A diambil dalam makanan tambahan, ubat-ubatan atau diet boleh membawa masalah,  bibir mengelupas, kering dan kerengsaam. Justeru, dapatkan khidmat nasihat ahli farmasi atau doktor jika anda mengesyaki vitamin diambil yang menyebabkan bibir  bertindak balas.


INFO:
Panduan memastikan bibir sentiasa lembap:

* Sapukan salap bibir setiap hari, bukan hanya ketika bibir kering atau pecah-pecah.
* Elakkan menjilat bibir ketika ia kering.
* Kurangkan mandi air panas kerana ia boleh menyebabkan kulit kering.
* Sapukan salap bibir atau pelembap sebelum mengoleskan gincu, ia membantu bibir kekal lembap.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...