Berita Harian, Khamis Januari 26, 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Derita tumpah haid
WANITA lazimnya pasti berasa takut dan bimbang jika pengaliran darah haid mereka keluar dengan banyaknya. Sudahlah wajah pucat dan lesu, lebih memburukkan lagi keadaan apabila rutin hidup baik di rumah mahupun di pejabat juga terjejas apabila terpaksa kerap ke bilik air untuk menukar tuala wanita yang basah dengan haid.
Bukan itu saja,
masalah `tumpah haid' yang berpanjangan atau berlanjutan turut membimbangkan, khususnya bagi Muslimah apabila tidak dapat bersolat dengan sempurna. Biarpun dibolehkan bersolat selepas tempoh 15 hari datang haid, namun ia pasti menjadi gangguan. Soal bimbang, risau dan mudah jadi marah belum dikira lagi.
Bagi yang kali pertama atau tidak pernah mengalaminya pula, mungkin tertanyatanya apakah punca atau faktor sebenar menyebabkan berlakunya pendarahan haid banyak ini.
Akhirnya, kerisauan terus membelenggu diri kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Apatah lagi bagi sesetengah wanita, ada yang berbeza pendapat mengenai kedatangan haid.
Tidak kurang juga yang seboleh-bolehnya cuba menyembunyikan proses itu dari pengetahuan orang sekeliling, terutama suami, kerana menganggap ia hal perempuan. Jauh sekali mahu membincangkannya secara terperinci.
Apakah pendirian itu wajar? Apa yang penting, masalah seperti ini tidak harus disembunyikan kerana sikap tidak ambil pusing itu lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat.
Persepsi itu turut dipersetujui, P
akar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Suhaimi Isa, yang menegaskan wanita yang mengalami masalah pengaliran darah haid banyak atau Menorrhagia dinasihatkan segera berjumpa doktor ginekologi.
Dr Suhaimi berkata,
doktor akan melakukan pemeriksaan ultrabunyi untuk melihat sistem reproduktif wanita yang mengalami masalah berkenaan. Tujuannya untuk meneliti rahim bagi masalah seperti fibroid dan kemungkinan wujudnya sista dalam ovari.
"Bagi wanita
lebih 40 tahun disyorkan histeroskopi dan D&C (Dilation & Curretage) untuk mencari punca dalam ronga rahim.
D&C digunakan bagi mendapatkan sampel dinding rahim bagi tujuan histologi.
"Apa
yang penting, adalah untuk melihat jika wujudnya masalah seperti barah atau kanser rahim.
Kaedah paling konservatif pula menggunakan ubatan hormon dan transamine setiap bulan.
"Kalau pembedahan kurang radikal adalah seperti endometrial ablation iaitu memusnahkan lapisan endometrium menggunakan pembedahan krio, laser atau gelombang mikro, serta resection (kaedah yang mana lapisan endometrium dikikis atau dipotong).
"Kemuncak rawatan adalah histerektomi (pembuangan rahim). Ini semua adalah beberapa pilihan yang ada dan semua rawatan dijalankan selepas pemeriksaan manakala setiap rawatan adalah individu," katanya yang juga pakar di Hospital Pantai Ampang.
Jumlah darah haid
Persoalannya apakah yang dikatakan haid banyak? Bagaimanakah mahu mengukur jumlah darah yang menepati tafsiran sebagai banyak itu?
Dr Suhaimi berkata,
usaha mengukur jumlah darah yang keluar amat subjektif dan bergantung kepada wanita mengalaminya.
Jumlah darah yang turun semasa haid kebiasaannya adalah 30cc dalam masa seminggu. Bagaimanapun, definisi Menorrhagia atau perdarahan terlalu banyak adalah lebih daripada 80cc dalam seminggu.
"Ya, tidak mungkin kita dapat mengukur jumlah haid yang keluar setiap bulan. Justeru, beberapa petunjuk digunakan seperti jumlah tuala wanita digunakan dalam masa sehari atau seminggu.
Persoalan seperti adakah haid datang bersama ketulan darah dan apakah saiznya; berapa kerap wanita itu menukar tuala dalam sejam dan juga adakah mereka mengalami susah bernafas dan cepat mengah bila berjalan kerana kekurangan darah?
"Semua ini terlalu subjektif dan amat sukar untuk dilihat secara kuantiti. Sekiranya ujian darah menunjukkan wanita itu mengalami anemia atau kurang haemoglobin maka diagnos Menorrhagia mungkin betul.
"Kaji selidik pula menunjukkan,
jika seseorang wanita kehilangan darah lebih dari 80cc setiap bulan mereka akan mengalami anemia.
"Malah ada beberapa carta yang digunakan bagi pesakit menganggarkan jumlah darah yang turun dengan berpandukan pada gambar rajah diberi. Tetapi segelintir wanita terlalu pembersih mereka beranggapan mereka mengalami Menorrhagia kerana kerap sangat menukar tuala," jelasnya.
Remaja juga alami masalah ini
ADA dua peringkat umur yang selalu mempunyai masalah Menorrhagia. Pertama, pada peringkat remaja bawah 20 tahun manakala satu lagi, melebihi 40an.
Pada peringkat umur ekstrem ini katanya, kerap mempunyai masalah pendarahan banyak sehingga boleh mengganggu kehidupan, manakala umur peringkat pertengahan selalunya mempunyai kitaran haid normal. Namun tegasnya
, perkahwinan tidak mengganggu haid.
"Pendarahan haid banyak berlaku kerana pada umur ekstrem berlaku gangguan pada kitaran ovulasi pada ovari. Kitaran normal memerlukan interaksi hormon dari kelenjar pituitari, ovari dan rahim. Paksi pituitari, ovari dan rahim berjalan normal sekiranya tiada masalah pada ketigatiganya. Kelenjar pituitari amat jarang memberi masalah tetapi masalah ovari punca utama dengan perjalanan haid yang tidak sempurna dan banyak," katanya.
Apabila umur mencapai 20 tahun dan lebih 40 tahun, ada folikel atau benih telur tidak dapat membesar dengan baik hingga ke peringkat ovulasi. Apabila tiada ovulasi, dinding akan dirangsang terlalu lama dan maksimum kerana folikel akan menghasil hormon estrogen yang berlebihan.
Apabila dinding terlalu tebal ia akan luruh dengan banyak sekali dan ini menyebabkan Menorrhagia. Rahim dan fibroid bagaimanapun, bukan punca Menorrhagia.
"Fibroid tidak mengganggu haid kecuali ia sudah terlalu besa
r atau membesar di dalam rongga rahim. Kesimpulannya, masalah menorragia terutama pada ovari."
Dr Suhaimi turut memberitahu,
kebanyakan masalah haid banyak berlaku pada wanita yang mengalami kitaran haid tidak tetap kerana mereka juga mempunyai masalah pada ovari. Justeru, tidak hairan jika mereka juga mengalami masalah Menorrhagia.
Kaitan alat cegah hamil
MENGENAI pemasangan alat pencegahan kehamilan dalam rahim (alat intrauterin, IUD) dikatakan amat berpotensi menyebabkan Menorrhagia, tegasnya alat sedemikian boleh menyebabkan perdarahan semasa lebih sedikit daripada biasa tetapi tidaklah sampai ke peringkat Menorrhagia.
"Potensinya memang ada tetapi amat jarang sekali. Fakta ini tidak boleh di jadikan isu yang patut dibangkitkan. Memang ia menyebabkan darah berlebihan, tetapi praktikal ini bukan satu masalah besar bagi pesakit. IUD ini mempunyai tembaga di kelilingnya bagi memberi kesan kontraseptif yang lebih berkesan," jelasnya lagi.
Mengenai penggunaan sistem pencegahan kehamilan yang dilengkapi hormon atau lebih dikenal dengan panggilan IUS atau sistem intrauterin, Dr Suhaimi berkata, pakar perubatan banyak menggunakan alat itu bagi wanita yang mempunyai masalah Menorrhagia dan tidak mempunyai niat untuk mengandung lagi serta sesuai bagi mereka berusia 40 tahun ke atas.
Namun,
penggunaan IUS sesuai bagi mereka yang mempunyai rahim bersaiz normal dan rahim tidak mempunyai masalah lain seperti fibroid. Kaedah ini juga sesuai mereka yang tidak mahu atau tidak sesuai membuat pembedahan dan ingin mencuba kaedah kurang radikal.
"Kebanyakan wanita menggunakan kaedah ini boleh menerima serba sedikit masalah yang timbul, tetapi yang penting mereka mendapati haid berkurangan.
Namun, alat ini bukan sesuai untuk semua yang mempunyai masalah sama. Paling baik berbincang dengan doktor," nasihatnya.
Kaedah rawatan untuk remaja
Dr Suhaimi berkata, bagi
remaja kaedah rawatan ialah menggunakan hormon seperti pil cegah kehamilan yang perlu diambil selama 21 hari. Ini berikutan, sesuai dengan umur mereka dan hormon lebih gentle pada mereka. Dengan mengambil pil berkenaan, kitaran dan jumlah haid akan berkurangan. Malah, jika mempunyai senggugut, masalah itu pun akan berkurangan dan ada yang hilang terus. Pil ini juga boleh diambil dalam masa yang agak lama dan berisiko rendah pada remaja.
Dr Suhaimi berkata, realitinya sukar menentukan keberkesanan kaedah rawatan sempurna bagi seseorang wanita mengatasi masalah haid banyak. Lazimnya, doktor akan berikan rawatan yang dirasakan terbaik untuk mereka, tetapi tidak menjamin ia benar-benar dapat memulihkan Menorrhagia.
"Jika gagal doktor akan pergi ke langkah kedua. Begitulah seterusnya. Ini kerana rawatan terakhir kes Menorrhagia ialah histerektomi iaitu pembuangan rahim. Tetapi di antaranya ada kaedah yang agak konservatif dan boleh menangguhkan menoragia daripada berlaku semula sebelum pembedahan histerektomi dijalankan," katanya.
Di sebalik Menorrhagia
* Satu gejala yang bermaksud haid yang keluar sangat banyak pada setiap bulan.
* Kebiasaannya, darah haid yang keluar tidak melebihi 80 cc pada setiap 2135 hari kitaran untuk selama dua hingga tujuh hari.
* Kehilangan darah haid yang terlalu banyak boleh berlaku apabila haid keluar terlalu banyak dan melimpah.
* Jumlah hari yang terlalu lama dan kitaran haid terlalu singkat menyebabkan kedatangan haid terlalu kerap atau tidak tetap.
* Gejala ini salah satu masalah kesihatan di negara yang membangun.
* Ini berlaku pada sembilan peratus hingga 14 peratus wanita dan boleh mengakibatkan beberapa masalah.
* Didapati hampir dua pertiga daripada wanita yang mempunyai masalah Menorrhagia akan juga mengalami masalah iaitu masalah kekurangan zat besi.
* Di New Zealand contohnya, satu dalam lima wanita yang berusia 54 tahun ke atas terpaksa melalui pembedahan pembuangan rahim atau histerektomi akibat daripada masalah ini.
* Remaja menghadapi masalah Menorrhagia boleh mengalami terjejas pembelajaran di sekolah kerana kehilangan darah yang banyak dan berpanjangan, menjadi anemia, pucat dan letih sehingga mengganggu pembelajaran.
Mereka yang berisiko:
* Wanita yang lebih muda mudah mengalami haid yang banyak akibat ketidakseimbangan hormon dalam badan.
* Mereka yang akan mengalami putus haid akan melalui satu proses pendarahan haid yang banyak akibat ketidakseimbangan hormon.
* Kemungkinan mereka yang mengalami pendarahan haid yang banyak mempunyai penyakit yang tidak diketahui bergantung juga dengan usianya.
* Faktor lain Ketumbuhan atau fibroid dalam rahim, endometriosis (tisu rahim terletak diluar rahim), penyakit radang pelvik (PID), alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD) dan barah pada salur peranakan.
Antara gejala dihadapi
Selain mengganggu kehidupan sosial mereka juga akan mengalami simptom seperti anemia, susah bernafas, tercungap dan letih serta tidak bermaya terutama ketika berjalan. Mereka ini juga kelihatan pucat dan selalu pening.
Rawatan
* Masalah haid banyak tidak ada satu rawatan untuk semua.
Setiap rawatan bergantung pada punca, umur dan kehendak mereka. Berbincang dengan doktor mendapatkan rawatan yang terbaik amat disarankan.