Tuesday, September 17, 2013

Dahaga Nafkah Batin


Oleh Nor Affizar Ibrahim


Dahaga nafkah batin 
 


KEBAHAGIAAN dicari Ariana ternyata tidak kesampaian. Sangkanya, ikatan perkahwinan terjalin dan
diimpikan selama ini akan menerbitkan bunga-bunga kasih yang mekar, semua itu kini layu hanya menanti menyembah bumi.

Lebih tujuh bulan memendam dan menjeruk rasa, Ariana akhirnya tidak dapat lagi membendung semua itu. Sebulan dua bulan, boleh lagi dia bertahan tetapi jika sudah hampir memasuki lebih setengah tahun usia perkahwinan mereka, mana mungkin dapat disimpan lagi di hati.

Remuk dadanya memikirkan masalah rumah tangga di alami. Puas juga Ariana mencari di mana silapnya, tetapi tiada jawapan yang ditemui. Lebih-lebih lagi, suaminya lebih banyak memberi alasan dan helah mengelakkan sebarang perbincangan antara mereka berdua.

Kesabaran sebagai isteri pasti ada batasnya. Apatah lagi jiwa nurani Ariana sering saja terusik dan tersentuh, malah ada kala berasa terhina diperlakukan begitu oleh suaminya.



Ingin mengadu

Pernah Ariana terfikir hendak mengadu masalah dihadapi orang tua. Tetapi setiap kali berdepan dengan mereka, mulutnya bagai terkunci rapat-rapat. Perasaan serba salah, malu dan takut silih berganti. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan, masalah yang ingin dikongsi itu boleh mengaibkan suami. Akhirnya, masalah itu terus dipendamkan.


Ariana juga ingin berkongsi masalah itu dengan kakak angkatnya, Hayati. Mana tahu, kakak angkatnya itu yang bertindak sebagai ‘pengatur jodoh’ antara Ariana dan suami boleh membantu merungkaikan dilema dihadapi.

Bagaimanapun, hasrat itu juga dibatalkan kerana bimbang, Hayati tersalah anggap dan paling ditakutinya, cerita ‘dalam kain’ antaranya dan suami menjadi bahan bualan orang lain.
Ariana berkenalan dengan suaminya melalui usaha kakak angkatnya yang juga diketahui, kenalan lama tetapi sudah lama tidak berjumpa dan berkirim khabar. Pada mulanya, Ariana menolak diperkenalkan dengan kenalan lama Hayati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Ini berikutan, sebelum ini Hayati pernah memperkenalkan sepupunya kepada Ariana dengan hasrat, menjodohkan mereka. Tetapi sayang, perkenalan itu tidak sampai ke penghujung apabila sepupu Hayati bertemu dan berkahwin dengan wanita lain selepas lapan bulan hubungan mereka semakin erat.

Berita sepupu Hayati ingin berkahwin dengan wanita lain, benar-benar mengecewakan Ariana selepas kasih sayang kepada pemuda itu sudah bertakhta padu di hatinya.

Dua tahun selepas itulah, Hayati berusaha memperkenalkan Ariana dengan teman lamanya. Memikirkan teman sebaya lain hampir semua sudah mendirikan rumah tangga dan bahagia dengan kehidupan masing-masing, jiwa Ariana yang sudah tertutup bercinta akhirnya kembali sudi, menerima lelaki bergelar kekasih.


Dua bulan berkenalan

Perkenalan kali ini tidak lama, hanya dua bulan dan selepas itu masing-masing sepakat menjadikan hubungan itu ikatan suci sebagai suami isteri. Lagipun, bakal suami sudah berusia lewat 40-an manakala Ariana yang pernah gagal dalam percintaan sebelum ini pula berpendapat, lebih baik bercinta dan mengenali hati budi bakal suami selepas berkahwin kelak.

Apabila semua kata sepakat sudah tercapai dan mendapat restu keluarga masing-masing, bermulalah kehidupan baru Ariana dan bergelar isteri dengan suami yang dikenali hanya dalam perkenalan singkat itu.

Sebulan usia perkahwinan, Ariana dapat berasakan kebahagiaan hidup sebagai isteri walaupun suami belum pernah menyentuhnya. Ariana berpendapat, dia dan suami perlu diberikan sedikit masa sebelum hubungan intim berlaku antara mereka berdua. Kebetulan, tiga minggu selepas berkahwin suaminya perlu bekerja di luar daerah selama dua bulan.

Ariana mengakui, sepanjang ketiadaan suami di sisi kesepian melanda diri. Seperti wanita lain yang sudah berkahwin, Ariana juga ingin dibelai dan merasakan kebahagiaan serta hak yang seharusnya dinikmati seorang isteri iaitu nafkah batin. Justeru, Ariana sabar menunggu kepulangan suami yang terpaksa bekerja di luar daerah.

Sekembali, suami tercinta dari luar daerah Ariana sudah membayangkan kali ini mereka sudah seharusnya bersedia untuk mengecapi hidup sebagai suami isteri. Ikatan yang sah sebagai suami isteri sudah tentu menghalalkan mereka untuk melakukan hubungan intim.

Tetapi sekali lagi, Ariana hampa, apabila suami memintanya masa lagi dengan alasan penat dan tertekan sekembali bekerja dari luar daerah. Ariana walaupun kecewa cuba memahami situasi suaminya.

Namun, keadaan itu rupa-rupanya terus berlanjutan sehinggalah enam bulan usia perkahwinan mereka. Terlalu banyak alasan dan helah diberikan suami sehinggakan Ariana mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada suaminya. Namun, setiap kali diajak berbincang mengenai soal nafkah batin, suami Ariana sentiasa dingin dan bagaikan berasa tidak bersalah.

Kesabaran Ariana sudah sampai noktah. Selepas memikirkan masak-masak dan membuat segala pertimbangan, Ariana meminta dirinya dilepaskan. Sangka Ariana, suami akan cuba mempertahankan rumah tangga baru dibina itu tetapi ternyata tidak sama sekali.

Tanpa banyak bicara, suami bersetuju untuk melepaskan Ariana tetapi dengan meletakkan syarat, Ariana yang perlu memfailkan ke Mahkamah Syariah dan menyatakan perceraian itu atas permintaannya sendiri dan tanpa mengungkit kegagalan suami memberikan nafkah batin. Kecewa, sedih dan sakit hati itulah yang menguasai diri Ariana.


Apa Kata Peguam: 

Jadilah suami budiman yang hargai isteri

ZALIM, kejam serta dayus. Itulah yang saya boleh perkatakan mengenai watak lelaki dalam kes minggu ini.

Sememangnya dia tidak berhak 'menggantung' hak dan keistimewaan seorang isteri mengecapi nafkah batin. Malah, beliau sudah melakukan satu dosa besar kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami.

Beliau ternyata alpa dengan pesanan Rasulullah SAW - “Takutlah kamu kepada Allah mengenai tanggungjawab terhadap isteri, kerana sesungguhnya kamu sudah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Hendaklah kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Ibn Majah)

Dalam satu lagi hadis yang lebih khusus, Rasulullah berpesan kepada kalangan suami - “Berwasiatlah kamu supaya berlaku baik terhadap isteri-isteri. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah SWT dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan kalimah Allah SWT” - (riwayat At-Tirmidzi)

Berdasarkan fakta kes ini, saya membuat kesimpulan bahawa si suami tidak pernah menyentuh isteri walaupun sekali. Perbuatan itu sangat, sangat membebankan emosi si isteri kerana secara fitrahnya, selepas ijab dan kabul, naluri untuk berkasih sayang dan bermesra pastinya wujud dalam diri kita.

Si isteri juga berasa tertekan kerana beliau percaya antara kewajipan seorang wanita adalah menyempurnakan keimanan suaminya melalui hubungan intim yang halal.

Sesungguhnya Allah SWT berfirman di dalam surah Al Baqarah ayat 187 “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka”.

Apakah maksudnya pakaian di sini ? Dalam konteks harian, sudah tentu kita akan menjaga pakaian kita dengan baik dan berasa bangga dengannya.

Begitu jugalah halnya dengan seorang isteri. Sebagai 'pakaiannya' seorang lelaki budiman sudah pasti akan memelihara isterinya dengan baik, menggaulinya dengan kasih mesra dan berbangga pula dengan kehadirannya sebagai teman atau pendamping.

Sudah tentu kita tidak mensia-siakan atau memandang remeh akan pakaian atau harta yang menjadi sebahagian daripada kita bukan?

Sekiranya nafkah batin tidak ditunaikan tanpa sebab yang boleh diterima oleh syarak, maka ia adalah berdosa seperti mana hadis Rasulullah yang memberi peringatan kepada suami agar melaksanakan tanggungjawabnya: Seseorang itu adalah berdosa jika mengabaikan nafkah ke atas orang yang ditanggung”. (hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya perceraian adalah jalan terakhir setiap permasalahan selagi perkahwinan itu boleh diselamatkan, kerana dalam perkara ini antara lain yang harus dilakukan terlebih dulu adalah membuat aduan ke pejabat agama dan menghadiri sesi kaunseling bagi mendapat gambaran dan punca sebenar masalah ini.

Biarpun begitu, sekiranya tidak dapat diselamatkan la Seksyen 47 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 dan mendaftar dengan perintah mahkamah.
gi, dan sudah mencapai kata persetujuan, kedua-dua pihak bolehlah menuntut perceraian 'secara baik' melalui

Ia harus dibuat dengan persetujuan bersama tanpa sebarang syarat-syarat yang tidak munasabah seperti yang mahu dilakukan oleh suami wanita malang dalam kes ini.

Selain itu, kita juga boleh merujuk kes ini melalui perspektif taklik. Lazimnya pernikahan yang berlaku di Malaysia adalah dalam bentuk taklik, antara janji yang dilafazkan adalah sekiranya si suami mengabaikan nafkah kepada isteri untuk beberapa tempoh tertentu dan sekiranya disabitkan aduannya itu benar di Mahkamah Syariah, maka jatuhlah satu talak menurut Seksyen 50 Akta yang sama.

Saya nasihatkan pengadu membuat keputusan segera untuk mengelakkan dilema perkahwinannya terus berpanjangan. Wallahu'alam

Thursday, September 5, 2013

Keluarga tak restu


Berita Harian, Sabtu, Januari 21, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Keluarga tak restu


BUKAN melawan atau menentang orang tua tetapi ingin membuat pilihan sendiri. Apatah lagi, keputusan dibuat Riyana Amira dianggap membabitkan kebahagiaan dan masa depan yang bakal dilalui.
   Lantaran itu, Riyana percaya tindakan diambil adalah betul, sekali pun terpaksa berpatah arang dan berkerat rotan dengan orang tuanya. Namun, krisis yang melanda tidak sedikitpun menyebabkan perasaan hormat dan sayang pada kedua ibu bapanya, hilang atau luntur sama sekali.
   "Barangkali apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Cuma, saya harapkan ayah dan ibu dapat memahami perasaan saya, memberi restu dan tidak membenci apatah lagi membuang saya sebagai anak mereka selepas tahu apa yang saya lakukan," kata Riyana dalam nada perlahan dengan genangan air pada birai matanya.


Bukan terdesak hendak kahwin

Gadis berusia 25 tahun itu, sebenarnya serba-salah untuk berkongsi cerita tetapi disebabkan kisah dilalui ingin dijadikan iktibar kepada yang lain, dia akhirnya berubah fikiran.
   Riyana turut menegaskan, tindakan diambil bukan terlalu terdesak untuk berkahwin atau seperti tohmahan dilemparkan kepadanya `sudah gatal' untuk bersuami, sebaliknya percaya itulah jalan terbaik wajar dibuat selepas tiada jalan penyelesaian.
   Selepas setahun bersabar dan usaha memujuk dua orang tuanya gagal, Riyana kemudian bulat fikiran membuat permohonan untuk bernikah secara wali hakim berikutan bapa kandungnya enggan mewalikan.
   "Saya sudah pun membuat permohonan tetapi kes saya belum dibicarakan lagi. Oleh itu saya masih menaruh harapan supaya bapa dapat mengubah fikirannya. Saya benar-benar sedih sekiranya, perkahwinan saya nanti terpaksa berwalikan orang lain sedangkan bapa kandung masih lagi hidup dan sihat," luah Riyana sambil menggetap kedua-dua bibir.
  

 Tindakan jalan terakhir

Riyana memberitahu, keputusan itu dibuat selepas keengganan bapanya untuk mewalikan perkahwinannya dengan teman lelaki yang dikenali sejak enam tahun lalu. Lebih meruntun hati anak gadis itu kerana bapanya ingin menjodohkannya dengan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an, sedangkan semua ahli keluarga tahu Riyana sudah pun ada pilihan hati sendiri.
   Justeru, jalan terakhir terpaksa diambil ialah membuat permohonan di Mahkamah Syariah bagi membolehkannya bernikah dengan teman lelaki pilihan hatinya supaya mahkamah membuat keputusan, mengisytiharkan bapa wali enggan.
   Ditanya, mengapa bapanya enggan menerima teman lelaki sebagai menantu. Riyana membisu seketika dan akhirnya mengeluarkan satu keluhan panjang. Katanya, dia sendiri tidak faham mengapa bapanya tidak setuju dengan pilihan hatinya dan beriya-iya untuk menjodohkan dengan lelaki pilihan keluarga.
   "Emak pun tidak setuju dengan pilihan saya. Tapi saya tidak hairan sebab dari dulu emak memang akan ikut kata ayah. Alasan ayah, katanya dia cuma tidak suka dengan teman lelaki saya, atas alasan apa, saya sendiri pun tidak tahu. Malah, ayah pernah memberitahu, jika enggan menerima lelaki pilihan keluarga, saya boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki asalkan bukan kekasih saya. Peliknya, ayah dan teman lelaki saya tidak berkenalan secara rapat apatah lagi bermusuhan. Tetapi ayah pernah jumpa kekasih saya kira-kira lima tahun lalu. Itu pun sebelum dia belajar dan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat," cerita Riyana.
 

Tidak mahu pilihan bapa

Bagaimanapun, Riyana amat lali dengan perangai bapanya - jika putih katanya, maka putihlah jawapan mesti diberikan.  Tidak sesiapa boleh membantah, sekalipun ibu Riyana. Oleh sebab itulah bapanya sengaja memberi alasan Riyana boleh kahwin dengan mana-mana lelaki dan bukan teman lelakinya kini.
   Mengenai calon suami pilihan bapanya Riyana berterus terang, tiada sedikit pun ruang di hati untuk menerimanya.
   Katanya, bukan jarak usia jauh dan status duda yang apa padanya membuatkan dia menolak tetapi pintu hati memang langsung tidak terbuka untuk menerimanya.
  "Sebenarnya, calon pilihan ayah adalah kawannya. Dia pernah berkahwin tetapi tiada anak. Kerjayanya memang stabil dan agak berharta orangnya. Saya pernah dua kali berjumpa dengannya tetapi tidak kenal dia secara mendalam, sedangkan saya sudah kenal teman lelaki sejak enam tahun lalu.
   "Sepanjang perkenalan kami, saya dapati dia seorang penyayang, pemurah, bertanggungjawab dan berpendidikan dalam soal agama, tambahan bakal bapa mentua adalah seorang imam. Sebab itulah saya yakin dengan kata hati dan keputusan yang saya buat memilihnya untuk dijadikan teman hidup," kata Riyana masih terus mengharap bapanya dapat mengubah keputusan.
  
 
  
Apa kata pakar?

Zalim jika enggan walikan anak tanpa alasan syarak

PERNIKAHAN yang sah adalah mematuhi dan memenuhi semua syarat dan rukun pernikahan iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi lelaki dan juga ijab kabul (akad nikah itu).
   Menurut Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 11 - suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut hukum syarak, untuk menjadikannya sah.
   Setiap orang Islam di Malaysia yang mahu berkahwin perlu mengetahui prosedur perkahwinan menurut Undang-Undang Keluarga Islam Negeri tempat menetap masing-masing. Prosedur ini adalah perlu untuk memastikan perkahwinan yang dilaksanakan adalah bertepatan dengan undang-undang yang berkuatkuasa.
   Perkahwinan yang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul saja akan diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang.
  
Dalam kes Riyana Amira kali ini, isu berbangkit adalah berkenaan dengan bapa yang enggan untuk menjadi wali dan dalam konteks perkahwinan, wali adalah seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk menikahkan bakal isteri dengan bakal suaminya.
   Daripada hadis Nabi SAW: "Dari Abi Musa RA. Rasulullah saw bersabda: `Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali'. (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa'i)"
   Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia adalah antara rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah daripada kalangan orang yang berkelayakan. Wali turut terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu wali mujbir, aqrab, ab'ad dan wali raja /hakim.
   Sebagai seorang bapa, beliau adalah wali mujbir iaitu wali yang mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak. Sekiranya wali enggan untuk menikahkan pengantin perempuan maka bolehlah menggunakan wali hakim.
  

Menurut Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) Wali Hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di- Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.
  
Antara faktor yang dibenarkan untuk menggunakan wali hakim adalah:
  
  1. Tidak ada wali nasab,
  
  2. Anak tidak sah taraf atau anak angkat
  
  3. Wali yang ada tidak cukup syarat
  
  4. Wali aqrab menunaikan haji atau umrah
  
  5. Wali yang enggan.

  
  Dalam kes Riyana, sebagai seorang bapa hendaklah beliau duduk berbincang akan sebab mengapa calon Riyana tidak dipersetujui. Seorang bapa hendaklah berfikiran matang dan bertanggungjawab dalam setiap perbuatannya. Kalangan Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
  
Ada juga sebuah hadis yang menyatakan : "Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu: solat bila sudah datang waktunya, jenazah bila sudah terlantar dan wanita janda yang sudah bertemu jodohnya". (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim).   Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
  
  Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi'e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang akan menikahkannya.
   Rasulullah SAW turut bersabda: "Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali". (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
  

Dalam kes Azizah Mat lawan Mat Salleh berkenaan dengan wali enggan, Yang Arif Kadi Mahmood Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin dengan Mansor Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.
   Seperti tertulis di dalam Seksyen 13 Akta Undang- Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan; sekiranya wali enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
   Maka, dalam perkara ini Riyana boleh membuat permohonan menggunakan wali hakim dan sebaiknya selepas berbincang dengan bapa.
   Sebagai seorang bapa juga haruslah bertimbang rasa dan prihatin terhadap anaknya. Bapa hendaklah cuba berfikiran matang dan sekiranya tidak berpuas hati dengan calon pilihan anak cuba berbincang dan bersemuka empat mata dengan semua pihak.
  
Setiap perkahwinan adalah atas rasa kasih sayang yang suci dan perasaan itu biarlah berlandaskan agama dan hukum pemerintah. Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang dalam kehidupan. Oleh itu kedua - dua belah pihak memainkan peranan penting di dalam hal ini. Pihak bakal suami dan juga bakal isteri seharusnya cuba untuk bekerjasama dalam memastikan perkara yang disamakan dengan perbuatan mendirikan masjid ini berjalan sempurna. Sebagai seorang anak pula, berbincanglah baik-baik dengan ibu bapa kerana walau apa jua sekalipun merekalah yang menjaga dan membesarkan kita dari sekecil tapak tangan sehingga dewasa.

Bimbang akidah anak

Berita Harian, Sabtu, Mac 31, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Bimbang akidah anak

 APABILA rumah tangga dibina hancur, kemelut utama yang dihadapi pasti soal hak penjagaan anak. Lebih-lebih lagi, jika anak itu masih kecil atau pun bawah umur.
   Justeru, lazimnya akan adalah `perebutan' jika salah seorang tidak mahu mengalah atau masing-masing terus berkeras menuntut hak penjagaan anak. Tentu saja kurang enak jika perebutan itu disusuli dengan bertikam lidah dan bermasam muka sehingga tidak lagi boleh bertegur sapa.
   Meskipun, hubungan kedua-dua suami isteri itu sudah terlerai, tidak sewajarnya keadaan seperti itu berlaku. Apatah lagi, di depan mata anak yang masih kecil dan banyak perkara belum difahami mereka.
   Senario itulah yang berlaku pada Zuhairi Safar, 38, (bukan nama sebenar) yang baru tiga bulan bercerai selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita mualaf yang berasal dari Jerman.
  

Tuntut hak

Kes perceraian pasangan berkenaan sudah pun selesai tetapi kini dalam fasa perbicaraan untuk menuntut hak penjagaan dua anak hasil perkahwinan lalu. Kedua-dua anak mereka masih kecil iaitu baru berusia lapan dan enam tahun.
   Zuhairi memberitahu, buat masa ini, kedua-dua anak itu berada dalam jagaan bekas isterinya. Bagaimanapun, Zuhiari sudah pun memfailkan permohonan hadanah (hak penjagaan anak) daripada bekas isteri di Mahkamah Syariah.
   Katanya, langkah itu terpaksa dibuat bagi mengelakkan wanita itu membawa dua anak mereka kembali ke agama asalnya. Tambahan, Zuhairi mendapat tahu bekas isterinya merancang untuk kembali ke negara asal kelahirannya. Sudah pasti, semua itu menambahkan kebimbangan manakala keluarga Zuhairi turut mendesaknya membuat tuntutan itu sebelum berlaku perkara tidak diingini terutama mengenai pegangan akidah kedua-dua anaknya.
   "Kami sah bercerai secara tebus talak. Mungkin sudah takdir jodoh kami sehingga setakat itu saja. Tetapi dalam hal ini, saya turut mengaku kesilapan kerana tidak pernah membimbing bekas isteri sebaik saja dia memeluk Islam.
   "Saya akui, perkahwinan kami dulu adalah atas dasar cinta, malah bekas isteri sebelum ini memang tidak pernah terbuka untuk memeluk agama Islam. Tetapi disebabkan kami ingin berkahwin, dia menyatakan kesanggupannya memeluk Islam. Silapnya, saya tidak pernah hendak membimbingnya, malah saya sendiri bukanlah seorang Muslim yang baik kerana solat lima waktu sering saja diabaikan.
   "Saya hanya berubah selepas berdepan dengan konflik rumah tangga tetapi ketika itu semuanya sudah pun terlewat. Apabila sudah bercerai, saya terus berusaha mendekatkan diri dengan Allah dan cuba membetulkan kesilapan dan kealpaan saya mengenai agama sebelum ini," akui Zuhairi kelemahan dan kesilapan pernah dilakukan.
    

Bibit perkenalan
 
Mengimbas pertemuannya dengan bekas isteri, Zuhairi memberitahu mereka berkenalan ketika menuntut di Jerman. Bekas isterinya, lima tahun lebih tua darinya dan bekerja dengan agensi pelancongan. Pertemuan bermula apabila bekas isterinya datang makan di restoran tempat Zuhairi bekerja secara sambilan bagi menampung kos kehidupan di negara orang.

   Bermula dari teman biasa, akhirnya lahir bibit-bibit cinta. Bekas isterinya juga tidak lokek untuk membantu Zuhairi dari segi kewangan dan ini menyebabkan perasaan kasih sayang antara mereka terus berbunga mekar.
    "Bekas isteri saya seorang atheis atau tiada pegangan agama dan saya tidak kisah semua itu. Saya pula sejak berada di negara orang, semakin jauh dengan sejadah. Justeru, tidak hairanlah setiap kali keluar bersama, banyak perkara terlarang yang kami lakukan tetapi tidaklah sampai ke tahap zina. Nasib baik, ada rakan-rakan yang memberikan nasihat untuk menyedarkan saya dan kerana bimbang iman semakin goncang saya melamarnya berkahwin. Dia bersetuju tanpa banyak soal jawab, lagipun perasaan sayang antara kami memang kuat ketika itu. Tamat pengajian, saya bawa dia balik ke Malaysia tetapi ketika itu saya masih leka dengan duniawi. Apatah lagi, saya mendapat pekerjaan baik dengan gaji yang agak lumayan," ceritanya.
   Zuhairi berkata, sepatutnya dia memberikan bimbingan kepada bekas isteri atau sekurang-kurangnya menghantarnya ke PERKIM untuk mendalami agama Islam. Tetapi semua itu tidak pernah dilakukan, sebaliknya terus memberikan kebebasan kepada bekas isterinya. Lalu, tidak hairanlah bekas isterinya tidak pernah mendekatkan diri dengan ajaran Islam
dan tidak pernah tahu cara untuk menunaikan solat dengan betul.
    "Bukan keluarga saya tidak pernah menegur tetapi saya sendiri yang tidak pernah ambil kisah. Akhirnya, begitulah jadinya dan ini memang kesilapan besar yang saya sudah lakukan," katanya sekali lagi mengulangi kekesalan di hati.
       Zuhairi tidak kisah jika bekas isteri ingin menjaga anak mereka tetapi apa membimbangkannya adalah status agama kedua-dua kanak-kanak itu yang didakwa sudah semakin jauh daripada ajaran Islam seperti mana ibu mereka.
   "Saya rela menyerahkan kedua-dua anak saya untuk dijaganya tapi saya mahu memastikan akidah anak saya yang masih kecil, berada di landasan yang betul. Persoalannya, bagaimana bekas isteri mampu memberikan jaminan semua itu sedangkan dirinya juga tidak mengenali Islam. Tidak dapat saya bayangkan jika mereka mengamalkan ajaran agama selain Islam," katanya.
  

Apa kata peguam?



BAPA BERHAK TUNTUT HAK PENJAGAAN ANDAI BIMBANG MURTAD

  
HADHANAH atau soal penjagaan anak adalah satu proses penjagaan dan pengawasan ke atas anak-anak yang tidak mampu menguruskan diri mereka, menjaga mereka daripada sesuatu yang mampu memudaratkan serta mendidik fizikal dan mental mereka sehingga mereka mampu memikul tanggungjawab atau pandai berdikari.
    Kewajipan bapa untuk menanggung anak ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam Surah Albaqarah: 233 dan juga menurut Seksyen 72 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984. Secara dasarnya, menurut Seksyen 83 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 hak hadhanah ini diserahkan kepada ibu selepas perceraian berlaku di dalam sesebuah keluarga.
    Bagaimanapun ia bukanlah hak mutlak kerana seorang ibu itu boleh hilang kelayakan di atas sebab-sebab tertentu menurut undang-undang dan syarak maka hak jagaan anakanak itu boleh berpindah kepada bapa melalui tuntutan daripada mahkamah.
  
  Seksyen 82 Akta yang sama menerangkan seorang itu layak terhadap hadhanah dengan syarat-syarat seperti berikut:
  

  (a) Dia adalah seorang Islam,
  
  (b) Dia adalah sempurna akal,
  
  (c) Dia berumur yang melayakkannya memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu,
  
  (d) Dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  
  (e) Dia tinggal di lokasi yang mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
  

  Seterusnya Seksyen 83 turut menyenaraikan sebab bagaimana kelayakan untuk mendapatkan hak penjagaan itu boleh luput, iaitu antaranya subseksyen (d) sekiranya perempuan itu murtad. Walaupun di dalam kes ini bekas isteri Zuhairi tidak dikatakan secara jelas sudah murtad, tetapi dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.
   Justeru, adalah dikhuatiri akan mendatangkan kesan dan akibat buruk kepada anak-anak. Berdasarkan seksyen-seksyen di atas, Zuhairi sebagai seorang bapa berhak menuntut hak penjagaan anak selepas berlaku perceraian dalam beberapa keadaan, antaranya seperti di bawah:
  
  1) Apabila ibu hilang satu kelayakan hadhanah seperti tertulis di dalam Seksyen 83 dan 84, dan di sebalik itu bapa mempunyai semua kelayakan tersebut. Di dalam kes ini bekas isteri Zuhairi walaupun sudah memeluk agama Islam tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran dan cara hidup seorang Muslim yang sebenar. Sekiranya membawa anak-anak tinggal bersama bekas isteri boleh menyebabkan anak-anak terpesong akidah, ianya tidak patut berlaku dan wajib diselamatkan.
  
  2) Melalui perintah mahkamah apabila dalam sesuatu keadaan di mana mahkamah membuat keputusan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak berkenaan.

  
  Sehubungan itu, Zuhairi melalui peguamnya, bolehlah membuat tuntutan Hak Jagaan Anak dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah disertakan dengan dokumen sokongan yang berkaitan. Seterusnya selepas proses perbicaraan, keterangan saksi dan mengemukakan bukti yang kukuh mahkamah akan mengeluarkan perintah hak jagaan anak.
    Selain itu, Zuhairi turut mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat sebagai ketua keluarga di dalam mendidik keluarga. Perkahwinan adalah satu amanah yang harus dipikul oleh pasangan suami isteri. Lebih-lebih lagi suami yang mempunyai bebanan yang berat di akhirat kelak.
  
  Rasulullah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Daripada Jabir bin Abdullah katanya, Rasulullah bersabda: :"Takutlah kamu kepada Allah tentang tanggungjawab terhadap isteri , kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Hendaklah kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik." (Ibn Majah)

   Dengan memberi pendidikan agama dan membimbing isteri dengan sempurna, dapat mengelakkan kepincangan keluarga daripada berlaku. Seterusnya mengekalkan keharmonian keluarga. Begitu juga di dalam perceraian kesan dan akibatnya lebih tertumpu kepada anak-anak. Lebih-lebih lagi yang masih kecil.
   Harus diingat bahawa anak bukanlah harta ataupun hadiah yang boleh direbut ataupun untuk dimenangi. Amalkan sikap toleransi dan saling bekerjasama bagi mengelakkan anak-anak menjadi mangsa perceraian. Jangan menghasut anak membenci pasangan kerana darah yang mengalir tetap darah yang sama daripada ibu bapa.

Suami ingin rujuk bekas isteri

Berita Harian, Sabtu, Oktober 23, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim



Suami ingin rujuk bekas isteri



MAIZAH membungkam diri. Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya. Dua bulan sudah Maizah memikirkan tetapi masih tidak dapat memberikan jawapan pasti. Ikutkan hati mahu saja berterus terang dan berkata, "Tidak". Namun, apabila mahu menyebut saja perkataan itu, lidahnya kelu tidak boleh berkata-kata.
     Hari minggu itu, suaminya sekali lagi menuntut jawapan daripadanya. Pelbagai perasaan timbul dalam diri Maizah - sedih, geram, benci dan macam-macam lagi yang sukar digambarkan.
    Setahun mendirikan rumah tangga dengan Abang Izan, memang cukup membahagiakan. Walaupun Maizah sedar ketika mengambil keputusan berkahwin dengan Abang Izan, bakal suaminya itu berstatus duda dan beranak satu. Namun, status Abang Izan tidak pernah memadamkan perasaan kasih sayangnya, apatah lagi masing-masing sudah berjanji akan terus setia sekali pun ombak badai menimpa rumah tangga mereka.
  
Kerap bertemu janda

Maizah juga tidak kisah selepas mereka berkahwin, suaminya itu kerap bertemu dengan janda dan anak lelakinya. Maizah tidak mahu dituduh menjadi pemutus kasih sayang terutama antara anak dan ayah.
   Jika Abang Izan ingin melunaskan tanggungjawab sebagai bapa, apalah salahnya jika dia menjenguk selalu dan menghabiskan wang ringgit serta masa bersama darah dagingnya. Malah, Maizah bangga suaminya seorang yang prihatin dan tahu peranannya, tidak seperti sesetengah lelaki lain selepas bercerai terus mengabaikan kebajikan anak.
   Bagaimanapun, dua bulan lalu Abang Izan meluahkan isi hati dan meminta keizinan daripada Maziah. Bagaikan meledak gunung berapi dalam diri Maizah apabila mendengar permintaan Abang Izan.
   Bagi Maizah, tidak masuk akal apabila Abang Izan menyatakan ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya. Mengapa sekarang? Mengapa selepas beberapa tahun bercerai mereka hendak bersatu kembali.

Tiada zuriat  

Adakah kerana Maizah masih tidak mampu memberikan zuriat menyebabkan Abang Izan membuat keputusan itu? Tetapi mereka baru setahun mendirikan rumah tangga dan mengapa tidak boleh bersabar? Ada ramai lagi pasangan yang sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi masih tiada rezeki menimang cahaya mata. Rasa nak pecah kepala Maizah apabila memikirkan semua itu.

   Terus terang, Maizah tidak menolak poligami tetapi sebagai wanita, hatinya pasti sukar untuk berkongsi kasih. Sukar Maizah hendak membayangkan apa akan terjadi jika dia benar-benar dimadukan. Namun, Abang Izan seolah-olah tidak mahu ambil tahu semua itu, sebaliknya terus menggesa Maizah mengizinkannya berpoligami.
    Maizah tidak tahu hendak berkata apa lagi, akhirnya mengalah dan akur dengan permintaan Abang Izan. Tersenyum lebar suaminya apabila menerima jawapan Maizah sekali pun hanya dengan menganggukkan kepala.
   



Buat permohonan mahkamah

Abang Izan membawa Maizah ke Mahkamah Rendah Syariah untuk membuat permohonan poligami. Menjejakkan kaki ke mahkamah, hati Maizah tibatiba dibalut rasa sayu terutama apabila memikirkan dirinya akan bermadu. Namun, tidak bagi Abang Izan sepanjang perjalanan asyik menyeringai dan sesekali sibuk menyemak dokumen yang perlu dibawa.
   Dalam permohonan dikemukakan, Abang Izan meminta mahkamah membenarkannya berpoligami bagi membolehkan dia memperisterikan semula bekas isteri. Apabila kes mula didengar hadapan hakim syarie, Abang Izan tiba-tiba menunjukkan tiada keyakinan diri. Abang Izan seolah-olah tidak pasti, adakah dirinya benar-benar mampu beristeri dua. Maizah agak terkejut juga melihat perubahan Abang Izan sedangkan malam tadi, Abang Izan sudah siap `menghafal skrip' untuk menjawab semua soalan yang bakal diajukan di mahkamah.
   Ketika sebutan kes dibuat di mahkamah terbuka, Abang Izan berdolak-dalik apabila ditanya sama ada mahu meneruskan permohonannya atau tidak.
   Apabila ditanya, adakah dia mampu - Abang Izan menjawab: "Saya mampu (kahwin lagi)" tapi dalam nada yang teragak-agak.
   Sehinggalah hakim menegurnya: "Mahkamah akan tengok dari semua sudut. Harus ambil kira pelbagai perkara, bukan daripada gaji saja. Poligami bukan masalah duit, mampu atau tidak semata-mata." Apabila ditanya sekali lagi, sama ada mahu meneruskan kesnya atau tidak, Abang Izan hanya memandang ke arah Maizah sambil tersenyum.
   Kesudahannya, hakim menangguhkan sementara kes bagi memberi peluang kepada mereka untuk berbincang.
  
Tarik balik permohonan

Apabila kesnya dipanggil semula kira-kira 10 minit kemudian, Abang Izan ditanya sekali lagi. Kali ini, dengan nada tegas dan yakin dia memberitahu, ingin menarik balik permohonan.
   Maizah yang ketika itu berdiri di sebelah kanannya, tersenyum dan berasa lapang dada mendengar jawapan itu.
   Abang Izan mengakui, masih menyayangi Maizah. Mahkamah, berdasarkan permohonan plaintif, memerintahkan kes dibuang. Bagaimanapun, hakim sempat memberi nasihat dan berkata: "Kalau suami berkenan dengan orang lain, ada sebabnya. Ada perempuan yang rasa malu kerana beranggapan apabila dimadukan seolah-olah menampakkan kelemahan mereka. Sebenarnya antara pasangan suami isteri ada kelemahan, tiada yang dilahirkan sempurna. Ada sebab mengapa pasangan kita berubah. Berundinglah, jika boleh," kata hakim.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...