Friday, October 7, 2016

ublication Name :

Berita Harian
Date of publication :Sat, Mar 12, 2011
Section Heading :Sabtu
Page Number :008
Headline :Tuduh-menuduh selepas bercerai



Status:Normal
Column Name:Kisah dari Mahkamah Syariah
Zone:A-All
Length count:559
  
Text:TUDUH-menuduh, menuding jari dan menyalahkan satu sama lain adalah perkara biasa setiap kali selepas perceraian. Bagaikan lumrah, siapa yang nak mengaku salah kalau perceraian berlaku.
  
 Ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Syariah, mungkin yang bersalah akan mengaku salah tetapi ya apabila apabila di luar lain pula kisah yang timbul. Kesalahan pasangan akan dijaja bagi menegakkan kebenaran, hilang sudah kasih sayang dan rasa hormat sekali pun pernah berkongsi hidup berpuluh tahun lamanya.
  
 Cerita begitu, sekali pun mungkin ada benarnya sedikit sebanyak akan membangkitkan kemarahan, bukan saja pada bekas pasangan hidup, malah keluarga juga rakan yang mendengar cerita.
  
 Seperti kisah minggu ini, membabitkan pasangan yang dihormati. Bercinta sejak belajar, rumah tangga dibina hanya bertahan kira-kira 10 tahun apabila mereka bercerai talak tiga, dua tahun lalu. Sepanjang hidup bersama itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, berusia sembilan tahun dan lima tahun.
  
 Menerusi e-mel yang dihantar ke Ratu, seorang pembaca menceritakan rumah tangga pasangan berkenaan bergolak sebelum kelahiran anak kedua lagi dan mereka pernah bercerai sebanyak dua kali tanpa merujuk kes ke mahkamah. Hanya apabila lafaz cerai disebut kali ketiga, pasangan itu merujuk kes ke mahkamah.
  
 Selepas bercerai, si bekas suami, Azrul Fadzli (bukan nama sebenar), 39, bercerita dia sememangnya tidak mahu berkahwin dengan bekas isterinya, Azura Rahman (bukan nama sebenar), 39. Mereka berkahwin hanya kerana Azura mengugut untuk membunuh diri jika tidak diperisterikan.
  
 "Azrul mengadu, bekas isterinya sering mengugut malah ketika di pengajian Azura pernah menghentak kepala ke dinding hingga berdarah dan memukul Azrul sehingga koyak baju di khalayak ramai setiap kali bergaduh.
  
 "Mereka akhirnya berkahwin dan Azrul mengakui masih memerlukan ruang menikmati zaman muda untuk menjalani kehidupan lelaki bujang. Itulah yang dilakukan Azrul. Walaupun sudah berkahwin dan beranak dua. Azrul terus dengan dunia sosialnya dan sentiasa mencari kenalan wanita.
  
 Alasan dia, tertekan dengan sikap serta perangai isteri yang sering mengongkong 24 jam selain hanya perlu mengikut cakap si isteri," katanya.
  
 Tidak cukup dengan itu, Azrul turut bermain cinta dengan kenalan wanitanya. Beberapa kali Azura berjaya menghidu aktiviti suaminya. Lebih teruk, Azrul juga pernah menjalin hubungan sulit dengan pembantu rumah mereka. Akibatnya, Azura terpaksa lebih mengawal suami sehingga sering kali kelihatan seperti dia `queen control'.
  
 "Tetapi, Azrul hanya bercerita kononnya Azura terlalu cemburu dan memaki hamunnya hanya kerana dia membuka pintu kereta untuk pembantu rumah yang sarat tangan memegang lauk-pauk yang dibeli di bazar Ramadan," cerita e- mel itu lagi.
  
 Selepas bercerai, Azrul mengakui kesilapannya tetapi sering juga menyebut semua perbuatannya itu berpunca daripada sikap Azura. Pada masa yang sama, Azrul meneruskan kehidupannya, yang tidak puas-puas berseronok dan sering memburu wanita untuk keseronokan.
  
 Tidak cukup dengan rumah tangga yang musnah, Azrul juga hilang segala- galanya. Bekas isteri menuntut segala harta sepencarian, malah hak penjagaan anak-anak pun dituntut isteri.
  
 Azura pula walaupun kini sudah mempunyai keluarga baru, seolah-olah tidak dapat `melepaskan' Azrul. Kisah cinta baru Azrul terus-terusan diganggu sehingga sanggup pasang `kaki' menyelidik latar belakang teman wanita bekas suaminya.
  
 Lebih teruk apabila Azura dan `rakan sekampungnya' yang sepejabat dengan teman wanita Azrul berpakat menabur fitnah terhadap teman wanita Azrul. Apa tujuan sebenar Azura, hanya dia yang tahu. Mungkin berdendam dengan Azrul atau sebenarnya masih memendam perasaan pada bekas suami.
  
 Apa pun, setiap apa yang berlaku mempunyai 1,001 alasan tersendiri. Segala yang berlaku ada hikmahnya. Andai perpisahan jalan yang dipilih, kehidupan masih perlu diteruskan, perbaiki sikap dan perhubungan jika sudah bertemu ganti. Kisah lama jangan dikenang dan lebih penting, hilangkan dendam, hentikan tuding-menuding.
  

Thursday, October 6, 2016

Skandal isteri curang



Berita Harian, Sabtu, Julai 10, 2010
Oleh Nor Affizar Ibrahim



KITA sering mendengar keluhan wanita atau isteri yang berdepan dengan masalah rumah tangga. Kebanyakan kisah dikongsikan itu adalah cerita lara yang menusuk hati. Malah, ada di antaranya seolah-olah tiada noktah penderitaan dan sememangnya perit untuk ditanggung.
   Bagaimanapun, dalam menyelongkar kisah rumah tangga, kaum Adam juga tidak terkecuali berdepan dengan situasi seperti itu. Cuma, mungkin sukar bagi mereka untuk membuka mulut dan berkongsi kepedihan di hati.
   Pertemuan dengan Joefri (bukan nama sebenar) baru-baru ini, membuatkan penulis bersimpati dengan apa yang sudah dilalui.
   Namun, awal pertemuan, sukar sekali untuk Joefri melontarkan kata-kata, seolah-olah tergugat ego lelakinya untuk meluahkan isi hati.
   Apabila suasana dan keadaan semakin selesa, barulah Joefri mahu berbicara. Banyak juga rahsia yang didedahkan, tetapi menghormati permintaannya, ada di antara cerita itu yang tidak boleh dipaparkan di ruangan ini.

Bahagia, aman damai

Kata Joefri, rumah tangga yang dibina lapan tahun lalu sememangnya bahagia dan aman damai. Jika ada pertengkaran atau selisih faham antara Joefri dan isteri, itu adat berumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
   "Saya dan isteri, Amilah (bukan nama sebenar) berkenalan dan bercinta sejak sekolah lagi. Kami duduk di taman perumahan yang sama. Hari-hari jumpa dan banyak melakukan aktiviti bersama, akhirnya cinta pun bersemi.   Apabila hati masing-masing sudah terpaut, kami pun bersetuju untuk disatukan walaupun ketika itu kami baru dua tahun tamat Tingkatan 5. Barangkali sudah jodoh kami berkahwin muda," kata Joefri tersenyum, mungkin teringat kisah indah yang pernah dilalui.
   Setahun berkahwin, Amilah pun mengandung anak pertama. Alahan yang begitu teruk ketika hamil menyebabkan Joefri meminta isteri berhenti kerja.





   Amilah setuju cadangan itu apatah lagi dirinya memang tidak terdaya berdepan dengan situasi itu.


Terbaca SMS


Meneruskan cerita, Joefri berkata selepas bersalin isterinya semakin seronok duduk di rumah, menguruskan rumah tangga dan menjaga anak.
   Sehinggalah usia anak mer
   "Setahun berlalu, semuanya berjalan baik. Tetapi suatu hari, saya terbaca khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon bimbit isteri saya. Sebagai suami, saya tercabar apabila membaca kiriman SMS itu. Menyirap darah saya, tetapi masih dapat bersabar dan berpendapat, SMS itu mungkin gurauan. Seminggu berlalu, peristiwa itu berulang lagi dan kali ini saya bertanya pada isteri.
    “Jawapannya yang acuh tidak acuh, benar-benar membuatkan hati saya berasa sakit," kata Joefri sambil menggenggam kemas jari-jarinya.
    Kata, Joefri, suatu hari sengaja dia mengambil cuti untuk mengintip pergerakan isteri. Apa yang disangsikan benar-benar berlaku apabila dengan mata kepala sendiri menyaksikan betapa mesra isterinya bersama seorang lelaki yang lebih berusia daripadanya.

eka empat tahun, suatu hari Amilah memberitahu ingin bekerja semula. Joefri merestuinya dengan syarat, Amilah tidak mengabaikan anak dan rumah tangga.

Gambar separuh bogel


Lebih dikesalkan, apabila mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit dengan suami orang. Ini terbukti, apabila isteri lelaki terbabit menghantar beberapa keping gambar Amilah dan lelaki itu dalam keadaan separuh bogel kepada Joefri dan gambar itu dipercayai diambil `dua sejoli' itu sebelum disimpan dalam telefon bimbit.
   "Sakit hati saya tidak habis di situ. Saya minta Amilah perjelaskan keadaan sebenar. Bukan jawapan yang diberi sebaliknya, saya dimaki-hamun dan isteri mula mengungkit kemampuan saya memberikannya kemewahan.
   “Saya akui, dengan gaji sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan saya tidak mampu memberikan kemewahan kepada Amilah. Tetapi Alhamdulillah, selama hidup kami tidaklah susah dan sekurang-kurangnya boleh membeli apa yang diidamkan. Bagaimanapun, isteri saya mahu lebih dari itu," kata Joefri dengan nada suara yang perlahan.

Kemuka saman

Pergaduhan antara mereka suami isteri berlarutan dan akhirnya membawa ke Mahkamah Syariah Rendah. Joefri tiada jalan lain, mengemukakan saman terhadap isterinya.
   Dalam pernyataan tuntutannya, Joefri menuntut kepada mahkamah supaya Amilah diisytiharkan nusyuz dan lain-lain perintah atau relif yang dianggap adil dan sesuai manfaat oleh mahkamah.
   "Saya masih ingat lagi, isteri dengan nada sombong berkata, tidak kisah dengan permohonan itu. Amilah juga tidak kira jika saya nak kata dia nusyuz ke atau apa ke, yang penting dia diceraikan segera. Terasa dayus saya ketika itu. Tetapi isteri tidak bergurau, sebaliknya bersungguh-sungguh menyuruh saya segera menjatuhkan talak dan mengherdik dengan berkata, sekiranya saya mahu balik dengannya sekalipun, dia tidak akan bersetuju, " kata Joefri lagi.
   Kes Joefri dan isteri masih lagi dalam proses perbicaraan.
   Baru-baru ini, hakim syarie dalam penghakimannya mengarahkan Amilah sebagai defendan supaya melantik peguam bagi pihak pembelaan pada tarikh perbicaraan akan datang, selain mengarahkan defendan mengemukakan alamat tetap.
   Sementara Joefri sebagai plaintif pada masa sama turut mengemukakan permohonan terhadap teman lelaki isterinya supaya tidak menjalinkan hubungan dengan iste
rinya sehingga kes itu selesai dibicarakan.

Wednesday, September 14, 2016

Suami ingin rujuk bekas isteri


Berita Harian, Sabtu, Oktober 23, 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Suami ingin rujuk bekas isteri



MAIZAH membungkam diri. Tiada jawapan yang keluar dari mulutnya. Dua bulan sudah Maizah memikirkan tetapi masih tidak dapat memberikan jawapan pasti. Ikutkan hati mahu saja berterus terang dan berkata, "Tidak". Namun, apabila mahu menyebut saja perkataan itu, lidahnya kelu tidak boleh berkata-kata.
   Hari minggu itu, suaminya sekali lagi menuntut jawapan daripadanya. Pelbagai perasaan timbul dalam diri Maizah - sedih, geram, benci dan macam-macam lagi yang sukar digambarkan.
   Setahun mendirikan rumah tangga dengan Abang Izan, memang cukup membahagiakan. Walaupun Maizah sedar ketika mengambil keputusan berkahwin dengan Abang Izan, bakal suaminya itu berstatus duda dan beranak satu.
Namun, status Abang Izan tidak pernah memadamkan perasaan kasih sayangnya, apatah lagi masing-masing sudah berjanji akan terus setia sekali pun ombak badai menimpa rumah tangga mereka.   Maizah juga tidak kisah selepas mereka berkahwin, suaminya itu kerap bertemu dengan janda dan anak lelakinya. Maizah tidak mahu dituduh menjadi pemutus kasih sayang terutama antara anak dan ayah.
   Jika Abang Izan ingin melunaskan tanggungjawab sebagai bapa, apalah salahnya jika dia menjenguk selalu dan menghabiskan wang ringgit serta masa bersama darah dagingnya. Malah, Maizah bangga suaminya seorang yang prihatin dan tahu peranannya, tidak seperti sesetengah lelaki lain selepas bercerai terus mengabaikan kebajikan anak.
  
Sukar kongsi kasih

Bagaimanapun, dua bulan lalu Abang Izan meluahkan isi hati dan meminta keizinan daripada Maziah. Bagaikan meledak gunung berapi dalam diri Maizah apabila mendengar permintaan Abang Izan.
   Bagi Maizah, tidak masuk akal apabila Abang Izan menyatakan ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya. Mengapa sekarang? Mengapa selepas beberapa tahun bercerai mereka hendak bersatu kembali.
   Adakah kerana Maizah masih tidak mampu memberikan zuriat menyebabkan Abang Izan membuat keputusan itu? Tetapi mereka baru setahun mendirikan rumah tangga dan mengapa tidak boleh bersabar?

Ada ramai lagi pasangan yang sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi masih tiada rezeki menimang cahaya mata. Rasa nak pecah kepala Maizah apabila memikirkan semua itu.
   Terus terang, Maizah tidak menolak poligami tetapi sebagai wanita, hatinya pasti sukar untuk berkongsi kasih. Sukar Maizah hendak membayangkan apa akan terjadi jika dia benar-benar dimadukan. Namun, Abang Izan seolah-olah tidak mahu ambil tahu semua itu, sebaliknya terus menggesa Maizah mengizinkannya berpoligami.
  
Mengalah akhirnya

Maizah tidak tahu hendak berkata apa lagi, akhirnya mengalah dan akur dengan permintaan Abang Izan. Tersenyum lebar suaminya apabila menerima jawapan Maizah sekali pun hanya dengan menganggukkan kepala.
   Abang Izan membawa Maizah ke Mahkamah Rendah Syariah untuk membuat permohonan poligami. Menjejakkan kaki ke mahkamah, hati Maizah tibatiba dibalut rasa sayu terutama apabila memikirkan dirinya akan bermadu. Namun, tidak bagi Abang Izan sepanjang perjalanan asyik menyeringai dan sesekali sibuk menyemak dokumen yang perlu dibawa.
   Dalam permohonan dikemukakan, Abang Izan meminta mahkamah membenarkannya berpoligami bagi membolehkan dia memperisterikan semula bekas isteri. Apabila kes mula didengar hadapan hakim syarie, Abang Izan tiba-tiba menunjukkan tiada keyakinan diri. Abang Izan seolah-olah tidak pasti, adakah dirinya benar-benar mampu beristeri dua. Maizah agak terkejut juga melihat perubahan Abang Izan sedangkan malam tadi, Abang Izan sudah siap `menghafal skrip' untuk menjawab semua soalan yang bakal diajukan di mahkamah.
  Ketika sebutan kes dibuat di mahkamah terbuka, Abang Izan berdolak-dalik apabila ditanya sama ada mahu meneruskan permohonannya atau tidak.
  Apabila ditanya, adakah dia mampu - Abang Izan menjawab: "Saya mampu (kahwin lagi)" tapi dalam nada yang teragak-agak.
   Sehinggalah hakim menegurnya: "Mahkamah akan tengok dari semua sudut. Harus ambil kira pelbagai perkara, bukan daripada gaji saja. Poligami bukan masalah duit, mampu atau tidak semata-mata." Apabila ditanya sekali lagi, sama ada mahu meneruskan kesnya atau tidak, Abang Izan hanya memandang ke arah Maizah sambil tersenyum.

Tarik balik permohonan
Kesudahannya, hakim menangguhkan sementara kes bagi memberi peluang kepada mereka untuk berbincang.
Apabila kesnya dipanggil semula kira-kira 10 minit kemudian, Abang Izan ditanya sekali lagi. Kali ini, dengan nada tegas dan yakin dia memberitahu, ingin menarik balik permohonan.
   Maizah yang ketika itu berdiri di sebelah kanannya, tersenyum dan berasa lapang dada mendengar jawapan itu.    Abang Izan mengakui, masih menyayangi Maizah. Mahkamah, berdasarkan permohonan plaintif, memerintahkan kes dibuang.
   Bagaimanapun, hakim sempat memberi nasihat dan berkata: "Kalau suami berkenan dengan orang lain, ada sebabnya. Ada perempuan yang rasa malu kerana beranggapan apabila dimadukan seolah-olah menampakkan kelemahan mereka. Sebenarnya antara pasangan suami isteri ada kelemahan, tiada yang dilahirkan sempurna. Ada sebab mengapa pasangan kita berubah. Berundinglah, jika boleh," kata hakim.

Tuesday, September 13, 2016

Dicerai kerana ingar arahan suami

Berita Harian, Sabtu, 15 Ogos 2009

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Dicerai kerana ingkar arahan suami

HATI Rania (bukan nama sebenar) tidak keruan. Apakah yang harus dilakukan? Perlukah dia hanya berdiam diri saja? Pada siapakah dirinya hendak mengadu? Satu persatu soalan bermain di dalam fikirannya. Sukar benar baginya hendak mencari penyelesaian. Fikirannya pula menjadi semakin kusut.
   
Rania teringatkan peristiwa yang berlaku sebulan lalu. Mengingatkannya semula, tiba-tiba hatinya berasa sayu. Inikah kesudahannya cinta dan kasih sayang yang dipupuk hampir 15 tahun. Dalam sekelip mata saja, segala-galanya punah ranap. Pertengkaran dengan suaminya hari itu, meninggalkan luka yang perit sekali untuk ditanggung Rania. Sama sekali tidak terduga, suaminya akan melafazkan tutur kata itu.
  
Rania pasti, suaminya itu tidak akan bermain dengan kata-kata itu. Sebaliknya, itulah sebenarnya yang dimaksudkan. Lagipun, pertengkaran itu bukan yang pertama, tetapi sudah banyak kali dan isunya tetap sama. Suami tetap tidak membenarkannya bekerja semula biarpun sudah beratus kali Rania merayu memberikan keizinan berbuat demikian.


Sebagai amaran - suaminya berkata, kalau Rania keluar bekerja semula maka jatuhlah talak. Mendengar kata-kata itu tersentap jantung Rania mendengarnya.    Namun, kata-kata seumpama itu pernah diucapkan suaminya setahun yang lalu. Isunya juga adalah sama. Rania tidak boleh bekerja semula, jika meneruskan juga hajat itu maka akan ada padah yang menimpa perkahwinan mereka.
  
Perlu cari kepastian

Peristiwa yang berlaku setahun dan sebulan lalu itu benar-benar menghantui Rania. Kali ini dirinya tidak boleh berdiam lagi. Rania perlu mencari kepastian. Dua hari lalu, Rania melanggar `amaran' suaminya.
   Rania terpaksa bekerja semula, duit simpanan semakin surut. Masalah kesihatan anak bongsu mereka yang memerlukan rawatan dengan perbelanjaan yang banyak begitu membimbangkan. Sedangkan, suaminya bagaikan tidak endah apa yang berlaku, sebaliknya lebih mementingkan teman wanita dikenali setahun lalu.
   Akhirnya, Rania menghubungi rakan baik bagi mendapatkan pandangan. Teman baik menasihatkannya mengambil khidmat peguam syarie untuk membantu menyelesaikan hal itu.

Maka bermulalah perjalanan yang lebih memilukan Rania, tetapi dirinya tiada pilihan. Perkara itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah dan melalui peguam syarie, Rania memfailkan permohonan pengesahan cerai terhadap suaminya. Namun, bukan mudah keputusan itu dibuat dan jika boleh Rania tidak mahu berdepan dengan semua itu.
  Malu pada keluarga dan rakan, fobia turun naik mahkamah serta sedih memikirkan kehancuran rumah tangga yang dibina menyebabkan dirinya berasa terus tertekan.
   Lagipun, sepanjang usia 41 tahun hidupnya, belum pernah lagi kaki Rania menjejakkan kaki ke Mahkamah Syariah. Apabila kes difailkan mahu
  
Gagal kemuka saksi



Pada awal perjalanan kes, mahkamah menolak permohonan pengesahan cerai berkenaan berikutan Rania gagal mengemukakan saksi untuk mengukuhkan dakwaannya. Kemudian, kes itu terpaksa ditangguhkan pada suatu tarikh ditetapkan apabila hakim asal yang mengendalikan perbicaraan kes itu tidak hadir kerana mengikuti kursus. Begitulah antara liku-liku yang terpaksa diharungi sehinggakan tidur malamnya tidak pernah lena dan sering diburu mimpi-mimpi ngeri.
   Sehinggalah lima bulan berlalu, akhirnya terjawab juga soalan itu. Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan mereka bercerai talak satu selepas Rania melanggar lafaz taklik suaminya. Hakim dalam keputusan penghakimannya, mengesahkan perceraian itu selepas Rania (plaintif) melanggar lafaz taklik bekas suaminya, (defendan) apabila dia kembali bekerja.  
   Berikutan itu, mahkamah mengesahkan perceraian berlaku dengan talak satu.


Mahkamah turut memerintahkan Rania yang bertindak sebagai plaintif beredah selama tiga bulan dari tarikh dia melanggar lafaz taklik.
    Rania pasrah dengan keputusan itu. Tiada langsung riak wajah gembira yang dipaparkan sebaik saja kakinya melangkah ke luar Mahkamah Syariah. Runtuh sudah mahligai 15 tahun yang dibina. Namun, dirinya sedar kehidupan baru harus dibina dan amat berharap meskipun sudah bercerai, bekas suami tidak lupa tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada dua anak hasil perkahwinan lalu mereka.
 
Rania cuba membina kekuatan diri sendiri dan membiasakan diri dengan semua keadaan itu.

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...