Friday, August 15, 2014

PENAMPILAN BANTU TINGKAT KEYAKINAN DIRI

Berita Harian, Selasa Januari 11 2005

Penampilan bantu tingkat keyakinan diri



Oleh  Nor Affizar Ibrahim


BAYANGKAN anda berada dalam satu majlis, semua hadirin memakai baju kemas, rapi dan dengan rambut yang didandan cantik dan wajah disolek berseri. Sedangkan anda, mengenakan pakaian yang menampakkan kedut seribu dan memperlihatkan rambut serta wajah tidak terurus.
  
  Dengan cara penampilan seperti itu dan jauh berbeza daripada hadirin lain, adakah anda berasa kekok menyertai majlis itu? Jawapannya pasti `tidak'. Penampilan seperti itu jelas sekali, tidak bersesuaian dengan majlis berkenaan dan sekali gus, memalukan diri sendiri selain membuatkan anda berasa tidak selesa untuk berdamping dengan tetamu yang lain.
  
  Ketua Perkhidmatan Pelanggan dan Pembangunan Manusia, Malaysia Airlines, Afifah Abdul Rahim, berkata penampilan diri adalah penting bagi setiap individu walau pada bila-bila masa dan berada di mana-mana, sekalipun ketika di rumah.
  
  Beliau berkata, umumnya ketrampilan diri membawa pengertian yang merangkumi cara tatarias, cita rasa berpakaian, hemah diri, cara komunikasi dan kemahiran sosial. Oleh itu, semua itu perlu dijaga dan diberikan perhatian bagi menonjolkan ketrampilan diri yang sempurna.
  
  "Tatarias adalah salah satu aspek penting pada diri seseorang itu kerana melaluinya hanya dalam tempoh 30 saat, orang lain akan membuat tanggapan atau andaian pertama terhadap diri anda. Ini kerana tatarias ialah pengurusan diri yang menitikberatkan mengenai kekemasan, kesempurnaan dan kesesuaian dalam penampilan diri.
  
  "Tatarias bukan soal untuk bersolek semata-mata atau dengan niat untuk menunjuk-nunjuk tetapi memberi tanggapan awal yang positif orang lain terhadap anda. Hemah diri pula adalah pakaian rohani dan jasmani seseorang yang dinyatakan melalui tingkah laku dan gerak geri," katanya ketika berceramah mengenai ketrampilan diri pada program Nur Wanita Bestari yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.
  
  Afifah berkata, wanita sebagai pegawai atau kakitangan di pejabat atau sebagai suri rumah di rumah dan ibu kepada anak-anak perlu menjaga kekemasan diri dari hujung rambut hingga ke kaki.
  
  Ketrampilan yang tidak kemas bukan saja tidak selesa tetapi juga mengganggu kita membuat tugasan dan secara tidak langsung, tiada keyakinan diri.
  
  "Jangan pergi kerja saja kita hendak kemas dan cantik sedangkan, penampilan ketika di rumah tidak dijaga. Lagipun, Islam sendiri menuntut kita berpakaian cantik. Begitu juga dengan suri rumah walaupun tidak bekerja, mesti jaga penampilan dan selalu tonjolkan imej yang elok kepada anak. Harus ingat, suami lebih banyak habiskan masa di tempat kerja dan di pejabat semuanya bergaya. Jadi, berhati-hatilah," katanya turut memberitahu aspek asas tatarias merangkumi, menjaga kebersihan dan kesihatan diri dari segi fizikal mahupun dalaman.
  
  Mengenai cita rasa berpakaian, beliau berkata, sebaik-baiknya diukur mengikut penilaian individu seperti dari sudut kedudukan ekonomi, tahap pelajaran, tahap kedudukan sosial, kejayaan, moral dan imej diri.
  
  Katanya, untuk menggayakan pakaian pula sewajarnya mengenali bentuk badan diri dan bijak memilih potongan dan warna sesuai. Selain itu, kesesuaian pakaian mengikut majlis dihadiri dan sepadan dengan umur juga mesti diambil kira.
  
  "Kita mesti menerima hakikat bahawa potongan badan dimiliki hari ini tidak sama dengan suatu ketika dulu. Lebih-lebih lagi, bagi yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Jadi, pandai-pandailah memilih potongan sesuai. Mahal atau murah harga sesuatu pakaian, tidak usah ambil kira sangat sebaliknya, yang lebih penting ialah kemas dan bersih serta memberi keselesaan," katanya.
  
  Afifah turut memberi panduan cara berpakaian antaranya ialah mengelakkan memakai rantai pendek atau panjang jika bertudung. Bagi wanita yang bertudung dan rendah, jika memakai kerongsang hendaklah sematkan pada bahagian atas bahu agar tampak tinggi.
  
  Wanita berbadan besar yang memakai tudung dan ingin menampakkan ukuran badannya kecil, lebih baik jangan memakainya melepasi bahu dan bersilang. Cara ikatan tudung yang sesuai ialah melepaskannya di bahagian hadapan dan bagi menampakkan penampilan lebih kemas, ikat dengan menggunakan kerongsang berbentuk cincin.
  
  "Bagi yang tidak bertudung dan berbadan besar tetapi ingin kelihatan kurus, digalakkan memakai rantai labuh. Untuk yang berleher jinjang, cukuplah sekadar menggayakan rantai pendek," katanya.
  
  Afifah berkata, memakai aksesori bagi melengkapkan penampilan tidak salah tetapi elakkan penggunaan yang keterlaluan atau tidak melebihi jumlah lapan aksesori dipakai, pada sesuatu masa.
  
  Berbicara mengenai pilihan warna, beliau berkata, umumnya terbahagi kepada dua iaitu warna hangat dan sejuk. Warna sejuk antaranya ialah biru laut, ungu, kelabu dan merah jambu manakala warna hangat termasuk hijau lumut, warna bumi, firus, hijau pucuk pisang dan kuning.
  
  Katanya, jika memilih pakaian berwarna hangat, lebih sesuai menggayakan tudung yang ada rona itu. Baju warna sejuk lebih cocok dipadankan dengan kerongsang berwarna perak yang juga salah satu dari kumpulan warna itu.
  
  "Hitam dan putih adalah warna semula jadi. Memang ramai yang menyukai dua warna itu tetapi berhati-hati kerana tidak semua sesuai untuk menggayakan keduadua warna itu," katanya.
  
  Rosak imej kerana pakaian adalah disebabkan beberapa perkara berikut:

* tidak sesuai.
* keterlaluan.
* selekeh atau tidak kemas.
* terlampau berwarna-warni.
* tidak sesuai dengan ukuran badan.
* memakai hiasan yang salah.
* sudah lusuh.
* menjadi mangsa fesyen.
  
Kemahiran sosial lebih mudah terjalin apabila: * anda bertimbang rasa. * anda menggunakan budi bicara yang tertib. * anda pandai menyesuaikan diri.
  
  Komunikasi yang baik ialah: * menjaga bahasa tubuh. * sebutan yang jelas dan betul. * cara penyampaian berhemah. * isi kandungan yang sesuai dengan situasi.

Senaman kasih sayang

Berita Harian, Mac 6, 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim


Senaman kasih sayang


MEMPUNYAI anak kecil sering kali dijadikan alasan, tiada masa untuk bersenam. Kehadiran si kecil dikatakan akan mengganggu dan menyebabkan hilang tumpuan melakukan pergerakan.
  
  Justeru, ada yang lebih senang meninggalkan amalan senaman yang biasa dibuat sebelum ini dan menunggu si kecil sekurang-kurangnya, pandai berjalan atau boleh bermain sendiri terutama jika diberikan permainan mampu melekakannya.
  
  Ada juga mengambil inisiatif lain seperti mencuri-curi masa bersenam terutama ketika si kecil lena dibuai mimpi atau meminta bantuan orang lain menjaganya ketika melakukan senaman. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya memberikan sedikit ruang dan kebebasan untuk melakukan senaman.
  
  Pemilik dan Jurulatih Kecergasan, Wan Suhaila Wan Abdul Malek, berkata senaman sebenarnya lebih menyeronokkan dan memberikan motivasi jika ibu turut membawa bersama si kecil turut serta.
  
  Wan Suhaila yang juga pemilik gim Contour Express, di Pusat Komersial Seksyen & Shah Alam, berkata ibu boleh `mengajak' bayi walaupun baru berusia tiga bulan bersenam bersama dan kehadirannya tidak akan mengganggu atau memberi tekanan jika tahu cara mengendalikan keadaan.
  
  Katanya, bersenam bersama anak seawal usia tiga bulan memberi beberapa kebaikan termasuklah dapat merapatkan hubungan kasih sayang antara ibu dengan bayi. Apatah lagi, pada peringkat usia bayi bawah satu tahun, pergerakannya banyak dipengaruhi interaksi dirinya dengan ibu bapa dan persekitarannya.
  
  Bayi banyak belajar dengan meniru kelakuan yang ditonjolkan ibu bapa dan persekitarannya. Stimulasi visual dan pendengaran diperlukan untuk menjana otak bayi menyusun maklumat. Oleh itu, pengalaman harian biasa seperti melakukan senaman bersama yang dialami bayi mampu merangsang organisasi perkembangan otak.
  
  "Kajian juga membuktikan pengalaman dan rangsangan yang diterima bayi pada tahun pertama dalam hidupnya akan mempengaruhi perkembangan dan fungsi otaknya, di kemudian hari. Kecerdasan otak bayi dapat dioptimumkan dengan senaman otak. Senaman otak adalah latihan yang dijalankan ke atas gerakan tubuh yang dinamik dan bersilang. Dengan bersenam, ia mendorong kepada keseimbangan aktiviti kedua-dua belah otak secara sekata. Ketika perkembangan kedua-dua belah otak seimbang maka kecerdasan anak menjadi maksimum," jelasnya.
  
  Wan Suhaila berkata, bagi ibu, ketika bersenam sudah pasti antara matlamatnya ingin mengekalkan kecergasan dan stamina, manakala anak bersenam akan menganggap ibunya sedang bermain dengannya.
  
  Katanya, keadaan itu membuatkan bayi seronok manakala ibu pula dapat memanfaatkan pergerakan fizikal ketika membawa sama anaknya bersenam. Malah, hubungan ibu dengan anak akan terjalin lebih erat.
  
  Dengan memenuhi keperluan emosi anak, secara tidak langsung tahap EQ anak mula berkembang dan keperluan emosinya bertambah baik dengan kurang menangis berbanding anak yang sering diabaikan.
  
  Wan Suhaila berkata, untuk melakukan senaman dengan bayi waktu paling sesuai ketika bermain dengannya sekali gus memastikan bayi tidak meragam, sebaliknya sentiasa cergas dan seronok setiap kali melakukan pergerakan dalam senaman.
  
  Tambahnya, lebih baik amalan senaman bersama anak dijadikan rutin kerana rangsangan pada bayi harus dilakukan setiap hari dan setiap kali bersamanya, selain ketika ibu memandikan bayi, menggantikan lampin dan memberikan makan.
  
  Katanya, untuk mencipta suasana lebih menyeronokkan ibu boleh memasang lagu sesuai dengan usia bayi atau memasang televisyen memaparkan rancangan digemarinya. Paling penting, rangsangan yang diberikan kepada bayi ketika melakukan senaman haruslah dalam keadaan selesa, tenang dan penuh dengan kasih sayang.
  
  Antara teknik gerakan senaman dilakukan bersama bayi:
  
  1. Penguat otot
  
  Letakkan bayi di atas perut, naikkan badan dan bahu sedikit sambil menghembuskan nafas, baring semula sambil menarik nafas dan ulang semula naik sebanyak 10 kali.
  
  2. Cobra
  
  Gerakan senaman seperti ini membantu menguatkan pinggang dan tangan anda.
  
  3. Bayi dan bola
  
  Anda duduk di atas bola dan lakukan henjutan dengan kiraan 10 kali. Senaman ini membantu menyihatkan jantung.
  
  4. Aksi Tom Tom Bak
  
  Gerakan ini juga dikenali Tom Tom Bak. Bengkokkan lutut dan kaki naikkan. Letakkan bayi di hujung kaki. Senaman ini baik untuk perut dan pelvik.
  
  5. Senam dada
  
  Baring dan angkat bayi, buat kiraan 10 kali. Senaman ini juga menguatkan otot pelvik.
  
  6. Tekan tubi
  
  Lakukan seperti senam tubi dan silangkan kaki. Senaman ini membantu menguatkan tangan.

ANCAMAN MISS 'J"

Berita Harian, November 28, 2009

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Ancaman `Miss J'



BUNYI atau menyebut saja perkataan `janda' tidak dinafikan seakan sedikit kasar dan sering kali membawa konotasi yang negatif. Justeru, tidak hairanlah ada golongan wanita yang berstatus itu kurang selesa atau langsung tidak senang dengan panggilan berkenaan.

  Bagaimanapun, setiap kali membuka topik mengenai golongan itu, nescaya ramai yang akan membuka mata dan telinga. Bagaikan ada tarikan besi berani, masyarakat seolah-olah ingin tahu dan mendekati wanita yang berstatus itu. Apatah lagi, jika perkataan janda itu dikaitkan atau ditambah dengan perkataan lain seperti `janda berhias', `mak janda', `janda muda', `janda panas', `janda meletup' dan sebagainya.
   Realitinya, stigma masyarakat terhadap golongan itu yang sering memberikan persepsi negatif dan melabelkan mereka dengan perkataan kurang enak didengar, dari dulu hingga kini masih tidak berubah. Malah, tanpa pernah sedikit pun memikirkan dan menyelami perasaan mereka ada yang menganggap cerita membabitkan golongan berstatus itu adalah bahan cerita sensasi atau boleh dijadikan bahan ketawa menghiburkan hati.
 

Kucing mana tak tergoda


 Namun, lebih tidak sedap didengar apabila ada berkata dan berpendapat, wanita berstatus janda boleh menjadi `ancaman' kepada wanita lain, khususnya yang masih mempunyai suami. Ini sering terjadi, lazimnya apabila wanita berstatus itu `pasang badan', melaram dan menunjukkan sikap gedik, manja serta menggoda.
  Bak kata pepatah, kucing mana tidak tergoda kalau ikan sudah berada di depan mata. Mungkin sebab itulah walaupun tidak semua, ada wanita yang mempunyai suami mula berasa `terancam' kerana berasa adanya saingan hebat. Jika tidak pun, mereka mungkin lebih berhati-hati apabila suami berkawan dengan golo ngan berkenaan kerana takut lambat laun, suatu hari nanti pelanduk termasuk juga jerat yang dipasang. Apa pun semua itu mungkin persepsi segelintir masyarakat kerana ada juga yang prihatin, simpati dan memahami nasib serta cabaran harus dilalui seorang wanita bergelar janda.
  

Tidak kisah


Bagi Rosni Yahaya, 27, yang baru setahun 'memegang' status itu, berkata tidak kisah langsung dengan sebarang panggilan atau gelaran diberikan kepadanya. Malah, seiring dengan tempoh masa yang sudah berlalu, wanita bertubuh genit itu juga semakin sebati dengan kehidupan kembali `membujang' yang kini ditempuhi.
   Bersikap positif dengan ranjau kehidupan harus dilalui sebagai wanita yang sudah bercerai, Rosni juga tidak mahu mengambil pusing mengenai apa saja tanggapan buruk dan negatif masyarakat terhadap dirinya atau pun wanita bergelar janda.

   Katanya, tidak perlu hendak takutkan apa-apa atau sedih dengan tanggapan, pandangan mahu pun cemuhan orang lain selagi diri sendiri tidak melakukan apa-apa kesalahan dan melanggar hukum agama serta adat budaya yang boleh mencemar, di samping menjatuhkan maruah diri dan keluarga.
   "Wanita mana yang tidak sedih apabila rumah tangga dibinanya musnah. Begitulah juga saya yang mengambil masa lebih tiga bulan untuk menerima hakikat bahawa saya sudah bercerai dan bergelar janda. Nasib baiklah, ibu dan bapa sentiasa memberikan sokongan dan dorongan untuk saya bangkit kembali meneruskan kehidupan. Soal panggilan `janda' pula, saya juga tidak kisah dan tidak malu dengan gelaran itu.
  "Bagi saya panggilan itu sedikit pun tidak menjadi kudis, lagipun itulah realiti status saya kini. Ubah sekali manapun panggilan `janda' itu misalnya, ibu tunggal atau sebagainya ia sedikit pun tidak membawa apa-apa makna dan perbezaan. Apabila sudah bercerai, saya mesti terima hakikat dan itulah gelarannya. Saya juga tidak pernah menyembunyikan status saya kini, sama ada pada saudara-mara mahupun kawan-kawan," katanya tegas menyatakan pendirian.
  

Rahsia hati



Wanita yang berasal dari Perlis itu berkata, perkahwinan yang dibina atas dasar saling cinta mencintai sampai ke noktah akhir selepas hampir 10 tahun melayari hidup bersama. Tidak sehaluan lagi adalah antara punca utama perceraian itu berlaku.
  Mencungkil rahsia hatinya adakah sukar memegang status dan melalui kehidupan sebagai `janda muda' Rosni mempunyai dua anak yang masih kecil hasil perkahwinan lalu berkata, situasi hari ini sudah berbeza sekali gus kurang tekanan dihadapi.
   Katanya, berbanding 20 tahun lalu, wanita muda seusianya yang bercerai mungkin lebih perit untuk berdikari dan memulakan kehidupan baru. Kini, walaupun tohmahan masyarakat masih tidak dapat diketepikan, sekurang- kurangnya janda muda sepertinya mempunyai ruang yang luas untuk membina keyakinan diri dan mencari punca pendapatan bagi menanggung diri sendiri.
  "Tidak sukar pun. Orang muda lagilah senang hendak bekerja, tetapi tidak dinafikan ada kala `tersentap' juga perasaan apabila dengar perkara yang tidak betul. Bagi saya, selagi pandai jaga diri dan tidak buat kerja yang tidak elok, insya-Allah hidup akan terus diberkati Allah. Yang penting, mestilah rajin dan terus berusaha serta ada matlamat hidup. Oleh sebab itulah saya juga menetapkan matlamat hidup iaitu ingin berjaya dan kumpul duit banyak-banyak," katanya sambil menyimpulkan senyuman penuh makna.
  


Misi memikat


Melihat penampilannya yang sungguh bergaya dan mempunyai perwatakan agak manja, lalu diajukan soalan tidakkah dirinya berasa bimbang dituduh sebagai wanita penggoda atau mempunyai `misi' untuk memikat serta `merampas' hak orang lain.
  
  Sambil ketawa kecil, Rosni berkata, dirinya tidak perlu takut semua itu kerana perkara seumpama itu walau sebesar kuman sekali pun, ia tidak pernah terlintas dalam fikiran.
  
  Katanya, sejak dulu malah ketika masih bergelar isteri orang, memang suka melawa dan mendandan diri, namun tidak dinafikan selepas bercerai penjagaan penampilan diri semakin ketara dari hujung rambut hinggalah ke kaki. Ini bersesuaian dengan apa yang dilakukannya hari ini iaitu mengikuti kursus kecantikan sebagai persiapan diri untuk menceburi bidang berkenaan secara serius sebaik saja tamat kursus dan merealisasikan cita- cita, membuka salun sendiri suatu hari nanti.
  "Dulu pun saya bekerja dan suka berdandan. Cuma bezanya, dulu saya hanya bekerja di restoran ayah dan sudah tentulah penampilannya tidak seperti hari ini. Sekarang ini, saya sedang mempersiapkan diri untuk menjadi perunding kecantikan. Seiring dengan matlamat itu, sudah tentulah saya mempraktikkan apa yang dipelajari.
  "Perubahan yang saya lakukan ini adalah baik untuk diri sendiri dan bukannya bagi saya melakukan perkara tidak elok," katanya turut menyatakan minat berlakon dan menceburi bidang peragaan.
 

Jodoh baru


Merancang masa depan, Rosni yang kini menetap di Langkawi berkata, bercadang untuk berhijrah ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya awal tahun depan kerana mendapati peluang yang ada lebih luas untuk melangkah dan berjaya dalam hidup.
  Mengenai soal jodoh pula, katanya pada masa ini perkara itu belum difikirkan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian untuk meraih apa yang dicita-citakan.
   Namun, tidak mustahil untuk berkahwin lagi suatu hari nanti apabila tiba masa yang sesuai dan hatinya sudah boleh benar-benar dapat menerima pengganti. Cuma, Rosni berharap, sekurang-kurangnya biarlah jodoh itu datang ketika usianya mencapai awal 30-an dan berkekalan hingga akhir hayat.

Thursday, July 10, 2014

10 petua kecantikan global

Berita Harian, Rabu,  Januari 8, 2014
Susunan Nor Affizar Ibrahim

10 petua kecantikan global


Mendefinisikan kecantikan adalah sesuatu yang unik dan berbeza. Apa yang pasti ramai cuba mencari penyelesaian untuk pelbagai masalah kecantikan dan mengamalkan bermacam-macam tip untuk tampil cantik.
   Ia berlaku bukan saja masyarakat di negara ini, malah merentasi global dengan amalan tradisional kecantikan mereka. Berikut adalah panduan kecantikan yang boleh dikongsi.
  

1. Thailand
 Wanita Thailand mengamalkan mandian santan untuk mengekalkan kelembutan dan kelembapan kulit. Selain itu, mereka juga menggunakan santan untuk mendapatkan rambut lebat dan sihat.
  
  Untuk mendapatkan kulit cantik dan putih berseri, wanita Thailand memproses secara tradisional beras sehingga menjadi susu bagi merawat kulit. Vitamin E yang ada pada beras membantu memutihkan badan dan kulit wajah.
  



 2. China

Minyak bunga Camelia menjadi antara minyak yang sering digunakan untuk masakan di China selatan.
   Untuk amalan kecantikan pula, minyak bunga Camelia ini terkenal kemampuannya dalam mengatasi tanda regangan dan perubahan warna pada kulit.
Justeru, minyak itu disapu pada kulit yang mempunyai masalah berkenaan
  



3.  Korea
Orang Korea percaya banyak meminum air membantu menjadikan kulit bersinar.

 Justeru, mereka akan memulakan hari dengan meminum secawan air dan percikkan air sejuk pada muka selama beberapa minit.
  
 Selain itu, buah-buahan dan sayuran adalah sajian paling penting dalam makanan mereka. Jadi, mereka mengambil makanan yang kurang natrium untuk mengekalkan penghidratan dalam badan
  
 
4. Jepun
Orang Jepun sangat popular dengan hidangan mentah iaitu sushi. Wanita Jepun sangat menggemari penggunaan rumpai laut bukan untuk hidangan sushi tetapi untuk dilumurkan pada rambut.
     Mereka merebus rumpai laut dan melumurkan pada rambut sebelum mandi untuk mendapatkan rambut cantik dan tidak gugur
.
  
5. Mesir

Wanita Mesir menggunakan khasiat susu untuk kulit putih dan licin. Lazimnya, dalam seminggu, tiga kali wanita Mesir akan mencampurkan dua cawan susu tepung bersama air di dalam tab mandi dan akan berendam selama 30 minit hingga satu jam.
    Petua ini juga menjadi rahsia kecantikan Permaisuri Cleopatra pada zaman dulu.
  


6. Filipina
Wanita Filipina memiliki gabungan pesona tarikan ala Sepanyol, Russia, dan China.

Bagi menjaga kecantikan, dua makanan yang menjadi kegemaran mereka ialah lemon dan limau.

 Lemon mengandungi asam sitrus yang dapat melenyapkan sel kulit mati menjadikan kulit lebih cerah dan bebas daripada kesan hitam dan bekas jerawat.


   Wanita Filipina biasanya memerah lemon, dan airnya disapukan pada kulit wajah. Mereka juga membuat pasta lemon membabitkan campuran lemon, susu, minyak badam dan madu.
  



7. Chile
Wanita Chile menggunakan ekstrak anggur untuk kecantikan wajah mereka.

Caranya sangat mudah, cuma campurkan anggur merah yang sudah dilenyek bersama dua sudu tepung gandum dan lumurkan pada muka selama 10 minit sebelum membilas muka dengan air.

Anggur merah mengandungi antioksidan yang tinggi dan membuatkan kulit lebih segar dan bercahaya.
  
8. India

Negara ini penuh warna- warni dan terkenal dengan penggunaan rempah ratus termasuk kunyit yang bukan saja menjadi bahan wajib dalam masakan, malah digunakan bagi tujuan kecantikan kulit tubuh dan wajah.

     Masyarakat India sudah lama menyedari kebaikan kunyit apabila amalan menyapu kulit dengan kunyit mampu memperbaiki tekstur kulit.

 Kunyit didapati mempunyai bahan mampu melawan keradangan kulit dan memberi kesan antiseptik kepada kulit.

  Ia adalah sumber vitamin C dan magnesium yang baik, kandungan serat yang tinggi, vitamin B6, zat besi, potasium dan mangan tetapi kandungan sodiumnya sangat rendah.
  


9. Bangladesh
Minyak biji sawi biasanya menjadi amalan masyarakat di Bangladesh bagi merangsang pertumbuhan rambut dan mengatasi kulit kering.

Minyak biji sawi adalah antibakteria yang diekstrak daripada biji sawi. Ia juga digunakan untuk mengatasi masalah rambut gugur dan mengubati jangkitan kulit.
  

10.  Itali
Wanita di Itali menggemari penggunaan minyak zaitun bagi menjaga kesihatan rambut. Minyak zaitun yang dicampurkan yogurt segar digunakan mereka untuk menyihatkan rambut menjadi lebih bercahaya.

   

Wednesday, July 9, 2014

4 PERMINTAAN RASULULLAH SAW PADA SITI AISYAH SEBELUM TIDUR

 

 

4 Permintaan Rasulullah SAW pada Siti Aisyah sebelum tidur





Empat Amalan Sebelum Tidur ~


Rasulullah SAW berpesan kepada siti Aisyah ra.
“ Ya, Aisyah! Jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara iaitu :
1. Sebelum khatam al-Quran
2. Sebelum menjadikan para nabi bersyafaat untukmu di hari kiamat
3. Sebelum para muslimin meridhai engkau
4. Sebelum engkau melaksanakan haji dan umrah “

Bertanya siti Aisyah :
“Ya Rasulullah ! bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika? “

 
Rasul tersenyum dan bersabda :



1. “Jika engkau akan tidur , membacalah surat al –Ikhlas tiga kali
Seakan-akan engkau telah mengkhatamkan Al-Quran

     " Bismillaahirrohmaan irrohiim,
     ‘Qulhuallaahu ahad’ Allaahushshamad’ lam yalid walam      yuulad’ walam yakul lahuu kufuwan ahad’ ( 3x )"



2. “Membacalah shalawat untukku dan untuk para nabi sebelum aku” maka kami semua akan memberimu syafaat di hari kiamat “
   
   “ Bismillaahirrahmaan irrahiim, Allaahumma shallii ‘alaa    Muhammad wa’alaa aalii Muhammad ( 3x ) “


3. “Beristighfarlah” untuk para mukminin maka mereka akan meridhai engkau
      “ Astaghfirullaahal adziim aladzii laa ilaaha illaa huwal    hayyul qoyyuum wa atuubu ilaih (3x )

4. Dan perbanyaklah “bertasbih, bertahmid , bertahlil dan bertakbir” maka seakan-akan engkau telah melaksanakan ibadah haji dan umrah
   “ Bismillaahirrahmaan irrahiim, Subhanallaahi Walhamdulillaahi walaailaaha illallaahu allaahu akbar ( 3x )
 ( Tafsir Haqqi)

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...