Thursday, April 5, 2018

SUSU IBU BAIK BAGI TUMBESARAN ANAK



Berita Harian, Jumaat, Ogos 13, 1999

Susu ibu baik bagi tumbesaran anak

Oleh Nor Affizar Ibrahim



BAYI dan kanak-kanak yang menghidap anaemia iaitu kekurangan jumlah pigmen hemoglobin yang membawa oksigen dalam darah dan bronkiolitis akibat jangkitan bakteria atau virus, lebih terdedah kepada maut.
  Bagaimanapun, fenomena ini dapat dikurangkan di kalangan bayi dan kanak- kanak yang mengambil susu ibu. Penyelidikan juga menunjukkan susu ibu adalah yang terbaik untuk kesihatan dan tumbesaran anak.
  Pakar Perunding Pediatrik/Neonatalogi Hospital Pakar Damansara (HPD), Dr Musa Mohd Nordin, berkata:
  "Bayi yang menyusu badan masih mendapat beberapa jangkitan tetapi pada kebiasaannnya mereka lebih cepat sembuh berbanding bayi yang diberi susu formula."
  Dalam ceramah umumnya bertajuk, `Susu Ibu Yang Terbaik' sempena Kempen Penyusuan Ibu Sedunia, di HPD baru-baru ini, beliau berkata, bagi mengurangkan kadar kematian bayi dan kanak-kanak penyelesaian terbaik ialah menggalakkan penyusuan ibu pada peringkat enam bulan pertama kelahiran bayi.


Mengandungi ejen khas


Dr Musa berkata, susu ibu mengandungi komposisi nutrien dalam jumlah tepat bagi memenuhi keperluan bayi yang semakin membesar.
  Selain itu, susu ibu juga mengandungi ejen khas untuk melindungi bayi daripada jangkitan salur penghadaman, jangkitan pernafasan dan alahan kepada makanan dan ekzema.
  "Susu ibu dianggap ajaib kerana mengandungi kandungan semula jadi dan unsur luar biasa yang berupaya memenuhi keperluan nutrien bayi untuk empat hingga enam bulan pertama.
Susu ibu juga kaya dengan protein serta antibodi dan didapati bayi terbabit kurang menghadapimasalah kesihatan seperti cirit-birit, batuk dan selesema," jelas Dr Musa.
    Selain khasiatnya yang tinggi, bayi yang menghisap susu ibu juga dikatakan mempunyai kulit lebih licin, tidak alah kepada makanan dan ekzema.

  Manakala susu formula pula dikatakan sering menimbulkan masalah alahan kepada bayi terutama pada bahagian muka, perut, leher dan tangan mereka.
  "Susu ibu juga mudah dihadam dan unsur pentingnya dapat diserap dengan cepat ke dalam badan. Apa yang jelas, sehingga kini, rumusan susu formula tidak dapat mengatasi khasiat susu ibu walaupun banyak penyelidikan dan kajian dibuat untuk menandinginya," katanya.


Bina otak anak

Hasil kajian juga menunjukkan susu ibu dapat membantu membina otak anak yang cerdas dan pintar. Susu ibu membentuk kira-kira 8.3 peratus hanya untuk pembinaan otak yang cerdas dan pintar.

Menurutnya, semakin ramai mengetahui khasiat susu ibu dan ia satu perkembangan baik. Penyusuan ibu bukan saja terbatas di kalangan suri rumah tetapi juga wanita bekerjaya termasuk profesional.
Satu lagi keistimewaan penyusuan ibu, ia mengeratkan pertalian emosi dan sentuhan di antara ibu dan bayi.
  "Ketika menghisap puting, bayi seolah-olah sedang berkomunikasi dengan ibunya. Ini secara tidak langsung mewujudkan hubungan erat antara kedua- duanya dan perasaan sebegini, sama sekali tidak dapat dirasai si bapa," katanya.
  Bagi wanita yang merancang kehamilan, langkah penyusuan ibu dikatakan paling sesuai. Dalam hubungan ini, untuk tempoh enam bulan pertama penyusuan, didapati 98 peratus wanita tidak akan mengandung.
  Penyusuan ibu adalah perancangan kehamilan semula jadi yang amat berkesan. Jadi, wanita yang menyusukan anak dan merancang kehamilan tidak perlu bimbang, katanya.
  Di samping itu, kesan menghisap ketika penyusuan mengakibatkan pengecutan uterus wanita. Ia secara tidak langsung menolong wanita berkenaan kembali kepada ukuran normal dengan cepat.


Turun berat badan ibu


Menyusu mungkin dapat membantu wanita menurunkan berat badan berlebihan yang berlaku ketika mengandung.
  Malah, sebuah jurnal perubatan antarabangsa menyatakan wanita yang menyusukan anak dan belum menopaus menghadapi risiko barah buah dada dan rahim yang rendah.
  Menurut Dr Musa lagi, bagi kebanyakan masyarakat di negara ini, faktor wang bukan masalah utama untuk membeli susu formula.

  Bagaimanapun, bagi negara yang yang mempunyai tahap ekonomi rendah dan terpaksa mengimport susu formula penyusuan susu ibu dikatakan antara cara terbaik untuk berjimat.
  "Masyarakat di negara ini mungkin tidak banyak menghadapi masalah kewangan untuk menyediakan susu formula untuk anak. Tetapi bagi negara miskin, penyusuan ibu penting bukan saja untuk mengatasi masalah ekonomi tetapi juga sekurang-kurangnya untuk mengatasi masalah kebuluran di kalangan bayi," katanya.
 








1 comment:

  1. mari gabung bersama kami di Aj0QQ*c0M
    BONUS CASHBACK 0.3% setiap senin
    BONUS REFERAL 20% seumur hidup.

    ReplyDelete

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...