Sunday, June 26, 2011

MAHKOTA WANITA

Mahkota wanita

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my

14/2/2011

 Kenali jenis rambut mudahkan penjagaan

RAMBUT dianggap mahkota, tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar faham dan mengenalinya. Mungkin sebab itu ada yang mengabaikan rawatan dan penjagaan rambut serta sering kali menganggap menyisirnya setiap hari sudah cukup untuk memastikan 'mahkota' itu tampak cantik dan rapi.

Penjagaan seumpama itu sebenarnya belum memadai sebaliknya adalah lebih baik terlebih dulu mengenali jenis rambut, sama ada halus, kasar, ikal atau sebagainya dan masalah dihadapi seperti gugur, berkelemumur atau bercabang.

Dengan mengetahui semua itu sudah tentu lebih mudah untuk menjaga, membeli produk dan membuat rawatan sesuai, sekali gus membolehkan ‘mahkota’ anda membantu menyerlahkan penampilan serta imej.

Anda juga perlu ketahui, rambut orang Asia tidak mungkin sama dengan orang Barat. Perbezaan rambut paling ketara ialah dari segi diameter. Secara am, diameter rambut orang Asia ialah antara 70 milimeter (mm) dan 75 mm manakala orang Barat, 50-55 mm.


Urus dengan betul

Penyelidik dari Amerika Syarikat yang pakar dalam penjagaan rambut, Paul Crabtree dalam kajiannya mendapati, rambut orang Asia juga kebanyakannya lebih lurus dan berwarna hitam berbanding dengan rambut orang Barat yang agak kasar dan kerinting.

Namun, katanya, walau apa pun perbezaannya, penjagaan rambut adalah tetap sama. Katanya, penjagaan rambut bukan diukur dari segi warna, kerinting atau lurus dan panjang mahu pun pendek rambut tetapi jenis rambut itu sendiri.

Penjagaan rambut, katanya, tidak dibatasi dengan beberapa aspek saja tetapi meliputi banyak perkara, termasuk dari segi pemilihan syampu dan perapi, menyikat serta membasuh dengan betul, bahkan mengeringkannya.

“Kecantikan wanita Asia sinonim dengan kehitaman rambut mereka. Walaupun dari segi penjagaan tiada beza, ada beberapa faktor lain perlu diambilkira. Rambut orang Asia memerlukan lebih perlindungan dan lembapan berbanding orang Barat,” katanya.

Terdapat pelbagai amalan dan cara masyarakat di dunia menjaga rambutnya supaya tampak sihat serta kekal cantik. Lebih unik, amalan rawatan dan penjagaan rambut itu bukan baru sebaliknya diwarisi dari nenek moyang lagi dan ada yang masih diteruskan sehingga ke hari ini.


Penjagaan mengikut budaya

Wanita Maghribi misalnya, sejak dulu menggunakan keberkesanan minyak argan bagi mengembalikan kelembutan rambut dan kadar kelembapannya bagi rambut serta kulit yang kekurangan zat. Selama beratus-ratus tahun, wanita Berber dari Maghribi menggunakan buah dan minyak argan untuk masakan serta menghasilkan resipi kecantikan.

Masyarakat Melayu pula menggunakan santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah, ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam supaya patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap setengah jam.

Wanita Jawa juga mempunyai amalan unik iaitu menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa sebersih-bersihnya.

Wanita Barat, minyak buah pic, ginseng (Notoginseng) dan minyak bunga kesumba (safflower) digunakan secara meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada yang menggunakan gel kaktus dan lidah buaya (aloe vera). Sementara, wanita Cina dan Jepun menyukai pelbagai jenis akar ginseng, akar Dong Quoi, teh herba
Cina dan halia untuk merawat rambut mereka.



 Fakta dan mitos

Satu lagi perkara menarik mengenai rambut, rambut di kepala adalah bulu yang paling cepat tumbuh dan setiap manusia, rata-rata memiliki sekitar 100,000 helai rambut. Rambut lazimnya, berguguran sepanjang waktu dan mungkin mencapai 50 helai hingga lebih 100 helai sehari.

Bagaimanapun, anda tidak perlu risau hal itu kerana dalam sehari rambut akan tumbuh kira-kira 0.5 milimeter dan boleh mencapai sehingga 20 meter tetapi dipengaruhi beberapa faktor seperti gen, hormon dan metabolisme. Masa tumbuh setiap helai rambut pula hanya antara dua tahun hingga enam tahun.

Ahli dermatologi di Case Western Reserve University School of Medicine di Cleveland, Gerome Litt berkata, rambut lebih banyak gugur jika seseorang itu berada dalam tekanan seperti perceraian, kehilangan pekerjaan atau menjalani pembedahan.

“Rambut juga boleh gugur ketika kehamilan atau disebabkan pengambilan antibiotik. Namun, selepas beberapa minggu, rambut umumnya akan tumbuh kembali,” katanya.

Selain fakta sebenar, terdapat juga beberapa mitos mengenai rambut yang banyak diperkatakan. Antara yang kerap diperkatakan ialah larangan mencabut rambut putih atau uban kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak uban tumbuh di tempat sama.

Kenyataan itu tidak benar. Hakikatnya, mencabut uban adalah kebiasaan buruk kerana merosakkan akar rambut dan menyebabkan jangkitan bahkan botak di bekas cabutan.

Mitos lain menyebut menyisir rambut dengan kerap setiap malam boleh menjadikan rambut itu sihat. Hakikatnya, rambut hanya perlu disisir atau disikat apabila anda perlu perlu berbuat demikian sebab menyisir selalu akan menarik rambut dari folikelnya dan melemahkan helaian rambut.

Begitu juga ada yang berpendapat, jika memotong rambut secara teratur akan membuat rambut tumbuh lebih cepat. Menangkis pendapat itu, pemilik salun, John Barrett Salon di New York City, John Barret berkata, rambut tumbuh setengah inci (1.25 sentimeter) setiap bulan. Oleh itu, sama ada dipotong atau tidak, ia tetap tumbuh, tetapi rambut memang tumbuh lebih cepat pada musim panas.



INFO: 
Panduan penjagaan rambut




  • Pemilihan syampu           Syampu yang baik mempunyai kadar perapi yang optimum dan tidak terlalu melekit serta dapat diterima oleh kulit kepala. Ketika menyapu syampu pada rambut, lakukan dengan lembut dan adalah lebih baik basahkan rambut terlebih dulu dengan air suam. Jangan guna sikat ketika bersyampu serta bilas dengan air yang cukup. Rambut akan mati jika tidak mendapatkan nutrisi yang sesuai. Jadi, jika anda berasa syampu digunakan tidak sesuai, tukar pada jenama yang lain.






  • Keringkan rambut  Gunakan tuala yang kering dan bersih. Jangan lakukan terlalu kasar dan jika perlu gunakan sikat bergigi besar untuk membetulkan rambut yang tersimpul. Apabila menggunakan pengering rambut, jangan halakan ke suatu bahagian saja.



  • Cara sikat  Gunakan berus sikat yang lembut. Apabila menyikat rambut, lakukan secara semula jadi dan jangan menyongsang. Kekerapan menyikat rambut adalah tidak baik dan jangan sisir rambut anda dalam keadaan basah kerana ketika basah, rambut berada dalam keadaan paling rapuh.


  • Mengatasi masalah rambut rosak                                    Penggunaan bahan kimia antara faktor yang menyebabkan rambut rosak. Mewarna rambut dan penggunaan pengering rambut terlalu kerap serta pendedahan pada klorin dalam kolam renang, antara keadaan yang boleh menyebabkan rambut rosak. Oleh itu, cuba hindari atau kurangkan perkara ini.













  • INFO
    Kenali diri melalui rambut


  • Rambut panjang
    Bukan saja tampilkan rambut seksi tetapi juga menunjukkan anda ingin kelihatan muda, sihat dan feminin serta ingin kelihatan ayu. Wanita berambut panjang antara yang diidamkan lelaki.
  • Dilepas
    Seorang yang boleh diajak bersosial tetapi dikategorikan orang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Anda sebenarnya menggunakan rambut untuk sembunyikan sesuatu kelemahan yang ada pada diri sendiri.
  • Diikat
    Menggayakan rambut seperti ini menunjukkan anda tetap mahu nampak feminin dan tidak begitu risau jika kelihatan matang.
  • Rambut pendek
    Anda dilambangkan seorang yang berperwatakan lurus dan suka berterus terang. Mempunyai keyakinan diri dan tidak begitu risau jika ada yang memperkatakan mengenai diri anda.
  • Kerinting
    Tergolong dalam mereka yang feminin dan mempunyai sikap lemah lembut tetapi tegas dalam segala hal.
  • Lurus
    Sifat semula jadi seorang wanita begitu ketara pada diri anda. Anda juga mempunyai perwatakan jujur dan boleh dipercayai.
  • No comments:

    Post a Comment

    BEBAN NAFKAH

    Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...