Sunday, June 26, 2011

Penjagaan Kuku

Dilabel 'pengotor' jika kuku tidak dijaga

Berita Harian, 28 Mac 2011
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Kuku cantik, sihat serlah penampilan, keyakinan

MENJAGA dan merawat kuku, satu kewajipan untuk menjaga penampilan. Namun, ada segelintir individu yang mengambil sikap tidak kisah dan mengabaikan penampilan kuku mereka, lantaran malas atau beranggapan tidak terlalu penting.

Ini tidak sepatutnya tertanam dalam diri anda kerana kuku juga satu bahagian yang memerlukan perhatian bagi seseorang itu kelihatan hebat dan menarik, seperti juga wajah, perlu kelihatan cantik dan berseri.

Kata orang, kebersihan diri boleh diketahui melalui kukunya. Apabila kuku kusam dan ada kekotoran hitam di celah-celahnya, tidak mustahil jika ada yang `mengecap’ anda pengotor. Tentunya anda tidak ingin orang lain berfikiran buruk seperti itu.

Kuku sihat juga adalah satu asas kecantikan. Dirawat dengan baik untuk tangan dan memiliki kuku yang indah menunjukkan anda menghargai penampilan anda dan ingin menaruh tangan atau kaki anda terbaik ke depan.

Penjagaan kuku

Penjagaan kuku sama pentingnya seperti pemeliharaan wajah yang memerlukan perhatian dan penjagaan seharian. Penampilan kuku yang cantik, tentu akan meningkatkan keyakinan diri. Tidak percaya? Cuba bayangkan, penampilan anda mulai daripada solekan, pakaian, kasut dan aksesori, semuanya sudah maksimum pada tubuh. Namun, apabila mata beralih pada kuku jari jemari, ia kelihatan kotor dan tidak terbentuk dengan rapi. Sudah pasti, serta-merta penampilan maksimum yang ditonjolkan akan berkurangan.
Tidak dinafikan, ada juga individu yang mengambil berat dan memang menganggap kuku perlu mendapatkan perhatian khusus. Kuku yang panjang, bersih dan berkilau menjadi idaman kerana ciri berkenaan menyerlahkan kuku yang cantik dan sihat.

Taksub merawat dan menjaga kuku, ada yang terlalu kerap dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam dan wang ringgit yang banyak untuk membuat rawatan dan penjagaan kuku di salun kecantikan.

Sebenarnya, merawat kuku supaya tetap terlihat rapi dan cantik, mudah saja. Anda tidak perlu pergi ke salun atau menyapukan cat kuku setiap hari, sebaliknya pastikan anda mempunyai masa untuk memberi perhatian dan membelek kuku serta menjaga kebersihannya supaya rawatan dan penjagaan menjadi lebih sempurna.


Perkara pertama, cuci bersih tangan dengan menggunakan sabun cuci tangan. Jika perlu gunakan berus kuku lembut untuk pembersihan dan pastikan, setiap bahagian dalam kuku luar terkena sabun untuk menghilangkan debu dan kuman yang menempel. Kemudian bilas hingga bersih.

Biasakan juga menggunakan krim tangan yang mengandungi vitamin E untuk menjaga kelembapan dan kelembutan tangan, sekali gus pada bahagian kuku. Dengan menyapu krim, kulit sekitar kuku akan terjaga kelembapannya dan terhindar dari kekeringan yang dapat menyebabkan kuku mudah rapuh.

Melembapkan kuku sebelum dan sebaik bangun dari tidur setiap hari amat digalakkan. Minyak zaitun sangat bagus untuk berbuat demikian iaitu hanya mengambil sedikit minyak pada kapas dan lap di atas kutikula anda. Biarkan satu atau dua minit, kemudian urut kuku.

Bagi anda yang gemar menggigit kuku sendiri, sebaiknya hentikan segera. Tabiat buruk itu selain boleh memudahkan masuknya kuman ke dalam tubuh, juga akan merosakkan penampilan kuku. Kesan gigitan boleh meninggalkan kekasaran dan tepi bergerigi pada kuku, sudah tentu tampak tidak cantik.

Jika memotong kuku, pastikan ia dapat membentuk kuku yang sesuai dengan anda. Haluskan tepi kuku dengan menggunakan penghalus atau kikiran kuku. Kuku sebaiknya dipotong dan di kikir lurus, bukan membentuk sudut yang melengkung. Ini tentunya untuk menghindari kuku tumbuh ke arah dalam dan masuk ke daging.

Elakkan memotong kutikel (kulit keras di tepi kuku) jika anda tidak biasa melakukannya kerana kawasan yang sangat halus, boleh merosakkan kuku jika terlalu agresif menggunakan alat kutikel. Untuk melakukannya mungkin lebih baik anda menggunakan khidmat mereka yang pakar.

Untuk membantu memelihara kuku secara alami, anda boleh menggunakan biotin kerana ia dipercayai mampu menjaga kekuatan pada rambut, kulit dan kuku, kerana kandungan vitamin B kompleks membantu menjaga metabolisme lemak dan protein.

Peralatan penjagaan kuku

Peralatan penjagaan juga penting dalam memastikan penjagaan kuku dapat dilakukan dengan sempurna antaranya, berus kuku, pengetip kuku, kayu pengilat dan gunting.

Sesekali anda boleh merendam tangan dan kaki dengan air suam yang dicampur dengan air limau bagi melembutkan dan memberikan kesegaran pada kuku. Amalan itu juga membantu menghilangkan noda atau warna kusam pada kuku.

Wanita yang gemar mewarnakan kuku, gosokkan pelembap ke kuku dan selalu lembapkan ia selepas menanggalkan cat kuku. Pastikan anda menggunakan pembersih kuku supaya tiada sisa-sisa cat yang tertinggal.

Sedar atau tidak, kuku juga adalah cermin bagi kesihatan tubuh anda. Paparan, bentuk atau warna kuku jari anda dapat menunjukkan adanya gangguan atau penyakit dalam tubuh sebelum gejala lainnya muncul. Sebagai contoh, kuku putih boleh menunjukkan anda mempunyai masalah anemia atau buah pinggang manakala tompok coklat bererti anda berkemungkinan mempunyai psoriasis.

Begitu juga jika terdapatnya garis putih di kuku ia boleh membawa petanda penyakit hati. Sementara, kuku putih separuh dengan bintik hitam di hujung boleh menunjukkan adanya gangguan ginjal. Kuku abnormal tebal pula mungkin disebabkan kerana darah tidak beredar baik dalam sistem vaskular.

Apabila pertumbuhan kuku kelihatan lambat, tebal dan mengeras serta kekuning-kuningan, ia menandakan masalah sistem pencernaan yang kronik. Bagaimanapun, perubahan yang tidak ketara pada kuku juga tidak perlu dirisaukan kerana diagnosis melalui kuku belum diisytiharkan sah sepenuhnya oleh semua doktor di seluruh dunia.

Apa yang lebih penting, mulai dari sekarang berikan tumpuan dalam penjagaan kuku.


INFO: 
Rawat kuku secara tradisional




  • Kunyit
    Jika kuku kaki mengeluarkan bau kurang menyenangkan, ambil kunyit kemudian diparut dan dicampur dengan minyak kelapa. Titiskan pada bahagian yang mengeluarkan bau, selepas itu lap dan rendam dengan air panas.
  • Bawang
    Bawang membantu mengatasi masalah kuku mudah patah atau rapuh. Caranya, gosokkan bawang pada kuku yang rapuh dengan sekerap mungkin.
  • Betik
    Getah betik baik untuk membersihkan kulit di luar kuku supaya tidak mudah pecah dan menjadi lebih lembap.

    INFO:                                                                                              12 perkara mengenai kuku

  • Kuku adalah struktur separa keras dan sedikit runcing yang terletak di hujung jari haiwan atau manusia.

  • Kuku mempunyai dua fungsi utama iaitu pelindung kepada hujung jari dan memberi lebih sensitiviti terhadap deria sentuh.

  • Kuku boleh tumbuh sekitar 0.05 milimeter (mm) hingga 1.2 mm seminggu.

  • Kuku jari tangan tumbuh dengan lebih cepat pada kadar 3 mm sebulan berbanding kuku kaki yang memanjang pada kadar 1 mm sebulan. Ini bermakna, kuku tangan mengambil masa kira-kira 3-6 bulan untuk tumbuh sepenuhnya menggantikan kuku yang lama, manakala kuku kaki memerlukan masa antara 12-18 bulan.

  • Kuku terdiri daripada lapisan protein disebut keratin. Keratin juga boleh ditemui pada kulit dan rambut.

  • Perbezaan atau kelainan kuku seseorang boleh menunjukkan kekurangan gizi (zat) atau gangguan yang dihadapi individu itu.

  • Paparan, bentuk dan warna kuku boleh menunjukkan adanya gangguan atau penyakit dalam tubuh seseorang.

  • Kuku rapuh adalah tanda kekurangan zat besi dan masalah tiroid.

  • Kuku yang mudah retak dan tercabut bermakna anda memerlukan lebih banyak protein serta mineral dalam diet anda.

  • Untuk membantu merangsang pertumbuhan kuku, urut dasar kuku anda dengan minyak kutikula beberapa kali sehari.

  • Kuku sihat boleh dilihat pada kehalusannya, tanpa alur dan bebas daripada bintik atau perubahan warna.

  • Peningkatan usia juga menyebabkan struktur kuku berubah dan hal ini biasanya tidak mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan.


  • MAHKOTA WANITA

    Mahkota wanita

    Oleh Nor Affizar Ibrahim
    affizar@bharian.com.my

    14/2/2011

     Kenali jenis rambut mudahkan penjagaan

    RAMBUT dianggap mahkota, tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar faham dan mengenalinya. Mungkin sebab itu ada yang mengabaikan rawatan dan penjagaan rambut serta sering kali menganggap menyisirnya setiap hari sudah cukup untuk memastikan 'mahkota' itu tampak cantik dan rapi.

    Penjagaan seumpama itu sebenarnya belum memadai sebaliknya adalah lebih baik terlebih dulu mengenali jenis rambut, sama ada halus, kasar, ikal atau sebagainya dan masalah dihadapi seperti gugur, berkelemumur atau bercabang.

    Dengan mengetahui semua itu sudah tentu lebih mudah untuk menjaga, membeli produk dan membuat rawatan sesuai, sekali gus membolehkan ‘mahkota’ anda membantu menyerlahkan penampilan serta imej.

    Anda juga perlu ketahui, rambut orang Asia tidak mungkin sama dengan orang Barat. Perbezaan rambut paling ketara ialah dari segi diameter. Secara am, diameter rambut orang Asia ialah antara 70 milimeter (mm) dan 75 mm manakala orang Barat, 50-55 mm.


    Urus dengan betul

    Penyelidik dari Amerika Syarikat yang pakar dalam penjagaan rambut, Paul Crabtree dalam kajiannya mendapati, rambut orang Asia juga kebanyakannya lebih lurus dan berwarna hitam berbanding dengan rambut orang Barat yang agak kasar dan kerinting.

    Namun, katanya, walau apa pun perbezaannya, penjagaan rambut adalah tetap sama. Katanya, penjagaan rambut bukan diukur dari segi warna, kerinting atau lurus dan panjang mahu pun pendek rambut tetapi jenis rambut itu sendiri.

    Penjagaan rambut, katanya, tidak dibatasi dengan beberapa aspek saja tetapi meliputi banyak perkara, termasuk dari segi pemilihan syampu dan perapi, menyikat serta membasuh dengan betul, bahkan mengeringkannya.

    “Kecantikan wanita Asia sinonim dengan kehitaman rambut mereka. Walaupun dari segi penjagaan tiada beza, ada beberapa faktor lain perlu diambilkira. Rambut orang Asia memerlukan lebih perlindungan dan lembapan berbanding orang Barat,” katanya.

    Terdapat pelbagai amalan dan cara masyarakat di dunia menjaga rambutnya supaya tampak sihat serta kekal cantik. Lebih unik, amalan rawatan dan penjagaan rambut itu bukan baru sebaliknya diwarisi dari nenek moyang lagi dan ada yang masih diteruskan sehingga ke hari ini.


    Penjagaan mengikut budaya

    Wanita Maghribi misalnya, sejak dulu menggunakan keberkesanan minyak argan bagi mengembalikan kelembutan rambut dan kadar kelembapannya bagi rambut serta kulit yang kekurangan zat. Selama beratus-ratus tahun, wanita Berber dari Maghribi menggunakan buah dan minyak argan untuk masakan serta menghasilkan resipi kecantikan.

    Masyarakat Melayu pula menggunakan santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah, ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam supaya patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap setengah jam.

    Wanita Jawa juga mempunyai amalan unik iaitu menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa sebersih-bersihnya.

    Wanita Barat, minyak buah pic, ginseng (Notoginseng) dan minyak bunga kesumba (safflower) digunakan secara meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada yang menggunakan gel kaktus dan lidah buaya (aloe vera). Sementara, wanita Cina dan Jepun menyukai pelbagai jenis akar ginseng, akar Dong Quoi, teh herba
    Cina dan halia untuk merawat rambut mereka.



     Fakta dan mitos

    Satu lagi perkara menarik mengenai rambut, rambut di kepala adalah bulu yang paling cepat tumbuh dan setiap manusia, rata-rata memiliki sekitar 100,000 helai rambut. Rambut lazimnya, berguguran sepanjang waktu dan mungkin mencapai 50 helai hingga lebih 100 helai sehari.

    Bagaimanapun, anda tidak perlu risau hal itu kerana dalam sehari rambut akan tumbuh kira-kira 0.5 milimeter dan boleh mencapai sehingga 20 meter tetapi dipengaruhi beberapa faktor seperti gen, hormon dan metabolisme. Masa tumbuh setiap helai rambut pula hanya antara dua tahun hingga enam tahun.

    Ahli dermatologi di Case Western Reserve University School of Medicine di Cleveland, Gerome Litt berkata, rambut lebih banyak gugur jika seseorang itu berada dalam tekanan seperti perceraian, kehilangan pekerjaan atau menjalani pembedahan.

    “Rambut juga boleh gugur ketika kehamilan atau disebabkan pengambilan antibiotik. Namun, selepas beberapa minggu, rambut umumnya akan tumbuh kembali,” katanya.

    Selain fakta sebenar, terdapat juga beberapa mitos mengenai rambut yang banyak diperkatakan. Antara yang kerap diperkatakan ialah larangan mencabut rambut putih atau uban kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak uban tumbuh di tempat sama.

    Kenyataan itu tidak benar. Hakikatnya, mencabut uban adalah kebiasaan buruk kerana merosakkan akar rambut dan menyebabkan jangkitan bahkan botak di bekas cabutan.

    Mitos lain menyebut menyisir rambut dengan kerap setiap malam boleh menjadikan rambut itu sihat. Hakikatnya, rambut hanya perlu disisir atau disikat apabila anda perlu perlu berbuat demikian sebab menyisir selalu akan menarik rambut dari folikelnya dan melemahkan helaian rambut.

    Begitu juga ada yang berpendapat, jika memotong rambut secara teratur akan membuat rambut tumbuh lebih cepat. Menangkis pendapat itu, pemilik salun, John Barrett Salon di New York City, John Barret berkata, rambut tumbuh setengah inci (1.25 sentimeter) setiap bulan. Oleh itu, sama ada dipotong atau tidak, ia tetap tumbuh, tetapi rambut memang tumbuh lebih cepat pada musim panas.



    INFO: 
    Panduan penjagaan rambut

    BEBAN NAFKAH

    Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...